Anda di halaman 1dari 5

[MOTIVASI]: Tips olehNya untuk kita mengahadapi peperiksaan.

Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana


sahaja anda berada? Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips
kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah
yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01. Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman."[23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka
imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan
melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya."[23:2]

Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan


melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil
lewa.Tegaskan kepada diri anda apa yang anda perlu lakukan secara berulang
kali supaya hati anda lebih teguh untuk menjalankannya.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan
yang tidak berguna)."[23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita


cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton
drama dan filem, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu
sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan


mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti
membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan
perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri
lebih sedia maklum.

Masa rehat yang ada itu lebih baiklah jika diluangkan untuk mengambil wudu',
melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih
rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak
membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran. Allah juga akan
melapangkan masa kita jika kita melapangkan masa untuk beribadat kepadaNya.

Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru


kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa
depan anda. Selain itu, perbuatan mazmumah ini tidak akan dapat
menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki,
malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT. Lagipun, seperti
pepatah Inggeris ; ‘what goes around comes around’. Mungkin dosa kitalah yang
menyebabkan kita tidak boleh menjawab peperiksaan dengan baik kerana
hilangnya barakah menuntut ilmu.

04.Prihatin sesama kita

"dan orang-orang yang menunaikan zakat."[23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu


mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di
sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan
tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring. Dengan secara tak langsung, kita
dapat menguatkan lagi ingatan kita terhadap apa yang telah dipelajari.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri


mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam
hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang
yang melampaui batas."[23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas


pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan mengulangkaji
berdua-duan, atau jika mengalami tekanan mencari penyelesaian untuk
bertelefon atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.Bukanlah
komunikasi itu tidak dibenarkan sama sekali, namun, dalam kita berhubungan
berlainan jenis itu ada batasnya. Tidaklah sehingga menjurus kepada
kemurkaanNya iaitu zina mata atau hati.

Jika ada beban yang mahu diluah, carilah Dia bila-bila masa dan di mana jua
kerana Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

06.Jujur, amanah

"dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

Bukankah kita telah membuat perjanjian untuk belajar bersungguh-sungguh


kepada ibu bapa kita? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan
Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar
yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip
ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan seperti meniru atau memberi izin kawan lain
meniru. Meniru terutamanya merupakan perlakuan yang tidak jujur dan hanya
menipu diri sendiri. Contoh lain seperti jika penjaga peperiksaan meminta kita
berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis.
Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata
illa billahil 'azim."

07.Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya."[23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim
ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak
berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini
kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita
juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan
seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga
mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan
jalan.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk


akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita
menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-
Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya
kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan
Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi
Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya."[23:10,11]

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami
(kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa
neraka."[2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka
usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya."[2:202]

Demikianlah antara tips dari Firman Allah mengenai cara memperoleh kejayaan.
Maka, sebagai pelajar, kita haruslah sedaya-upaya untuk melaksanakan tips
tersebut kerana dengan cara itulah lebih barakah dalam mengecapi kejayaan.

Disunting oleh : a.i.n.l.h

sumber dari: istimewanya.blogspot.com/2011/02/motivasi-peperiksaan.html

Anda mungkin juga menyukai