Anda di halaman 1dari 14

Kitab Adab Pernikahan

Kitab
Adab Pernikahan

Untuk menggalakkan pernikahan, Allah s.w.t telah berfirman:

“Dan kahwinkanlah orang bersendirian (belum kahwin) di antara kamu” (an-Nur: 32)

Ayat di atas menunjukkan suatu perintah ke atas orang yang belum pernah berkahwin supaya
berkahwin.

FirmanNya yang lain:

“Maka janganlah kamu menghalang-halangi wanita-wanita untuk berkahwin semula


dengan suami-suami mereka.” (al-Baqarah: 232)

Ayat yang tersebut di atas pula melarang untuk menghalang wanita-wanita yang diceraikan oleh
suami-suami mereka untuk kembali berkahwin semula dengan mereka.

Kemudian Allah s.w.t. telah berfirman lagi dalam menghuraikan sifat-sifat para Rasul dan
memuji sikap mereka:

“Dan kami (Allah) sungguh-sungguh telah mengutus Rasul-rasul sebelum engkau dan
Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (ar-Ra’ad: 38)

Allah s.w.t. telah menyebutkan yang demikian itu untuk menunjukkan tanda limpah kurniaNya
serta melahirkan kelebihanNya. Kemudian Allah s.w.t juga memuji para waliNya dengan suatu
permohonan dalam bentuk doa sebagaimana firmanNya:

“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah Kami dari isteri-
isteri dan keturunan kami cahayamata kami.” (al-Furqan: 74)

Di antara Hadis pula, sabda Rasulullah s.a.w.:

“Nikah itu adalah sunnatku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnatku, nescaya
telah membenci aku.”

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin


kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan
barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah
dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab digalakkan berkahwin itu supaya terhindar dari
kecelakaan yang mungkin dilakukan oleh mata dan kemaluan. Sebab itulah bagi orang yang tak
mampu pula digalakkan supaya berpuasa, kerana puasa itu akan melemahkan anggota seks.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang
agamanya dan amanatnya, maka sebaik-baiknya kamu mengahwinkannya saja. Jika
tidak dikhuatiri akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”
Hadis ini juga menunjukkan sebab mengapa perkahwinan itu harus digalakkan kerana ditakuti
berlaku perkara yang tak baik.

Bersabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap amalan anak Adam akan terputus melainkan tiga saja (salah satunya) anak
yang saleh mendoakannya.”

Anak tidak akan terhasil, melainkan dengan berkahwin.

Adapun yang mengenai atsar pula, maka telah berkata Ibnu Abbas r.a.: Tidak sempurna ibadat
orang yang beribadat sehingga ia berkahwin. Mungkin sekali Ibnu Abbas telah menjadikan
syarat berkahwin itu sebagai sebahagian dari ibadat atau sebagai menyempurnakan ibadat
ataupun barangkali beliau bermaksud bahawa hati seseorang itu tidak dapat mengalahkan
syahwat melainkan dengan berkahwin dan ibadat pula tidak akan sempurna melainkan dengan
ketetapan dan ketenangan hati. Ibnu Abbas selalu mengumpulkan anak-anak buahnya bila
mereka telah menginjak alam dewasa seraya berkata kepada mereka: Kamu sekalian telah
dewasa. Kalau kamu sekalian ingin berkahwin, aku bersedia untuk mengahwinkan kamu. Sebab
apabila seorang hamba itu berzina akan tercabutlah cahayan keimanan dari hatinya.

Adapun faedah-faedah perkahwinan ada lima iaitu:

(1) Mendapat anak’


(2) Mematahkan syahwat
(3) Mentadbirkan rumahtangga
(4) Membiakkan keluarga
(5) Menggiatkan diri untuk memenuhi keperluan.

Hal-hal yang harus diperhatikan bila memilih jodoh.

Hal-hal baik harus diperhatikan untuk mencapai kehidupan yang tenteram yang berkaitan
dengan persoalan wanita supaya ikatan perkahwinan menjadi kekal serta tujuan-tujuan yang
baik dari perkahwinan itu akan tercapai ialah delapan perkara:

(1) Agama
(2) Kelakuan
(3) Kecantikan
(4) Ringan maskahwin
(5) Boleh melahirkan anak (tidak mandul)
(6) Perawan
(7) Keturunan baik
(8) Bukan keluarga yang dekat

Berikut keterangan lanjut mengenai perkara-perkara ini secara satu persatu:

Pertama: Hendaklah isteri itu seorang yang saleh dan berpegang teguh kepada agama. Inilah
tujuan utama perkahwinan yang harus diambil berat. Sebab sekiranya isteri itu lemah
agamanya, bagaimana dapat ia memelihara diri dan maruahnya. Kalaulah berlaku sesuatu
kecemaran yang menyentuh kehormatan dirinya, tentulah muka suami akan terconteng arang,
sedang hatinya akan tergoda oleh perasaan cemburu, manakala kehidupannya ketika itu akan
menjadi sempit. Kemudian jika si suami mengikutkan kata hati yang penuh dengan cemburu
itu, tentulah akan porak-peranda seluruh kehidupannya, dan jika dia mengambil sikap
mempermudahkan tentang perkara yang berlaku, tentulah dia akan dituduh mengambil sikap
enteng saja tentang agama dan maruahnya, dan akan dituduh sebagai suami yang dayus.
Walhasil si suami akan berada dalam keadaan yang serba-salah sekali. Demikian pula sifat
wanita yang rosak agamanya akan sering mempermain-mainkan harta benda suaminya atau
sebagainya, sehingga hidup si suami dengannya akan sentiasa kurang tenteram. Jika suami
terus mendiamkan diri dan tidak melarang kelakuannya, nescaya ia menjadi kongsi dalam
maksiat dengan isterinya dan berarti menentang firman Allah Ta’ala.

“Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka.” (at-Tahrim: 6)

Jika si suami menegah si isteri dan melarang kemahuannya akan timbul pula pertengkaran
sehingga boleh memendekkan umur si suami. Sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat-sangat
menggalakkan dan meransang supaya memilih wanita yang kukuh agamanya. Baginda bersabda:

“Wanita itu dikahwini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau


agamanya, maka hendaklah anda memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya
anda akan bernasib baik.”

Kedua: Baik budi pekertinya, sebab jika isteri itu banyak mulutnya, lidahnya suka menyebut
kata-kata yang rendah, suka mengingkari nikmat, nescaya akan lahir daripadanya lebih banyak
bahaya daripada manfaat. Kesabaran atas lidah kaum wanita seumpama ini adalah suatu
cubaan yang biasanya dicubakan oleh Allah ke tasa para aulianya.

Ketiga: Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan
terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri
yang buruk rupa. Apa yang kamu sebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah
berarti melarang memilih yang cantik rupanya, bahkan yang dilarang ialah memilih yang cantik
semata-mata tanpa mementingkan perkara agama. Sebab biasanya wanita yang cantik itu
menarik orang kepada perkahwinan, sedangkan urusan keagamaannya sering diletakkan di
belakang saja. Jadi anjuran untuk memilih isteri yang cantik itu untuk menjaga rumahtangga
menjadi rukun dan damai. Malah syariat sering mementingkan supaya memerhatikan sebab-
sebab kerukunan rumahtangga antara suami dan isteri, kerana itulah disunnatkan melihat bakal
isteri sebelum berkahwin, sebagai mana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah
dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk
mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

Setengah para ahli wara’ tidak akan mengahwinkan anak-anak perempuan mereka melainkan
setelah dilihat oleh calon-calon suaminya untuk memelihara diri dari tuduhan menipu.

Berkata al-A’masy: Semua perkahwinan dijalankan tanpa diberi peluang kepada calon suami
untuk melihat terlebih dulu akan berkesudahan dengan kesusahan dan kekesalan.

Pernah diriwayatkan, seorang lelaki berkahwin dalam zaman Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a.
Orang ini mengecat rambutnya yang beruban itu sehingga kelihatan sebagai seorang anak
muda. Apabila ternyata perkara itu kemudiannya, keluarga si isteri pun mengadu kepada
khalifah Umar, kata mereka: Kita menyangka ia seorang anak muda. Maka oleh Umar dipukulnya
orang itu sehingga ia mengaduh. Khalifah berkata: Engkau telah menipu keluarga isterimu.

Penipuan serupa itu boleh berlaku pada perkara kecantikan dan budi pekerti. Maka
sewajarnyalah dilenyapkan tipu daya dalam kecantikan itu dengan diberi tontonan terlebih
dulu. Dalam akhlak dan budi pekerti pula, dapat diketahui dengan ditanyakan kepada orang
lain ataupun dengan menyaksikan sendiri orangnya. Dan janganlah seseorang itu berani
menceritakan kelakuan orang lain, melainkan ia memang benar-benar seorang bijaksana dan
mengetahui selok-belok orang yang diceritakan itu secara lahir dan batin, tidak cenderung
kepadanya lalu dipuji secara berlebih-lebihan, dan tidak pula membenci sehingga ia
mencacinya dan mengatakan yang bukan-bukan. Sebenarnya memang sukar sekali ditemui
seorang orang menikmati syarat-syarat ini, dan biasanya amat jarang pula seseorang itu dapat
bercakap benar dalam perkara serupa ini, malaj kebohongan dan pengeliruan sering melanda
suasana ini. Maka sayugialah bagi orang yang ingin menjaga diri, haruslah berhati-hati dalam
perkara seumpama ini.

Keempat: Hendaklah maskahwin si isteri tidak memberatkan kerana memang dilarang oleh
agama untuk memahal-mahalkan maskahwin. Setengah para sahabat berkahwin dengan
maskahwinnya emas seberat biji kurma yang dianggarkan berharga tidak lebih dari dari lima
dirham. Saib Ibnul-Musaiyab mengahwinkan puterinya kepada Abu Hurairaah r.a dengan
maskahwinnya sebanyak dua dirham saja, kemudian dia pun menghantarkan puterinya itu
kepada Abu Hurairah pada malam itu juga dan setelah diserahkannya di rumah Abu Hurairah
lalu dia kembali, Said tidak kembali lagi ke rumah Abu Hurairah itu melainkan setelah berlalu
tujuh hari untuk bertanyakan khabar saja.

Ada sebuah Hadis yang mengatakan bahawa antara keberkahan seorang wanita ialah
melekaskan perkahwinannnya sehingga ia dapat melahirkan anak dan ringan pula
maskahwinnya. Sebagaimana makruh hukumnya memahalkan maskahwin wanita ke atas lelaki,
demikian pula makruh hukumnya bertanyakan harta kekayaan wanita oleh lelaki. Tidak
sewajarnyalah bagi lelaki untuk menikahi seorang wanita, kerana tamak pada harta
kekayaannya semata-mata. Jika lelaki memberikan hadiah kepada keluarga siwanita, maka
janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita, maka janganlah ia mengharapkan
balasan dari pihak wanita, maka janganlah ia mengharapkan balasan dari pihak wanita dengan
hadiah-hadiah yang lebih banyak lagi. Demikianlah pula halnya dengan pihak wanita, kerana
niat menginginkan balasan adalah suatu niat yang tidak baik, dan termasuk ke dalam larangan
maksud ayat berikut:

“Janganlah engkau memberikan lantaran menginginkan balasan yang lebih banyak.”


(al-Muddatstsir: 6)

Kelima: Hendaklah ia mengetahui, bahawasanya si wanita itu boleh melahirkan anak, kiranya
diketahui kemandulannya, maka hendaklah ia menahan diri dari berkahwin dengannya.

Keenam: Hendaklah wanita itu seorang gadis. Berkata Rasulullah s.a.w. kepada Jabir yang baru
menikahi seorang janda: “Mengapa tidak menikahi si gadis yang boleh engkau bergurau senda
denganmu.”

Ketujuh: Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang
terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab
wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik putera-puterinya
pada jalan yang diredhai oleh Allah dan RasulNya. Andaikata ia seorang yang tidak
berpendidikan bagaimana ia dapat mendidik dan memelihara anak-anaknya. Dalam sebuah
Hadis: “Pilih-pilihlah tempat meletakkan air mani kamu, kerana urat itu beradu.”

Kedelapan: Hendaklah wanita itu bukan dari kerabat yang dekat, sebab yang demikian itu akan
mengurangkan syahwat, sedangkan itu merupakan perkara utama yang menarik kepada wanita.

Tugas Wali

Seorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan dan geraklaku calon suami, jangan sampai
mengahwinkan puterinya kepada seorang lelaki yang cacat atau buruk budi pekertinya, ataupun
lemah agamanya. Begitu juga seorang lelaki yang tidak mempunyai tanggungjawab, ataupun
yang tidak sekutu dengan kedudukannya. Apabila ia mengahwinkan puterinya dengan seorang
zalim atau fasik atau yang lemah agamanya atau peminum arak, maka ia telah melanggar
printah agamanya dan ketika itu akan terdedahlah kepada kemurkaan Allah Ta’ala kerana ia
telah mencuaikan persoalan silatur-rahmi (perhubungan tali kerabat) dan telah memilih jalan
yang salah.

Seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada al-Hasn, katang: Telah banyak orang yang
datnag meminangi puteriku, tetapi aku tak tahu siapa yang harus kukahwinkan dia. Berkata al-
Hasan: Kahwinkanlah puterimu itu dengan orang yang banyak taqwanya kepada Allah.
Andaikata suaminya membencinya, nescaya tiada dianiayainya.

ADAB PERGAULAN SUAMI-ISTERI SEJAK PERKAHWINAN

Kewajiban suami

Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan kesopanan dalam dua belas
perkara iaitu:

(1) Walimatul’urus (undangan perkahwinan)


(2) Pergaulan
(3) Bersenda-gurauan
(4) Pimpinan
(5) Kecemburuan
(6) Pemberian Nafkah
(7) Pengajaran
(8) Pembahagian (kalau isteri lebih dari satu)
(9) Pendidikan sewaktu berlaku penyelewengan
(10) Persetubuhan
(11) Kelahiran anak
(12) Perceraian dengan talaq

Pertama: Mengadakan walimah atau undangan adalah sunnat hukumnya


Berkata Anas r.a.: Apabila Rasulullah s.a.w melihat tanda inai pada Abdul Rahman bin Auf r.a.,
baginda bertanya: Apa ini? Abdul Rahman menjawab: Saya telah menikmati seorang wanita
dengan maskahwin emas seberat biji kurma. Maka Rasulullah s.a.w pun mendoakan bagi Abdul
Rahman:

“Moga-moga Allah memberkati anda! Adakanlah walimah, walaupun dengan


makan roti dan kurma.

Selain itu sunnat memberikan tahniah (ucapan selamat pengantin baru) kepada orang yang baru
berkahwin. Seorang yang berjumpa dengan pengantin lelaki mengucapkan:

“Moga-moga Allah memberikan keberkahan kepadamu dan keberkahan untukmu dan


menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Sunnat juga mengisytiharkan perkahwinan kepada orang ramai supaya diketahui. Bersabda
Rasulullah s.a.w.:

“Yang memisahkan antara yang halal dengan yang haram ialah bunyi-bunyian rebana
dan nyanyian.”

Kedua: Memelihara pergaulan yang baik dengan isteri-isteri serta menanggung segala
keburukan yang mungkin berlaku daripada mereka sebagai menunjukkan tanda belas kasihan
terhadap mereka itu.
Allah telah berfirman:

“Dan pergaulilah mereka dengan cara yang baik.” (an-Nisa’: 183)

Allah telah berfirman lagi pada menyatakan kebesaran hak mereka ke atas suami:

“Dan mereka sekalian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat
daripada kamu.” (an-Nisa’: 20)

FirmanNya lagi:

“Dan teman yang di samping.” (an-Nisa’: 36)

Setengah para mufassirin mengartikan ayat ini dengan isteri yang sering berada di samping
suami sepanjang masa.

Maksud memperbaiki pergaulan dengan isteri-isteri itu bukanlah dengan semata-mata menahan
diri dari menimpakan ke atas mereka sesuatu yang tiada diinginnya, malah menanggung segala
yang tiada menyenangkan yang mungkin timbul dari mereka, serta bersifat sabar dan tabah
untuk menghadapi segala sikap kurang pertimbangan dan kemarahan mereka. Ini adalah untuk
menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. kerana isteri-ister Rasul sendiri kadang-kadang
melakukan sesuatu yang tiada menyenangkan hati Rasulullah s.a.w dan ada pula yang menrajuk
meninggalkan baginda sampai sehari suntuk hingga ke malam.

Ketiga: Hendaklah suami menambah atas sikap kurang pertimbangan dari isteri itu dengan
bersenda gurau, memuji-muji serta bermain-main dengannya, kerana semua itu akan
melembutkan hati kaum wanita. Rasulullah s.a.w seringkali bersenda gurau dengan isteri-
isterinya dan menuruti kehendak-kehendak mereka, sesuai dengan kadar akal fikiran mereka
dalam segala macam perbuatan dan perilakunya. Sekali peristiwa pernah baginda Rasul
mengajak Siti Aisyah r.a. melihat permainan orang-orang habsyi di kawasan masjid dan
berdirilah baginda di situ menemaninya sebegitu lama sehingga baginda berkata: Sudah puasa?
Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik sekali terhadap isterinya dan aku
adalah orang yang terbaik sekali di antar kamu terhadap isteriku.”

Berkata Rasulullah s.a.w kepada Jabir:

“Mengapa tidak perawan yang boleh engkau bermain-main dengannya dan ia bermain-
main denganmu?”

Seorang wanita dusun telah mensifatkan suaminya yang telah meninggal dunia dengan berkata:
Demi Allah, sebenarnya suamiku itu seorang yang sering ketawa ketika di rumah, pendiam
ketika di luar rumah, ia makan apa saja yang aku hidangkan (tidak cerewet), tidak pernah
bertanya bila sesuatu tidak ada.

Keempat: Janganlah sang suami melampaui batas dalam persenda-gurauannya dengan isteri,
ataupun bersikap terlampau baik sekali sehingga isteri naik muka dengan memaksa suami
menurutkan segala kehendak hawa nafsunya sehingga ke batasan merosakkan akhlak dan
kelakuan si isteri. Dengan itu terjatuhlah maruah suami di hadapan khalayak ramai. Tetapi yang
dianjurkan ialah bersikap sederhana pada segala keadaan. Jika dilihat sesuatu kemungkaran
yang dilakukan oleh isteri. Hendaklah suami jangan berdiam diri saja, bahkan menegahnya dan
membuktikan kejantanannya sebagai seorang suami ke atasa isteri. Begitu juga jangan sampai
dia yang mula membuka peluang bagi isteri untuk melakukan berbaga-bagai kemungkaran,
malah bila dilihat isterinya berani membuat sesuatu yang melanggar hukum syara’ atau hukum
adat dan maruah, hendaklah ia menunjukkan kemarahannya dan ketidak-senangnya terhadap
perkara itu.

Ingatlah bahawa segala terisi di dalam petala langit dan bumi itu diciptakan Tuhan dengan
keadilan meka segala yang melampaui had atau batasan keadilan akan terlungkup dengan
lawannya.

Sewajarnyalah suami mengambil jalan tengah atau ekonomi, baik dalam menuruti atau
menolak kehendak isteri. Hendaklah ia menegakkan kebenaran yang hak pada segala
keputusannya, sehingga ia terselamat dari bencana isterinya. Sebab pada kebanyakkan hal,
kaum wanita selalu suka berkelakuan buruk, dan sifat tersebut tidak akan terhindar dari
mereka, melainkan dengan secara lemah-lembut yang diiringi dengan kebijaksanaan. Oleh itu
adalah menjadi suatu tugas utama bagi sang suami memerhati dan meneliti kelakuan isterinya,
bermula dengan berbagai percubaan, kemudian mencuba pula meluruskan semua kelakuan
yang bengkok itu, sebagaimana yang diharuskan oleh keadaan dan peri-kerukunan
rumahtangga.

Kelima: Kalaupun suami cemburu, hendaklah bersikap sederhana; iaitu jangan sampai ia
melalaikan pokok-pokok persoalan yang akan menimbulkan berbagai-bagai bencana yang tidak
diingini di dalam rumahtangga. Tidak sewajnyalah suami bersikap pelampau dalam perkara
melemparkan buruk-sangka terhadap isteri, atau menunjukkan kekerasan atau mengintip
rahsia-rahsianya, sebab Rasulullah s.a.w pernah melarang mengikuti aurat-aurat (rahsia-rahsia)
kaum wanita. Pada riwayat yang lain baginda melarang menyerempak kaum wanita pada gerak-
lakunya.

Sekali peristiwa, apabila Rasulullah s.a.w kembali pelayaran di waktu malam, baginda menyeru
para sahabatnya sebelum masuk kawasan negeri Madinah; Janganlah kamu mengetuk rumah
isteri-isteri kamu di waktu malam, maksudnya jangan mendapatkan mereka di waktu malam
begitu; malah hendaklah mereka bersabar sehingga tiba waktu siang. Malangnya ada dua orang
di atara mereka melanggar nasihat Rasulullah s.a.w itu, Mereka terus kembali pada malam itu
juga, lalu mereka mendapati perkara-perkara yang tiada diingini telah berlaku di rumah
masing-masing.

Dalam sebuah Hadis lain: Sesungguhnya di antara berbagai-bagai cemburu, ialah cemburu yang
dibenci oleh Allah azzawajalla; iaitu cemburu seorang lelaki terhadap isterinya tanpa sebab.
Kerana sifat itu timbul dari perasaan buruk sangka dari dalam diri, yang mana kita di larang
keras bersifat demikian. Adapun cemburu yang memang kena pada tempanya, maka itu adalah
memang semestinya ada dalam diri seseorang dan ia termasuk sifat yang terpuji; iaitu sifat
cemburu yang bersebab.

Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kaum wanita pergi ke masjid terutama sekali untuk
menunaikan dua sembahyang Hari Raya. Keluar ke masjid kaum wanita yang sopan adalah harus
hukumnya, tetapi dengan syarat redha suaminya. Walau bagaimanapun meninggalkannya atau
tidak menghadirinya lebih terselamat dari fitnah. Sewajarnyalah kaum wanita tidak keluar dari
rumahnya melainkan bila ada hal-hal yang penting. Jika keluar untuk bersiar-siar atau kerana
perkara-perkara yang tidak perlu akan mencemarkan maruah atau nama baik mereka, dan tidak
mustahil pula boleh menarik kepada keburukan. Tetapi kalau mesti keluar juga, maka
hendaklah ia memalingkan pemandangannya dari kaum lelaki. Kita tidak mengatakan bahawa
wajah lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, sebagaimana wajah wanita dikira aurat pada
kaum lelaki, bahkan lebih dari itu; iaitu sebagaimana wajah anak muda Amrad (anak muda yang
yang segak cantik dan putih pula kulitnya – pent) yang dikira haram dipandang oleh kaum lelaki
dalam keadaan ditakuti berlaku fitnah. Andaikata tiada ditakuti fitnah, maka tiadalah haram
hukumnya melihat wajah Amrad itu, sebab pada lazimnya kaum lelaki terbuka wajahnya di
sepanjang masa. Kaum wanita pula bila keluar rumah sememangnya dalam keadaan
berselubung. Andaikata wajah kaum lelaki itu dikira aurat pada kaum wanita, nescaya mereka
juga akan diperintahkan untuk menyelubungi seluruh anggotanya seperti wanita, ataupun kaum
wanita itu akan dilarang untuk keluar rumah sama sekali, melainkan kerana urusan–urusan
dharurat saja.

Keenam: Berlaku sederhana dalam memberikan nafkah. Jangan terlalu lokek memberikan
nafkah kepada isteri, dan jangan pula terlalu boros, maka hendaklah memilih jalan tengah;
iaitu secara berekonomi.
Allah berfirman:

“Makan dan minumlah dan jangan berlaku boros.” (al-A’raf: 31)

Ibnu Sirin berkata: Sunnat bagi suami menghidangkan untuk isterinya manis-manisan seminggu
sekali pada hari Jumaat. (yakni dibelinya dari pasar --- pent)

Suami hendaklah menyuruh isterinya supaya mensedekahkan makanan-makanan yang lebih-


lebih yang tidak diperlukan lagi, ataupun makanan-makanan yang kalau disimpan lama nescaya
akan rosak. Ini pun dikira sebagai darjat yang paling rendah dari kebaikan. Si isteri juga boleh
melakukan serupa itu dengan hukum keadaaan, tanpa mendapat izin atau persetujuan dari
suaminya terlebih dulu. Janganlah hendaknya si suami itu mementingkan dirinya saja dengan
makanan yang sedap-sedap tanpa dibahagikan kepada isteri juga, kerana kelakuan yang
demikian akan menimbulkan rasa tidak senang di dalam hati isteri, yang berkesudahan akan
menghasilkan perhubungan yang tidak mesra di antara keduanya. Seterusnya jangan pula
menceritakan kepada keluarganya tentang makan-minum yang ia tidak akan mahu
menyediakannnya untuk mereka. Jika ia makan hendaklah ia mengajak anak-isteri makan
bersama-sama dalam suatu hidangan yang sama.

Di antara yang terpenting sekali dalam perkara memberi nafkah atau belanja ini ialah menjaga
nafkah atau belanja itu supaya datang dari jurusan yang halal; dan jangan pula kerana tuntutan
isteri, ia sampai mencampur-adukkan nafkah itu dengan kerja-kerja yang kotor atau tak baik.
Sebab yang demikian itu adalah suatu jenayah terhadap si isteri dan tidak boleh dikatakan
untuk memelihara hatinya.

Ketujuh: Seorang yang ingin berkahwin, hendaklah terlebih dulu mempelajari hal-hal kaum
wanita datang haidh dan hukumnya sekadar termampu, untuk mengetahui hukum wajibnya
saja, kemudian hendaklah ia mengajar isterinya cara-cara bersembahyang dan hukumnya serta
mengingatkannya tentang kemurkaan Allah Ta’ala jika ia tidak mengambil berat tentang
perkara-perkara agamanya. Andaikata suami juga kurang pengetahuan dalam urusan agamanya,
tetapi di aberusaha pergi bertanyakan orang-orang yang alim, lalu kembali menunjuk-ajar
kepada isteri, maka dalam hal ini juga tidak patut isteri keluar keraana maksudnya bertanya.
Tetapi jika suami tidak pedulikan juga, bolehlah isteri keluar kerana maksud bertanya. Tetapi
jika suami pedulikan juga, bolehlah keluar itu, meskipun suami tidak membenarkan dan harus
baginya melanggar larangan suaminya.

Kedelapan: Jika suami mempunyai beberapa isteri, maka hendaklah ia bersikap adil terhadap
sekalian isteri-isterinya itu, dan tidak boleh ia melebihkan yang satu dari yang lain. Jika ia
ingin keluar negeri dan mahu membawa seorang isteri bersamanya, maka hendaklah ia
mengundi antara mereka. Dalam hal suami telah menzalimi seseorang isteri tentang gilirannya,
maka sayugialah ia mengqadha’kan harinya, sebab qadha’ itu wajib. Wajib yang lain ialah adil
dalam pemberian dan giliran tidur dan tidak wajib baginya untuk menyamaratakan kasih sayang
dan persetubuhan, sebab itu tiada termasuk dalam kuasa pilihannya.

Rasulullah s.a.w. ketika dalam masa sakitnya diusung setiap hari dan setiap malam antara
isteri-isterinya bila sampai giliran masing-masing. Baginda tetap tidur di rumah salah seorang
isterinya di mana jatuh giliran masing-masing, tetapi jika ada di antara mereka yang mengalaah
untuk rakannya, maka baginda akan bermalam di situ pula.
Kesembilan: Dalam keadaan isteri bermusyuz (menentang suami), hendaklah suami cuba
mengajarnya dengan baik supaya ia kembali taat kepada suami. Apabila berlaku perselisihan
antara suami-isteri dan perkaranya tidak dapat diselesaikan sendiri, maka jika perselisihan itu
berpunca dari kedua belah pihak, ataupun yang ternyata perselisihan itu berpunca dari pihak
suami, sedengkan isteri tidak berupaya untuk menenangkan suaminya, ataupun suami tidak
dapat berbuat sesuatu untuk membetulkan semula isterinya; dalam keadaan serupa ini mestilah
di cari dua orang hakam sebagai orang tengah. Seorang dari pihak suami dan seorang yang lain
dari pihak isteri untuk mengadili perkara keduanya dan cuba menyelesaikan perselisihan itu
secara damai, sesuai dengan semangat firman Allah Ta’ala:

“Jika keduanya memang mahukan perdamaian, nescaya Allah akan memberikan taufiq
antara mereka.” (an-Nisa’: 35)

Tetapi jika nusyuz itu berpunca dari pihak isteri semata-mata, maka Allah telah pun berfirman
di dalam al-Quran al-Karim:

“Pihak lelaki itu lebih mampu meluruskan kaum wanita.” (an-Nisa’:34)

Suami tentu sekali mampu mendidik isteri dan membimbingnya ke jalan mentaati suami secara
paksaan. Dalam cara membimbingnya, haruslah diambil jaln secara berperingkat-pringkat; iaitu
mula-mula dengan menasihati isterinya secara lemah-lembut dan mengingatkannya akan hak
isteri terhadap suami dan mengancamnya bahawa perbuatannya itu akan dikutuki oleh Allah,
jika ia ingkar. Kalau ini tidak memberikan kesan dikutuki oleh Allah, jika ia ingkar. Kalau ini
tidak kesan, maka hendaklah ia membelakanginya di tempat tidur sendirian meskipun ia masih
tinggal bersama-sama dalam sebuah rumah. Hal serupa ini ditempohkan hingga tiga malam
berturut-turut. Jika tidak berjaya juga untuk meluruskannya, maka syara’ dalam peringkat ini
membolehkan suami memukul isteri dengan pukulan yang tidak mencederakan. Bila memukul
jangan ditujukan di muka, kerana yang demikian adalah ditegah dengan keras.

Kesepuluh: Dalam adab-adab bersetubuh. Sunnat dimulakan dengan perbualan-perbualan manis


dan bercumbu-cumbun, manakala suami menutup kapalanya dan suaranya direndahkan seolah-
olah, dia sedang berbisik-bisik. Apabila telah memuncak keinginannya, hendaklah ia menunggu
seketika sehingga isteri pula datang nafsunya. Hendaklah suami jangan mendatangi isteri
sewaktu haidh bahkan hendaklah ia menunggu seketika sehingga ia bersih dari haidh, tetapi
bolehlah ia bersenang-senang dengan seluruh tubuh badannya, melainkan bersetubuh saja yang
dilarang.

Janganlah pula ia cuba mendatangi isteri yang dalam haidh itu pada jalan lain yang telah
ditentukan. Perbuatan yang demikian itu adalah ditegah dengan keras, kerana dikhuatiri akan
berlaku sesuatu bahaya atau penyakit. Ketahuilah bahawa bahaya dan penyakit itu sentiasa
ada, sebab itu ia menjadi lebih keras haramnya daripada bersetubuh dengan isteri yang sedang
haidh. Allah telah berfirman:

“Hendaklah kamu mendatangi ladangmu (isterimu) sebagaimana yang kamu


ingini.” (al-Baqarah: 223)

Maksud dari ayat sebagaimana yang kamu ingin ialah pada bila-bila masa yang kamu merasa
berkeinginan.

Sewaktu isteri masih dalam haidh, tiada tegahan bagi suami untuk beristimna’ (mengusahakan
keluarnya air mani) dengan membiarkan tangan isteri bermain-main pada seluruh tubuh badan
suami, begitu pula boleh juga suami meraba-raba bahagian-bahagian yang di dalam kain isteri
sehingga naik syahwatnya, hanya yang dilarang ialah bersetubuh saja. Malah tiada larangan
seseorang suami mengajak isteri yang dalam haidh makan bersama-sama dengannya, atau
baring bersama-sama, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.

Di antara adab-adab bersetubuh lagi, janganlah ia ber’azal (menumpahkan air mani di luar
kemaluan wanita), sebab tidak ada suatu yang bernyawa yang telah ditakdirkan Allah wujudnya
melainkan ia tetap akan wujud bagaimana sekalipun diusahakan untuk mengelakkannya.

Mengenai perbuatan ‘azal itu, ada berbagai-bagai pendapat ulama. Ada yang mengharuskan,
dan ada pula yang menghalalkan dengan syarat keredhaan isteri. Jika isteri tidak redha maka
dihukumkan haram supaya isteri tidak teraniaya. Tetapi pendapat yang betul ialah pendapat
yang pertama, iaitu harus hukumnya.

Tersebut dalam Sahih Bukhari dan Muslim sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan
oleh Jabir r.a. katanya; Kita pernah melakukan ‘azal dalam zaman Rasulullah s.a.w. padahal
al-Quran masih turun ke atas baginda. Dengan lafaz yang lain: Kita pernah melakukan ‘azal,
maka berrita itu telah sampai ke pengetahuan Nabi Allah s.a.w tetapi baginda tiada melarang
kami.

Barangkali faedah melakukan ‘azal’ ini kerana hendak memelihar kecantikan isteri dan
kesihatannya supaya sering dapat bersenang-senang dengannya. Ataupun untuk mengekalkan
perkongsian hidup dengannya supaya terjatuh dari bahaya talaq. Ataupun kerana sebab-sebab
yang lain, seperti tidak suka banyak anak sehingga menyebabkan kesukaran untuk mencari
nafkah, atau untuk memelihara diri dari keperluan bekerja terus-menerus untuk mencari
kelebihan rezekir, dan melakukan kerja-kerja yan tak baik atau lain-lain lagi. Sebab kurangnya
kesukaran dalam kehidupan akan menolong kepada menegakkan agama.

Kesebelas: Dalam adab-adab melahirkan anak, ada lima perkara:

(1) Jangan sampai terlalu gembira bila menerima anak lelaki, atau terlalu dukacita
bila mendapat anak perempuan, kerana dia tidak mengetahui di mana letaknya tuah di antara
keduanya. Betapa banyaknya orang yang dianugerahi anak lelaki merasa kesal di kemudian
hari, dan bercit-cita kalaulah anak itu tiada dilahirkan sama sekali. Yang lain pula
mengharapkan anak itu, kalau boleh menjadi perempuan saja. Bahkan pada menerima anak
perempuan itu, ada kalanya lebih besar pahalanya.

Berkata Anas meriwayatkan Hadis dari Rasulullah s.a.w., sabdanya: Barangsiapa yang
mempunyai dua orang anak perempuan, ataupun dua orang saudara perempuan, lalu ia
membuat baik kepada keduanya selama ia berdampingan dengan mereka, nanti kelak di dalam
syurga saya dan dia seperti dua jari ini.

(2) Hendaklah diazankan di telinga bayi sebaik-baik saja ia lahir dari perut ibunya.

(3) Hendaklah bayi itu dinamakan dengan nama yang baik. Sesiapa yang telah
diberikan nama yang tak baik, sunnat diubah nama itu dengan yang lain.

(4) Sunnat dibuatkan aqiqah iaitu menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki
atau seekor bagi anak perempuan. Kemudian sunnat pula disedekahkan emas atau perak
seberat rambutnya yang dipotong pada hari ketujuh.

(5) Hendaklah diamanahkan ke dalam mulutnya dengan sebutir kurma atau lain-lain
manisan, kerana yang demikian itu dari amalan Rasulullah s.a.w

Kedua belas: Dalam perkara talaq yang mana is merupakan perkara harus yang amat dibenci di
sisi Allah Ta’ala. Talaq itu dihukumkan harus, apabila ia tiada disertai dengan penganiyaan
dengan jalan yang salah. Namun demikian apabila seseorang telah mentalaq isterinya, maka
tentulah ia telah menyakiti hatinya, sedangkan menganiaya atau menyakiti orang lain tiada
dibenarkan oleh agama melainkan jika berlaku kesalahan dari pihak isteri, ataupun timbulnya
suatu dharurat dari pihak lelaki. Allah telah berfirman:

“Jika isteri-isteri itu mentaati kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk
menganiayai mereka.” (an-Nisa’: 34)

Yakni, maksud janganlah pula kamu mencari jalan untuk mentalaqkan mere itu. Tetapi jika
ayah si suami tiada senang dengan isteri anaknya, bukan kerana sesuatu sebab yang tak baik,
maka hendaklah is mentalaqkan isteri sebagai tanda ketaatan kepada ayah.

Dalam hal isteri menyakiti suami, ataupun berlaku buruk terhadap keluarga suami, maka is
dikira bersalah. Begitu pula, jika isteri itu buruk perilakunay ataupun rosak agamanya. Tetapi
jika penganiyaan berlaku dari suami terhadpnya, maka ada jalan bagi isteri untuk menebus
dirinya dari suami yang zalim itu dengan membayar wang. Dalam hal ini, makruh bagi lelaki
untuk menuntut tebusan wang lebih daripada kerugiannya, kerana yang demikian itu adalah
semacam tekanan atau bebanan untuk memberati isteri. Bahkan ini berarti seolah-olah sebagai
memperniagakan kemaluan wanita.

Allah telah berfirman:

“Tidak mengapa atas keduanya pada apa yang dibayar oleh perempuan untuk menebus
dirinya.” (al-Baqarah: 229)

Jadi pengambilan apa yang telah diambil dari suami itu adalah hak untuk dijadiukan tebusan
diri siteri dari suami. Adapun isteri yang meminta talaq apa-apa sebab, maka ia berdosa besar
sekali.
Seorang suami yang ingn mentalaqkan isterinya, hendaklah memerhatikan empat perkara
berikut, iaitu:

1. Hendaklah ia mentalaqkan isterinya dalam keadaan suci dari haidh yang belum ia bersatu
dengannya. Sebab talaq dalam waktu haidh ataupun dalam masa suci yang ia telah bersatu
dengannya adalah seperkara did’ah yang haram, sekalipun memang ia sengaja melakukan
perbuatan itu menjadikan masa iddahnya lebih panjang. Sekiranya ia telah melakukan itu,
maka hendaklah ia merujuk isterinya semula. Kemudian ia tunggu pula hingga ia suci sekali
lagi, kemudian haidh, kemudian suci lagi, dan pada masa itu terserahlah kepadanya, kalau
mahu ditalaqkannya ataupun dibiarkan saja dalam aqadnya.

2. Hendaklah ia menjatuhkan talaq satu, kerana dengan talaq satu pun sudah terhasil
meksudnya. Kemudian faedah dari talaq satu, suami boleh rujuk semual sewaktu dalam
iddah, jika ia merasa sesal dengan keputusannya yang mula-mula. Jika ia menjatuhkan
talaq tiga sekaligus, barangkali ia akan menyesal, maka ketika itu ia tidak boleh kembali
lagi kepada isterinya melainkan dengan jalan muhallil; iaitu isterinya dinikaki oleh orang
lain lebih dulu sekadar pelepasan nafsunya, kemudian diceraikan dan barulah boleh
berkahwin semula dengannya. Aqad nikah muhallil ini ditegah dan dalam hal ini dialah yang
menjadi penyebab aqad muhallil itu.

3. Hendaklah ketika menyebutkan talaq itu dengan suara lemah-lembut dan menerangkan
sebab mengapa ia terpaksa mentalaqnya tanpa kekerasan. Dalam pada itu hendaklah is
menyabarkan dan menggembirakan hati isteri yang ditalaqnya itu dengan sesuatu hadiah,
sebagai penutup sakit hatinya dikeranakan berita talaq yang disampaikan kepadanya.

Allah telah berfirman:

“Dan berikanlah (isteri-isteri yang diceraikan itu) pemberian,” (al-Baqarah: 236)


Al-Hasan bin Ali r.a. pernah menyampaikan perkata talaq dua orang isterinya kepada para
sahabatnya dengan meminta mereka menyebutkan tentang talaq itu kepada dua isteri
tersebut. Kemudian beliau telah membayar kepada setiap isteri sepuluh ribu dirham.

4. Janganlah sampai suami membocorkan rahsia isteri, sama ada sewaktu talaq ataupun
sewaktu menikah, sebab ada tegahan keras yang melarang membocorkan rahsia kaum
wanita dengan ancaman yang paling berat.

Hak-hak suami atas isteri

Isteri wajib mentaati suami pada segala yang dikehendaki oleh suami daripada perkara-perkara
yang tiada maksiat padanya. Di sana terdapat banyak hadis yang diriwayatkan dalam
menentukan hak suami atas isteri.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Mana saja wanita yang meninggal dunia, sedangkan suaminya redha terhadapnya
maka ia akan masuk syurga.”

“Sabdanya lagi:

“Apabila seorang wanita bersembahyang lima waktunya, berpuasa sebulannya,


memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya nescaya ia akan masuk syurga uang
disediakn oleh Tuhannya.”

Berkata Ibnu Abbas: Telah datang seorang wanita dari Khats’am kepada Rasulullah s.a.w. lalu
berkata: Saya ini seorang wanita yang janda dan saya akan berkahwin. Apakah haknya suami?
Baginda menerangkan: Di antara hak suami atas isteri, ialah apabila ia mengingininya serta
memujuknya supaya menyerahkan diri sedang isteri suci dari haidh, janganlah menolaknya.

Hak-hak yang lain ialah: Istero tidak boleh memberi apa-apa yang ada di dalam rumah kepada
orang lain, melainkan dengan izin suami. Jika ia melanggar juga maka berdosalah isteri itu
manakala suami mendapat pahala dari pemberian itu. Isteri tidak boleh berpuasa secara
sukarela, melainkan dengan izin suami, jika isteri melanggar juga, nescaya jadilah puasanya itu
lapar dan dahaga semata-mata, tanpa mendapat apa-apa balasan dari Allah. Jika isteri keluar
dari rumah tanpa izin suami, nescaya Malaikat akan melaknatinya sehingga ia kembali ataupun
bertaubat.

Kesimpulannya, hak-hak suami atas isteri itu ada banyak, tetapi yang terpenting sekali ialh dua
perkara:

(1) Memelihara diri dan menutup rahsia


(2) Tidak terlampau menuntut perkara-perkara yang tidak diperlukan,
dan menjaga agar usahanya tidak termasuk perkara yang haram.

Hak puteri atas kedua ibu-bapa ialah:

Mendidiknya cara pergaulan yang baik dan adab-adab percampuran dengan suami sebagaimana
yang diriwayatkan dari Asmak binti Kharijah al-Fizari, katanya kepada puterinya ketika hari
perlangsungan puterinya itu: Kini engkau telah keluar dari sangkar yang di dalamnya engkau
telah dibesarkan, berpindah ke tempat tinggal yang engkau belum pernah mengenalinya lagi,
dan kepada seorang teman hidup yang engkau belum biasa dengannya. Maka umpamakanlah
dirimu itu sebagai sekeping tanah, nescaya ia akan menjadi tiangnya. Kalau engkau
menganggap dirimu sebagai jariah, tentulah ia akan menganggap dirinya hamba sahaya. Jangan
membebaninya agar ia tiada meningalkanmu. Jangan menjauhinya agar ia tiada melupaimu.
Jika ia mendekatimu setapak, datangilah ia dua tapak. Jika ia menjauhimu, jauhilah ia dengan
baik. Jagalah hidungnya, telinganya dan matanya, sehingga ia tiada meencium sesuatu
melainkan yang baik-baik, tiada mendengar sesuatu melainkan yang indah-indah dan tiada
melihat sesuatu melainkan yang cantik-molek.

Kesimpulan dari kata-kata yang berkaitan dengan adab-adab kaum wanita tanpa banyak bicara
ialah:

Hendaklah ia merupakan sendi utama di dala rumahtangganya. Sentiasa melazimi jahitan dan
tenunannya. Tidak banyak naik-turunnya. Sedikit bicaranya dengan tetangga, ia tida
mendatangi tetangganya melainkan jika ada perkara yang perlu yang mendorongnya ke sana.
Memelihara hak suaminya ketika ia ada di rumah ataupun tiada di rumah. Sentiasa
menimbulkan kegembiraan hati suami pada segala kelakuannya. Tiada mengkhianati dirinya
terhadap suami dan hartanya. Tiada keluar dari rumah melainkan dengan izin suami. Dan jika
diizinkan ia keluar, hendaklah dalam keadaan tertutup. Memilih jalan-jalan yang sepi dari orang
ramai, tidak memilih jalan raya atau pasar. Memelihara suaranya supaya tidak terdengar oleh
orang-orang asing atau dikenali peribadinya oleh mereka itu. Tidak memperkenalkan dirinya
kepada rakan-rakan suaminya dalam menunaikan segala keperluan, tetapi handaklah ia
berpura-pura terhadap sesiapa yang disangka mengenalinya ataupun memang dia
mengenalinya.

Tugas utama kaum wanita ialah memperbaiki urusannya sendiri dan urusan rumahtangganya,
tetap menunaikan semua sembahyang dan puasa. Jika rakan suaminya meminta izin masuk ke
dalam rumahnya sedang suami tiada di rumah, maka tidak boleh diizinkan masuk dan tiada
boleh banyak berbicara dengannya, sebagai menunjukkan tanda cemburu atas dirinya sendiri
dan suaminya. Hendaklah isteri sentiasa merasa puas dengan segala yang diberikan oleh
suaminya, sebagai rezeki dari Allah ta’ala. Ia harus selalu mengutamakan hak suami atas
dirinya sendiri, begitu pula atas segala hak kaum kerabatnya. Sering membersihkan dirinya
sendiri, serta bersedia, pada bila-bila masa untuk menerima keinginan suami. Hendaklah ia
sentiasa bersifat belas kasihan terhadap anak-anaknya, memelihara dan melindungi mereka
dari segala yang tidak baik, tidak mengeluarkan caci-maki terhadap anak-anak dan tiada
menggunakan lidahnya hanya untuk menjawab dan menentang suami.

Di antara adab-adabnya pula ialah: isteri tiada terlalu bermegah-megah dengan kecantikan
dirinya, dan tiada pula mengeji suaminya kerana keburukannaya. Adab yang lain lagi ialah:
Hendaklah isteri sentiasa melazimkan dirinya dalam kebaikan dan memelihara dirinya pada
masa ketiadaan suaminya. Apabila suami kembali bergembiralah ia bersenang-hatilah ia semula
bersamanya.

Di antara yang wajib atas isteri dari hak-hak perkahwinan, apabila suaminya meninggal dunia,
ia tidak berkabung kerana berdukacita lebih dari empat bulan sepuluh hari. Wajib
meninggalkan memakai air wangi, tidak menghiaskan diri dalam masa perkabungan itu.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan Hari Kemudian
berkabung atas seorang yang mati lebih dari tiga hari, melainkan atas suami iaitu
empat bulan dan sepuluh hari.”

Wajib atas isteri juga tinggal di dalam rumah suaminya yang meninggal dunia itu sehingga
iddahnya, tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya dan tidak boleh keluar rumah,
melainkan kerana sesuatu dharurat saja.
Di antara adabnya lagi, hendaklah ia menjalankan perkhidmatannya yang ia mampu melakukan
di dalam rumah, sebagaimana biasanya isteri-isteri para sahabat melakukan, moga-moga Allah
redha atas mereka sekalian.

Anda mungkin juga menyukai