Anda di halaman 1dari 3

Minda: KSSR bakal lahir minda kelas

pertama


PENDIDIKAN masih lagi menjadi bidang utama negara bagi membangunkan modal insan
pada masa depan. Pembangunan bidang ini dengan pelbagai rancangan baru akan dapat
membangunkan akal, hati dan jiwa manusia khususnya remaja bagi menghadapi dan
melengkapkan diri ke arah negara maju.
Menjelang pembukaan sekolah sesi pertama penggal persekolahan 2011, Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan pelbagai perancangan baru bertujuan
membangunkan modal insan. Hanya melalui pendidikan di sekolah semua perancangan ini
dapat direalisasikan.

Lebih 500,000 pelajar baru akan memasuki tahun satu menjelang tahun depan dengan KPM
memperkenalkan kurikulum baru iaitu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama diperkenalkan.
Antara mata pelajaran baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual selain Bahasa
Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab yang akan diperkenalkan pada tahap satu.
Seramai 126,171 guru sekolah rendah berperanan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P)
bagi melaksanakan KSSR. Tanggungjawab ini sangat penting khususnya kepada guru-guru
yang seharusnya memahami aspirasi dan tujuan pelaksanaan serta matlamat KSSR.

Hanya melalui bidang pendidikan, modal insan berkualiti dapat diwujudkan iaitu mereka
yang berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai
status negara maju berpendapatan tinggi.

Bagi pelaksanaan kurikulum di sekolah menengah seramai 279,545 guru berperanan
mewujudkan pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
Oleh itu, kerajaan sangat menitikberatkan aspek pendidikan dan latihan yang disusun semula
dan diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Melalui Pembentangan Bajet 2011, tidak lama dulu sistem pendidikan negara khususnya
berkaitan dengan kurikulum akan dirombak dan diperbaiki dengan memberi penekanan
kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing.
Untuk itu, KPM diperuntukkan RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah,
asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru. Di samping itu,
sejumlah RM213 juta lagi diperuntukkan kepada sekolah berprestasi tinggi selain imbuhan
kepada guru cemerlang.

Pembangunan insan mestilah bermula di peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat
dipupuk dengan nilai-nilai murni dan nilai moral yang baik serta disemai dengan ilmu
pengetahuan dan kemahiran di peringkat sekolah.

Pemantapan kurikulum juga diadakan dengan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). Melalui mata pelajaran ini pelajar di
sekolah rendah dan menengah diajar mengenai pendidikan kesihatan diri dan pendidikan
kesihatan berkaitan seks.

Statistik KPM pada 30 Jun 2010, bilangan sekolah rendah sebanyak 7,695 buah, manakala
sekolah menengah 2,248. Sementara bilangan murid sekolah rendah dan menengah ialah
5,407,865 orang. Ini membuktikan betapa besarnya bilangan modal insan yang akan
dibangunkan pada masa depan.

Tanggungjawab dan peranan guru di setiap sekolah adalah melaksanakan kurikulum dan
kokurikulum yang diperkenalkan oleh KPM. Selain itu, guru juga akan menghadapi masalah
disiplin pelajar. Pada masa ini, hanya tiga peratus daripada keseluruhan pelajar terbabit dalam
masalah salah laku disiplin sepanjang 2009.

Masalah tersebut ialah terbabit jenayah, ponteng sekolah, kelakuan kurang sopan, kekemasan
diri, tidak mementingkan masa, kelucahan, vandalisme dan kenakalan. Masalah ini walaupun
masalah biasa di sekolah tetapi ia harus ditangani dengan bijaksana oleh guru bagi
melahirkan pelajar cemerlang.

Penguatkuasaan di sekolah serta kaunseling dan bimbingan akhlak sangat penting kepada
pelajar yang bermasalah kerana melalui masalah tersebut ia menjadi punca pelajar terbabit
kegiatan negatif seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi.

Peranan ibu bapa dan guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat menyekat dan
mengekang kegiatan tersebut daripada menular dalam kalangan pelajar di sesebuah sekolah.
Perluasan penggunaan sistem salah laku disiplin murid (SSDM) dan e-Disiplin bagi
meningkatkan pemantauan masalah ini.

Kejayaan sesebuah sekolah dalam bidang akademik banyak bergantung pada masalah disiplin
yang terkawal. Jika keadaan disiplin pelajar tidak terkawal berkemungkinan P&P di dalam
kelas tidak dapat ditumpukan dengan sepenuh perhatian.

Pelbagai program boleh dilakukan sekolah dengan kerjasama jabatan dan kementerian
antaranya kursus pembinaan sahsiah dan jati diri pelajar bermasalah, kursus penguatkuasaan
peraturan dan undang-undang bagi guru serta pengawas bagi mengawal masalah disiplin dan
salah laku pelajar menjelang 2011.

Falsafah pendidikan jelas memaparkan ke arah pemantapan akhlak mulia dan pembersihan
rohani dan jasmani. Keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat penting kepada
setiap pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang.

Justeru, setiap guru berperanan menekankan aspek pendidikan dengan membimbing dan
membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan
peradaban insan di kalangan pelajar.

Semoga, tahun 2011 akan menjanjikan perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan di
negara ini, khususnya bagi melahirkan modal insan yang beriman, berakhlak dan mempunyai
jati diri yang unggul. Hanya di bahu merekalah kepimpinan negara pada masa depan terpikul
dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana.
> Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu.

Anda mungkin juga menyukai