Anda di halaman 1dari 14

KITAB ADAB MAKAN

(VERSI DRAF _ MASIH DIEDIT)

Mengundang dan menghormati tetamu

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memperelokkan pentadbiran semesta alam.


Maka Allah telah mencipta langit dan bumi dan menurunkan air tawar dari gumpalan
awan. Dengan itu maka tumbuhlah segala biji-bijian dan tanam-tanaman, lalu
ditentukan daripada rezeki-rezeki dan makanan yang mana dengannya pula
dipeliharaNyalah segala kekuatan makhluk yang hidup, dan dibantuNya mereka untuk
mengerjakan ketaatan dan amalan-amalan kebajikan dengan memakan barang-barang
yang baik dan halal. Kepada Allah ditujukan kesyukuran pada sepanjang waktu dan
masa.

Oleh kerana tujuan utama bagi orang yang mempunyai pemikiran yang waras
ialah menemui Allah kelak pada hari penerimaan balasan, padahal tiada jalan untuk
sampai bertemu dengan Allah melainkan dengan ilmu pengetahuan serta amalan. Hal
itu pula tidak mungkin berkekalan, melainkan dengan keselamatan tubuh badan, dan
tubuh badan tidak mungkin terpelihara dan selamat, melainkan dengan makanan yang
dimakan sekadar yang diperlukan dari masa ke semasa. Maka dari wajah ini,
sebahagian para salaf telah berkata : Sesungguhnya memakan makanan itu termasuk
urusan keagamaan. Dalam hal ini juga Firman Allah Ta’ala telah mengingatkan;

“ Makanlah dari makanan yang baik, dan kerjakanlah amalan-amalan yang


soleh.”
( al-Mu’minun: 51)

Berikut kita tunjukan suatu bimbingan kepada tugas-tugas agama dalam urusan
makan yang mengenai kewajipannya, sunnat-sunatnya dan adab-adabnya.

Tata-tertib makan

Ada tiga keterangan yang harus diperhatikan oleh seseorang yang sedang
menghadapi makanan, iaitu;

Pertama: Adab orang yang mahu memulakan makan.


Kedua : Adab diwaktu makan.
Ketiga: Hal-hal yang dituntut sesudah makan.

PERTAMA: ADAB ORANG YANG MAHU MEMULAKAN MAKAN.

(1) Makanan itu mestilah dari yang halal dan cara memperolehinya juga harus
secara halal, menurut petunjuk syariat dan wara’, tidak boleh diusahakan dengan
cara yang dilarang di dalam syariat, ataupun dengan cara menurutkan hawa nafsu
ataupun dengan cara penipuan. Dan Allah Ta’ala telah pun memerintahkan kita suapa
memakan makanan yang baik, yakni secara halal, sebagaimana Dia telah
mengutamakan larangan makanan secara batil (haram) daripada larangan membunuh
jiwa tanpa hak, iaitu untuk mengeraskan lagi larangan memakan yang haram dan
membesarkan keberkatan memakan yang halal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta-harta sesama


kamu dengan jalan kebatilan, melainkan dengan perniagaan secara sukarela satu
sama lain dan janganlah kemu membunuh dirimu.”
(an-Nisa’: 29)

Maksud yang pertama dari makanan mestilah ia dari yang baik atau yang halal dan ini
adalah dikira sebagai kewajiban dan perkara pokok dalam agama.

(2) Membasuh tangan sebab tangan ini tidak sunyi dari kotoran kerana seringkali ia
digunakan untuk membuat pekerjaan yang berbagai-bagai. Oleh itu membasuh tangan
adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian.

(3) Bila memakan sesuatu makanan, sayugialah diniatkan memakan kerana


bertaqwa kepada Allah dan kerana menguatkan badan untuk menjalani ketaatan
kepada Allah Ta’ala supaya dengan yang demikian, dia boleh menjadi seorang yang
taat pada mengerjakan ibadat. Untuk menjamin niatnya atas dasar ini, hendaklah
jangan sampai tangannya mencapai makanan, melainkan setelah benar-benar lapar.
Jadi kelaparan yang merupakan satu-satu sebab yang menjadikannya memakan
makanan itu. Kemudian hendaklah ia mengangkat tangannya dari makanan itu sebelum
benar-benar kenyang. Barangsiapa yang menurut petunjuk ini, niscaya ia tidak perlu
lagi kepada pertolongan doktor.

(4) Hendaklah ia sentiasa redha dengan makanan yang terhidang di hadapannya,


yakni rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya.

(5) Sebaik-baiknya, makanan yang terhidang itu dijamah (dimakan) oleh tangan
yang banyak, walauoun dari ahli rumahtangga dan anak-pinak, sebab sebaik-baik
makanan ialah yang disentuh oleh tangan yang banyak. Rasulullah s.a.w sendiri tidak
pernah memakan sendirian.

KEDUA: ADAB DI WAKTU MAKAN:

(1) Hendaklah memulakan dengan membaca Bismillah pada mula menyuap


makanan, dan bila selesai makan, dia mengucapkan dengan Alhamdulillah pula.
Ucapan ini lebih baik jika dibaca dengan suara tinggi untuk mengingatkan orang-orang
yang makan bersama-samanya.

(2) Hendaklah ia menggunakan tangan kanan.

(3) Hendaklah sedaya upaya, ia memperkecilkan suapannya.

(4) Hendaklah ia mengunyah makanan yang dimakan itu baik-baik dan selagi
makanan itu belum di telan, janganlah pula ia mengambil yang lain. Kerana yang
demikian itu dikira gelojoh.
(5) Jangan sekali-kali mencela makanan yang terhidang. Rasulullah s.a.w. tidak
pernah mencela sebarang makanan yang dihidangkan kepadanya, tetapi jika suka
dimakannya; kalau tidak ditinggalkannya saja.

(6) Hendaklah ia memakan makanan yang ada berhampiran dengannya saja,


kecuali jika makanan itu merupakan buah-buahan maka bolehlah ia menghulurkan
tangannya.

(7) Jangan letak piring atau sebagainya di atas roti atau lain-lain makanan,
melainkan jika barang-barang itu memang mahu digunakan untuk memakan.

(8) Jangan mengesat tangannya dengan roti atau dengan makanan yang lain.
Jangan meniup makanan yang masih panas, tetapi hendaklah ia bersabar, sehingga
makanan itu sejuk dan mudah untuk dimakan.

(9) Kalau memakan kurma, jangan diletakkan bijinya dengan kurma itu dalam satu
bekas, ataupun dikumpulkan bijinya dalam genggaman tangan, tetapi biji yang
dikeluarkan dari mulutnya itu diletakkan di belakang tapak tangannya lalu dibuang.
Demikian pula caranya dibuat pada buah-buahan yang lain yang berbiji atau berkulit.

(10) Janganlah dibiarkan makanan yang sudah basi bercampur dengan makanan
yang baik, atau diletakkan bersam dalam satu piring, tetapi hendaklah
mengasingkannya pada bekas yang lain, supaya tidak mengelirukan orang lain yang
ingin memakannya.

(11) Jangan terlalu banyak minum ketika makan, kecuali kalau tercekik oleh
makanan itu, ataupun jika ia memang betul-betul dahaga.

Adapun ada orang yang minum, di antaranya lain ialah:


(1) Hendaklah ia mengambbil tempat air atau gelas dengan tangan kanan,
kemudia membaca Bismillah bila mahu meminum.
(2) Bila minum, jangan meneguk sekaligus tetapi meneguknya seteguk demi
seteguk
(3) Bila minum berdiri ataupun berbaring
(4) Sebelum minum, sebaiknya diperhatikan dulu gelas atau bekas air.
(5) Jangan bersendawa atau bernafas di dalam gelas tetapi jauhkan sedikit gelas
itu dari mulut. Apabila habis saja meminum, bacalah Alhamdulillah. Tetapi jika mahu
minum lagi, bacalah pula Bismillah lagi.
(6) Bila menyampaikan gelas atau bekas air kepada orang ramai, hendaklah
dimulakan dari kanan. Pernah Rasulullah s.a.w. minum susu sedangkan Abu Bakar r.a.
berada di sebelah kirinya dan seorang dusun di sebelah kanannya. Sesudah minum
baginda menghulurkan bekas air itu kepada orang dusun itu terlebih dulu seraya
berkata: Yang kanan dulu, kemudian yang kanan darinya pula.
(7) Sebaik-baik minum dengan tiga nafas dimulakan dengan membaca Bismillah
dan mengakhirinya dengan membaca Alhamdulillah.

KETIGA: HAL-HAL YANG DITUNTUT SESUDAH MAKAN:

(1) Hendaklah berhenti makan, sebelum merasa terlalu kenyang.


(2) Membasuh tangan, kemudian membersihkan celah-celah gigi dari makanan
yang terselit.

(3) Hendaklah ia bersyukur kepada Allah dengan sepenuh hati terhadap makanan
yang telah direzekikan, dan menganggap makanan itu sebagai nikmat dari Allah. Allah
telah berfirman:

“Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan dan bersyukurlah
kepada Allah atas kurniaanNya.” (al-Baqarah: 172)

Sekiranya memakan makanan yang dijamu oleh orang lain, maka hendaklah ia
mendoakannya:

“Ya Allah! Ya Tuhanku Perbanyakkanlah kebaikannya dan berkatilah ia dalam


rezeki yang Engkau kurniakan kepadanya dan jadikanlah kami sekalian tergolong
orang-orang yang mensyukuriMu.”

Sekiranya berbuka puasa di tempat orang, hendaklah ia mendoakan pula:

“Telah berbuka di tempat kamu orang-orang yang berpuasa dan telah makan
makanan yang kamu hidangkan tadi orang-orang yang baik, dan moga-moga para
Malaikat akan mendoakan bagi kamu dengan cucuran rahmat Allah”.

“Sekiranya diketahuilah bahwa ia termakan barang-barang yang ada syubhat,


maka hendaklah ia memperbanyakkan memohon keampunan dan menunjukkan
kesedihan atas ketelanjurannya itu.
Sesudah makan, disunnnatkan pula membaca:

“Segala kepujian bagi Allah yang telah memberi kamu makan dan minum dan
telah mencukupi kami serta melindungi kami”

Adab makan bersama

Bila makan bersama-sama orang ramai, haruslah diperhatikan perkara-perkara


yang berikut; iaitu sebanyak tujuh perkara:
(1) Jangan mulakan makan dulu bila ada hadir bersamanya orang yang mesti
didahulukan, seperti orang tua atau orang yang lebih utama daripadanya. Tetapi jika
mengambil makanan itu mengikut giliran dan sudah sampai pula gilirannya untuk
mengambil, maka ketika itu janganlah ia melambat-lambatkan sehingga orang lain
terpaksa menunggu lama, padahal mereka itu telah berkumpul untuk makan bersama-
sama.

(2) Janganlah sampai semua orang berdiam diri di waktu makan, tetapi sebaik-
baiknya hendaklah berbual-bual tentang perkara-perkara yang baik.

(3) Janganlah makan dengan tamak, bahkan hendaklah mengingat kawan-kawan


yang makan bersama-sama dalam satu hidang. Janganlah makan lebih dari kadar yang
ditetapkan baginya kerana makan lebih dar kadar itu, hukumnya haram jika tidak
mendapat keredhaan kawan yang memakan bersama-sama dalam satu hidangan.
Sebaik-baiknya ia melebihkan makanan itu pada kawan-kawannya. Jangan pula
memakan dua butir kurma sekaligus, melainkan jika semua orang yang makan sedikit,
hendaklah ia menggalakkannya supaya menambah lagi dan menimbulkan seleranya
untuk makan. Jika kawan itu menolak, bolehlah dipujuk hingga tiga kali, tidak lebih
dari itu, kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu
sebagai memaksanya.
Adapun bersumpah untuk memakan lagi adalah di larang. Berkata al-hasan bin Ali r.a:
Makanan itu lebih ringan daripada seorang yang bersumpah untuk memjuk kawannya
supaya makan lagi (Maksudnya jika tak dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan
bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya --- pent).

(4) Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan, sehingga ketara seolah-
olah ia amat memerlukan makanan itu. Jangan pula memerhatikan kelakuannya ketika
sedang makan: banyakkah, sedikitkah, bahkan hendaklah ia bersikap seperti seorang
yang menanggung makan kawannya. Jangan pula meninggalkan lebihan makanan di
tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut
orang mengatakan gelojoh, sebab yang demikian itu adalah semacam kepura-puraan.
Tetapi hendaklah ia makan seperti biasa, yakni seperti ia makan seorang diri di rumah.
Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah,
supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang
ramai. Ya kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar
makananan biasa untuk melebihkan kawang-kawannya, apatah lagi kalau, ia
mengetahui bahwa mereka itu amat memerlukan makanan itu, maka sikap yang
demikian adalah paling utama sekali. Begitu juga ia makan lebih dengan niat
menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka
untuk menambah lagi, maka itu adalah lebih baik pula.

(5) Tidak mengapa membasuh tangan di dalam bekas makanan itu (jika bekas itu
telah bersih dari makanan --- pent)
Berkata Anas: Andaikata saudaramu mengundangmu untuk makan, hendaklah engakau
menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya. Diriwayatkan, pernah Khalifah
Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Mu’awiyah yang buta matanya. Apabila
selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Mu’awiyah menjawab: Tidak!
Khalifah berkata lagi: Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mu’minin (yakni dirinya
sendiri). Berkata Abu Mua’awiyah: Wahai Amirul Mu’minin! Sebenarnya tuan hamba
telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka
Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba,
sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.
Oleh itu sayugialah tuan rumah sendiri yang patut menuangkan air untuk membasuh
tangan tetamu-tetamunya. Demikianlah yang dilakukan oleh Imam-imam besar Malik
dan Syafi’I radhiallahuanhuma pada hari tetamu itu mula tinggal bersamanya. Mereka
berkata: Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini,
sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.

(6) Janganlah tuan rumah memerhatikan kelakuan tetamu-tetamunya ketika


sedang makan, jangan mengawasinya, kelak dikhuatirinya mereka akan merasa malu,
Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada
dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan. Janganlah pula
berhenti dulu tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-
tetamu itu merasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andaikata kerana sesuatu
sebab, ia tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta
izin berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak merasa malu dengan kelakuan mereka
itu.

(7) Jangan melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain, ataupun
mencelupkan tangan ke dalam bekas makanan itu. Jangan terlampau menundukkan
kepala ke bekas makanan, tatkala mahu menyuap makanan itu. Jika mahu
mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan muka dari bekas makanan
itu, kemudian diambil dengan tangan kiri. Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke
dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang
lain. Demikian pula dengan lebihan makanan yang telah digigit, jangan dicelupkan ke
dalam lauk-pauk atau cuka. Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh
menjijikan atau memuakkan ketika sedang makan.

Keutamaan menjamu tetamu dan adabnya

Menjamu makanan kepada tetamu-tetamu adalah seperkara yang baik dan


mempunyai banyak kelebihan. Berkata al-Hasan: Setiap nafkah yang dibelanjakan oleh
seseorang akan diperkirakan di kemudian hari melainkan nafkah yang dibelanjakan
kepada teman dan rakan yang berupa makanan yang dihidangkan kepada mereka,
maka Allah Ta’ala lebih mulia daripada mahu bertanya mengenainya.
Berkata Ali r.a: Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’ dari
makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya.
Berkata Ibnul Umar r.a: Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya
ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya. Para
sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan
mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun
ringan.
Ataupun adab-adabnya: satu bahagian mengenai tetamu itu sendiri dan
bahagian yang lain mengenai bagaimana menghidangkan makanan kepada tetamu.
Adapun adab untuk menjadi tetamu kepada seseorang maka bukanlah suatu
perkara sunnat mendatangi seseorang pada waktu makan, agar ia dapat diterima
menjadi tetamu pula, kerana mendatangi seseorang di waktu makan akan
memeranjatkannya. Itu adalah di larang, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam al-
Quran al-Karim:
“Janganlah kamu mendatangi rumah-rumah Nabi, melainkan sesudah diizinkan
untuk makan tanpa menanti-nanti makanan itu masak”
(al-Ahzab: 53)

Maksudnya menunggu-nunggu waktu makan atau menanti sampai makanan


masak supaya mereka dapat makan bersama-sama.
Tetapi jika orang itu memang terlalu lapar, sengaja dia mendatangi rumah
setengah-setengah kawan untuk mendapat sedikit makanan, tetapi tidak pula
menunggu sampai tiba waktu makan, maka hal serupa itu tidaklah menjadi salah.
Malah harus sebab ada semacam pertolongan kepada seorang saudara untuk mendapat
pahala memberi makanan. Demikianlah caranya para salaf selalu melakukan. Sekiranya
dia sampai di rumah kawan tadi sedang kawannya tiada di rumah; jika dia yakin
keikhlasan hati kawan itu dan mengetahui bahwa kawan itu akan merasa gembira
kalau dia memakan dari makanannya, maka bolehlah dia memakan tanpa izinnya.
Maksud keizinan di sini ialah keredhaan kawan tadi, terutama sekali pada makanan-
makanan, dan perkara ini bergantung pula pada kelapangan hatinya. Sebab banyak
orang menegaskan keizinan dan kadang-kadang bersumpah, sedangakn hatinya tidak
redha. Maka memakan makanan orang seperti ini makruh hukumnya. Ada yang lain
pula tidak hadir di rumah tetapi memakan dari makanannya dibolehkan dan tidak
makruh, kerana hati tuannya ikhlas dan redha.
Allah telah berfirman:

“Atau di rumah kawan kamu (yakni memakan di rumahnya).”


(an-Nur: 61)

Berkata al-Hasan: Yang dikatakan kawan di sini, ialah orang yang jiwa anda
merasa senang kepadanya dan kalbu anda merasa tenang kepadanya.
Muhammad bin Wasi’ dan sahabat-sahabatnya sering berkunjung ke rumah al-
Hasan, kemudian makan-minum apa yang ada dalam rumah itu tanpa keizinan al-
Hasan. Apabila al-Hasan pulang, beliau terserempak dengan mereka. Beliau merasa
gembira seraya berkata: Ya beginilah sepatutnya kita semua.
Diceritakan lagi, ada beberapa orang telah berkunjung ke rumah Sufyan as-
Tsauri, tetapi dia tiada di rumah ketika itu. Mereka pun masuk ke dalam rumah, lalu
menyediakan makanan-makanan yang ada dan mereka pun makan-minum. Tidak lama
kemudian, Sufyan pun kembali dan berkata: Kamu sekalian telah mengingatkan aku
kelakuan para salaf, beginilah mereka itu semua.
Adapun adab menghidangakan makanan kepada tetamu ialah: Tiada memaksa
diri untuk menghidangkan apa yang tersedia saja.
Al-Fudhail berkata: Sebabnya orang berputus hubungan antara satu dengan
yang lain, ialah bila mengundang saudaranya dia menghidangkan makanan secara
memaksa diri, oleh itu saudaranya tidak suka datang lagi selepas undangan itu. Di
antara cara memaksa diri ialah dengan menghidangkan semua makanan yang ada di
rumah, sehingga ahli rumahtangganya tidak dapat merasa lagi. Cara begini tentulah
menghampakan hati ahli rumahtangga yang menyediakan makanan itu.
Setengah orang berkata: Kami pergi kerumah Jabir r.a lalu dihidangkan kami
roti dan cuka (acaran). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang dari
memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam
makanan kepada kamu.
Adab yang lain ialah bagi si tetamu, hendaklah jangan ia mencadangkan atau
memaksa sesuatu barang yang tertentu untuk menjadi santapannya, seringkali sikap
serupa itu, selain memberatkan akan memarahkan pula hati orang yang menerimanya
sebagai tetamu. Kiranya ia telah ditawarkan oleh tuan rumah antara dua makanan,
maka hendaklah ia memilih yang lebih senang untuk disediakan. Kecuali jika tetamu
itu mengetahui barang yang akan dicadangkannya itu, tidak sukar bagi tuan rumah
untuk disediakan maka tiadalah makruh lagi baginya untuk mencadangkan barang itu.
Setengah orang telah berkata: cara memakan itu ada tiga macamnya:
(1) Makan bersama-sama para fakir-miskin, sebaik-baiknyaa kita beralah dan
melebihkan mereka.
(2) Makan bersama-sama rakan-teman yang sedarjat, sebaik-baiknya dengan cara
sederhana dan dengan cara biasa.
(3) Makan bersama-sama orang berpangkat, sebaik-baiknya menjaga adab dan
sopan santun.
Seterusnya adab tuan rumah terhadap tetamu yang datang menziarahinya hendaklah ia
menunjukkan perasaan suka dan gembira dan cuba memintanya membuat cadangan
tentang hidangan mengikut seleranya. Manakala tuan rumah cuba memenuhi kehendak
tetamu sekadar yang boleh. Melakukan yang demikian itu adalah paling baik pahalanya
besar pula.
Akhir sekali jangan pula tuan rumah sampai bertanya: Sukakah tuan kalau saya
hidangkan makanan? Sebaik-baiknya ia menghidangkan apa saja yang ada dan sudah
tersedia, biarlah tetamu itu sendiri yang menentukan; kalau suka ia makan, dan kalau
tak makan diangkat saja makanan itu semula.

Beberapa masalah yang harus diperhatikan

Masalah pertama: Menghidangkan makanan di atas meja dapat memudahkan cara


memakan, maka tiadalah dihukumkan makruh tetapi mubah atau harus, jika tiada
menunjukkan perasaan sombong atau membesarkan diri. Kalau ada orang yang
mengatakan hukumnya bid’ah, maka jawabannya bukan semua perkara bid’ah itu di
larang oleh agama. Adapun bid’ah yang dilarang itu, ialah jika ia bertentangan dengan
sunnat yang sudah jelas atau suatu perkara yang menyalahi dasar syariat yang sudah
terang dalilnya. Dalam masalah ini hanya diangkatkan hidangan itu dari atas lantai dan
diletakkan keatas meja untuk memudahkan cara memakannya saja, ataupun
sebagainya dari perkara-perkara yang tidak dihukumkan makruh.

Masalah Kedua : Makan dan minum dengan bersandar hukumnya makruh dan
membahayakan bagi alat pencernaan dalam perut. Begitu pula makan dalam keadaan
berbaring atau meniarap.

Masalah Ketiga : Sunat memulakan makan sebelum sembahyang. Dalam sebuah


Hadis: Jika telah tersedia makan malam sebelum sembahyang is’ya, maka hendaklah
kamu mulakan makan terlebih dahulu. Ibnu Umar r.a kadang-kadang mendengar imam
sudah memulakan bacaan dalam sembahyang, namun ia tiada segera menghentikan
makan malamnya. Tetapi jika nafsu hendak makan belum ada, dan jika dilambatkan
masa makan malamnya tidak pula mendatangkan mudarat bagi diri, maka yang baik
sekali didahulukan sembahyang.

Keterangan tentang undangan dan jamuaan

Ketahuilah, bahawa keutamaan memberi jamuan itu nyata sekali seperti sabda
Rasulullah s.a.w

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, aka hendaklah ia memuliakan
tamunya.”

Dalam sebuah atsar ada yang berkata: Adalah sia-sia orang yang tiada menghormati
tetamu.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apa itu Iman? Baginda bersabda: Memberi orang
makan dan menyebarkan salam. Dalam sebuah Hadis lain, baginda bersabda mengenai
membayar denda dan memperoleh darjat ketinggian, katanya: Memberi orang makan
dan bersembahyang di malam hari sedang orang-orang masih tidur.
Tentang undangan pula, hendaklah orang yang mengundang itu memilih orang-orang
yang kukuh taqwanya kepada Allah dan meninggalkan orang-orang yang fasik.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Berilah makan kepada orang-orang yang berbakti kepada
Tuhan. Dalam suatu atsar pula: Jangan makan melainkan dari makanan orang yang
berbakti, dan jangan biarkan orang yang memakan makananmu pula, melainkan orang
yang berbakti juga.
Jangan sampai mengundang orang-orang yang kaya saja, bahkan hendaklah diundang
sama orang-orang fakir dan miskin. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seburuk-buruk makanan, ialah makan walimah yang diundang orang-orang kaya saja
dan tinggalkan orang-orang miskin pula”

Bila membuat sesuatu undangan jangan sampai meninggalkan kaum keluarga dan
famili, sebab meninggalkan mereka dari diundang akan menjengkelkan dan memutus
tali silaturrahim. Begitu pula, hendaklah ia menjaga ketertiban dalam masa
menghundang sahabat-sahabat dan kenalan-kenalannya, kerana mengutamakan
sebahagiannya akan menjengkelkan yang lain. Hendaklah jangan meniatkan untuk
berbangga-bangga atau bermegah-megah diri bila melakukan undangan itu, tetapi
haruslah ia berniat untuk merapatkan lagi perhubungan hati antara satu kawan dengan
yang lain. Hendaklah ia sematkan perasaan gembiran dalam hati tiap-tiap seorang dari
kaum Mu’minin. Hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar baginya
untuk menerima undangan itu ataupun orang yang kehadirannya akan mengkocar-
kacirkan majlis, dan merosakkan ketenangan tetamu-tetamu yang lain dalam majlis.
Akhir sekali, hendaklah jangan mengundang melainkan orang yang ia tahu akan
menerima undangannya saja.

Tentang menjawab atau menerima undangan hukumnya adalah sunnat muakkadah,


yakni sunnat yang dituntut oleh agama. Ada pula yang mengatakan, hukumnya wajib
dalam beberapa tempat. Menerima undangan itu ada lima adab, sila perhatikan
berikut:
(1) Jangan dibedakan antara orang kaya dengan orang miskin bila menerima
sesuatu undangan. Jika melakukan yang demikian, itulah yang dikatakan takabbur
yang yang dilarang.
(2) Jangan sekali-sekali menolak undangan si miskin kerana kemiskinannya atau
kerana kedudukanya yang rendah. Bahkan jauh perjalanan yang biasanya boleh
ditanggung, tidak patut dijadikan sebab untuk menolak undangan orang.
(3) Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata kerana ia
berpuasa, maka sebaliknya terimalah undangan itu. berbuka itu akan menyebabkan
saudaranya merasa gembira, maka hendaklah ia berbuka. Dalam berbuka itu,
hendaklah ia berniat untuk menimbulkan perasaan gembira dalam hati saudaranya,
maka pahalanya samalah seperti ia berpuasa malah lebih lagi. Ini kalau pada puasa
tathawwu’ (sukarela). Kalau puasanya wajib (kerana qadha’ atau sebagainya) dan dia
tidak boleh berbuka, maka hendaklah diberikan alasan-alasannya dengan baik.

Telah berkata Ibnul Abbas r.a: Termasuk perkara yang paling utama sekali memuliakan
kawan-kawan dengan berbuka puasa, kerana berbuka puasa yang bercampur dengan
niat ini adalah seumpama ibadat dan suatu kelakuan yang terpuji. Jadi pahalanya
besar sekali melebihi pahala puasa. Sekalipun kiranya orang yang diundang itu tiada
berbuka, tetapi undangannya itu tetap dikira baik, kerana ia telah mengumpulkan
orang dalam suatu majlis yang diiringi dengan cakap-cakap yang baik.
(4) Hendaklah ia menolak undangan, di mana makanan yang dihidangkan itu dari
barang yang ada syubhat ataupun jika dalam majlis undangan itu diadakan berbagai-
bagai kemungkaran,* ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik,
atau suka bermegah dan membesar diri.
_________________________
* Imam Ghazali memasukkan dalam kemungkaran membentang hamparan sutera, menggantung
gambar-gambar di tembok, mendengar seruling. Pada pendapat saya, perkara mungkar yang dilarang
untuk dihadirinya dan yang mesti ingkarinya ialah perkara yang telah disepakati dan dipersetujui oleh
para alim-ulama, manakala yang belum ditentukan oleh para fuqaha tentang pengharamannya, maka ia
masih belum boleh dikira mungkar dan tidaklah orang yang membuatnya dikira fasik. Mazhab Hanafi telah
mengharuskan duduk di atas hamparan sutera, manakal Mazhab Maliki pula membolehkan menggantung
gambar di tembok. Mengenai mendengar seruling, Ibnul Hazm sendiri bersama-sama pengikut Imam-imam
yang termasyhur tidak mengatakan larangan. Bahkan telah disusun beberapa buku yang terkenal mengenai
hal ini. Bagaimana boleh dikatakan ianya sebahagian dari kemungkaran? Saya berpendapat yang dianggap
mungkar itu ialah sesuatu yang telah disepakati oleh orang ramai. Ya, untuk bersikap wara’ dan
memelihara diri serta meninggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan adalah seperkara yang
lain yang dimaksudkan untuk menghindari kesyubhatan – Jamaludin al-Qasimi.

(5) Janganlah hendaknya bila menerima undangan itu, dia meniatkan untuk
memenuhi syahwat perutnya. Dengan cara itu, dia telah menjadikan memakan
makanan undangan itu sebagai urusan keduniaan. Bahkan yang sewajarnya ia
memperbaiki niatnya dengan menganggap itu sebagai suatu urusan dari urusan-urusan
keakhiratan; iaitu dengan niat menuruti jejak-langkah Rasulullah s.a.w dan
memuliakan seorang Mu’min serta menziarahinya, agar ia termasuk golongan hamba-
hamba Allah yang kasih-mengasihi kerana Allah Ta’ala. Selain itu, hendaklah dia
meniatkan untuk memelihara hati saudaranya, supaya tidak timbul darinya hal-hal
yang buruk kiranya dia menolok undangan itu. Ataupun untuk menahan lidah
saudaranya dari menuduh perkara yang bukan-bukan, seperti menganggapnya
sombong, atau kurang ajar, ataupun kerana hendak menghina seorang Muslim yang lain
dan sebagainya.

Berkata setengah para salaf: Saya suka sekali, agar semua perbuatanku itu diiringi
dengan niat yang baik, sehinggakan pada makan dan minum sekalipun. Ketahuilah
perkara-perkara yang mubah (harus) boleh dikirakan ke dalam perkara-perkara
kebajikan yang diberi pahala dengan niat yang baik.

Bagi orang yang hadir dalam setiap undangan hendaklah memperhatikan pula adab-
adab berikut:

(1) Bila masuk ke dalam rumah, jangan memilih tempat-tempat yang ditetapkan
bagi orang-orang berpangkat; iaitu di tempat-tempat yang terdepan, malah hendaklah
ia merendah diri duduk di tempat-tempat biasa saja.
(2) Jangan tinggal terlalu lama di tempat undangan dan jangan pula terlalu segera
hendak pulang, sehingga tuan rumah menjadi tergesa -gesa menyediakan makanan
untuknya, kalau makanan itu belum tersedia. Ini dengan syarat kalau tempat tidak
begitu penuh sesak dengan tetamu.
(3) Bila tuan rumah menunjukkan sesuatu tempat untuk ia duduk, jangan pula
menolak, barangkali tuan rumah itu telah menentukan tempat bagi tiap-tiap seorang
dari tetamu-tetanunya. Jadi kiranya ia menolak juga, akan berubahlah peraturan-
peraturan yang sudah ditentukan oleh tuan rumah tadi.
(4) Jangan duduk di tempat yang berhadapan dengan pintu bilik yang dikhaskan
untuk kaum wanita, ataupun di tempat yang bertabir.
(5) Jangan terlalu mengamati tempat dari mana hidangan makanan dikeluarkan
kerana yang demikian itu menandakan dirinya sebagai seorang perakus.
(6) Hendaklah mengutamakan memberi salam dan bertanya khabar pada orang-
orang yang duduk berhampiran dengannya.
(7) Apabila seseorang tamu datang untuk bermalam, maka hendaklah tuan rumah
menunjukkan arah kiblat bilik air atau tandas dan tempat mengambil air sembahyang.
(8) Tuan rumah hendaklah membasuh tangan terlebih dulu sebelum tetamu-
tetamunya dan sebelum makan, kerana dia telah mengundang mereka untuk menerima
penghormatanny. Hendaknya janganlah ia makan, melainkan setelah selesai semua
tetamu-tetamu makan.
(9) Tetamu pula, bila melihat sesuatu perkara mungkar di rumah itu, hendaklah ia
mengubahnya jika berdaya. Kalau tidak cukuplah ia memberi nasihat saja, kemudian
meninggalkan tempat itu.
Untuk orang yang menyediakan makanan undangan pula, ada lima adabnya:
(1) Menyegerakan hidangan makanan, kerana yang demikian itu dari perkara yang
memuliakan tetamu. Apabila telah hadir kebanyakan dari tetamu-tetamu sedang ada
juga yang masih belum sampai atau tak datang, seorang dua saja, padahal masa yang
ditentukan telah lepas, maka orang-orang yang telah hadir itu lebih berhak untuk
disegerakan daripada menunggu orang-orang yang lewat itu. Dalam maksud ini, Allah
telah berfirman di dalam al-Quran:

“Sesudah sampaikah kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang dimuliakan.”


(adz-Dzariat: 24)

Maksudnya mereka itu telah dimuliakan dengan mempercepatkan hidangan kepada


mereka. Hal ini telah ditunjukkan pula oleh firmanNya yang lain, iaitu:

“Tidak berapa lama, maka dihidangkan kepada mereka itu dengan daging anak lembu
yang dibakar.” (Hud: 69)

Juga dibuktikan dengan firmanNya yang lain lagi:

“Kemudian cepat-cepatlah dia pergi kepada keluarganya, lalu membawa daging anak
lembu yang gemuk.” (adz-Dzariat: 26)

Berkata Hatim al-Asham: Tergesa-gesa mengerjakan sesuatu itu dari perbuatan


syaitan, melainkan pada lima perkara: Maka ia dari perjalanan Rasulullah s.a.w iaitu:
(1) Menyegerakan hidangan kepada tetamu. (2) Menyelenggarakan mayat. (3)
Mengahwinkan perawan dan teruna. (4) Membayar hutang dan (5) Bertaubat dari dosa.

(2) Menjaga pentertiban hidangan, bermula dengan buah-buahan terlebih dahulu


kalau sudah tersedia, sebab buah-buahan itu lebih cocok jika didahulukan menurut
ilmu kedoktoran, kerana ia lekas hancur, dan sesuai sekali diletaknya dibahagian
bawah dari perut. Di dalam al-Quran ada peringatan untuk didahulukan buah-buahan;
iaitu firman Allah Ta’ala :

“Dan buah-buahan menurut yang mereka pilih.” (al-Waqi’ah: 20)


Kemudian baru Allah mengikutinya dengan firmanNya;

“ Dan daging burung menurut yang mereka inginkan”

Sesudah buah-buahan, dihidangkan pula daging dengan roti. Kalau ditambah pula
selepas itu dengan manisan-manisan, maka telah sempurnalah hidangan itu berupa
hidangan yang baik. Tetapi yang menentukan hasilnya penghormatan dengan
terhidangnya daging, ialah firman Allah Ta’ala pada menceritakan mengenai tetamu
Nabi Ibrahim, ketika disediakan untuk tetamu daging anak lembu yang dibakar,
sehingga sempurna masaknya, bukan setengah masak. Dalil al-quran ini menunjukkan
salah satu makna penghormatan terhadap tetamu. Iaitu dengan menghidangkan
makanan yang berupa daging.

Berkata Abu Sulaiman ad-Darani r.a.: Memakan makanan yang baik akan
menyebabkankeredhaan Allah Ta’ala dan makanan baik itu akan lebih sempurna bila
diminumkan air sejuk. Kemudian tangan pula dibasuh dengan air panas-panas dingin.
Berkata al’Ma’mun: Minum air dengan air batu (es) akan menimbulkan kesyukuran
yang khalis (tulen).
Setengah orang berkata pula, makan manisan selepas makan lebih baik dari memakan
berbagai-bagai makanan yang lain. Duduk menetap pada satu hidangan lebih baik dari
menambah dua jenis hidangan yang lain, dan menghiasi hidangan dengan sayur-
sayuran adalah amat diperlukan sekali.

(3) Di antara bermacam-macam makanan yang terhidang itu hendaklah ia memilih


yang paling terenak sekali dulu, sehingga para tetamu yang hadir itu dapat memakan
sengan sepuas-puasnya, dan tidak mahu makanan yang lain lagi sesudah itu. Tetapi ad
setengah-setengh orang yang mewah suka menghidangkan makanan yang ringan-ringan
(kurang penting) terlebih dulu, supaya selera orang yang makan akan kembali segar
semula apabila dihidangkan pula makanan-makanan yang terenak sesudah itu. Cara
begini adalah khilaful-aula (menyalahi cara yang terbaik), kerana yang demikian itu
adalah semacam helah untuk makan banyak. Sebaik-baiknya ialah menghidangkan
makanan-makanan itu semuanya sekaligus ataupun diberitahu terlebih dulu jenis-jenis
makanan yang akan dihidangkan.

(4) Janganlah sampai di angkat makanan-makanan yang di hidangkang itu, selagi


orang-orang masih belum selesai memakannya. Tetapi hendaklah ditunggu sehingga
semua orang berhenti makan. Barangkali ada setengah-setengah orang lebih suka pada
satu-satu jenis makanan dari yang lain, ataupun seleranya masih ada untuk memakan
makanan-makanan itu, dan tentulah seleranya akan terencat bila tuan rumah mula
berkemas-kemas hendak mengangkat hidangan-hidangn yang selebih itu.

(5) Hendaklah makanan yang dihidangkan itu sekadar mencukupi semua tetamu
yang diundang, sebab kurang dari kadar yang mencukupi adalah menunjukkan kurang
kesopanan dan kalu lebih pula dikira sebagai hendakl menunjuk-nunjuk atau riya’.

Ibnu Ma’ud r.a telah berkata: Kita telah dilarang untuk menerima undangan orang yang
suka bermegah-megah dengan hidangannya. Setengah-setengah para sahabat pula
tidak ingin memakan hidangan orang yang suka bermegah-megah dengan hidangannya.
Selanjutnya hendaklah tuan rumah lebih dulu mengenepikan bahagian ahli rumah dari
makanan tersebut, supaya mereka tiada ternanti-nanti lebihan yang mungkin
dikembalikan oleh tetamu-tetamu kepada mereka. Sebab makanan undangan
seringkali kehabisan tidak ada yang tertinggal lagi, maka akan kecewalah ahli rumah
kelak, dan mungkin pula terkeluar cacian dari lidah-lidah mereka terhadap tetamu.

Seterusnya bagi mengiring tetatmu-tetamu kembali dari undangan, ada tiga pula
adabnya, iaitu:

(1) Hendaklah ia mengiringi tetamunya hingga ke pintu rumah, dan yang demikian
itu adalah sunnat dan ini juga terkira cara menghormati tetamu. Untuk
menyempurnakan penghormatannya lagi ialah memaniskan wajah dan bertutur yang
baik pada masa menjemput masuk dan mengiring keluar, dan juga ketika duduk
bersama menghadapi meja makan.

(2) Tetamu pula, ketika tiba waktu pulang, hendaklah melahirkan sikap baik diri
dan jangan menunjukkan sikap jengkel, walaupun berlaku sesuatu yang kurang
disenangi kerana yang demikian itu adalah sifat budi pekerti yang baik dan merendah
diri.

(3) Janganlah hendaknya dia meninggalkan tempat undangan itu, melainkan


dengan redha tuan rumah dan keizinannya. Di samping itu hendaklah ia melayan hati
tuan rumah dalam masa ia berada di situ. Sekiranya ia tinggal di situ sebagai tetamu,
maka janganlah sampai lebih dari tiga hari, kerana dikhuatiri tuan rumah akan merasa
bosan, dan akhirnya ia terpaksa mencari helah untuk menghalaunya. Tetapi jika tuan
rumah menggesanya supaya tetap tinggal di rumahnya dengan hati yang penuh ikhlas,
maka bolehlah ia tinggal lebih lama dari itu. Adalh sunnat bagi tuan rumah untuk
menyediakan tempat tidur yang khas bagi tetamu yang tinggal serumah dengannya.

Adab-adab yang lain.

Pertama: Diriwayatkan dari Ibrahim an-Nakha’I yang dikatakan pernah berkata:


Makan di pasar adalah suatu penghinaan. Tetapi ada yang meriwayatkan bahwa
setangah para salaf ada melakukannya. Letak perbedaan antara dua pendapat ini
bergantung kepada adat kebiasaan negeri dan peribadi orang itu sendiri. Barangsiapa
yang memandang perkara itu tidak layak bagi dirinya atau keadaan negerinya, maka
yang demikian itu dikira sebagai kerakusan atau kurang sopan. Tetapi jika keadaan
negerinya menganggap itu sebagai perkara biasa dan bukan suatu keaiban maka tidak
mengapalah dia melakukan perkara itu.
Kedua: Berkata setengah para doktor: Janganlah mengahwini wanita,
melainkan yang gadis di antara mereka itu. Jangan makan daging, melainkan yang
baru. Jangan makan benda yang dimasak, melainkan yang sudah sempurna masaknya.
Jangan makan ubat, melainkan kalau ada penyakit. Jangan makan buah-buahan,
melainkan yang sudah matang. Jangan menyuap makanan, melainkan yang anda boleh
mengunyahnya dan janganlah meminum air di atas makanan. Janganlah menahan
buang air kecil atau besar. Apabila selesai makan tengah hari, hendaklah anda tidur
sebentar. Apabila selesai makan malam, hendaklah anda berjalan sebelum tidur,
walaupun seratus langkah saja.
Ketiga: Adalah sunnat kiranya anda mengirim makanan ke rumah orang yang
ada kematian. Apabila tiba berita kematian Ja’far bin Abu Talib, bersabda Rasulullah
s.a.w.:

“Sesungguhnya keluarga Ja’far sedang sibuk menguruskan jenazah (maksudnya


Ja’far) dan tidak ada masa untuk memasak makanan, maka bawakanlah makanan
untuk mereka.”

Perkara mengirimkan makanan ke rumah orang mati adalah sunnat hukumnya,


kemudian jika makanan itu dihidangkan kepada ramai harus mereka memakannya.
Keempat: Tidak boleh menghadiri makanan orang yang zalim, tetapi jika
dipaksa makan, makanlah sedikit saja.

Penutup perbahasan.

Diceritakan, ada setengah orang tidak suka menerima undangan dengan hujah
bahwa menunggu makanan dalam undangan itu adalah suatu kehinaan. Yang lain pula
berkata: Kiranya aku meletakkan tanganku ke dalam tempat makan orang lain, maka
telah terhinalah tengkukku (yakni aku telah menghinakan diriku). Pendapat-pendapat
serupa ini telah ditolak oleh setengah para ulama yang mengatakan, bahwa pendapat
itu adalah berlawanan dengan sunnat.
Berkata Imam Ghazali: Maksudnya bukan begitu, tetapi yang dikatakan
kehinaan itu, sekiranya si pengundang tidak begitu gembira, jika undangannya
diterima oleh yang diundang. Ataupun dianggapnya itu sebagai suatu budi atau sebagai
kewajiban yang mesti terhadap orang yang diundang itu. Rasulullah s.a.w. suka juga
menghadiri undangan kerana mengetahui bahwa pengundangnya ingin membuat
sesuatu budi terhadap baginda, sementara baginda melihat yang demikian itu sebagai
kemuliaan dan penghormatan di dunia dan akhirat.
Perkara di atas sebenarnya berbeda dengan berbedanya keredhaan. Jika orang
yang diundang itu yakin bahwa pengundangnya akan merasa berat untuk
menghidangkan makanan, ataupun dirasakan yang demikian itu sengaja untuk tujuan
bermegah-megahan, ataupun sikapnya sebagai seorang yang terpaksa, maka ketika itu
tidak sunnat lagi baginya untuk menerima undangan orang itu. Yang sebaiknya ia
mengemukakan keuzuran atau sebab-sebab yang dapat diterima.
Oleh kerana itu kebanyakan para ahli sufi berpesan, katanya: Janganlah anda
menerima undangan, melainkan jika anda yakin bahwa pengundang anda itu
mengetahui yang anda memakan rezekimu yang ditentukan oleh Allah dari
hidangannya dan bahwasanya rezeki itu diserahkan kepadanya sebagai titipan atau
amanat yang sebenarnya adalah milik anda yang berada dalam genggamannya, seraya
ia merasa berterima kasih kerana anda telah menerima semula titipan itu
daripadanya. Jadi jika orang yang diundang itu, yakin, bahwa tiada budi dalam
menerima undangan itu, maka tiada patut dia menolaknya tanpa keuzuran.

Anda mungkin juga menyukai