Anda di halaman 1dari 4

PEMOTONG KAYU YANG TAMAK HALOBA

“Orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang”,

begitulah gambaran kisah yang akan saya sampaikan buat santapan minda hadirin

sekalian. ‘PEMOTONG KAYU YANG TAMAK HALOBA’ itulah tajuknya.

Terima kasih Pengerusi Majlis, Yang dihormati para hakim yang arif lagi bijaksana,

guru-guru, rakan-rakan dan hadirin sekalian. Assalamualaikum wbt, dan izinkan

saya untuk menyampaikan kisah ini.

Pada zaman dahulu, tinggallah seorang pemotong kayu bersama isteri dan

anaknya di pinggir negeri. Mereka sekeluarga sangatlah miskin. Suatu hari

berkatalah Si Pemotong kayu kepada isterinya, “Aku sudah lama bekerja, tapi hidup

kita tetap tak berubah. Sudah hampir separuh hutan aku tebang!”. Si isteri

memandang hiba suaminya. “bersabarlah wahai suamiku. Mungkin suatu hari nanti

Allah akan ubah nasib kita”, pujuk isteri pemotong kayu.

Si Pemotong kayu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak yakin dengan

kata-kata isterinya. Sudah banyak kali isterinya berkata begitu, namun kehidupan

mereka tetap juga tak berubah. “ Suatu hari nanti , pasti kita akan menjadi kaya juga

asalkan kita jujur. Tidak kiralah apa juga kerja atau janji kita” kata isteri pemotong

kayu lagi.

Si Pemotong kayu lantas terdiam. Kemudian dia pun mencapai kapak dan

bekalan yang telah disiapkan oleh isterinya. “Hari ini aku balik lambat sedikit. Aku

mahu menebang kayu agak banyak hari ini. Kamu usahlah risaukan aku kalau

terlambat balik” pesan Si Pemotong Kayu kepada isterinya.

Dalam perjalanannya, Si Pemotong kayu asyik merungut mengenangkan

nasib keluarganya. Katanya “kalaulah aku kaya, tidaklah aku menebang kayu lagi.
Aku hanya makan dan tidur sahaja dirumah. Dapatlah aku berehat dengan anak

isteriku sepanjang hari”.

Si Pemotong Kayu berhenti lalu bersandar di sebatang pokok yang agak

besar. Dia pun mula membuka bekalan makanan yang dibawanya itu. Sedikit demi

sedikit dia makan bekalannya hingga semuanya habis.

Si Pemotong Kayu kekenyangan lalu terus tertidur. Tanpa disedari, kakinya

telah dibelit oleh seekor ular sawa yang sangat besar. Tiba-tiba, Si Pemotong Kayu

terjaga dan terperanjat apabila melihat ular sawa itu. Lantas, dia segera mencapai

kapaknya dan menghayun kearah ular itu.

Tanpa disangka-sangka, ular itu mengeluarkan kata-kata. “ Wahai manusia!,

janganlah kamu bunuh aku, aku akan turuti semua kemahuan mu. Tetapi!, kamu

harus berjanji untuk tidak menebang pokok-pokok dihutan ini lagi.” Si pemotong

kayu bersetuju dan berjanji akan menuruti syarat ular sawa tersebut. Lalu dimintanya

kemewahan dan kesenangan dari ular sawa tersebut.

Ular sawa itu memberi Si Pemotong Kayu buntil berisi emas. “

oi..oi..yahoi..aku sangat gembira..pemotong kayu yang kaya-raya…hahahaha”. Si

Pemotong Kayu pun pulang ke rumah dengan penuh kegirangan.

Sejak dari peristiwa itu, mereka sekeluarga hidup penuh dengan kesenangan

dan kemewahan. Mereka tinggal di sebuah rumah yang besar dengan harta yang

banyak.

Si Pemotong Kayu tidak lagi ke hutan sepertimana kebiasannya. Sejak

menjadi kaya, dia mula bersifat tamak. Dia ingin memiliki lebih banyak emas lagi. “

Aku akan ke hutan lagi untuk meminta lebih banyak emas. Tentu ular itu akan

menunaikan lagi permintaanku” kata Si Pemotong Kayu kepada isterinya. Isterinya


melarang berbuat demikian. Tetapi Si Pemotong Kayu tetap berkeras dan tamak

untuk melakukannya.

Keesokan harinya, Si Pemotong kayu ke hutan lagi dengan niat mahu

meminta buntil emas dari ular sawa. Setibanya di hutan, dia bersandar di sebatang

yang pokok besar dan berpura-pura tidur. Tidak lama kemudian, datang seekor ular

sawa yang besar membelit kaki Si Pemotong Kayu.

Apabila menyedari ular sawa sedang membelitnya, dia segera mencapai

kapaknya dan berpura-pura mahu membunuh ular sawa itu. Tetapi malang nasib Si

Pemotong Kayu. Ular sawa itu terus membelitnya dengan lebih kuat lagi sehingga

dia lemas dan akhirnya meninggal dunia.

Isteri Si Pemotong Kayu amatlah sedih mengenangkan nasib yang menimpa

suaminya. Walaubagaimanapun, dia dan anaknya bersyukur kerana mereka masih

memiliki harta peninggalan Si Pemotong Kayu untuk meneruskan kehidupan

mereka.

Hadirin sekalian, moral daripada cerita ini ialah kita tidak boleh bersifat tamak.

Kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada kerana sikap tamak itu

hanya merugikan kita. Sifat tamak juga boleh mengundang kemudaratan kepada

kita.

Saya akhiri cerita ini dengan serangkap pantun

Umpama ikan terkena tuba

Benih ditabur tumbuh melata

Janganlah kita tamak haloba

Nanti derita penghujung cerita


Saya sudahi dengan wabillahitaufik wal hidayah, assalamualaikum
warahmatullahiwabarokatuh.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai