Anda di halaman 1dari 3

Salam Sejahtera kepada barisan Hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia

dengan masanya, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Salam sejahtera, pembuka bicara,


“Kisah Seuncang Padi” tajuk cerita,
Mari renungi sedalam-dalamnya,
Semoga menjadi teladan kepada semua.

Di dalam sebuah kampung, tinggal sepasang suami isteri yang sangat miskin iaitu
Pak Abu dan isterinya Mak Milah. Mereka selalu menyalahkan nasib mereka yang miskin.
Orang-orang kampung menyara kehidupan mereka dengan bercucuk-tanam tetapi
malangnya Pak Abu dan isterinya malas bekerja. Mereka lebih suka membuang masa.

Bungkus nasi dengan palas,


Disusun elok di atas meja,
Buang segera sifat malas,
Lekas bangkit, terus bekerja.

Saban hari mereka berdua akan meminta bantuan makanan daripada jiran-jiran.
Mereka tidak tahu malu sehingga ada di antara jiran tidak mahu membantu mereka lagi.
Oleh kerana sikap mereka yang pemalas, kehidupan mereka menjadi bertambah susah.
Ada kalanya mereka tidak dapat makan dan tidur dengan lena bak kata pepatah, bekerja
mengeluh, makan pun berkeluh.

Kawan-kawan nak tahu apa yang terjadi seterusnya?

Pada suatu malam, muncullah seorang perempuan tua yang bongkok di hadapan
pintu rumah mereka. “Tok tok tok tok, bunyi pintu diketuk. “Bolehkah saya masuk?” tanya
perempuan tua itu. “Silakanlah,” jawab Pak Abu menjemput perempuan tua itu masuk ke
dalam rumah mereka.

1
Perempuan tua itu meminta sedikit makanan kerana terlalu lapar namun mereka
tidak mempunyai apa-apa makanan untuk diberikan kepada perempuan tua itu.
Perempuan tua itu memandang keadaan rumah suami isteri itu yang usang.

“Adakah kamu ingin menjadi orang yang kaya?” tanya perempuan tua itu. Mereka
mengangguk-angguk kegembiraan apabila mendengar kata perempuan tua itu.

Perempuan tua itu menyeluk gendongan kain buruk lusuh yang dibawanya. Kedua-
dua mereka melihat sahaja kelakuan perempuan tua itu. Pada fikiran mereka, tentulah
perempuan tua itu akan mengeluarkan sebongkah emas.

Cuba kawan-kawan teka, apa yang diberikan oleh perempuan tua itu kepada mereka?

“Nah, ambillah uncang ini. Insya Allah ia boleh menjadikan kamu kaya,” kata
perempuan tua itu. “Pagi esok kamu taburlah isi uncang ini di belakang rumah. Sudah
pasti kamu akan menjadi kaya-raya,” pesan perempuan tua itu sebelum pulang.

Pada keesokan harinya, mereka telah membuka uncang tersebut. Mereka berasa
kecewa kerana dalam uncang itu hanyalah padi kering. Tanpa berlengah-lengah lagi,
mereka menaburkan padi itu di belakang rumah.

Tidak lama kemudian, anak padi mulai tumbuh. Alangkah terkejutnya mereka,
apabila padi itu berbuah dan menguning. Setelah padi masak, mereka pun menuainya.
Dua tiga musim menabur dan menuai padi akhirnya padi mereka menjadi banyak.
Semenjak hari itu, kehidupan Pak Abu dan isterinya tidak lagi miskin. Mereka telah
menjadi kaya dengan menjual padi. Mereka sering membantu dan memberi makan
kepada penduduk kampung yang miskin.

Lama kelamaan sikap Pak Abu dan Mak Milah mula berubah, mereka menjadi
tamak dan tidak suka bersedekah kepada orang yang susah atau miskin. Sebaliknya,
mereka mengambil kesempatan untuk merampas harta penduduk kampung.

2
Kawan-kawan tahu apa kesudahan cerita ini?
Ya kawan-kawan,

Pada malam itu mereka suami isteri tidur dengan nyenyak. Tanpa menduga apa
yang akan terjadi keesokannya. Tiba-tiba, setelah terbangun daripada tidur mereka
mendapati semua pokok padi telah layu dan mengering. Tiada lagi pokok padi yang dapat
dituai untuk dijual. Akhirnya semua pokok padi telah mati. Kesemua harta benda mereka
terpaksa dijual bagi menampung kehidupan akibat tiada lagi pokok padi yang
membuahkan hasil. Pada masa itu, barulah Pak Abu dan isterinya menyesal dan insaf
dengan perbuatan buruk dan tamak mereka. Malangnya nasi sudah menjadi bubur, sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Hiduplah mereka dalam kemiskinan
semula.

Kawan-kawan,
Dari cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua tiga pengajaran:

1. Kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Jangan tamak
dan haloba. Jangan suka meminta-minta kerana tangan yang memberi lebih mulia
daripada tangan yang menerima.

2. Kita perlu rajin berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan apabila kita telah
kaya jangan lupa menderma atau bersedekah kepada fakir miskin. Bak kata pepatah
Melayu, kalau dapat memandang bulan, jangan lupa rumput di bumi.

3. Kita jangan lupa tentang asal-usul sendiri terutama apabila telah menjadi kaya.

Ingat kawan-kawan, dalam hidup kita,


Rajinlah usaha jika mahu berjaya,
Tamak dan haloba kita jauhinya,
Syukur dengan apa yang dikurnia-Nya.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai