Anda di halaman 1dari 12

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang

arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk

cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.

Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada

arnab-arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya

pula tersusun rapi dan putih berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain

di dalam hutan itu selalu memuji kecantikan gigi arnab ini.

Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin

sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-

kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh kerana

tiada sesiapa lagi yang suka berbual dengannya, arnab itu selalu berjalan

sendirian.

Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak seekor

buaya sedang berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani

mendekati buaya itu.

“Hai Arnab, cantik sungguh gigi ! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah

pasti aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa

sungguh gembira kerana sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.

“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi. Arnab

berasa bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau

mesti banyak makan sayur-sayuran dan jangan makan daging.”


Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau tolong

periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi. Tanpa berfikir

panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu.

Tanpa berlengah-lengah lagi, buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab

itu. Maka tamatlah riwayat arnab yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek

akal itu. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,

terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang

arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk

cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Penebang Kayu Dengan

Anaknya.

Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin .

Penebang kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi uzur dan seorang

anak. Pada suatu hari, penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya

ke dalam hutan dan membiarkannya tinggal di situ.

“Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang ayah?” tanya

isteri penebang kayu.

“Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk menghabiskan

sisa-sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak

sedar bahawa percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.

Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pekan untuk membeli sebuah

bakul yang besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan

bapanya ke dalam bakul tersebut.

“Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.

“Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa

sibuk.Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan

dijaga dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut.
Orang tua itu berasa sedih dan mengerti maksud anaknya. Penebang kayu itu pun

memikul ayahnya berjalan kearah hutan.

Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak

penebang kayu itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”

“Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.

“Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua

kelak, saya akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”

Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk

sambil berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya.

“Marilah kita pulang ke rumah.”

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,

terima kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang

arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk

cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri

Bongsu.

Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar yang amat

cantik. Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan berdarah putih dan amat

disayangi oleh raja.

Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai kepengetahuan

Raja Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan untuk meminang Puteri
Bongsu. Raja Ambun menjadi serba salah. Kalau pinangan itu ditolak, tentu akan

berlaku peperangan. Tetapi, kalau pinangan itu diterima, baginda akan dukacita

sepanjang hayat kerana baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.

Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan Puteri

Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar. “Raja Tinggi

tidak pernah melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri Sulung mengaku yang

dia bernama Puteri Bongsu,” Akhirnya pinangan Raja Tinggi itu pun di terima.

Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang disangkanya

Puteri Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung telah terluka akibat

terkena pisau. Luka itu berdarah dan darahnya berwarna merah. Raja Tinggi

berasa terkejut kerana darah itu tidak berwarna putih.

“Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya Raja

Tinggi sambil menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “ Adinda ialah

kakak kepada Puteri Bongsu,”

Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita akan serang

negeri Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.

Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk menundukkan negeri

Ambun.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,

terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para

hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan

sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Perempuan

Muda Yang Berani.

Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua. Baginda

telah menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar. Setelah perahu

itu siap, baginda pun telah mengadakan upacara untuk melancarkan perahu itu ke

laut. Rakyat negeri itu telah dikerahkan untuk menolak perahu ke laut tetapi

anehnya perahu itu sedikit pun tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat

hairan lalu memanggil anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-macam

ilmu.

Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi dibaca

dan seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini tidak akan dapat

diturunkan jika tidak digalang dengan tubuh manusia. Tetapi yang menjadi

galangan itu mestilah anak atau saudara tuanku. Orang lain tidak boleh!”

Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar. Tidak ada

seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan nyawanya untuk

pelancaran perahu tersebut.

Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang sedang

mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara kepada Raja Tua.

Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan bantal yang dibentangkan di
haluan perahu. Semua rakyat dan kerabat diraja menangis melihatkan perempuan

muda yang begitu berani mengorbankan nyawanya demi kepentingan Raja Tua.

Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh batang lidi dan

rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu pun ditolak ke laut.

Sekali lagi telah berlaku keanehan. Dengan mudah, perahu itu dapat ditolak ke

dalam air.

Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua berlari-lari

mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak saudaranya itu tidak

mendapat apa-apa kecederaan. Oleh kerana keberaniannya, Raja Tua telah

menurunkan semua harta pusaka kepada anak saudara perempuannya itu.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima

kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para

hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan

sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang

Tamak.

Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni

rimba bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada

baginda. Binatang-binatang dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa.

Masing-masing membawa permintaan. Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh

baginda.

Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa

tamak di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada

sekarang. Aku tidak mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan

tujuh kali sehari. Kalau aku dapat makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan

lebih kuat daripada Singa.”

Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja

Singa.

“Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak

engkau?” Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya

berdebar-debar.

“Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.

“Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.


“Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.

“Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan

permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh hari sekali,”

kata Singa.

Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak

mengatakan tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. “

Tuanku…Patik…Patik…”

“Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh

mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta

kabulkan.

Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah

sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah

kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para

hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan

sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Ampai-ampai

Dan Puteri Laut.

Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat setia kepada

rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah ditugaskan oleh raja untuk

menjaga puteri baginda yang sangat cantik.

Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai bersama

beberapa orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar yang dimiliki oleh

seorang putera raja yang kacak telah berlabuh di tepi pantai itu. Putera raja

terpesona melihat kecantikan puteri Raja Laut. Puteri Raja Laut pun demikian

juga apabila terlihat putera raja yang gagah perkasa dan kacak itu.

Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki kapalnya yang

sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada dayang-dayangnya, puteri

itu pun naik ke kapal putera raja. Putera raja mengerahkan kelasi-kelasinya

supaya menaikkan layar dan segera belayar meninggalkan pantai itu.

Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke pantai

tetapi kapal itu sudah pun meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun pulang ke

istana lalu menceritakan kejadian itu kepada Raja Laut.


Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu lalu

memukul tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya. Setelah itu

Raja Laut menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.

“Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada beta,”

titah baginda.

Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut pada

ranting-ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai tidak bertulang

hingga sekarang ini dan sepanjang masa tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi

air. Kononnya, dia akan menunggu di tempat begitu sehingga Puteri Raja Laut itu

lalu di situ dan pulang kepada ayahandanya. Demikianlah kawan-kawan

berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai