Anda di halaman 1dari 6

Kitab Rahsia Puasa

Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan
menjadikan puasa itu benteng bagi para wali dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu
daya syaitan dan angan-angannya, sebagimana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Puasa itu separuh kesabaran”


Allah telah berfirman:

“Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-Zumar:
10)
Kalau begitu pahalanya kesabaran itu telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan
dan memadailah kalau kita mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang
berikut:

“Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang
berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bauan minyak kasturi. Allah azzawajalla
berkata: Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana
Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”
Orang yang berpuasa itu dijanjikan Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan
puasanya itu.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika
masa berbuka puasanya, dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.”
Dalam penafsiran makna ayat yang berikut:

“Tiada seorang pun yang mengetahui apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu
dari cahaya mata, iaitu sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.” (as-
Sajdah:17)
Yakni amalan yang mereka kerjakan itu ialah berpuasa sebab Allah berfirman pula pada ayat
yang lain:

“Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-
Zumar: 10)
Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-
gandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah
sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan
kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang
lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:

1. Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia
adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh
dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan
puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan
dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.
2. Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah
azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang
meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang
kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Ta’ala sedangkan
pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan dari Allah Ta’ala.

Allah telah berfirman:

“Jika kamu sekalian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong
kamu dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).” (Muhammad: 7)
Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari
hawa nafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita
menuntut syarat-syaratnya yang lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunat-
sunatnya dan syarat-syarat kebatinannya.

Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa

Adapun kewajiban lahiriah puasa enam perkara:

1. Meneliti datangnya permulaan bulan Ramadhan dengan rukyah, iaitu dengan


melihat anak bulan. Jika tiada terlihat, maka genapkanlah bulan Sya’ban 30 hari.
Kami maksudkan, rukyah atau melihat itu, mestilah melalui ilmu pengetahuan dan
ini dapat disahkan dengan penyaksian seorang adil (orang yang terkenal lurus
perjalanannya dan tiada diragui boleh berbohong). Ini kalau penyaksian maksudnya
Ramadhan. Tetapi untuk penyaksian permulaan Syawal atau anak bulan Syawwal,
dihukumkan tidak sah, melainkan dengan dua orang saksi adil, mengambil hukum
yang lebih berat untuk menyempurnakan ibadat puasa. Barangsiapa mendengar
seorag adil dan ia percaya dengan yakin apa yang disaksikannya tentang anak bulan
itu tanpa apa-apa keraguan lagi bagi dirinya, maka wajiblah dia berpuasa meskipun
kadhi atau hakim tiada menghukumkan sah penyaksiannya itu.
2. Niat puasa pada setiap malam - mestilah dia berniat yang khas dan tetap bagi
kefardhuan puasa kerana Allah Ta’ala.
3. Menahan diri dari menyampaikan sesuatu benda ke dalam perutnya dengan sengaja
tidak terlupakan dirinya sedang berpuasa. Kalau dilakukan yang demikian, maka
rosaklah puasanya; iaitu dengan makan atau minum, memasukkan sesuatu melalui
lubang hidung atau dubur. Tidak batal dengan bersuntik, berbekam, bercelak,
memasukkan pembersih ke dalam telinga atau melalui zakar ataupun apa yang
sampai ke perut tanpa disengajakan seperti debu jalan, ataupun seekor lalat
termasuk ke dalam perutnya. Kalau air masuk ke dalam perut disebabkan
berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali jika dia terlalu berlebihan-
lebihan dalam berkumur-kumur, maka perbuatan serupa membatalkan disebabkan
kecuaian. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan dengan sengaja. Adapun
perkataan tidak terlupa - dimaksudkan supaya ia terselamat dari lupa, kiranya ia
terlupa, maka tidaklah dikira batal puasanya.
4. Menahan diri dari persetubuhan tetapi kiranya dia bersetubuh dengan terlupa maka
tiadalah dikira telah berbuka. Kiranya dia bersetubuh di sebelah malam, ataupun
dia bermimpi, sehingga dia menjadi seorang junub di sebelah paginya, maka
tiadalah ia dikirakan berbuka.
5. Menahan diri dari sengaja mengeluarkan air mani dengan tujuan untuk bersetubuh
ataupun tidak bersetubuh, sebab kelakuan yang demikian itu adalah membatalkan
puasa. Bercium-ciuman dengan isteri atau bercumbu-cumbu dengannya tiada
membatalkan puasa selagi tiada mengeluarkan mani, tetapi perbuatan semacam itu
adalah makruh hukumnya kecuali jika dia seorang yang sudah tua, atau orang yang
dapat menguasai dirinya (tidak takut keluar mani) maka bolehlah dia bercium-
ciuman. Walau bagaimanapun meninggalkan kelakuan serupa ini adalah utama.
6. Menahan diri dari muntah, sebab sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya
membatalkan puasa tetapi kalau termuntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah
batal puasanya. Dan sekiranya tertelan kahak dari kerongkongnya atau dari
dadanya, tiadalah batal puasanya, kerana keringanan sebab tidak dapat ditahan,
melainkan kalau dia menelannya sesudah kahak itu sampai ditengah mulutnya maka
hal itu akan membatalkan puasanya.

Perkara yang harus dilakukan bila batal puasa.

Orang yang batal puasanya harus melakukan empat perkara:

1. Qadha’: Kewajibannya umum ke atas setiap Muslim Mukallaf yang meninggalkan


puasa dengan uzur ataupun tanpa uzur. Umpamanya, perempuan yang datang darah
haidh harus mengqadha’kan puasanya, demikian pulalah orang yang murtad.
Adapun orang kafir, anak kecil dan orang gila tidak wajib mengqadha’kan puasanya.
Dan hukum mengqadha’kannya tidak wajib berturut-turut, tetapi bolehlah
mengqadhakannya sesuka hatinya sama ada terpisah-pisah ataupun terkumpul.
2. Kaffarah: Kewajibannya berlaku hanya ke atas orang yang bersetubuh pada siang
Ramadhan, selainnya tidak dikenakan kaffarah. Adapun kaffarahnya ialah
memerdekakan seorang hamba. Kiranya ia tidak mempunyai wang untuk menebus
seorang hamba, maka berpuasalah ia dua bulan berturut-turut. Jika ia tidak
mampu, maka hendaklah ia memberi makan kepada 60 orang miskin setiap seorang
satu mud.
3. Berhenti dari makan-minum dan sebagainya pada sisa harinya. Ini diwajibkan ke
atas orang yang menderhaka perintah Allah, kerana tiada berpuasa ataupun kerana
cuai pada perintah puasa (berbuka tanpa sebab atau seumpamanya). Maka
hendaklah ia berhenti dari makan-minum, apabila ternyata ada seorang adil yang
menyaksikan anak bulan pada hari syak (iaitu 30 Sya’ban), sedangkan orang ramai
semuanya tiada berpuasa pula, maka hendaklah sekaliannya berhenti dari makan-
minum dan sebagainya. Bagi orang yang sedang dalam pelayaran, berpuasalah
adalah lebih utama daripada berbuka,
4. Mengeluarkan fidyah, iaitu bagi orang yang mengandung atau ibu yang masih
menyusukan bayinya, kerana khuatir kemudharatan ke atas bayi jika ia berpuasa.
Maka dikeluarkan fidyah kerana tiada berpuasa itu, setiap hari satu mud
gandum/beras kepada seorang miskin, kemudian puasa itu diqadha’kan. Begitu
pula dengan orang tua yang sudah lanjut umurnya, tiada mampu untuk berpuasa,
dikeluarkan fidyah satu mud juga.
Sunnat-sunnat puasa

Sunnat bagi orang yang berpuasa melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka, iaitu dengan
buah kurma atau dengan air sebelum bersembahyang. Sunnat baginya juga banyak bersedekah
dalam bulan Ramadhan, banyak membaca Al-Quran duduk beri’tikaf dalam masjid pada 10 hari
yang terakhir dari Ramadhan dan tiada keluar dari masjid itu, melainkan kerana sesuatu hajat
saja. Tiada mengapa dia memakai bau-bauan yang wangi di dalam masjid, berakad nikah di
situ, makan-minum dan tidur di dalamnya, membasuh tangan di dalam besin, yang semua itu
mungkin diperlukan ketika ber’iktikaf di dalam masjid.

Jenis-Jenis puasa dan tingkatannya.

Ketahuilah bahawa puasa itu ada tiga darjatnya.

1. Puasa umum: iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari
mengecap kesyahwatannya, seperti yang telah berlalu huraiannya.
2. Puasa khusus: iaitu puasa disertakan dengan mengekang pendengaran, penglihatan,
lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukann perkara-perkara yang
haram atau dosa.
3. Puasa khususul–khusus: iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di
atas tadi dan menambah lagi dengan berpuasanya hati dari segala cita-cita yang
kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain
Allah azzawajalla sama sekali.

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya:

Semua ada enam iaitu:

1. Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala


perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang
boleh menganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada
Allah.
2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap
kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.
3. Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab
setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah
s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan
memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya:
“Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.”
(al-Maidah: 42)
4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki
dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut
dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah
gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia
memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang
yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan
sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasaya itu selain dari
lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).”
Ada yang mengatakan bahwa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan
yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa
dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki
orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan
orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.
5. Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari
makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang
paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang
halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan)
dan melawan syahwat kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu
berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan
semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala
makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya sehingga menjadi
semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam ragam
makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkan pula dalam
satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam
bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum bahwa maksud puasa itu
adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat
dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di
siang hari hingga ke masa terbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak
dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai-
bagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan
bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul syahwat
pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap
pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan
puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk
melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-
cara yang menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan
keinginan ini tidak dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat.
Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi
dengan makanan, maka ia terlindung dari kerajaan langit.
6. Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harap kerana ia tiada
mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolongnya
ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah) ataupun puasanya tertolak
maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta’ala.
Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali
selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta’ala.

Puasa Tathawwu’
Ketahuilah bahwasanya puasa tathawwu’ atau puasa sukarela itu dituntut untuk dilakukan pada
hari-hari yang diutamakan oleh Islam. Dan keutamaan hari-harinya itu ada yang dihubungkan
dengan tahun ada dengan bulan dan ada pula dengan minggu.

Yang dihubungkan dengan tahun sesudah dikira puasa Ramadhan ialah berpuasa pada hari
Arafah, Hari Asura dan sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah. Rasulullah s.a.w sendiri
dikatakan terlalu banyak berpuasa pada bulan Sya’ban. Ada sebuah Hadis mengatakan bahawa:

“Sebaik-baik berpuasa sesudah Ramadhan ialah berpuasa pada bulan Muharram, “kerana
Muharram itu adalah permulaan tahun Islam dan memulakan bulan itu dengan kebajikan
memanglah dituntut dan diberatkan agar keberkatannya berterusan.
Ada Hadis yang lain: Apabila telah masuk separuh bulan Sya’ban, maka tiadalah disunnatkan
berpuasa lagi, sehingga masuk pada bulan Ramadhan. Sebab itulah disunnatkan agar tiada
berpuasa sebelum bulan Ramadhan beberapa hari, tetapi jika mahu berpuasa juga bersambung
dengan bulan Ramadhan maka hukum nya harus pula.

Tiada dibolehkan berpuasa kerana menyambut bulan Ramadhan dua hari ataupun tiga hari
sebelum ketibaannya, melainkan jika hari sebelum ketibaannya, melainkan jika hari itu
menjadi hari kebiasaannya ia berpuasa sunat (hari Isnin dan Khamis dan sebagainya). Setengah
para sahabat telah melarang berpuasa pada bulan Rejab sebulan penuh, supaya ia tidak
menyamai puasa dalam Ramadhan pula.

Adapun puasa yang dilakukan dalam setiap bulan itu, ialah pada permulaan bulan,
pertengahannya dan akhirnya. Di pertengahannya ialah hari-hari putih, iaitu pada hari 13, 14
dan 15.

Manakala puasa mingguan pula disunnatkan pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Pada hari-hari
itu bukan saja disunnatkan puasa, malah disunnatkan memperbanyakkan khairat dan sedekah,
agar bertambah-tambah pula pahalanya dengan keberkatan hari dan masanya.

Sekarang telah jelaslah kepada kita bila masanya diutamakan puasa maka untuk
menyempurnakannya hendaklah setiap manusia Muslim memahami pengertian puasa yang
sebenarnya dan rahsianya dalam menjernihkan hati dan meringankan kesusahan yang dilakukan
semata-mata kerana Allah Ta'ala saja.

Anda mungkin juga menyukai