Anda di halaman 1dari 4

TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL OLEH GURU BESAR TERHADAP GURU YANG MENGALAMI TEKANAN EMOSI Menurut McGrath

(1974), tekanan didefinisikan dalam bentuk toleransi yang menyatakan bahawa persekitaran yang tekanan boleh dianggap berada di luar batasan toleransi yang normal dalam kehidupan seharian seseorang dan rangsangan tersebut boleh ditafsirkan sebagai kesakitan pada peringkat tertinggi. Beliau membuat kesimpulan bahawa sesuatu yang kelihatan tekanan pada seseorang berkemungkinan menjadi cabaran dan keseronokan kepada seseorang yang lain. Kenyataan ini

disokong oleh Schafer (1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif. Pada hari ini profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar. Menurut Dr. Sapora Sipon (2007), tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan emosi, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan murid dan juga mutu pembelajaran dan pengajaran (PdP) seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan

kegemilangan mutu pendidikan. Peratusan kadar stress dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa guru

berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak. Satu kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo Sew Fun dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenal pasti punca sebenar dan jalan penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara yang dikenal pasti menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas, karenah murid, kurang motivasi dan lain-lain. Sebagai seorang pemimpin dalam organisasi sekolah, guru besar seharusnya mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas guru yang mengalami masalah tekanan emosi di sekolah. Guru besar perlu mengenal pasti terlebih dahulu guru yang dilihat mengalami tekanan emosi. Cadangan pertama ialah mengadakan runding cara. Sebagai seorang ketua, guru besar mesti mengambil berat akan perihal orang yang berada di bawah pentadbirannya. Guru besar boleh berbincang dengan guru yang bermasalah ini mengenai tekanan yang dihadapi. Selain itu, rujuk guru tersebut kepada pakar kaunselor. Sokongan psikologi dan runding cara merupakan satu aspek utama cara menghadapi dan mengatasi masalah yang boleh digunakan. Melalui runding cara, guru berkenaan dapat meluahkan sedikit sebanyak apa yang terpendam dalam jiwa mereka selama ini yang tidak dapat dijelaskan kepada sesiapa. Seseorang yang mengalami masalah tekanan emosi akan menunjukkan tanda-tanda seperti resah, lemah, gangguan tidur, sukar menumpukan perhatian, kejengkelan, fikiran dan khayalan melampau-lampau tentang sesuatu perkara serta keinginan untuk mengambil tindak balas. Tindakan kedua yang boleh diambil oleh guru besar untuk menangani masalah guru mengalami tekanan emosi ialah kemahiran pengurusan masa. Pengurusan masa bermaksud memberi keutamaan matlamat dan meningkatkan kecekapan bekerja. Tekanan emosi seperti stres dalam kalangan guru berlaku disebabkan kegagalan menguruskan masa dengan betul. Ramai guru yang bekerja menghabiskan masa dengan tugasan yang kurang penting dan menyebabkan kerja yang penting tertangguh dan akhirnya diri sendiri yang merana kerana terpaksa menanggung bebenan kerja

yang banyak. Kemahiran pengurusan masa membantu seseorang guru menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan melakukannya dengan bijak. Selain itu, guru besar perlu memastikan bahawa guru hanya diberi

pengkhususan tugas iaitu memberikan tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP, Hashim bin Adnan, beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat bahawa tugas guru bukan sahaja mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan sekolah

menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini .Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti

berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Di samping itu, penyediaan persekitaran tempat kerja yang selesa dan kondusif dapat mengurangkan tekanan emosi dalam diri guru. Ciri-ciri sesebuah tempat kerja boleh menjadi faktor sama ada meredakan atau menjadi sesuatu yang berpotensi mencetus tekanan dan keganasan. Justeru, perhatian utama seharusnya diberikan kepada tahap dan cara-cara bagaimana guru-guru terdedah kepada faktor persekitaran yang membahayakan dan tidak kondusif. Guru besar digalakkan menyediakan persekitaran yang memberi keselesaan kepada guru-guru seperti kawasan sekolah yang cantik dan ceria, bilik guru yang selesa iaitu yang mengurangkan kesan negative dari aspek kebisingan, bau, pencahayaan, suhu kelembapan, habuk dan getaran supaya motivasi guru untuk bekerja sentiasa tinggi. Seseorang yang mengalami tekanan emosi akan mengakibatkan berlakunya reaksi fizikal seperti ketegangan otot, denyutan nadi menjadi pantas yang boleh menyebabkan lebih tertekan. Kemahiran relaksasi amat diperlukan oleh seorang guru

yang mengalami stres. Sebagai contoh, relaksasi otot progresif dapat mengendurkan ketegangan otot sementara kawalan pernafasan boleh menurunkan kadar pernafasan dan denyutan jantung ke tahap normal. Aktiviti ini boleh dilakukan oleh guru semasa berada di bilik guru atau di dalam kelas ketika mula mengalami tekanan. Hal ini sedikit sebanyak membantu melegakan tekanan. Selain itu, mengekalkan cara hidup sihat dan seimbang boleh membantu seseorang yang bertekanan emosi. Setiap individu pelu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam, makan makanan seimbang, tidur yang cukup, tidak merokok, tidak meminum minuman alkohol, minun kopi berlebihan atau bahan rangsangan. Seseorang yang mempunyai badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja. Pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti sukan sebagai aktiviti sampingan untuk guru-guru dan kakitangan sekolah. Misalnya, anjurkan senamaerobik dan hari riadah untuk guru-guru bersukan selain boleh mengeratkan hubungan silaturrahim. Aktiviti santai sebegini dapat mengurangkan tekanan dan bebanan guru daripada memikirkan tugasan kerja yang banyak bak kata pepatah badan yang sihat melahirkan minda yang cerdas. Kesimpulannya, banyak lagi langkah mengatasi masalah tekanan emosi yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi membantu guru-guru yang mengalami masalah tekanan emosi. Harus diingatkan lebih baik mengcegah dariapada merawat sebelum sesuatu perkara menjadi lebih teruk dan akibatnya menjejaskan tugas guru dalam mendidik anak bangsa.

Anda mungkin juga menyukai