Anda di halaman 1dari 16

Kitab Rahsia Haji

Allah s.w.t. telah menjadikan Rumah Allah yang mulia (Ka’bah) itu tempat perkunjungan orang
ramai dan tempat aman kesentosaan, dan Allah telah meletakkannya di tempat yang paling
tinggi, dengan dinisbahkannya kepada diriNya sebagai tanda kemuliaan, kehormatan dan
keutamaan. Kemudian Allah telah menjadikan berziarah kepadanya serta bertawaf di
sekelilingnya sebagai pelindung antara hamba dengan penyiksaanNya.

Haji itu pula merupakan salah satu dari Rukun-rukun Islam dan sendi-sendinya yang terkuat,
diwajibkan sekali seumur hidup. Dengan menyempurnakan ibadat Haji itu akan tersempurna
pulalah Islam seseorang itu dan lengkaplah agamanya.

Kini sewajarnyalah ditumpukan perhatian sepenuhnya kepada keterangan-keterangn lanjut


mengenai Haji, dan juga mengenai rukun-rukunnya, adab tertibnya, keutamaan dan rahsia-
rahsianya.

Keutamaan Haji dan Ka’bah, Makkah dan Madinah

Mengenai keberangkatan kerana melawat masjid-masjid utama, Allah telah berfirman:

“Permaklumkanlah kepada sekalian manusia untuk melakukan ibadat Haji niscaya mereka akan
mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai (unta dan lain-lain) mereka itu akan
datang dari segala ceruk penjuru yang jauh.” (al-Haj: 27)
Berkata Qatadah: Apabila Allah s.w.t. memerintahkan Ibrahim a.s. untuk mengisytiharkan
kepada manusia sekalian dengan amalan Haji beliau menyeru: Wahai sekalian manusia!
Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mendirikan rumahNya, maka hendaklah kamu mengunjunginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang naik haji sedangkan ia tiada berkata kotor atau berbuat jahat, dia keluar
dari dosa-dosanya suci seperti keluarnya bayi di hari dilahirkan oleh ibunya.”
Ada suatu riwayat yang mengatakan: Bahawasanya Ka’bah itu nanti di Hari Kiamat akan diarak
seperti seorang pengantin perempuan di hari Langsung dan setiap orang yang telah berhaji
kepadanya akan kelihatan bergayutan di tabir-tabirnya, sambil berjalan bersama-samanya
sehingga masuk ke dalam syurga.

Al-Hasan al-Basri r.a berkata: Bersedekahlah satu dirham di Kabah itu dibalas dengan seratus
ribu, begitu pula setiap kebajikan yang dilakukan di situ digandakan Allah pahalanya. Dengan
seratus ribu kali. Ada yang menambah pula, bahawa melakukan kejahatan juga dilipat-
gandakan dosanya, sebagaimana dilipat-gandakan pahalanya.

Apabila Rasulullah s.a.w kembali semula ke Makkah, baginda lalu mengadap kepada Ka’bah
seraya berkata: Sesungguhnya engkau ini sebaik-baik bumi Allah azzawajalla dan negeri Allah
yang paling aku cintai. Kalaulah tidak kerana aku telah dihalau daripadamu, tentulah aku tidak
akan keluar meninggalkanmu.

Sesudah Makkah, tidak ada bumi yang lain yang lebih diutamakan seperti negeri Madinah yang
terkenal dengan nama Madinah Rasulullah s.a.w. Segala amal ibadat di dalamnya juga dilipat-
gandakan pahalanya.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Satu kali sembahyang di dalam masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu kali
sembahyang di tempat lain, kecuali Masjidil-Haram”.
Dan sesudah Madinah Rasulullah s.a.w pula, ialah bumi Baitul Maqdis kerana bersembahyang di
dalamnya mendapat pahala sebanyak lima ratus sembahyang kecuali Masjidil Haram.

Sesudah ketiga-tiga bumi yang suci maka tempat-tempat yang lain semuanya sama dari segi
darjatnya kecuali di lubang-lubang gunung kerana menghuni di dalamnya untuk tujuan
beribadat, maka ia juga merupakan suatu keutamaan yang besar.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tiada dipersiapkan pelayaran melainkan kepada tiga masjid; iaitu Masjidil Haram, masjidku ini
(Masjid Madinah) dan Masjidil Aqsa.”
Kecuali ketiga-tiga masjid yang di atas tadi, masjid-masjid yang lain, semuanya sama dari segi
darjatnya. Setiap negeri tentulah ada masjidnya sendiri, maka tiada ertilah belayar untuk
menuju ke masjid lain.

Berikut, kita perturunkan syarat-syarat kewajiban Haji, iaitu rukun-rukunya dan wajib-wajibnya
serta larangan-larangannya.

Syarat-Syarat haji

Syarat sahnya haji ialah dua perkara: Waktu dan Islam. Haji seorang anak kecil dihukumkan
sah. Dia boleh meniatkan ihramnya sendiri bila dia anak yang mumaiyiz (dapat membedakan),
tetapi kalau belum mumaiyiz maka niat ihram hajinya diniatkan oleh walinya. Dan hendaklah
wali itu menyuruh anak kecil itu melakukan sebagaimana yang ia lakukan untuk pekerjaan-
pekerjaan haji, seperti tawaf, sa’i dan sebagainya.

Adapun waktunya pula ialah: Syawwal dan Zulka’idah dan seterusnya sembilan hari dari
Zulhijjah, sehingga terbitnya fajar pada Hari Raya Korban (Hari Raya Haji). Barangsiapa yang
berihram dengan haji pada masa-masa selain dari segi yang tersebut itu, maka amalannya
dikira umrah. Umrah pula boleh dilakukan pada semua masa sepanjang tahun.

Adapun syarat-syarat penunaiannya sebagi Haji Islam ialah: baligh, aqil dan waktu.

Wajib-wajib Haji

Adapun syarat kewajibannya ialah: Berkuasa dan yang demikian itu ada dua cara:

Pertama: Melakukan amalan haji itu sendiri. Dalam hal yang demikian ada beberapa sebab,
sama ada:

1. Yang berhubungan dengan dirinya, maka hendaklah ia sihat.


2. Yang berhubungan dengan jalan, maka hendaklah ianya aman di sepanjang jalan.
Kalau dengan laut tidak ada pula yang boleh membahayakan dan tidak bimbang ada
musuh di tengah jalan.
3. Yang berhubungan dengan kewangan maka hendaklah ia mempunyai perbelanjaan
pergi-balik, sehingga sampai dengan selamat ke negerinya semula. Dan hendaklah
juga ia mempunyai perbelanjaan untuk segala para tanggungannya dalam masa
pemergiannya untuk menunaikan haji itu. Kalau berhutang, hendaklah ia
menjelaskan hutangnya terlebih dulu. Kalau jauh hendaklah ia mempunyai
kenderaan kesan atau mempunyai wang untuk menyewanya.

Kedua: Berkuasanya seorang yang lumpuh dengan menggunakan wangnya, iaitu hendaklah ia
mengupah seorang lain untuk menunaikan hajinya, tetapi orang itu mestilah sudah menunaikan
haji untuk dirinya sebelum itu.

Walau bagaimanapun bagi orang yang berkuasa setelah cukup syarat-syarat haji baginya,
hendaklah ia segera menunaikan hajinya. Kalau mahu menangguhkan pula tidak salah, tetapi
haruslah ia ingat bahawa ia sentiasa dalam bahaya. Bila ia berkelapangan sedangkan ia pada
akhir umurnya (sudah terlalu tua), maka kewajiban menunaikan haji itu tidak gugur
daripadanya. Bila ia mati sebelum berhaji maka ia bertemu dengan Allah azzawajallah dalam
keadaan ashi atau menderhaka, disebabkan ia belum menunaikan haji. Jika ia dari golongan
yang berada, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya perbelanjaan untuk
menghajikannya, sekalipun ia tiada mewasiatkan kerana hukumnya sama seperti hutang. Orang
yang mampu dan cukup semua syarat bila mati sebelum mengerjakan haji maka perkaranya
amatlah berat sekali di sisi Allah s.w.t.
Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Aku hampir-hampiir menuliskan suatu perintah ke seluruh
negara untuk mewajibkan semacam cukai ke atas orang yang belum berhaji, padahal ia
berkuasa untuk pergi ke sana.

Sementara Said bin Jubair, Ibrahim an-Nakha’I, Mujahid dan Thawus sepakat berkata: Kalau aku
mengetahui seseorang kaya yang belum berhaji meninggal dunia, padahal haji itu telah wajib
ke atasnya, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan mayatnya. Ada pula setengah ulama,
bila seorang jirannya yang belum berhaji mati, padahal ia seorang yang kaya, maka mereka
tidak akan menyembahyangkan mayatnya.

Rukun-rukun haji

Adapun rukun-rukun haji yang mana tidak sah tanpanya ialah lima perkara:

1. Berihram dengan haji


2. Tawaf
3. Sa’I sesudah tawaf
4. Wuquf di Arafah
5. Bercukur menurut setengah kaul.

Rukun-rukun umrah pula sama dengan rukun-rukun haji hanya umrah tdak ada wuquf di Arafah.

Dan cara-cara mengerjakan haji dan umrah ada tiga perkara:

1. Haji Ifrad, iaitu dengan mengerjakan haji bersendirian terlebih dahulu, Apabila
selesai keluarlah semua ke kawasan tanah halal, maka berihramlah dengan umrah
pula.

2. Haji Qiran, iaitu dengan mengerjakan sekaligus pekerjaan haji dan umrah.
Syaratnya hendaklah meniatkan kedua-duanya sekaligus yakni dengan haji dan
umrah dan menjadilah ia orang yang muhrim dengan keduanya, kemudian dia
mengerjakan semua pekerjaan haji, dengan sendirinya pekerjaan umrahnya
termasuk ke dalam pekerjaan haji tadi. Orang yang berhaji Qiran ini dikenakan ke
atasnya Dam, iaitu dengan menyembelih seekor kambing, kecuali jika ia dari
penduduk Makkah.

3. Haji Tamattu’, iaitu bila meniatkan umrah melampaui batasn Miqat. Sesudah
selesai umrah, bertahallullah ia di Makkah, lalu halallah baginya semua larangan-
larangan ihram, sehingga tiba waktu haji, barulah meniatkan ihram dengan haji
pula. Orang yang mengerjakan seperti ini dikenakan ke atasnya Dam seekor
kambing jika tiada mendapati kambing, maka hendaklah ia berpusa 3 hari waktu
haji sebelum Hari Raya haji, sama ada bersambungan mahupun berceraian,
kemudian bila pulang ke negerinya, ia berpuasa sebanyak 7 hari lagi untuk
mencukupkan 10 hari kesemuanya.

Larangan-larangan Haji

Adapun larangan haji dan umrah semuanya enam perkata:

1. Memakai pakaian qamis, seluar, sepatu dan sarban. Pakaian yang haru dipakai
waktu berihram ialah selembar kain untuk sarung dan selembar selendang dan
sepasang sandal. Boleh memakai tali pinggang dan berteduh di bawah khemah,
tetapi tak boleh menutup kepala. Kaum wanita boleh memakai pakaian yang
berjahit, tetapi tidak boleh menutup wajah dengan sesuatu yang boleh
menekapnya kerana ihramnya ialah pada wajahnya.
2. Memakai wangi-wangian. Jadi hendaklah ia menjauhi segala yang dikatakan oleh
ahli akal sebagai wangi-wangian. Kiranya dia melanggar larangan ini dan ia
memakai wangi-wangian maka dia dikenakan bayaran Dam.
3. Mencukur rambut atau memotong kuku, kerana melakukannya akan dikenakan Dam
seekor kambing. Boleh memakai celak, mandi di permandian, bersuntil, berbekam
dan menyikat rambut.
4. Bersetubuh kerana yang demikian itu akan merosakkan haji pelakunya jika
dilakukan sebelum tahallul awal. Kerana itu dia dikenakan Dam seekor unta atau
lembu ataupun tujuh ekor kambing. Jika dilakukan sesudah tahallul awal dikenakan
dam seperti di atas juga, hanya hajinya saja yang tidak rosak.
5. Hal-hal yang berhubungan dengan permulaan persetubuhan, seperti bercium-
ciuman atau bersentuh-sentuhan, sedangkan ia masih dalam ihram makan
dendanya seekor kambing. Dalam keadaan serupa ini diharamkan juga bernikah dan
menikahkan, jika dilakukan juga, maka tiadalah dikira sah dan tiada pula
dihukunkan kena Dam.
6. Membunuh buruan darat, yakni dari binatang yang boleh dimakan dagingnya. Jika
dia membunuh seekor buruan, maka wajiblah ke atasnya Dam seekor binatang
(kambing, lembu atau unta) yang besarnya lebih kurang sama dengan besarnya
binatang yang dibunuhnya. Binatang laut tiada dilarang menangkapnya dan oleh itu
tiadalah dikenakan Dam.
Peraturan kerja-kerja haji dari mula belayar hingga kembali.

Kerja-kerja lahiriah haji menurut peraturannya ada sepuluh bahagian:

BAHAGIAN PERTAMA: DALAM PERJALANAN

Dalam perjalanan untuk menunaikan haji, iaitu sejak keluar dari tumah hingga meniatkan
ihram dengan haji ada beberapa perkara:

1. Mengenai kewangan: Pertama, hendaklah ia memulakan dengan bertaubat dan


mengembalikan segala hak orang yang diambilnya secara penganiayaan dan
membayar segala hutang piutang. Kemudian menyediakan pula nafkah atau
perbelanjaan bagi sekalian orang yang wajib ditanggungnya sekiranya-kiran cukup,
hingga waktu kembalinya dari perkerjaan ibadat haji. Dan hendaklah ia
mengembalikan semua amanat-amanat orang yang disimpannya. Disunnatkan pula
wang yang digunakan untuk perbelanjaan haji itu dari harta yang halal dan bersih
dari segala syubhat. Hendaklah wang perbelanjaan itu mencukupi ongkos pergi
balik, tanpa menyekat diri, sekira-kira dapat dibelanjakan secara leluasa dalam
makan-minum, dan ada lebih pula untuk diberikan kepada orang-orang yang lemah
dan fakir. Hendaklah ia bersedekah sekadarnya sebelum berangkat untuk ke haji.
Kiranya dia menyewa kenderaan, maka sedekah itu sebaik-baiknya diberikan
kepada orang yang menyewakan kenderaan itu sama ada sedikit mahupun banyak,
agar ia mendapat keredhaan orang itu dalam perjalanannya nanti.
2. Mengenai teman: Sebaik-baiknya ia mendapatkan seorang teman yang saleh, yang
suka membuat kebajikan dan bersedia pula untuk menolongnya dalam membuat
kebajikan jika ia terlupa. Apabila ia membuat kebajikan, teman itu akan
membantunya. Apabila ia merasa takut akan ditanamkan padanya semangat
keberanian. Apabial ia merasa lemah, akan digalakkannya supaya menjadi kuat.
Begitu pula jika dadanya sempit akan dinasihatinya supaya bersabar. Sebelum
berangkat hendaklah ia mengucapkan selamat tinggal kepada sekalian teman-
temannya yang mengucapkan selamat jalan kepadanya. Begitu pula kepada
saudara-maranya dan jiran tetangganya. Dia mengucapkan selamat tinggal kepada
mereka seraya memohon doa daripada mereka.
Dalam mengucapkan selamat tinggal itu sunnat disebutkan begini: Aku mendoakan agar Allah
melindungi agama, amanat dan segala pengakhiran amalanmu. Nabi s.a.w. mengucapkan
kepada orang yang belayar dengan katanya: Mudah-mudahan anda sentiasa berada di dalam
lindungan Allah dan pemeliharaanNya. Mudah-mudaham Allah akan menambahkan taqwamu,
mengampunkan dosamu dan mengarahkan anda ke arah kebajikan di mana-mana anda berada.
3. Sebelum keluar dari rumah, hendaklah terlebih dahulu dia bersembahyang dua
rakaat. Sesudah itu mengangkat kedua belah tangannya, seraya berdoa kepada
Allah dengan penuh ikhlas, dengan melafazkan:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkaulah sebagai pengiring di dalam perjalanan dan sebagai pengganti
di dalam menjaga keluarga, harta benda, anak-pinak dan sekalian rakan-teman, Peliharalah
aku serta mereka sekalian dari segala bencana dan mara bahaya, Ya Allah! Ya Tuhanku!
Sesungguhnya kami memohon perlindungan kepadaMu daripada jerih-jerih pelayaran,
pertukaran nasib yang menyedihkan serta pemandangan yang menjelekkan terhadap
keluaraga, harta benda dan anak pinak.”
4. Ketika berdiri di pintu rumah, hendaklah dia berdoa pula: “Dengan nama Allah aku
bertawakkal kepada Allah. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan
Allah. Ya Tuhanku! Aku bermohon perlindungan daripada menjadi sesat atau
disesatkan daripada menjadi hina atau dihinakan, daripada menjadi penganiaya
atau dianiayakan dan daripada menjadi bodoh atau dibodohkan. Ya Allah! Ya
Tuhanku! Sungguh aku ini berangkat bukan kerana kesombongan atau kecongkakan
atau ria’ atau membanggakan diri, bahkan aku ini berangkat kerana menjauhkan
diri dari kemurkaanMua untuk menuntut keredhaanMu dan menunaikan
kewajibanMu serta menurut jejak langkah NabiMu!”

5. Ketika dalam kenderaan dia berdoa pula: “Maha suci Allah telah menundukkan
segala bagi kami, dan kami tiada mampu mengendalikannya untuk tunduk. Dan
sesungguhnya kamu akan kembali juga kepada Tuhan kami.”

BAHAGIAN KEDUA: TERTIB IHRAM DARI MIQAT HINGGA MASUK KE MAKKAH

1. Bermandi dengan meniatkan sunnat mandi kerana ihram yakni sebaik-baik saja
sesudah ia sampai ke Miqat di mana orang haji meniatkan ihramnya. Hendaklah ia
menyempurnakan mandinya dengan membersihkan semua anggota badan dari
kotoran, menyisir janggut dan rambut, memotong kuku, memendekkan misai,
pendekkata hendaklah ia mencukupkan segala macam kebersihan yang pernah kami
sebutkan di dalam bab pembersihan dulu.

2. Hendaklah ia meninggalkan pakaian yang terjahit dan hanya memakai dua lembar
kain ihram yang putih selembar untuk dijadikan kain sarung dan selembar lagi
untuk dijadikan selendang menutupi bahagian atas tubuhnya. Hendaklah ia
memakai wangi-wangian pada baju dan badannya (sebelum meniatkan ihram ---
pent.)

3. Hendaklah ia bersabar sebentar sesudah memakai pakaian ihram tadi, sehingga


kenderaannnya disiapkan dengan sempurna, jika ia kenderaan; ataupun menunggu
sebentar kalau ia berjalan kaki. Dalam masa menunggu itum bolehlah ia meniatkan
berihram dengan haji atau umrah, sama ada ifrad atau qiran, menurut apa yang
digemarinya. Kemudian dia berdoa:

“Aku menyahutMu, wahai Tuhanku! Aku menyahutMU! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu!
Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu aku
menyahutMu!
Dengan haji yang benar-benar peneuh dengan peribadatan dan perhambaan.
Ya Allah! Ya Tuhanku Berikanlah kerahmatanMu ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.
4. Sunnat diulang-ulang talbiah (doa di atas) selagi ia masih dalam pakaian ihram,
terutama sekali ketika bertemu dengan sahabat-handai atau hadir dalam majlis
orang ramai, ketika mendaki sesutau tempat atau turun daripadanya, ketika naik-
turun kenderaan dengan mengangkat suaranya sekira-kira tidak kesat
kerongkongannya, sebab Tuhan yang diseru itu bukanlah bersifat pekak atau tidak
ada.
Rasulullah s.a.w. apabila terpesona dengan sesuatu perkara baginda akan berkata:
“Sesungguhnya hidupan yang sebenar itu ialah kehidupan di Akhirat.”
BAHAGIAN KETIGA: TERTIB MASUK KOTA MAKKAH HINGGA MELAKUKAN TAWAF:

Disunatkan bermandi di tempat yang bernama Dzi Thuwan kerana memasuki Kota Makkah.
Apabila terlihat saja olehnya baitullah (Ka’bah) hendaklah ia berdoa:

“Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Ya Allah! Ya Tuhanku! Engkau adalah
Maha sejahtera, daripadaMu datangnya kesejahteraan dan rumahMu adalah

Rumah Kesejahteraan Maha Berkat Engkau, wahai Zat yang Maha Memiliku Keanggungan dan
Kemuliaan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya ini adalah rumahMu, Engkau telah
membesarkanya, memuliakannya dan meninggikan darjatnya. Ya Allah! Ya Tuhanku! Maka
tambahkanlah baginya kebesaran dan kemuliaan dan tambahkanlah baginya kebesaran dan
kemuliaan dan tambahkanlah baginya kehebatan dan tambahkanlah bagi sesiapa yang berhaji
kepadanya kebaikan dan kemuliaan. Ya Allah! Ya Tuhanku! Bukakanlah bagiku pintu-pintu
rahmatMu, masukkanlah aku kedalam syurgaMu dan jauhkanlah aku dari bencana syaitan yang
terkutuk.”
Sesudah membaca doa itu, teruslah ia pergi untuk melakukan tawaf. Tawaf ini dinamakan
Tawaful-Qudum. (Jika hajinya ifrad atau qiran – pent.). Jika ia dapati orang ramai sedang
mengerjaka sembahyang fardhu maka hendaklah ia bersembahyang dengan mereka dulu
kemudian braulah ia bertawaf.

BAHAGIAN KEEMPAT: MELAKUKAN TAWAF:

Apabila mahu memulakan tawaf, sama ada Tawaful-Qudum ataupun tawaf selainnya, maka
hendaklah ia memperhatikan enam perkara yang berikut:

1. Hendaklah ia memerhatikan syarat-syarat sembahyang, seperti membersihkan diri


dari hadas dan najis pada pakaian, badan, tempat tawaf dan mesti seperti
sembahyang, hanya bedanya Allah s.w.t. telah mengharuskan bercakap-cakap
ketika di dalam tawaf itu. Apakala mahu bertawaf, hendaklah ia meletakkan
pertengahan selendangnya di bawah ketiak kanan dan kedua-dua hujung selendang
itu ditemukan di atas bahu kiri, satu hujung dilepaskan berjuntai ke dada. Dalam
bertawaf dia tiada payah lagi membaca talbiah bahkan hendaklah ia membaca doa-
doa yang khas untuk dibaca tawaf.

2. Sesudah menyelempangkan selendangnya menurut cara di atas tadi, maka ia


menuju kearah Baitullah lalu berdiri di penjuru Hajarul-Aswad, mengiringkan
dirinya ke arah Baitullah tetapi hendaklah ia ke belakang sedikit supaya ke arah
Hajarul Aswad itu benar-benar di hadapannya sehingga apabila ia memulakan tawaf
nanti ia yakin akan melalui di hadapan Hajarul Aswad itu dengan seluruh badannya.
Begitu juga hendaklah di antara dirinya dengan Baitullah itu kadar jarak tiga
langkah, supaya berada dekat dengan Baitullah kerana yang demikian itu adalah
lebih utama.

3. Sebelum ia memulakan tawaf dan beredar dari arah Hajarul Aswad mengelilingi
Baitullah hendaklah ia membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Tuhanku! Penuh keimanan denganMu,
mempercayai kitabMu, memenuhi janjiMu dan menurut perjalanan NabiMu Muhammada
s.a.w.”
Lalu dia pun bertawaflah seterusnya.

4. Hendaklah ia berjalan dengan kadar yang cepat dalam tiga pusingan yang pertama,
manakala dalam empat pusingan yang akhir itu ia berjalan secara biasa saja.
Maksud dari berjalan cepat di sini ialah berlari-lari anak atau berjalan antara
berlari dan berjalan biasa dengan merapatkan langkah-langkahnya. Tujuan
melakukan ini dan meletakkan selendang di dada itu, ialah menunjukkan
ketangkasan kekerasan dan kekuatan. Inilah tujuan yang mula-mula dilakukan dulu,
iaitu untuk melemahkan semangat orang-orang kafir yang melihatnya dan hingga
kini pula menjadi sunnat bagi kaum Muslimin.

Yang utamanya, hendaklah ia berlari-lari anak itu berdekatan dengan Baitullah. Jika tak boleh
kerana ramainya manusia, maka berlari-lari anak itu jauh sedikit pula lebih utama. Untuk
berlari-lari anak sebanyak tiga kali itu tidak mengapalah ia di jarak yang jauh sedikit dari
lingkaran tempat tawaf itu. Kemudian ia mendekati Baitullah dalam himpunan orang ramai itu,
dan ia pun berjalan seperti biasa saja sebanyak empat kali lagi.
Jika boleh menerima (untuk mencium) Hajarul Aswad bada tiap-tiap taawf atau pusingan.
Itulah yang lebih utama baginya, Tetapi jika ia terhalang oleh ramainya manusia di situ, maka
cukuplah ia mengisyaratkan dengan tangan saja, lalu mencium tangan itu. Begitulah pula
sunnat menerima penjuru yang dinamakan rukun Yamani dari lain-lain penjuru yang lain.
5. Apabila selesai tawaf tujuh kali, hendaklah ia pergi ke Multazam iaitu tempat di
antara Hajarul Aswad dan pintu Ka’bah. Di tempat itu segala doa akan mustajab
atau dikabulkan. Sebelum berdoa di situ, hendaklah ia meletakkan badannya ke
Baitullah dan bergayut pada tabir-tabir Ka’bah, dbiarkan perutnya bertempel di
situ pipi kanannya tersentuh pada dindingnya kedua belah lengan dan tapak
tangannya dibeberkan kemudian barulah dia berdoa:
“Ya Allah! Ya Tuhanku1 Wahai Tuhan Runah Ka’bah yang tua, merdekakanlah leher hambaMu
ini daripada api neraka. Ya Allah! Ya Tuhanku! Ini keadaan hamba yang meminta perlindungan
denganMu daripada api neraka”
Kemudian hendaklah ia memohon segala keperluannya yang khas di situ, dan jangan lupa pula
memohon keampunan daripada dosa-dosanya.
6. Apabila selesai melakukakn semua itu, sebaik-baiknya ia bersembahyang dua
rakaat di belakang Maqam Ibrahim, iaitu dua rakaat tawaf: Sesudah dua rakaat
tawaf dia berdoa pula:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Permudahkanlah bagiku segala yang mudah, dan jauhkanlah daripadaku
segala susah dan ampunilah aku pada masa yang akan datang dan masa yang lalu.”

BAHAGIAN KELIMA: TERTIB MELAKUKAN SA’I

Apabila selesai melakukan tawaf, hendaklah ia keluar dari Babu-Shafa (Pintu Shafa), terus
menuju ke Bukit Shafa, lalu mendaki kaki bukit itu. Dari situlah ia memulakan Sa’inya antara
Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Sebelum itu hendaklah ia bersuci (berwudhu’) terlebih
dulu, kerana bersuci ketika bertawaf.

BAHAGIAN KEENAM: TERTIB WUKUF DAN SEBELUMNYA.

Seorang haji yang telah berada di Arafah di Hari Arafah tidaklah perlu melakukan Tawaful-
Qudum dan memasuki Makkah dulu sebelum selesai wukufnya di Arafah itu. Jika ia sampai di
Arafah beberapa hari sebelum hari wukuf, maka bolehlah ia membuat Tawaful-Qudum dulu,
kemudian ia pun tetap dalam ihramnya beberapa hari sebelum hari wukuf, maka bolehlah ia
membuat Tawaful-Qudum dulu, kemudian ia pun tetap dalam ihramnya, hingga hari ketujuh
dari Zulhijjah. Pada hari itu, Imam akan berpidato di Makkah selepas sembahyang zohor di
Ka’bah, seraya memberitahu orang ramai agar bersiap sedia untuk berangkat ke Mina pada Hari
Tarwiah (8 Zulhijjah) dan bermalam di situ. Pada paginya berangkat pula ke Arafah untuk
menunaikan fardhu wukuf di sana, iaitu selepas tergelincir matahari. Waktu wukuf itu bermula
dari tergelincirnya matahari pada 9 Zulhijjah berterusan hingga terbitnya Fajar Sadiq dan Hari
Raya Korban atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah).

Dalam masa berangkat ke Mina, hendaklah ia memperbanyakkan talbiah, lalu tidur malam iti di
Mina. Pada hari esoknya yakni Hari Arafah sesudah bersembahyang sebuh di sana, barulah
berangkat ke Arafah; iaitu setelah matahari terbit di senalik bukit. Hendaklah ia mandi terlebih
dulu sebelum wukuf dan menjamakkan kedua-dua sembahyang zohor dan asar dengan satu azan
dan du iqamah dan kedua-dua sembahyang itu hendaklah ditunaikan dengan qashar.

Di Arafah itu hendaklah ia memperbanyakkan pada sebutan berbagai-bagai tahmid (puji-


pujian), tasbih dan tahlil, memuji Allah azzawajalla dan berdoa serta bertaubat kepada Allah.
Janganlah hendaknya ia berpuasa pada hari itu, supaya ia kuat untuk meneruskan segala
amalan-amalan ini dan berdoa. Janganlah berhenti dari membaca apa saja yang dipandang
perlu, sambil memperbanyakkan istighfar (minta ampun) bagi dirinya dan kedua ibubapanya
serta sekalian kaum Muslimin dan Muslimat. Dalam berdoa itu hendaklah ia bersungguh-sungguh
bermohon dan membesarkan permintaannya itu sebab pada sisi Allah tiada sesuatu pun yang
dianggap besar, semuanya boleh dikabulkan jika Dia mahu.

BAHAGIAN KETUJUH: TERTIB PEKERJAAN HAJI YANG LAIN.

Apabila matahari Hari Arafah terbenam, hendaklah ia keluar dari Arafah dengan penuh tertib
dan tenang, sehingga apabila sampai saja di Muzdalifah, ia pun bersembahyang qashar dan
jamak antara maghrib dan isya’ pula, dengan satu azan dan dua iqamat seperti yang dibuat
sebelumnya. Kemudian ia bermalam pula di Mina pada malam itu. Di Muzdhalifah ia mengutip
sebanyak 70 butir batu kecil dan ringan untuk keperluan melempar jamrah nanti.

Sembahyang subuh pada hari itu, hendaklah ditunaikan leboh awal sedikit. Sesudah itu,
mulalah ia melangkah menuju Masy’aril Haram, iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah.
Di situ Haram iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ ia berdiri sambil terbit
matahari hingga sampai suatu tempat yang dipanggil “Wadi Muhassir”. Maka hendaklah ia
mempercepatkan gerakan kenderaannya, sehingga dapat mengelilingi Lembah Wadi Muhassir
tadi. Jika ia berjalan kaki, hendaklah ia mempercepatkan juga perjalanannya.

Apabila matahari Hari Raya telah terbit, hendaklah ia membaca talbiah dengan takbir Hari
Raya beriringan-iringan, yakni sekali masa dia bertabiah dan sekali masa lagi dia bertakbir,
sehinggalah ia sampai di Mina semula, di tempat-tempat melempar jamrah yang tiga itu. Pada
Jamratul-Ula (Jamrah Pertama) dan Jamratus-Tsaniah, (Jamrah Kedua) tidak ada apa-apa yang
wajib dilakukan pada Hari Raya itu, jadi sunnat hanya melaluinya saja sehingga sampai ke
Jamratul-Aqabah ini dengan sebanyak tujuh butir batu, mengangkat tangannya dengan
menghadap ke arah kiblat atau ke arah jamrah tersebut, sambil membaca pada setiap batu
yang mahu dilemparkan itu begini:

“Allah Maha Besar, Kulakukan ini kerana taat kepada Tuhan ar-Rahman dan menolak tipu daya
syaitan. Ya Allah! ya Tuhanku! Kulakukan ini kerana mempercayai kitabMu dan menurut
perjalanan NabiMu.”
Kemudian ia menyembelih pula korbannya, jika ada korban. Sebaik-baiknya korban itu
disembelih oleh tuan punya korban itu sendiri seraya membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Allah! Ya Tuhanku! Korbanku ini sebenarnya
daripadaMu dan atas namaMu aku mengorbankannya dan kepadaMu pula kembalinya korbanku
ini. Terimalah ia daripadaku sebagaimana Engkau menerimanya daripada kekasihMu Ibrahim.”
Adapun korban itu diutamakan dengan unta, kemudian lembu, kemudian kambing jenis biri-biri
lebih utama dari kambing biasa, yang putih lebih utama dari yang kelabu atau hitam. Dia boleh
memakan dagingnya jika korban tathawwu’, yakni bukan wajib. Dan janganlah hendaknya ia
menyembelih korban dari binatang yang tempang, yang cacat seperti terpotong telinga atau
kurus badannya.

Sesudah selesai berkorban, barulah ia menggunting rambut. Sebaik-baik selesai pula bergunting
dan melempar jamrah maka berhasillah baginya tahallul awal dan dengan itu halallah baginya
semua larangan-larangan yang tersebut tadi, kecuali bersetubuh dengan isteri dan akd nikah.

Kemudian bolehlah ia pergi ke Mekah untuk bertawaf menurut cara-cara yang telah diterangkan
sebelum ini. Tawaf ini ialah tawaf rukun Haji, dinamakan tawaf Ziarah, bermula waktunya dari
tengah malam Hari Raya Haji tetapi lebih utama dilakukan pada Hari Raya itu sendiri. Dia tiada
boleh bersetubuh dengan isteri, melainkan sesudah melakukan tawaf ini. Apabila selesai tawaf
ini, maka halallah baginya persetubuhan dengan isteri serta terangkatlah semua larangan-
larangan yang lain. Sekarang semua kerja-kerja haji telah selesai hanya tinggal lagi ialah
melempar batu pada hari-hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah – pent) dan bermalam di
Mina. Semua ini merupakan kewajiban yang mesti ditunaikan sesudah selesai ihram menurut
peraturan-peraturan haji.

Adapun sebab-sebab tahallul ialah tiga perkara:

(1) Melempar batu di Jamrah


(2) Mencukur rambut
(3) Membuat tawaf Rukun Haji

Jika orang haji telah melakukan dua dari tiga perkara di atas itu, maka ia telah beroleh tahallul
awal. Sebenarnya tiadalah menjadi salah kalau yang satu didahulukan dan yang lain
dikebelakangkan di antara ketiga-tiga perkara itu daripada penyembelihan korban, tetapi yang
sebaik-baiknya ia melempar jamrah dulu, kemudian menyembelih dan sesudah itu barulah
bercukur dan bertawaf.

Apabila selesai bertawaf ia kembali lagi ke Mina untuk bermalam di sana dan melempar jamrah
pada hari-hari berikutnya. Jadi hendaklah ia bermalam di Mina pada malam itu, dan pada
paginya iaitu hari kedua dari Raya haji setelah tergelincir matahari ia mandi sunnat kerana
melempar jamrah. Lalu menuju ke tempat Jamratul-Ula sambil melempar sebanyak tujuh butir
batu. Selesai melempar, hendaklah ia berdiri menghadap kiblat, seraya memuji Allah Ta’ala
dengan bertahlil dan bertakbir, dan seterusnya berdoa dengan hati yang hadir dan segala
anggota penuh khusyu’ dan khudhu’. Kemudian bergerak pula ke Jamratul Wusta dan melempar
lagi tujuh butir batu, seperti yang dibuat pada Jamratul-Ula tadi; selesai melempar ia berdoa
pula seperti yang dilakukan sebelumnya. Kemudian bergerak pula ke Jamratul –Aqabah dan
melakukan sama seperti sebelumnya juga.

Selesai melempar, kembalilah ia ke rumah dan bermalam di Mina pada hari itu. Esoknya setelah
menunaikan sembahyang zohor pada hari tasyrik yang kedua, pergilah ia sekali lagi pada
ketiga-tiga jamrah, lalu melempar lagi seperti yang dilakukan pada hari semalamnya, yakni
melempar lagi pada tiap-tiap satu jamrah tujuh butir batu; jadi jumlah lemparan kesemuanya
ialah 21 butir batu.

Sesudah selesai melempar pada hari tasyrik kedua ini, dia diberi pilihan sama ada mahu terus
tinggal di Mina semalam lagi ataupun kembali ke Makkah. Jika ia memilih meninggalkan Mina
maka mestilah dilakukannya sebelum matahari terbenam sedangkan ia masih berada di Mina,
maka tiadalah dibolehkan keluar lagi wajib menetap di Mina semalam lagi. Hingga ke hari
esoknya dan tiada boleh keluar melainkan sesudah melempar sebanyak 21 butir batu lagi,
seperti hari sebelumnya.

Meninggalkan tidur atau bermalam di Mina mewajibkan pengeluaran dam. Tetapi jika ia ingin
menziarahi Ka’bah pada malam hari dibolehkan hanya dengan syarat mestilah ia kembali tidur
di Mina. Hendaklah jangan sampai ia tertinggal sembahyang fardhu bersama-sama Imam di
Masjidil-Khaif, kerana kelebihan bersembahyang berjemaah di situ amatlah besar pahalanya.

BAHAGIAN KELAPAN: CARA-CARA UMRAH HINGGA TAWAFUL WADA`.

Orang yang ingin mengerjakan umrah sebelum berhaji atau sesudahnya, mula-mula hendaklah
ia mandi sunnat dan memakai pakaian ihram, dan seterusnya melakukan seperti cara-cara dia
melakukan pada haji, sebagaimana yang telah ditunjukkan cara-cara sebelum ini. Sesudah itu
hendaklah ia, berihram atau meniatkan umrah dari miqatnya. Seterusnya bertalbiah,
sembahyang dua rakaat dan berdoa apa saja yang dikehendakinya. Kemudian menuju ke Mekiah
dengan bertalbiah di sepanjang jalan, sehingga sampai ke Masjidil Haram. Sesudah masuk ke
dalam Masjidil-haram, dia berhenti dari bertalbiah seraya melakukan tawaf tujuh kali
berkeliling Ka’bah, sebagimana yang ditunjukkan mengenai tawaf haji sebelum ini. Selesai
bertawaf, lalu bersa’I pula, kemudian dia bercukur. Dengan itu sempurnalah pekerjaan
umrahnya itu.

Orang yang tinggal di Makkah, sewajarnya memperbanyakkan perkerjaan umrah dan tawaf.
Hendaklah ia meminum air zam-zam seberapa banyak, hingga kenyang dan puas.

BAHAGIAN KESEMBILAN: TAWAFUL-WADA`.

Apabila seseorang haji itu telah berniat mahu kembali ke negerinya sesudah selesai
menunaikan semua amalan hajinya, atau amalan umrahnya, terlebih dulu hendaklah ia
menyelesaikan semua urusan yang bersangkutan di situ. Kemudian ia menyediakan diri untuk
berangkat di situ. Kemudian ia menyediakan diri untuk berangkat pula, sehingga apabila semua
urusan-urusan ini telah selesai, barulah dia mengerjakan kerja yang terakhir, iaitu Tawaful-
Wada’ atau tawaf selamat tinggal. Tawaful-Wada` ini dilakukan sama seperti tawaf-tawaf yang
lain, hanya tiadalah ia bercepat-cepat atau berjalan perlahan-lahan, bahkan semuanya
dilakukan dengan langkah-langkah yang sama belaka dalam tujuh kali keliling itu.

Selesai saja tawaf selamat tinggal ini, hendaklah ia bersembahyang dua rakaat di belakang
Maqam Ibrahim, kemudian meminum pula air zamzam. Kemudian dia pergi ke Multazam, lalu
berdoa dengan sepenuh khusyu’ dan khudhu’ dengan doa berikut:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Peliharalah kesihatan tubuh badanku, dan keselamatan agamaku, dan
perbaikkanlah tujuan hatiku serta kurniakanlah aku ketaatan kepadaMu sepanjang umur yang
Engkau tetapkan bagiku. Saingkanlah bagiku kebaikan dunia dan akhirat, sesungguhnya Engkau
Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”

BAHAGIAN KESEPULUH: ZIARAH KE MADINAH DAN TERTIBNYA

Barangsiapa yang menuju ke Madinah kerana tujuan berziarah, maka hendaklah ia


memperbanyakkan selawa ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. di sepanjang
perjalanannya ke sana. Sebelum masuk berziarah Nabi, sewajarnya dia mandi terlebih dulu,
kemudian memakai sebersih-bersihnya pakaian dan memakai wangi-wangian.
Apabila masuk ke dalam masjid hendaklah bersikap merendah diri dengan penuh
penghormatan, terus menuju ke minbar lalu bersembahyang dua rakaat di sisi minbar itu.
Kemudian ia pergi pula ke Maqam Nabi s.a.w. sambil berdiri menghadapnya dengan
membelakangkan kiblat dan berhadapan dengan dinding maqam itu lebih kurang sejarak empat
hasta dari tiang-tiang yang ada berdekatan dengan dinding di situ ataupun menciumnya, sebab
kelakuan serupa itu adalah warisan dari adat kaum Nasrani dan yahudi. Yang patut di buat
hanya berdiri saja dari jauh, kerana yang demikian itu adalah lebih baik untuk memberikan
penghormatannya. Setelah berdiri lalu memberi salam:

Salam sejahtera ke atasmu, duhai Rasulullah!


Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Allah!
Salam sejahtera ke atasmu, duhaikepercayaan Allah!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi kesayangan Allah!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai pilihan Allah!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai Abul Qasim!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai penghulu para Rasul!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai penutup para Nabi !
Salam sejahtera ke atasmu, duhai pengutus Tuhan Semesta Alam!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai pemimpin kebaikan!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai pembuka segala kebajikan!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai Nabi Rahmat!
Salam sejahtera ke atasmu, duhai petunjuk ummat!
Salam sejahtera ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu dan para sahabatmu yang
baik-baik.

Mudah-mudahan Allah akan memberikan kepadamu sebaik-baik balasan yang pernah diberikan
kepada seorang Nabi daripada kaumnya, dan kepada seorang rasul daripada ummatnya. Moga-
moga Allah merahmatimu dengan setinggi dan sempurna salawatnya yang tiada pernah
dianugerahkanNya kepada seseorang pun dari makhlukNya. Begitu pula kami berlindung diri
denganmu daripada kesesatan, memelihara pemandangan kami dari kebutaan dan menjaga
petunjuk yangada pada kami dari kebodohan. Aku bersaksi bahawasanya engkau telah pun
menyampaikan perutusan, engkau telah tunaikan amanat, engkau telah menasihatkan ummat,
engkau telah menentang musuhmu, engkau telah menunjuki ummatmu, engkau telah
menyembah Tuhanmu, sehingga tiba kepadamu keyakinan moga-moga Allah memberikan
rahmatNya ke atasmu, dan ke atas sekalian keluargamu yang baik-baik, juga memberikan
keselamatan keutamaan kemuliaan dan kebesaran.

Sesudah itu dia berundur sedikit kira-kira sehasta, lalu memberi salam kepada Saiyidina Abu
Bakar as-Siddiq r.a. Kemudian berundur lagi kira-kira sehasta memberi salam pula kepada
Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. Pada kedua-duanya, dia berkata:

“Salam sejahtera ke atas kamu kedua, wahai Menteri-menteri Rasulullah s.a.w dan pembanatu-
pembantunya untuk mendirikan agama sewaktu hayatnya dan orang-orang yang mengambil
berat terhadap ummatnya dalam urusan-urusan agama sesudah kepergiannya. Kamu kedua
telah menurut jejak langkahnya, dan berbuat dengan sunnatnya (perjalanannya), moga-moga
Allah membalas kamu kedua dengan balasan paling layak diberikan kepada dua Menteri Nabi
yang melindungi agamaNya.

Kemudian dia beredar pula ke Raudhah untuk bersembahyang dua rakaat di situ dan hendaklah
memperbanyakkan berdoa seberapa boleh, setelah itu,, baik baginya mengunjungi Bukit Uhud
dan menziarah maqam-maqam para syuhada di situ. Juga baik baginya menziarahi Baqi’
(Perkuburan Madinah) serta menziarahi maqam orang-orang yang termulia di situ. Kalau boleh
setiap hari Sabtu, dia pergi pula ke Masjid Quba’ untuk bersembahyang di sana, Jika boleh
tinggal di Madinah dengan menjaga perkhidmatan di situ, adalah pahalanya besar sekali.
Sesudah itu bila ingin meninggalkan Kota Madinah, sunnat baginya mendatangi sekali lagi
Maqam Rasulullah s.a.w yang mulia dan mengulangi doa yang dibaca waktu mula-mula ia
berziarah dulu, dan jangan lupa pula berdoa kepada Allah meminta agar dapat kembali semula
ke Madinah. Kemudian dia bersembahyanglah dua rakaat di Raudhah. Apabila keluar dari
Raudhah, hendaklah dimulakan langkahnya dengan kaki kiri kemudian kanan, dan akhir sekali
sebelum meninggalkan Kota Madinah itu, hendaklah ia bersedekah kepada jiran-jiran Rasulullah
s.a.w di situ dengan kadar yang termampu.

Sunnat-sunnat kembali dari pelayaran.

Dalam perjalanan pulang setiap kali bertemu dengan tanah tinggi, hendaklah dia bertakbir tiga
kali dengan berkata:

“Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan
segala puji-pujian dan Dia adalah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kami sekalian dalam
keadaan kembali kepada Allah bertaubat kepadaNya, menyembahNya, sujud kepadaNya serta
memuji-mujiNya”.
Apabila telah hampir sampai ke negerinya, hendaklah melambatkan kenderaannya, lalu
mengirim seorang untuk memberitahukan keluarganya akan kedatangannya, agar mereka tiada
terperanjat dengan kedatangannya secara tiba-tiba saja. Janganlah hendaknya dia mendatangi
keluarganya di sebelah malam bila sampai di waktu malam.

Apabila sampai saja di negerinya mula-mula hendaklah ia menuju masjid untuk bersembahyang
dua rakaat. Kemudian apabila telah sampai di rumahnya, sayugialah jangan sampai melupakan
segala nikmat-nikmat yang telah dikurniakan Allah kepadanya daripada menziarahi haramnya;*
iaitu Makkah dan Madinah dan menziarahi juga maqam (kubur) Nabi Besar Muhammad s.a.w.

* Haram: Dengan dibaca ra’nya pendek sedikit, bererti Tanah Suci Makkah dan Madinah yang
telah terpelihara daripada segala kekotoran.
Tanda mengkufuri nikmat ini atau melupakannya, ialah dengan ia kembali semua kepada
kelalaian dan mengikut hawa nafsu serat semakin suka membuat maksiat-maksiat, kerana itu
bukanlah tandanya haji mabrur atau haji yang diterima oleh Allah Ta’ala. Bahkan tandanya haji
yang diterima itu, ialah dengan semakin cenderung hatinya dan gerak-kerinya kepada amalan-
amalan akhirat serta meyiapkan diri untuk menemui Tuhan yang memiliki Rumah Allah; iaitu
Ka’bah setelah baru saja bertemu dengan RumahNya itu.

Tertib kesopanan dan amalan-amalan kebatinan.

Tata-tertib kesopanan yang khas dalam amalan haji itu ada tujuh perkara:

Pertama: Hendaklah nafkah yang dibelanjakan itu dari harta yang halal, manakala segala
perhatian dan tujuannya hanya semata-mata untuk Allah Ta’ala saja dan kerana membesarkan
syiar-syiarNya. Orang yang menghajikan orang lain, hendaklah berniat bagi dirinya Baitullah
Ta’ala dan menolong saudaranya yang muslim untuk menunaikan Fardhu Haji yang wajib ke
atasnya, bukan kerana tujuan mencari untung atau berniaga dengan menggunakan agama untuk
mencapai tujuan dunia. Jadi samalah seperti orang yang mencari dunianya dengan menjual
amalan akhirat. bahkan yang sepatutnya dia menggunakan kesempatan keduniaan itu untuk
mencapai tujuan agama, yakni dapat berhaji dan berziarah sekaligus.

Kedua: meluaskan persediaan dalam makan-minum dan murah hati dalam membuat budi dan
membelanjakan harta dengan bersedekah tidak terlalu lokek ataupun telalu boros, tetapi
dengan sedeharhana saja menurut cara orang yang beriktisad. Membelanjakan wang dalam
makan-minum kerana tujuan hai adalah nafkah yang dikeluarkan untuk jalan Allah azzawajalla,
tentulah pahalanya berlipat ganda. Ibnu Umar berkata: Tanda-tanda murah hati manusia ialah
memewahkan makan-minumnya dalam pelayaran.

Ketiga: Meninggalkan rafats, fusuq dan jidal, iaitu denga nas al-Quran al-Karim. Rafats: ialah
kata-kata sia-sia yang tidak ada faedahnya ataupun cakap-cakap kotor, termasuk bergurau
senda dengan kaum wanita dan bermain-main dengan mereka atau berbual-bual mengenai
jimak (persetubuhan) atau cumbu-cumbuan, kerana semua itu akan memberangsangkan kepada
melakukan perbuatan itu sedangkan ini dilarang dalam masa berihram dengan haji atau umrah.
Tegasnya memberangsangkan untuk melakukan yang dilarang adalah ditegah. Fusuq: ialah
segala macam perbuatan yang boleh menarik manusia terkeluar dari mentaati Allah
azzawajalla. Dan akhir sekli jidfal, iaitu berlebih-lebihan dalam permusuhan atau perselisihan
yang membawa kepada hasad benci membenci yang bertentangan dengan budi pekerti yang
luhur. Janganlah hendaknya dia terlalu membangkang sangat terhadap teman-teman
seperjalananya ataupu tukang-tukang kenderaan.* dan sahabat-sahabat yang lain.

______________
1. Dulu ketua yang memimpin Kafilah Haji. Sekarang bolehlah diambil tempatnya oleh
Syaikh Haji. Dalam pada itu, jangan pula Syaikh Haji membuat kesempatan untuk menindas
para haji itu dengan adanya rukhshah ini – pent

Bahkan sebaik-baiknya, hendaklah ia berlemah-lembut kepada mereka dan merendahkan diri


kepada sekalian jemaah haji yang sama-sama pergi ke Baitullah itu. Hendaklah ia sentiasa
berbudi pekerti tinggi dan berbudi pekerti tinggi itu bukanlah hanya menahan diri dari
melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain saja, bahkan sanggup bersabar dan
menanggung segala sesuatu dari orang lain yang menyakiti diri sendiri.

Keempat: Hendaklah ia meninggalkan pakaian orang-orang yang boros dan takabbur, jangan
sampai cenderung berlagak seperti orang yang suka berlebih-lebihan atau menunjuk-nunjukkan
diri, niscaya ia akan terkira di dalam golongan orang takabbur dan terkeluar pula dari kumpulan
orang yang saleh. Tersebut di dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya orang haji itu ialah orang yang serembah-serembih (iaitu orang yang tidak
selalu mempersolekkan diri).”
Allah telah berfirman:

“Kemudian hendaklah mereka membersihkan keadaan diri mereka.”


Serembah-serembih atau tidak mementingkan kebersihan diri itu disebabkan penumpuan
amalan haji, dan membersihkannya dengan bercukur, memendekkan misai dan memotong kuku.

Kelima: Hendaklah ia menaruh belas kasihan terhadap binatang dan jangan membebankannnya
barang-barang yang terlalu berat, sehingga tiada tertahan baginya untuk menanggung. Jangan
juga menunggang ke atasnya terlalu lama sangat, bahkan hendaklah sekali-kali ia turun dari
belakangnya untuk menunjukkan timbang rasanya terhadap binatang itu.

Keenam: Hendaklah ia mendekatkan diri kepada Allah dengan mengalirkan darah (menyembelih
kerana korban), meskipun tidak wajib ke atasnya. Bila berkorban hendaklah memilih binatang
yang gemuk dan yang berharga. Dia boleh memakan dagingnya, jika ia berkorban Tathawwu’
(korban sukarela). Maksud dari pengorbanan itu bukanlah dagingnya, tetapi untuk
membersihkan diri dan mensucikannya dari sifat kikir dan menghiaskannya dengan keindahan
pentakziman Allah azzawajalla. Allh berfirman:

“Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya (korban) atau darahnya, akan tetapi yang
akan sampai kepada Allah ialah taqwa kamu.” (al-Haj:37)
Ketujuh: Hendaklah segala yang dibelanjakannya itu dari jiwa yang suci murni, sama ada
merupakan perbelanjaan mahupun korna dan ia redha atas segala kerugian dan kecelakaan
pada harta dan badan yang mungkin menimpanya. Pada tiap-tiap kesusahan yang diterimanya
aatau kerugian yang mengenainya akan dibalasa dengan pahala tiada suatu pun yang bakal
hilang di sisi Allah kelak. Ada yang berkata bahawa tanda-tanda kabulnya haji seseorang itu
ialah meninggalkan segala yang ada pada dirinya dari maksiat-maksiat. Dan ia akan menukarkan
rakan-rakan yang jahat dengan rakan-rakan yang saleh dan menukarkan tabiat suka berlabun-
labun dalam kumpulan-kumpulan orang yang bersenda-gurauan dan lalai kepada majlis-majlis
bersikir terhadap Allaah Ta’ala dan mempunyai kesedaran diri.

Amalan haji yang batin, rahsianya dan tujuannya.

Boleh dikatakan pada setial amalan haji itu ada peringatan bagi orang yang ingin mengambil
ingatan daripanya, dan contoh tauladan bagi orang yang ingin mengambil ibarat. Apabila
terbuka saja pintunya akan tersingkaplah segala rahsia dan muncullah perkara-perkara yang
diperlukan untuk mensucikan hati disamping memperkuatkan fikiran. Allah s.w.t. telah
memuliakan al-Baitul atiq (Ka’bah) di samping ZatNya yang agung dan menentukan Rumah Suci
itu sebagai tempat tujuan untuk sekalian hamba-hambaNya. Kemudian dijadikan pula tanah-
tanah di sekitarnya sebagai tanah haram yang suci bagi rumahNya untuk menandakan
kebesaran dan kesucian tempat itu. Lalu dikuatkan lagi perkaranya dengan mengharamkan
binatangnya dari diburu dan pohon-pohonnya dari dipotong. Dijadikan rumah itu sebagai balai
persembahan raja-raja yang didatangi oleh para penziarah dari segala rantau yang jauh, dan
dari arah yang terpencil, dalam keadaan kusut-masai, tidak teratur merendahkan diri kepada
Tuan punya Rumah Suci itu, semata-mata kerana menghinakan diri terhadap keagunganNya,
dengan pengakuan untuk menjauhkan ZatNya daripada dikelilingi oleh sesebuah rumah atau
dilingkari oelh sesebuah negeri, agar yang demikian itu menjadi lebih tepat dalam perhambaan
dan ubudiah mereka terhadap Allah Ta’ala dan menjadi lebih sempurna dalam menundukkan
mereka dan menarik mereka untuk menurut.

Ketika berihram dan bertalbiah terdapat penyahutan terhadap seruan Allah


azzawajalla.
Ketika masuk Makkah terdapat peringatan tentang ketibaan ke Haram Allah, maka
hendaklah ia merasa bimbang kalau-kalau ia bukan ahli yang boleh mendekatkan diri ke situ,
dan hendaklah ia berharap rahmat Allah.

Ketika melihat Rumah Suci akan mengingatkan kebesaran Rumah itu di dalam hati dan
meletakkan penuh harapan untuk dapat melihat Allah, Tuhan kepada Rumah Suci itu, kerana
perasaan mengagungkan yang timbul dalam hati terhadap Rumah itu.
Ketika bertawaf mengelilingi Rumah Allah itu sepatutnya ia merasakan dirinya seperti
para Malaikat Muqarrabin yang sentiasa berada di sekitar Arasy Allah Ta’ala dan sedang
bertawaf di sekelilingnya. Seterusnya maksud dari bertawaf itu bukanlah tawafnya tubuh badan
yang kasar, malah tawafnya hati sanubari dengan mengingat kepada Tuhan.
Ketika bergayut pada tabir-tabir Ka’abah dan melekapkan tubuh di al-Multazam,
melambangkan permintaan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. kerana kecintaan dan
perasaan rindu kepada Rumah Allah itu dan Tuan Punya Rumah tersebut dan mengambil
keberkatan dengan berdekatan dan bersentuhan itu. Seterusnya untuk mengulang sekali lagi
permintaan keampunan dan keamanan dari Allah Ta’ala, laksana seorang yang banyak dosanya
sedang berpaut pada baju orang yang berdosa kepadanya, mengharapkan dengan penuh rendah
diri akan keampunannya, seraya menunjukkan bahawa tiada tempat lain yang ia boleh
berlindung lagi, melainkan kepada orang itu saja. Jadi dia tiada akan melepaskan orang itu,
walau bagaimana sekalian melainkan sesudah mendapat keampunan dan keredhaan darinya.
Ketika Sa’I antara Shafa dan Marwah, melambangkan betapa seseorang hamba itu
sentiasa dalam kebimbangan tentang kemusnahan harta miliknya, dengan berulang kali pergi
dan kembali untuk menunjukkan keikhlasan dan perkhidmatannya, sambil mengharapkan
perhatian Tuhan dengan pandangan penuh rahmat dan belasa kasihan, laksana seorang rakyat
biasa yang datang untuk menghadap raja, kemudian keluar semula, sedangkan dia tiada
mengetahui apa yang akan diputuskan oleh raja itu terhadap permohonannya sama asa
dikabulkannya atau ditolaknya. Maka orang tersebut terus berulang alik di halaman Istana raja
itu pergi dan kembali, membawa harapan agar ia akan dirahmati oleh Raja dan dibelas
kasihaninya pada kali ini, kiranya sebentar tadi permohonannya telah ditolak.

Ketika menyempurnakan wukuf di Arafah dengan melihat manusia begitu ramai sekali,
yang telah berkumpul dengan suara yang dilaungkan dalam berbagi bahasa dunia, akan
mengingatkan tentang perkumpulan semua ummat nanti di padang yang amat luas di Hari
Kiamat. Hal Keadaan di situ tentu akan membingungkan semua manusia di sebidang tanah yang
terbentang luas itu; masing-masing memikirkan tentang amalannya sendiri, sama ada ditolak
atau dikabul. Bila teringat terhadap segala peristiwa yang akan berlaku di hari itu nanti,
tentulah hati akan menjadi kecut, sentiasa akan memilih kerendahan diri dan berserah
sepenuhnya kepada Allah azzawajalla. Juga ia akan mengharapkan moda-moga akan
dikumpulkan di Hari Mahsyar nanti ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan
dirahmati, manakala keyakinannya kuat sekali, bahawa segala yang diharp-harapkan itu akan
dikabulkanNya. Tiada syak lagi, kerana tempat itu amat mulia sekali. Kerahmatan itu biasanya
datang dari hadrat yang Maha Besar kepada sekalian manusia, melalui hati yang bersih,
manakala di tempat itu tentu sekali tidak kurang banyaknya para Salihin dan orang-orang yang
mempunyai hati nurani yang suci, menurut tingkatan-tingkatan mereka. Mereka sekalian telah
berkumpul dengan satu tujuan, iaitu untuk menundukkan diri kepada Allah yang Maha Agung
dan membersihkan hati mereka dari segala sesutau selain memohon dan mengharap dengan
mengangkat tangan kepada Allah s.w.t. dan menengadahkan muka kepadaNya, sedangkan mata
mereka tidak berkelip-kelip lagi, memandang ke arah langit, bersatu kata dan hati, untuk
memohon kerahmatan dan belas kasihan Allah. Dalam keadaan yang serupa itu, janganlah
hendaknya ada orang yang menyangka, bahawa Allah s.w.t akan mengecewakan harapan
mereka, atau mensia-siakan usaha mereka, ataupun menahan dari mencurahkan rahmat-
rahmatNya yang tak terhingga ke atas mereka.

Ketika melempar batu-batu itu, menggambarkan betapa seorang hamba itu akan
menurut perintah tanpa banyak bicara dan menunjukkan sikap perhambaan dan ubudiahnya.
Ketika melempar itu hendaklah ia bermaksud melempar wajah syaitan dan menetak
belakangnya, supaya dirinya terpelihara dari godaan dan tipu dayanya.

Ketika melakukan ziarah ke Madinah dan menyaksikan sekitarnya akan mengingatkan kita
kepada negeri yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk NabiNya s.a.w. berhijrah ke situ dan mencari
perlindungan diri dan agama di dalam naunganNya. Di situ juga tempat yang dipilih oleh Allah
s.w.t untuk mensyariatkan berbagai-bagai perintah yang fardhu yang sunnat dan seterusnya. Di
situ jugalah diperintahkan ke atas Rasulullah s.a.w. untuk berjihad menetang mush-musuh yang
mengancamnya, sehingga agama disebarkan itu menjadi kenyataan dan terkenal kepada orang
ramai, sampailah akhirnya baginda menemui ajalnya dan dimaqamkan di situ pula. Pendek kata
negeri Madinah itu merupakan tempat yang dipilih oleh Allah s.w.t. bagi NabiNya s.a.w. dan
bagi orang-orang Muslimin yang pertama dan utama. Di situlah pula segala perintah-perintah
Allah s.w.t mula dikuatkusakan. Di situ juga terkumpul sekalian makhluk Allah yang utama,
dalam masa hidup mahupun sesudah mati, masing-masing dengan kemuliaan dan kelebihannya
yang tiada tanding dan taranya.

Anda mungkin juga menyukai