Anda di halaman 1dari 13

BAB III

SAINS DAN ISLAM


OBJEKTIF
Membincangkan konsep sains dan pengertian sains dalam
tradisi Islam.
Menjelaskan salah faham terhadap pengajian ilmu sains dan
pandangan Islam terhadap pengajian ilmu sains yang sering
dilabel sebagai ilmu sekular.
Membincangkan metodologi yang diguna pakai dalam sains
Islam dan ciri-cirinya.
PENDAHULUAN
Islam adalah agama yang amat mementingkan budaya ilmu dan
menyeru umatnya agar menjauhi lembah kejahilan. Antara jalan
utama yang menggalakkan budaya ilmu dan menghindarkan
umat daripada lembah kejahilan ialah melalui pendidikan.
Justeru, pendidikan amat dituntut dalam Islam dengan syarat
ilmu-ilmu itu mestilah bermanfaat dan tidak bercanggah dengan
syariat.
KONSEP SAINS
Perkataan sains berasal daripada kata scio, scire atau scientia
(bahasa Latin) yang bermaksud pengetahuan. Mengikut Endang
Saifuddin Ansari (1982:43), sains mempunyai ciri-ciri, tandatanda dan syarat-syarat yang khas. Justeru itu, sains lebih tepat
disebut sebagai ilmu pengetahuan, atau singkatnya, ilmu.
Menurut Wan Fuad (1990: 3) pula, istilah sains pada asalnya
membawa pengertian yang mudah, iaitu ilmu.
Sebelum
kemunculan sains moden, sains hanya membawa pengertian
yang mudah tersebut, iaitu perbendaharaan ilmu yang diperakui
benar setelah diolah zaman berzaman. Akan tetapi, makna sains
kini telah berubah.
Menurut Kamus Dwibahasa (1990: 1111), sains adalah ilmu
pengetahuan yang teratur (sistematik) yang boleh diuji atau
dibuktikan kebenarannya; cabang ilmu pengetahuan yang
berdasarkan kepada kebendaan atau kenyataan semata-mata
(fizik, kimia, kajihayat dan lain-lain). Sulaiman Nordin (1993:148)
mendefinisikan sains sebagai satu kumpulan ilmu yang tersusun
dan teratur berkaitan dengan kajian-kajian fenomena-fenomena
di dalam alam tabie yang bernyawa dan yang tidak bernyawa
dengan kaedah yang objektif melalui kajian eksperimen dan
cerapan bagi menghasilkan prinsip-prinsip yang boleh dipercayai
serta boleh diuji kebenarannya. Demikian juga Hairudin Harun
(1992:5) yang memetik pandangan Clagett yang mendefinisikan
sains sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan dan fahaman
atau huraian sistematik mengenai fenomena tabii.
Huraian
sistematik adalah melibatkan penggunaan kaedah kuantitatif dan
intelek. Ini termasuk kaedah logik dan matematik serta segala
peralatan yang diperlukan.
Sains juga didefinisikan sebagai ilmu yang didapati melalui
metodologi saintifik. Dalam konteks sains moden, metodologi

tersebut pada asasnya terdiri daripada kaedah empirikal dan matematik sahaja.
Dari segi tradisi sains moden, boleh dikatakan bahawa metodologi saintifik 2
hanya melibatkan empat proses aktiviti intelektual yang utama, iaitu cerapan,
generalisasi, huraian, dan ramalan. Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa
sains adalah usaha pemahaman manusia yang disusun dalam satu sistem
mengenai kenyataan, struktur, bahagian-bahagian dan hukum-hukum tentang hal
ehwal yang diselidiki (alam, manusia dan agama) sejauh yang terjangkau oleh
daya pemikiran serta dibantu oleh pancaindera manusia, sementara
kebenarannya pula dapat diuji secara empiris dan eksperimental (Endang
1982:45).
PENGERTIAN SAINS DALAM TRADISI ISLAM
Pengertian sains sebagaimana yang dibincangkan di atas adalah
merujuk kepada pengertian sains sebagaimana yang difahami dalam
sains moden. Ia sama sekali sangat berbeza dengan pengertian sains
dalam tradisi Islam. Menurut Hairudin Harun (1992:7), dalam tradisi
sains tamadun awal terutamanya tamadun Islam, kaedah empirikal
dan matematikal ataupun logikal merupakan sebahagian sahaja
kaedah yang digunakan. Metodologi sains Islam juga mengakui
kaedah yang bukan empiris seperti ilham dan kaedah gnostik atau
kashf sebagai tergolong dalam metodologi saintifik. Kaedah-kaedah
ini pernah diamalkan oleh tokoh-tokoh sains Islam yang terkenal.
Misalnya, Ibn Sina dilaporkan pernah beriktikaf atau bertafakkur
di dalam masjid untuk mencari ilham bagi menyelesaikan sesuatu
masalah sains apabila beliau gagal menyelesaikannya dengan cara
biasa. Ibn Sina tidak menganggap bahawa kaedah rasional lebih
tinggi daripada kaedah berdoa. Malahan, bagi Ibn Sina berdoa
adalah sebahagian daripada metodologi saintifik. Tegasnya, definisi
metodologi saintifik dalam sains Islam adalah lebih luas daripada
yang biasa difahami masa kini. Oleh itu, bidang ilmu dalam tradisi
sains Islam yang diistilahkan sebagai sains adalah meliputi pelbagai
bidang. Contohnya, muzik adalah ilmu yang serius dalam budaya
sains Islam dan merupakan sebahagian daripada subjek matematik
gunaan atau fizik matematik. Namun, muzik pada masa kini lebih
dikaitkan dengan ilmu hiburan dan dijadikan sebahagian daripada
industri pop-rock yang tidak menentu malah boleh menyesatkan
manusia daripada ajaran agama.
SALAH FAHAM TERHADAP PENGAJIAN ILMU SAINS

Terdapat salah faham dalam kalangan segelintir masyarakat Islam terhadap


pengajian ilmu sains yang dilabel sebagai ilmu sekular atau ilmu keduniaan 3
semata-mata. Salah faham tersebut adalah kesan daripada pandangan yang
membahagikan ilmu kepada ilmu agama dan ilmu dunia.
Hakikatnya,
pembahagian tersebut adalah suatu pembahagian yang salah dan perlu diubah
kerana membawa beberapa kesan negatif.
Antara kesan buruknya ialah
melahirkan perasaan rendah diri kerana menganggap dirinya semakin jauh
daripada agama selain perasaan kurang terdorong untuk menghayati dan
mengamalkan ajaran agama kerana merasakan tiada hubungan antara ilmu sains
dengan kehidupan beragama.
Jika keadaan ini tidak dibendung, ia boleh
membawa kepada kemunduran nilai akhlak dan kehilangan jati diri sebagai saintis
Muslim dalam kalangan penuntut ilmu. Secara tidak langsung, pembahagian
tersebut turut menyokong proses sekularisasi ilmu kerana wujudnya unsur
pengasingan agama daripada urusan yang berkaitan dengan kehidupan seharian.
Pembahagian yang lebih tepat ialah dengan membahagikan ilmu kepada
dua, iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Menerusi pembahagian tersebut
pemikiran positif masyarakat Islam terhadap pengajian sains akan dapat
dipertingkatkan kerana melibatkan tanggungjawab menunaikan kewajipan yang
bersifat individu (fardu ain) atau melepaskan tanggungjawab sesebuah
masyarakat (fardu kifayah). Pembahagian tersebut juga memungkinkan suatu
cabang dalam ilmu sains yang asalnya bersifat fardu kifayah bertukar menjadi
fardu ain, iaitu apabila keperluan terhadapnya menjadi terdesak dan boleh
mendatangkan kemudaratan jika tidak dipelajari oleh umat Islam.
PENGAJIAN ILMU SAINS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Islam adalah agama yang amat mementingkan budaya ilmu dan begitu tegas
menyeru umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam proses pencarian ilmu
pengetahuan. Ketegasan Islam dalam proses pencarian ilmu dapat dibuktikan
dengan fakta bahawa wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad
s.a.w memberi penekanan kepada pembacaan sebagai wahana penting dalam
usaha keilmuan. Asas galakan membaca telah dinyatakan dalam firman Allah
S.W.T. (al-Alaq, 96: 1) yang bermaksud: Bacalah (wahai Muhammad) dengan
nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan ke atas setiap umat Islam, sama ada
lelaki atau wanita. Tuntutan ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Ibn Majah i yang
bermaksud: menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap orang Islam.
Menurut Imam al-Ghazli (1992: 27), kewajipan menuntut ilmu yang tersebut
dalam hadis ini terbahagi kepada dua, iaitu wajib fardu ain dan wajib fardu
kifayah.
Pembahagian ini berdasarkan jenis sesuatu ilmu yang dituntut.
Mempelajari ilmu-ilmu yang berasaskan wahyu seperti ilmu tauhid, hadis, tafsir,
dan fikah adalah wajib fardu kifayah. Mempelajari ilmu-ilmu yang berasaskan
akal seperti perubatan dan matematik termasuk dalam wajib fardu kifayah.

Dengan menuntut ilmu, seorang Muslim akan dapat melepaskan dirinya


daripada belenggu kejahilan, malah Islam memberi kemuliaan dan kedudukan
4
yang tinggi kepadanya. Lebih daripada itu, Islam membezakan antara golongan
yang berilmu dengan golongan yang tidak berilmu. Antara ayat al-Quran yang
menjelaskan perbezaan tersebut ialah firman Allah S.W.T (az-Zumar 39: 9):
Terjemahan: Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang
mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?
Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima
pelajaran.
Dalam satu ayat al-Quran yang lain, Allah menjelaskan bahawa golongan
yang berilmu diangkat kedudukan mereka beberapa darjat lebih tinggi daripada
golongan yang tidak berilmu. Firman Allah S.W.T menjelaskan hal ini (alMujaadalah 58: 11):
Terjemahan: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman
dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.
Di samping itu, kandungan al-Quran merangkumi pelbagai jenis ilmu
pengetahuan. Menurut Sardar (1991: 25, 62, 67), al-Quran umpama cahaya
pembimbing untuk digunakan dalam menunjukkan jalan yang lurus ke arah ilmu
dan keselamatan.
Al-Quran turut menyentuh beberapa tema saintifik di
dalamnya seperti biologi, astronomi, meteorologi, botani, zoologi, dan kosmologi,
walaupun tema utama al-Quran adalah mengenai ciptaan Allah.
Selain mengandungi petunjuk tentang perundangan dan halal-haramnya
sesuatu aktiviti, adab dalam muamalat (pergaulan) antara manusia dalam bidang
ekonomi, perniagaan, sosio budaya, peperangan dan perhubungan antarabangsa,
al-Quran juga mengandungi maklumat ataupun isyarat tentang perkara yang
telah menjadi tumpuan kajian sains, umpamanya tentang cap jari tangan sebagai
alamat pengenalan manusia, penciptaan bumi dan langit, bentuk bumi yang bulat
dan berpusing di atas paksinya serta beredar mengikut orbitnya mengelilingi
matahari, dan tentang penciptaan makhluk yang berpasangan (Baharuddin Yatim
& Sulaiman Noordin, 1996: 1).
Antara ayat al-Quran yang menyentuh fenomena sains seperti ilmu falak
atau astronomi ialah firman Allah S.W.T (Yaa siin 36: 37-40):
Terjemahan: Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi
mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka
dengan serta-merta mereka berada dalam kegelapan.
Dan
matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan
Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Dan telah Kami tetapkan
bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke
manzilah terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua
(tandan kering yang melengkung). Tidaklah mungkin bagi matahari
mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang.
Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.

Persoalan tentang fenomena botani turut dijelaskan dalam al-Quran seperti 5


yang terdapat dalam firman Allah S.W.T (Qaaf 50: 9-11):
Terjemahan: Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak
manfaatnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan
biji-biji tanaman yang diketam. Dan pohon kurma yang tinggi-tinggi
yang mempunyai mayang-mayang yang bersusun-susun. Untuk
menjadi rezeki bagi hamba-hamba (Kami), dan Kami hidupkan
dengan air itu tanah yang mati (kering). Seperti itulah terjadinya
kebangkitan.
Terdapat juga ayat al-Quran yang membicarakan salah satu topik terpenting
dalam fizik iaitu cahaya. Kedudukan cahaya adalah begitu penting kerana dalam
teori kerelatifan halaju, segala gerakan adalah relatif tetapi halaju cahaya adalah
mutlak. Selain daripada keperluan kepada cahaya untuk melihat, cahaya juga
bahan yang memberi maklumat tentang keadaan sesuatu atom, nukleus atau
pepejal. Kepentingan cahaya dari sudut fizik terdapat dalam ayat berikut (anNuur 24: 35):
Terjemahan: Allah (Pemberi cahaya kepada) langit dan bumi.
Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah lubang yang tak
tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca
(dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti
mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak
berkatnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur
dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampirhampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas
cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya
siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaanperumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala
sesuatu.
Al-Quran tidak ketinggalan dalam memberi perhatian mengenai ilmu kimia.
Ini dijelaskan menerusi ayat mengenai kejadian manusia yang diciptakan daripada
tanah. Penemuan sains moden telah dapat memastikan bahawa dalam jasmani
manusia terdapat semua unsur-unsur kimia seperti yang didapati daripada tanah.
Antara ayat yang membicarakan tentang fenomena tersebut ialah firman Allah
S.W.T (Saad 38: 71):
Terjemahan: (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:
Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah.
Berdasarkan beberapa contoh tersebut, jelas terbukti bahawa al-Quran
memberikan perhatian terhadap banyak topik yang berhubung dengan sains.
Antara matlamat utama al-Quran memberi perhatian terhadap fenomenafenomena sains tersebut adalah untuk mengajak orang-orang yang beriman
supaya berfikir, merenung, mengkaji (Sardar, 1991: 28) dan menyedari

keagungan Tuhan serta menginsafi kelemahan insan selaku makhluk yang


diciptakan.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia supaya


berfikir, melihat dan memerhati alam sekitarnya.ii Secara tidak langsung, ini
bermakna penerapan asas penting untuk seseorang Muslim menjadi saintis telah
diberi perhatian oleh al-Quran. Antara ayat yang menggalakkan manusia supaya
berfikir, melihat, dan memerhati alam sekitarnya ialah firman Allah S.W.T (adzDzaariyaat 51: 20-21):
Terjemahan: Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang yakin. Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka
apakah kamu tiada memerhatikan?
Pendekatan al-Quran terhadap sains mempunyai kaitan yang rapat dengan
iman. Hal ini demikian kerana al-Quran tidak pernah menganjurkan orang
beriman supaya meneroka sains semata-mata untuk sains (Sardar, 1991: 28).
Penerokaan sains yang sejajar dengan pendekatan al-Quran, secara tidak
langsung akan dapat menyingkap tanda-tanda kekuasaan Allah yang telah
menjadikan alam semesta. Dengan cara ini manusia dapat mengenali Tuhannya
setelah menyedari hakikat kejadian dan kedudukannya sebagai hamba Allah.
Al-Quran melihat sains dalam kerangka pengalaman manusia seluruhnya
iaitu akal dan menuntut ilmu mempunyai tempat yang amat tinggi dalam
masyarakat Islam, tetapi ia tunduk kepada nilai dan etika al-Quran. Dalam
kerangka ini, akal dan wahyu berjalan seiringan dan tiada konflik antara Islam dan
sains. Walau bagaimanapun, suatu konflik boleh timbul apabila sains dan
metodenya dijadikan nilai serba menyeluruh sehingga mengorbankan nilai-nilai
lain dalam Islam.
Selain daripada ayat-ayat al-Quran tentang fenomena sains, terdapat
beberapa hadis yang memberi galakan kepada umat Islam agar mempelajari dan
mendalami fenomena sains. Antara hadis tersebut ialah peristiwa Nabi
Muhammad s.a.w yang melarang sahabat baginda daripada melakukan proses
pendebungaan pokok kurma (dengan menabur debunga jantan ke atas debunga
betina) lalu menyebabkan buah kurma tidak masak sepenuhnya. Rentetan
daripada itu baginda s.a.w bersabda yang maksudnya:
Sesungguhnya aku adalah manusia, maka apabila aku menyuruh
kamu dengan sesuatu daripada urusan agama kamu, hendaklah
kamu menerimanya. Dan apabila aku menyuruh kamu dengan
sesuatu daripada urusan dunia kamu, maka aku adalah seorang
manusia.
(Riwayat al-Tabarni, 4/280)
Hadis tersebut menjelaskan bahawa segala urusan agama hendaklah
berpandukan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang
merangkumi al-Quran dan hadis. Berkenaan dengan urusan keduniaan seperti

pertanian, umat Islam tidak dikongkong oleh agama dan diberi kebebasan untuk
mempelajari, mengkaji, dan melakukannya selagi tidak bertentangan dengan
7
syariat.
Aspek kesihatan dan perubatan begitu mendapat perhatian daripada Nabi
s.a.w kerana fizikal yang sihat dan bebas daripada penyakit akan memberikan
daya fikir yang baik. Bidang perubatan melibatkan pelbagai jenis ilmu sains
seperti biologi, zoologi, botani, dan kimia. Hal ini demikian kerana bidang
perubatan memerlukan pengetahuan yang banyak seperti pengetahuan
mengenai kaedah pencegahan dan rawatan sesuatu penyakit, tanda-tanda
sesuatu penyakit dan penyediaan ubat daripada bahan yang terdiri daripada
tumbuhan, campuran beberapa cecair, dan bahagian tertentu haiwan.
Sehubungan dengan hal tersebut, Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan
kepentingan dan keperluan kepada perubatan yang secara tidak langsung
menggalakkan umat Islam mempelajari ilmu-ilmu sains yang berkaitan
dengannya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w ketika ditanya tentang perlunya
berubat, selain daripada berdoa memohon kesihatan yang maksudnya:
Berubatlah kerana sesungguhnya Allah tidak menetapkan suatu
penyakit kecuali ditetapkan ubat baginya (atau baginda bersabda)
penawar baginya kecuali satu penyakit. Mereka (para sahabat)
bertanya: Apakah dia wahai Rasulullah. Baginda menjawab
penyakit tua.
(Riwayat al-Tirmidhi, 4/383)
Dalam sejarah peradaban Islam, ilmu sains turut dikenali sebagai ilmu hikmah,iii
manakala seorang saintis digelar hakim yang bermaksud seorang yang bijaksana.
Hal ini sejajar dengan ajaran Islam yang amat menggalakkan umatnya memiliki
ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Dalam menjelaskan kepentingan ilmu
kepada umat, Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya:
Hikmah itu (ibarat) harta yang hilang dari orang mukmin, di mana
sahaja dia menjumpainya, maka dia lebih berhak terhadapnya.
(Riwayat al-Tirmidhi, 5/51)iv
Berdasarkan keterangan-keterangan daripada al-Quran dan hadis tersebut,
dapatlah disimpulkan bahawa Islam memandang positif terhadap ilmu sains yang
memberi pelbagai faedah dan banyak membantu dalam memudahkan urusan
hidup manusia.
Melihat kepada pandangan Islam yang positif terhadap ilmu sains, maka
tidak hairanlah sebahagian sarjana Muslim seperti al-Ghazli (1992: 1/27)
berpendapat bahawa hukum mempelajari ilmu sains seperti perubatan dan
matematik adalah fardu kifayah. Hal ini demikian kerana mempelajari ilmu
perubatan adalah penting untuk menjaga kesihatan tubuh badan sementara
mempelajari ilmu matematik adalah penting dalam urusan perniagaan dan
pembahagian harta pusaka.

Ibn Khaldun (1996: 467) menjelaskan faedah mempelajari ilmu matematik 8


yang tergolong sebagai sebahagian daripada ilmu sains seperti berikut:
Antara sebaik-baik pendidikan adalah yang dimulakan dengan ilmu
hisab (matematik), kerana ia menitikberatkan pengetahuan yang
jelas dan bukti-bukti yang sistematik. Kebiasaannya, ia dapat
melahirkan suatu fikiran yang cerdas dan terlatih dengan
kebenaran.
Dikatakan bahawa sesiapa yang memulakan
pengajiannya dengan mempelajari ilmu hisab seawal mungkin
dalam kehidupannya, dan sebagaimana lazimnya akan menjadi
orang yang jujur. Ini kerana ilmu hisab memiliki asas yang baik dan
menuntut disiplin diri. Kebenaran dan disiplin itu akan menjadi
suatu watak bagi orang yang mempelajarinya. Dia akan terbiasa
dengan kebenaran dan mematuhinya sebagai suatu aliran.
Berdasarkan kenyataan tersebut, Ibn Khaldun (1996: 471) berpendapat
bahawa pengajian ilmu matematik mempunyai faedah dari aspek mental dan
akhlak seperti melahirkan fikiran yang cerdas dan terlatih dengan kebenaran yang
mendorong kepada sifat jujur dan bercakap benar. Dalam satu kenyataan lain
beliau menyatakan :
Orang yang secara terus-menerusnya mengaplikasikan geometri
adalah agak sukar untuk melakukan kesalahan. Dengan cara
mudahnya, orang yang mengetahui geometri mempunyai
tingkatan keadilan yang tinggi.
Ibn Khaldun menguatkan lagi kenyataan beliau tentang faedah mempelajari
ilmu geometri dengan katanya;
Para pendidik kami pernah menyatakan bahawa usaha melatih
fikiran dengan geometri seakan sama seperti fungsi sabun kepada
pakaian.
Ia
membersihkan
tompok-tompok
kotor
dan
menghilangkan daki kotoran daripadanya.
Menurut Sulaiman Noordin (1979: 1), dalam tamadun Islam, alam tabii yang
menjadi fokus pengajian ilmu sains dianggap sebagai kitab Allah yang terbuka
atau kitab kedua yang mengandungi tanda-tanda (rahsia-rahsia) kebesaran dan
kebijaksanaan Allah. Ini bermakna segala penemuan sains pada asasnya
bermatlamatkan sains semata-mata, tetapi apabila disertakan dengan semangat
keilmuan Islam, ia akan dapat membuka fikiran manusia ke arah memikirkan
kebesaran dan kebijaksanaan Allah, Tuhan Pencipta seluruh alam semesta.
METODOLOGI SAINS ISLAM
Sains Islam mempunyai pelbagai kaedah yang boleh digunapakai untuk
mendapatkan hasil yang terbaik. Menurut ahli sains, terdapat enam pendekatan
aqliah (akal) dalam sains, iaitu: (Haji Abu Hassan bin Haji Ali, 2005: h. 1)
1) Meneliti makhluk di dalam alam sekitar

2) Memahami, memikir dan mengkelaskan maklumat dalam bentuk data dan


fakta
9
3) Membuat analisis dan membina andaian yang berdasarkan akal dan logik
4) Menguji setiap anggapan melalui eksperimen
5) Membuat hipotesis secara sementara
6) Memutuskan kesimpulan tentatif sebagai konsep, teori dan hukum sains
umum
Perbincangan lanjut mengenai kerangka asas sains Islam boleh
dibahagi kepada dua, iaitu metodologi yang berupa langkah-langkah
yang diikuti sewaktu menjalankan kajian dan keduanya, ciri-ciri umum
yang membentuk metodologi dan membolehkannya diguna untuk
mencapai objektif kajian.
Sebagaimana yang telah dijelaskan
sebelum ini bahawa dalam tradisi sains tamadun awal terutamanya
tamadun Islam, kaedah empirikal dan matematikal ataupun logikal
merupakan sebahagian sahaja kaedah yang digunakan. Metodologi
sains Islam juga mengakui kaedah yang bukan empiris seperti ilham
dan kaedah gnostik atau kashf sebagai tergolong dalam metodologi
saintifik. Meskipun, saintis Muslim tidak memiliki metodologi yang
khusus (berbeza daripada sains lain), minda mereka sangat jelas
terhadap peraturan dan langkah-langkah dalam menjalankan kajian
saintifik, malah mereka sering menjelaskan kepentingan metodologi
tersebut kepada pembaca dan pelajar dari masa ke masa.
Berdasarkan tulisan saintis Muslim maka berikut adalah metodologi
yang digunakan oleh mereka khasnya dalam bidang perubatan;
1. Metode observasi dan deskripsi
Saintis Muslim khasnya dalam bidang perubatan telah menggunakan metode
observasi dan deskripsi dalam kajian dan amali perubatan mereka. Terdapat
beberapa contoh yang dicatatkan dalam sejarah perubatan Arab-Islam.
Contohnya, al-Razi yang dikenali kemahirannya dalam bidang perubatan. Beliau
didapati telah menghuraikan symptom penyakit demam campak (small pox)
yang beliau sendiri amati- dengan katanya: kemunculan demam campak adalah
disebabkan oleh demam yang berlanjutan yang mengakibatkan sakit di bahagian
belakang dan gatal di bahagian hidung serta rasa menggigil semasa tidur.
2. Metode eksperimen dan pengujian
Imuwan Muslim khasnya dalam bidang perubatan amat mengambil berat
terhadap metode eksperimen dan pengujian kerana kedua-duanya adalah
kesaksian terbaik bagi memperbetulkan sesuatu pandangan saintifik. Oleh sebab
itulah maka al-Razi banyak menyebutkan tentang eksperimen dalam buku beliau,
The Characteristics of things sebagaimana katanya, we add what we know by
experiment and people know that we do not give our confidence to anything
except after its test and experimentation.
Al-Razi turut percaya bahawa doktor yang mahir mesti memliki dua sifat
secara bersama. Pertama, dia mestilah mahir dalam bidang saintifik perubatan

dan keduanya, mestilah mempunyai banyak pengalaman.


Berdasarkan
kenyataan di atas, jelaslah bahawa al-Razi sentiasa komited kepada eksperimen 10
yang dianggap sebagai kriteria asas dalam membuat keputusan. Eksperimen
adalah kriteria asas dalam membuat keputusan selagi doktor itu sentiasa
melakukan sesuatu perkara itu untuk membezakan antara kebenaran dan
kepalsuan terhadap apa yang membimbangkan kriteria-kriteria yang mungkin
akan dikemukakan untuk tujuan penafian mereka yang tidak dapat memahami
matlamat sains. Kita turut menemui sebilangan ilmuwan dalam tamadun Islam
seperti Ibn Sina dan Gabriel Ibn Bakhtishu yang mengetahui secara mendalam
tentang beberapa penyakit utama pada zaman yang mana diagnosis masih belum
dikenali dalam tradisi perubatan silam.
CIRI-CIRI METODOLOGI SAINS ISLAM
Terdapat beberapa ciri umum yang disifatkan kepada metode yang digunakan
oleh saintis dan doktor sepanjang tempoh kegemilangan tamadun Islam. Ciri-ciri
tersebut boleh dihuraikan seperti berikut;
1.

Perbahasan ilmiah
Metodologi perbahasan ilmiah membenarkan berlangsungnya majlis debat
sesama ilmuwan yang dikendalikan secara ilmiah.
Setiap ilmuwan bebas
mengeluarkan pendapat dan menolak pandangan pihak lain dengan berdasarkan
hujah masing-masing.
2.Analisis secara sedar dan tepat
Para ilmuwan Muslim menjalankan kajian saintifik dengan menggunakan analisis
yang dilakukan dalam keadaan sedar, menginsafi kebenaran, dan berusaha
sedaya upaya untuk menghasilkan keputusan yang tepat.
3.
Kejujuran saintifik
Ciri kejujuran saintifik ini boleh dilakukan dalam tiga keadaan berikut. Pertama,
merujuk sesuatu pendapat kepada ilmuwan yang mengutarakannya. Kedua, tidak
mengambil kesempatan daripada kreativiti orang lain. Ketiga, menggunakan
pernyataan yang menunjukkan ketidakpastian setelah gagal mengenalpasti nama
ilmuwan yang mengutarakan sesuatu pendapat atau maklumat.
4.
Kebebasan berfikir tanpa terikat dengan teori terdahulu
Metodologi ini sesuai dengan sifat ilmu yang sentiasa berkembang dari masa ke
masa. Ilmu juga tidak terikat dengan mana-mana teori terdahulu yang mungkin
terbukti kesilapannya setelah kajian terkini berjaya membuktikannya.
5.
Jatidiri (self confident and self esteemed)
Saintis Arab-Muslim sendiri memliki keyakinan diri dan harga diri dalam mengutarakan pendapat
saintifik yang berani. Tulisan mereka telah disifatkan oleh gaya kefasihan dan ketepatan dalam
pembentangan serta bebas daripada percanggahan. Namun, dalam keadaan tertentu mereka juga
didapati bergantung kepada penggunaan ungkapan-ungkapan yang mengelirukan.

PENUTUP
11
Islam adalah agama yang lengkap dan menyeluruh termasuk dalam aspek
pendidikan dan pengajian ilmu sama ada bersifat keagamaan mahupun selainnya
termasuklah mempelajari ilmu-ilmu sains. Justeru, Islam tidak menghalang
umatnya daripada mempelajari ilmu sains selagi tidak membawa kepada
kemudaratan atau bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Seharusnya
umat Islam tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan sains memandangkan ia
adalah sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam. Tidak boleh dikatakan bahawa
kajian terhadap sejarah dan perkembangan sains Islam telah lengkap. Hal ini
demikian kerana para doktor Arab-Muslim juga bukanlah setakat menyalin hasil
kerja daripada tamadun Greek. Pada hakikatnya, para ilmuwan Muslim menyedari
teori-teori saintifik khasnya daripada tamadun Greek yang diterajui oleh
Hippocrates dan Galen. Fenomena ini tidak menghalang mereka daripada turut
serta dalam bidang kajian dan melakukan pembaikan terhadap beberapa
kesilapan yang terdapat dalam teori-teori sains terdahulu.
SOALAN ULANGKAJI
1) Bincangkan konsep sains dan pengertian sains dalam tradisi Islam.
2) Jelaskan salah faham terhadap pengajian ilmu sains dan pandangan Islam
terhadap pengajian ilmu sains yang sering dilabel sebagai ilmu sekular.
3) Bincangkan metodologi yang diguna pakai dalam sains Islam dan ciri-cirinya.

BIBLIOGRAFI
Al-Quran al-Karim.
Ab Ali al-Husayn bin Abd Allah bin Ali bin Sin, Ibn Sin. 1910. Mantiq almashriqiyyin wa al-qasidah al-muzdawijah fi al-mantiq.
Kaherah: alMaktabah al-Salafiyyah.
Haji Abu Hassan bin Haji Ali. 2005. Ensiklopedia Pendidikan Sains Dalam AlQuran. Kuala Lumpur: Emedia Publication.
http://www.levity.com/alchemy/islam06.html (tarikh akses 8/22/2002).

12

iNOTA HUJUNG
Riwayat Ibn Mjah, Muhammad bin Yazid al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, kitb al-Ilm, bb Fadl
al-ulam wa al-hathth al talab al-ilm, t.th, Dr al-Fikr: Beirut, juz. 1, hlm. 81. Menurut Imam alNawawi, hadis ini daif, sementara al-Mizzi dan al-Suyti pula berpendapat bahawa hadis ini telah
mencapai darjat hadis hasan. Lihat al-Suyti, Sharh Sunan Ibn Majah, t.th, Qadimi Kutub Khnah:
Karachi, hlm. 20.

ii Lihat ayat-ayat al-Quran tentang galakan berfikir, memerhati, dan melihat


seperti dalam Surah al-Baqarah 2: 219, 266, Surah Ali Imrn 3:191, Surah alAnm 6: 99, Surah al-Arf 7:185, Surah Ynus 10:24, Surah al-Rad 13:3, Surah
al-Nahl 16: 11, 69, Surah al-Rm 30:50, Surah al-Zukhruf 43:51, Surah al-Jthiyah
45:13, Surah Qf 50:6, Surah al-Ghshiyah 88:17; bandingkan Muhammad Fud

Abd al-Bqi, al-Mujam al-mufahras li alfaz al-Qurn al-Karim, Dr al-Hadith,


Kaherah, 1988, hlm. 154, 667, 877.
iii Sebagai contoh lihat penggunaannya oleh Ibn Sin dalam karya-karya beliau
seperti Mantiq al-mashriqiyyin. Lihat Ab Ali al-Husayn bin Abd Allah bin Ali bin
Sin, Ibn Sin, Mantiq al-mashriqiyyin wa al-qasidah al-muzdawijah fi al-mantiq,
al-Maktabah al-Salafiyyah, Kaherah, 1910, hlm. 9.
iv Riwayat al-Tirmidhi, al-Jami al-sahih, kitab Abwb al-ilm, bab M jaa fi fadl alfiqh al al-ibdah, juz. 5, hlm. 51. Berkata Imam al-Tirmidhi: Hadis ini gharib.

Anda mungkin juga menyukai