Anda di halaman 1dari 2

1. Bismillahirahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam perpaduan dan salam 1Malaysia. Terima kasih Pengerusi Majlis.

Yang Berbahagia Encik Muhammad b. Hashim, Yang Dipertua PIBG, Yang Berbahagia Tuan Haji Nashan bin Singgan, Pengetua SMK Kampong Jawa, Yang Berusaha Puan Latipah binti Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum, guru-guru serta para pelajar yang saya kasihi sekalian.

2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana mengundang saya ke Majlis Penyampaian Hadiah sempena Minggu Bahasa 2013. Aktiviti yang dijalankan ini amat berfaedah kepada pelajar-pelajar untuk menyerlahkan bakat dan potensi masing-masing. Semoga aktiviti yang bermakna ini dapat dijadikan asas permulaan bagi menjana modal insan gemilang dan terbilang.

3. Guru-guru dan pelajar yang dikasihi sekalian, Peranan guru amat penting dalam membentuk dunia seseorang pelajar. Peranan guru sebagai pendidik, pembimbing dan rakan kepada pelajar berupaya meyakinkan seseorang pelajar terhadap masa depannya. Jika pelajar diberikan keyakinan diri, kepercayaan dan sokongan untuk berfikiran positif tentang diri dan masa depannya, maka laluan yang ada akan menjadi lebih mudah, tetapi jika pelajar ini sering diperlekeh dan dipandang rendah, maka kita akan menjadikannya seorang yang sangat lemah dan sukar menghadapi cabaran hidup pada masa depan.

4. Namun, pada masa yang sama, pelajar sendiri harus bijak menggunakan peluang yang ada. Kita harus bijak mendapatkan maklumat dan paling penting berminat dengan ilmu pengetahuan untuk melihat dunia masa depan yang luas terbentang. Yang terbaik hanya dapat diperoleh melalui kerja keras. Yang terbaik hanya dapat dicapai melalui usaha berterusan memanfaatkan apa-apa sahaja yang ada di hadapan kita.

5. Itulah sebenarnya yang saya percaya dan yakini selama ini, bahawa kita boleh berjaya selagi kita berusaha. Biar sehebat mana pun sekolah tidak akan mampu mengubah kita dan masa depan yang akan kita tempuhi jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Saya fikir SMK Kampong Jawa bukan sahaja bertunjangkan kepada kekuatan guru-gurunya, tetapi bergantung kepada komitmen dan jiwa pelajar yang berada di dalamnya untuk mengukir kejayaan yang diingini.

6. Guru-guru dan pelajar yang saya hormati sekalian, Saling menghormati, saling menyayangi dan saling berganding bahu perlu untuk mencapai kehidupan yang lebih baik untuk masa depan kita semua. Orang luar akan melihat dan menghormatinya, bukan hanya kita yang melihat orang luar dan mencontohi mereka. Malangnya, kita sering melihat kejayaan di luar, dan cuba mencontohinya kerana fikir itulah yang terbaik, sedangkan kita lupa, kita ada nilainilai yang lebih baik untuk dicontohi dan dikagumi oleh orang lain di luar sana.

7. Akhir sekali, terima kasih kerana memberikan penghormatan ini kepada saya. Saya berharap agar SMK Kampong Jawa akan terus menjadi pemangkin untuk membangunkan generasi Malaysia yang berdaya saing, berilmu tinggi, dihormati dan disegani. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah sempena Minggu Bahasa 2013.

8. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai