Anda di halaman 1dari 4

Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan

maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian
menentukan jurang perbezaan antara apa yang dihasilkan dengan apa yang dihasratkan dari sesuatu
program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan
seseorang membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam
(1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan
suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan
pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada
sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, penilaian boleh
didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat dicapai.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum
penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal.
Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan
menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian
menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang
sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel,
seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal,
telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif
pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat
subjektif, pincang dan rapuh.

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana
mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat
anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat
dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara.

Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam
pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan,
seperti menguasai kemahiran membaca, menulis mengira dan menaakul (4M) di kalangan murid sekolah
rendah. Dalam membuat penilaian, guru mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah.
Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau
bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya.

Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian, kita akan dapat merancang langkah-
langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi
telah diberikan kepada istilah penilaian. Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat
pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda
atau perkara.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan
menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai.
Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung
pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya
pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham
(1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai
fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran
dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru
memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian
pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar
melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan
menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data
kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang
diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.

Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif,
kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif, penilaian boleh
dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti
cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif
boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan
cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan
ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran.

Kesimpulannya, penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam
semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan
program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah amnya,
penilaian dilakukan bagi mengetahui sama ada guru mengajar dan murid belajar ataupun sebaliknya.





Tujuan Penilaian

Mengumpul maklumat tentang pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P)
supaya membuat pentafsiran dan mengambil tindakkan yang sewajarnya.
Menentukan kekuatan dan kelemahan murid dalam pelajaran sesuatu kemahiran supaya merancang
aktiviti pengayaan dan pemulihan.
Menentukan kesan pengajaran guru untuk merancang strategi pengajaran yang lebih berkesan.
Menentukan pencapaian objektif pelajaran yang ditetapkan untuk merancang aktiviti P&P pada masa
yang akan datang.
Merekod keputusan-keputusan penilian dalam Rekod Prestasi dan Rekod Profil untuk dirujuk oleh
pihak-pihak yang berkenaan.
Menilai keberkesanan pelaksanaan sesuatu program baru seperti program KBSR atau KBSM.

Proses penilaian melibatkan tiga langkah utama, iaitu:
1) Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur
2) Meneteapkan suatu kriteria bagi pengukuran
3) Membuat suatu pentaksiran ( pertimbangan ) tentang hasil pengukuran.

Prosedur penilaian megandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisian dan penyimpulan.
Prosedur penilaian ini secara ringkasnya boleh dilaksanakan dalam lima peringkat:
a) Peringkat persediaan ujian
b) Peringkat pentadbiran ujian
c) Peringkat pemeriksaan dan pengukuran
d) Peringkat analisis
e) Peringkat interprestasi dan tindakan

Dalam usaha membuat penilaian yang wajar, guru akan mempertingkatkan maklumat dari berbagai-
bagai punca, seperti pengetahuannya sendiri tentang murid tersebut, latar belakang dan pengalaman
mereka, keadaan pembelajaran di rumah dan di sekolah, minat dan perkara-perkara yang tidak diminati
oleh murid. Kesemua ini akan dipertimbangkan atau dinilai oleh guru dan akhirnya satu penilaian akan
dikemukakan untuk membolehkan tindakan wajar selanjutnya, sama ada memberi pengajaran
tambahan, beralih ke pengajaran lain, menukar kaedah pengajaran dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai