Anda di halaman 1dari 5

Asimilasi Dalam Kalangan Masyarakat Baba Dan Nyonya di Melaka

Oleh

Amirah ‘Atiqah Binti Badrul Hisham (2013609954/ EMD4M4A)

(amyryqa@yahoo.com)

Pengenalan

MENURUT Kamus Dewan Edisi ke Empat, asimilasi bermaksud pemaduan bermacam-macam


atau jenis atau berbagai-bagai unsur menjadi satu seperti pemaduan unsur-unsur dari kebudayaan
yang berlainan menjadi satu kebudayaan. Dalam proses asimilasi, percantuman dan penyatuan
antara kumpulan etnik dari budaya yang berlainan membentuk satu kelompok baru dengan
kebudayaan dan identiti yang sama dalam tempoh masa tertentu. Menurut seorang ahli sosiologi,
Vander Zanden, asimilasi ialah satu proses dalam mana kelompok-kelompok yang berfikir,
berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya
yang sama. Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan
etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung
kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti
kumpulan etnik majoriti. Terdapat banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik dan
kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.

Masyarakat merupakan satu kumpulan manusia yang berhubung secara tetap dan tersusun
dalam menjalankan aktiviti secara kolektif dan merasakan bahawa mereka hidup bersama.
Terdapat perhubungan terus menerus dalam kalangan mereka yang masih hidup dan kekal
selama berabad-abad. Satu kumpulan atau kelompok manusia yang hidup saling berorganisasi,
berbincang, bekerjasama dalam mengatur kerja secara kolektif, mampu menyatukan buah fikiran
dan tindakan sehingga terjalin hubungan antara satu sama lain serta lahir satu sistem yang
dinamakan sebagai kebudayaan. ( Roucek & Warren, 1979).

Sejarah Baba Nyonya

Menurut Koh Kim Bok, masyarakat dan generasi baba dan nyonya terhasil dari perkahwinan
campur di antara perantau-perantau cina dan wanita-wanita tempatan. Selain itu, faktor
perkembangan masyarakat baba dan nyonya adalah kerana mereka amat menggalakkan
perkahwinan di antara kaum lelaki mereka dengan wanita-wanita tempatan. Selain itu, anak
perempuan generasi baba dan nyonya digalakkan berkahwin dengan perantau dari negara China
dan tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki tempatan. Pada pertengahan abad ke-19, ramai
imigran Cina datang ke Tanah Melayu, hasilnya, masyarakat Baba dan Nyonya semakin
berkembang melalui asimilasi dengan masyarakat Melayu atau masyarakat Baba Nyonya. Dr.
Lee Su Kim, Professor Madya dari Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sosial Sains
dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, adat budaya unik masyarakat Baba Nyonya
terhasil daripada perkahwinan campur antara pedagang dari wilayah Fujian, Tenggara China
dengan masyarakat tempatan di Melaka hampir 700 tahun dahulu. Mereka mengamalkan cara
hidup orang Melayu dari segi percakapan, pakaian dan juga makanan. Dari Melaka, kaum itu
berhijrah ke Pulau Pinang dan Singapura.

Budaya

Menurut Dr. Lee Su Kim lagi selaku Presiden Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala
Lumpur dan Selangor itu, masyarakat Baba Nyonya Melaka bertutur dengan bahasa mereka
sendiri iaitu campuran Melayu dialek Baba, manakala Pulau Pinang menggunakan dialek
Hokkien. Masyarakat Baba dan Nyonya juga mengamalkan sifat-sifat dan tingkah laku wanita
Melayu seperti peramah, suka melatah dan berbual-bual di kaki lima pada waktu petang.
Keseluruhannya, penyelidik mendapati daripada keputusan yang diperoleh melalui penyelidikan
yang dijalankan, didapati bahawa masyarakat Baba dan Nyonya masih teguh mengamalkan cara
hidup kemelayuan sehingga kini. Mereka sayang untuk meninggalkan budaya yang unik itu
begitu sahaja. Mereka sanggup mempertahankan budaya masyarakat Baba dan Nyonya.
Percampuran budaya dan adat antara masyarakat Cina dan masyarakat Melayu dalam masyarakat
Baba dan Nyonya telah membuktikan akan keakraban dan perpaduan yang wujud dalam
masyarakat tersebut, malah masih mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan
bermasyarakat. Jika tiada percampuran tersebut, maka masyarakat Baba dan Nyonya tidak akan
wujud.
Adat

Masyarakat Baba dan Nyonya sedikit sebanyak telah mewarisi budaya masyarakat Melayu
khususnya. Oleh hal yang demikian, tidak dinafikan bahawa sehingga kini masih ada lagi
masyarakat Baba dan Nyonya yang menjadikan amalan dan pegangan masyarakat Melayu dalam
kehidupan seharian mereka. Banyak pantang larang dan kepercayaan masyarakat Melayu telah
diamalkan dalam kebudayaan masyarakat Baba dan Nyonya. Keadaan ini telah menunjukkan
bahawa masyarakat Baba dan Nyonya mempunyai mirip yang sama dengan masyarakat
Melayu.Dalam adat perkahwinan Baba Nyonya kata beliau, kemeriahan cukup terasa di mana
mereka juga mempunyai acara bersanding dan juga persembahan seperti dondang sayang,
ronggeng, joget lambak dan sebagainya.

Pakaian

Gaya Baba dan Nyonya berpakaian memperlihatkan ia dipengaruhi kebudayaan Melayu.


Masyarakat Baba dan Nyonya tidak memakai pakaian seperti Samfoo, Cheongsam atau seluar
panjang seperti kebanyakan orang cina namun, mereka memakai pakaian Melayu yang diubah
suai mengikut kehendak mereka. Sebagai contoh, kain sarung dan baju kebaya yang terdapat
banyak sulaman yang bermotifkan bunga dan disematkan perhiasan barang kemas ketika
memakainya. Lazimnya, Nyonya lebih gemar memakai tiga pucuk cucuk sanggul pada sanggul
mereka. Bagi Nyonya yang bertindik pula, mereka memakai subang atau anting-anting seperti
kebudayaan melayu (Koh Kim Bok, 2013). Menurut Dr Lee Su Kim, kaum Nyonya dahulu
memakai baju panjang dipadankan dengan kain sarung dari Pekalongan, Indonesia. Mereka turut
mengenakan perhiasan seperti kerongsang dan gelang selain pemakaian kasut manik yang sangat
unik. Tambahan lagi, wanita Baba Nyonya memilih kebaya pendek yang lebih cantik dengan
jahitan kerawang bermotif bunga dan haiwan untuk dipadankan bersama kain sarung

Makanan

Menurut Koh Kim Bok, cara pemakanan masyarakat Baba dan Nyonya dipengaruhi kebudayaan
Melayu. Seperti wanita melayu, nyonya-nyonya memakan sirih dan mengunyah daun tembakau.
Mereka suka memakan dan memasak lauk atau masakan bermpah dan pedas seperti masak asam,
sambal tumis, sambal cili gararam, buah keluak, masak lemak, sambal belancan, kuah lada dan
rendang. Ulaman seperti jering, petai , pegaga, jantung pisang dan pucuk daun juga sebahagian
darpada makanan kegemaran masyarkat Baba dan Nyonya. Masyrakat Baba dan Nyonya juga
lebih gemar makan menggunakan tangan daripada sudu atau penyepit. Kesimpulannya, selera
makan dan cara pemakanan masyarakat Baba dan Nyonya sama seperti masyarakat melayu.

Cabaran

Masyarakat Baba dan Nyonya mempunyai kelompok kaum mereka yang tersendiri. Mereka
dikatakan sebagai bukan orang Cina kerana kebanyakan keturunan mereka mengamalkan dan
mewarisi kebudayaan Melayu bukan Cina. Oleh kerana bahasa Cina mereka kurang difahami,
orang Cina menganggap masyarakat Baba dan Nyonya seperti orang Melayu. Budaya pantun-
memantun adalah salah satu budaya masyarakat Baba dan Nyonya yang kian dilupakan.
Generasi Baba dan Nyonya sekarang tidak menghargai warisan merek seperti barang antic dan
rumah pusaka. (Koh Kim Bok, 2013)

Kesimpulan

Budaya masyarakat Baba dan Nyonya semakin pudar kerana sebahagian generasi kini tidak
mewaridi tradisi dan adat mereka. Namun begitu, masih ada lagi yang memperjuangkan usaha
dalam membudayakan hidup Baba dan Nyonya ini. Percampuran budaya dan adat antara
masyarakat Cina dan masyarakat Melayu dalam masyarakat Baba dan Nyonya telah
membuktikan akan keakraban dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat tersebut, malah
mereka mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan bermasyarakat. Sekiranya percampuran
antara kaum Melayu dan Cina tidak berlaku, maka masyarakat Baba dan Nyonya tidak akan
wujud.
SENARAI RUJUKAN

Koh., K. B. 2013, Sejarah , Cabaran dan Masa Hadapan Masyarakat Baba Nyonya. Badan
Kesenian Baba Nyonya Negeri Melaka. Malaysia : Melaka.

Bintu., R. A. R. 2010, Kisah Kebaya Nyonya. Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad,
Malaysia : Kuala Lumpur.

Vijayaletchumy., S. & Wan., M. R. W. M., 2009. Cara Hidup Kemelayuan Masih Lagi Menjadi
Pegangan dan Amalan Masyarkat Baba dan Nyonya di Malaysia, Jurnal Aswara, Jabatan Bahasa
Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Malaysia : Serdang.

Ding., M. C. 2008, Pantun Peranakan Baba: Mutiara Gemilang, Negeri-Negeri Selat. Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.

Shamsul., A. B. 2012. Modul Hubungan Etnik, Edisi Kedua, Institut Kajian Etnik, Universiti
Kebangsaan Malaysia. Malaysia : Bangi

Anda mungkin juga menyukai