Anda di halaman 1dari 12

1

TEKNOLOGI DALAM ISLAM


OBJEKTIF
Di akhir proses pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan dapat:
1. Menyatakan peringkat perkembangan sains dan teknologi.
2. Menjelaskan perspektif Islam terhadap sains dan teknologi.
3. Menghuraikan prinsip utama yang menjadi landasan sains dan teknologi Islam.
KONSEP TEKNOLOGI
Ajaran Islam tidak menegah manusia daripada melaksanakan kegiatan sains dan teknologi.
Perkara ini telah dibincang, dibahas, dan disepakati oleh ulama dan saintis Muslim. Bukti-bukti
daripada nas al-Quran juga menunjukkan tiada halangan bagi manusia untuk menimba ilmu
pengetahuan dan mengaplikasikan ilmu-ilmu sains, bahkan ia adalah digalakkan dan hukum
mengembang dan mengaplikasikan sains untuk kemaslahatan umat manusia adalah fardhu
kifayah.
Teknologi Menurut Istilah
Konsep teknologi sering digunakan bersama-sama dengan istilah sains dan ada pula yang
menganggap sinomin dengan perkataan sains itu sendiri. Sebenarnya anggapan tersebut tidak
begitu tepat, sebaliknya makna teknologi yang lebih tepat dapat difahami dengan merujuk
kepada etimologinya (Hairudin Harun, 1992). Dari sudut bahasa, perkataan teknologi berasal
daripada bahasa Yunani Techne bermaksud seni atau kerja tangan dan Logos bermaksud
wacana atau kata-kata sistematis. Oleh itu, teknologi merupakan satu ilmu yang lebih bersifat
praktikal berbanding ilmu sains yang lebih bersifat teorikal. Dari segi istilah pula, perkataan
teknologi ditakrifkan sebagai ilmu pengetahuan dan tindakan yang bersistem, biasanya dikaitkan
dengan proses industri tetapi juga digunakan dengan mana-mana kegiatan dan berkait rapat
dengan sains kejuruteraan.
Dalam sejarah sains dan teknologi Islam, kalimah yang bertepatan dengan istilah
teknologi dalam bahasa Arab ialah sinaah yang bererti ilmu gunaan. Dalam menghuraikan
maksud kalimah sinaah ini, al-Jurjani menyatakan bahawa ilmu yang tiada kaitan dengan
aktiviti (praktikal) dipupuk untuk tujuannya yang tersendiri maka dipanggil ilm, tetapi sekiranya
ia tiada kaitan dengan sesuatu aktiviti (praktikal) dan dipupuk oleh sebab aktiviti itu maka ia
dipanggil sinaah. Kesimpulannya, ilmu teknologi ialah ilmu praktis atau teknik yang
membolehkan manusia membuat sesuatu perubahan kepada alam tabii.

Definisi dan Konsep Teknologi


Teknologi ditakrifkan sebagai penggunaan pengetahuan yang umum kepada sains perusahaan
(Fowler dan Fowler, 1964), alat-alat termasuk jentera, alat-alat intelektual seperti bahasa
komputer dan teknik analisis dan yang memakai ilmu matematik (Mesthene, 1971), penerapan
yang teratur terhadap sains atau pengetahuan yang tersusun bagi tugas-tugas secara praktis
(Galbraith, 1974).

Menurut Sardar (1977), teknologi lebih merupakan suatu kesan sosial daripada suatu
takrif, yang mana semakin dekat kita kepada kesan tersebut, maka semakin sukar bagi kita untuk
memberikan takrif baginya. Manakala Dickson (1974), menyatakan bahawa penggunaan
perkataan teknologi telah digunakan dalam pengertian sosial yang lebih luas dengan cara yang
menunjukkan hubungan antara bahasa, perkataan dan pengucapan. Sidik Baba (1997) pula
mendefinisikan teknologi sebagai suatu aspek penghasilan sains yang sifatnya memudahkan
sesuatu. Sekiranya ia dihasilkan dengan niat yang baik dan digunakan dengan betul maka ia
boleh mensejahterakan hidup manusia.
Islam tidak menolak sebarang bentuk teknologi dan apa juga bentuk kemodenan selagi
tidak bercanggah dengan ajarannya. Al-Quran malah memberitakan bahawa manusia adalah
khalifah di atas muka bumi dan Allah menempatkan posisi alam ini untuk digunakan oleh
manusia dengan usaha-usahanya yang baik. Firman Allah (al-Baqarah 2: 29) yang bermaksud:
Allah yang menjadikan semua yang ada di bumi untuk kamu (manusia).

Dalam ayat yang lain (Ibrahim 14: 70) Allah menegaskan yang maksudnya;
Allah telah menciptakan langit, bumi dan menurunkan air hujan dari langit,
kemudian air hujan itu menumbuhkan berbagai-bagai buah-buahan menjadi
rezeki untukmu, dan dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu
belayar di lautan dengan kehendak-Nya dan Dia telah menundukkan pula bagimu
matahari dan bulan yang terus-menerus tersebar dalam orbit dan telah
menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberikan kepadamu
(keperluanmu) daripada segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika
kamu menghitung nikmat Allah tidaklah kamu dapat menghitungnya,
sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah.
Kemajuan yang dicapai oleh manusia dalam bidang material, sebagai hasil daripada
perkembangan teknologi moden tidak boleh dihukumkan sama sekali. Hal ini demikian kerana
teknologi adalah sesuatu yang bersifat bebas nilai. Dalam perspektif yang mudah difahami,
kecanggihan teknologi akan memberi manfaat kepada manusia jika digunakan dengan cara yang
betul.
SEJARAH TEKNOLOGI
Kepesatan pembangunan sains dan teknologi telah memudahkan kehidupan manusia. Justeru,
usaha-usaha mempergiatkan aktiviti sains dan teknologi semakin hari semakin mendapat
sambutan di seluruh dunia. Dalam hal ini, perkembangan teknologi dapat dikategorikan kepada
tiga peringkat, iaitu fasa pra-revolusi, fasa revolusi teknologi pertama, dan fasa revolusi
teknologi kedua.
Fasa pra-revolusi teknologi bermula dengan berkembangnya pemikiran manusia untuk
mencari jalan penyelesaian kepada masalah asas dalam kehidupan. Manusia pada fasa ini
berusaha mencari idea untuk memperoleh makanan dengan menggunakan bongkah batu sebagai

alat. Contohnya, manusia pada zaman ini menggunakan batu untuk memecahkan cengkerang
siput dan buah yang keras. Batu yang kecil diasah untuk mendapatkan ketajaman dan digunakan
sebagai alat untuk memotong daging binatang buruan dan mempertahankan diri daripada musuh.
Manusia pada zaman ini juga menggunakan api yang dihasilkan dengan cara melagakan batu.
Ini membolehkan mereka membakar makanan, memanaskan badan dan menghalau binatangbinatang buas. Manakala komunikasi jarak jauh antara manusia pada zaman tersebut adalah
dengan menggunakan api dan asap. Fasa ini juga memperlihatkan daya kreativiti manusia yang
mampu membina piramid dengan menyusun atur bongkah-bongkah batu besar yang digerakkan
dengan menggunakan kayu bulat. Selaras dengan perkembangan masa, idea ini telah
dikembangkan sehingga terciptalah roda. Selain itu, manusia pada fasa ini juga merupakan
pencetus kepada teknologi pembuatan seperti anyaman dan kraftangan yang ringkas.
Di peringkat kedua, iaitu fasa revolusi teknologi pertama, daya pemikiran dan kreativiti
manusia semakin berkembang. Jika pada zaman sebelumnya, manusia hanya menghasilkan
sesuatu yang bersifat statik namun pada fasa ini manusia mula menggunakan barangan yang
statik untuk mendapatkan suatu hasil baru yang lebih bermanfaat. Dengan menggabungkan
beberapa komponen, manusia berupaya mencipta kereta, mesin, telefon dan sebagainya. Ini
menuntut manusia pada zaman ini untuk berusaha menyesuaikan diri dengan mesin yang dicipta
agar manfaat yang maksimum dapat diperolehi. Selain daripada itu, bidang pembinaan juga
mula mendapat perhatian sehingga pada tahun 1884 terbinanya bangunan pencakar langit
pertama di Chicago yang dikenali sebagai Home Insurance Building. Bangunan ini dibina
dengan menggunakan kerangka logam kalis api dengan ukuran ketinggiannya 55 meter,
walaupun kemudiannya pada tahun 1931 bangunan ini terpaksa dirobohkan. Sehingga kini
teknologi dalam sektor pembinaan terus mendapat sambutan dengan terhasilnya berbagai bentuk
rekaan bangunan selaras dengan perkembangan pemikiran dan kreativiti manusia dari zaman ke
zaman.
Fasa seterusnya ialah fasa revolusi teknologi kedua yang memperlihatkan kepelbagaian
penemuan baru yang lebih moden dan canggih. Manusia zaman ini sudah berupaya mencipta
berbagai jenis mesin serta sistem yang lebih kompleks dengan hasil yang lebih baik untuk tujuan
peningkatan kualiti hidup manusia. Namun, kecanggihan teknologi yang semakin hari semakin
hebat perlu dikendalikan dengan cara yang baik agar matlamat penciptaan teknologi sebagai alat
untuk kemudahan manusia tidak menyebabkan manusia menjadi hamba kepada teknologi. Oleh
itu, elemen kerohanian sepatutnya diperkasakan selaras dengan perkembangan teknologi agar
manusia dapat menikmati keseimbangan dalam aspek spiritual dan material.

PRINSIP TEKNOLOGI DALAM ISLAM


Kelangsungan teknologi dalam Islam menjurus kepada asas-asas nilai, konsep dan prinsipprinsip yang bersifat sejagat, tetap, dan menyeluruh yang terkandung dalam ajaran Islam. Ia
merangkumi konsep tauhid, khilafah, ibadah, halal dan haram, adil dan zalim, istislah
(kepentingan awam) dan dhiya (pembaziran). Teknologi moden yang digunakan pada hari ini
perlu diolah dan dibangunkan berasaskan pematuhan kepada prinsip-prinsip tersebut bagi
memastikan kebaikannya dapat dimanfaatkan oleh manusia dan seluruh alam.

Tauhid
Antara perkara paling utama yang menjadi teras dalam Islam adalah tauhid. Tauhid menurut
bahasa adalah meyakini keesaan Allah S.W.T atau menganggap Tuhan hanya ada satu dan tiada
yang lain. Menurut istilah pula, tauhid bermaksud di dunia hanya terdapat satu Tuhan, iaitu
Tuhan Pencipta Seluruh Alam (Rabbul Alamin). Maksudnya, kita mengakui bahawa tiada yang
dipanggil sebagai Tuhan atau disembah sebagai Tuhan melainkan Allah sebagaimana kenyataan
al-Quran (al-Dhariyaat 56: 51):

Dan tidaklah sekali-kali Aku mencipta jin dan manusia itu, melainkan agar
mereka berbakti kepada-Ku semata-mata
Konsep ketauhidan meletakkan manusia sebagai hamba yang bertanggungjawab
melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah S.W.T dengan meyakini
sepenuh hati bahawa tiada tuhan selain Allah. Ketauhidan ini semestinya diaplikasikan dalam
apa jua ruang lingkup aktiviti manusia termasuklah dalam aktiviti teknologi. Sains dan teknologi
dalam Islam amat berkait rapat dengan keimanan seseorang yang melakukan reka cipta dan
penghasilan teknologi tersebut. Justeru, jika individu tersebut berpegang teguh pada syariat
Islam, ia akan menghasilkan suatu produk yang menepati syarak dan sekaligus mendapat
keredhaan daripada Allah S.W.T. Para saintis Muslim telah menjalankan kajian dengan
berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, hasil kajian yang mereka perolehi adalah
bertepatan seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran itu sendiri.
Teknologi yang berteraskan tauhid mengarahkan teknologi diguna dan disalurkan pada
jalan yang benar dan tidak menyalahi apa jua perintah yang termaktub dalam nas al-Quran dan
hadis. Teknologi dan hasilnya seharusnya mengingatkan serta mendekatkan manusia kepada
Allah selain mengingatkan bahawa manusia memegang amanah untuk memakmurkan alam ini.
Contoh, dengan adanya teknologi aero angkasa, manusia berupaya mencipta peralatan dan roket
yang mampu membawa manusia meneroka ruang angkasa lepas. Dengan itu, teknologi tersebut
membolehkan manusia melihat ruang angkasa lepas dan memikirkan betapa ajaib dan Maha
Hebatnya kuasa Allah yang merupakan penciptaNya.
Dalam konteks ajaran Islam, teknologi dilihat sebagai alat yang perlu dikendalikan oleh
manusia untuk menambahkan keimanan kepada Allah. Sebagai contoh, dengan adanya teknologi
manusia berupaya mencipta kapal selam yang membolehkan manusia menyelam ke dasar lautan
dan meneroka isi lautan ciptaan Allah yang Maha Hebat. Justeru, manusia seharusnya bukan
sekadar melihat keindahan lautan dan hidupan di dalamnya bahkan sewajarnya berfikir tentang
kehebatan pencipta-Nya yang menciptakan lautan yang sebegitu indah dengan pelbagai jenis
ikan dan hidupan laut yang amat menakjubkan. Bagaimana mungkin pencipta-Nya tidak hebat
sedangkan Dia mencipta lautan yang luas dengan berbagai jenis hidupan di dalamya. Malah jika
direnung betapa hebatnya pencipta-Nya (Allah) yang menciptakan ikan-ikan yang tidak pernah
habis walaupun telah menjadi sumber makanan manusia sejak zaman-berzaman. Kesemuanya
itu merupakan antara tanda-tanda kewujudan dan keagungan Allah. Oleh itu, teknologi
seharusnya berlandaskan tauhid agar hasilnya membuahkan lagi kecintaan dan ketundukan
manusia kepada Allah.

Khilafah
Hakikat penciptaan manusia terdiri daripada unsur jasad (fizikal) dan rohani (spiritual) adalah
untuk memperhambakan diri kepada Allah (hamba Allah) dan sebagai khalifah yang
bertanggungjawab dan berusaha untuk menjadi manusia yang baik, mengajak manusia lain
menjadi baik, dan seterusnya memakmurkan alam ini. Khalifah menurut pengertian yang
dinyatakan dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman ialah Seorang yang dipertanggungjawabkan oleh
Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya
kehidupan manusia menjadi lebih teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk
mencapai keredhaan Allah. Hakikatnya, manusia dengan tujuan penciptaannya hanya sematamata bertanggungjawab menerima, melaksana, dan menyampaikan apa yang diperintahkan oleh
Penciptanya. Dalam aspek ini, peranan ilmu sangat penting dalam mengurus atur kehidupan
manusia. Oleh yang demikian, Islam menjelaskan kewajipan dan kepentingan menuntut ilmu
dan perkara ini secara mudahnya dapat difahami menerusi ayat pertama yang diwahyukan
kepada Nabi Muhammad s.a.w., iaitu ayat 1-5 daripada surah al-Alaq.
Menurut perspektif Islam, manusia sebagai khalifah sepatutnya menggunakan ilmu sebagai
syarat utama dalam membangun ketamadunan dan teknologi moden. Ini bermaksud teknologi
dan hasilnya perlu digunakan dengan cara yang baik (makruf) dan bukannya untuk tujuan yang
salah (mungkar/maksiat). Teknologi seharusnya digunakan sebagai alat untuk memakmurkan
alam dan bukannya digunakan untuk merosak atau memusnahkan alam. Seorang khalifah
dipertanggungjawabkan dengan suatu amanah yang besar untuk mengatur kehidupan manusia
berdasarkan wahyu dan syariat Allah agar kehidupan manusia teratur serta menuju keredhaan
Allah S.W.T (Sheikh Abdullah Basmeih, 1999). Dalam teknologi, manusia diamanahkan supaya
melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh
Allah. Contohnya, seorang programmer komputer perlu memastikan kandungan di dalam
program-program komputer haruslah menjurus kepada perkara kebaikan begitu juga dengan
gambar-gambar yang dipaparkan haruslah menepati ciri-ciri syarak dan penulisan program
haruslah tidak berunsurkan maksiat (perkara-perkara yang dilarang oleh Allah).
Dalam era globalisasi, seseorang khalifah boleh berdakwah menerusi pelbagai saluran
dakwah berasaskan ICT seperti laman sosial Facebook, Twitter, dan blog malah proses dakwah
juga boleh dijalankan melalui khidmat pesanan ringkas (sms). Selain daripada itu, media massa
seperti radio dan televisyen juga boleh memainkan peranan dalam aktiviti menyampaikan
dakwah secara lebih berkesan memandangkan kedua-dua medium dakwah ini mempunyai
liputan yang meluas dalam masyarakat khasnya dalam kalangan remaja.

Halal dan Haram


Pada dasarnya setiap sesuatu yang dicipta oleh Allah adalah halal dan harus (mubah). Perkataan
halal bermaksud baik dan berfaedah sementara perkataan haram pula bermaksud buruk dan
membawa kerosakan. Berbanding dengan perkara-perkara yang halal, perkara-perkara yang
diharamkan sebenarnya amat sedikit sekali berdasarkan keterangan-keterangan dalam al Quran

dan Hadis. Apa yang nyata, setiap perkara yang diharamkan dalam Islam jelas merosakkan
manusia sebagai individu dan merosakkan alam secara keseluruhannya.
Halal bermaksud baik dan bersih dari segi fizikal dan rohani sementara bersih pula
membawa maksud suci daripada bahan-bahan yang kotor. Dalam sains dan teknologi Islam,
halal adalah satu tuntutan yang baik, manakala haram adalah perkara-perkara yang dilarang
dalam Islam. Justeru, Islam amat mementingkan aspek halal dan haram dalam apa jua perkara
kerana natijah daripada halal dan haram akan mempengaruhi hati dan membentuk kehidupan
manusia di dunia malah ia akan dipersoalkan di akhirat nanti. Konsep halal dan haram bukan
sahaja terhad kepada pengambilan makanan bahkan turut meliputi seluruh urusan kehidupan
seharian umat Islam. Begitu juga dalam aspek teknologi, sebarang aktiviti dan kegiatan
teknologi yang dilakukan mestilah mementingkan aspek kehalalannya. Ini bermaksud,
penggunaan dan penciptaan apa jua teknologi mestilah seiring dan menepati kehendak Islam.
Umpamanya, dalam aspek bioteknologi terdapat sempadan-sempadan dan batasan tertentu
dalam Islam seperti penggunaan kaedah bioteknologi DNA babi (khinzir) dalam pemprosesan
barangan, makanan, dan minuman adalah haram kerana ia secara jelas dan telah disabitkan
pengharamannya dalam syarak secara muktamad (qatie).
Antara contoh lain bagi penggunaan teknologi yang haram ialah pengklonan manusia
yang natijahnya akan hanya menghuru-harakan kehidupan manusia seperti menimbulkan
masalah dalam nasab dan keturunan manusia bahkan banyak lagi akibat buruk di sebalik
pengaplikasian teknologi tersebut. Dengan kata lain, halal dan haram hendaklah sentiasa
menjadi pertimbangan manusia dalam rangka pembangunan dan penggunaan teknologi itu
sendiri. Secara tidak langsung ia juga berkait dengan persoalan adab dan akhlak Islam yang
merujuk kepada tindakan yang betul dilakukan oleh seseorang dan bersesuaian serta bertepatan
dengan suasana, masa serta keadaan dan terlebih penting ialah tindakan tersebut menepati
perintah Allah S.W.T. Ini bermaksud, sains dan teknologi tidak sewajarnya mengkesampingkan
agama bahkan seharusnya digunakan sebagai alat untuk membangunkan agama dan mentadbir
dunia dengannya.
Halal daripada sudut hukum bererti sesuatu yang bukan haram, manakala haram pula
merupakan sesuatu yang boleh mengakibatkan dosa dan balasan seksa. Imam al-Ghazali
mentakrifkan halal sebagai suatu istilah yang berkait rapat dengan ketentuan hukum dan
merupakan suatu perkara yang bersalahan dengan syarak yang menyebabkan ia dilarang.
Melakukan sesuatu yang haram adalah berdosa manakala ganjaran pahala disediakan sekiranya
seseorang Muslim itu meninggalkan perkara yang haram. Antara nas al-Quran yang menyebut
berkenaan haram ialah ayat 59, Surah Yunus yang menyeru manusia supaya memilih makanan
yang bukan sahaja halal bahkan makanan yang baik untuk tubuh badannya, manakala tenaga
yang terhasil daripada sumber makanan yang halal juga perlu digunakan untuk melaksanakan
aktiviti seharian yang halal termasuklah dalam aspek penggunaan sains dan teknologi. Secara
ringkas dapat disimpulkan bahawa teknologi dan apa jua hasil daripadanya mestilah
mengingatkan manusia kepada Allah serta tanggungjawab kekhalifahan yang diamanahkan untuk
dilaksanakan mengikut lunas dan menepati nilai-nilai Rabbani.
Ibadah

Manusia merupakan hamba Allah yang diperintahkan untuk mematuhi dan melaksanakan segala
perintah dan menjauhi larangan-Nya. Segala tindak tanduk manusia tertakluk kepada ruang
lingkup pengabdian diri kepada Allah bagi memperolehi rahmat dan mendapatkan keredhaanNya. Oleh itu, penggunaan teknologi yang tidak bercanggah dengan ruang lingkup pengabdian
kepada Allah merupakan sebahagian daripada ibadah yang dijanjikan ganjaran pahala di sisi
Allah. Ibadah yang dilaksanakan itu juga akan memberikan faedah kepada kehidupan manusia
dan alam semesta.
Perkataan ibadah menurut pengertian syarak bermaksud melaksanakan tuntutan
kehambaan dan pengabdian yang disertai dengan ketaatan sama ada secara lisan, hati (qalb) atau
dengan perbuatan sekalipun dilakukan secara terang-terangan mahupun secara bersembunyian
dengan hanya bermatlamatkan kerana Allah (sebagai tanda kepatuhan, memohon keredhaan dan
mengharapkan ganjaran pahala disisi-Nya). Perkara-perkara yang tergolong dalam ibadah
antaranya solat, menunaikan zakat, bercakap benar, berbuat baik kepada orang tua, menjalinkan
silaturrahim, menepati janji, menyuruh berbuat baik, melarang perbuatan jahat, lemah lembut
terhadap jiran tetangga dan anak yatim, dan membuat kebajikan kepada orang-orang miskin dan
fi sabilillah (berjuang di jalan Allah).
Kalimah ibadah sering dikaitkan dengan ganjaran pahala yang mana umat Islam
disarankan agar mengaplikasikan konsep ibadah ini dalam apa jua aktiviti kehidupan seharian.
Ibadat merupakan perantara (wasilah) antara makhluk dengan Penciptanya, antara langit dan
bumi, dan juga antara alam dunia dan alam samiyyat (akhirat). Keperluan manusia kepada
ibadah adalah kerana ia merupakan makanan rohani yang dapat menyuburkan ruh manusia yang
hatinya sentiasa memerlukan pergantungan kepada Allah S.W.T. (al-Qaradhawi, 1980).
Yusuf Al-Qaradhawi menekankan dua aspek pengertian ibadah sebagaimana berikut:
i- Beriltizam dengan apa yang disyariatkan oleh Allah dan dengan apa yang disebut oleh
rasul-rasulnya, baik dalam bentuk perintah, larangan, penghalalan dan juga
pengharaman. Ini menggambarkan unsur ketaatan dan kepatuhan kepada Allah
S.WT.
ii- Pengiltizaman ini terkeluar daripada hati yang cintakan Allah kerana tiada sesuatu
yang wujud yang lebih berhak dicintai selain daripada Allah S.W.T. Dialah yang
empunya kelebihan dan juga Ihsan (Al-Azhari Basri Ibrahim, 2003)
Pengertian ibadah ini bukan sahaja terhad kepada ibadah fardhu yang disyariatkan sahaja
bahkan turut merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang baik tidak terkecuali juga
dalam bidang teknologi.
Ibadah dalam konteks teknologi dilihat sebagai apa jua aktiviti
teknologi yang dilaksanakan dengan niat yang baik serta dengan cara yang halal dan tidak
menyalahi syarak. Umpamanya dalam bidang bioteknologi, persenyawaan luar rahim antara
sperma lelaki dan wanita yang sah sebagai suami isteri adalah diharuskan untuk mendapatkan
zuriat. Pengaplikasian teknologi dengan cara yang menepati hukum Islam adalah ibadah selain
turut membantu pasangan yang bermasalah untuk melangsungkan kesinambungan keturunan
umat manusia. Namun, sekiranya teknologi disalahgunakan, maka ia bukan sahaja memberi
mudarat kepada manusia bahkan turut mengundang azab Allah di akhirat kelak. Ringkasnya,
dapat disimpulkan bahawa setiap aktiviti teknologi yang baik dan memberikan faedah adalah

ibadah sekiranya dilaksanakan dengan menepati hukum Islam dan disertai dengan niat yang
mulia tanpa mengharapkan pujian dan kemegahan.
Adil dan Zalim
Kalimah adil berasal daripada kalimah bahasa Arab adl yang bererti persamaan antara dua
perkara yang berbeza atau antara dua pertelingkahan tanpa kecenderungan terhadap mana-mana
pihak dengan mengambil tindakan yang saksama. Manakala daripada sudut syarak pula, adil
membawa maksud mengambil tindakan dan membuat pertimbangan yang bertepatan dengan
wahyu Ilahi dan ijtihad (Abdul Hadi Awang, 2009). Adil dalam Islam pula merangkumi
beberapa takrifan, iaitu keseimbangan, pemeliharaan persamaan hak tanpa sebarang pencabulan
terhadapnya, pemberian hak kepada mereka yang berhak dan juga meletakkan sesuatu pada
tempatnya (lawan bagi zalim). Kesemua takrifan di atas saling berkait antara satu sama lain.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa adil bermaksud memberikan kepada mereka yang berhak
akan hak mereka mengikut kadar masing-masing secara seimbang dan saksama tanpa menindas
atau menzalimi hak orang lain.
Penggunaan teknologi juga seharusnya diaplikasikan secara adil, iaitu dengan meletakkan
teknologi sebagai suatu wasilah dan alat untuk melihat dan mengkaji bukti-bukti kewujudan dan
keagungan ciptaan Allah yang sekaligus membuktikan kehebatan Penciptanya. Teknologi
aeroangkasa yang digunakan secara adil membolehkan manusia meneroka alam angkasaraya
serta melihat sendiri keajaiban ciptaan Allah dengan pergerakan planet-planet yang bergerak di
atas orbitnya dan tidak bertembung antara satu sama lain yang menunjukkan wujudnya peraturan
yang ditetapkan oleh Maha Pencipta.
Manakala zalim juga merupakan kalimah yang berasal daripada bahasa Arab iaitu alzulm adalah sesuatu yang berlawanan dengan perkataan adil. Perkataan zalim bermaksud
memesongkan sesuatu yang hak kepada kebatilan. Kezaliman membawa bencana serta
kemusnahan kepada kehidupan, alam semesta selain merupakan punca kejahatan berleluasa.
Larangan dan pengharaman menyokong golongan yang zalim termaktub dalam al-Quran (Surah
Hud : 113) yang bermaksud;
Janganlah sekali-kali kamu cenderung kepada orang-orang yang
zalim, nescaya kamu disentuh oleh api neraka, kemudian kamu tidak
lagi ditolong.
Kezaliman boleh berlaku dalam dua keadaan sama ada dengan memeras atau merampas
harta benda atau hak orang lain atau boleh juga berlaku dengan menentang hukum-hukum Allah.
Kezaliman dalam konteks teknologi adalah dengan menyalahgunakan teknologi. Contohnya,
mencipta teknologi-teknologi yang bertentangan dengan hukum Islam seperti pengklonan
manusia atau menghasilkan hidupan lain hasil daripada gabungan genetik manusia dan anjing
adalah jelas merupakan suatu penyalahgunaan teknologi.
Istislah dan Dhiya

Istislah bermaksud kepentingan awam manakala Dhiya pula bermaksud pembaziran. Islam
mengharuskan penciptaan teknologi yang bertujuan untuk memenuhi keperluan dan kepentingan
masyarakat umum. Ajaran Islam membolehkan umatnya menerima dan menggunakan apa jua
hasil daripada teknologi asalkan ia tidak membawa kepada maksiat dan memberikan manfaat.
Walau bagaimanapun, sekiranya teknologi itu menyebabkan manusia lalai daripada mengingati
Allah (zikir) dan fikir serta meruntuhkan nilai kemanusiaan, maka peringatan dan panduan
seharusnya diberikan kepada pengguna teknologi tersebut agar tidak tersasar jauh daripada
matlamatnya. Penciptaan teknologi enjin dan pembuatan kereta dan berbagai jenis pengangkutan
lain memberi kemudahan kepada manusia untuk bergerak dengan lebih cepat seterusnya dapat
meminimumkan penggunaan masa dan mengoptimumkan prestasi kerja. Begitu juga penciptaan
teknologi yang digunakan dalam perawatan dan penyaluran air bersih untuk kegunaan seharian
manusia, jelas memberikan manfaat kepada kehidupan manusia yang dahulunya terpaksa
bersusah payah mengangkut air dari perigi dan sungai selain menyebabkan penempatan di tepitepi sungai dan di kawasan sumber-sumber air mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi jika
dibandingkan dengan kawasan-kawasan penempatan yang lain. Dengan kata lain, Islam tidak
menghalang apa jua pembaharuan dan pembangunan mahupun teknologi asalkan ia tidak
bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.
Konsep Dhiya dalam teknologi, iaitu pembaziran dilarang dalam Islam yang sangat
menitikberatkan sifat kesederhanaan dan melarang perbuatan membazir. Rasulullah s.a.w
sebagai contoh ikutan umat Islam adalah seorang yang sentiasa bersederhana, iaitu tidak terlalu
kedekut dan tidak membazir. Sabda baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang
bermaksud:
Berperangai baik dan bersifat sederhana merupakan dua puluh
bahagian daripada kenabian
Dalam konteks penggunaan teknologi, seringkali berlaku pembaziran. Contoh yang
paling mudah adalah dalam penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS). Masyarakat seolaholah memandang ia sebagai suatu perkara yang remeh sedangkan penggunaan SMS dalam
perkara-perkara yang tidak perlu adalah dikategorikan sebagai membazir. Sebagaimana yang
telah sedia maklum, setiap SMS ditentukan kadar rata tanpa mengira bilangan patah perkataan
yang dihantar oleh pengirim. Justeru penggunaan khidmat pesanan ringkas atau SMS
seharusnya digunakan secara berhemah bagi mengelakkan berlakunya pembaziran tanpa disedari
pengguna.
Tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan teknologi sebagai contoh, teknologi janakuasa
elektrik sangat memberi manfaat dan memudahkan urusan kehidupan manusia. Namun,
bagaimana pula kaedah terbaik untuk menghargainya agar tidak berlaku sebarang pembaziran
ketika menggunakannya? Penggunaan peralatan elektrik dan elektronik di rumah mahupun di
pejabat sewajarnya digunakan dengan bijak. Begitu juga dengan penggunaan alat pendingin
hawa (aircond) yang sepatutnya hanya di on kan ketika perlu sahaja dan dalam kadar suhu
yang sederhana.
Teknologi hendaklah diuruskan dengan sebaiknya.
Hal ini demikian kerana
kewujudannya bukan sahaja bermanfaat bahkan beriringan dengannya keburukan jika tidak

10

diurus dan digunakan dengan cara yang betul dan cekap. Kepelbagaian maklumat dan aplikasi
yang boleh dicapai dengan hanya satu klik di hadapan komputer akan membawa musibah jika
disalahgunakan.
Justeru, manusia seharusnya bijak ketika memilih laman-laman web.
Pemilihan perlu diutamakan kepada laman web yang dapat memberikan info yang bermanfaat
dan mengelakkan daripada menjelajahi laman-laman yang berunsur negatif seperti keganasan,
perkauman, seks, ajaran sesat, dan sebagainya. Kesedaran ini perlu bagi memastikan hanya
laman-laman web dan maklumat yang bermanfaat sahaja diakses bagi mengelakkan berlakunya
pembaziran masa. Ringkasnya, dalam apa jua perbuatan atau kegiatan seharian, manusia
sepatutnya menggunakan dan memanfaatkan teknologi dengan cara yang berhemah.
Mewarnakan Teknologi Dengan Wajah Islam
Sarjana-sarjana Islam berpendapat bahawa teknologi alternatif perlu diperolehi bagi
mengelakkan kesan-kesan pencemaran terhadap budaya dan cara hidup Islam yang murni.
Misalnya, K.D. Sharma dan M. A. Qureshi berhujah bahawa idea tentang teknologi alternatif
adalah berdasarkan pemilihan teknologi daripada satu set teknologi yang tersedia untuk
menghasilkan barangan dan komoditi bagi memenuhi keperluan semua. Teknologi alternatif
yang dipilih daripada suatu spektrum teknologi di pasaran mestilah mempunyai ciri-ciri berikut;
ia mungkin primitif, rendah dan tinggi atau terletak di antara ketiga-tiga keadaan tersebut, tetapi
mestilah sesuai dengan atau tiadanya sumber-sumber negara dan mestilah selaras dengan objektif
ekonomi, sosial, budaya, dan politik negara tersebut serta tidak merosakkan alam sekitar.
Hubungan antara teknologi dan masyarakat boleh dilihat dalam dua cara :
1.
Ia telah membuktikan bahawa satu-satunya teknologi untuk masyarakat ialah
teknologi yang dapat berkembang tanpa bantuan luar. Ia merupakan ciptaan
tempatan oleh negara-negara yang sedang membangun itu sendiri.
2.
Teknologi alternatif tidak boleh dikembangkan mengikut rangka kerja falsafah dan
intelektual peradaban barat.
Tegasnya dalam menggunakan teknologi asing, umat Islam perlu membuang nilai-nilai
yang diimport dan menerima intipati yang sesuai dengan keadaan tempatan. Lebih khusus lagi,
keperluan-keperluan tempatan itu ialah:
iKesedaran atas sistem nilai yang terkandung dalam teknologi-teknologi
iiKeyakinan terhadap kemampuan masyarakat itu dari segi tamadun
iiiPersetujuan bahawa perubahan yang tidak baik dalam masyarakatnya tidak akan
berlaku.
ivPemilihan dan penyelidikan yang teliti terhadap teknologi asing
vPenyesuaiannya jika perlu sebelum ditiru
viMengesan akibat daripada teknologi asing; dan
viiPenolakan dan pembuangannya jika ia terbukti telah meninggalkan kesan yang
tidak baik.
KESIMPULAN
Teknologi barat telah banyak mewarnai budaya dan tamadun umat Islam. Walaupun Islam
sebenarnya mempunyai tamadunnya sendiri yang unggul, tetapi keruntuhan tamadun Islam dan
penjajahan oleh dunia barat telah menyebabkan umat Islam menjadi mundur dan terkebelakang

11

dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk teknologi. Akibatnya, umat Islam menadah
tangan untuk menerima teknologi asing tanpa berupaya melakukan ubahsuaian yang membawa
bersama-samanya ideologi kepakaran. Satu pendekatan yang konkrit dan bersepadu perlu
difikirkan oleh dunia Islam untuk meminimumkan kesan pemindahan teknologi asing ke atas
keutuhan budaya Islam yang murni serta memunculkan dunia Islam dengan teknologi yang
ditandai dengan roh dan jiwa Islam.

SOALAN ULANGKAJI
1. Apakah yang anda faham dengan maksud teknologi?
2. Nyatakan secara ringkas peringkat-peringkat perkembangan sains dan teknologi.
3. Pada pandangan anda, apakah perbezaan utama antara teknologi menurut perspektif
Islam dan perspektif barat?
4. Bincangkan bagaimana teknologi dapat diaplikasikan mengikut perspektif Islam?

RUJUKAN
Al Quran dan Terjemahannya.
Abdul Hadi Awang. (2009). Islam Adil Untuk Semua. Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Ahmad Baharuddin Abdullah. (2004). Memperkenalkan Bidang Kejuruteraan Islam: Persepsi
dan Sumbangan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Afzalur Rahman. (1992). Ensiklopedia Sirah Jilid I. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Al-Azhari Basri Ibrahim. (2003). Salah Faham terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir. Kuala
Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
Al-Qaradhawi Yusuf. (1980). Matlamat dan Tujuan Ibadah Dalam Islam. Kuala Lumpur:
Yayasan Dakwah Malaysia.
Baharudin Yatim. (1995). Pengurusan Penyelidikan Sains dan Teknologi dari Perspektif Islam.
Seminar al-Quran & Isu-isu Semasa II peringkat kebangsaan pada 12-13 september di bilik
jumaah UKM Bangi. Anjuran Jabatan Pengajian Al-Quran Dan Sunnah FAKULTI
PENGAJIAN Islam UKM.
Endang Mohd Zain. (1989). Sains, Falsafah dan Agama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

12

Galbraith J.K. (1974). Economics and the Public Purpose. London : Andre Deutsch
Hairudin Harun. (1992). Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Haron Din. (1988). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn Bhd.
Ibnu Taimiyah. (1982). AlUbudiyyah Muammal Hamidy. Surabaya : PT Bina Ilmu
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
M. Quraish Shihab. (1997). Wawasan al-Quran Tafsir MauduI atas Pelbagai Persoalan Umat.
Bandung: Penerbit Mizan Khazanah Ilmu-ilmu Islam.
Mesthene E.G. (1971). Technological Change Its Impact on Man and Society. Cambridge Mass:
Harvard University Press.
Moehammad Thahir Badrie. (1984). Syarah Kitab al-Tauhid Muhammad bin Abdul Wahab.
Jakarta: PT Pustaka Panjimas.
Mohd Yusoff Othman (2009).
Publications Sdn Bhd.

Sains, Masyarakat dan Agama.

Kuala Lumpur: Utusan

Ramli Awang et al. (2001). Falsafah Sains dan Teknologi Dari Perspektif Islam. Skudai: Pusat
Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS)
Shahir Mohd Zain. (1989). Pengenalan Tamadun Islam dalam Sains dan Teknologi. Kuala
Lumpur: Dawan Bahasa dan Pustaka.
Sidek Baba. (1997). Penglibatan Masyarakat Islam di dalam Pembangunan dan Penggunaan
Teknologi Maklumat. Seminar Cabaran Teknologi Maklumat dan Internet: Agenda Umat
Islam. 25 26 Mac 1997.
Sulaiman Noordin. (1993). Sains Falsafah dan Islam. Bangi: Pusat Pengajian Umum, UKM.
Wan Fuad Wan Hassan. (1990). Ringkasan Sejarah Sains. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Zawiyah Mohd Yusof et. Al. (2005). Teknologi Maklumat & Komunikasi Etika, Undangundang dan Sosial. Malaysia: Mc Graw-Hill (Malaysia) Sdn Bhd.
Ziauddin Sardar. (1977). Science, Technology and Development in the Muslim World. London:
Croom Helm.
Ziauddin Sardar. (1990). Masa Hadapan Islam, Bentuk Idea Yang Akan Datang (Penterjemah:
Mohd. Sidin Ahmad Ishak). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai