Anda di halaman 1dari 13

KONSEP TEKNOLOGI

Ajaran Islam tidak menegah manusia daripada melaksanakan kegiatan


sains dan teknologi.Perkara ini telah dibincang, dibahas, dan disepakati oleh
ulama dan saintis Muslim. Bukti-bukti daripada nas al-Quran juga menunjukkan
tiada halangan bagi manusia untuk menimba ilmu pengetahuan dan
mengaplikasikan ilmu-ilmu sains, bahkan ia adalah digalakkan dan hukum
mengembang dan mengaplikasikan sains untuk kemaslahatan umat manusia
adalah fardhu kifayah.

Teknologi Menurut Istilah

Konsep teknologi sering digunakan bersama-sama dengan istilah sains


dan ada pula yang menganggap sinomin dengan perkataan sains itu sendiri.
Sebenarnya anggapan tersebut tidak begitu tepat, sebaliknya makna teknologi
yang lebih tepat dapat difahami dengan merujuk kepada etimologinya (Hairudin
Harun, 1992). Dari sudut bahasa, perkataan teknologi berasal daripada bahasa
Yunani ‘Techne’ bermaksud seni atau kerja tangan dan ‘Logos’ bermaksud
wacana atau kata-kata sistematis. Oleh itu, teknologi merupakan satu ilmu yang
lebih bersifat praktikal berbanding ilmu sains yang lebih bersifat teorikal. Dari segi
istilah pula, perkataan teknologi ditakrifkan sebagai ilmu pengetahuan dan
tindakan yang bersistem, biasanya dikaitkan dengan proses industri tetapi juga
digunakan dengan mana-mana kegiatan dan berkait rapat dengan sains
kejuruteraan.

Dalam sejarah sains dan teknologi Islam, kalimah yang bertepatan dengan
istilah teknologi dalam bahasa Arab ialah sina’ah yang bererti ilmu gunaan. Dalam
menghuraikan maksud kalimah sina’ah ini, al-Jurjani menyatakan bahawa ilmu
yang tiada kaitan dengan aktiviti (praktikal) dipupuk untuk tujuannya yang
tersendiri maka dipanggil ilm, tetapi sekiranya ia tiada kaitan dengan sesuatu
aktiviti (praktikal) dan dipupuk oleh sebab aktiviti itu maka iadi panggil sina’ah.
Kesimpulannya, ilmu teknologi ialah ilmu praktis atau teknik yang membolehkan
manusia membuat sesuatu perubahan kepada alam tabii.

Definisi dan Konsep Teknologi

Teknologi ditakrifkan sebagai penggunaan pengetahuan yang umum


kepada ‘sains perusahaan’(Fowler dan Fowler, 1964), alat-alat termasuk jentera,
alat-alat intelektual seperti bahasa komputer dan teknik analisis dan yang
memakai ilmu matematik (Mesthene, 1971), penerapan yang teratur terhadap
sains atau pengetahuan yang tersusun bagi tugas-tugas secara praktis(Galbraith,
1974).
Menurut Sardar (1977), teknologi lebih merupakan suatu kesan sosial
daripada suatutakrif, yang mana semakin dekat kita kepada kesan tersebut, maka
semakin sukar bagi kita untuk memberikan takrif baginya. Manakala Dickson
(1974), menyatakan bahawa penggunaan perkataan teknologi telah digunakan
dalam pengertian sosial yang lebih luas dengan cara yang menunjukkan
hubungan antara bahasa, perkataan dan pengucapan. Sidik Baba (1997) pula
mendefinisikan teknologi sebagai suatu aspek penghasilan sains yang sifatnya
memudahkan sesuatu. Sekiranya ia dihasilkan dengan niat yang baik dan
digunakan dengan betul maka iaboleh mensejahterakan hidup manusia.

Islam tidak menolak sebarang bentuk teknologi dan apa juga bentuk
kemodenan selagi tidak bercanggah dengan ajarannya. Al-Quran malah
memberitakan bahawa manusia adalah khalifah di atas muka bumi dan Allah
menempatkan posisi alam ini untuk digunakan olehmanusia dengan usaha-
usahanya yang baik. Firman Allah (al-Baqarah 2: 29) yang bermaksud:

“Allah yang menjadikan semua yang ada di bumi untuk kamu (manusia).”

Dalam ayat yang lain (Ibrahim 14: 70) Allah menegaskan yang maksudnya;

“Allah telah menciptakan langit, bumi dan menurunkan air hujan


dari langit, kemudian air hujan itu menumbuhkan berbagai-
bagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu, dan dia telah
menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di
lautan dengan kehendakNya dan Dia telah menundukkan pula
bagimu matahari dan bulan yang terus-menerus tersebar dalam
orbit dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan
Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) daripada
segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu
menghitung nikmat Allah tidaklah kamu dapat menghitungnya,
sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat
mengingkari nikmat Allah”.

Kemajuan yang dicapai oleh manusia dalam bidang material, sebagai hasil
daripada
perkembangan teknologi moden tidak boleh dihukumkan sama sekali. Hal ini
demikian kerana teknologi adalah sesuatu yang bersifat bebas nilai. Dalam
perspektif yang mudah difahami,kecanggihan teknologi akan memberi manfaat
kepada manusia jika digunakan dengan cara yang betul.

SEJARAH TEKNOLOGI

Kepesatan pembangunan sains dan teknologi telah memudahkan


kehidupan manusia. Justeru,usaha-usaha mempergiatkan aktiviti sains dan
teknologi semakin hari semakin mendapat sambutan di seluruh dunia. Dalam hal
ini, perkembangan teknologi dapat dikategorikan kepa datiga peringkat, iaitu fasa
pra-revolusi, fasa revolusi teknologi pertama, dan fasa revolusi teknologi kedua.
Fasa pra-revolusi teknologi bermula dengan berkembangnya pemikiran
manusia untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah asas dalam
kehidupan. Manusia pada fasa ini berusaha mencari idea untuk memperoleh
makanan dengan menggunakan bongkah batu sebagai alat. Contohnya, manusia
pada zaman ini menggunakan batu untuk memecahkan cengkerang siput dan
buah yang keras. Batu yang kecil diasah untuk mendapatkan ketajaman dan
digunakan sebagai alat untuk memotong daging binatang buruan dan
mempertahankan diri daripada musuh.Manusia pada zaman ini juga
menggunakan api yang dihasilkan dengan cara melagakan batu.Ini membolehkan
mereka membakar makanan, memanaskan badan dan menghalau binatang-
binatang buas. Manakala komunikasi jarak jauh antara manusia pada zaman
tersebut adalah dengan menggunakan api dan asap. Fasa ini juga
memperlihatkan daya kreativiti manusia yang mampu membina piramid dengan
menyusun atur bongkah-bongkah batu besar yang digerakkan dengan
menggunakan kayu bulat. Selaras dengan perkembangan masa, idea ini telah
dikembangkan sehingga terciptalah roda. Selain itu, manusia pada fasa ini juga
merupakan pencetus kepada teknologi pembuatan seperti anyaman dan
kraftangan yang ringkas.

Di peringkat kedua, iaitu fasa revolusi teknologi pertama, daya pemikiran


dan kreativiti manusia semakin berkembang. Jika pada zaman sebelumnya,
manusia hanya menghasilkan sesuatu yang bersifat statik namun pada fasa ini
manusia mula menggunakan barangan yang statik untuk mendapatkan suatu
hasil baru yang lebih bermanfaat. Dengan menggabungkan beberapa komponen,
manusia berupaya mencipta kereta, mesin, telefon dan sebagainya. Ini menuntut
manusia pada zaman ini untuk berusaha menyesuaikan diri dengan mesin yang
dicipta agar manfaat yang maksimum dapat diperolehi. Selain daripada itu, bidang
pembinaan juga mula mendapat perhatian sehingga pada tahun 1884 terbinanya
bangunan pencakar langit pertama di Chicago yang dikenali sebagai Home
Insurance Building. Bangunan ini dibina dengan menggunakan kerangka logam
kalis api dengan ukuran ketinggiannya 55 meter,walaupun kemudiannya pada
tahun 1931 bangunan ini terpaksa dirobohkan. Sehingga kini teknologi dalam
sektor pembinaan terus mendapat sambutan dengan terhasilnya berbagai bentuk
rekaan bangunan selaras dengan perkembangan pemikiran dan kreativiti manusia
dari zaman ke zaman.

Fasa seterusnya ialah fasa revolusi teknologi kedua yang memperlihatkan


kepelbagaian penemuan baru yang lebih moden dan canggih. Manusia zaman ini
sudah berupaya mencipta berbagai jenis mesin serta sistem yang lebih kompleks
dengan hasil yang lebih baik untuk tujuan peningkatan kualiti hidup manusia.
Namun, kecanggihan teknologi yang semakin hari semakin hebat perlu
dikendalikan dengan cara yang baik agar matlamat penciptaan teknologi sebagai
alat untuk kemudahan manusia tidak menyebabkan manusia menjadi hamba
kepada teknologi. Oleh itu, elemen kerohanian sepatutnya diperkasakan selaras
dengan perkembangan teknologi agar manusia dapat menikmati keseimbangan
dalam aspek spiritual dan material.
PRINSIP TEKNOLOGI DALAM ISLAM

Kelangsungan teknologi dalam Islam menjurus kepada asas-asas nilai,


konsep dan prinsip-prinsip yang bersifat sejagat, tetap, dan menyeluruh yang
terkandung dalam ajaran Islam. Ia merangkumi konsep tauhid, khilafah, ibadah,
halal dan haram, adil dan zalim, istislah (kepentingan awam) dan dhiya’
(pembaziran). Teknologi moden yang digunakan pada hari ini perlu diolah dan
dibangunkan berasaskan pematuhan kepada prinsip-prinsip tersebut bagi
memastikan kebaikannya dapat dimanfaatkan oleh manusia dan seluruh alam.

Tauhid

Antara perkara paling utama yang menjadi teras dalam Islam adalah
tauhid. Tauhid menurut bahasa adalah meyakini keesaan Allah S.W.T atau
menganggap Tuhan hanya ada satu dan tiada yang lain. Menurut istilah pula,
tauhid bermaksud di dunia hanya terdapat satu Tuhan, iaituTuhan Pencipta
Seluruh Alam (Rabbul Alamin). Maksudnya, kita mengakui bahawa tiada yang
dipanggil sebagai Tuhan atau disembah sebagai Tuhan melainkan Allah
sebagaimana kenyataan al-Quran (al-Dhariyaat 56: 51):

"‫"وما خلقت الجن والسنس إل ليعبدون‬


"Dan tidaklah sekali-kali Aku mencipta jin dan manusia itu,
melainkan agar mereka berbakti kepada-Ku semata-mata"

Konsep ketauhidan meletakkan manusia sebagai hamba yang


bertanggungjawab melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala
larangan Allah S.W.T dengan meyakini sepenuh hati bahawa tiada tuhan selain
Allah. Ketauhidan ini semestinya diaplikasikan dalam apa jua ruang lingkup aktiviti
manusia termasuklah dalam aktiviti teknologi. Sains dan teknologi dalam Islam
amat berkait rapat dengan keimanan seseorang yang melakukan reka cipta dan
penghasilan teknologi tersebut. Justeru, jika individu tersebut berpegang teguh
pada syariat Islam, ia akan menghasilkan suatu produk yang menepati syarak dan
sekaligus mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T. Para saintis Muslim telah
menjalankan kajian dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, hasil
kajian yang mereka perolehi adalah bertepatan seperti yang dinyatakan dalam
ayat al-Quran itu sendiri.

Teknologi yang berteraskan tauhid mengarahkan teknologi diguna dan


disalurkan padajalan yang benar dan tidak menyalahi apa jua perintah yang
termaktub dalam nas dan dalil-dalilal-Quran juga hadis. Teknologi dan hasilnya
seharusnya mengingatkan serta mendekatkan manusia kepada Allah selain
mengingatkan bahawa manusia memegang amanah untuk memakmurkan alam
ini. Contoh, dengan adanya teknologi aero angkasa, manusia berupaya mencipta
peralatan dan roket yang mampu membawa manusia meneroka ruang angkasa
lepas.Dengan itu, teknologi tersebut membolehkan manusia melihat ruang
angkasa lepas dan memikirkan betapa ajaib dan Maha Hebatnya kuasa Allah
yang merupakan penciptaNya.
Dalam konteks ajaran Islam, teknologi dilihat sebagai alat yang perlu
dikendalikan oleh manusia untuk menambahkan keimanan kepada Allah. Sebagai
contoh, dengan adanya teknologi manusia berupaya mencipta kapal selam yang
membolehkan manusia menyelam kedasar lautan dan meneroka isi lautan
ciptaan Allah yang Maha Hebat. Justeru, manusia seharusnya bukan sekadar
melihat keindahan lautan dan hidupan di dalamnya bahkan sewajarnya berfikir
tentang kehebatan pencipta-Nya yang menciptakan lautan yang sebegitu indah
dengan pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang amat menakjubkan. Bagaimana
mungkin pencipta-Nya tidak hebat sedangkan Dia mencipta lautan yang luas
dengan berbagai jenis hidupan didalamya. Malah jika direnung betapa hebatnya
pencipta-Nya (Allah) yang menciptakan ikan - ikan yang tidak pernah habis
walaupun telah menjadi sumber makanan manusia sejak zaman - berzaman.
Kesemuanya itu merupakan antara tanda-tanda kewujudan dan keagungan
Allah.Oleh itu, teknologi seharusnya berlandaskan tauhid agar hasilnya
membuahkan lagi kecintaan dan ketundukan manusia kepada Allah.

Khilafah

Hakikat penciptaan manusia terdiri daripada unsur jasad (fizikal) dan rohani
(spiritual) adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah (hamba Allah) dan
sebagai khalifah yang bertanggungjawab dan berusaha untuk menjadi manusia
yang baik, mengajak manusia lain menjadi baik, dan seterusnya memakmurkan
alam ini. Khalifah menurut pengertian yang dinyatakan dalam Tafsir Pimpinan al-
Rahman ialah “Seorang yang dipertanggungjawabkan olehAllah untuk mengatur
kehidupan manusia di bumi berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya
kehidupan manusia menjadi lebih teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci
murni untuk mencapai keredhaan Allah”. Hakikatnya, manusia dengan tujuan
penciptaannya hanya semata-mata bertanggungjawab menerima, melaksana,
dan menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Penciptanya. Dalam aspek ini,
peranan ilmu sangat penting dalam mengurus atur kehidupan manusia. Oleh yang
demikian, Islam menjelaskan kewajipan dan kepentingan menuntut ilmudan
perkara ini secara mudahnya dapat difahami menerusi ayat pertama yang
diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. , iaitu ayat 1-5 daripada surah al-
Alaq.

Menurut perspektif Islam, manusia sebagai khalifah sepatutnya


menggunakan ilmu sebagai syarat utama dalam membangun ketamadunan dan
teknologi moden. Ini bermaksud teknologi dan hasilnya perlu digunakan dengan
cara yang baik (makruf) dan bukannya untuk tujuan yang salah
(mungkar/maksiat). Teknologi seharusnya digunakan sebagai alat untuk
memakmurkan alam dan bukannya digunakan untuk merosak atau memusnahkan
alam. Seorang khalifah dipertanggungjawabkan dengan suatu amanah yang
besar untuk mengatur kehidupan manusia berdasarkan wahyu dan syariat Allah
agar kehidupan manusia teratur serta menuju keredhaan Allah S.W.T (Sheikh
Abdullah Basmeih, 1999). Dalam teknologi, manusia diamanahkan supaya
melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara yang
dilarang oleh Allah. Contohnya, seorang programmer komputer perlu memastikan
kandungan di dalam program-program komputer haruslah menjurus kepada
perkara kebaikan begitu juga dengan gambar-gambar yang dipaparkan haruslah
menepati ciri-ciri syarak dan penulisan program haruslah tidak berunsurkan
maksiat (perkara-perkara yang dilarang oleh Allah).

Dalam era globalisasi, seseorang khalifah boleh berdakwah menerusi


pelbagai saluran dakwah berasaskan ICT seperti laman sosial Facebook, Twitter,
dan blog malah proses dakwah juga boleh dijalankan melalui khidmat pesanan
ringkas (sms). Selain daripada itu, media massa seperti radio dan televisyen juga
boleh memainkan peranan dalam aktiviti menyampaikan dakwah secara lebih
berkesan memandangkan kedua-dua medium dakwah ini mempunyai liputan
yang meluas dalam masyarakat khasnya dalam kalangan remaja.

Halal dan Haram

Pada dasarnya setiap sesuatu yang dicipta oleh Allah adalah halal dan
harus (mubah). Perkataan halal bermaksud baik dan berfaedah sementara
perkataan haram pula bermaksud buruk dan membawa kerosakan. Berbanding
dengan perkara-perkara yang halal, perkara-perkara yang diharamkan
sebenarnya amat sedikit sekali berdasarkan keterangan-keterangan dalam al
Quran dan Hadis. Apa yang nyata, setiap perkara yang diharamkan dalam Islam
jelas merosakkan manusia sebagai individu dan merosakkan alam secara
keseluruhannya.

Halal bermaksud baik dan bersih dari segi fizikal dan rohani sementara
bersih pula membawa maksud suci daripada bahan-bahan yang kotor. Dalam
sains dan teknologi Islam,halal adalah satu tuntutan yang baik, manakala haram
adalah perkara-perkara yang dilarang dalam Islam. Justeru, Islam amat
mementingkan aspek halal dan haram dalam apa jua perkara kerana natijah
daripada halal dan haram akan mempengaruhi hati dan membentuk kehidupan
manusia di dunia malah ia akan dipersoalkan di akhirat nanti. Konsep halal dan
haram bukan sahaja terhad kepada pengambilan makanan bahkan turut meliputi
seluruh urusan kehidupan seharian umat Islam. Begitu juga dalam aspek
teknologi, sebarang aktiviti dan kegiatan teknologi yang dilakukan mestilah
mementingkan aspek kehalalannya. Ini bermaksud,penggunaan dan penciptaan
apa jua teknologi mestilah seiring dan menepati kehendak Islam. Umpamanya,
dalam aspek bioteknologi terdapat sempadan-sempadan dan batasan tertentu
dalam Islam seperti penggunaan kaedah bioteknologi DNA babi (khinzir) dalam
pemprosesan barangan, makanan, dan minuman adalah haram kerana ia secara
jelas dan telah disabitkan pengharamannya dalam syarak secara muktamad
(qat’ie).

Antara contoh lain bagi penggunaan teknologi yang haram ialah


pengklonan manusia yang natijahnya akan hanya menghuru-harakan kehidupan
manusia seperti menimbulkan masalah dalam nasab dan keturunan manusia
bahkan banyak lagi akibat buruk di sebalik pengaplikasian teknologi tersebut.
Dengan kata lain, halal dan haram hendaklah sentiasa menjadi pertimbangan
manusia dalam rangka pembangunan dan penggunaan teknologi itusendiri.
Secara tidak langsung ia juga berkait dengan persoalan adab dan akhlak Islam
yang merujuk kepada tindakan yang betul dilakukan oleh seseorang dan
bersesuaian serta bertepatan dengan suasana, masa serta keadaan dan terlebih
penting ialah tindakan tersebut menepati perintah Allah S.W.T. Ini bermaksud,
sains dan teknologi tidak sewajarnya mengkesampingkan agama bahkan
seharusnya digunakan sebagai alat untuk membangunkan agama dan mentadbir
dunia dengannya.

Halal daripada sudut hukum bererti sesuatu yang bukan haram, manakala
haram pula merupakan sesuatu yang boleh mengakibatkan dosa dan balasan
seksa. Imam al-Ghazali mentakrifkan halal sebagai suatu istilah yang berkait rapat
dengan ketentuan hukum dan merupakan suatu perkara yang bersalahan dengan
syarak yang menyebabkan ia dilarang. Melakukan sesuatu yang haram adalah
berdosa manakala ganjaran pahala disediakan sekiranya seseorang Muslim itu
meninggalkan perkara yang haram. Antara nas al-Quran yang menyebut
berkenaan haram ialah ayat 59, Surah Yunus yang menyeru manusia supaya
memilih makanan yang bukan sahaja halal bahkan makanan yang baik untuk
tubuh badannya, manakala tenaga yang terhasil daripada sumber makanan yang
halal juga perlu digunakan untuk melaksanakan aktiviti seharian yang halal
termasuklah dalam aspek penggunaan sains dan teknologi. Secara ringkas dapat
disimpulkan bahawa teknologi dan apa jua hasil daripadanya mestilah
mengingatkan manusia kepada Allah serta tanggungjawab ke khalifahan yang
diamanahkan untuk dilaksanakan mengikut lunas dan menepati nilai-nilai
Rabbani.
Ibadah

Manusia merupakan hamba Allah yang diperintahkan untuk mematuhi dan


melaksanakan segalaperintah dan menjauhi larangan-Nya. Segala tindak tanduk
manusia tertakluk kepada ruang lingkup pengabdian diri kepada Allah bagi
memperolehi rahmat dan mendapatkan keredhaan-Nya. Oleh itu, penggunaan
teknologi yang tidak bercanggah dengan ruang lingkup pengabdian kepada Allah
merupakan sebahagian daripada ibadah yang dijanjikan ganjaran pahala di
sisiAllah. Ibadah yang dilaksanakan itu juga akan memberikan faedah kepada
kehidupan manusiadan alam semesta.

Perkataan ibadah menurut pengertian syarak bermaksud melaksanakan


tuntutan kehambaan dan pengabdian yang disertai dengan ketaatan sama ada
secara lisan, hati (qalb) atau dengan perbuatan sekalipun dilakukan secara
terang-terangan mahupun secara bersembunyian dengan hanya bermatlamatkan
kerana Allah (sebagai tanda kepatuhan, memohon keredhaan dan mengharapkan
ganjaran pahala disisi-Nya). Perkara-perkara yang tergolong dalam ibadah
antaranya solat, menunaikan zakat, bercakap benar, berbuat baik kepada orang
tua, menjalinkan silaturrahim, menepati janji, menyuruh berbuat baik, melarang
perbuatan jahat, lemah lembut terhadap jiran tetangga dan anak yatim, dan
membuat kebajikan kepada orang-orang miskin dan fi sabilillah (berjuang di jalan
Allah).

Kalimah ibadah sering dikaitkan dengan ganjaran pahala yang mana umat
Islam disarankan agar mengaplikasikan konsep ibadah ini dalam apa jua aktiviti
kehidupan seharian.Ibadat merupakan perantara (wasilah) antara makhluk
dengan Penciptanya, antara langit dan bumi, dan juga antara alam dunia dan
alam sam’iyyat (akhirat). Keperluan manusia kepada ibadah adalah kerana ia
merupakan makanan rohani yang dapat menyuburkan ruh manusia yang hatinya
sentiasa memerlukan pergantungan kepada Allah S.W.T. ( Al-Qaradhawi, 1980).

Yusuf Al-Qaradhawi menekankan dua aspek pengertian ibadah


sebagaimana berikut:

i- Beriltizam dengan apa yang disyariatkan oleh Allah dan


dengan apa yang disebut oleh rasul-rasulnya, baik dalam
bentuk perintah, larangan, penghalalan dan juga
pengharaman. Ini menggambarkan unsur ketaatan dan
kepatuhan kepada Allah S.WT.

ii- Pengiltizaman ini terkeluar daripada hati yang cintakan Allah


kerana tiada sesuatu yang wujud yang lebih berhak dicintai
selain daripada Allah S.W.T. Dialah yang empunya
kelebihan dan juga Ihsan (Al-Azhari Basri Ibrahim, 2003).

Pengertian ibadah ini bukan sahaja terhad kepada ibadah fardhu yang
disyariatkan sahaja bahkan turut merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia
yang baik tidak terkecuali juga dalam bidang teknologi. Ibadah dalam konteks
teknologi dilihat sebagai apa jua aktiviti teknologi yang dilaksanakan dengan niat
yang baik serta dengan cara yang halal dan tidak menyalahi syarak. Umpamanya
dalam bidang bioteknologi, persenyawaan luar rahim antara sperma lelaki dan
wanita yang sah sebagai suami isteri adalah diharuskan untuk mendapatkan
zuriat. Pengaplikasian teknologi dengan cara yang menepati hukum Islam adalah
ibadah selain turut membantu pasangan yang bermasalah untuk melangsungkan
kesenambungan keturunan umat manusia. Namun, sekiranya teknologi
disalahgunakan, maka ia bukan sahaja memberi mudarat kepada manusia
bahkan turut mengundang azab Allah di akhirat kelak. Ringkasnya,dapat
disimpulkan bahawa setiap aktiviti teknologi yang baik dan memberikan faedah
adalah ibadah sekiranya dilaksanakan dengan menepati hukum Islam dan disertai
dengan niat yang mulia tanpa mengharapkan pujian dan kemegahan.

Adil dan Zalim

Kalimah adil berasal daripada kalimah bahasa Arab adl yang bererti
persamaan antara dua perkara yang berbeza atau antara dua pertelingkahan
tanpa kecenderungan terhadap mana-manapihak dengan mengambil tindakan
yang saksama. Manakala daripada sudut syarak pula, adil membawa maksud
mengambil tindakan dan membuat pertimbangan yang bertepatan dengan wahyu
Ilahi dan ijtihad (Abdul Hadi Awang, 2009). Adil dalam Islam pula merangkumi
beberapa takrifan, iaitu keseimbangan, pemeliharaan persamaan hak tanpa
sebarang pencabulan terhadapnya, pemberian hak kepada mereka yang berhak
dan juga meletakkan sesuatu pada tempatnya (lawan bagi zalim). Kesemua
takrifan di atas saling berkait antara satu sama lain.Justeru, dapat disimpulkan
bahawa adil bermaksud memberikan kepada mereka yang berhakakan hak
mereka mengikut kadar masing-masing secara seimbang dan saksama tanpa
menindas atau menzalimi hak orang lain.

Penggunaan teknologi juga seharusnya diaplikasikan secara adil, iaitu


dengan meletakkan teknologi sebagai suatu wasilah dan alat untuk melihat dan
mengkaji bukti-bukti kewujudan dan keagungan ciptaan Allah yang sekaligus
membuktikan kehebatan Penciptanya. Teknologi aeroangkasa yang digunakan
secara adil membolehkan manusia meneroka alam angkasaraya serta melihat
sendiri keajaiban ciptaan Allah dengan pergerakan planet-planet yang bergerak
diatas orbitnya dan tidak bertembung antara satu sama lain yang menunjukkan
wujudnya peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta.

Manakala zalim juga merupakan kalimah yang berasal daripada bahasa


Arab iaitu “al-zulm” adalah sesuatu yang berlawanan dengan perkataan adil.
Perkataan zalim bermaksud memesongkan sesuatu yang hak kepada kebatilan.
Kezaliman membawa bencana serta kemusnahan kepada kehidupan, alam
semesta selain merupakan punca kejahatan berleluasa.Larangan dan
pengharaman menyokong golongan yang zalim termaktub dalam al-Quran
(SurahHud : 113) yang bermaksud;

“Janganlah sekali-kali kamu cenderung kepada orang-orang yang


zalim, nescaya kamu disentuh oleh api neraka, kemudian kamu tidak
lagi ditolong”.

Kezaliman boleh berlaku dalam dua keadaan sama ada dengan memeras
atau merampas harta benda atau hak orang lain atau boleh juga berlaku dengan
menentang hukum-hukum Allah. Kezaliman dalam konteks teknologi adalah
dengan menyalahgunakan teknologi. Contohnya,mencipta teknologi-teknologi
yang bertentangan dengan hukum Islam seperti pengklonan manusia atau
menghasilkan hidupan lain hasil daripada gabungan genetik manusia dan anjing
adalah jelas merupakan suatu penyalahgunaan teknologi.

Istislah dan Dhiya’

Istislah bermaksud kepentingan awam manakala Dhiya’ pula bermaksud


pembaziran. Islam mengharuskan penciptaan teknologi yang bertujuan untuk
memenuhi keperluan dan kepentingan masyarakat umum. Ajaran Islam
membolehkan umatnya menerima dan menggunakan apa juahasil daripada
teknologi asalkan ia tidak membawa kepada maksiat dan memberikan
manfaat.Walau bagaimanapun, sekiranya teknologi itu menyebabkan manusia
lalai daripada mengingati Allah (zikir) dan fikir serta meruntuhkan nilai
kemanusiaan, maka peringatan dan panduan seharusnya diberikan kepada
pengguna teknologi tersebut agar tidak tersasar jauh daripada matlamatnya.
Penciptaan teknologi enjin dan pembuatan kereta dan berbagai jenis
pengangkutan lain memberi kemudahan kepada manusia untuk bergerak dengan
lebih cepat seterusnya dapat meminimumkan penggunaan masa dan
mengoptimumkan prestasi kerja. Begitu juga penciptaan teknologi yang
digunakan dalam perawatan dan penyaluran air bersih untuk kegunaan seharian
manusia, jelas memberikan manfaat kepada kehidupan manusia yang dahulunya
terpaksa bersusah payah mengangkut air dari perigi dan sungai selain
menyebabkan penempatan di tepi-tepi sungai dan di kawasan sumber-sumber air
mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi jika dibandingkan dengan kawasan-
kawasan penempatan yang lain. Dengan kata lain, Islam tidak menghalang apa
jua pembaharuan dan pembangunan mahupun teknologi asalkan ia tidak
bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

Konsep Dhiya’ dalam teknologi, iaitu pembaziran dilarang dalam Islam


yang sangat menitik beratkan sifat kesederhanaan dan melarang perbuatan
membazir. Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutan umat Islam adalah seorang
yang sentiasa bersederhana, iaitu tidak terlalu kedekut dan tidak membazir.
Sabda baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang bermaksud :

“Berperangai baik dan bersifat sederhana merupakan dua puluh


bahagian daripada kenabian”

Dalam konteks penggunaan teknologi, seringkali berlaku pembaziran.


Contoh yang paling mudah adalah dalam penggunaan khidmat pesanan ringkas
(SMS). Masyarakat seolah-olah memandang ia sebagai suatu perkara yang
remeh sedangkan penggunaan SMS dalam perkara-perkara yang tidak perlu
adalah dikategorikan sebagai membazir. Sebagaimana yangtelah sedia maklum,
setiap SMS ditentukan kadar rata tanpa mengira bilangan patah perkataan yang
dihantar oleh pengirim. Justeru penggunaan khidmat pesanan ringkas atau SMS
seharusnya digunakan secara berhemah bagi mengelakkan berlakunya
pembaziran tanpa disedari pengguna.

Tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan teknologi sebagai contoh,


teknologi janakuasa elektrik sangat memberi manfaat dan memudahkan urusan
kehidupan manusia. Namun,bagaimana pula kaedah terbaik untuk
menghargainya agar tidak berlaku sebarang pembaziran ketika
menggunakannya? Penggunaan peralatan elektrik dan elektronik di rumah
mahupun dipejabat sewajarnya digunakan dengan bijak. Begitu juga dengan
penggunaan alat pendingin hawa (aircond) yang sepatutnya hanya di “on” kan
ketika perlu sahaja dan dalam kadar suhu yang sederhana.

Teknologi hendaklah diuruskan dengan sebaiknya. Hal ini demikian kerana


kewujudannya bukan sahaja bermanfaat bahkan beriringan dengannya keburukan
jika tidak diurus dan digunakan dengan cara yang betul dan cekap. Kepelbagaian
maklumat dan aplikasi yang boleh dicapai dengan hanya satu klik di hadapan
komputer akan membawa musibah jika disalahgunakan. Justeru, manusia
seharusnya bijak ketika memilih laman-laman web.Pemilihan perlu diutamakan
kepada laman web yang dapat memberikan info yang bermanfaat dan
mengelakkan daripada menjelajahi laman-laman yang berunsur negatif seperti
keganasan,perkauman, seks, ajaran sesat, dan sebagainya. Kesedaran ini perlu
bagi memastikan hanyalaman-laman web dan maklumat yang bermanfaat sahaja
diakses bagi mengelakkan berlakunya pembaziran masa. Ringkasnya, dalam apa
jua perbuatan atau kegiatan seharian, manusia sepatutnya menggunakan dan
memanfaatkan teknologi dengan cara yang berhemah.
Mewarnakan Teknologi Dengan Wajah Islam

Sarjana-sarjana Islam berpendapat bahawa teknologi alternatif perlu


diperolehi bagi mengelakkan kesan-kesan pencemaran terhadap budaya dan
cara hidup Islam yang murni.Misalnya, K.D. Sharma dan M. A. Qureshi berhujah
bahawa idea tentang teknologi alternative adalah berdasarkan “pemilihan
teknologi daripada satu set teknologi yang tersedia untuk menghasilkan barangan
dan komoditi bagi memenuhi keperluan semua”. Teknologi alternative yang dipilih
daripada suatu spektrum teknologi di pasaran mestilah mempunyai ciri-ciri berikut;
Ia mungkin primitif, rendah dan tinggi atau terletak di antara ketiga-tiga keadaan
tersebut, tetapi mestilah sesuai dengan atau tiadanya sumber-sumber negara dan
mestilah selaras dengan objektif ekonomi, sosial, budaya, dan politik negara
tersebut serta tidak merosakkan alam sekitar.

Hubungan antara teknologi dan masyarakat boleh dilihat dalam dua


cara :

1. Ia telah membuktikan bahawa satu-satunya teknologi untuk


masyarakat ialah teknologi yang dapat berkembang tanpa
bantuan luar. Ia merupakan ciptaan tempatan oleh negara-
negara yang sedang membangun itu sendiri.

2. Teknologi alternatif tidak boleh dikembangkan mengikut rangka


kerja falsafah dan intelektual peradaban barat.

Tegasnya dalam menggunakan teknologi asing, umat Islam perlu


membuang nilai-nilaiyang diimport dan menerima intipati yang sesuai
dengan keadaan tempatan. Lebih khusus lagi,keperluan-keperluan
tempatan itu ialah:

i. Kesedaran atas sistem nilai yang terkandung dalam teknologi-


teknologi

ii. Keyakinan terhadap kemampuan masyarakat itu dari segi


tamadun

iii. Persetujuan bahawa perubahan yang tidak baik dalam


masyarakatnya tidak akan berlaku.

iv. Pemilihan dan penyelidikan yang teliti terhadap teknologi


asing

v. Penyesuaiannya jika perlu sebelum ditiru

vi. Mengesan akibat daripada teknologi asing; dan

vii. Penolakan dan pembuangannya jika ia terbukti telah


meninggalkan kesan yang tidak baik.
KESIMPULAN

Teknologi barat telah banyak mewarnai budaya dan tamadun umat Islam.
Walaupun Islam sebenarnya mempunyai tamadunnya sendiri yang unggul, tetapi
keruntuhan tamadun Islam dan penjajahan oleh dunia barat telah menyebabkan
umat Islam menjadi mundur dan terkebelakang dalam pelbagai bidang ilmu
pengetahuan termasuk teknologi. Akibatnya, umat Islam menadah tangan untuk
menerima teknologi asing tanpa berupaya melakukan ubahsuaian yang
membawa bersama-samanya ideologi kepakaran. Satu pendekatan yang konkrit
dan bersepadu perlu difikirkan oleh dunia Islam untuk meminimumkan kesan
pemindahan teknologi asing ke ataskeutuhan budaya Islam yang murni serta
memunculkan dunia Islam dengan teknologi yang ditandai dengan roh dan jiwa
Islam.

RUJUKAN

Al Quran dan Terjemahannya.

Abdul Hadi Awang. (2009). Islam Adil Untuk Semua. Selangor: PTS Islamika Sdn.
Bhd.

Ahmad Baharuddin Abdullah. (2004). Memperkenalkan Bidang Kejuruteraan


Islam: Persepsi dan Sumbangan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn
Bhd.

Afzalur Rahman. (1992). Ensiklopedia Sirah Jilid I. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
danPustaka.
Al-Azhari Basri Ibrahim. (2003). Salah Faham terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan
Zikir. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

Al-Qaradhawi Yusuf. (1980). Matlamat dan Tujuan Ibadah Dalam Islam. Kuala
Lumpur: Yayasan Dakwah Malaysia.

Baharudin Yatim. (1995). Pengurusan Penyelidikan Sains dan Teknologi dari


Perspektif Islam. Seminar al-Quran & Isu-isu Semasa II peringkat kebangsaan
pada 12-13 september di bilik jumaah UKM Bangi. Anjuran Jabatan Pengajian Al-
Quran Dan Sunnah FAKULTI PENGAJIAN Islam UKM.

Endang Mohd Zain. (1989). Sains, Falsafah dan Agama. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Galbraith J.K. (1974). Economics and the Public Purpose. London : Andre
Deutsch
Hairudin Harun. (1992). Daripada Sains Yunani kepada Sains Islam. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Haron Din. (1988). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn
Bhd.

Ibnu Taimiyah. (1982). Al’Ubudiyyah Mu’ammal Hamidy. Surabaya : PT Bina Ilmu

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

M. Quraish Shihab. (1997). Wawasan al-Quran Tafsir Maudu’I atas Pelbagai


Persoalan Umat. Bandung: Penerbit Mizan Khazanah Ilmu-ilmu Islam.

Mesthene E.G. (1971). Technological Change Its Impact on Man and Society.
Cambridge Mass: Harvard University Press.

Moehammad Thahir Badrie. (1984). Syarah Kitab al-Tauhid Muhammad bin Abdul
Wahab. Jakarta: PT Pustaka Panjimas.

Mohd Yusoff Othman (2009). Sains, Masyarakat dan Agama. Kuala Lumpur:
Utusan Publications Sdn Bhd.

Ramli Awang et al. (2001). Falsafah Sains dan Teknologi Dari Perspektif Islam.
Skudai: Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial (PPIPS)

Shahir Mohd Zain. (1989). Pengenalan Tamadun Islam dalam Sains dan
Teknologi. Kuala Lumpur: Dawan Bahasa dan Pustaka.

Sidek Baba. (1997). Penglibatan Masyarakat Islam di dalam Pembangunan dan


Penggunaan Teknologi Maklumat. Seminar Cabaran Teknologi Maklumat dan
Internet: Agenda Umat Islam. 25 – 26 Mac 1997.

Sulaiman Noordin. (1993). Sains Falsafah dan Islam. Bangi: Pusat Pengajian
Umum, UKM.

Wan Fuad Wan Hassan. (1990). Ringkasan Sejarah Sains. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Zawiyah Mohd Yusof et. Al. (2005). Teknologi Maklumat & Komunikasi Etika,
Undang- undang dan Sosial. Malaysia: Mc Graw-Hill (Malaysia) Sdn Bhd.

Ziauddin Sardar. (1977). Science, Technology and Development in the Muslim


World. London: Croom Helm.
Ziauddin Sardar. (1990). Masa Hadapan Islam, Bentuk Idea Yang Akan Datang
(Penterjemah: Mohd. Sidin Ahmad Ishak). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai