Anda di halaman 1dari 20

Artikel 2: Isu Guru Menjalankan Kerjaya Sambilan

1.0 PENGENALAN ISU


Profesion perguruan adalah suatu profesion yang mulia, dihormati dan disanjungi. Guru
merupakan seorang yang akan dikenang jasanya oleh anak didiknya hingga ke akhirnya. Ia
adalah suatu profesion yang mempunyai etikanya tersendiri di mana guru dianggap segala-
galanya. Guru ibarat pakar rujuk dalam setiap bidang dan menjadi orang yang dihormati
serta disegani dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, profesion perguruan abad ini tidak
terlepas daripada isu-isu hangat yang diperkatakan seperti isu penyalahgunaan dadah,
salah laku seks, rasuah, salah guna kuasa, mendera, sakit mental dan sebagainya. Isu-isu
yang diperkatakan menjadi semakin bertambah hari demi hari yang menampakkan
keburukan serta kepincangan yang mencalar profesion perguruan itu sendiri walaupun
ianya berpunca dari individu tertentu yang bergelar sebagai guru.

Isu kebiasaannya dikaitkan dengan sesuatu perkara yang diperkatakan dan boleh
menjadi sesuatu yang besar. Tidak banyak definisi isu yang dapat dinyatakan namun
menurut satu laman web (artika.com), isu adalah suatu masalah yang dikedepankan atau
diperkatakan untuk ditanggapi oleh orang ramai. Ia juga merupakan suatu berita yang tidak
jelas asal usulnya dan tidak terjamin kebenarannya.
Dalam era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang
haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai
murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut. Etika
ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu pengetahuan yang berurusan dengan apa yang baik
dan tidak baik dan dengan kewajiban dan tanggungjawab moral (Harold Koontz & Heinz
Weihrich Pengurusan terjemahan Mohd Salmi Mohd Sohod & Siti Nadzrah Sheikh Omar
DBP).
Istilah etika atau ethic berpunca daripada perkatan Greek ethos yang bermaksud
perwatakan atau keperibadian. Mengikut pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud
satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut
Islam pula menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk
kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak.
Ia juga merupakan suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak atau tingkah
laku bagi sesuatu kumpulan atau organisasi. Sistem dasar meliputi aspek-aspek moral yang
baik atau buruk serta betul atau salah sebagai panduan kepada ahli-ahli. Dalam kehidupan
manusia memerlukan satu sistem atau panduan untuk menentukan mereka bertingkah laku.
Perkara ini mendasari perkembangan etika dalam masyarakat tersebut.
Menurut sarjana barat, J.L. Mackie beliau mentakrifkan etika sebagai disiplin yang
dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis
perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorag. Menurut A.R. Licey dan W.L. Reese,
etika dikatakan sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan tingkah laku, adat dan
cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam
melakukan sesuatu aktiviti. Dari sudut pandangan ahli falsafah, etika merujuk kepada
pengajian moral yang bertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia.
Etika juga dikatakan menggariskan semua panduan yang bertujuan meningkatkan
tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan
terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai
serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Skop Etika Profesional mencakupi
sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi.
Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam
keseluruhan hidupnya.
Oleh itu berdasarkan pengertian di atas, jelas bahawa etika berkaitan dengan
pembuatan keputusan bagi semua jenis tindakan di mana tindakan-tindakan tersebut
membawa seseorang untuk berinteraksi dengan orang lain secara berprotokol, sempurna,
berhemah dan berkesan. Di samping itu juga, etika melihat secara khusus mengenai
tingkah laku manusia yang dikira patut atau tidak patut dilakukan selaras dengan norma-
norma dan nilai-nilai yang diterima oleh semua masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Guru perlu mempunyai sahsiah yang tinggi dan memberi komitmen yang tinggi
terhadap tugas sebagai pendidik yang baik. Media massa banyak melaporkan pelbagai kes
dan isu seperti guru memukul murid, guru menerima rasuah, guru pecah amanah, cikgu
cabul murid dan sebagainya yang menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti
profesion perguruan. Namun kes-kes seperti ini semakin meningkat setahun demi setahun.
Berdasarkan pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan ini, maka saya telah
memilih satu artikel yang bertajuk Guru menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah
sebagai kerja sambilan. Saya berpendapat bahawa isu ini melibatkan guru dikategorikan
sebagai melanggar etika profesion perguruan.
Fenomena masyarakat yang bekerja sambilan merupakan perkara asas yang jarang
diperkatakan. Namun ia bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat termasuk di
kalangan guru pada hari ini. Guru-guru di Malaysia umumnya tidak diketahui secara jelas
sejauhmana seriusnya mereka terlibat dengan aktiviti pekerjaan sampingan. Bahkan, untuk
mengetahui statistik sebenar golongan yang bekerja sampingan, ia tidak mudah untuk
diperolehi disebabkan kebanyakan mereka yang terlibat tidak bersedia untuk membuat
pengakuan atas alasan-alasan yang tersendiri. Walaubagaimanapun, fenomena ini dapat
dilihat di kebanyakan sekolah berdasarkan kepada pemerhatian yang dilakukan oleh guru-
guru sendiri di sekolah masing-masing. Kerja sampingan merupakan istilah yang membawa
maksud seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat menambahkan
pendapatannya walaupun memiliki kerjaya utama.
Guru merupakan golongan profesional yang diberi peranan penting sebagai agen
perubahan dalam masyarakat. Menurut Noriati et. al. (2010), guru yang komited diperlukan
untuk menyediakan program pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan berpegang
teguh dengan strategi-strategi akauntabiliti yang berkesan. Guru sebagai kakitangan
sekolah pula harus memberikan sepenuh komitmen kepada pihak pentadbiran bagi
melancarkan urusan berkaitan pengurusan sekolah selain memberikan sokongan padu
dalam merealisasikan visi dan misi sekolah yang telah digariskan (Abdullah Sani et. al.
2007).
Komitmen guru menjadi salah satu faktor yang penting dalam menentukan kejayaan
perubahan sesuatu dasar dan agen pendidikan yang dirancang. Malah ia bukan sekadar
ketika berada dalam waktu bertugas di sekolah, malah pada bila-bila masa. Selain
menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran, bidang tugas guru turut merangkumi
pelbagai perkara yang berkaitan dengan bidang pengurusan akademik termasuk
penglibatan dalam pengurusan kokurikulum, pengurusan kebajikan murid, terlibat dalam
mesyuarat serta menghadiri kursus dan sebagainya (Burnham, 2011). Keadaan itu telah
memperlihatkan kepelbagaian tugas seorang guru dalam dunia pendidikan yang sentiasa
wujud perubahan seiring dengan keperluan semasa (Mohamad Najib, 2004).
Walaubagaimanapun, sebagai seorang manusia guru tetap memerlukan masa yang
perlu diluangkan untuk menguruskan hal-ehwal peribadi sama seperti individu lain (Lambert,
2003). Ini merupakan hak guru melakukan semua perkara untuk kepentingan dirinya di luar
waktu bertugasnya di sekolah. Selain melakukan tugas peribadi, mengurus keluarga atau
terlibat dengan sebarang aktiviti komuniti setempat, terdapat dalam kalangan guru yang
mengambil inisiatif melakukan sesuatu yang dapat menambahkan pendapatannya dengan
melakukan kerja sambilan. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada situasi ini di
mana kesan-kesan yang wujud daripadanya menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen
guru-guru yang terlibat.
Menurut Mariatin (2009), oleh kerana kejayaan sesebuah organisasi banyak
bergantung kepada kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh kakitangan maka,
seharusnya tidak ada sebarang halangan yang dapat menyumbang kepada kegagalan guru
dalam memberikan komitmen kepada organisasinya. Ini disebabkan komitmen semua guru
diperlukan bagi memastikan pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan jayanya kerana
guru adalah sebahagian daripada kakitangan yang menggerakkan organisasi sekolah bagi
mencapai misi dan visi yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Abdullah
Sani, 2005).


Kerja sambilan merupakan istilah yang diadaptasi daripada perkataan Bahasa
Inggeris iaitu moonlighting di mana perkataan ini pada asalnya diambil daripada perkataan
moonlight. Menurut kamus Oxford (2011), kerja sambilan membawa maksud seseorang
yang mempunyai pekerjaan kedua di mana kebiasaannya dilakukan pada waktu malam
secara rahsia sebagai tambahan daripada pekerjaan utamanya. Kemudian, Pere (2007) dan
Betts (2002) menyatakan istilah moonlighting ini seerti dengan istilaah second job, part-
time job, dual job, multiple job dan seumpamanya. Kesemua ini bermaksud bahawa
seseorang yang bekerja sambilan secara separuh masa namun pada masa yang sama
mempunyai pekerjaan lain yang utama di mana ia dilakukan secara sepenuh masa.
Idea ini selari dengan Champion (2010), Michael (2010) dan Betts (2006) yang
menyatakan moonlighting di dalam Bahasa Melayu adalah kerja luar yang bermaksud
mempunyai dua pekerjaan atau lebih separuh masa serta pekerjaan tambahan ini berlaku
kepada seseorang yang memiliki sesebuah kerjaya yang menjadi pekerjaan utamanya.
Azanza (2000) pula berpendapat bahawa kerja sambilan merupakan salah satu cara
untuk memperolehi pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap. Di
samping itu beliau turut menyatakan kerja sambilan itu merangkumi seseorang yang bekerja
sendiri seperti menjadi perunding, mengajar kelas malam, membuat pelaburan selain
menjadikan hobi dan kemahiran yang dimiliki sebagai cara untuk menambahkan
pendapatan.
Berdasarkan kepada definisi dan konsep kerja sambilan yang telah dihuraikan di
atas, isu ini memfokuskan kepada guru yang terbabit dengan sebarang kegiatan atau aktiviti
yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan semasa berada di dalam kawasan
sekolah atau sebaliknya pada bila-bila masa (Parham, 2006). Keadaan ini sama ada
bekerja separuh masa secara makan gaji di tempat lain selepas waktu mengajar,
menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual produk atau sebagai agen jualan,
penyediaan sesuatu perkhidmatan, memiliki syarikat perusahaan sendiri atau usahasama
dengan keluarga atau sebarang sumber yang dapat menambahkan pendapatan mereka
walaupun aktiviti berkenaan dijalankan secara kecil-kecilan.
2.0 PERKEMBANGAN HUJAH
Isu berkenaan guru yang bekerja sambilan ini bukanlah satu trend atau khusus di
sesebuah tempat malahan di mana-mana tempat dan organisasi akan wujud kakitangan
yang melakukan pekerjaan sampingan. Walaupun faktor kewangan dilihat lebih dominan
dalam kalangan guru yang melakukan kerja sampingan (Livanos & Zangelidis 2008,
McClintock et. al. 2004), Robinson & Wadsworth (2007) menyatakan ia bukan disebabkan
masalah kewangan atau menerima gaji yang rendah daripada pekerjaan utama semata-
mata. Sebaliknya terdapat juga pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada
seseorang itu mengambil keputusan untuk melakukan pekerjaan sambilan yang
merangkumi faktor peribadi dan faktor kerjaya (Betts 2002).
Menurut Betts (2002), dalam laporannya menyatakan salah satu faktor daripada
pekerjaan sampingan itu dilakukan adalah kerana faktor peribadi. Pandangan ini juga turut
diselari dengan para pengkaji yang lain di mana kerjaya sampingan yang dilakukan itu tidak
berkaitan dengan faktor kewangan dan tidak dipengaruhi oleh unsur lain selain atas
kehendak diri sendiri semata-mata. Kebanyakan mereka yang bekerja sambilan juga
didapati sangat menyukai untuk melakukannya tanpa terikat dengan faktor kewangan
(Hipple, 2010).
Dickey et. al. (2011) dan Betts (2002) berpendapat seseorang yang menjalankan
kerja sampingan adalah disebabkan oleh faktor peribadi iaitu untuk memenuhi minat serta
mengisi masa lapang di luar waktu bertugas mereka. Bahkan wujud dalam kalangan
mereka untuk memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya di mana ia tidak diperolehi
daripada pekerjaan utamanya (Dickey et. al. 2011, Panos et. al. 2011) dengan melakukan
sesuatu pekerjaan lain yang diminati.
Winters (2010) dalam kajiannya mendedahkan, walaupun seseorang itu melakukan
pekerjaan sampingan tetapi ia bukan atas alasan kewangan walaupun memperolehi
pendapatan kecil daripada kerjaya utamanya seperti mana yang dijelaskan oleh Hipple
(2010). Malahan kajian ke atas guru menunjukkan majoriti daripada mereka yang terlibat
mengakui mereka tetap akan melakukan pekerjaan sampingan walaupun tangga gaji
mereka sebagai guru dinaikkan (Pearson et. al. 2001). Keadaan ini menunjukkan mereka
sememangnya menyukai dan gembira dengan kerja sampingan yang dilakukan (Renna &
Oaxaca 2009) walaupun terpaksa mengorbankan masa lapang di luar waktu bekerja.
Selain itu, seseorang yang menjalankan pekerjaan lain selepas waktu bertugas
adalah bagi meningkatkan bakat dan kemahiran yang dimiliki serta mempunyai minat
mendalam terhadap aktiviti sampingan yang dilakukan. Hipple (2010) berpendapat
pekerjaan sampingan yang dilakukan seseorang adalah sebagai cara untuk membina
kemahiran baru dan menimba pengalaman lain yang berbeza daripada pekerjaan utama
sedia ada yang dimiliki (Dickey et. al. 2011, Renna & Oaxaca 2009).
Terdapat juga dalam kalangan individu yang melakukan kerja sampingan bagi
membina rangkain hubungan sosial dengan rakan baru (Betts 2002). Salah satu tujuannya
adalah untuk mengenali seseorang yang dapat membantunya mencapai sesuatu yang
diingini seperti peluang pekerjaan baharu (Pere 2007). Kesemua alasan-alasan berbentuk
peribadi ini memperlihatkan mereka melakukan kerja sampingan adalah atas dasar sukarela
dan merasa bahagia melakukannya (Hipple 2010, Averett 2001) walaupun menyedari
pelbagai kesan yang akan dihadapi daripada tindakan melakukan pekerjaan sampingan.
Kebanyakan pengkaji mengatakan bahawa faktor ekonomi atau kewangan
merupakan penyebab utama kepada seseorang itu melakukan kerja sampingan (Dickey et.
al. 2009) termasuklah dari kalangan guru. Walaupun mempunyai pendapatan daripada
pekerjaan utama sebagai guru secara sepenuh masa, terdapat juga di kalangan mereka
yang melakukan pekerjaan sambilan bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi.
Hipple (2010) berpendapat bahawa mereka yang memiliki kerjaya lain yang
mendatangkan pendapatan adalah berpunca daripada faktor kewangan sebagai sebab
utama. Beliau turut menyebut keadaan ini adalah disebabkan mereka mempunyai beban
tanggungan hutang atau pinjaman yang perlu dijelaskan sama seperti mana yang
dilaporkan oleh Verma (2008) dan Averett (2001). Laporan daripada Parham (2006) juga
menyebutkan faktor penyebab guru menjalankan kerja sambilan adalah kerana masalah
kewangan dan ianya sukar untuk dihentikan setelah terlibat dengan aktiviti bekerja sambilan
walaupun mengetahui terdapat kesan di sebaliknya.
Keinginan untuk meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dengan memperolehi
pendapatan tambahan telah menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk bekerja
sampingan. Kenyataan ini selari dengan Hyder & Ahmed (2009), Guanglia & Kim (2004),
Kimmel & Conway (2002) dan Partridge (2002) yang mengemukakan alasan gaji atau
pendapatan yang kecil daripada kerjaya utama menjadi punca kepada seseorang itu
melakukan pekerjaan sampingan.
Terdapat kajian yang menunjukkan individu menjalankan kerja sambilan adalah
disebabkan faktor kerjaya. Keadaan ini bermaksud seseorang itu menjalankan kerja
sampingan atas tuntutan yang berhubung dengan kerjaya mereka sendiri (Dickey et. al.
2009), untuk menimba pengalaman baharu (Dickey et. al. 2011), memperolehi pengetahuan
bagi memperkukuhkan kerjaya pada masa depan dan sebagai satu cara bagi meninggalkan
kerjaya perguruan (Henderson 2000) atas pelbagai asalan.
Terdapat pelbagai kerja sambilan yang dilakukan oleh guru-guru pada masa kini. Ada
antara mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjadi penceramah dalam sebarang
khusus atau seminar, berniaga di pasar-pasar malam, MLM, memandu teksi malah ada
antara mereka yang mungkin turut terlibat dengan pekerjaan jenayah yang menyalahi
undang-undang negara. Jesteru, fenomena guru menjalankan kerja sambilan telah
mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Bagi
mengatasi masalah tersebut, pihak kementerian telah mengeluarkan Surat Pekeliling
Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 1999 mengenai penglibatan pegawai dan kakitangan di bawah
dalam Pekerjaan Luar. Menerusi surat tersebut, Ketua Jabatan telah diberi kuasa
meluluskan permohonan dan membuat pemantauan terhadap mereka yang berkenaan.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini banyak aduan yang telah diterima dan
dibangkitkan sama ada di media cetak mahupun elektronik mengenai salah laku pegawai
yang terlibat sebagai guru tuisyen mahupun tenaga pengajar sambilan sama ada mereka
telah diberi kebenaran atau tidak telah didapati tidak mengutamakan tanggungjawab ke atas
tugas hakiki yang disandang malahan ada yang mengambil kesempatan menjadikan
institusi pendidikan sebagai platform atau medan perniagaan dalam mempromosi khidmat
tuisyen berbayar yang berunsur kepentingan peribadi.
Pada dasarnya pegawai perkhidmatan awam dilarang melakukan pekerjaan luar atau
kerja sampingan yang mendatangkan sebarang bentuk faedah atau keuntungan sama ada
dalam bentuk upah atau keuntungan. Namun demikian, atas keprihatinan kementerian
terhadap keperluan para murid dalam mendalami ilmu dan menguasai pembelajaran
tambahan, pihak kementerian telah membenarkan para pendidik untuk membimbing murid
melalui kelas persendirian di mana-mana institusi pendidikan swasta dengan syarat aktiviti
yang dijalankan tidak bertentangan dengan kepentingan dirinya sebagai penjawat awam.
Kebenaran bersyarat ini adalah sebagai alat kawalan dalaman bagi memastikan
aktiviti tersebut selaras dengan kehendak Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan itu dikeluarkan
adalah untuk memberi garis panduan yang terperinci mengenai pengendalian dan syarat-
syarat khusus kepada pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga sambilan bagi
anggota Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sebagai kesimpulannya, kerja sampingan boleh dilakukan oleh guru tetapi
pertimbangan yang sewajarnya haruslah diberikan supaya kerja sampingan tersebut tidak
mengganggu tugas hakiki guru di sekolah. Setiap guru harus secara bertanggungjawab
terhadap tugas sebenar di sekolah dan menjadikan kerja sampingan benar-benar sebagai
sampingan. Guru sebaliknya tidak boleh sama sekali menjadikan tugas hakiki di sekolah
sebagai kerja sampingan.
Namun demikian, kebenaran ini juga telah disalah ertikan oleh guru dengan
melakukan pekerjaan jenayah sebagai kerja sampingan yang menyalahi undang-undang.
Merujuk kepada laporan berita-berita semasa yang disiarkan melalui media massa, terdapat
pelbagai isu yang melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar etika profesion
perguruan sekarang ini. Antara salah satu isu hangat yang telah menimbulkan
permasalahan serta memberi kesan terhadap profesion keguruan ialah yang dipetik dari
artikel melalui sumber laman web rasmi, Guru Sains disyaki edar dadah akan digantung
kerja (Berita Harian Online: 21 Februari 2010).
Merujuk kepada laporan akhbar dalam Berita Harian Online melaporkan: Guru Sains
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat yang ditahan polis, Rabu lalu
selepas dipercayai mengedar dadah bakal berdepan tindakan digantung kerja, dipindahkan
atau dibayar separuh gaji. Guru sains tersebut dipercayai mengedar dadah secara sambilan
kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.
Menurut sumber, guru berusia 31 tahun itu baru saja berjinak-jinak dalam
pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan kereta Proton Savvy
miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan dan ditahan kira-
kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat.
Sumber itu berkata, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit
membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana pihak
yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini. Menurut beliau juga,
pihaknya memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak teragak-agak untuk
mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan profesion
perguruan yang selama ini dipandang tinggi di kalangan masyarakat.
Berdasarkan laporan yang dibuat dalam akhbar terkenal itu jelas menunjukkan
bahawa guru tersebut secara terang melanggar etika profesion perguruan dan kod etika
perguruan di Malaysia yang menyatakan bahawa guru perlu mematuhi kod etika perguruan
iaitu menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan
sejawat, masyarakat dan negara. Namun dalam kes ini guru telah membelakangkan tugas
awamnya demi kepentingan peribadi. Dengan ini jelas menunjukkan sikap tidak profesional
guru tersebut yang tidak berfikir dengan wajar tentang impak negatif yang akan dihadapi
sebelum melakukan pekerjaan sambilan tersebut yang jelas menjejaskan masa depannya
serta memburukkan nama baik profesion perguruan yang sepatutnya disanjung tinggi.
Jesteru itu, guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan
tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan
Tatatertib) 1993 dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung
kerja kerana guru tersebut telah disabitkan melakukan kegiatan jenayah dalam
penyalahgunaan dadah secara kerja sambilan.
Malahan, baru-baru ini sudah terdapat isu berkenaan guru melanggar etika profesion
perguruan iaitu bekerja sambilan telah dilaporkan menerusi Berita Harian Online: 4 Januari
2010 Guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan. Menurut sumber, beberapa
persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan kerja luar
berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan yang lumayan.
Dalam laporan tersebut, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari
pendapatan tambahan itu umpama nila setitik rosak susu sebelanga. Maka, keadaan ini
akan memperlihatkan kesan negatif terhadap bidang profesion perguruan dimana tindakan
guru berkenaan boleh mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru adalah
komited menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing.
Tambahan lagi, isu guru melakukan penyalahgunaan dadah secara sambilan ini
menjadi semakin hangat apabila timbul pula laporan akhbar yang ditulis oleh M Hifzuddin
Ihksan dalam Berita Harian Online melaporkan BETONG: Kegiatan seorang guru dari
Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di
sini terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan di sini petang
semalam. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata
suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin dipercayai menjadi pengedar dadah
kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan. Suspek menjalankan kegiatan
mengedar dadah di Beladin sejak tahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang
dijadikan orang tengah.

Guru yang disebutkan di atas sememangnya mementingkan kehendak dan kepuasan
diri tanpa memikirkan nilai sahsiah dan moral yang sepatutnya dimiliki oleh seorang
pendidik. Selain menggelapkan masa depannya sendiri, tindakan di luar kewarasannya itu
turut memusnahkan masa depan pelajarnya ke arah melahirkan generasi pengedar dadah
yang sepatutnya di jaga dan dilindungi olehnya sekaligus memburukkan nama atau
mencemarkan nama profesion perguruan. Malah keadaan ini bukan sahaja mencemarkan
imej perguruan tetapi turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat setempat
terhadap peranan guru sebagai pendidik.
Profesion perguruan merupakan sebuah profesion yang sangat mulia dan dipandang
tinggi oleh semua golongan lapisan masyarakat. Dengan kesalahan-kesalahan segelintir
guru yang melanggar etika perguruan sesungguhnya telah mencemarkan kemuliaan
profesion itu. Kegagalan sahsiah guru itu adalah kegagalannya secara individu, namun
mungkinkah ianya adalah kegagalan pihak lain yang menyumbang kepada kesalahan dan
pelanggaran nilai sahsiah dirinya sendiri. Jika kesalahan yang dilakukannya adalah
disebabkan faktor kewangan yang mendesak guru tersebut melakukan kerja sambilan
dengan mengedar dadah untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan, perkara ini
hendaklah dipandang serius oleh pihak-pihak tertentu supaya dapat memantau dan
mengambil tindakan tegas terhadap guru yang lebih mengutamakan kerja luar untuk
kepentingan diri sendiri.
Mungkinkah perkara ini tidak berlaku jika guru berkenaan dapat mengawal
kemahuan peribadi yang menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa memikirkan
keperluan utama atau dengan tujuan memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya.
Jesteru itu, sebagai seorang guru yang berprofesional harus bijak dalam menguruskan
bidang kerjaya dan peribadi dari segi kewangan serta kecenderungan minat kerana
kebijaksanaan dalam pengurusan ini akan memberi kesan kepada kejayaan pengajaran
guru di dalam kelas. Maka, guru perlu mengenalpasti dan merancang setiap keperluan dan
kemahuan dalam kehidupan mereka bagi menjamin kejayaan dan kualiti hidup sebagai
pendidik.

Kesalahan individu sering kali dilihat sebagai kegagalan individu itu sendiri, namun
jika diteliti dan diperhalusi terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada
berlakunya gejala sosial seperti melakukan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai
pekerjaan sambilan semata-mata untuk mengejar kemewahan hidup. Tanpa pegangan
agama yang kuat, kewarasan akal kadang kala tidak dapat menyekat kehendak naluri
individu itu untuk terus cenderung melakukan kesalahan.
Jika menurut teori Maslow (1968), kegagalan manusia mendapatkan sesuatu
keperluan yang utama boleh menyumbang kepada seseorang cenderung melakukan
kesalahan demi mengisi keperluan yang dihajatinya. Manakala, teori ini juga turut
bertepatan dengan teori Psikoanalitik yang diasaskan oleh Sigmund Frued (1856-1939)
melihat manusia dilahirkan dengan sifat semula jadi dan tingkah lakunya lebih kepada naluri
kehaiwanan yang hanya dapat dibendung dengan pengalaman-pengalaman dalam
masyarakat dan sosialisasi. Sekiranya pengalaman ini tiada atau kurang, maka ia
cenderung ke arah merosakkan peraturan-peraturan dalam sesebuah masyarakat.
Fenomena bekerja sambilan bukanlah sesuatu yang baru wujud dalam kalangan
masyarakat malah dalam kalangan guru yang bekerjaya pun situasi ini tidak terkecuali.
Faktor kewangan bukanlah satu-satunya punca yang menyumbang kepada penglibatan
guru di dalam aktiviti bekerja sambilan dengan melakukan kegiatan jenayah dalam kalangan
guru bahkan berkait rapat dengan faktor peribadi dan kerjaya mereka. Walaupun seseorang
yang melakukan kerja sampingan tersebut atas kemahuan sendiri yang menginginkan
hidupan yang mewah serta pendapatan yang lumayan, namun secara tidak langsung
keputusan yang dibuat itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga
melibatkan organisasi di tempat kerja (Betts, 2002).





3.0 IMPLIKASI HUJAH
Setiap isu yang timbul atau ditimbulkan oleh guru sudah semestinya akan memberi
implikasi secara langsung atau tidak langsung terhadap diri guru itu sendiri, pelajar,
sekolah, masyarakat dan juga negara. Pembangunan sahsiah seseorang guru sebenarnya
terbentuk sejak kecil lagi bahkan sejak di dalam kandungan ibunya dan suasana di dalam
rumah tempatnya membesar. Peranan keluarga sangat penting sebagai memainkan
peranan utama manakala pembangunan sahsiah di sekolah hanyalah program sokongan
peneguhan dan pengayaan peribadi seseorang. Pembangunan guru juga bermula dari
pembangunan individu dan ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti baka dan
persekitaran.
Tahap pendidikan dan penghayatan ilmu membantu perkembangan dan
pembangunan sahsiah ke arah lebih positif. Jika terdapat guru yang mempunyai sahsiah
buruk dan menimbulkan isu yang negatif, pembangunan sahsiah di kalangan guru seolah-
olah tidak berjaya dan ia sesuatu yang membimbangkan memandangkan guru merupakan
golongan yang menjadi harapan untuk membangunkan bangsa dan negara.
Sahsiah sering dikaitkan dengan peribadi yang ditonjolkan oleh seseorang guru
melalui tindakan atau perlakuannya. Tindakan yang dipilih dapat dilihat sebagai tindakan
yang boleh diterima atau tindakan positif yang merupakan tindakan yang sejajar dengan
jangkaan masyarakat dan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Berita-berita
membanggakan yang melambangkan sahsiah positif seorang guru seperti guru bertindak
berani menyelamatkan anak muridnya serta ketabahan guru menghadapi dugaan dan
cabaran untuk mendidik anak bangsa merupakan perkhabaran yang membuatkan kita
kagum dengan profesion perguruan. Namun tindakan negatif yang tidak melambangkan
sahsiah guru seperti isu guru edar pil khayal kena tahan dan guru abai tanggungjawab calar
imej profesion perguruan turut menjadi fokus perbincangan utama media massa dan para
penyelidik.

Isu-isu yang positif mahupun negatif sebegini telah memberi impak yang besar
terhadap profesion perguruan. Isu positif akan meningkatkan semangat dan motivasi para
guru, meningkatkan kepercayaan masyarakat serta turut mengharumkan persada
pendidikan. Walaubagaimanapun, kewujudan isu negatif telah mula menjadikan
kebanggaan kita terhadap profesion perguruan kini semakin pudar. Malah, pihak media,
penyelidik bahkan masyarakat telah memberikan tekanan dan desakan yang hebat
terhadap pihak warga pendidik, sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia khasnya.
Isu guru mengedar dadah secara kerja sambilan adalah antara isu yang melanggar
etika perguruan dan ianya semakin hangat diperkatakan. Ia boleh meninggalkan kesan
yang bukan sedikit terhadap pembangunan sahsiah individu itu sendiri dan terhadap
pembangunan sahsiah golongan guru yang lain. Kesan tindakan itu turut memberi impak
terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung termasuklah pihak
sekolah, Jabatan Pendidikan serta Kementerian Pelajaran Malaysia. Malahan tindakan guru
mengedar dadah menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah akan turut
mendatangkan impak kepada pelajar dan keluarga pelajar tersebut.
Guru berkenaan telah melakukan satu kesalahan jenayah menyalahgunakan dadah
yang menunjukkan kelakuannya yang dilarang dengan cara yang boleh memburukkan atau
mencemarkan nama baik perkhidmatan profesion perguruan. Kesalahan guru berkenaan
akan dikenakan tindakan tatatertib Peraturan 7 mengikut peraturan tatakelakuan yang
ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung kerja. Malah,
berdasarkan laporan akhbar tersebut menyatakan bahawa guru dipercayai mengedar dadah
secara kerja sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah. Jesteru itu, kes ini
menunjukkan guru tersebut melanggar peraturan tatakelakuan dan tatatertib iaitu Peraturan
4(2), di mana guru berkenaan membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan
peribadinya. Jika disabitkan kesalahaan tindakan tatatertib akan dikenakan di mana ia
bergantung kepada jenis pelanggaran tatakelakuan seperti tindakan amaran, denda atau
lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan penggantungan
kerja.
Guru yang telah melakukan kesalahan jenayah seperti mengedar dadah secara
sambilan ini telah menampakkan sahsiahnya yang sangat rendah dan martabatnya sebagai
guru dikesali kerana seorang guru tidak sepatutnya memiliki sahsiah sedemikian, bahkan
guru antara golongan terpelajar dan berilmu. Sepatutnya, guru memainkan peranan cuba
membimbing generasi muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bukannya guru
sendiri bertindak membekalkan dadah tersebut kepada pihak lain. Pembangunan sahsiah
guru terbabit akan dikategorikan sahsiah yang negatif walaupun dia seorang guru yang
berkaliber dan berjasa. Moralnya akan menjadi persoalan dan diperkatakan oleh setiap
lapisan masyarakat serta mendapat cemuhan. Segala kebaikan dan bakti yang dicurahkan
selama ini akan hilang begitu sahaja. Malahan, kes pengedaran dadah ini juga merupakan
satu kegiatan jenayah yang boleh membawa hukuman mati dan penjara jika disabitkan
kesalahan. Jika dia dijatuhkan hukuman, alangkah rendahnya martabat seorang pendidik
yang terpaksa menghabiskan masa bersama-sama pesalah lain yang rata-rata bukanlah
dari golongan cendikiawan sepertinya.
Sekiranya guru berkenaan sudah selesai menjalani hukuman atau berjaya membayar
denda yang dikenakan, isu ini pasti tidak akan berhenti begitu sahaja. Isu dan sashsiah guru
ini akan tetap menjadi tajuk bualan dan dia akan dipandang serong oleh orang lain. Di
sekolah, guru ini tidak lagi dihormati malah mungkin akan ditakuti oleh pelajar. Rakan
sekerja juga berkemungkinan akan mempertikaikan tugasnya mendidik pelajar dan jika dia
sudah insaf, guru ini masih terpaksa menerima balasan di dunia mahupun di akhirat di atas
perbuatannya sekiranya ia masih diragui serta tidak diberi kepercayaan. Malahan guru-guru
dari sekolah lain juga akan menjadikannya sebagai bualan atau akan menjadikannya
sebagai sempadan dan ingatan terhadap perkara yang sudah terjadi. Masyarakat sekeliling
pula akan turut menjadikan perkara sebegini adalah lumrah di dalam masyarakat kita dan
melabelkan guru tersebut sebagai penjenayah yang boleh membunuh generasi bangsa.
Kesan daripada itu, sahsiah guru yang akan dibina selepas itu akan menjadi lebih sukar dan
dan memerlukan banyak kesabaran untuk melaluinya. Ia perlulah tabah menghadapinya
kerana tindakan yang dilakukan akan meninggalkan kesan mendalam dan sepanjang hayat.
Selain itu, kesan buruk seorang guru sebagaimana tertuduh melakukan kes
berkenaan bukan sahaja memburukkan imejnya sebagai guru secara peribadinya, malah
tempiasnya turut dirasai oleh semua guru. Ia seolah-olah menunjukkan keperibadian guru
yang gagal mencerminkan seorang guru yang sebenarnya sebagaimana yang diaspirasikan
oleh Negara. Melalui kod etika guru yang diperkenalkan, guru bertanggungjawab terhadap
rakan sekerja. Namun, perbuatan jenayah ini diibaratkan telah mengkhianati rakan sekerja
lain yang turut menanggung malu akibat daripada perbuatan rakan mereka yang bergelar
seorang guru.
Dari segi pembangunan sahsiah guru, perbuatan mengedar dadah secara kerja
sambilan yang dilakukannya menyebabkan masyarakat menilai sahsiah guru secara umum
bahawa guru-guru sekarang sudah tidak bersahsiah. Adakah benar bahawa guru-guru
sekarang menjadi guru bukan atas dasar minat dan tanggungjawab, tetapi disebabkan
mahu mendapat sesuatu pekerjaan demi menjamin ekonominya? Adakah gaji pekerjaan
seorang guru tidak mencukupi di sebabkan desakan kewangan, tekanan hidup dan desakan
nafsu kemahuan mengejar pendapatan tambahan yang lumayan serta menginginkan
kehidupan mewah dan bergaya tanpa mempunyai rasa bersyukur di atas rezeki yang
diperolehi sehingga sanggup melakukan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan?
Guru-guru ini tidak menghayati sepenuhnya akan tanggungjawab, maksud yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Negara dan kod etika perguruan kerana jawatannya dianggap
sebagai sandaran untuknya mendapatkan sumber ekonomi, bukan atas dasar
tanggungjawab.
Isu guru menjalankan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan yang
menyalahi undang-undang negara ini biasanya ia dilakukan tanpa mengira masa sama ada
setelah tamat waktu kerja rasmi atau dilakukan pada waktu malam dan masa terluang.
Setelah penat bekerja di sekolah sepanjang hari, guru menyambung kerja mereka dengan
melakukan kerja sampingan tersebut. Keadaan ini sudah pasti memerlukan tenaga kerja
yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan yang akan menerima kesanya. Mereka pasti
akan keletihan dan pergi ke sekolah pada keesokan harinya dalam keadaan yang lesu dan
tidak bermaya atau pergi ke sekolah sibuk melakukan pekerjaan sampingan. Akhirnya
segala perancangan pengajaran dan pembelajaran tidak dibuat dan tugas mengajar
dilaksanakan secara ala kadar sahaja, sekadar melepaskan batuk di tangga. Guru
seharusnya menjadikan tugas di sekolah sebagai tugas utama, kerja luar hanya sampingan
sahaja. Namun, agak malang kerana perkara yang terjadi adalah di sebaliknya. Kerja luar
sudah menjadi kerja utama, sebaliknya tugas mengajar pula yang menjadi kerja sampingan
mereka. Keadaan ini amatlah menyedihkan dan sekiranya ia tidak diatasi para murid akan
turut menjadi mangsa tindakan segelintir guru berkenaan.
Golongan yang melakukan kerja sambilan ini memberi kesan tumpuan terhadap
kerjaya utamanya sebagai pendidik. Guru berkenaan akan dilihat kurang memberikan
komitmen terhadap tugas seterusnya organisasi mereka iaitu sekolah. Keadaan ini akan
menyumbang kepada pelbagai masalah lain yang berhubungkait dengan bidang tugas yang
dipertanggungjawabkan ke atasnya. Selain itu, kurangnya komitmen terhadap kerjayanya
telah menyebabkaan prestasi menjadi merosot disebabkan hilang daya tumpuan semasa
melakukan tugas. Hyder & Ahmed (2009) menyatakan individu yang menjalankan pekerjaan
sampingan memperuntukkan masa selepas waktu bekerja utamanya hingga menjejaskan
produktiviti dan prestasi mereka sendiri.
Pendapat ini turut disokong oleh Champion (2010) yang menyatakan mereka yang
bekerja sambilan ini mengalami masalah kekurangan tenaga dan kurang daya keupayaan
sehingga menjejaskan tumpuan untuk menjalankan tugas. Ini kerana guru terbabit biasanya
menjalankan kegiatan tersebut pada waktu malam dan memerlukan tenaga untuk
menjalankan pekerjaannya. Maka, keadaan ini juga akan menyebabkan tahap poduktiviti
berkurangan yang dilihat sebagai satu liabiliti kepada pihak sekolah.
Kesan yang wujud hasil daripada perbuatan guru tersebut yang melakukan pekerjaan
sambilan dengan mengedar dadah adalah berhubung dengan komitmen mereka terhadap
sekolah sebagai guru dan kakitangan perlu dinilai adakah ia menjejaskan komitmennya
sebagai guru di sekolah terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, organisasi dan juga
profesion. Ini disebabkan kerjaya perguruan memerlukan komitmen yang tinggi
memandangkan guru merupakan agen yang membawa kepada perubahan bagi sesebuah
negara melalui sistem pendidikan yang bersifat dinamik.
4.0 CADANGAN/RUMUSAN
Berdasarkan kepada huraian yang dijelaskan berkenaan isu guru melakukan
kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan, saya mencadangkan bahawa
setiap guru perlu mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta boleh dicontohi
oleh murid. Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok,
bersabar, bermurah hati, sentiasa bersifat tenang dan mampu menguruskan kehidupan
serta kewangan dengan lebih berkesan. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru
adalah hasil daripada latihan yang diikutinya semasa menjalani kursus di institusi
perguruan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat
psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran yang berkesan.
Selain daripada menjalankan tugas di dalam bilik darjah, guru juga perlu sedar akan
peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya, guru diharapkan menjadi
pengganti ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukan sahsiah
murid, menjadi kaunselor, pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang baik dan
seterusnya menjadi contoh sahsiah yang terpuji kepada masyarakat. Sebagai seorang guru
perlu membimbing generasi muda kini tentang keburukan penyalahgunaan dadah dan
bukannya dia sendiri yang bertindak mengherat pelajarnya ke kancah dadah yang menjadi
musuh pembunuh utama negara.
Pada masa yang sama, guru juga harus sentiasa mengikuti kursus-kursus dan
seminar motivasi pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan
Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai etika profesion perguruan.
Sebagai contoh, guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus
Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan ini penting bagi
seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion
pendidikan yang kian mencabar dan kompleks selari dengan era globalisasi kini. Oleh
kerana sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah untuk menyokong usaha-usaha
kerajaan, maka profesion keguruan dharapkan dapat membuat anjakan paradigma kepada
budaya yang berasakan ilmu dan pemikiran (Rohani Abdul Hamid, 1998) demi meletakkan
nama negara setanding dengan negara maju yang lain.
Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia mempelbagaikan aktiviti dan program kepada bakal pendidik semasa
menjalani kursus latihan di institusi perguruan lagi. Contohnya, mengadakan bengkel,
ceremah, seminar, pertandingan, aktiviti sukan dan sebagainya. Di dalam program ini guru-
guru pelatih akan didedahkan dengan konsep sebenar berkenaan kod etika dan
akauntabiliti keguruan. Penyediaan program dan aktiviti seperti ini akan melahirkan pendidik
negara bangsa yang beretika dan mempunyai sahsiah yang tinggi.
Di samping itu, berkenaan isu kegiatan guru mengedar dadah secara kerja sambilan
dengan menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah perlu dipandang serius oleh
pihak berkaitan terutamanya pihak sekolah, pihak berkuasa dan juga Kementerian
Pelajaran. Saya mencadangkan agar guru terbabit dikenakan hukuman yang berat seperti
buang kerja dan tidak dibenarkan untuk memohon sebarang pekerjaan di bawah
perkhidmatan awam kerana tindakan yang dilakukan merupakan satu kegiatan jenayah
yang bukan sahaja mencemarkan imej profesion perguruan malah dadah adalah
merupakan musuh utama negara. Pandangan saya ini adalah selari dengan pendapat
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, yang menyatakan tindakan
pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit membuktikan Kementerian
Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan
imej profesion perguruan di negara ini. Maka, saya sangat bersetuju dengan pendapat
beliau bahawa peraturan dan hukuman sedia ada yang telah ditetapkan perlu dilaksanakan
dengan tindakan yang tegas.
Seterusnya, sebagai guru terlatih kelak seharusnya menunjukkan penampilan diri
sebagai pendidik dengan mempunyai pelbagai ilmu tradisional dan moden. Guru juga
perlulah mempunyai kefahaman terhadap dasar dan aspirasi pendidikan negara dengan
jelas dan mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika cemerlang dalam
perkhidmatan mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat dipisahkan. Etiket sosial
merupakan perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak-geri yang elok mengikut
kesesuaian semasa berinteraksi dan pergaulan sehariannya. Guru haruslah berupaya
menjadi agen pembangunan dan pembaharuan dalam masyarakat dengan menampilkan
etiket sosial yang disenangi.
Tambahan lagi, guru merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian walau
di mana mereka berada. Segala tindak tanduknya sering diperhatikan oleh masyarakat
sekeliling. Keadaan ini menjadi satu kewajipan bagi guru-guru mengamalkan penampilan
diri dan menunjukkan contoh akhlak yang baik bagi memelihara martabat profesion
perguruan. Oleh kerana guru ibarat idola dalam masyarakat, maka guru perlu berupaya
menampilkan diri dan mengaplikasikan nilai-nilai kesantunan agar dapat menyesuaikan diri
dalam sebarang keadaan yang dihadapinya.
Sebagai seorang guru iaitu pendidik generasi bangsa perlu sentiasa mendalami diri
dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat mengimbangi pemikiran sedar dan bawah
sedarnya supaya setiap tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan etika profesionnya
yang akan meninggalkan impak ke atas semua pihak termasuklah dirinya sendiri.
Sememangnya banyak isu yang timbul atau ditimbulkan melibatkan guru dilihat sebagai
melanggar etika perguruan seperti isu melakukan kegiatan menyalahgunakan dadah
sebagai pekerjaan sambilan. Etika seorang guru yang perlu dipatuhi melibatkan
tanggungjawabnya terhadap semua pihak yang terlibat dengannya secara langsung atau
tidak langsung. Pelanggaran etika perguruan sebagai profesionnya akan mengakibatkannya
dilabel sebagi individu gagal dan bersahsiah negatif.
Secara keseluruhannya dapatlah saya rumuskan bahawa setiap individu telah
dilahirkan dengan sifat-sifat yang baik dan faktor-faktor pembelajaran, nilai, pergaulan
banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat. Setiap isu yang timbul melibatkan guru
sebenarnya bukan menunjukkan kegagalan guru secara keseluruhannya, namun ia
hanyalah kegagalan guru terlibat secara individu disebabkan kegagalannya
menterjemahkan sesuatu keburukan yang dilakukan akan meninggalkan impak terhadap
dirinya serta banyak lagi pihak yang lain. Kebebasannya untuk membuat sesuatu pilihan
dan keputusan menyebabkannya gagal menginterpretasikannya dalam keadaan yang betul
lantaran wujud gangguan psikologi kawalan luaran yang menghalangnya daripada membuat
keputusan yang terbaik. Semuanya adalah kerana kekurangan nilai dan moral serta akibat
beberapa keperluan asasnya tidak dapat dipenuhi dengan baik.
Posted by edu3108ipgktb at 03:45
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest
Labels: Isu Keguruan 2: Guru Kerja Sambilan oleh Nursyahida bt Mohd Yusoff
1 comment:
1.

emi nizam7 January 2013 07:38
salam... good job. belajar rajin2. nanti kalau buat kajian ilmiah harus lebih

Anda mungkin juga menyukai