Anda di halaman 1dari 3

Selamat sejahtera .

Terima kasih tuan pengerusi majlis, yang saya hormati


para hakim yang bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Saya
ingin menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “Seuncang Padi”.

Pada zaman dahulu, sepasang suami isteri yang sangat miskin tinggal
di sebuah kampung iaitu Pak Abu dan isterinya Mak Milah. Mereka selalu
menyalahkan nasib mereka yang miskin. Orang-orang kampung menyara
kehidupan mereka dengan bercucuk-tanam tetapi malangnya Pak Abu dan
isterinya malas bekerja. Mereka lebih suka membuang masa. Siang dan
malam kerja mereka hanya tidur dan duduk-duduk sahaja di rumah tanpa
melakukan sebarang pekerjaan. Mereka berpendapat tiada gunanya mereka
bekerja keras kerana mereka sudah ditakdirkan menjadi orang miskin.

Kawan-kawan nak tahu apa terjadi seterusnya?

Pada suatu malam, muncullah seorang nenek tua di hadapan pintu


rumah mereka.

Tok, tok, tok. (Suara mengetuk pintu)

“Bolehkah saya masuk?” tanya nenek tua itu.

“Silakanlah,” jawab Pak Abu. Nenek tua itu meminta sedikit


makanan kerana terlalu lapar tetapi malangnya mereka tidak ada apa
makanan yang boleh diberikan kepada nenek tua itu. Nenek tua itu
memandang keadaan rumah suami isteri itu sambil menggeleng kepala.
Tambahan pula, rumah suami isteri itu sangat usang dan hampir
menyembah bumi.

“Adakah kamu ingin menjadi orang yang kaya?” tanya nenek tua
itu. Mereka mengangguk-angguk kegembiraan apabila mendengar kata
nenek tua itu. Nenek tua itu tersenyum dengan wajah bersinar melihat ada
harapan suami isteri itu akan mengubah nasib mereka. Nenek tua itu
menyeluk saku bajunya yang lusuh. Kedua- dua mereka melihat sahaja
kelakuan nenek tua itu. Pada pendapat mereka, tentulah nenek tua itu akan
mengeluarkan sebongkah emas.

Cuba kawan-kawan teka, apa yang diberikan oleh nenek tua itu kepada
mereka?

“Nah, ambillah uncang ini. Semoga ia boleh menjadikan


kamu kaya,” kata nenek tua itu. “Pagi esok kamu taburlah isi uncang ini
di belakang rumah. Sudah pasti kamu akan menjadi kaya-raya. Tetapi
dengan syarat, kamu tidak boleh membuka uncang ini sehingga keesokkan
pagi ” pesan nenek tua itu sebelum pulang. Pak Abu dan Mak Milah
tertanya-tanya apakah isi yang terdapat dalam uncang tersebut. Sepanjang
malam, tidur mereka tidak lena kerana asyik memikirkan uncang tersebut.

Pada keesokan harinya, mereka telah membuka uncang tersebut.


“Apa? Padi kering!” jerit Mak Milah. Mereka berasa kecewa kerana dalam
uncang itu hanyalah padi kering tiada emas mahupun batu permata yang
berharga. Walau bagaimanapun, Pak Abu dan Mak Milah masih berfikiran
positif dan tidak berputus asa. Mereka berharap padi kering ini dapat
memberikan manfaat bagi kehidupan mereka.

Tanpa berlengah-lengah lagi, mereka menaburkan padi itu di


belakang rumah. Tidak lama kemudian, anak padi mulai tumbuh.
Alangkah terkejutnya mereka, apabila padi itu berbuah dan menguning.
Setiap batang memiliki tangkai yang dipenuhi dengan biji padi. Sejak itu,
mereka mulai rajin bekerja. Setiap hari mereka membersihkan tanaman
padi itu daripada gangguan serangga perosak.

Setelah padi masak, mereka pun menuainya. Dua tiga musim


menabur dan menuai padi, akhirnya padi mereka menjadi semakin banyak.
Semenjak hari itu, kehidupan Pak Abu dan isterinya tidak lagi miskin.
Mereka telah menjadi kaya dengan menjual padi.

“Aku sudah jadi kaya sekarang! Ha ha ha…” kata Pak Abu.

Selepas menjadi kaya, harta mereka tidak pernah habis, semakin


hari harta mereka semakin bertambah.

Namun bagitu, sikap Pak Abu dan isterinya, Mak Milah mula
berubah. Mereka menjadi tamak dan tidak suka bersedekah kepada orang

yang susah atau miskin. Sebaliknya, mereka mengambil kesempatan


untuk merampas harta penduduk kampung. Mereka rasa kemewahan
mereka masih tidak cukup. Bagi mereka, sekiranya mereka membantu
penduduk kampung yang miskin, harta mereka semakin hari semakin
berkurangan.

Kawan-kawan, apakah kesudahan cerita ini?

Ya kawan-kawan, tanpa menduga apa yang akan terjadi


keesokannya. Suatu hari, setelah terbangun daripada tidur mereka
mendapati semua pokok padi telah layu dan mengering. Tiada lagi pokok
padi yang dapat dituai untuk dijual. Lama- kelamaan semua pokok padi
telah mati. Kesemua harta benda mereka terpaksa dijual bagi menampung
kehidupan mereka.

Pada masa itu, barulah Pak Abu dan Mak Milah menyesal dan insaf
dengan perbuatan buruk dan sifat tamak mereka. Malangnya nasi sudah
menjadi bubur, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Hiduplah mereka dalam kemiskinan semula. Ingatlah kawan-kawan, kita
hendaklah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan.
Jangan tamak dan haloba.

Bak kata pepatah Melayu: Jika mendongak bintang di langit,


jangan lupa rumput di bumi. Kita jangan lupa tentang asal-usul sendiri
terutama apabila telah menjadi kaya.

Ingatlah kawan-kawan.

Jangan suka meminta-minta kerana tangan yang memberi lebih


mulia daripada tangan yang menerima. Rajinlah berusaha untuk mencapai
kejayaan dalam hidup dan apabila kita telah kaya jangan lupa menderma
atau bersedekah kepada fakir miskin.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai