Anda di halaman 1dari 1

Berdasarkan artikel Jan De Lange (1999), terdapat enam standard yang telah ditetapkan oleh NCTM bagi seseorang

guru melakukan pentaksiran. Penekanan utama dalam standard-standard tersebut adalah prinsip-prinsip dalam pentaksiran. Namun apa yang lebih penting adalah peranan guru dalam proses pentaksiran tersebut, dimana seorang guru matematik perlu membuat analisis yang berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui pemerhatian, pendengaran dan pengumpulan maklumat lain tentang pelajar untuk menilai apa yang telah mereka pelajari. Selain itu, guru matematik juga boleh menganalisis kesan tugas, wacana, dan persekitaran pembelajaran terhadap pengetahuan matematik pelajar. Analisis yang berterusan adalah penting dalam usaha untuk mencapai beberapa tujuan yang telah ditetapkan oleh NCTM antaranya termasuklah memastikan pembelajaran matematik yang mantap dan signifikan dapat dihasilkan seterusnya meningkatkan kecenderungan positif pelajar terhadap matematik. Selain itu, analisis yang dilakukan dapat mengembangkan idea pelajar dan menyesuai serta mengubah aktiviti pengajaran. Guru matematik juga dapat mengesan kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Dengan itu, perubahan terhadap aktiviti pengajaran di dalam kelas perlu dilakukan melalui perancangan jangka pendek dan jangka panjang iaitu dengan memilih aktiviti yang sesuai untuk laksanakan sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran. Selain itu, NCTM juga telah menggariskan bahawa analisis ini adalah membolehkan penerangan mengenai pembelajaran pelajar dapat diberikan kepada ibubapa, pentadbir dan pelajar itu sendiri agar tindakan yang selanjutnya dapat diambil dalam usaha untuk memperbaiki kelemahan pelajar tersebut. Oleh itu, analisis terhadap pengajaran dan pembelajaran ini boleh dilakukan samada secara lisan ataupun bertulis. Analisis secara lisan adalah melalui sesi soaljawab dan temuramah dengan pelajar. Manakala analisis secara bertulis pula melibatkan tiga proses penting iaitu proses pengujian, penaksiran dan penilaian. Melalui kaedah ini, guru matematik dapat membuat penelitian terhadap pencapaian pelajar secara menyeluruh seterusnya membuat analisis secara terperinci terhadap keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa pentaksiran dan penilaian adalah sesuatu yang sememangnya sudah sebati dengan guru-guru dan ianya amat wajar untuk diimplikasikan mengikut standard yang telah dikemukakan oleh NCTM. Hal ini adalah kerana enam standard tersebut secara tidak langsung telah memberikan definisi pentaksiran yang lebih menyeluruh dan ianya sangat sesuai diimplikasikan dalam pengajaran guru. Selain memberi panduan asas kepada guru dalam menentukan prinsip yang sesuai dalam pentaksiran, standard-standard tersebut juga telah memperhalusi aspek-aspek yang perlu diberi perhatian oleh guru-guru dalam melaksanakan pentaksiran di sekolah. Keadaan ini sekaligus akan membantu guru untuk melaksanakan pentaksiran dengan lebih berkesan dan secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Anda mungkin juga menyukai