Anda di halaman 1dari 8

Bahagian B: Penulisan (40%)

Apakah itu seni? Sebenarnya, seni adalah perkataan yang merujuk kepada
hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani
dan rohani individu dan juga golongan belia. Malahan, seni juga boleh ditafsirkan
sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta
pengetahuan yang nyata (Martin, 1986 : 12). Hauser dalam tulisannya ada
mengatakan bahawa seni adalah komunikasi (1959). Daripada sudut pendidikan
pula, seni boleh dikaitkan dengan bidang-bidang pendidikan digabungkan dengan
nilai estetika seni agar penyampaian sesuatu maksud dapat dipermudahkan serta
menjadi lebih menarik. Secara keseluruhannya, ini dapat dijadikan sebagai
gambaran yang lebih jelas tentang maksud Seni Dalam Pendidikan.
Secara lazimnya, Seni Dalam Pendidikan (SDP) adalah bidang yang
menumpukan kepada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan tanpa merujuk
kepada bidang seni lain seperti seni sastera, seni teater, seni fotografi atau seni
mempertahankan diri. Seni Dalam Pendidikan diperkembangkan dalam diri murid
untuk menajamkan lagi instuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi mereka.
Sekiranya, murid-murid diberi peluang untuk menggunakan pancaindera mereka
yang tidak ternilai harganya untuk meningkatkan kreativiti, sensitiviti serta daya
imaginasi dalam pembelajaran mereka, tidak mustahil untuk mereka mencapai
matlamat untuk menjadi individu yang berjiwa kreatif, inovatif dan mempunyai nilai
jati diri yang tinggi.
Terdapat beberapa para ilmuwan yang memberi pandangan positif bahawa
subjek Seni Dalam Pendidikan dapat memberi manfaat-manfaat dari segi jangka
masa panjang dalam membangunkan sahsiah dan jati diri murid-murid. Antaranya,
ialah Teori Konstruktivisme yang diperkenalkan oleh Jean Piaget. Teori
Konstruktivisme menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar melalui pembelajaran
secara meneroka, bereksperimen dan mengolah bahan atau objek akan dapat
mengekspresikan idea secara bebas dan kreatif, kerana adanya unsur-unsur seni
dalam pendidikan dalam pembelajaran mereka. Herman (1991), di dalam Quadrant
Concept menyatakan bahawa seni dapat membantu pemikiran rasional dan intiutif
seseorang individu.

Selain Jean Piaget, Howard Gardner dalam Teori Kecerdasan Manusia
(1983) mengutarakan terdapat tujuh jenis kecerdasan yang seharusnya disuburkan.
Pengabungan kesuburan dapat menangani masalah penyuburan kecerdasan minda
kanak-kanak seterusnya dapat menjana kecerdasan minda murid yang lebih
menyeluruh. Howard Gardener juga berpendapat bahawa pendekatan yang
berintegrasi terhadap pelbagai jenis kecerdasan memudahkan penerimaan
pemikiran murid kepada yang lebih kreatif.
Berdasarkan pandangan daripada para ilmuwan yang telah disebutkan di atas
tadi, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Seni Dalam Pendidikan mempunyai
kepentingan dalam bidang pendidikan. Antara kebaikan atau kesan-kesan positif
yang dapat diperolehi menerusi subjek Seni Dalam Pendidikan ialah seperti berikut.
Pertama sekali, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih
seronok. Ini adalah kerana pengintegrasian ketiga-tiga mata pelajaran seni akan
dapat menarik minat murid. Menurut Russel (1968), matlamat guru sekolah rendah
dalam pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan
kemahiran memerhati, sensitif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstur dan
irama. Dengan pengisian yang berlandaskan dengan intipati matapelajaran seni
dalam kelas, murid-murid akan mempunyai inisiatif dan semangat inkuiri yang lebih
tinggi untuk melibatkan diri dalam pembelajaran yang terdiri daripada berbagai-bagai
kemahiran yang disediakan oleh guru. Rentetan itu, mereka dapat menjadi individu
yang menggunakan idea dan kreativiti mereka dengan bebas.
Sebagai contoh, semasa mengajar sesuatu skil atau kemahiran mendengar
dan bercakap dalam subjek Bahasa Inggeris iaitu melalui lagu Old Mac Donalds
Had A Farm, kanak-kanak akan membuat pergerakan dan bunyi seperti haiwan-
haiwan yang terdapat dalam lagu semasa menyanyi lagu tersebut. Menerusi aktiviti
sebegini, kita akan dapat melihat berbagai gaya yang dipersembahkan oleh murid,
samada seperti terbang, berjalan, melompat, makan atau sebagainya. Seterusnya,
pendedahan tersebut dapat dikukuhkan lagi dengan menyuruh kanak-kanak
menghasilkan gambar atau mewarnakan gambar-gambar haiwan seperti itik, lembu,
ayam, kambing dan lain-lain. Semasa pembelajaran ini, kanak-kanak akan dapat
membina konsep kendiri dalam kumpulan rakan sebaya.

Secara tidak langsungnya, aktiviti Seni Dalam Pendidikan akan
menggalakkan murid-murid untuk bekerjasama. Aktiviti berkelompok yang
menggalakkan mobiliti murid-murid akan menuntut setiap individu untuk bergerak
dari satu tempat ke tempat yang lain dan berinteraksi untuk mencapai kejayaan
bersama. Antara aspek-aspek yang terdapat dalam Seni Dalam Pendidikan
merangkumi aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi
sosial yang terjalin melalui deria sentuh.
Tambahan pula, John Dewey (1919), menyatakan ,pendidikan adalah satu
proses untuk mengembangkan kecerdasan manusia, sekolah seharusnya memberi
kanak-kanak kebebasan untuk perkembangan fizikal, emosi dan intelektual iaitu
kebebasan untuk melatih kecerdasan melalui seni. Seni yang dimaksudkan dalam
konteks ini adalah seni visual, seni muzik dan seni pergerakan.
Keberkesanan fungsi mata pelajaran seni visual, seni muzik dan seni
pergerakan boleh dipermantap dengan menjadikannya sebagai medium untuk
pengajaran secara penerokaan, pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir
secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah dan merangsang pembinaan
keyakinan diri dan imej kendiri yang utuh. Dengan adanya proses pembelajaran Seni
Dalam Pendidikan murid akan lebih mudah untuk menerima kemahiran
pembelajaran yang diajar oleh guru selari dengan perkembangan diri mereka. Dalam
kaedah pengajaran inkuiri penemuan, murid-murid diberi peluang untuk meneroka
dan mencari sendiri jawapan kepada permasalahan. Senario ini sememangnya
menggalakkan murid-murid untuk berdikari dan dibantu oleh guru pada masa
tertentu. Secara langsung, emosi mereka akan berkembang dan begitu juga dengan
sosial bila murid-murid ini berinteraksi sesama rakan sebaya dan guru.






Dengan penyelitan Seni Dalam Pendidikan dalam kurikulum sekolah rendah,
pengajaran dan pembelajaran akan menjadi menyeronokkan dan penglibatan murid
juga bertambah baik dan secara langsungnya, guru-guru akan menjadi lebih
bersemangat dan kreatif untuk merancang persediaan untuk pengajaran mereka di
mana pengajaran yang dirancang akan lebih mencabar serta mengutamakan
perkembangan intelek, emosi, psikomotor dan kematangan murid. Sekaligus ini
menjadi pemangkin kepada guru-guru untuk meneroka dan menguasai kemahiran-
kemahiran baru yang sesuai dengan pencapaian murid-murid. Dengan terbinanya
persekitaran pembelajaran yang holistik, guru-guru juga akan dapat meningkatkan
profesionalisma dalam kerjaya mereka. Justeru, wawasan negara untuk melahirkan
masyarakat Malaysia yang cemerlang, berilmu dan mantap dari segi sahsiah pada
tahun 2020 pasti akan berjaya.
Di samping itu, subjek Seni Dalam Pendidikan juga membolehkan murid-
murid meluahkan perasaan dan meningkatkan keyakinan diri. Guru yang prihatin
terhadap suasana dalam kelas sememangnya dapat mengenalpasti dan
membezakan antara perasaan baik dan buruk yang dipamerkan oleh murid. Sebagai
contoh, subjek SDP memberi murid peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang
boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan
membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Aktiviti seperti
tarian boleh membina keyakinan murid kerana kebiasaannya, tarian akan
dipersembahkan di hadapan khalayak orang ramai. Lama-kelamaan, murid dapat
melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain
terhadap dirinya.
Untuk pengetahuan umum, subjek SDP merangkumi bab-bab seperti irama,
warna dan juga pergerakan yang merupakan elemen-elemen yang sentiasa wujud di
sekeliling murid-murid. Komponen-komponen ini sangat signifikan dalam melengkapi
kriteria-kriteria psikologi untuk membentuk murid-murid yang seimbang daripada
segi emosi dan intelek.



Warna dalam kelas dapat menyediakan persekitaran yang selamat,
menggalakkan pemprosesan secara visual, mengurangkan stres dan mencabar
minda melalui stimulasi visual, perhubungan dan corak. Stimulasi visual sebenarnya
memberikan nafas baru kepada otak, membolehkannya mewujudkan
perhubungkaitan yang lebih mantap di samping memupuk pemikiran visual,
penyelesaian masalah, dan kreativiti (Simmons, 1995). Warna-warna haruslah
diturutsertakan dalam pengajaran dan pembelajaran dan tidak semestinya melalui
subjek Seni Dalam Pendidikan sahaja untuk merangsang aktiviti-aktiviti otak, tetapi
harus diingatkan bahawa penggunaan lebih daripada enam jenis warna boleh
menjadi pengganggu dan menjejaskan kebolehan kognitif minda dan berlakunya
kecelaruan atau kekeliruan.
Faily (1979) dalam kajiannya telah merekokan bahawa stimulasi
menggunakan warna panas dan pencahayaan yang terang akan meningkatkan
ketegangan otot, kadar pernafasan, aktiviti jantung, tekanan darah dan aktiviti otak
manakala warna sejuk dan pencahayaan yang malap akan memberikan kesan yang
sebaliknya seperti otot dalam keadaan berehat. Oleh itu, elemen warna dalam
subjek Seni Dalam Pendidikan sememangnya dapat diaplikasikan dalam
persekitaran pembelajaran agar murid-murid dapat merasai proses pengajaran dan
pembelajaran pada tahap optimum di samping merealisasikan hasrat-hasrat semua
individu.
Bukan itu sahaja, irama dikatakan sebagai elemen pelengkap dalam seni
muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai sesuatu atau rentak yang berlaku secara
berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama
yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk
mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan seharian, kita
semestinya akan menemui pelbagai irama. Sebagai contohnya, bunyi tapak kaki,
bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di sinki dan sebagainya. Semua ini
merupakan irama yang wujud disekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan
ianya berlaku setiap masa. Murid-murid juga mampu menghasilkan irama mereka
sendiri. Ini dapat dilihat ketika mereka melakukan sorakan dan tepukan, berkawad,
mengetuk meja dan sebagainya. Kepelbagaian irama yang dihasilkan tersebut akan
menghasilkan muzik yang menarik. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan
sebagai sesuatu susunan sesuatu corak yang berulang, susunan sekata yang
mewujudkan pergerakan.
Sebagai bakal guru, saya mestilah peka dah prihatin terhadap gaya
pembelajaran murid-murid saya. Contohnya, murid-murid yang lebih menggemari
pembelajaran menerusi pergerakan tergolong dalam kumpulan individu yang
memiliki kecerdasan kinestetik. Golongan ini kebiasaannya lebih mudah memahami
dan belajar sesuatu kemahiran dalam bentuk irama sewaktu mereka melakukan
aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan
sebagainya. Irama dapat meransang minda murid-murid untuk memberikan tumpuan
sepenuhnya kepada apa yang sedang dilakukan. Irama dan rentak merupakan
gandingan yang sangat penting dalam elemen muzik dan ketiadaan irama dalam
sesebuah aktiviti akan menyebabkan murid-murid tidak bersemangat. Murid-murid
juga akan didedahkan kepada pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan
menarik apabila wujudnya tindakbalas murid-murid tersebut dengan muzik atau
irama yang mereka dengar.
Sebenarnya, saya benar-benar berminat tentang bagaimana aspek fizikal
yang berhubungkait dengan ruang pembelajaran dapat memberi impak ke atas
proses pembelajaran Berdasarkan artikel Teaching and Learning in the Digital Age,
kini, ramai sekolah di Victoria, Australia yang telah membelanjakan duit berjuta-juta
semata-mata untuk mewujudkan learning neighbourhoods atau learning studios.
Fokus yang diberikan di sini ialah persekitaran yang luas yang disamakan dengan
konsep ruang dalam subjek Seni Dalam Pendidikan. Tidak boleh dinafikan lagi
bahawa ruang dapat melahirkan suasana yang sesuai untuk murid-murid bermain
dan belajar. Saya juga berpendapat dan sedar bahawa pendekatan yang
menyeluruh perlu diberikan kepada aspek-aspek seperti susunan perabut dan reka
bentuk dalam sesuatu kelas, warna, pencahayaan dan lain-lain.
Dengan berpandukan subjek Seni Dalam Pendidikan, elemen ruang juga
perlu diberikan penekanan. Ruang adalah kawasan kosong di sekeliling sesuatu
objek ataupun jarak di antara dua objek dan di dalam sesuatu objek. Dalam
pergerakan kita seharian, kita memerlukan ruang untuk bergerak dengan baik dan
sempurna. Penggunaan ruang yang baik, bijak dan sempurna akan mewujudkan
keselesaan dan menjadikan ruang tersebut lebih selamat. Menurut Howard Gardner
(1983), kecerdasan ruang melibatkan kebolehan melihat dunia visual spatial
dengan lebih tepat. Susunan bilik darjah yang kemas dan baik akan dapat
memaksimumkan ruang untuk guru dan juga pelajar untuk melakukan aktiviti dengan
selamat, selesa dan berkesan. Secara tidak langsung, elmen ruang dapat
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan seterusnya
mencapai hasil pembelajaran untuk kelas tersebut.
Kenneth M.Lansing (1973) dalam bukunya Art, Artist dan Art Education
menyatakan bahawa aktviti pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi sebagai
satu cabang komunikasi. Kebolehan guru untuk menyampaikan pengajaran secara
efektif dan berkesan memerlukan kaedah yang betul dan sesuai. Oleh itu, guru
perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran
Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru bergantung kepada usaha dan
keberkesanan dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada
perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan
menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Guru Seni Dalam
Pendidikan haruslah memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka alam
sekeliling mereka, apa yang mereka lihat, sentuh, bergerak dan berfikir dalam setiap
aktiviti pembelajaran yang mereka lakukan. Menerusi kaedah ini, murid-murid dapat
belajar untuk menangani dan mengatasi masalah-masalah serta menguruskan
sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, dan emosi dengan lebih efektif dan proaktif.
Secara umumnya, murid-murid di sekolah rendah belajar dalam suasana
yang aktif. Berdasarkan kajian ahli psikologi kognitif dan ahli teori konstruktivisme,
kanak-kanak tidak memperoleh sesuatu ilmu pengetahuan melalui cara yang pasif.
Pembinaan pengetahuan melalui cara aktif akan bermakna bahawa interaksi sosial
amatlah digalakkan. Melalui aktiviti yang dilakukan seperti meneroka, membuat
eksperimen dan mengolah bahan seperti mereka bentuk menggunakan plastisin,
murid-murid akan memperoleh pengalaman yang baru. Pengalaman tersebut akan
kekal kerana mereka meneroka sendiri dan menggunakan pencaindera mereka
untuk membuat pemerhatian dan seterusnya menilai apa yang dilakukan. Oleh itu,
melalui aktiviti seni, kanak-kanak boleh meluahkan idea atau perasaan dan emosi
mereka dengan kreativiti yang tidak terhad.
Kesimpulannya, pelaksanaan subjek Seni Dalam Pendidikan di sekolah
rendah perlulah merentasi semua matapelajaran. Sebagai bakal guru, saya mestilah
melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan. Perancangan
aktiviti juga perlu diberi tumpuan demi menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran yang dilakukan berkesan. Guru hendaklah memainkan peranan
dengan menggalakkan murid menggunakan sepenuhnya kelebihan diri mereka
disamping guru menyediakan pelbagai aktiviti yang meransang minat kanak-kanak
dan memenuhi keperluan murid-murid yang mempunyai kepelbagaian gaya belajar.

Anda mungkin juga menyukai