Anda di halaman 1dari 3

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif

lagi bijaksana, guru besar, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.

Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada arnab-
arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya pula
tersusun rapi dan putih berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam
hutan itu selalu memuji kecantikan gigi arnab ini.
Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin
sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-
kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh kerana tiada
sesiapa lagi yang suka berbual dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.
Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak seekor buaya
sedang berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu.
“Hai Arnab, cantik sungguh gigi ! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah pasti
aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh
gembira kerana sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi.
Arnab berasa bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau
mesti banyak makan sayur-sayuran dan jangan makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau tolong
periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi. Tanpa berfikir
panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu.
Tanpa berlengah-lengah lagi, buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu.
Maka tamatlah riwayat arnab yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu.

Pengajaran cerita ini ialah kita hendaklah bertindak bijak supaya tidak
mudah terperdaya dengan kata-kata manis yang bakal mengancam nyawa kita.
Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, guru besar, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan
sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Penerbang kayu
dengan Anaknya.

Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin . Penebang
kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi uzur dan seorang anak. Pada
suatu hari, penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya ke dalam hutan
dan membiarkannya tinggal di situ.
“Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang ayah?” tanya
isteri penebang kayu.
“Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk menghabiskan sisa-
sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak sedar
bahawa percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk membeli sebuah bakul
yang besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan
bapanya ke dalam bakul tersebut.
“Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
“Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa sibuk.
Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan dijaga
dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut. Orang tua itu
berasa sedih dan mengerti maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul
ayahnya berjalan ke arah hutan.
Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak
penebang kayu itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
“Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
“Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua kelak,
saya akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk sambil
berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun membawa ayahnya pulang bersama”
Pengajaran cerita ini ialah kita haruslah taat kepada ibu bapa dan sentiasa
mengenang jasa baik mereka yang membesarkan kita. Sekian, terima kasih.
Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru besar, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.

Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni rimba
bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada baginda.
Binatang-binatang dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa. Masing-masing
membawa permintaan. Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.
Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa tamak
di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada sekarang.
Aku tidak mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari.
Kalau aku dapat makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada
Singa.”
Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja Singa.
“Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak engkau?”
Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya berdebar-debar.
“Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.
“Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
“Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
“Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan permintaan
engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh haru sekali,” kata Singa.
Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak mengatakan
tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali.
Maharaja Singa berkata:“Tiap-tiap binatang hanya boleh mengemukakan satu
permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta kabulkan.”
Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah
sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya.

Pengajaran cerita ini ialah kita haruslah bersyukur dan tidak bersikap
tamak terhadap apa yang kita perolehi sekarang. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai