Anda di halaman 1dari 11

KESENIAN DAN KEBUDAYAAN MASYARAKAT MUSLIM MALABARI

Kesenian dan kebudayaan Masyarakat Malabari


Pengenalan
Masyarakat Malabari adalah salah satu daripada etnik yang terdapat di negeri Johor selain
daripada masyarakat Jawa, Bugis, Minangkabau dan Banjar. Adat budaya dan kesenian
masyarakat Malabari mempunyai keunikannya yang tersendiri yang telah diwarisi sejak turun-
temurun lagi. Kaum Malabar telah datang ke negeri Johor atas sebab hubungan perdagangan
sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah zaman Kepesatan industri getah di Tanah
Melayu pada ketika itu. Mereka berasal dari Kerala, India yang berhijrah ke Kepulauan Melayu
melalui jalan laut sambil menyebarkan ajaran Islam di sini. Antara penempatan-penempatan awal
masyarakat Malabari di Johor adalah seperti di Johor Bahru, Ulu Tiram, Masai dan Renggam.
Masyarakat Malabari masih lagi mengamalkan dan mengekalkan adat, budaya dan tradisi
warisan mereka meskipun setelah meninggalkan kampung halaman nenek moyang mereka.
Masyarakat Malabari masih meneruskan pekerjaan tradisional seperti berniaga, bertani
dan juga mengembala kambing, lembu dan kerbau di awal kedatangan mereka ke negeri Johor.
Kaum wanita masyarakat ini juga memainkan peranan penting dalam mengekal dan mencorak
kebudayaan mereka sebagai pendorong dalam keluarga bagi menempuh segala cabaran dan
dugaan sepanjang penghijrahan mereka ke negeri Johor. Bahasa ibunda masyarakat Malabari
adalah Bahasa Malayalam dan bahasa ini masih dikekalkan sebagai bahasa pengantar dan
komunikasi dalam proses pembelajaran dan kehidupan seharian. Kaum Malabar adalah kaum
yang sangat menitikberatkan kebudayaan dan adat resam tradisional mereka sungguhpun berada
jauh dari penempatan asal mereka. Masyarakat ini juga dikenali sebagai masyarakat India
Muslim di Malaysia.

Sosio – Budaya Masyarakat Malabari


Projek pendokumentasian dan pemugaran masyarakat Malabari di negeri Johor sedikit
sebanyak memberi informasi tentang kesenian dan kebudayaan mereka kepada masyarakat
umum. Dengan ini, orang luar dapat mengenali dan memahami adat resam dan pantang larang
yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Projek pendokumentasian budaya dan kesenian
rakyat Johor telah diusahakan oleh Yayasan Warisan Johor dan kini adalah masa untuk mengenali
kesenian dan kebudayaan Masyarakat Malabari dengan lebih mendalam lagi. Pendokumentasian
budaya dan kesenian masyarakat ini merangkumi aspek sejarah, adat resam, pantang larang,
kepercayaan, makanan, perkahwinan, kesenian tradisi, perubatan tradisional dan pelbagai aspek
lain yang melambangkan budaya sesuatu kaum tersebut.
Negeri Johor adalah sebuah negeri yang mempunyai taburan penduduk masyarakat
Malabari yang tertinggi di Malaysia. Etnik Malabari ini bermukim di sekitar Renggam, Masai,
Chaah dan Ulu Tiram. Masyarakat Malabari adalah suatu masyarakat yang mempunyai jati diri
yang cukup kuat dan tinggi sifat kesantunannya serta patuh kepada adat resam, pantang larang
dan juga berpegang kuat dengan ajaran agama Islam. Kaum Malabari juga sangat mementingkan
pelajaran dan pendidikan anak-anak . ini dapat dibuktikan dengan wujudnya Madrasah sebagai
tempat menimba ilmu terutamanya ilmu agama. Di negeri Johor sahaja telah terdapat sebanyak
28 buah madrasah yang dibangunkan atas daya usaha mereka sendiri sehingga ramai dikalangan
mereka yang berjaya memegang jawatan penting dalam masyarakat sekaligus meningkatkan
kredibiliti mereka dalam kehidupan bermasyarakat di sini.
Masyarakat Malabari mempunyai adat resam dan pantang larang yang terlalu banyak
yang harus mereka patuhi dan ikuti dalam kehidupan seharian. Antaranya, pantang larang ketika
bersalin, penjagaan makan minum ketika berpantang selepas bersalin. Kaum wanita juga
dilarang membunuh nyamuk ketika mengandung, begitu juga dengan semut dan sebagainya.
Antara pantang larang lain yang masih diamalkan oleh masyarakat Malabari dalam kehidupan
seharian adalah melarang anak-anak keluar rumah selepas waktu isya’.
Apa yang menarik dalam masyarakat Malabari ini adalah anak mudanya yang masih lagi
berpegang teguh dengan adat resam nenek moyang mereka dan masih mempraktikkannya lagi
dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya seperti, jodoh anak-anak ditentukan oleh ibubapa
dan keluarga tanpa sebarang bantahan daripada anak-anak itu sendiri dan mereka menurut sahaja
kehendak orang tua masing-masing. Elemen kesenian juga merupakan elemen penting dalam
mencorak kebudayaan masyarakat Malabari, antara permainan tradisional terkenal mereka ialah
kolkali yang mengandungi unsure puji-pujian terhadap para wali dan anbia.

Amalan dan Adat Resam Masyarakat Malabari


Masyarakat Malabari mempunyai suatu warisan budaya yang unik dan kelainan yang
tersendiri yang diwarisi daripada masyarakat terdahulu. Antara beberapa adat dan amalan yang
mempunyai keunikan yang berbeza daripada masyarakat Melayu adalah seperti upacara ketika
baligh bagi seorang gadis, adat mencuci kaki bagi pengantin lelaki, Kompang/Kolkali dan lain-
lain. Namun, mereka juga mengamalkan beberapa amalan yang sama seperti masyarakat Melayu
antaranya ialah tradisi berkhatan, bertindik, zikir, merisik, meminang dan majlis nikah cuma
mungkin cara pengamalannya sedikit berlainan daripada kaum Melayu. Adat-adat yang masih
diamalkan oleh masyarakat Malabari adalah seperti berikut:
1. Berkhatan
Adat berkhatan adalah adat yang sinonim dengan mayarakat Islam dan amalan ini dilakukan
kepada kanak-kanak perempuan ketika masih kecil lagi. Manakala bagi kanak-kanak lelaki,
majlis berkhatan akan diadakan ketika mencapai umur baligh. Orang yang akan melangsungkan
upacara khatan dikenali sebagai Tok Mudim, namun dalam masyarakat Malabari, Tok Mudim
lebih dikenali sebagai Vassan. Semua peralatan yang digunakan dalam majlis berkhatan akan
disediakan oleh Vassan yang dibungkus dalam kain putih. Antara bahan yang diperlukan adalah
ubat-ubatan seperti jantung pisang segar bersama tangkai yang digunakan untuk menghentikan
pendarahan, pucuk pisang yang direbus dengan daun teh yang digunakan sebagai anti
septik/pembalut. Minyak kelapa gorengan bawang merah pula digunakan sebagai ubat sapu
setelah balutan daun pisang dibuka. Bahan-bahan lain yang diperlukan ialah batang pisang,
pisang muda dan sirap.

2. Bertindik
Amalan bertindik dilakukan kepada kanak-kanak perempuan sahaja. Adat ini dilakukan oleh
Mak Bidan yang lebih dikenali sebagai Vassati. Peralatan dan bahan yang diperlukan ialah duri
limau, kunyit basah, hati batang bawang putih dan subang. Manakala minyak bijan pula
digunakan sebagai ubat sapu.

3. Zikir
Bagi masyarakat Malabari, amalan berzikir telah dilakukan sejak turun-temurun lagi. Amalan ini
dijalankan secara mingguan dan hanya golongan lelaki sahaja yang terlibat. Setiap kali
mengadakan zikir mingguan ini, mereka akan menjemput tetamu tertentu bagi memeriahkan lagi
majlis tersebut. Acara berzikir ini akan diadakan di madrasah yang berdekatan dengan tempat
tinggal mereka. Para peserta yang menyertai majlis ini mestilah mengenakan pakaian serba putih
iaitu kemeja, vesti, ikat kepala atau baju pagoda berlengan, kain pelikat berkotak yang berwarna
lembut (kalli tunni), ikat kepala tuala ‘good morning’ putih.

4. Baligh
Masyarakat Malabari mempunyai adat yang unik bagi meraikan kanak-kanak perempuan yang
baru baligh. Kanak-kanak perempuan yang pertama kali datang haid akan didatangi oleh jiran-
jiran yang membawa bersama buah tangan seperti telur,susu, kuih muih dan lain-lain. Kanak-
kanak ini juga akan diberikan nasihat berkaitan dengan perubahan pada dirinya. Bagi kanak-
kanak perempuan yang pertama kali datang haid, mereka akan diberi minum telur mentah
bercampur minyak bijan selama 7-15 hari, kerana dipercayai dapat memberikan kekuatan pada
pinggang dan tulang belakang. Mereka juga akan diberikan makanan berkhasiat yang biasanya
dimasak dengan minyak sapi, herba-herba dan sup ayam atau daging.
Kanak-kanak ini akan diasingkan di dalam sebuah bilik, mereka tidak dibenarkan keluar
bilik kecuali ke tandas. Mereka juga tidak dibenarkan berbual dengan kaum lelaki termasuk ahli
keluarga sendiri sehingga bersih daripada haid. Mereka akan diterangkan dengan adab-adab
ketika uzur dan bagaimana hendak menjaga kebersihan diri. Satu upacara meraikan kanak-kanak
perempuan tersebut akan diadakan selepas bersih daripada hadas biasanya pada hari ke-10.
Hanya ahli keluarga dan jiran-jiran perempuan sahaja yang akan hadir dalam majlis tersebut.
Kanak-kanak tersebut akan dilumurkan dengan kunyit yang tumbuk keseluruh tubuhnya
manakala kepala pula akan disapu dengan minyak bijan. Saudara perempuan kanak-kanak
tersebut iaitu nenek atau ibu saudara akan mengajarkan cara-cara mandi wajib. Sabun yang
digunakan ketika mandi ialah bahan tradisional iaitu kacang hijau yang digiling bersama kulit
pokok pulai dan beras manakala serbuk ‘siakkah’ digunakan sebagai syampu.
Setelah itu, kanak-kanak tersebut akan di bawa ke sungai untuk dimandikan dengan
ditemani oleh sanak saudara dan rakan-rakan. Sungai merupakan simbol kebersihan maka itulah
sebabnya kanak-kanak tersebut di bawa ke sungai supaya memahami erti mandi dengan bersih.
Kemudian, kanak-kanak tersebut akan dipakaikan dengan pakaian baru dan dipakaikan juga
barang kemas untuknya. Wajah kanak-kanak ini akan ditutup sehingga ditunjukkan kepada
saudara lelakinya sama ada abang atau adik lelakinya. Kanak-kanak perempuan tersebut akan
disuruh melihat pohon kelapa yang sarat berbuah sebagai simbolik kepada kesuburan dan
sentiasa berguna seperti pohon kelapa tersebut. Kanak-kanak tersebut kemudiannya dihidangkan
dengan kelapa muda yang diracik berserta gula melaka sebagai manisan. Majlis doa selamat pula
akan diadakan pada sebelah petang atau malam oleh keluarga kanak-kanak tersebut dan proses
mencari jodoh akan dimulakan.

5. Kompang/Kolkali
Bagi permainan kompang atau kolkali pula akan dipersembahkan oleh kumpulan kompang yang
disertai seramai sepuluh orang peserta dengan seorang penyanyi. Kumpulam kompang ini akan
mempersembahkan persembahan Kompang Adrah dan persembahan Kolkali. Antara alatan yang
diperlukan ialah pakaian tradisional lengkap, kompang dan kayu kolkali.

6. Adat Perkahwinan Masyarakat Malabari


Masyarakat Malabari juga mementingkan adat dan tradisi perkahwinan seperti mana
masyarakat Melayu dan lain-lain etnik. Adat dan tradisi yang dijalankan hampir sama dengan
orang Melayu kecuali beberapa amalan yang hanya terdapat dalam tradisi masyarakat Malabari
iaitu adat menjemput pengantin lelaki, adat mencuci kaki dan majlis menyerahkan anak
perempuan atau rombongan menghantar pengantin. Majlis perkahwinan haruslah diadakan
dengan penuh adat istiadat bagi melambangkan keluhuran sebuah ikatan pernikahan yang
dijalinkan antara dua insan. Jadi segala proses pra-perkahwinan akan dijalankan mengikut
turutan sebelum majlis akad dan nikah diadakan. Antara adat yang perlu dituruti ialah:
-Merisik (Penna Nookua)
Merisik adalah adat yang pertama sekali dilakukan oleh pihak lelaki bagi mengetahui status
gadis yang ingin dikahwini dan ia adalah satu keperluan sebelum upacara peminangan
dijalankan. Tiga orang wakil daripada pihak lelaki akan datang ke rumah keluarga gadis
berkenaan bagi tujuan merisik. Adat ini dilakukan secara ringkas dan hanya disediakan jamuan
ringan sahaja kepada para tetamu oleh keluarga gadis tersebut. Kunjungan di ada
kesinambungannya sekiranya pihak perempuan bersetuju dengan jodoh yang ditetapkan maka
rombongan meminang pula akan menyusul selepas itu.
-Meminang (Penna Kangan Pouva/Veedu Kangan Pouva)
Adat meminang dilakukan setelah pihak perempuan bersetuju dan menerima perjodohan yang
telah diadakan ketika merisik. Ibubapa pihak lelaki akan datang ke rumah keluarga perempuan
bagi tujuan berkenalan dengan keluarga dan bakal menantu. Jika peminangan ini dipersetujui
oleh kedua-dua belah pihak, maka keluarga perempuan iaitu ibubapa, datuk nenek atau adik-
beradiknya akan berkunjung pula ke rumah keluarga lelaki bagi meyampaikan keputusan
peminangan. Namun, jika peminangan ini ditolak, keputusan akan disampaikan melalui orang
tengah sahaja.

-Bertunang
Adat bertunang akan diadakan selepas kedua-dua buah keluarga mencapai persetujuan mengenai
perjodohan tersebut. Sebelum upacara pertunangan dijalankan, adik lelaki pihak perempuan akan
menjemput pihak lelaki bertandang ke rumah pihak perempuan.

-Berinai (Mailanji)
Adat berinai pula akan diadakan bagi pengantin perempuan sebelum majlis perkahwinan
dilangsungkan. Si gadis akan dipakaikan inai dijari tangan dan kaki serta ditemani oleh rakan-
rakan pada malam sebelum majlis perkahwinan. Majlis ini diadakan di rumah pengantin
perempuan dan diserikan lagi dengan acara nyanyian.

-Adat Mencuci Kaki


Adat ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia hanya dilakukan oleh masyarakat
Malabari sahaja. Seperti juga adat bertunang, pengantin lelaki akan dijemput oleh adik lelaki
pengantin perempuan untuk datang ke rumah. Upacara mencuci kaki akan dijalankan sebelum
pengantin lelaki masuk ke dalam rumah pengantin perempuan. Air yang diisikan ke dalam kendi
akan dicurahkan ke kaki pengantin lelaki dan pengantin lelaki akan memasukkan cincin ke
dalam kendi sebagai hadiah kepada adik lelaki pengantin perempuan. Cincin itu akan diambil
oleh adik lelaki pengantin perempuan dan upacara perkahwinan akan dijalankan selepas itu.
-Majlis Nikah
Majlis perkahwinan masyarakat Malabari juga disambut meriah seperti mana masyarakat
Melayu. Kaum Malabari akan meraikan pengantin lelaki yang datang ke rumah pengantin
perempuan dengan mengadakan adat mencuci kaki terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk
ke dalam rumah. Majlis akad nikah kemudian dijalankan mengikut syariat Islam dengan
dikendalikan oleh jurunikah. Namun, keunikan pakaian pengantin lelaki ialah pemakaian sapu
tangan di kepala. Mas kahwin dan hantaran disediakan seperti biasa iaitu cincin, gelang atau
rantai. Pengantin akan diraikan dengan meriah selepas diijabkabulkan.

-Majlis Menyerahkan Anak Perempuan


Amalan ini biasa dilakukan dalam masyarakat Malabari bagi menghantar pengantin perempuan
ke rumah pengantin lelaki. Biasanya kakak atau adik perempuan pengantin lelaki bersama
makcik dan saudara yang lebih tua akan akan pergi menjemput pengantin perempuan. Si suami
akan menyediakan pakaian selengkapnya kepada pengantin perempuan kerana pengantin tidak
boleh memakai pakaian yang disediakan oleh ibubapanya. Pengantin perempuan hanya boleh
memakai pakaian yang disediakan oleh suaminya sahaja ketika keluar dari rumahnya. Oleh itu si
suami mestilah menyediakan pakaian lengkap untuk kegunaan isterinya selama tiga atau tujuh
hari.
Pengantin perempuan akan diserahkan kepada wakil ibu mertua sama ada amayi (makcik sebelah
bapa pengantin lelaki) atau nenek pengantin lelaki oleh ibu atau nenek pengantin perempuan
untuk disayangi, dijaga dan diberi tunjuk ajar apa yang kurang. Sanak saudara pengantin
perempuan yang menghantar rombongan akan diraikan dengan meriah oleh pihak pengantin
lelaki. Mereka akan disambut dengan nyanyian dan akan berbalas nyanyian dengan wakil dari
rumah pengantin perempuan. kemudian semua tetamu yang hadir akan dijamu dengan jamuan
makan tengahari.

-Majlis Bertandang
Pengantin perempuan dan suaminya akan dibawa pulang ke rumah keluarga pihak perempuan
pada hari ketiga atau ketujuh oleh abang, adik lelaki atau sepupu pengantin. Pasangan ini akan
tinggal disana selama beberapa hari bertujuan bertandang ke rumah keluarga pengantin
perempuan. Adat ini diamalkan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pasangan
pengantin dengan ahli keluarga baru. Majlis ini dikenali sebagai “Theatem” dan keluarga
pengantin lelaki akan mengirim buah tangan seperti sireh dan kuih muih kepada besannya.
Majlis ini akan dimeriahkan lagi oleh ahli keluarga dan saudara-mara pengantin perempuan.
Setelah itu pasangan pengantin ini akan pulang semula ke rumah pengantin lelaki.

7. Adat Menyambut Kelahiran


Masyarakat Malabari memang terkenal sebagai kaum yang mempunyai pelbagai adat dan
budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman. Bagi masyarakat Malabari, kelahiran bayi adalah
sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang sudah berkahwin. Oleh itu, mereka
akan mengadakan suatu majlis yang dinamakan majlis lengggang perut sebagai satu majlis
kesyukuran. Ianya akan diadakan di rumah suami apabila si isteri genab mengandung tujuh
bulan. Si isteri mestilah memakai pakaian serba putih dan mengambil peluang ini untuk meminta
maaf atas segala kesalahan/kekurangan terhadap suami, mertua dan semua kaum keluarga kerana
selepas itu dia akan pulang ke rumah ibubapanya.
Majlis ini akan dihadiri oleh keluarga suami, isteri dan jiran tertangga serta keluarga perempuan
datang dengan membawa buah tangan berupa sireh pinang dan makanan. Keluarga suami akan
membekalkan sedikit wang sebagai keperluan bersalin kelak dan setelah itu pihak lelaki akan
membalas juadah yang sama dibawa oleh pihak perempuan. setelah genab sembilan bulan, si
suami dan keluarga akan melawat si isteri dengan membawa buah tangan seperti makanan,
pakaian bayi serta wang sebanyak dua kali ganda jumlah yang telah diberikan sebelumnya.
Selepas kelahiran bayi, iaitu pada hari ke-7 biasanya akan diadakan majlis akikah atau
juga dikenali sebagai majlis mencukur kepala bayi yang baru lahir tersebut. Rambut bayi itu
akan dicukur dan kepalanya akan disapukan dengan susu ibu serta diberi nama pada hari ke-7
kelahiran. Rambut tersebut ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas semasa kemudiannya
nilai wang tersebut akan disedekahkan kepada orang miskin. Majlis ini akan dibuat oleh keluarga
si suami.
Setelah itu akan diadakan pula majlis lepas hari atau juga biasa dipanggil lepas pantang.
Biasanya dilakukan pada hari ke-38 bagi bayi lelaki dan hari ke-40 bagi bayi perempuan beserta
majlis mendodoi anak. Nyanyian akan diadakan oleh keluarga si suami yang datang ke rumah
besan dengan persediaan yang perlu. Ibu dan anak yang habis pantang akan dimandikan dengan
air minyak attar. Mereka akan dipakaikan dengan pakaian baru yang disediakan oleh si suami
dan kemudiannya akan dihidangkan dengan kelapa bersama gula merah.

8. Masakan Tradisional Masyarakat Malabari


Masyarakat Malabari merupakan etnik yang sangat menyanjung budaya dan warisan
peninggalan nenek moyang mereka. Oleh yang demikian, pelbagai aspek budaya dan adat resam
turun-temurun masih lagi diamalkan sehingga hari ini tidak hanya bagi golongan tua bahkan juga
generasi muda. Antara aspek yang melambangkan tradisi dan jati diri masyarakat Malabari ialah
warisan masakan tradisional mereka yang masih mengekalkan ciri-ciri keaslian masakan
tersebut.
Bagi masyarakat Malabari, masakan tradisi merupakan suatu perkara yang harus dititikberatkan
dan dipelihara warisannya terutamanya untuk diperturunkan kepada generasi muda supaya ciri-
ciri budaya sesuatu kaum itu tidak luput ditelan zaman. Tambahan pula masyarakat ini telah lama
bertapak di bumi Malaysia yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum yang berpotensi
mempengaruhi ciri-ciri budaya etnik lain. Oleh sebab itu, setiap generasi masyarakat Malabari
haruslah menguasai resepi masakan tradisi mereka antaranya ialah patri, velcena patri, puttu, kari
kacang kuda dan banyak lagi. Kebanyakkan juadah masyarakat Malabari diperbuat daripada
tepung beras dan dimasak menggunakan kaedah tradisional iaitu kayu api dijadikan bahan bakar
utama bagi tujuan menaikkan lagi keharuman masakan tersebut.

9. Masakan Tradisional Masyarakat Malabari di Renggam, Kluang, Johor.

Patri
Masakan ini biasanya dihidangkan kepada tetamu ketika majlis perkahwinan. Juadah ini sangat
mudah disediakan iaitu dengan menyediakan segenggam tepung beras, secubit garam dan
secawan air. Kesemua bahan tersebut digaul rata, diadun sehingga menjadi doh dan ditebarkan
lalu dimasak tanpa minyak. Hidangan ini sangat sesuai disajikan bersama kari daging atau kari
ayam.

Velcena Pacri
Bahan-bahan yang diperlukan bagi meyediakan makanan ini ialah bawang merah yang dihiris
nipis, halba, kelapa parut, tepung beras, secawan air dan secubit garam. Bahan-bahan tadi
kemudiannya digaul dan diuli seterusnya digoreng.

Puttu
Bagi menyediakan hidangan ini, ramuan-ramuan yang diperlukan ialah seperti tepung beras,
kelapa parut, air, gula dan buluh. Bahan-bahan tadi diuli dengan kelapa yang telah dicampur
dengan gula. Kemudiannya adunan tersebut dimasukkan ke dalam bekas buluh yang dibalut
dengan kain. Buluh ini dimasak diatas air yang mendidih. Hidangan ini sangat enak dihidangkan
bersama pisang dan gula.
Kari Kacang Kuda
Bahan-bahan yang diperlukan bagi menyediakan resepi ini ialah kentang, rempah kari, daun kari,
halia yang dihiris, bawang, cili kering, halba, kacang tanah, garam dan buah pelaga. Ramuan
seperti bawang, halia, daun kari, cili kering, halba dan pelage ditumis bersama. Kemudian
dimasukkan rempah kari dan ditambah air, kentang dan akhir sekali dimasukkan kacang tanah ke
dalam ramuan tadi lalu dikacau sehingga masak dan dihidangkan.

Vella Apam
Bagi menyediakan juadah ini, ramuan yang diperlukan ialah tepung beras, kelapa, garam dan air
digaul dan adunan ini diuli hingga sebati. Kemudiannya digoreng. Sajian ini sesuai dihidangkan
bersama kari ikan.

Nayee Apam
Antara bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat makanan ini ialah tepung beras, gula merah,
air, gula pasir dan jintan. Kesemua bahan-bahan akan diuli bersama.

Puu Vade
Penyediaan Puu Vade memerlukan bahan-bahan seperti tepung beras, gula merah, kelapa parut,
gula, garam dan daun pisang. Makanan ini mempunyai bahagian kulit luarnya dan ramuan yang
diperlukan bagi membuat bahagian ini ialah tepung, air dan garam digaul sehingga rata. Bagi
membuat intinya pula, kelapa parut mestilah digaul bersama gula merah sehingga sebati.
Kemudian, dengan menggunakan daun pisang, inti dimasukkan ke dalam adunan tepung dan
dibungkus seperti lepat.

Matram Kari
Untuk menyediakan hidangan ini, kelapa parut, gula pasir, gula merah dan garam akan di masak
diatas belanga. Kemudian adunan ini digentel-gentel. Bagi membuat kuahnya pula, memerlukan
gula merah, gula pasir, garam, santan dan tepung beras dicampurkan bersama dan digaul
sehingga sebati.
Andy Putte
Resepi masakan ini memerlukan bahan-bahan seperti kacang tanah, kacanag gajus, jintan, gula
Melaka yang ditumbuk dengan menggunakan ‘antan’ (batu lesung besar) sehingga hancur.
Adunan ini kemudiannya dikepal-kepal.

Papadam
Papadam merupakan resepi yang bukan sahaja terkenal dikalangan masyarakat Malabari
malahan juga dikalangan masyarakat Melayu yang meminati makanan ini. Untuk
menyediakannya, bahan-bahan yang diperlukan ialah tepung beras, minyak, tepung kacang dal,
jintan, air, dua sudu teh soda dan sedikt minyak untuk menggoreng. Kesemua bahan tadi
dicampurkan dan diadun sehingga sebati lalu digelek sehingga nipis dan digoreng.

Chakara Chora (nasi manis)


Masyarakat Malabari akan meraikan hari nisfusyaaban dengan menyediakan hidangan istimewa
yang dinamakan chakara chora atau nasi manis sebagai satu hidangan wajib bagi setiap rumah.
Antara bahan yang diperlukan bagi menyediakan sajian ini ialah beras india, gula melaka, kayu
manis, kelapa dan gajus. Kesemua bahan tadi dicampurkan dengan beras dan ditanak diatas api
sehingga masak.

Cheera Kanyi
Bagi menyediakan juadah berbuka puasa di bulan Ramadhan, hidangan ini merupakan hidangan
wajib dalam setiap keluarga masyarakat Malabari. Makanan ini enak dan disajikan bersama lauk
kuttan dan toillee kelapa. Ramuan yang perlu disediakan ialah beras india, air secukupnya,
serbuk kunyit, bawang besar, halia dan garam. Bahan-bahan seperti bawang, serbuk kunyit dan
halia hendaklah digoreng sehingga garing. Kemudiannya ditambah dengan air. Setelah sebati,
masukkan garam secukup rasa. Akir sekali beras dimasukkan dan tanak nasi sehingga masak.

Kuttan (keladi)
Masyarakat Malabari juga menggemari keladi atau juga dikenali sebagai kuttan. Untuk memasak
sajian ini memerlukan sayur keladi, garam, kelapa, jintan, bawang putih, bawang merah, kunyit,
cili kering dan minyak. Bahan-bahan seperti bawang putih, jintan, bawang merah, kunyit, cili
kering ditumis sehingga naik bau. Kemudian santan dicampurkan bersama garam. Akhir sekali
masukkan keladi dan masak sehingga keladi empuk.

Toillee Kelapa
Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan masakan ini ialah ikan bilis, cili kering,
bawang kecil, halia dan asam jawa. Kesemua bahan tadi digiling sehingga lumat. Makanan ini
dimakan seperti sambal belacan.

Penutup
Masyarakat Malabari merupakan satu masyarakat yang sangat mementingkan adat dan budaya
warisan masyarakat terdahulu. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dilakukan oleh masyarakat
ini bagi memastikan kelangsungan adat dan tradisi mereka kekal seiring arus permodenan
masyarakat setempat. Adat budaya dan tradisi masyarakat Malabari masih lagi diamalkan oleh
kaumnya sehingga sekarang sungguhpun mereka telah lama bermastautin di bumi Malaysia ini.
Penghijrahan nenek moyang mereka ke daerah Nusantara ini tidak bermakna adat resam dan
amalan tradisi mereka juga luput ditelan budaya setempat. Bagi mereka kesenian dan
kebudayaan warisan turun-temurun mestilah disanjung dan dikekalkan untuk tatapan generasi
akan datang. Bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.

Anda mungkin juga menyukai