Anda di halaman 1dari 3

Refleksi BIG Sem 4: Program Anak Angkat: TAN EIK TER (L3)

Apabila saya dengar orang mengeluh Hidup memang susah, saya selalu ingin
bertanya, Berbanding dengan apa? Sydney J. Harris
Kata-kata Sydney J. Harris yang sangat bermakna ini telah membuka mata saya
untuk melihat kehidupan saya daripada perpekstif yang lain. Daripada mengeluh ataupun
memberi alasan yang tidak munasabah yang selalu berkait rapat dengan perkataan malas,
saya telah bertekad untuk mencontohi sikap-sikap baik yang ditonjolkan oleh kawan-kawan
saya. Jadi, sempena dengan Program Bina Insan Guru Semester 4 PISMP kita, kita telah
bercadang untuk melaksanakan Progran Anak Angkat di FELDA Sungai Kelah, Sungkai,
Perak selama 3 hari 2 malam.
Kelas-kelas TESL iaitu L2, L3 dan L8 telah melaksanakan Program Anak Angkat
Bina Insan Guru Fasa 4 di penempatan homestay di FELDA Sungai Kelah, Sungkai, Perak
pada 5-7 September 2014. Saya rasa sangat bersyukur kerana terdapat program sebegini
dalam kursus ijazah sarjana muda saya kerana pada pendapat saya, pengalaman-
pengalaman sebegini dapat menyiapkan diri saya untuk menghadapi pelbagai situasi yang
berbeza pada masa hadapan semasa mengajar. Program anak angkat sebenarnya telah
mendedahkan saya kepada cabaran hidup yang dialami dan masih diatasi oleh penduduk-
penduduk kawasan FELDA Sungai Kelah. Walaupun dikelilingi oleh rumah yang berpapan
dan ada yang bersimen, kawasan bersemak-samun, kawasan yang berhutan dan belum
dibangunkan dan infrastruktur yang kurang, namun, penduduk-penduduk FELDA Sungai
Kelah tidak pernah sesekali merungut ataupun merasakan rasa kekesalan mereka terhadap
kehidupan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi.
Pertama sekali, saya sangat bersyukur kerana merasai kehidupan dalam sebuah
keluarga Melayu. Walaupun saya berbangsa Cina, saya masih berfikiran terbuka tentang
adat serta tatacara yang dipraktikkan oleh keluarga Melayu yang saya tinggal bersama
selama beberapa hari. Sebenarnya, peluang ini telah membuka minda saya yang
sebelumnya bersikap konservatif dan gambaran yang lebih jelas dan ditambah lagi dengan
pengalaman yang begitu realistik membuatkan saya berasa teruja untuk mengikuti program
sebegini di masa hadapan. Sepanjang program ini, makanan akan disediakan di atas lantai
berlapikkan tikar dan lauk-pauk kebiasaannya akan disusun rapi agar semua dapat makan
bersama di atas lantai. Pengalaman ini merupakan kali pertama saya mengambil makanan
saya berbanding dengan cara di tempat lain, iaitu mengambil makanan di atas meja. Saya
berasa bangga kerana saya dapat menolong atuk dan anaknya, Puan Maimunah dengan
mencuci pinggan selepas makan serta menghidangkan makanan.
Selain itu, pengalaman ini sangat menyeronokkan kerana saya dapat menyumbang
tenaga saya bersama-sama dengan rakan-rakan saya yang lain. Peluang keemasan ini
telah digunakan untuk menjalinkan hubungan silaturrahim yang lebih erat antara pelajar-
pelajar daripada kelas L2, L3 dan L8. Kepuasan yang saya rasai daripada proses
penanaman pokok-pokok, pembelian barang-barang, pembungkusan dan pembersihan
tempat dan alat-alatan tidak akan saya lupakan. Semangat bekerjasama sememangnya
menjadi keutamaan kerana projek ini tidak akan berjaya tanpa bantuan, tenaga dan masa
rakan-rakan kelas L2, L3 dan L8. Bukan itu sahaja, tulang belakang kelas kita, Puan Hajah
Rosidah, telah banyak membimbing dan memberikan idea-idea yang bernas sebelum
taklimat BIG dilaksanakan. Beliau telah memberikan kita motivasi yang tidak ternilai
harganya dari semasa ke semasa dan banyak mengambil berat tentang kehidupan dan
keselamatan kita. Sepanjang program ini dilaksanakan, mentor L3 telah bertanyakan
keadaan dari semasa ke semasa melalui sms (mesej pesanan ringkas) dan Whatsapp dan
ini jelas menunjukkan rasa kasih sayang beliau terhadap pelajar-pelajar beliau.
Di samping itu, semua rakan-rakan saya telah mempamerkan ciri-ciri yang
berketrampilan. Projek ini telah membuktikan bahawa seseorang guru bukan hanya tahu
mengajar ataupun memberi nasihat, malahan mengadaptasikan diri kepada keadaan
ataupun situasi yang baru, mengetuai kelas atau kumpulan dan lain-lain lagi. Ciri-ciri yang
telah ditonjolkan dan dipraktikkan oleh semua individu boleh dijadikan sebagai teladan.
Contohnya, tidak mengeluh ataupun merungut walaupun diberikan tugas baru selepas
selesainya sesuatu tugas, melakukan sesuatu secara sukarela dan melihat tugasan sebagai
motivasi ekstrinsik yang dapat membantu orang lain secara langung ataupun secara tidak
langsung.
Terdapat beberapa kelemahan yang dapat dikenal pasti seperti perjalanan jadual
yang telah ditetapkan. Pada malam kedua, kami telah dikejutkan dengan berita bahawa
majlis penutup Program Anak Angkat terpaksa dilaksanakan pada malam tersebut dan
kebanyakan daripada pelajar-pelajar L2, L3 dan L8 terpaksa menyesuaikan diri dan
bergerak ke sana dan ke sini untuk menyiapkan tempat. Situasi ini diluar jangkaan kita dan
kita dengan rela hati menguatkan diri untuk memberi yang terbaik untuk memastikan majlis
penutup itu berlangsung dengan lancar. Bukan itu sahaja, makanan yang disediakan tidak
mencukupi untuk semua dan pelajar-pelajar L2, L3 dan L8 terpaksa memberikan keutamaan
kepada keluarga angkat terlebih dahulu sebelum memikirkan kepentingan diri sendiri.
Sebenarnya, keadaan ini seharusnya tidak berlaku kerana makanan pelajar-pelajar telah
membayar untuk makanan sendiri. Namun, di sebalik kejadian yang tidak diingini ini, saya
dan rakan-rakan lain, Sharil, Naqiuddin dan Azfizal berasa syukur kerana mak angkat kita
telah mengorbankan masa dan tenaga untuk memanaskan makanan apabila balik ke rumah
atuk Mahyudin. Kami berempat berasa terharu dan tidak dapat meluahkan perasan gembira
kita kerana masih ada insan mulia yang tidak penat membuatkan kita rasa selesa selama 3
hari 2 malam tersebut.
Kesimpulannya, pengalaman-pengalaman yang telah dialami oleh saya, Tan Eik Ter,
sepanjang 3 hari 2 malam ini tidak ternilai harganya. Sekiranya diberikan peluang kedua
untuk kembali, saya dengan perasaan gembira dan rela hati akan mengikuti program ini.
Projek seperti ini memang selaras dengan objektif Bina Insan Guru (BIG) kerana
pembentukkan seorang guru yang sihat daripada segi fizikal, jasmani, emosi dan intelek
sangat penting untuk memastikan generasi masa hadapan dapat menjadi insan yang
berguna kepada masyarakat. Apa yang sudah dipelajari ataupun didapati dalam kehidupan
ini mestilah kita balas balik dengan hati yang ikhlas bak kata pepatah memberi adalah lebih
baik daripada menerima.

Anda mungkin juga menyukai