Anda di halaman 1dari 14

MUHASABAH SAMBUT MAULUD NABI

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad


SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan
termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran
insan agung ini.

Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-
bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk
seluruh alam.

Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang
kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia
keseluruhannya".

Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan seruan
untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat
segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa
olehnya.

Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak
mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini
merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad
SAW.

Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek
kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta
daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek
kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak
keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah
yang membimbangkan.

Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas


menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin
seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat
mimpi melihat Nabi Muhammad SAW pun sukar untuk diperoleh. Begitu pula
dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran
merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

1
Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-
undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada
pesalah zina dan peminum arak.

Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa
orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali
sebatan, tanpa belas kasihan.

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang
melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang
ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan
penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya
khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk
mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada
kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai
bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah
masyarakat Islam.

Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula
kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan
pelbagai aktiviti yang tidak bermoral. Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok
mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada
jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk
daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau
dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan
cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana
tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa
sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir
masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat
kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan
mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan
tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan
ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

2
Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa
yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan,
diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang
menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh
apa-apa.

Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi
memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan
serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M
terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki
sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi
kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan
selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang
dikasihi oleh kawan dan lawan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya
Johor Bahru.

Utusan Malaysia, 26 Februari 2010

CONTOHI KEPIMPINAN NABI MUHAMMAD

LOKMAN ISMAIL
Kota Bharu, Kelantan

KEPIMPINAN Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan perlu dijadikan contoh.
Antara sikap baginda adalah sentiasa bersikap berlapang dada. Baginda tidak
mudah berasa tertekan atau kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tidak
disenangi. Baginda sentiasa menggunakan pendekatan tenang dalam melihat
sesuatu masalah.

Sekiranya pemimpin mudah hilang punca dan pertimbangan setiap kali berdepan
dengan cabaran berat, banyak tindakan yang dilakukan tidak dapat dipastikan
kesannya. Mereka mungkin sentiasa menukar perancangan dan pelaksanaan
sesuatu perkara.

Perbincangan adalah satu amalan yang perlu diutamakan semasa merancang atau
mengambil keputusan penting melibatkan rakyat yang mana setiap individu yang

3
terlibat dalam urusan itu dapat memberi pendapat dan membuat keputusan
bersama.

Rasulullah SAW sentiasa berlapang dada menerima pandangan para sahabat di


mana baginda tidak memberi kata putus secara peribadi dalam hal melibatkan
kepentingan rakyat. Pemimpin yang selalu berbincang menandakan mereka
mempunyai sikap berlapang dada dan bersedia untuk ditegur.

Sesungguhnya tidak jatuh maruah pemimpin yang ditegur oleh orang bawahan.
Sikap itu membawa rasa hormat rakyat terhadap pemimpin. Manusia tidak
sempurna dalam semua hal dan memerlukan perbincangan atau pertolongan
individu lain untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Peribadi unggul lain yang dimiliki Nabi Muhammad adalah sentiasa mengamalkan
pergaulan mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membeza-bezakan antara sahabat
dan sesiapa yang ditemuinya.

Apa yang jelas, Nabi Muhammad tidak mengamalkan protokol atau syarat untuk
membolehkan seseorang menemui baginda. Sesiapa saja boleh menemui baginda
untuk menyatakan sendiri sebarang hajat atau mengajukan apa-apa pertanyaan.

Rakyat tidak berasa kekok untuk menyampaikan sesuatu perkara dan berganding
bahu dengan pemimpin yang mengamalkan pergaulan mesra untuk melakukan
usaha ke arah kebaikan dan menghindar perkara buruk.

Semua rakyat berhak mendapat layanan sama adil daripada pemimpin tanpa
membezakan penyokong setia atau kroni berbanding yang lain. Ini kerana baginda
adalah pemimpin untuk seluruh umat manusia.

Pemimpin mesti mementingkan falsafah saling mempercayai seperti mana


diamalkan oleh baginda yang tidak ragu-ragu tentang sebarang pengakuan atau janji
yang diucapkan kepadanya. Baginda tidak mempunyai prejudis dengan membuat
andaian tanpa alasan munasabah terhadap seseorang.

Hubungan kasih sayang dibina oleh Rasulullah SAW dengan semua orang
menyebabkan baginda sentiasa disayangi. Baginda juga sentiasa mengutamakan
pembinaan perasaan kasih sayang tanpa membeza-bezakan taraf seseorang.

Kepimpinan Nabi Muhammad bersifat sejagat yang tidak hanya untuk kelompok
masyarakat tertentu sahaja. Sebab itulah, baginda amat menekankan agar tidak
wujud amalan perkauman atau melebihkan sesuatu bangsa sahaja.

Sifat yang tidak hanya mementingkan sesuatu kaum amat penting diamalkan di
negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti negara kita. Setiap kaum

4
berhak menikmati kehidupan dengan harmoni, aman dan selamat dalam negara kita
yang berkongsi pemerintahan.

Nabi Muhammad amat berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukan.
Baginda sentiasa mengingatkan sesuatu kemungkinan yang bakal ditempuh oleh
umat baginda pada masa akan datang.

Justeru, biarpun baginda telah wafat lebih 1,400 tahun lalu, apa yang pernah
baginda ucapkan menjadi kenyataan pada hari ini.

Pemimpin yang berpandangan jauh tidak hanya merancang sesuatu yang berlaku
dalam tempoh masa terdekat atau sekadar beberapa tahun akan datang. Sebagai
pemimpin yang berwawasan, apa yang difikirkan tidak untuk diri dan generasinya
saja. Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk generasi akan datang.

Tugas memimpin tidak sekadar menggunakan kebijaksanaan minda tetapi juga


memerlukan kekuatan fizikal yang mana setiap pemimpin terpaksa bergerak ke sana
dan ke sini tanpa masa rehat yang cukup.

Sebab itulah, dalam sirah Rasulullah menceritakan mengenai kekuatan fizikal yang
dimiliki baginda. Dengan kelebihan itu, baginda tidak menghadapi masalah untuk
melakukan pelbagai jenis tugas, walaupun kelihatan berat untuk dilakukan orang
lain.

Utusan Malaysia, 26 Februari 2010

MAULIDUR RASUL MENGUKUHKAN PERPADUAN


Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

TERSENTAK hati dan rasa kesal kerana ada di kalangan umat Islam sendiri
membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad
SAW tidak mempunyai fadilat dan menyimpang. Setelah tradisi berjalan sekian
lama, hanya sambutan kali ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual


Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar
umbi itu.

Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah


SAW pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam
untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda?
Dengan mengingati kelahirannya, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana
seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin umat sehingga
menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?

5
Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai
kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana
diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentang
sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penuh keinsafan,
berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan
mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri
memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran
baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan
satu perbuatan bid'ah maka bid'ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan
rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa
pelaku bid'ah itu mencintai Nabi. Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah
sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila
hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu
perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan
siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan
berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.

Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di
mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan
bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan
diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia
ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat
kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.

Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan


hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda
terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta
tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam
setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan
kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip,
bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta
kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada
segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari
Allah' yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk
memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah
mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu
ummah)." (maksud Surah Ibrahim: 5)

6
Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran
dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda
diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut
ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak
mengalu-alukan kehadiran baginda.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan
hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya
adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah
satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang


dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi
jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh
sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Utusan Malaysia, 26 Februari 2010

MAULID NABI RAI KELAHIRAN ISLAM

MAKAM Rasulullah di Masjid Nabawi, Madinah yang menjadi


tumpuan dan ziarah umat Islam dari seluruh dunia.

MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya


merujuk kepada kelahiran bayi.

7
Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi
Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Sejarah ringkas

Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang
meraikannya secara besar-besaran.

Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang
membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.

Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas
perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah
seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma'moon Al-Bataa'ni memegang kuasa kerajaan.

Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi
dihentikan.

Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka


secara tertutup.

Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa'd Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen 'Ali-
Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.

Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur
Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias
khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.

Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam
khemah yang telah didirikan.

Hujah membolehkan Maulidur Rasul

Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti
dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.

Imam Jalaluddin Sayuti:

"Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala
mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan
Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW
yang mulia".

8
Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat
Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.

"Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah
dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.

"Sa'd bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan
mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka
mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.

"Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka


tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.

"Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah


Islam dan kesannya.

"Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam
ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna
meraikan hari kelahiran Islam.

"Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan
dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang
menceritakan akan sejarah Islam".

Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:

1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya


(Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang
yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A'raf: 157)

Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka


perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.
(Ibrahim: 5)

Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada
Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah' adalah hari-hari
nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani menjelaskan lagi dengan
katanya "kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar".

3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati


orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi
bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?"

9
Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan
pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan".

Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu".
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari
berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan
dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar
umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.

- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan
melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya
yang hak.

Utusan Malaysia, 26 Februari 2010

MEMBINA KEKUATAN UMMAH


OLEH SITI AINIZA KAMSARI
Gambar SAFWAN HADI MUSTAPA

ANTARA sambutan Hari Valentine dan Maulidur Rasul, persamaannya apabila


kedua-dua hari tersebut adalah hari yang begitu ditunggu-tunggu oleh rakyat negara
ini. Tetapi malangnya menurut seorang teman, salah satu begitu diraikan tetapi yang
satu lagi, hanya sekadar hari yang diberi cuti umum.

Berzanji dan marhaban seperti ini sering diadakan bagi


memeriahkan lagi sambutan Maulidur Rasul yang lazimnya
dijayakan oleh kalangan kaum wanita Islam.

Adakah maksudnya tiada sambutan diberikan terutamanya oleh umat Islam setiap
kali tibanya 12 Rabiulawal mengikut kalendar Islam itu?

10
Di tambah pula sejak akhir-akhir ini sambutan Maulidur Rasul atau lebih tepat
perarakan bagi meraikan kelahiran Nabi Muhammad cuba dipertikaikan.

Benarkan perarakan itu bidaah? Terlarang? Satu unsur pendewaan? Perarakan itu
telah menyebabkan ada umat Melayu atau Islam menjadi lemah?

Pengalaman penulis ketika belajar di sebuah sekolah aliran mubaligh Kristian di


Selangor, iaitu sebuah sekolah yang muridnya terdiri daripada berbilang kaum,
Melayu, China dan India, tiada halangan untuk menyambut Maulidur Rasul.

Namun setiap kali tibanya tarikh 12 Rabiulawal (yang ketika itu juga dikenali sebagai
Maulud Nabi) seluruh pelajar Islam menyambutnya dengan penuh meriah.

Malah masing-masing begitu teruja kerana terdapat pertandingan melukis poster


dan banner untuk dibawa dalam perarakan yang bermula dari halaman sekolah
menuju ke stadium berhampiran untuk program seterusnya.

Malah para pelajar terbabit membuktikan kecintaan dan ingatan mereka terhadap
Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kata-kata yang indah sebagaimana
panduan dan bimbingan daripada para ustaz.

Poster-poster yang dihasilkan juga dihias indah dengan pelbagai corak dan warna
dan hasilnya, tidak sahaja berwarna warni, sangat menarik tetapi hendak
menyampaikan pelbagai mesej.

Mengingati kelahiran Rasulullah juga bermakna mengimbau kembali sejarah


perjuang baginda menyebar dan menegakkan Islam di bumi Arab.

Sebab itu segala pujian yang dilafazkan kadang-kadang membangkitkan rasa


terharu dan sebak kerana mengenang perjuangan dan pengorbanan besar yang
dilakukan oleh baginda.

Sebagaimana yang diceritakan oleh 'orang lama', Profesor Datuk Dr. Sidek Baba
bahawa sambutan Maulidur Rasul baginya adalah sebahagian dari institusi
pendidikan tidak formal tetapi antara guru yang terbaik dalam hidupnya.

"Zaman kecil-kecil saya dahulu iaitu sekitar tahun 1950-an dan 60-an, juga tidak
kurang meriahnya sambutan Maulidur Rasul itu apatah lagi ketika dibesarkan di
Kampung, iaitu Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka.

"Seluruh kampung meraikannya, memang suatu acara yang ditunggu-tunggu, lebih


meriah berbanding kenduri kahwin.

"Tidak ada penduduk kampung yang tidak turut serta, dari peringkat yang tua dan
tentu sekali kanak-kanak seperti saya ketika itu yang paling gembira menyambutnya.

11
"Kami mengadakan pelbagai acara termasuk perarakan untuk kami seluruh
kampung berselawat terhadap Junjungan Besar baginda Rasulullah yang sebelum
itu kami bergotong royong beramai-ramai masak untuk kenduri dan sebagainya,
sungguh meriah.

"Diadakan pelbagai pertandingan terutamanya membaca al-Quran dan sebagainya,


yang semua itu mendapat sambutan ramai dan masing-masing berlumba-lumba
untuk menunjukkan bakat dan kebolehan," kata Sidek.

Namun yang jelas katanya, sambutan Maulidur Rasul merupakan acara yang tidak
sahaja untuk memperingati Rasulullah tetapi natijah dan hikmah yang paling besar,
hubungan erat yang terjalin di kalangan penduduk kampung.

"Seluruh penduduk kampung saling kenal mengenal antara satu sama lain dan
menjadikan seluruh kampung itu seperti bersaudara," katanya.

Di tambah lagi jika di kampung-kampung yang terdapatnya madrasah atau sekolah-


sekolah agama, sambutan akan lebih luar biasa sifatnya, tidak sekadar dibuat atas
anjuran masjid sahaja.

Begitulah signifikannya mengadakan sambutan Maulidur Rasul bagi Sidek yang


baginya tidak ditemui sebarang elemen bidaah sehinggalah boleh jatuh kepada
hukum haram.

Menurutnya, sejak pertama kali diadakan iaitu di zaman pemerintahan kerajaan


Fatimiyyah di Mesir, sambutan Maulidur Rasul tidak sewajarnya dipertikaikan oleh
mana-mana pihak.

Malah setiap umat Islam bertanggungjawab mempertahankan atas sifat hukumnya


yang harus sebagaimana yang disepakati oleh para ulama dan cendekiawan
Muslim.

"Adalah benar mengadakan Maulidur Rasul itu hukumnya tidak wajib. Tetapi yang
kita bimbang, ada yang memahami apabila perarakan tidak wajib bermakna tidak
perlulah membuat sebarang sambutan untuk memperingati kelahiran Nabi
Muhammad itu.

"Itu yang kita tidak mahu berlaku. Sedangkan tidak salah untuk kita terus
mengadakan perarakan tersebut jika ia adalah sebahagian dari cara untuk umat
Islam memperingati Nabi terakhir mereka," katanya.

Kata Sidek, Rasulullah dimuliakan kerana baginda adalah sumber contoh, sumber
qudwah, bimbing umat manusia kepada jalan yang benar dan perjuangan nabi itu
ikutan dan tauladan.

12
"Jadi cuba bayangkan jika kita tidak mengingatinya langsung. Sekadar kita ucapkan
dalam lafaz kalimah syahadah atau berselawat seorang diri.

"Tidak timbul perasaan jemaah, jiwa berjemaah bersama-sama, beramai-ramai


dengan umat Islam yang lain.

"Sedangkan bersama-sama dan beramai-ramai itu membina dan membentuk


kekuatan ummah itu sendiri, kesannya tentu sekali berbeza berbanding jika
mengingati nabi itu secara seorang diri," jelas Sidek.

Bagi kalangan umat Islam kebanyakan sambutan hari kebesaran adalah penting
untuk diadakan. Sebagaimana apabila tibanya tahun baru Hijrah yang akan
disambut dengan Maal Hijrah.

Begitu juga setiap kali tibanya 12 Rabiulawal maka sambutan Maulidur Rasul
menjadi acara penting sama begitu juga sambutan Israk Mikraj.

"Ini kerana semua sambutan itu tidak sekadar perayaan tetapi membawakan mesej
dengan makna yang cukup besar dan mampu memberikan kesan untuk mengubah
kehidupan umat itu kepada kehidupan yang lebih baik," katanya.

Ia tidak sekadar soal mempertahankan identiti Islam tetapi terlalu banyak hikmah
terutama bagi mereka yang menghayati dan Sidek tidak memahami mengapa
perkara yang baik seperti itu kini cuba dipertikaikan dengan perkara-perkara yang
remeh dan titik bengik.

"Menghalang laluan, terpaksa tutup jalan, menyebabkan kesesakan di laluan-laluan


lain dan sebagainya, merupakan perkara-perkara atau isu tidak sepatutnya
ditimbulkan.

"Jika begitu pada dasar logik akalnya, kerajaan sepatutnya mengharamkan juga
acara lumba basikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) kerana acara itu
juga menimbulkan pelbagai keadaan seperti yang disebutkan," katanya.

Beliau yang kini Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti Islam


Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak turut kesal apabila ada pihak yang
mendakwa sambutan seperti ini merupakan satu pendewaan terhadap baginda
Rasulullah.

"Adakah Rasulullah itu telah kita jelmakan atau membentuknya dalam bentuk patung
atau sebarang objek yang berkaitan? Lalu kita bawa berarak dan dijulang-julang?,"
tanya beliau.

13
Kebimbangan itu kononnya berasas kerana ia seperti meniru perbuatan pengikut
agama Kristian yang mendewakan Nabi Isa sehingga dianggap sebagai Anak
Tuhan.

"Sedangkan di negara ini, tidak ada sampai ke tahap itu kerana kita tetap berpegang
bahawa Nabi Muhammad itu tetap Nabi.

"Hakikat itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Jadi apa yang perlu dirisaukan,"
katanya.

Menurut beliau, ia umpana mengadakan tahlil secara beramai-ramai terutamanya


bagi memperingati dan sedekahkan amalan kepada ibu bapa yang telah meninggal
dunia.

"Adakah ini bermakna sambutan seperti ini bermakna kita melakukan penyembahan
terhadap ibu bapa kita itu," tanya beliau.

Namun yang lebih dikesalkan kerana bagi Sidek, ia terlalu kasar dibaca apabila
dikaitkan pula perarakan Maulidur Rasul itu dengan maju mundurnya sebuah
bangsa dan umat, iaitu lebih tepat umat Melayu.

Sedangkan katanya, perarakan tersebut adalah sebagai menghormati perjuangan


baginda yang telah melahirkan Islam.

Mereka yang menempelak perarakan sempena Maulidur Rasul bermakna tidak


menghormati baginda.

"Mungkin berlaku kurangnya penghayatan dalam perarakan tersebut menyebabkan


ada umat Islam yang menyertai tidak berubah.

"Masih ditakuk lama dan sebagainya tetapi perarakan dalam setiap kali sambutan
Maulidur Rasul tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kemajuan atau
kegagalan sesebuah bangsa ," katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Disiplin UIAM
berkata, umat Islam semakin kurang penghayatan terhadap majlis seperti itu kerana
sedikit sebanyak telah terpengaruh dengan anasir-anasir atau unsur lain.

Utusan Malaysia, 26 Februari 2010

14

Anda mungkin juga menyukai