Anda di halaman 1dari 4

SK (F) LOK HENG SELATAN 81900 KOTA TINGGI JOHOR

KARNIVAL BAHASA MELAYU ZON SEDILI KOTA TINGGI 2018


PERTANDINGAN: BERCERITA TAHAP 1

TAJUK:
”SI PEMOTONG KAYU YANG JUJUR”

OLEH:
ANIQ RAZZAQ BIN MOHD HARLIEE
Tersebutlah kisah di sebuah desa,
Pemotong kayu miskin dan tua,
Sebilah kapak peneman setia,
Sumber rezeki Pak Dolah Mak Leha. (syair)

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada


barisan Hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia dengan masanya,
guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Pada hari ini saya akan menyampaikan
sebuah cerita yang bertajuk ’’ Si Pemotong Kayu yang Jujur”.

Sudahlah miskin tidak berharta… pemotong kayu takdir nasibnya.

Di dalam sebuah kampung nun jauh di pedalaman, tinggal seorang pemotong


kayu yang tua dan miskin. Namanya ialah Pak Dolah. Pekerjaan Pak Dolah
hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok untuk dijual sebagai kayu api.
Isterinya yang bernama Mak Leha peneman hidupnya saban hari. Mereka tidak
dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin.

Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang kadang-kadang
tak makan. Kasihan Pak Dolah, dia juga terpaksa menjaga isterinya yang sedang
sakit. Walaupun begitu, mereka tetap bersyukur dengan kehidupan miskin mereka.
Mereka tidak pernah mengeluh akan kesusahan yang dilalui.

Namun Pak Dolah tidak pernah malas


Usaha yang gigih rajin berusaha
Mencari rezeki amanah digalas
Demi kehidupan isteri tercinta (sajak)

Pada suatu pagi, pergilah Pak Dolah jauh ke hutan untuk menebang pokok.
Biasanya Mak Leha akan menemani suaminya namun oleh kerana sakit, Mak Leha
hanya berehat sahaja di rumah. Maka ke hutanlah Pak Dolah berseorangan pada
awal pagi sebelum terbit matahari untuk mencari kayu api. Seharianlah Pak Dolah
menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur itu seuzur usianya.
Apabila penat, dia berhenti seketika untuk melepaskan dahaganya, Tidak
lama berehat, Pak Dolah meneruskan kerjanya. Oleh kerana terlalu lama memegang
kapak, tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari
tangannya dan tercampak ke dalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua
kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki. Hendak terjun mencari takut
disambar arus sungai yang deras. Lalu merataplah ia mengenangkan nasib.

“Kapak oh kapak timbullah…apa rezekiku hari esok...jangan buatku


gundah....oh kapak timbullah”, rintih Pak Dolah.

Kawan-kawan nak tahu apa yang terjadi seterusnya?

Maka bersimpatilah pari-pari di langit melihat kegundahan si tua tersebut lalu


turunlah ia bertanya "Wahai orang tua kenapa bersedih hati?” kata si pari-pari.

Pak Dolah terkejut dengan suara yang didengarinya lalu diceritakan apa yang
telah berlaku. "Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam".

Dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa


minit, timbullah kembali si pari-pari sambil membawa kapak emas lalu dihulur
kepada Pak Dolah. Dengan sedih, Pak Dolah menjawab "Bukan..ini bukan
kepunyaan hamba...tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini".

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali
bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya.
Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu
menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah
kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada Pak Dolah.
Sebagai balasan kejujurannya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Girang hatiku tidak terkira


Bertemu kapak idaman hamba
Biarlah buruk tidak mengapa
Asalkan jujur di dalam jiwa (pantun)
Kemudian, pulanglah Pak Dolah dengan hati yang gembira. Sesampainya ke
rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Mak Leha turut
bergembira dengan kejujuran suaminya. Keesokan harinya, berkat kejujuran Pak
Dolah dia mendapati isterinya sudah sembuh dari sakit. Bersyukur Pak Dolah
kepada Allah yang telah menyembuhkan isterinya. Kehidupan mereka berubah
menjadi kaya namun mereka tidak pernah melupakan asal usul dan membantu
kepada mereka yang memerlukan.

Kawan-kawan,

Terdapat dua pengajaran yang boleh diambil dalam cerita ini. Pengajaran
yang pertama ialah kita mestilah jujur walau dalam apa keadaan sekalipun. Ini
kerana kejujuran adalah asas dalam kehidupan. Biarlah hidup miskin tak berharta
asalkan kejujuran tersemat di jiwa.Tanpa sifat tamak, Pak Dolah memperoleh
sesuatu yang lebih baik.

Pengajaran yang kedua pula kita haruslah bekerja keras apabila mencari
rezeki. Contohilah sikap Pak Dolah yang rajin bekerja walaupun sudah tua. Dia rajin
berusaha mencari kayu api demi sesuap nasi. Orang yang rajin berusaha dan jujur
akan memperoleh kejayaan yang besar. Ingat kawan-kawan, usaha tangga
kejayaan. Guna tangga, jangan guna lif. Tiada jalan pintas untuk berjaya.

Kalau ada sumur di ladang


Dapat saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Dapat kita berjumpa lagi. (pantun)

Sekian sahaja cerita saya, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai