Anda di halaman 1dari 5

3.

TUGASAN 1 ESEI REFLEKTIF


Aku Ingin Sepertimu
Aku merupakan seorang guru pelatih yang sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana

Muda Perguruan dalam pengkhususan Matematik. Tahun ini merupakan tahun terakhir aku di
Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman. Tidak terasa masa berlalu begitu cepat. Sudah
lebih dari lima tahun aku menetap di negeri Kedah dan jika tiada aral melintang, aku bakal
menamatkan pengajian di sini pada penghujung tahun ini. Selama lebih daripada lima tahun
di sini, banyak perkara yang telah aku pelajari dan alami. Menjalani hidup di sini yang
berjauhan dengan keluarga dan rumah bukanlah sesuatu yang mudah bagiku dan aku yakin
rakan-rakan yang lain pun turut sama mengalami perasaan seperti ini. Namun demikian,
harapan orang tua yang menginginkan aku untuk menjadi seorang guru pada masa hadapan
telah menjadi penguat semangat aku untuk terus berada di sini.
Pada awalnya mengikuti pengajian di sini, aku menyangkakan bahawa perkara yang
dipelajari di sini hanyalah berkenaan dengan pedagogi sahaja. Namun, setelah mengikuti
pengajian di sini selama beberapa semester, pandanganku terhadap bidang pendidikan mula
berubah. Jika dahulu, aku memang tidak pernah bercita cita untuk menjadi seorang guru.
Kerjaya sebagai guru merupakan kerjaya terakhir yang menjadi pilihanku sekiranya tiada
kerjaya lain yang sesuai dengan keinginanku. Namun kini, semuanya mula berubah secara
perlahan lahan. Pandanganku terhadap kerjaya sebagai seorang guru mula berubah ke arah
yang lebih positif. Setiap semester yang aku jalani di sini mula sedikit demi sedikit telah
mengubah persepsi aku terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Sungguh benar kata orang,
tak kenal, maka tak cinta.
Memang tidak dinafikan jadual semasa mengikuti program persediaan sungguh padat
dan membosankan. Silibus yang dipelajari pula banyak dan agak susah. Tetapi, apabila masuk
ke program ijazah, jadual menjadi kurang padat. Kadangkala, kelas hanya dua jam sahaja
dalam satu hari. Masuk pula semester lima, aku mula menjalani praktikum pertama sebagai
guru pelatih. Perasaan gemuruh memang tak terkata pada saat itu. Apa tidaknya, apabila ini
merupakan kali pertama mengajar sebagai guru di dalam kelas. Tambah-tambah lagi, pada
waktu itu akan ada pensyarah yang akan membuat penyeliaan semasa aku menjalankan
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pelbagai perkara yang merisaukan bermain di
dalam kotak fikiran pada waktu itu.

1 | Page

Kisah kali pertamaku menjalani praktikum sebagai guru pelatih kira-kira pada setahun
lebih yang lepas betul-betul telah mengubah persepsiku terhadap kerjaya sebagai seorang
guru. Kejadian ini berlaku di sekolah pertama tempat aku berpraktikum. Semasa aku sedang
menikmati makanan tengah hari di kantin sekolah, guru pembimbingku, Cikgu Zaki datang
ke arah mejaku.
Bagaimana kelas hari ni? Okay tak?, sapa Cikgu Zaki.
Aku sedikit terkejut dengan kehadiran beliau di hadapan aku pada ketika itu.
Kalau kelas Tahun 5 Bestari tu memang agak mencabar sedikit. Murid-murid kelas tersebut
ramai dan tahap penguasaan mereka dalam pelajaran memang agak lemah. Daripada 30 orang
yang ada di dalam kelas tersebut, hanya 5 orang sahaja yang dapat menghafal sifir asas
darab, kata Cikgu Zaki lagi.
Lancar sahaja Cikgu Zaki menceritakan keadaan murid-murid kelas Tahun 5 Bestari
kepadaku. Memang betul kata-kata Cikgu Zaki. Semasa aku memberikan ujian diagnostik
kepada mereka ketika pertama kali masuk kelas tadi, tidak ramai yang dapat menjawab
soalan yang aku berikan dengan betul. Perkara ini mungkin akan menjadi masalah kepadaku
ketika diselia oleh pensyarah kelak. Setelah mendengar cerita daripada Cikgu Zaki, lantas aku
pun bertanyakan kepada beliau berkenaan kaedah yang sesuai digunakan untuk mengajar
murid-murid kelas tersebut.
Kalau begitu, pada pendapat cikgu, agak-agaknya, kaedah apa yang sesuai untuk saya
gunakan bagi mengajar topik darab kepada murid-murid saya nanti?
Sebenarnya, murid-murid seperti ini perlukan latihan mendarab yang berterusan. Hanya itu
sahaja cara yang paling sesuai untuk membantu murid-murid seperti ini. Kalau Amy nak bagi
mereka latihan, Amy boleh ambil buku kerja di atas meja saya, kata Cikgu Zaki.
Baiklah, cikgu, balasku pendek.
Pada keesokan harinya, aku masuk semula mengajar subjek Matematik di kelas Tahun
5 Bestari. Seperti yang telah aku rancang sebelum ini, pada hari tersebut, aku ingin muridmuridku menjawab soalan latihan pada buku kerja yang Cikgu Zaki berikan kepadaku
kelmarin. Murid-murid yang telah selesai menjawab latihan yang diberikan diminta
menghantar hasil kerja mereka ke mejaku untuk disemak. Aku begitu tertarik dengan cara
penyoalan yang digunakan oleh penulis buku tersebut dan aku cuba membelek-belek buku
2 | Page

tersebut untuk mencari harga buku tersebut. Pada pandanganku, harga buku tersebut pastinya
agak mahal kerana hampir semua muka suratnya dipenuhi grafik berwarna. Puas aku
membelek-belek buku tersebut, namun tidak juga aku temui harga buku tersebut lalu aku
bertanya kepada Haikal, salah seorang muridku yang berada di hadapan mejaku.
Haikal, cikgu tertariklah dengan buku kerja kamu ni. Berapa harga buku kerja yang kamu
beli ni? Harganya sudah pasti mahal kan?, tanyaku kepada Haikal.
Eh, saya pun tak tahu harga buku ni berapa, cikgu. Buku ni Cikgu Zaki yang beri kepada
kami. Dia tak minta bayaran pun untuk buku ni. Sekolah bagi kot, jawab Haikal.
Oh, begitu, balasku.
Setelah tamat waktu mengajar kelas 5 Bestari, aku pergi berjumpa dengan Cikgu Zaki
kerana ingin meminjam salinan naskah buku kerja tersebut untuk dijadikan rujukan sebelum
mengajar di dalam kelas. Pihak sekolah sudah pasti ada menyimpan beberapa buah buku
tersebut untuk dijadikan rujukan guru-guru.
Cikgu, saya nak tanya. Cikgu ada lagi tak buku kerja yang cikgu berikan kepada saya
kelmarin? Kalau ada, saya nak pinjam sebuah sebagai rujukan saya sebelum mengajar,
tanyaku kepada Cikgu Zaki.
Kalau buku kerja yang kelmarin tu tak ada lagi la Amy. Saya beli cukup-cukup jer untuk
murid-murid kelas, balas Cikgu Zaki.
Oh, begitu. Saya ingatkan pihak sekolah ada beli lebih. Ingatkan nak pinjam sebuah sebagai
rujukan tadi, kataku lagi.
Pihak sekolah memang tak ada naskah lebih sebab saya beli sendiri buku-buku ni untuk
murid-murid. Kalau Amy nak, Amy boleh pinjam buku saya dulu, balas Cikgu Zaki.
Semua 30 buah buku ni cikgu beli dengan duit cikgu sendiri ker?, tanpa aku sedari, aku
terus mengajukan soalan tersebut kepada Cikgu Zaki.
Ya, Amy, saya beli dengan duit saya sendiri. Kebetulan ada pesta buku di sekitar bandar
hari tu. Saya tengok buku ni sesuai untuk membantu murid lemah. Kebetulan pula ada
diskaun pada masa tu, jadi saya terus pesan 30 naskah.

3 | Page

Tatkala Cikgu Zaki mengatakan bahawa dia membeli buku tersebut dengan duitnya
sendiri, aku menjadi terkejut. Pada mulanya, aku ingatkan buku tersebut dibeli oleh pihak
sekolah atau paling tidak pun dibeli oleh murid-murid. Memang aku sungguh tidak
menyangka bahawa Cikgu Zaki sanggup mengeluarkan duitnya sendiri membeli buku kerja
untuk murid-muridnya. Jumlah harga buku tersebut mungkin mencecah ratusan ringgit jika
untuk murid-murid seramai 30 orang. Sungguh bermurah hati Cikgu Zaki sehingga sanggup
mengorbankan duit sendiri untuk murid-muridnya.
Lamunanku lantas terhenti apabila Cikgu Zaki menghulurkan buku kerjanya
kepadaku. Aku mengambil buku tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Zaki.
Beliau kemudiannya meminta diri daripadaku kerana terpaksa balik ke rumah lebih awal
sebelum datang semula ke sekolah untuk memberikan kelas tambahan kepada murid-murid
Tahun 5 Bestari. Apabila mendengar beliau mengatakan terdapat kelas tambahan bagi muridmurid Tahun 5 Bestari, aku terus bertanya.
Murid-murid Tahun 5 sekolah ni ada kelas tambahan ke cikgu? Biasanya murid-murid Tahun
6 sahaja yang ada kelas tambahan pada awal-awal tahun begini. Kelas tambahan bagi muridmurid Tahun 6 pun masih belum bermula lagi kalau menurut guru besar tempoh hari,
panjang lebar soalanku.
Cikgu Zaki hanya ketawa mendengar soalanku. Perbuatan beliau membuatku semakin
terpinga-pinga. Tidak beberapa lama kemudian, beliau menjawab pertanyaanku.
Sebenarnya memanglah tak ada. Kelas tambahan ni saya buat sendiri untuk membantu
murid-murid yang lemah dalam Matematik. Guru besar pun memang dah tahu dah dan beliau
benarkan saya buat kelas tambahan untuk murid-murid Tahun 5 Bestari. Daripada duduk
bosan kat rumah petang-petang, lebih baik saya buat kelas tambahan untuk membantu muridmurid yang lemah dalam Matematik kan?, balas Cikgu Zaki lalu berlalu pergi meninggalkan
aku di bilik guru.
Sekali lagi aku kagum dengan Cikgu Zaki. Mulia sungguh hati Cikgu Zaki. Cikgucikgu lain mungkin sedang mengambil peluang untuk berehat di rumah selepas habis waktu
sekolah, namun Cikgu Zaki pula sanggup mengorbankan masa rehatnya untuk mengajar kelas
tambahan walaupun tiada yang meminta beliau untuk berbuat demikian. Sepanjang aku
menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah di sekolah sebelum ini, tidak pernah aku
menjumpai guru yang berjiwa pendidik seperti Cikgu Zaki. Memang betul perumpaan yang
4 | Page

mengatakan bahawa guru umpama lilin yang sanggup membakar dirinya sendiri untuk
menerangi orang lain. Baru kini aku melihat bukti nyata yang menunjukkan kebenaran
perumpaan tersebut. Sungguh aku mengagumi Cikgu Zaki. Beliau begitu mencintai
kerjayanya sebagai seorang guru sehingga sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang
ringgit untuk murid-muridnya. Sikap dan perbuatan beliau begitu memberi inspirasi
kepadaku untuk menjadi seperti beliau pada suatu hari nanti.
Pengalaman praktikum pertama yang berlaku lebih kurang setahun lebih yang lepas
sememangnya telah memberikan aku semangat untuk menjadi seorang guru yang
berdedikasi. Sikap dedikasi yang dimiliki oleh Cikgu Zaki telah menjadi sumber inspirasiku
semasa menjalani praktikum pada semester enam dan semester tujuh. Impak yang telah
diberikan oleh Cikgu Zaki kepadaku begitu besar sehingga aku mendapat markah yang baik
semasa menjalani praktikum dua semester yang lepas. Aku berasa bersyukur kerana telah
dipertemukan dengan Cikgu Zaki. Beliau telah menjadi sumber inspirasiku untuk mencintai
kerjaya sebagai guru. Kini, tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum aku bergelar guru
sebenar di sekolah. Aku berharap, apabila bergelar guru suatu hari nanti, aku dapat menjadi
seperti Cikgu Zaki.

(1488 patah perkataan)

5 | Page

Anda mungkin juga menyukai