Anda di halaman 1dari 15

Journal of Technical, Vocational & Engineering Education, Volume 5 March 2012, Pages: 41-55 / ISSN: 2231-7376

Penerapan Nilai Minjaroes dan Formula 3H dalam Kurikulum PTV


Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud Faculty of Education, Universiti Teknologi Malaysia 81310 Johor, Malaysia

ABSTRAK : Jutaan ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan dalam pendidikan negara ini untuk menghasilkan tenaga manusia yang berkualiti. Namun, lambakan pekerja asing ke Malaysia masih berlaku. Perkara ini berlaku kerana sumber manusia yang ada kurang kualitinya. Sesebuah negara akan lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam kegiatan sosioekonominya (Mustafa Dakian, 2009). Untuk membangunkan modal insan yang berkualiti, bukan sahaja dari segi pendidikan, kepakaran dan lain-laintetapi dari segi nilai moral yang tinggi dan bertanggungjawab dalam kehidupan (mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Ucaptama Majlis Pelancaran Sambutan Harta Intelek Negara, Melaka International Trade Centre, Melaka, 3 Mac 2005. Kurikulum Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) sedia ada hari ini lebih memfokuskan kepada menghasilkan tenaga manusia berkemahiran tinggi semata-mata. Elemen yang menjadi kepentingan dalam PTV adalah modal individu dan sering kali modal intelektual dan modal sosial dilupakan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah seiring dengan formula 3H (Heads On, Hearts On dan Hands On) bagi menjana modal insan yang memiliki minda kelas pertama serta personaliti unggul. Dalam konsep 3H, fokus diberikan kepada aspek pembangunan modal insan yang seimbang sama ada Minda, Jasmani, Rohani, Emosi dan Sahsiah (MINJAROES). Kurikulum PTV yang ideal perlu memasukkan unsur Minjaroes untuk menghasilkan modal insan yang cemerlang. Pendidikan bukan untuk menghasilkan tenaga manusia untuk memenuhi pekerjaan semata-mata tetapi memiliki sifat daya saing, berakhlak dan bermoral tinggi. Artikel ini membincangkan tentang kepentingan penerapan nilai Minjaroes ke dalam kurikulum PTV untuk menghasilkan masyarakat dan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai jati diri yang tinggi.
Kata kunci : 3H, Nilai Minjaroes dan Kurikulum

1.0

PENGENALAN

Falsafah PTV yang ada pada hari ini menekankan penghasilan tenaga manusia untuk memenuhi keperluan negara. Yahya Emat (2005) menyatakan objektif pendidikan vokasional iaitu: ...menyediakan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran asas bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian, pertanian dan perdagangan, selain membina asas kukuh untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal dan vokasional. Persaingan global yang kian mencabar, kemajuan teknologi yang semakin pesat dan cabaran isu semasa menuntut pendidikan teknik vokasional melatih tenaga manusia yang lebih berketerampilan, berinovasi, berdaya tahan, berdaya juang dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi industri dan pekerjaan.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 42

PTV perlu menambah baik kurikulumnya dan menilai semula kurikulumnya selaras dengan perubahan dan cabaran yang ada di persekitaran global. PTV perlu mencari satu standard nilai yang perlu diterapkan untuk membangunkan tenaga kerja. Nilai Minjaroes ialah nilai yang mempunyai standard moral yang tinggi serta penting kepada sosialisasi perkembangan manusia. Ia menjadi tonggak kepada nilai kemanusiaan yang mampu membentuk dimensi pembinaan sahsiah, kekuatan personel, kekuatan moral, sosial dan kerohanian (Mustafa Dakian, 2009). Dari sudut PTV, Nilai Minjaroes membantu menerapkan kesemua elemen Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sahsiah pelajar yang akan dihasilkan menjadi sumber manusia berkualiti dan mampu membangunkan negara ke arah kemajuan dan kejayaan. Peri pentingnya nilai ini diterapkan dalam kurikulum PTV supaya modal insan kelas pertama terhasil sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Sumber manusia yang dihasilkan akan memiliki ciri seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Nilai Minjaroes bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

2.0 2.1

DEFINISI KONSEP

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), 1987 merumuskan falsafah pendidikan negara secara eksplisit. Ia sama dengan pernyataan Jemaah Nazir (2004) tentang kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu; Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. FPK memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik dan sempurna, berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. FPK berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Pada dasarnya, asas tauhid perlu menjadi pegangan umat Islam agar kelak tidak kucar-kacir. Muhammad Hisyam Mohamad (2007), menjelaskan pandangan Islam tentang semangat tauhid adalah berasaskan pandangan hidup multi-dimensi iaitu membangunkan masyarakat secara menyeluruh dan komprehensif. Falsafah tauhid mengajar manusia menerokai kemajuan melalui keseluruhan aspek sama ada intelek, rohani, jasmani dan emosi. Pendidikan diwujudkan bertujuan untuk mencapai sesuatu matlamat. Matlamat pendidikan termasuklah untuk memenuhi tuntutan dan keperluan ekonomi, sosial dan politik. Pendidikan di Malaysia, seharusnya relevan dan pragmatik dengan kemandirian (survival) manusia dalam masyarakat. Pendidikan haruslah berfungsi sebagai untuk sesuatu fungsi dan untuk manusia berfungsi.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 43

matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu-padu, berdisiplin dan terlatih. (Laporan Jawatankuasa Kabinet, hal 1) Matlamat negara dalam FPK adalah untuk menghasilkan warganegara yang baik dan memiliki ciri-ciri bersatu-padu, berdisiplin dan terlatih. Secara keseluruhannya, FPK wujud kerana dasar dan matlamat pendidikan. Falsafah adalah kecintaan terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan adalah alat atau medium mencapai matlamat yang dihasratkan.

2.2

Kurikulum

Kurikulum dalam Bahasa Arab ialah manhaj yang bermakna jalan yang terang atau jalan yang dilalui oleh manusia pada pelbagai bidang kehidupan. Manakala Saylor et.al (1981) mendefinisikan kurikulum sebagai satu daya usaha institusi pendidikan yang menyeluruh untuk memenuhi tujuan yang diharapkan semasa berada dalam institusi itu. Kurikulum bermaksud segala rancangan pendidikan yang dikendalikan sesebuah sekolah atau institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan. Kurikulum sekolah terbahagi kepada dua bahagian iaitu kurikulum akademik (pengajaran dan pembelajaran) dan kokurikulum. Kurikulum juga adalah rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan dan kemahiran, nilai dan norma. Sehingga ke hari ini, tiada kurikulum PTV yang tetap dan utuh dibina. PTV di Malaysia berfokus kepada objektif PTV semata-mata. Objektif pertama ialah untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor perdagangan, industri dan pertanian. Kedua, membina asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal. Kesimpulannya, kurikulum bermaksud jalan kehidupan, daya usaha, rancangan pendidikan ke arah pencapaian matlamat pendidikan. Kurikulum adalah satu laluan kepada FPK untuk mengaplikasikan segala idea dan tujuannya.

2.3

Pendidikan Teknik Dan Vokasional

Perkataan teknik atau technic berasal dari perkataan Greek ' technicos' yang bermaksud 'untuk belajar' atau 'prinsip-prinsip teknologi'. Manakala vokasional (vocational) berasal dari perkataan Latin 'vocare' atau bermaksud 'to call'. Menurut Kamus Dewan (1993), perkataan teknik membawa maksud pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri atau kaedah mencipta sesuatu hasil seni. Manakala perkataan 'teknikal' pula membawa maksud perlaksanaan sesuatu kerja atau berkaitan dengan sesuatu bidang pengetahuan tertentu. Kamus Dewan (1993) juga mendefinisikan 'vokasional' sebagai berkaitan dengan pekerjaan' (profesion dan sebagainya) yang tertentu atau berkaitan dengan kursus pendidikan amali. Kesimpulannya, PTV adalah berkaitan dengan pekerjaan dan kerja praktis. Tenaga manusia yang akan dihasilkan adalah yang berpaksikan pengetahuan dan kemahiran. Negara maju seperti Jepun dan negara Barat bukan sahaja mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi tetapi juga memiliki teknologi yang maju disebabkan oleh tenaga manusia mereka yang mahir. PTV di Malaysia perlu menyahut cabaran dengan menerapkan nilai Minjaroes supaya

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 44

dapat memiliki modal insan yang berpendapatan tinggi seperti negara maju yang lain (Suhean Hussin, 2004).

2.4

Formula 3H

Formula 3H yang pertama ialah gerakan minda iaitu melibatkan penciptaan idea, cetusan ilham dan penetapan matlamat diri yang disasarkan untuk dicapai. Individu sentiasa membuka minda, muhasabah diri dan merangka pelan strategik untuk mencapai potensi diri. Gerakan kedua ialah hati dan ia merupakan kekuatan dalaman individu. Ia akan mencetuskan motivasi diri untuk mencapai matlamat diri. Jika pelajar PTV gagal dalam sesuatu usaha, kegagalan atau kesilapan akan dianggap sebagai suatu cabaran dan motivasi untuk berjaya. Dengan adanya gerakan ini akan dapat memupuk komitmen 3S iaitu semangat mahu (will power), Semangat Cekal (Persistent) dan Semangat yakin boleh (belief spiritual). Selain itu, membina nilai-nilai 3P iaitu proaktif (mengambil tanggungjawab), progresif (maju ke hadapan) dan profesional (utamakan kualiti kerja). Akhir sekali, membina jati diri (kekuatan dalaman); 3Diaitu daya tahan, daya juang dan daya saingan. Gerakan ketiga adalah tangan iaitu pelan tindakan strategik untuk mencapai gerakan minda dan hati. Gerakan ini melibatkan semua pihak memberi komitmen dan kerjasama untuk membantu individu memilih tindakan yang terbaik bagi mencapai potensi diri. Gerakan ini melibatkan gabungan minda, fizikal, kerohanian, kemahiran, sosial dan emosi (EQ). Penghayatan 3H adalah untuk menghasilkan modal insan kelas pertama. Ianya terdiri daripada 3 domain iaitu Heads On (Gerakan Minda) - Pembangunan minda diri dan sikap yang positif untuk menggapai matlamat hakiki. Hearts On (Gerakan Hati) - Pembinaan kekuatan dalaman dan jati diri untuk mendokong aspirasi negara. Hands On ( Gerakan Tangan) - Perlaksanaan tindakan strategik dan terbaik untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

Rajah Formula 1 menunjukkan hubungan formula 3H, Nilai Minjaroes dengan PTV dan Pembangunan Modal Insan.

H1=HEADS ON

DAYA TAHAN

DAYA JUANG

3H

H2=HEARTS ON

H3=HANDS ON

E<=ENERGY

DAYA TAHAN

E>=EMPOWERMEN T

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 45

Rajah 1 menunjukkan kombinasi antara formula 3H dengan E3 yang akan memberikan hasil lonjakan berganda 3H=E3 (Excellence x Energy x Empowerment). Menurut Mustafa Dakian (2009), daripada komponen 3E akan mencetuskan formula 3A (Attitude, Awareness, Action) dan 3T (Think, Trust, Task). Akhirnya menghasilkan EAT (Makan). Makan yang dimaksudkan adalah sesuai digunakan oleh budaya yang universal. Sama ada agama, bangsa dan sempadan. Ibarat makanan yang baik maka resepi, formulanya juga mesti diadun dengan baik. Paling penting ialah keseimbangan dalam makanan. Organisasi, institusi perlu menyediakan modul eksklusif yang boleh menyeimbangkan manusia untuk menghasilkan modal insan terunggul. Kesimpulannya, formula dalam rajah di atas, perlu dihayati dan diamalkan secara holistik. Formula Holistik 3H juga menghuraikan tujuh langkah penting untuk menghasilkan individu yang cemerlang iaitu melalui heads on-penentuan matlamat, sikap dan persekitaran yang positif. Melalui hearts on iaitu yakin boleh dan bermotivasi, beriman dan berdoa. Juga, melalui ;hands on kemahiran belajar dan pengurusan masa, pemakanan dan riadah, strategi ulang kaji dan peperiksaan. Formula 3H selaras dengan falsafah pembangunan insan negara bagi menghasilkan individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Objektif PTV untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan menepati apa yang terkandung dalam konsep 3H dan elemen nilai dalam Minjaroes.

2.5

Nilai Minjaroes

Dr.Ahmad Roslan Johari iaitu mantan Rektor Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur telah menjalankan kajian dan mengupas idea mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu memperbanyakkan program pembangunan modal insan untuk membina masyarakat Malaysia. Beliau telah mencetuskan konsep Minjaroes (Minda, Jasmani, Rohani, Emosi dan Sahsiah) dan 3H (Heads On, Heart On and Hands On). Formula 3H yang dihasilkan, diharap dapat menjana modal insan kelas pertama serta personaliti yang unggul dan ianya boleh boleh dilaksanakan dengan mengaplikasikannya ke dalam pendidikan melalui nilai-nilai Minjaroes. Ahmad Roslan Johari, 2007 menyenaraikan 45 amalan nilai-nilai murni dan klasifikasi modal manusia menerusi perspektif 3H.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 46

MINJAROES (45 NILAI-NILAI MURNI DAN KLASIFIKASI MODAL MANUSIA) HEADS ON HEARTS ON HANDS ON 1.Kepercayaan Kepada Tuhan 2.Berpengetahuan 3. Berfikiran Positif 4. Menghargai Masa 5. Berterus Terang 6. Benar 7. Beramanah 8. Bersih 9.Kebersihan Fizikal dan Mental 10. Kesederhanaan 11. HormatMenghormati 12. Menghormati Hak Setiap Individu 13. Bercita-Cita Tinggi 1. Kesetiaan Kepada Ketua dan Negara 2. Keikhlasan Kepada Diri 3. Adil 4. Murah Hati 5. Suci Hati 6. Prihatin 7. Sabar 8. Ikhlas 9. Bertimbang Rasa 10. Toleransi 11. Bersimpati 12. Merendah Diri 13. Berpada- Pada 14. Kasih Sayang 15. Menyayangi Diri dan Keluarga 16. Semangat Kemasyarakatan 17. Semangat Hidup Bermasyarakat 18. Semangat Kejiranan 19. Semangat Kerjasama 20. Kesyukuran dan Keredaan 21. Menghulur dan Menerima Kemaafan 1. Amalan Baik 2. Disiplin Diri 3. Berdaya Saing 4. Bertanggungjawab 5. Berani 6. Yakin Diri 7. Tolong-Menolong 8. Bersungguh-Sungguh 9. Sedia Berkorban Untuk Kebaikan 10. Bersama Berkongsi Untung Nasib 11. Berlemah Lembut

Amalan Minjaroes adalah singkatan gabungan 5 komponen utama iaitu Keterampilan Minda (IQ), Kecergasan Jasmani (PQ), Kemantapan Rohani (SQ), Kecerdasan Emosi (EQ) dan Keunggulan Sahsiah (RQ). Minda melibatkan pemikiran, nilai dan pandangan individu tentang sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Pemikiran terbaik adalah positif, terbuka, reka cipta, inovatif, kreatif, patriotik dan dinamik untuk mencorakkan minda kelas pertama. Jasmani melibatkan kesihatan, kecergasan fizikal. Otak cerdas dan badan yang cergas datang dari pemakanan yang seimbang, fizikal yang baik dan kehidupan yang sihat. Rohani mencakupi roh atau kejiwaan berpaksikan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ini akan memberi kekuatan untuk individu mengorak langkah ke arah kejayaan yang besar dalam hidupnya iaitu mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Azimat kejayaan adalah keredaan Allah dan keberkatan sokongan ibu bapa. Emosi dikaitkan dengan faktor psikologi. Emosi adalah berhubung dengan sifat suka duka individu. Sikap yang positif akan membantu individu matang dan berjaya dalam hidupnya. Konsep bertawakal dan bermuhasabah diri akan membantu membina emosi yang stabil. Sosial pula melibatkan keupayaan berkomunikasi dan kemahiran berinteraksi. Penting apabila mula menjejak kaki ke alam pekerjaan. Nilai diri individu tinggi pada pandangan majikan. Contoh ciri sosial, memberi salam, senyum, kasih sayang sesama insan, semangat kerjasama akan membentuk keyakinan diri. Dapatan kajian Annafatmawaty Ismail dan Zurya Alias (2010) menunjukkan program softskill yang bersepadu mampu menghasilkan bakal jurutera yang memenuhi kehendak industri dan kajian J Sam Hamidon, Kamarul Ariffin Abd Rasyid dan Mohamad Fadzil Basir Ahmad (2010) juga menunjukkan kemahiran Softskill mempengaruhi pencapaian CGPA dalam memenuhi keboleh pasaran pekerjaan. Kemahiran softskill termasuklah kemahiran komunikasi interpersonal, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran analitikal atau menganalisis dan team work.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 47

Boleh dirumuskan di sini perspektif 3H adalah asas dalam proses pendidikan dan nilai Minjaroes adalah amalan yang perlu diterapkan kepada pelajar. Nilai Minjaroes akan membentuk akhlak dan tindakan yang baik sama ada kepada diri, bangsa, agama, masyarakat dan negaranya.

2.6

Matlamat Kurikulum Pendidikan


Potensi, Rohani, Mental & Bakat Nilai-nilai Agama, Rukun Negara

Sosial & Politik -Perpaduan -Demokrasi

Perkembangan Individu yang Menyeluruh Pembangunan Ekonomi, Kemodenan, Progresif, Kemahiran Kerja

Perkembangan Ilmu Pendidikan Seumur Hidup

Bidang Ilmu

Sufean Hussin, (2004) menyatakan matlamat kurikulum pendidikan secara umumnya adalah untuk membentuk pelajar yang mempunyai perkembangan yang menyeluruh, meliputi dimensi instrumental dan dimensi intrinsik. Dimensi instrumental mempersoalkan kerelevanan pendidikan dengan kehidupan individu sebagai ahli masyarakat iaitu yang terlibat dengan aspek sosial, politik, ekonomi, pemodenan dan kefahaman antarabangsa. Dimensi intrinsik pula mempersoalkan kerelevanan pendidikan untuk pembangunan dan perkembangan pelajar sebagai manusia dan dimensi ini meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, estetika dan etika kehidupan pelajar sebagai manusia yang berinteraksi dengan alam sekitar dan alam spiritual. Rajah di atas menunjukkan gambaran umum tentang premis idea dalam matlamat kurikulum pendidikan yang berpusatkan perkembangan individu pelajar. Kesimpulannya, kedua-dua aspek instrumental dan intrinsik adalah merangkumi kelima-lima aspek nilai Minjaroes. Ternyata, nilai Minjaroes memenuhi tuntutan matlamat kurikulum pendidikan.

3.0

PERBINCANGAN DAN KRITIKAN

Kurikulum pendidikan merupakan pendukung matlamat dan dasar kerajaan. Kandungannya perlu relevan dengan keadaan semasa untuk satu tempoh yang panjang (Abdul Rahim Hamdan, 2007). Kerajaan menekankan pembangunan sumber manusia dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tumpuan besar adalah kepada usaha membangunkan modal insan yang holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang utuh.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 48

Cadangan penambahbaikan secara komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat, penekanan kepada pembangunan keusahawanan bagi semua peringkat pendidikan dan latihan untuk membantu mewujudkan masyarakat usahawan. Dalam konteks Malaysia, aspek keilmuan dan pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan. Sumber manusia adalah aset penting kepada negara. Mundur atau maju sesebuah negara adalah bergantung pada sumber manusianya. Agenda pembangunan sumber manusia diutamakan dalam proses membangunkan sesebuah negara. Sumber manusia menjadi titik tolak pembangunan sesebuah negara. Unsur nilai dan kemahiran perlu diadun bersama untuk menghasilkan modal insan yang unggul. Semuanya bermula dari proses pendidikan. Pendidikan pula bermula daripada salah satu faktor seperti kurikulum yang digubal. Salah kurikulum yang digubal maka pincanglah penghasilan sumber manusia negara. Ciri-Ciri Insan Kelas Pertama : Berilmu, Bersifat Global, Berdaya Keusahawanan, Berdaya Fikir, Berbudi pekerti, Bertanggungjawab, Berakhlak Mulia, Berketrampilan, Berliterasi IT dan Beriman. Formula 3H bukan dan Nilai Minjaroes mampu menghasilkan modal insan kelas pertama. Maka, kurikulum sepatutnya menerapkan kedua-dua elemen ini dalam kurikulum PTV.

4.0

FITRAH DALAM KONTEKS PTV

Rasional, Peranan dan Kekangan Penerapan Nilai Minjaroes ke dalam kurikulum PTV Lauglo (1983) menyatakan bahawa terdapat satu kelemahan yang terdapat dalam bentuk PTV iaitu pendidikan ini terlalu khusus dan monotenik serta berfokuskan pekerjaan. PTV menawarkan mata pelajaran yang berfokus kepada pekerjaan dan menghasilkan sumber manusia yang diperlukan oleh negara dari semasa ke semasa dan kurang menekankan komponen lain. Kenyataan ini benar kerana perkembangan PTV selaras dengan matlamat negara iaitu bertujuan: untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang. (Laporan Jawatankuasa Kabinet, hlm. 1) PTV sangat berperanan penting menghasilkan tenaga manusia yang diperlukan oleh negara. Tetapi, sering kali tenaga manusia yang dihasilkan oleh negara masih terlibat dengan jenayah kolar putih mahupun kolar biru. Tidak kira sama ada jenayah itu jenayah yang besar seperti jenayah rasuah, penyelewengan wang, penyalahgunaan kuasa sehinggalah jenayah yang kecil seperti menipu, mencuri, dan sebagainya. Masih terdengar di Malaysia isu seperti penyelewengan lantas mengakibatkan bangunan runtuh kerana menggunakan bahan yang tidak berkualiti, gejala sosial di kalangan pelajar dan sebagainya. Sapora Sipon (2002) menyimpulkan dalam kajiannya masalah gejala sosial di kalangan pelajar semakin berleluasa dan ia perlu ditangani bersama dengan memikirkan jalan yang terbaik. Isu-isu seperti ini menuntut penekanan nilai dalam pendidikan dengan begitu jelas. Datuk Seri Rafidah Aziz dalam ucapannya di perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO pada 19 Jun 2002 pernah meluahkan rasa gusarnya berkenaan masalah juvana, sumbang mahram dan masalah gejala sosial yang lain.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 49

Lambakan buruh asing dan pengangguran masih berlaku. Ini membawa maksud tenaga manusia yang dimiliki masih mempunyai kekurangan nilai Minjaroes kerana tenaga manusia yang dihasilkan tidak mendapat tempat dalam pasaran. Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ,2009 dalam Siri Bacaan 1 Malaysia : Pendidikan ada menegaskan bahawa pentingnya nilai diterapkan dalam pendidikan : Sebuah empayar yang terbina daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan mampu bertahan. Maka apabila anda bercakap tentang pendidikan dan pengetahuan, ia mesti dilihat secara holistik. Ia juga mesti disepadukan dengan nilai. Anda mesti memiliki masyarakat yang menempatkan pendidikan dan pengetahuan di mercu segala yang lain. Bukan sahaja kerajaan, tetapi juga masyarakat sebagai satu nilai. Rahmah Ismail dan Nor Aini Idris (2007) menyatakan bahawa globalisasi, liberalisasi perdagangan dan teknologi moden semakin meningkat dari hari ke hari dan ini telah mendesak negara maju dan negara sedang membangun meningkatkan daya saing masingmasing. PTV bertanggungjawab langsung dalam pembangunan tenaga manusia yang berkualiti dan mampu bersaing secara global. Ia mesti selaras seperti yang disarankan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi (2005), bersempena dengan pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni dalam Salema Ahmad (2006): Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni ini merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuh kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika rakyat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. Tenaga manusia yang kaya harta dan rendah jiwanya bukanlah modal insan yang ingin dihasilkan di Malaysia kerana tenaga manusia seperti ini masih belum tentu mampu menjalankan tanggungjawabnya kepada negara. Kemungkinan timbul hasad dengki, ketamakan dan kesombongan. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Perdana Menteri sewaktu dalam ucapan pembentangan cadangan ada menegaskan, Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan, jika kita mahu negara maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan modal insan harus dipertingkatkan. Tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama akan dilaksanakan. Pertama : Meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Kedua : Memperkukuhkan keupayaan sains, penyelidikan & pembangunan dan inovasi. Ketiga : Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral. Peranan lain nilai Minjaroes ialah menanamkan kepercayaan kepada Tuhan melalui perspektif Heads On, selaras dengan pendidikan di Malaysia yang berpaksikan ketuhanan. Manusia adalah khalifah yang bertanggungjawab menjaga dan mentadbir di muka bumi ini. Al-Attas, pemikir Muslim ada mengatakan : Orang baik adalah orang yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak Nilai Minjaroes menerapkan aspek disiplin diri, bertanggungjawab dan sebagainya melalui perspektif Hands On. Nilai Minjaroes berperanan penting dalam membina dan

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 50

menanam nilai-nilai positif untuk menjadikan masyarakat Malaysia yang maju dan moden seperti mana yang dihasratkan oleh negara : Rakyat Malaysia perlu menerap nilai-nilai positif, sesuai dengan keperluan ekonomi negara yang sedang berubah kepada ekonomi berasaskan industri. Nilai-nilai ini termasuklah kejujuran, disiplin, ketetapan masa, kesedaran terhadap kos, kegigihan serta ketekunan. Hasil daripada amalan kesemua nilai ini akan melahirkan tenaga kerja berkualiti.Guru dan tenaga pengajar yang merupakan barisan utama pembentuk tenaga kerja industri masa hadapan (Malaysia, 1991; hlm.192) Nilai Minjaroes juga boleh berperanan menjadi nilai teras wawasan 2020. Nilai wawasan 2020 termasuklah membentuk masyarakat yang demokratik, mewujudkan keadilan sosial, liberal dan futuristik. Penekanan nilai wawasan 2020 adalah kepada nilai dan etika bagi mencorakkan kemajuan negara dengan memelihara ciri-ciri amalan hidup yang baik. Nilai Minjaroes adalah bertujuan untuk menghasilkan modal insan secara holistik dan menyeluruh dan berperanan sama pentingnya dengan nilai tersebut. Nilai kerohanian, moral dan etika menjadi asas penerapan nilai murni dan klasifikasi modal insan dalam nilai Minjaroes yang boleh diterapkan melalui domain Hearts On. Nilai Minjaroes boleh dikatakan sama hasratnya dengan wawasan 2020 berdasarkan penyataan tersebut : Nilai kerohanian, moral dan etika perlu dipupuk dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju seperti yang dihasratkan dalam wawasan 2020 (Malaysia, 1996; hlm.30) Nilai Minjaroes boleh menjadi asas utama yang berperanan untuk memupuk integrasi sosial masyarakat Malaysia seperti mana yang dihasratkan oleh negara. Nilai Minjaroes menekankan aspek kesetiaan kepada negara melalui perspektif Hearts On. usaha membina satu semangat identiti bersama dan berkongsi tujuan di kalangan semua rakyat Malaysia sangatlah penting dalam pembangunan nusa bangsa dan membentuk bangsa Malaysia. Bagi mencapai hasrat tersebut perlulah dipupuk perasaan bangga terhadap warisan, kejayaan dan potensi negara bagi menyemai semangat kekitaan. (Malaysia, 1996; hlm.31) Nilai juga adalah sebagai satu komponen membina budaya. Contohnya sifat dinamik bercirikan sifat terbuka. Perubahan budaya dengan pengaruh luar akan berlaku. Alvin Toffer (1969) menjelaskan bahawa nilai berubah dalam sejarah kehidupan manusia yang melibatkan sistem nilai masyarakat berubah. Selain itu, melalui pendidikan nilai ini akan membantu membanteras gejala dan masalah sosial yang semakin menular pada hari ini. Jika PTV melahirkan modal insan yang memenuhi aspek Minjaroes maka tenaga kerja untuk negara akan dipenuhi. Tiada lagi keciciran dan masalah sosial seperti merempit dan sebagainya kerana rakyat Malaysia telah memenuhi tujuan PTV iaitu melahirkan tenaga manusia yang cemerlang dan mampu memenuhi pasaran. PTV juga menghadapi kekangan dalam menerapkan nilai Minjaroes kepada pelajar disebabkan pelaksana (guru) menghadapi kekangan masa untuk mengejar silibus. Guru sebagai pelaksana menghadapi masalah untuk menerapkan kesemua nilai Minjaroes secara total dalam waktu yang sangat singkat. Sering kali aspek Hearts On dan Heads On terpaksa diabaikan. Fokus dan tumpuan Hands On kerana PTV lebih bermatlamatkan kerja praktis.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 51

