Anda di halaman 1dari 3

Hubungan etnik

Misteri Etnik: Wanita Sikh teguh pertahan budaya, pantang larang 2010/11/20 Siri akhir: Cara hidup konservatif lebih kurang sama dengan masyarakat Melayu, amal pelbagai petua ARUS pemodenan diakui banyak mempengaruhi perubahan tamadun sesuatu bangsa sehingga semakin hari semakin menghakis budaya serta cara hidup sesuatu masyarakat, namun ia tidak pula menenggelamkan ciri-ciri unik yang ada terutama ke pada golongan wanita mana-mana kaum sekalipun. Wanita sering berperanan sebagai benteng paling kuat dalam mempertahankan budaya masyarakat mereka dan ia diakui turut dibuktikan wanita kaum Sikh yang terus memperlihatkan ciri-ciri unik masyarakat itu meskipun terus dihimpit kemodenan semasa. Jika diperhatikan secara mendalam, ciri-ciri unik budaya kaum Sikh seperti pakaian, perhiasan diri dan pemakanan masih dapat dilihat pada wanita mereka, tidak kira tua atau muda, di mana saja, meskipun sudah ramai juga gadis muda terpengaruh dengan cara pemakaian moden. Realitinya, mungkin juga disebabkan pengaruh filem Hindi yang mempopularkan kembali pakaian tradisi Punjabi, ia kini mendapat perhatian wanita Sikh tanpa mengira umur. Bagi kalangan lelaki mereka, mujurlah pemakaian serban menjadi hukum agama, menyebabkan masih ramai mengekalkan ciri utama mereka. Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Sikh Perak, Amarjid Kaur, berkata wanita Sikh paling kuat mempertahankan budaya mereka dan ia lebih ketara dalam kalangan wanita lebih berusia, tetapi turut diwarisi gadis muda. Selain itu, pemikiran dan pergaulan wanita Sikh juga lebih konservatif sekali gus turut mempengaruhi golongan muda masyarakat itu. Kini ramai juga gadis muda tidak begitu gemar mengikuti norma sedia ada ibu mereka. Ia mewujudkan satu perbezaan ketara terutama dalam aspek pergaulan dan cara hidup. Sebenarnya tidak banyak beza antara wanita Sikh dengan kaum lain. Paling ketara, kami lebih konservatif, sama seperti keluarga Melayu. Anak Sikh terutama gadis jarang diberi peluang bergaul bebas dengan lelaki. Dalam aspek ini memang jelas ketara persamaan kami dengan orang Melayu. Kami mementingkan agama dan menjadi perkara paling utama dalam hidup. Sejak kecil, anak Sikh sudah dibawa ke gurdwara dan mengetahui perkara asas mengenai agama. Ia menjadi perkara utama diberi perhatian terutama oleh kaum ibu masyarakat Sikh. Sebagai seorang guru, saya lihat nilai keagamaan dipupuk wanita Sikh kepada anak mereka sangat kuat dan berkesan. Wanita juga yang kuat mempertahankan aspek utama orang Sikh dipelihara. Sebagai contoh, larangan memotong rambut dalam masyarakat Sikh selalunya dijaga wanita atau ibu, katanya. Peranan wanita Sikh juga sangat kuat dalam mempertahankan amalan petua atau cara hidup konvensional masyarakat itu serta masih utuh mengamalkan pantang larang, meskipun dikatakan masyarakat itu pada hakikatnya tidak begitu mempercayai sesuatu yang bercanggah dengan tuntutan agama Sikh. Sebagai contoh, ketika tiga wanita Sikh, Jaswinder Kaur, Phajan Kaur dan Meet Kaur berkongsi amalan petua yang kuat diamalkan masyarakat itu, sekali gus menunjukkan tradisi itu masih digunakan sehingga kini, termasuk golongan muda. Banyak juga amalan petua mereka terutama untuk wanita seperti ketika mengandung, tidak boleh makan buah berkembar yang dikatakan boleh menyebabkan mendapat anak kembar. Ia bukan masalah atau larangan mendapat anak kembar, tetapi mungkin membebankan bagi sesetengah keluarga. Bukan larangan, cuma bukankah susah untuk jaga dua anak kecil sekali gus. Malah, lebih membebankan jika dapat dua anak perempuan serentak. Kahwin nanti, banyak belanja perlu dikeluarkan. Sebab itulah jika boleh, mahu dielak. Selain itu, ibu mengandung tidak boleh memegang benda tajam seperti pisau atau gunting dan tidak boleh potong apa-apa ketika gerhana matahari kerana dikatakan bakal mendapat anak yang calar balar di muka. Nanti tak cantik pula, ada calar sana sini. Jika isteri mengidam sesuatu, suami semestinya perlu cuba adakan. Jangan pandang ringan sebab nanti anak yang lahir akan sentiasa

meleleh air liurnya. Ia sama juga dengan kepercayaan orang Melayu, kata Jaswinder ketika memulakan cerita. Phajan berkata, memotong sesuatu ketika gerhana matahari turut boleh menyebabkan mendapat anak sumbing. Semua petua itu nampak konvensional, tetapi kuat diamalkan sehingga kini terutama jika masih ramai orang tua dalam sesebuah keluarga yang akan menurunkan petua itu kepada generasi muda. Satu keunikan dalam amalan petua kaum Sikh ialah penggunaan penjiri iaitu adunan pelbagai jenis rempah seperti biji badam, kuaci dan pelbagai herba lain dicampur dengan minyak sapi, gula dan tepung kacang kuda. Ia perlu dimakan setiap pagi ketika dalam pantang untuk mengecutkan rahim dan mengembalikan bentuk tubuh. Tiada kaedah menanam uri anak baru lahir seperti diamalkan masyarakat Melayu. Menurut Meet Kaur, ada juga orang Sikh menanam uri satu ketika dulu kerana jika anak menangis, keluarganya akan ke tempat uri ditanam dan dipukul tanah itu untuk menghentikan tangisan, namun ia tidak lagi diamalkan kini. Dalam kehidupan seharian kaum Sikh juga ada beberapa petua yang kuat dipercayai mereka terutama jika untuk memulakan sebarang pekerjaan. Mereka akan memilih Rabu sebagai hari terbaik memulakan sesuatu seperti menjahit baju baru atau mengadakan apa saja acara. Mereka tidak gemar mencuci rambut pada Selasa, namun ia hanya satu kepercayaan yang sebenarnya tidak dibenarkan dalam agama mereka, tetapi kuat diamalkan kebanyakan orang Sikh. Lebih unik, jika dalam keluarga itu hanya ada seorang abang atau adik lelaki, gadis dalam keluarga itu juga tidak dibenarkan mencuci rambut. Lebih kurang sama juga dengan beberapa kaum lain, jika ada sesiapa bersin ketika kita mahu memulakan sebarang pekerjaan, ia dianggap petanda tidak baik dan tak sesuai diteruskan. Mungkin ada masalah jika diteruskan. Ada saja silapnya. Menyapu rumah atau menyikat rambut pada waktu malam juga tidak digalakkan kerana dikatakan seperti menolak rezeki. Apabila mahu meraikan hari lahir, tak boleh diraikan sebelum tarikh lahirnya. Mesti selepas atau pada hari lahirnya kerana ia boleh menyebabkan pendek umur, kata Phajan. Wanita Sikh juga hebat dalam mengamalkan petua tradisional dalam mengubati sesuatu penyakit seperti penggunaan daun neem untuk penyakit kulit. Ia umpama pembasmi kuman untuk mengubati penyakit gatal. Susu kambing pula digunakan untuk mengubati sakit mata. Air rebusan jemuju atau terus dimakan begitu saja digunakan untuk mengeluarkan angin dalam badan. Satu keluarga kami gunakan biji jemuju ketika sakit perut. Madu dan herba kulit kayu digunakan untuk mengubati batuk. Banyak sebenarnya herba ini ada di India dan digunakan sejak dulu. Banyak sebenarnya petua dan amalan yang kami gunakan termasuk penggunaan krim susu lembu untuk melembutkan kulit muka. Petua tradisional untuk kecantikan masih digunakan secara meluas dalam masyarakat kami. Contohnya, susu masam dicampur madu boleh menghilangkan jerawat, kata Jaswinder. Leka juga mendengar pelbagai petua dan amalan diceritakan tiga wanita itu menunjukkan betapa wanita Sikh kuat berpegang kepada amalan petua tradisional sekali gus memecahkan rahsia bagaimana mereka menjaga kecantikan diri. Tidak dapat dinafikan, ramai wanita Sikh kelihatan seperti awet muda meskipun umur sudah mencecah setengah abad. Malah, sebagai bukti wanita Sikh kuat mempertahankan budaya tradisional ialah pembabitan mereka dalam aktiviti kesenian di mana ketika penulis melawat mereka, nyata lebih ramai wanita yang membuat persembahan berbanding hanya sebahagian kecil lelaki. Malah, kebanyakan wanita yang terbabit datang daripada pelbagai tahap usia iaitu kanak-kanak hinggalah mereka yang sudah layak digelar nenek. Capati, prata hidangan wajib 2010/11/20

CAPATI dan prata adalah makanan asasi mereka dan ia perlu ada setiap hari sebagai memenuhi menu utama orang Sikh. Tidak lengkap hidup mereka jika dalam sehari tidak berjumpa sekurang-kurangnya satu jenis roti itu. Itulah uniknya kaum Sikh, tidak jemu walau saban hari menjamah menu sama. Isteri Ketua Kampung Sikh Tanjung Tualang, Baljit Kaur, berkata dua jenis roti itu selain beberapa jenis roti lagi menjadi makanan popular dalam masyarakat Sikh seperti roti lobak putih, roti kentang, roti kubis dan pelbagai lagi bergantung kepada kreativiti wanita di rumah. Makan malam dan sarapan pagi mesti ada roti. Selalunya, malam makan capati dan pagi makan prata. Tengah hari saja makan nasi. Roti sebagai menu utama dengan pelbagai jenis kuah seperti dalca. Dalca pun ada pelbagai jenis dibezakan menggunakan berlainan ramuan iaitu kacang. Tak semestinya dalca kerana roti boleh dimakan dengan kuah dan lauk lain. Kadangkala dengan kari ayam atau ikan. Uniknya, orang Sikh banyak menggunakan minyak sapi buatan sendiri untuk memasak roti. Ia dibuat daripada susu lembu yang menjalani beberapa proses. Proses secara tradisional dan ada yang moden boleh dapat pelbagai bahan daripada susu lembu. Ia boleh jadi mentega, minyak sapi dan susu masam. Bahan daripada susu lembu sangat popular dalam makanan harian kami. Kadangkala ada yang makan begitu saja dengan roti, katanya. Nyata memang produk daripada susu lembu digunakan secara kerap dalam makanan harian orang Sikh kerana dapat dilihat setiap masa dalam hidangan orang Sikh di Tanjung Tualang. Mereka kelihatan begitu berselera menjamu selera dengan campuran mentega atau keju segar buatan sendiri. Terlintas juga mengapa orang Sikh begitu sihat dan kuat bekerja kerana diperhatikan menu dan rutin harian mereka setiap pagi dan malam sentiasa dihidangkan roti panas dengan susu lembu. Seperti di rumah Baljit, wanita di rumah itu akan memasak roti dan terus dihidangkan kepada suaminya. Pengamalan makanan roti dan susu lembu setiap hari sebenarnya sudah diamalkan sejak dulu, malah difahamkan orang Sikh tidak pernah makan nasi sebelumnya dan hanya menjadikan roti sebagai makanan wajib setiap masa. Sebab itulah tak ramai orang Sikh menghidap penyakit serius terutama diabetes. Seperkara lagi, menjamu selera dengan capati segar dimasak dan dihidang dengan dalca dan mentega buatan sendiri diakui sangat sedap dan menyelerakan. Tak hairanlah penulis dan rakan jurugambar berselera menghabiskan empat keping roti sekali hidangan.

Anda mungkin juga menyukai