Anda di halaman 1dari 3

HTTP://WWW.BHARIAN.COM.

MY/NODE/2819
BERITA HARIAN
RABU, 27 OGOS 2014 @ 7:53 AM
Bersatu dalam kepelbagaian kaum, budaya, bahasa
Teo Kok Seong
Kenyataan seorang negarawan ulung bahawa rakyat Malaysia akan terus
terpisah dari segi kaum akibat kontrak sosial yang dimeterai, adalah benar. Ini
kerana perjanjian etnik menjelang kemerdekaan itu mengkehendaki kita
membina negara ini atas dasar kemajmukan etnik.
Dengan ini, negara yang berdaulat itu akan membenarkan setiap etnik terus
menuturkan bahasa ibundanya, menganuti agamanya dan mengamalkan
budayanya. Sehubungan ini, tiga ciri ini akan terus memisahkan rakyat
Malaysia.
Inilah caranya negara ini dibina dan Malaysia akan terus begini untuk satu
tempoh panjang. Dengan ini, kita akan terus meraikan kepelbagaian budaya
seperti yang dibenarkan dalam kemajmukan etnik. Ini berbeza dengan
asimilasi, yakni keperluan kelompok bukan asal berubah menjadi seperti
kelompok asal. Asimilasi adalah asas pembinaan beberapa negara.
Antaranya Indonesia, Thailand dan Filipina di rantau ini. Dengan ini, kaum
Cina misalnya, yang pada mulanya berhijrah ke tiga negara ini, dan
kemudiannya ingin terus menetap di sana, perlu meninggalkan cara hidup
negara asal mereka.
Ini bermakna dalam ranah rasmi, mereka wajib bukan sahaja mempamer jati
diri etnik asal. Mereka juga wajib mendukungnya dalam kehidupan sosial
harian, termasuk dalam ranah domestik.
Kebebasan terus hidup
Keadaan ini amat berbeza dengan kaum Cina di Malaysia. Oleh sebab dasar
kemajmukan etnik di sini, mereka diberikan kebebasan untuk terus hidup

sebagai etnik Cina. Dengan ini, bukan sahaja budaya dan sistem
kepercayaan mereka boleh terus diamalkan, pendidikan dalam bahasa
ibunda mereka juga dibenarkan berkembang pesat.
Sesungguhnya kebebasan ini adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling
bestari. Selain ini, kerjasama dan akomodasi oleh kaum Melayu selaku
kelompok etnik asal dan dominan, kepada kaum bukan asal dan minoriti,
adalah ciri bestari yang lain.
Dengan ini, walaupun minoriti, kaum Cina di Malaysia, tidak sesekali diberi
layanan tidak baik, seperti yang dialami sesetengah minoriti di tempat lain.
Sehubungan ini, selain dibenarkan terus melestarikan warisan budaya dalam
bentuk utuh, mereka ikut dibabitkan secara aktif dalam kesemua institusi
politik, ekonomi dan pendidikan negara.
Inilah skemanya di Malaysia, iaitu kita cuba bersatu dalam kepelbagaian.
Dengan ini, kita terus wujud sebagai kelompok berasingan pada tahap etnik
dan berikhtiar menjadi satu komuniti nasional pada peringkat negara.
Sehubungan ini, kita akan terus menganjurkan pluralisme dan bukannya
asimilasi.
Asimilasikan budaya
Bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan kelompok bukan asal, yang
telah mengasimilasikan warisan budaya Melayu dalam kehidupan harian
mereka. Antaranya Baba-Nyonya Cina Melaka, Chetti India Melaka dan
Peranakan Cina Kelantan.
Kumpulan ini yang memperlihat asimilasi budaya Melayu yang tinggi dengan
menerima makanan, cara hidup dan bahasa Melayu, bukan sahaja sanggup
mengidentifikasi diri dengan kaum Melayu. Mereka ini sebenarnya contoh
terbaik mengenai percubaan bersatu dalam kepelbagaian yang ingin dicapai
itu.

Pluralisme etnik adalah hakikatnya di Malaysia dan ia akan terus melandasi


pemerintahan negara ini. Justeru, ia perlu ditangani bukan sahaja secara
baik, tetapi bijak oleh kaum Melayu dan yang bukan Melayu.
Ini penting bukan sahaja untuk menjaga hubungan etnik yang baik, ia amat
penting untuk kemajuan Malaysia sebagai negara maju.
Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan bahawa kaitan antara hubungan etnik
baik dengan kemajuan negara dinamik, adalah kepentingan nasional yang
perlu diberi perhatian serius oleh semua kaum. Dengan ini, kita harus pintar
menangani etnisiti sebagai faktor penting. Ini kerana ia mempunyai keduadua peranan menyatu dan memecah.
Walaupun pluralisme kita amalkan, ia sebenarnya pluralisme adil. Ini
bermakna perbezaan antara kaum dikenal pasti dan diuruskan dalam
kerangka yang dipersetujui bersama. Antaranya sistem ekonomi nasional
yang membabitkan semua kaum dengan kesedaran perlunya tindakan
afirmatif untuk kaum Melayu dan peribumi.
Kewujudan terus kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia adalah sifat akibat
pluralisme. Walaupun begini, tiga kaum ini boleh cuba disatukan. Antaranya
oleh Rukun Negara. Ini kerana ia digubalkan untuk menyatukan rakyat
Malaysia dalam kerangka pluralisme yang lebih adil.
Penulis ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis
Profesor Negara.

Anda mungkin juga menyukai