Laporan Kabinet (1979) telah mengemukakan cadangan : Kurikulum sekolah menengah jangan terlalu ketat dan melampau terikat kepada jadual waktu supaya membolehkan murid menerap, menguji dan memahami isu-isu moral dan etika. Laporan Kabinet m.s.126. Kekangan yang kedua ialah pengukuran nilai sangat subjektif dan sukar diukur. Satu nilai ukuran yang tepat perlu dibina untuk mendapat data yang sahih. Bagaimana nilai kerjasama (implisit) diukur berbanding kemampuan memotong kayu (eksplisit) dalam PTV sangat berbeza. Oleh sebab yang demikian, pengukuran nilai dalam pembelajaran dan pengajaran sering diabaikan. PTV yang ada lebih berfokus kepada penilaian pencapaian intelektual dan kemahiran pelajar. Pengukuran nilai di sekolah tertumpu pada dua aspek iaitu aspek kognitif dan afektif (Sufean Hussin, 1995). Aspek kognitif iaitu intelek atau pengetahuan tentang berbagai-bagai kategori dan jenis nilai yang ada pada manusia dan benda-benda dalam alam sekitar. Ia boleh diukur dengan cara soal jawab dan ujian bertulis. Aspek afektif, iaitu kerohanian, jiwa, dan peribadi murid-murid. Aspek ini melibatkan darjah penerimaan, tindak balas, perubahan, penerapan dan pemantapan nilai-nilai, khususnya nilai-nilai murni. Ia diukur dengan cara memerhatikan tingkah laku, tindakan dan keperibadian pelajar dalam menjalankan berbagaibagai aktiviti. Sufean Hussin (2004) juga ada menghuraikan halangan-halangan yang terdapat untuk menerapkan Nilai Minjaroes dan Formula 3H ke dalam kurikulum PTV adalah seperti : Fenomena ketiadaan penghayatan falsafah pendidikan kepada guru-guru yang melaksanakan kurikulum di sekolah adalah disebabkan falsafah tidak berlandaskan hakikat atau kebenaran atau falsafah yang ada tidak utuh untuk dihayati. Penghayatan falsafah yang kurang adalah kerana penekanan kepada aspek penguasaan akademik dan peperiksaan, regimentasi dalam pelajaran dan dedikasi guru. Kurikulum PTV tidak dapat menerapkan nilai Minjaroes kerana pendidik tidak faham akan tujuan penerapan terutama dari segi matlamat dan tujuan disediakan dalam kurikulum yang tidak jelas. Kadangkala berlaku ketakutan dalam melaksanakannya kerana berada dalam zon selesa dengan cara pelaksanaan kurikulum sedia ada. Sikap sambil lewa terutama di kalangan warga pendidik untuk menekankan segala aspek ke dalam pembelajaran dan pengajaran. Jika bukan sebab ini, mungkin kekangan masa dan batasan waktu dalam kelas. Kesimpulannya, tanpa rohani yang bersih maka hati akan mati, muflis, bankrap jiwa, pudar nilai keinsanan dan runtuhnya ketamadunan. Kekurangan ini akan mewujudkan gejala negatif dan menyebabkan individu merasa gusar, bimbang dan tiada ketenteraman jiwa. Tanpa minda dan intelektual yang tinggi, jasmani yang sihat dan fizikal yang baik, emosi yang stabil dan sahsiah seperti kemahiran komunikasi yang baik, sukar untuk menghasilkan modal insan yang boleh membangunkan negara. Modal insan yang terhasil pasti tidak akan mampu menghadapi cabaran global. Pentingnya nilai Minjaroes diterapkan dalam ke dalam Falsafah PTV kerana PTV berperanan penting dalam menjayakan misi dan visi kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang bagi memacu ekonomi negara kelak. Kurikulum PTV perlu menekankan semua aspek nilai Minjaroes untuk menghasilkan tenaga manusia yang memiliki jati diri dan nilai pasaran yang tinggi kerana nilai Minjaroes memenuhi tuntutan FPK. Kurikulum PTV mesti berjalan seiring dengannya bagi memastikan matlamat pendidikan tercapai sepenuhnya. Nilai yang menjadi asas Kurikulum PTV seperti nilai Minjaroes mestilah bertujuan untuk membina kekuatan etika, moral, sosial

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 52

dan kerohanian. Pengetahuan dan nilai perlu menjadi benteng amalan hidup. Pendidikan adalah untuk membina pemikiran, pengetahuan dan kemahiran sama ada psikomotor, sosial dan moral bagi menghasilkan budaya masyarakat yang lebih progresif, dinamik dan sempurna.

5.0

NILAI MERENTAS KURIKULUM PTV

Kurikulum pendidikan dalam mana-mana mata pelajaran seperti bidang PTV untuk menyemai, menanam dan menyuburkan nilai-nilai teras yang penting iaitu nilai moral, etika dan kemanusiaan. Nilai sampingan lain seperti nilai budaya, agama, sosial, ekonomi, persekitaran, global dan politik. Suffean Hussin (1995) menjelaskan nilai idea abstrak yang melibatkan pembentukan emosi dan rohani. Sistem nilai menjadi asas pertimbangan tentang perkara dan hubungan dan interaksi antara manusia dan masyarakat. Kesimpulannya, domain kognitif seperti penguasaan fakta-fakta mudah diukur dan mudah dikuasai. Tetapi nilai idea abstrak sukar untuk diterapkan sepenuhnya oleh pelajar. Cara indoktrinasi dan paksaan ataupun syarahan tidak sesuai. Nilai murni menjadi ikutan melalui akal fikiran. 6.0 STRATEGI PENERAPAN KURIKULUM PTV NILAI MINJAROES DAN 3H DALAM

Strategi Kurikulum

Strategi Pembelajaran Strategi Pengajaran Strategi Reka Bentuk Bahan

Kurikulum dibentuk untuk dilaksanakan dalam pembelajaran dan pengajaran. Kurikulum diadaptasikan dalam huraian, sukatan dan rancangan pelajaran untuk disampaikan kepada pelajar. Abd Rahim Abd Rashid (2001) menyedikan Rajah 2 dan menyatakan bahawa melalui strategi kurikulum, penerapan nilai boleh dilakukan melalui proses integrasi, iaitu gabungan antara proses kognitif, afektif dan nilai. Proses-proses seperti pemupukan, penghayatan, kesedaran, analisis dan pendedahan nilai melalui cara persembahan dan penulisan tema-tema tertentu yang bersesuaian dengan mata pelajaran dalam bidang PTV. Untuk menerapkan nilai Minjaroes boleh menggunakan cara cetusan dan kebangkitan pelbagai isu nilai seperti kemoralan, etika, kemanusiaan dan patriotisme. Selain itu, pendekatan sebagai role model guru PTV sendiri atau tokoh-tokoh lain contohnya usahawan terkenal, individu yang berjaya dalam karier atau hidup amat sesuai digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 53

Terdapat pelbagai strategi pengajaran dalam PTV seperti Tunjuk Cara dan Demonstrasi. Pembelajaran tradisional terdiri dari tiga domain iaitu kognitif, efektif dan psikomotor. Pembelajaran kognitif adalah pembelajaran intelek atau kerja otak boleh diperoleh melalui penerangan guru, contohnya pengetahuan teknikal secara teori. Pembelajaran efektif atau nilai adalah berhubung dengan sikap. Contohnya penggunaan amalan bekerja yang selamat di bengkel. Pembelajaran psikomotor ialah pembelajaran yang mempengaruhi perkembangan kecekapan fizikal. Contohnya, seseorang yang ingin menjadi seorang tukang masak perlu tahu dan mengenali semua alatan dan bahan masakan (kognitif). Tukang masak juga perlu tahu susun atur atau langkah-langkah keselamatan dalam bilik masakan dan mengamalkannya (efektif). Untuk menjadi cekap, tukang masak perlu praktis memasak di dapur dengan mengetahui sukatan, bahan, menggunakan alatan yang betul dan sebagainya (psikomotor). Masalahnya, PTV lebih berfokus kepada pengajaran tentang proses dan teknik iaitu dikenali sebagai pengajaran kemahiran teknomotor. Jenis pembelajaran ini adalah berfokus kepada untuk kecekapan pekerjaan dan berbentuk kognitif dan psikomotor. Pelajar PTV akan menguasai pengetahuan kognitif dan kemahiran manipulatif. Strategi penggubalan bahan meliputi bahan bacaan, bahan rujukan, bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh pelajar dan guru. PTV lebih mementingkan bahan maujud kerana pembelajaran sering melibatkan kerja praktis. Strategi pembelajaran melibatkan metodologi, teknik, pendekatan dan prosedur tertentu. Penilaian juga dilaksanakan. Pembinaan instrumen bagi mengukur nilai, sikap, tingkah laku, kreativiti, ekspresi dan sensitiviti . Penilaian boleh dilakukan dengan cara pemerhatian, perbincangan, temu bual dan inkuiri sosial bagi membuat klasifikasi tentang sesuatu masalah yang berkaitan dengan tingkah laku sosial. Strategi pembelajaran boleh dilaksanakan melalui beberapa pendekatan seperti pendekatan integrasi nilai dalam kurikulum, nilai merentasi kurikulum dan pendekatan pengajaran nilai dalam tema atau topik yang dipilih khusus.

7.0

RINGKASAN DAN CADANGAN

Nilai Minjaroes dan Konsep 3H dicadangkan ke dalam kurikulum PTV kerana ia bertujuan membentuk pelajar sebagai generasi akan datang yang mempunyai watak berhemah tinggi dan berperibadi teguh dan seimbang. Penekanan pembelajaran Nilai Minjaroes seiring dengan keperluan wawasan 2020, Rukun Negara, FPK dan dasar kerajaan. Matlamat penerapan nilai ini berperanan penting untuk membangunkan diri, masyarakat dan negara selaras dengan perkembangan tamadun, zaman dan globalisasi. Kurikulum sebagai medan, PTV sebagai saluran untuk dijadikan jalan menerapkan nilai bagi menghasilkan modal insan seimbang. Falsafah PTV, FPK dan Kurikulum PTV perlu diperjelaskan dan dibina dengan utuh agar guru-guru yang melaksanakan kurikulum di sekolah berlandaskan hakikat atau kebenaran sebenar. Penghayatan guru yang tinggi perlu agar kurikulum yang ada dapat di aplikasi dengan penuh tanggungjawab tanpa rasa takut, ragu-ragu dan kabur.

8.0

PENUTUP DAN KESIMPULAN

Nilai Minjaroes dan 3H bukan sahaja untuk dipelajari tetapi yang lebih penting adalah untuk dibatinkan atau dihayati bagi membentuk personaliti manusia yang bersepadu dan seimbang.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 54

Tetapi harus diingat, dalam melaksanakannya dalam kurikulum PTV, nilai-nilai ini tidak akan terus meresap ke dalam sanubari dan dihayati tetapi adalah melalui sistem pertimbangan, penilaian dan pemilihan adalah terletak pada akal atau minda. Kepentingan nilai Minjaroes diterapkan dalam mana-mana bidang kurikulum termasuklah PTV seperti yang terkandung di bawah : Dari segi pembentukan disiplin, pertumbuhan sifat-sifat diingini mengenai sikap, perasaan, semangat dan sebagainya (bidang afektif) lebih penting daripada penguasaan ilmu semata-mata (bidang kognitif. Oleh yang demikian, adalah diperakukan kurikulum sekolah hendaklah menitikberatkan perkembangan sikap, minat, perasaan, value-judgement dan semangat yang diingini dari segi disiplin. Laporan Kabinet ms. 126

RUJUKAN Abd Rahim Abd Rashid. (2001). Nilai-nilai Murni dalam Pendidikan : Menghadapi Perubahan dan Cabaran Alaf Baru. . Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Abdul Fatah Hasan. (2003). Pengenalan Falsafah Pendidikan. Pahang : PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd Abdul Majid Omar. (2007). Pidato Kepimpinan : Ke arah Profesion Perguruan yang Cemerlang. Al Ramaiah. (1992). Kepimpinan Pendidikan : Cabaran Masa Kini. Selangor : IBS Buku Sdn. Bhd. Annafatmawaty Ismail dan Zurya Alias. (2010). Pembangunan Kemahiran Insaniah (KI) Melalui Program Berasaskan Keusahawanan : Kajian Kes Terhadap Kumpulan Inkubator Keusahawan di Politeknik Merlimau Melaka. Asmawati Suhid. (2010). Pemantapan Komponen Akhlak dalam Pendidikan Islam bagi Menangani Era Globalisasi. J Sam Hamidon, Kamarul Arifin dan Mohamad Fadzil Basir. (2010). Kemahiran Softskill Mempengaruhi Pencapaian CGPA dalam Memenuhi Kebolehpasaran Pekerjaan Terhadap Graduan Politeknik Seberang Perai (PSP). Jabatan Perdana Menteri. (2010). Program Transformasi Kerajaan : Pelan Hala Tuju. Putrajaya: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. (2009). Pendekatan Dawah Al-Irsyad dan Al-Nafsiyy Menurut Al-Ghazali : Satu Kajian di Pusat Kaunseling Majlis Agama Negeri Sembilan. Mohamad Faisal Ahmad. (2010). Pengajaran Pendidikan Islam dalam Pembentukan Akhlak dan Sikap Pelajar IPT : Kajian di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Merlimau Melaka. Mohd Roslan Mohd Nor dan Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim. (2010). Pembangunan Modal Insan & Tamadun dari Perspektif Islam. Shah Alam, Selangor : Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. Muhammad Hisyam Mohamad. (2007). Pembangunan dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur : MPH Group Publishing Sdn. Bhd. Mustafa Dakian. (2005). Pembangunan Modal Insan Misi 2057 Berteraskan Islam dan Konvensional. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Zuhaila Saleh , Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud / Journal of Technical, Vocational & Engineering Education 55

Nor Azizah Salleh, Siti Rahayah dan Musa Daia. (2010). Penerapan Nilai Murni Melalui Pembelajaran-Kooperatif dalam Sains. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi . Ucaptama Majlis Pelancaran Sambutan Harta Intelek Negara. Melaka : Melaka International Trade Centre, 3 Mac 2005. Rohana Hamzah. (2010). Mengenali Manusia : Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti. Johor: Penerbit UTM Press. Salema Ahmad. (2006). Amalan Nilai Murni di Kalangan Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah. Sufean Hussin. (2004). Pendidikan di Malaysia : Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Sufean Hussin. (1995). Pengajaran Nilai dalam Kurikulum. Shah Alam, Selangor. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Trimo. (2007). Pendekatan Penanaman Nilai dalam Pendidikan. Yahya bin Emat (2005). Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia. Selangor : IBS Buku Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai