Anda di halaman 1dari 4

MALAYSIA SEBUAH NEGARA YANG KAYA DENGAN PELBAGAI BUDAYA DAN ADAT RESAM Kepelbagaian budaya di Malaysia telahpun

terbentuk semenjak dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Peranan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangasa telah membuka ruang kepada kemasukan para peniaga dan pedagang asing ke Tanah Melayu. Kebanjiran masyarakat asing di Tanah Melayu terus bertambah hasil daripada tindakan penjajah yang membawa masuk imigran-imigran asing sebagai buruh, petani dan askar upahan. Kini selepas 51 tahun merdeka, kesemua etnik utama seperti China dan India masih mampu mengekalkan jati diri masing. Mereka masih lagi mengekalkan agama dan anutan nenek moyang mereka. Malahan pusat-pusat keagamaan bagi agama Hindu, Buddha dan Sikh bersilih ganti membawa masuk pengamal-pengamal agama atau sami-sami dari negara asal mereka ke negara ini bagi memastikan kesinambungan ajaran nenek moyang mereka. Walaubagaimanapun, evolusi terhadap budaya kebendaan tetap berlaku. Kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni di antara orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini telah menjadi penggalak kepada berlakunya perkongsian budaya di mana budaya masyarakat Melayu dan bukan Melayu ini telah diterima pakai dan diserapkan ke dalam cara hidup satu sama lain. Pengaruh Budaya Melayu di Kalangan Masyarakat Bukan Melayu Pengaruh budaya Melayu di kalangan masyarakat bukan Melayu paling jelas dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina Peranakan dan Chetty. Cina Peranakan Cina Selat atau lebih dikenali sebagai Baba dan Nyonya adalah golongan Cina yang telah menyerap dan menjalani kebudayaan Melayu dalam kebudayaan mereka. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba". Berbeza dengan Baba dan Nyonya di Melaka, Cina Peranakan Kelantan diberi banyak gelaran. Orang Melayu memanggil mereka Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi Cina di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar manakala masyarakat Thai di Kelantan menggelar mereka sebagai Cina Darat, Cina Kampung atau Cina Kelantan. Namanama yang digunakan seperti Gan Awang, Tan Awang Besar, Lau Cheng San atau Che Hassan, Che Midah, Mek Su dan nama-nama lain mencerminkan bagaimana proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri di kalangan masyarakat tempatan. Antara persamaan Cina Peranakan Kelantan dan Melaka dengan masyarakat Melayu adalah dari segi masakan, bahasa harian, pakaian dan aktiviti-altiviti kerakyatan. Dari segi bahasa, masyarakat Baba Nyonya di Melaka bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu, manakala Cina Peranakan

Kelantan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dialek Kelantan dengan bahasa Hokkien yang berbeza hasil campuran Melayu dan Thai. Tetapi umumnya mereka ini tidak tahu berbahasa Mandarin. Seperti orang Melayu, mereka juga gemar memakan sirih dan mengunyah sentil tembakau. Cara masakan mereka pula kebanyakannya dipengaruhi oleh cara masakan Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga orang-orang Melayu. Antara menu utama masyarakat Baba Nyonya di Melaka termasuklah lauk pauk seperti masak asam pedas, masak lemak dan sambal belacan manakala Cina Peranakan Kelantan tidak janggal makan ulam bercicahkan budu. Bermain gasing dan menonton wayang kulit merupakan antara aktiviti tradisional yang digemari oleh Cina Peranakan Kelantan. Kebolehan menulis dan membaca dalam Jawi pula adalah satu perkara biasa bagi generasi tua Cina Peranakan Kelantan yang mendapat pendidikan di sekolah aliran Melayu selain pergaulan yang rapat sejak kecil dengan rakan mereka yang berbangsa Melayu. Bagi masyarakat Baba di Melaka, berpantun dan berjoget lambak sudah dianggap sebagai daripada warisan budaya mereka. Penyerapan budaya Melayu di kalangan Cina Peranakan ini lebih terserlah apabila di Kelantan kita dapat melihat warga tuanya gemar memakai semutar ketika bekerja di bawah terik matahari dan memakai kain batik atau kain pelekat sebagai pakaian harian mereka. Begitu juga di Melaka kita boleh melihat generasi tua Baba perempuan (Nyonya) gemar memakai kebaya dan sarong seperti mana wanita Melayu. India Peranakan Masyarakat Hindu Peranakan yang juga dikenali sebagai masyarakat Chetti Melaka adalah satu kelompok masyarakat minoriti India yang unik di Melaka. Masyarakat ini tidak boleh disamakan dengan masyarakat chetty yang terkenal dalam bidang peminjaman wang tetapi ia adalah masyarakat yang terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang-orang Hindu dengan orang-orang tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain. Perkahwinan campur dan pergaulan harian yang rapat dengan masyarakat tempatan turut mempengaruhi budaya masyarakat India Pernanakan ini. Sebagai contoh, pakaian tradisional mereka lebih mirip kepada masyarakat Melayu iaitu kebaya labuh dan bersanggul tiga bagi wanita manakala yang lelakinya pula berkain pelekat, baju Melayu labuh dan talapa iaitu kain seperti serban bagi menutup kepala. Oleh kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekeliling dan pergaulan dengan masyarakat tempatan, maka makanan harian mereka juga adalah seperti orang Melayu iaitu nasi. Selain itu, mereka juga menjadikan kuih-kuih tradisional Melayu seperti dodol, wajik dan kuih bahulu sebagai antara hidangan utama untuk menyambut tetamu ketika hari perayaan. Masyarakat India dan Cina Moden, dan Masyarakat Bukan Melayu Lain

Selain daripada masyarakat Baba Nyonya, Peranakan Cina Kelantan dan masyarakat Chetty, pengaruh budaya Melayu juga terdapat di kalangan masyarakat bukan Melayu lain seperti bumiputra Sabah dan Sarawak, dan juga masyarakat India dan Cina moden. Bezanya pengaruh budaya Melayu di kalangan mereka sekadar melibatkan proses akulturasi dan bukannya asimilasi. Antaranya kita dapat melihat Bahasa Melayu digunakan sebagai medium komunikasi utama di antara dua individu yang berlainan etnik. Bagi kaum wanita, sepasang dua baju kurung sudah pasti ada di dalam senarai pakaian harian mereka ke pejabat. Begitu juga dengan kaum lelaki yang tidak kekok mengenakan baju batik ketika menghadiri majlis-majlis rasmi. Di sekolah-sekolah pula, sudah menjadi satu kebiasaan bagi pelajar-pelajar Cina dan India bahkan juga masyarakat bumiputra di Sabah dan Sarawak memilih baju kurung sebagai pakaian sekolah sekolah. Senario ini dapat dilihat bukat sahaja di sekolah-sekolah kebangsaan ataupun di sekolah-sekolah integrasi, tetapi juga di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. 1. 2. 3. 4. http://ms.wikipedia.org/wiki/baba_dan_nyonya http://ms.wikipedia.org/wiki/chetty http://mforum.cari.com.my http://www.heritage.gov.my/kekkwa

Pengaruh Budaya Bukan Melayu di Kalangan Masyarakat Melayu Sebagai penduduk asal Tanah Melayu yang telah menerima kehadiran pelbagai budaya asing semenjak beratus tahun lamanya, budaya masyarakat Melayu dengan sendirinya terevolusi. Terdapat banyak pengaruh asing yang telah diterima dan diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu sekarang dan ianya dapat dilihat dari segi cara berpakaian, makanan, hiburan, majlis perkahwinan, majlis hari lahir dan sebagainya. Golongan lelaki memilih baju kemeja dan seluar slack dan tali leher sebagai pakaian rasmi ke pejabat berbanding baju Melayu, sampin dan songkok. Senario ini adalah senario akulturasi yang berlaku pada masyarakat Melayu di Malaysia. Hanya golongan wanita yang kekal anggun mengenakan baju tradisi seperti baju kurung dan kebaya untuk ke pejabat dan urusan-urusan rasmi lainnya. Pun begitu, fesyen pakaian golongan wanita ini juga tidak lepas dari pengaruh asing. Jubah dan kepelbagaian tudung dari Timur Tengah menjadi fesyen terkini wanita Melayu. Pemberian angpau ketika Hari Raya Aidilfitri merupakan budaya yang asalnya dipinjam dari budaya masyarakat Cina. Dalam budaya masyarakat Cina, pemberian angpau adalah dari golongan yang sudah berkahwin kepada mereka yang masih bujang, tetapi dalam masyarakat Melayu, pemberian angpau pula adalah dari orang dewasa (tanpa mengira yang sudah berkahwin ataupun yang masih bujang) kepada kanak-kanak kecil dan remaja yang masih bersekolah dan

juga dari seorang anak kepada kedua ibu bapa mereka. Malahan ada juga yang memberi angpau kepada nenek serta datuk. Permainan bunga api dan mercun ketika Hari Raya Aidilfitri juga merupakan pengaruh budaya masyarakat Cina. Sekiranya kita lihat daripada segi makanan, masyarakat Melayu turut mempunyai menu yang sama dengan masyarakat Cina dan India seperti roti canai, capati, maruku, kari, mee hailam dan nasi ayam. Semua ini adalah contoh masakan masyarakat lain yang diserap ke dalam budaya Melayu hasil daripada perkahwinan campur ataupun pergaulan seharian. Selain itu, pengaruh makanan barat juga semakin meluas di kalangan masyarakat Melayu. Roti John dan Burger Ramlee adalah antara pengaruh makanan masyarakat barat di kalangan masyarakat Melayu yang mana orang Melayu telah menerima makanan tersebut sebagai makanan Melayu. Masyarakat Melayu juga pada hari ini lebih gemar makan menggunakan sudu dan garfu ketika tangan berbanding tangan. Pengaruh barat juga dapat dilihat ketika adanya majlis-majlis sambutan hari lahir. Lilin akan dibakar mengikut bilangan umur di atas sebiji kek dan kemudiannya ditiup oleh individu yang diraikan. Masyarakat Melayu tidak sepatutnya mendedahkan anak-anak mereka dengan budaya berparti seperti ini sebaliknya sambutan hari lahir perlulah diraikan dengan majlis doa selamat ataupun kenduri kesyukuran. Sebenarnya, pengaruh budaya asing dalam masyarakat Melayu masih begitu banyak untuk dihuraikan. Sikap keterbukaan masyarakat, pengaruh arus kemodenan dan agenda pembangunan negara adalah antara medium belakunya akulturasi budaya ini. Pengaruh yang baik wajar kita terima dalam budaya kita. Walaubagaimanapun, perlu ada pemantauan dilakukan terhadap kemasukan budaya asing ini supaya tidak terus meresap ke dalam budaya tempatan dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, hiburan dan fesyen yang dibenarkan masuk dari luar tanpa sebarang had telah menyebabkan tersebarnya budaya Black Metal, Punk, Gothic dan Skinhead di kalangan remaja Melayu. Budaya negatif seperti ini sekiranya tidak dibendung, mampu menjadi punca kepada kehancuran negara. p/s : Sebahagian daripada tulisan di atas adalah pandangan peribadi saya sendiri berdasarkan senario masyarakat kini. Idea-idea di atas pasti kurang tepat pada sesetengah pihak. Kalau ada kekurangan, mohon ditambahkan dan kalau ada sebarang kesilapan, mohon dibetulkan. Sebenarnya, lagi banyak saya cuba kupas tentang pengaruh masyarakat lain dalam masyarakat Melayu ni, lagi banyak yang saya keliru tentang identiti Melayu moden sekarang ni. Berapa ramaikah Melayu yang ada sekarang ni betul2 Melayu?. Wallahualam..

Anda mungkin juga menyukai