Anda di halaman 1dari 6

SENI NAIVE

Kelambu
Dzulkifli Buyung(1964)
Pastel
Kandungan
Diskripsi
Di dalam salah satu karya beliau iaitu Kelambu, 1964 dapat dilihat dengan jelas
bahawa beliau gemar menggunakan watak watak figura yang naf didalam karyanya.
Apa yang ternyata di dalam karya adalah imej lima figura wanita dan juga imej kelambu
yang menjadi subjek utama di dalam karya beliau. Setiap figura yang ditampilkan di
dalam karyanya membawa watak yang tersendiri. Empat figura didalam karya tersebut
membawa watak sebagai anak gadis manakala seorang lagi figura memainkan peranan
sebagai ibu menjelaskan bahawa kesemua figura didalam karya tersebut adalah
sebuah keluarga.. Figura figura didalam catan tersebut memperlihatkan pergerakan

yang mendorong kepada visual yang menjelaskan bahawa mereka sedang melakukan
tugas masing-masing. Catan tersebut juga memperlihatkan suasana di dalam bilik
dimana situasi yang dirakamkan adalah persiapan keluarga tersebut sebelum tidur
bersama. Figura yang berperanan sebagai ibu dilihat sedang memasang ubat nyamuk
bagi mengelakkan dari gigitan nyamuk dan kemungkinan dia tidur di luar.
Figura-figura yang berperanan sebagai anak gadis pula menunjukkan tugas
masing-masing, seorang daripada mereka sedang menutup jendela, seorang lagi
sedang memasang tali kelambu, terdapat seorang yang sudah berada di dalam
kelambu sambil membaca buku dan seorang lagi mendamparkan badan keatas
kelambu dengan memaparkan eksperesi muka yang begitu menikmati suasana ketika
itu. Warna yang digunakan pula lebih kepada warna-warna coklat serta mempunyai ton
yang gelap. Di dalam karya catan tersebut juga memaparkan beberapa identiti
masyarakat Melayu dengan jelas seperti pakaian yang dikenakan pada figura iaitu kain
batik, baju kurung, pelita dan juga motif seperti sulaman pada bantal. Selain itu
perwatakan serta karakter figura tersebut juga memperlihatkan nilai kemelayuan dari
apa yang dilihat pada rambut figura ibu yang bersanggul.
Analisis
Melalui karya Dzulkifli Buyung ini, aspek-aspek formal dalam menghasilkan
karya dapat dilihat dengan jelas dan beliau banyak mengaplikasikan penggunaan
elemen serta prinsip seni dalam karyanya. Komposisi yang digunakan jelas
memperlihatkan keseimbangan simetri dimana figura disusun dengan seimbang di
sebelah kiri dan kanan serta imej kelambu yang berada ditengah-tengah komposisi
menguatkan lagi keseimbangan didalam karya tersebut. Selain itu, penggunaan
perspektif telah mewujudkan komposisi yang jelas didalam karya dimana terdapat imej
yang berada dihadapan, ditengah dan juga berada dibelakang. Bayang pada kelambu
dan juga dinding bilik lebih menjelaskan komposisi hadapan, tengah dan belakang
melalui pencahayaan yang diterapkan. Warna yang digunakan oleh beliau merupakan
warna-warna yang mendapat pengaruh warna coklat yang melambangkan warna tanah
serta warna yang menimbulkan suasana kampung. Tona yang digunakan pula lebih
kearah tona gelap bagi menimbulkan suasana malam . Namun tidak kesemua warna

yang digunakan adalah warna yang bersifat bosan (dull), masih terdapat penggunaan
warna yang cerah terutamanya pada figura dalam catan tersebut dan ini telah memberi
fokus kepada imej-imej tersebut. Penggunaan warna amat berkait rapat dengan media
yang digunakan oleh beliau didalam karya tersebut. Media yang digunakan didalam
karya tersebut dan hampir kesemua karya beliau adalah pastel. Melalui penggunaan
media itu sendiri, telah terlihat karektor yang ingin disampaikan oleh beliau iaitu tema
zaman kanak-kanak.
Dengan pengaplikasian elemen dan prinsip seni, semakin jelas bahawa
perkembang pendekatan barat semakin kuat bertapak dalam seni moden Malaysia.
Seni moden Malaysia semakin berkembang dan mewujudkan gayanya yang tersendiri.
Apa yang menarik mengenai visual yang ditampilkan oleh Dzulkifli Buyung dalam setiap
karyanya adalah pengolahan imej figura yang lebih menjurus kearah imej lukisan
kanak-kanak dan berbentuk seni naif (naive art). Beliau telah membentuk sebuah
identiti tersendiri bagi dirinya dan juga bagi seni tampak moden di Malaysia walaupun
Dzulkifli Buyung sebenarnya banyak menunjukkan pengaruh dari guru beliau iaitu
Patrick Ng Kah Onn. Sebagai salah seorang ahli kumpulan Wednesday Art Group
(WAG), beliau amat menepati kehendak atau tujuan kumpulan tersebut untuk keluar
dari apa yang telah dilakukan sebelum ini dalam dunia seni tampak Malaysia. WAG
beranggapan bahawa nilai estetik melalui pendekatan Kumpulan Nanyang adalah
terlalu tradisional dan mereka ingin membentuk gaya baru yang jelas memaparkan
keindahan Melayu didalam karekter yang dibawa (Ahmad, 2008).
Interpretasi
Apabila melihat kepada karya Dzulkifli Buyung ini, amat jelas tergambar bahawa
makna yang ingin disampaikan adalah berkaitan dengan keindahan budaya Melayu.
Walaupun dengan hanya mengambil situasi yang mudah sebagai contoh situasi sebuah
keluarga ketika hendak tidur, namun penekanan yang amat berat terkandung disebalik
karya tersebut. Apa yang dapat dijelaskan adalah karya ini mengandungi sentimen
kasih sayang di dalam sesebuah keluarga. Selain itu, dapat dijelaskan juga bahawa
karya ini turut memaparkan nilai pengorbanan seorang ibu demi anak-anaknya dimana,
melalui visual yang diwujudkan, si ibu berkemungkinan tidur diluar sebaliknya anak-

anak gadisnya pula tidur di dalam kelambu tersebut. Si ibu sanggup membiarkan
dirinya terdedah kepada gigitan nyamuk di malam hari demi memastikan keselesaan
anak-anaknya. Didalam karya tersebut, dilihat tiada katil digunakan dan keluarga di
dalam catan tersebut tidur hanya beralaskan tilam menggambarkan kesusahan hidup
mereka.
Melihat dari konteks kebudayaan Melayu, kasih sayang merupakan salah satu
elemen yang amat ditekankan didalam masyarakat. Kasih sayang merupakan suatu
perkara yang amat indah dan ianya seringkali diterapkan di dalam masyarakat Melayu
melalui pelbagai cara seperti didalam pepatah dan peribahasa Melayu. Orang Melayu
dahulu mungkin tidak mempunyai kekayaan dari segi harta benda dan material, namun
mereka kaya dengan kasih sayang yang cukup membuatkan hidup mereka gembira.
Kebijaksanaan Dzulkifli Buyung didalam menghasilkan karya jelas dimana beliau
mampu untuk menggunakan metafora atau perumpamaan yang amat mudah didalam
menyampaikan ideanya yang membawa makna yang mendalam. Karya-karya yang
dihasilkan oleh beliau banyak menumpukan kepada tema zaman kanak-kanak. Karya
beliau menunjukkan kegembiraan, kenakalan, keharmonian dan keriangan zaman
kanak-kanak melalui aktiviti harian mereka. Kanak-kanak digambarkan bermain dengan
riang dan berjenaka didalam pesekitaran tempatan yang menggambarkan motif
serantau di dalam identiti tempatan (Mahamod, 2007). Dzulkifli Buyung mungkin
mendapat pengaruh yang amat besar daripada guru beliau iaitu Patrick Ng Kah Onn,
namun melalui pengolahan serta stailisasi yang dilakukan oleh beliau terhadap figura
mempunyai karektor kartun dan karikatur telah membentuk identitinya yang tersendiri
dan lebih menampakkan kebudayaan tempatan. Didalam karya tersebut juga, apa yang
dapat dilihat secara tersurat adalah identiti budaya tempatan melalui penggunaan imej
seperti kelambu, kain batik, bantal serta suasana bilik. Kelambu merupakan pelindung
yang digunakan oleh masyarakat Melayu terutamaya masyarakat kampung untuk
melindungi dari gangguan nyamuk ketika waktu tidur.
Penilaian (Judgement)
Perkara yang tidak dapat disangkal apabila melihat karya bertajuk Kelambu
oleh Dzulkifli Buyung adalah kebijaksanaan beliau didalam menyampaikan mesej

mengenai keindahan kebudayaan Melayu di dalam karyanya. Walaupun berlainan dari


sudut konteks penyampaiaan, iaitu melalui pendekatan seni tampak moden, namun
beliau masih tidak lupa mengenai keindahan serta kecantikan kebudayaan Melayu.
Mungkin pengalaman hidup beliau telah menyebabkan beliau terdorong untuk
menghasilkan karya-karya yang merakamkan kenangan zaman kanak-kanak didalam
karyanya. Apa yang penting adalah bagaimana beliau melihat situasi

yang amat

mudah, mempunyai elemen-elemen estetik untuk dizahirkan didalam karya. Dengan


menyelitkan keindahan kebudayaan Melayu, karya yang dihasilkan oleh beliau menjadi
sesuatu yang cukup kuat dari segi penceritaan serta keindahan warisan kebudayaan.
Secara peribadi, saya menyatakan bahawa karya Dzulkifli Buyung banyak menyentuh
emosi, jiwa serta kenangan sewaktu kecil. Mungkin kerana saya juga pernah
mengalami serta merasai situasi tersebut sewaktu kecil dahulu ketika berada di
kampung. Setiap imej yang dipaparkan didalam karya beliau seperti bantal, kelambu,
pakaian, suasana bilik, serta situasi melambangkan keindahan masyarakat Melayu.
Mengambil contoh bantal dan juga kelambu didalam karya tersebut, jelas bahawa
masyarakat Melayu suatu ketika dahulu memang menggunakan peralatan tersebut
didalam kehidupan seharian mereka, bantal yang mempunyai sulaman bunga dan
kelambu yang diikat pada penyangkut. Perkara tersebut merupakan identiti yang dimiliki
oleh orang Melayu walaupun ianya hanya peralatan harian namun ianya mengandungi
nilai sentimental yang amat tinggi dan juga berkaitan dengan kehidupan masyarakat
Melayu suatu ketika dahulu.
Dzulkifli Buyung melihat perkara-perkara tersebut sebagai suatu saat (moment)
yang penting untuk dizahirkan didalam karya beliau. Karya tersebut dihasilkan pada
tahun 1964 dan ianya masih kekal sehingga ke hari ini. Masyarakat kini mungkin tidak
mengenali dan menggunakan kelambu sebagai salah satu peralatan di dalam
kehidupan mereka walhal, ianya pernah menjadi sesuatu yang sinonim terhadap
kehidupan masyarakat Melayu. Lantas, ianya menjadikan karya tersebut sebagai
catatan serta dokumentasi mengenai keindahan budaya Melayu, sesuatu yang amat
penting kepada sejarah seni moden Malaysia dan juga masyarakat secara umumnya.
Karya tersebut menjadi jaminan didalam memelihara salah satu kebudayaan serta
keindahan masyarakat Melayu agar terus dikenali oleh generasi akan datang. Memang

sudah ternyata dengan jelas bahawa fungsi sesebuah karya seni adalah sebagai
sebuah dokumentasi didalam mencatat perjalanan sejarah kerana ianya wujud didalam
tempoh masa tertentu. Dan apabila melihat terhadap karya Dzulkifli Buyung, dapat
dibuktikan bahawa ianya merupakan catatan sejarah yang penting terhadap
masyarakat lebih-lebih lagi apabila pengkarya begitu peka serta menitikberatkan
elemen kebudayaan didalam karyanya. Seperkara lagi yang menjadikan karya ini
sebagai sebuah karya yang sangat kuat dan berjaya adalah elemen kasih sayang
antara keluarga yang ditonjolkan secara tersirat didalam karya ini. Seperti yang
dijelaskan sebelum ini, masyarakat Melayu amat menitikberatkan kasih sayang didalam
kehidupan seharian sehinggakan wujud peribahasa seperti air dicincang tak akan
putus dan pelbagai lagi. Kasih sayang diterapkan didalam setiap aktiviti, perlakuan dan
perbuatan. Jika orang barat memerlukan televisyen untuk mereka duduk meluangkan
masa bersama keluarga, masyakat Melayu sebaliknya dapat menunjukkan aliran nilai
kasih sayang mereka dengan hanya berbekalkan sebuah kelambu dan melalui aktiviti
yang begitu mudah dan asas iaitu tidur . Begitulah apa yang divisualkan oleh Dzulkifli
Buyung didalam karyanya. Beliau berjaya membuktikan bahawa setiap detik di dalam
kehidupan masyarakat Melayu biarpun dari pengalaman kanak-kanak ataupun melalui
situasi yang amat mudah, mempunyai keindahannya yang tersendiri. Secara
keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa karya tersebut berjaya mencapai darjah yang
tinggi didalam tahap nilai estetik kerana telah meliputi kecemerlangan dari segi aspek
formal serta makna yang terkandung.

Anda mungkin juga menyukai