Anda di halaman 1dari 5

PILIHAN RAYA UMUM KE-12: SATU TINJAUAN KE ATAS MANIFESTO DAN

PENCAPAIAN PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK DI PERAK

Pilihan Raya Umum ke-12 yang telah diadakan pada 8 Mac 2008 telah menyaksikan satu
perubahan ketara dalam senario politik negara. Pertama, ia menampakkan perubahan dalam pola
pengundian rakyat Malaysia yang secara jelas menolak politik perkauman yang ditunjangi oleh
Barisan Nasional. Kedua, Barisan Nasional yang memerintah sejak 50 tahun yang lalu tidak lagi
mampu mengekalkan majoriti 2/3 dalam parlimen. Ketiga, buat kali pertama dalam sejarah , lima
buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan dikuasai oleh parti pembangkang.

Ketika tumpuan terarah di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, Perak
turut tidak terlepas dari tempias tsunami 2008. Ramai penganalisa politik meletakkan Perak
dalam zon selamat namun begitu ketika keputusan mula diumumkan dan menyaksikan jatuhnya
kerusi-kerusi parlimen mahupun DUN Barisan Nasional, ramai yang terkejut dan tidak mampu
memberikan alasan bagi fenomena tersebut. Kejayaan barisan pembangkang menguasai Perak
dengan memenangi 31 daripada 59 DUN banyak bergantung kepada pengaruh Democratic
Action Party yang begitu sinonim dengan para pengundi bukan Melayu terutamanya di daerah
Kinta. DAP muncul sebagai parti yang paling dominan dalam pilihan raya kali ini dan ia
memenangi 6 daripada 7 kerusi parlimen yang ditandinginya. Manakala di peringkat DUN pula
ia menyapu bersih kesemua 18 kerusi DUN yang ditandinginya . DAP berjaya membentuk
kerajaan negeri dengan PKR dan PAS yang menguasai 5 kerusi parlimen dan 13 kerusi DUN
yang lain.

Kejayaan DAP di Perak dikaitkan dengan peralihan undi pengundi bukan Melayu kepada
parti pembangkang. Ramai pengundi yang selama ini setia kepada Barisan Nasional telah
memihak kepada pembangkang sebagai tanda protes mereka terhadap kerajaan. Kegagalan
kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan serta peningkatan kadar inflasi jelas
mengecewakan golongan rakyat. Pada masa yang sama, situasi keselamatan dalam negeri turut
kurang memuaskan dengan bertambahnya kes-kes jenayah yang semakin serius. Keadaan
diperburukkan lagi apabila kerajaan tidak mengambil perhatian yang serius dalam tuntutan
masyarakat Cina dan India. Ia jelas dalam penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran
matapelajaran Matematik dan Sains di sekolah yang ternyata kurang disenangi oleh masyarakat
1
Cina. Isu tuntutan Hindraf yang ditangani secara kekerasan oleh kerajaan juga mencetuskan satu
senario yang tidak memihak kepada Barisan Nasional. Pada masa yang sama, faktor Anwarisme
yang melanda para pengundi Melayu turut mengakibatkan kekalahan calon-calon UMNO yang
selama ini selesa di Perak.

Dalam pilihan raya kali ini, DAP telah mempertaruhkan gandingan calon-calon lama
dengan baru dalam usaha menguasai kerusi-kerusi yang dipelopori oleh MCA, Gerakan , PPP
dan MIC. Ia meletakkan 3 calon utamanya Lim Kit Siang, M. Kulasegaran dan Fong Po Kuan
bagi mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah. Pada masa yang
sama, calon-calon dominannya di Perak seperti Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming telah
diletakkan di kedua-dua kerusi parlimen dan DUN. Ngeh Koo Ham telah bertanding di kerusi
Parlimen Beruas dan kerusi DUN Sitiawan manakala Nga Kor Ming telah bertanding di kerusi
Parlimen Taiping dan kerusi DUN Pantai Remis. DAP turut mengekalkan penyandang-
penyandang yang lain di mana Su Keong Siong dikekalkan di DUN Pasir Pinji, Hee Yit Foong di
DUN Jelapang dan Seah Leong Peng di DUN Pasir Bedamar. Beberapa muka baru turut
disenaraikan dalam pilihan raya kali ini dan ia termasuklah Wong Kah Woh, bekas setiausaha
Lim Kit Siang yang telah bertanding di DUN Canning, M Manogaran yang bertanding di
Parlimen Telok Intan, V. Sivakumar di Dun Tronoh dan Keshvinder Singh di DUN Malim
Nawar. Kehadiran ramai calon-calon India dalam DAP yang diketuai M Kulasegaran, M
Manogaran, V Sivakumar, Keshvinder Singh, Sivanesan dan Sivasubramaniam ternyata berjaya
memikat para pengundi India di mana kesemua calon-calon tersebut memenangi kerusi yang
ditandingi .

Kejayaan DAP dalam pilihan raya 2008 banyak bergantung kepada prestasinya di daerah
Kinta yang menjadi kubu kuat parti tersebut sejak pilihan raya 1969 lagi. Lantaran itu, DAP
memberi perhatian khusus terhadap kerusi-kerusi parlimen yang terletak di daerah tersebut. Di
mana ia berharap kehadiran tokoh-tokohnya seperti Lim Kit Siang, Fong Po Kuan dan M.
Kulasegaran di Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat serta Batu Gajah mampu meraih sokongan padu
pengundi Cina dan seterusnya menguasai kerusi-kerusi DUN yang terletak di bawah kawasan
parlimen tersebut. Kecenderungan pengundi memihak kepada pembangkang serta kemampuan
DAP memanipulasi isu-isu nasional serta isu-isu lokal ternyata memberi banyak kelebihan
kepada parti tersebut. DAP berjaya mengekalkan ketiga-tiga kerusi parlimen yang dimenangi

2
dalam pilihan raya 2004 di samping merampas tiga kerusi parlimen yang terletak di luar daerah
Kinta. Lim Kit Siang menang dengan bergaya di Ipoh Timur dengan majoriti yang besar iaitu
sebanyak 21,942 undi manakala di Ipoh Barat, M.Kulasegaran berjaya perbaiki majoriti
kemenangan yang kecil dalam pilihan raya 2004 apabila mencatat majoriti undi sebanyak 15,534
undi. Fong Po Kuan yang mencetuskan kontroversi dengan penarikan diri dari bertanding pada
peringkat awal turut cemerlang apabila mempertahankan kerusi Parlimen Batu Gajah buat
penggal ketiga berturut-turut dengan meraih majoriti undi sebanyak 24,627 undi. DAP turut
mencipta kejutan di kerusi Parlimen Taiping apabila Nga Kor Ming menewaskan
penyandangnya Datuk M. Kayveas, Pengerusi PPP dengan majoriti undi sebanyak 11,298. Dua
lagi kerusi parlimen yang dimenangi DAP di Perak ialah Parlimen Beruas dan Parlimen Telok
Intan. Ia menyaksikan kehadiran Ngeh Koo Ham yang pertahankan kerusi DUN Sitiawan
mencuba nasib di kerusi Parlimen Beruas. Ngeh Koo Ham yang Pengerusi DAP Perak telah
menewaskan Chang Ko Youn dan merampas kerusi tradisi Beruas yang selama ini dikuasai oleh
Datuk Seri Lim Keng Yaik. Manakala di Parlimen Teluk Intan, Gerakan sekali lagi terpaksa
menelan hakikat yang begitu pahit apabila Ketua Pemudanya Datuk Mah Siew Keong yang juga
penyandang kerusi tersebut terpaksa berputih mata apabila ditewaskan oleh M.Manogaran
dengan majority undi sebanyak 1,470 undi.

Kejayaan DAP di peringkat Parlimen turut dirasai di peringkat negeri. Ia begitu ‘garang’
di Kinta apabila menyapu bersih kesemua 18 kerusi DUN yang ditandingi di Ipoh Barat, Ipoh
Timur dan Batu Gajah. Di Parlimen Ipoh Timur, DAP menguasai kerusi DUN Canning, Tebing
Tinggi dan Pasir Pinji. Manakala di Parlimen Ipoh Barat ia memenangi kerusi DUN di Bercham,
Kepayang, dan Buntong. Di Batu Gajah, DAP pertahankan kerusi DUN Jelapang, Mengelembu
dan merampas Tronoh. Pengaruh DAP turut semakin menular ke daerah daerah lain di mana ia
bukan sahaja berjaya pertahankan kerusi DUN Sitiawan, Pantai Remis dan Pasir Bedamar malah
memenangi kerusi-kerusi yang terletak dalam lingkungan Barisan Nasional seperti kerusi DUN
Pokok Assam dan Aulong yang dianggap sebagai kubu kuat Gerakan sebelum ini. Di samping
itu, DAP turut memenangi kerusi DUN Jalong yang terletak di bawah kerusi Parlimen Sungai
Siput yang menyaksikan Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu kecundang di tangan Michael
Jeyakumar, wakil Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket PKR. Walaupun DAP
kecundang di Kampar, namun ia berjaya memenangi kerusi DUN Malim Nawar menerusi
Keshvinder Singh dengan majoriti undi sebanyak 1,362 undi. DAP turut berjaya menempatkan
3
calonnya di DUN Sungkai yang terletak di Parlimen Tanjong Malim yang dimenangi oleh
Setiausaha Agong MCA, Datuk Ong Ka Chuan apabila Sivanesan berjaya memenangi kerusi
tersebut setelah tewas dalam pilihan raya 2004 dengan mejoriti uni sebanyak 1,454 undi
menewaskan Datuk Veerasingham.

Kejayaan DAP di Perak dalam Pilihan Raya Umum 2008 banyak didorong oleh isu-isu
nasional yang berlegar di sekitar tahun 2006-2008. Di mana kemuncaknya tercetus disekitar
pertengahan tahun 2007 dengan berlakunya perhimpunan raksasa oleh kumpulan NGO yang
disokong oleh parti-parti pembangkang, Perhimpunan BERSIH di Kuala Lumpur yang dihadiri
oleh ratusan ribu rakyat Malaysia jelas menunjukkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap
kerajaan. Rusuhan serta perhimpunan haram anjuran Hindraf pula mendapat simpati masyarakat
India dan ia bertukar kepada konflik perkauman apabila lima pemimpin ditahan di bawah ISA.
Kegagalan kerajaan menangani isu-isu ini menimbulkan perasaan ‘muak’ pengundi muda
khususnya di bandar-bandar besar. Ia mengakibatkan undi-undi protes dan juga peningkatan
ketara jumlah undi rosak di samping penurunan mendadak peratusan pengundi di banyak
kawasan. Kehadiran semula de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertaruhkan isterinya
Darin Wan Azizah di Parlimen Permatang Pauh dan anaknya Nurul Izzati di Parlimen Lembah
Pantai , Wilayah Persekutuan telah menandakan bermulanya faktor Anwarsime dalam politik
Malaysia. Bahangnya cukup terasa walaupun dinafikan oleh kerajaan dan ia terbukti berjaya
mengangkat martabat parti-parti pembangkang sehingga mampu menguasai lima buah negeri
dalam satu-satu pilihan raya dan setersunya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di
parlimen.

DAP telah berjaya mengatur strateginya dengan begitu baik apabila bekerjasama dengan
PKR dan akur dengan keputusan barisan pembangkang untuk memilih Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai pemimpin utama barisan pembangkang. Pada masa yang sama, ia turut
menyokong perjuangan Hindraf serta terus menjadi jaguh dalam perjuangkan isu-isu yang
berkaitan dengan hak asasi manusia, kebebasan media, ketelusan dalam kerajaan serta keadilan
sosial. Lantaran itu, DAP mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang dilihat
mula menolak politik perkauman yang sempit. Ia jelas dalam kemenangan DAP di beberapa
kerusi DUN mahupun parlimen yang menyaksikan calon-calonnya mendapat sokongan daripada
pengundi bukan Cina. Ia jelas di kerusi Parlimen Teluk Intan yang menyaksikan calon India

4
DAP, M Manogaran menewaskan Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong di mana
undi-undi pengundi India dan Melayu sebanyak 54% menjadi faktor penentu kepada
kemenangan tersebut. Situasi yang hampir sama berlaku di DUN Jalong dan Sungkai, calon DAP
Leong Mee Meng di Jalong menang dengan majoriti undi sebanyak 5,495 walaupun kawasan
tersebut hanya mempunyai 56.7% pengundi Cina sahaja manakala di DUN Sungkai pula yang
hanya terdapat 56.5% pengundi Cina menyaksikan calon DAP memenangi kerusi tersebut
dengan majoriti sebanyak 1,454 undi.

Kejayaan DAP di Perak serta wujudnya kerjasama yang erat di kalangan pembangkang
terserlah apabila DAP yang mempunyai perwakilan yang teramai dalam DUN Perak akur dengan
kata sepakat Pakatan Rakyat yang melantik Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Datuk
Mohamad Nizar Jamaliddin sebagai Menteri Besar Perak. Ia seterusnya menolak andaian bahawa
akan berlaku pergolakan dalam negeri yang bakal menyaksikan pertelengahan di kalangan parti
pembangkang dan seterusnya membawa kepada perpecahan. Pada masa yang sama, khabar angin
bahawa PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat akan kerajaan negeri di Perak bakal bertukar
tangan turut dinafikan oleh Datuk Mohamad Nizar yang berpendapat bahawa kerjasama PAS
dengan DAP dan PKR akan diteruskan kerana ia adalah pilihan rakyat yang perlu dihormati.

Kemampuan DAP membentuk kerajaan campuran di Perak dilihat sebagai satu peluang
keemasan bagi parti berkenaan dalam merealisasikan impiannya iaitu mewujudkan sebuah
negara Malaysia yang bebas dan adil dengan penekanan konsep Malaysia-Malaysian dengan
tunpuan terhadap kesamarataan sosial, ekonomi dan politik tanpa mengira bangsa dan agama.
Lantaran itu, DAP perlu melipat gandakan usahanya demi menjayakan matlamat perjuangannya
serta mendapat kepercayaan daripada para pengundi.

Anda mungkin juga menyukai