Anda di halaman 1dari 3

ORANG MELAYU PERLU PERTAHANKAN HAK MEREKA

– TUN MAHATHIR
PUTRAJAYA 19 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu orang Melayu tidak terus
mengambil sikap mempertahankan diri apabila hak-hak dan keistimewaan mereka
dicabar oleh pihak tertentu terutama selepas UMNO catat prestasi buruk dalam
pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya untuk orang
Melayu mengambil sikap 'menyerang' bagi memastikan hak-hak yang dinikmati
selama ini dapat dipertahankan.

''Kita lihat sekarang ini ramai orang Melayu cuma mempertahankan diri tetapi
tidak menyerang, kita cuma marah dengan kata jangan sentuh hak
keistimewaan Melayu dan agama Islam.

''Kita harus mempertahankan kedudukan kita tetapi ungkapan orang Inggeris


kata bahawa serangan adalah satu bentuk pertahanan yang paling baik, jadi
kita kena serang, itu cara terbaik untuk mempertahankan diri," katanya ketika
berucap pada Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan
Perdana di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, orang Melayu sejak dahulu mempunyai sikap yang lemah
lembut dan ada kalanya tidak mahu mempertahankan diri walaupun tahu diri mereka
tidak bersalah selain enggan menuduh orang lain bersalah.

Sebab itu katanya, apabila terdapat pihak mempertikaikan sosial kontrak, orang
Melayu hanya mempertahankan diri bahawa mereka mempunyai keistimewaan yang
telah ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Bagaimanapun jelas beliau, orang Melayu tidak mendedahkan perkara-perkara yang


dipersetujui mereka dalam kontrak sosial yang telah dinikmati oleh kaum lain di
negara ini.

''Kita cuma pertahankan bahawa kontrak sosial beri keistimewaan tetapi kita tidak
kata tentang apa yang kita beri dalam kontrak sosial, kita bagi banyak.

''Tunku (Abdul Rahman Putra) memberikan satu juta kerakyatan kepada orang
bukan Melayu tanpa apa-apa soalan, ini ada dalam ucapan Tun Tan Siew Sin.

''Kalau hendak ambil balik hak Melayu, kita juga nak ambil balik hak yang diberikan
kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan, selepas pilihan raya umum lalu, banyak
pihak menyatakan mereka menolak perkauman tetapi mereka secara terang-
terangan mempersoalkan mengapa orang Melayu mendapat begitu banyak hak di
negara ini.

1
''Mereka mahu bahasa mereka digunakan dalam papan tanda dan mempersoalkan
Melayu sebagai pendatang yang dikatakan tidak berbeza dengan orang Cina dan
India," katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak menyamakan kemenangan


Barack Obama sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai
satu petanda bahawa negara ini juga perlu dipimpin oleh seorang Perdana Menteri
yang bukannya dari kalangan orang Melayu.

''Sejak Obama menang, ia jadi masalah pula kepada kita, sedangkan beliau tidak
boleh disamakan dengan kita.

''Memang dia berkulit hitam dan ada campuran sedikit tetapi hakikatnya dia
menerima budaya dan bahasa di AS yang asalnya dijajah oleh Anglo-Saxon. Dia
cukup dengan identiti Amerika," katanya.

Sementara itu, Tun Dr. Mahathir mengingatkan bahawa UMNO dan Barisan
Nasional (BN) mungkin menghadapi risiko tewas dalam pilihan raya umum akan
datang sekiranya gejala politik wang dalam parti itu gagal dibersihkan.

Beliau menegaskan, jika sebelum ini rakyat beralih kepada parti pembangkang
disebabkan pemimpin tertentu dalam kerajaan, mereka tidak mustahil akan menolak
seluruh calon BN yang didapati memenangi pemilihan parti dengan cara rasuah.

Sehubungan itu, kata beliau, adalah tidak berguna sekiranya para pemimpin UMNO
berebut-rebut untuk memenangi pemilihan parti pada Mac depan termasuk melalui
cara rasuah tetapi parti kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

''Jadi penolakan terhadap UMNO bukan suatu yang mustahil, kemungkinan besar
kerana rakyat sekarang pandang jijik kepada UMNO.

''Kalau dulu UMNO didokong oleh rakyat, mereka bersedia memberikan sokongan
kepada UMNO dan BN tetapi hari ini pandangan rakyat sudah berbeza, sekarang
saya fikir rakyat sudah benci dengan semua pemimpin kerana mereka terlibat
rasuah.

''Rakyat pandang UMNO yang meletakkan calon-calon yang menang dalam


pemilihan parti merupakan calon yang rasuah, adakah parti akan mendapat undi?,"
katanya pada program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan
Perdana di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga membidas pandangan segelintir
pihak yang menyatakan orang luar daripada UMNO tidak wajar mencampuri dan
mengambil perhatian tentang apa yang berlaku dalam parti tersebut.

Ini kerana katanya, selama ini UMNO dan BN berjaya memenangi semua pilihan
raya umum lalu bukan sekadar dengan sokongan ahli-ahli parti sebaliknya atas
dokongan rakyat yang menyokong dasar serta perjuangan parti tersebut.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mengamalkan politik wang
perlu disingkirkan daripada menduduki jawatan-jawatan penting parti bagi
mengelakkan pandangan buruk rakyat yang berada di luar parti.
2
''Sudah tentu tidak semua pengundi gila tetapi ada yang masih waras, mereka akan
tolak calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan inilah nasib yang sedang
menunggu untuk mereka yang keluarkan wang yang banyak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh
UMNO tidak akan memberikan kesan sekiranya ia hanya membabitkan pertukaran
pemimpin secara fizikal.

Sebaliknya, jelas beliau, peralihan kuasa itu mesti melibatkan pertukaran dasar-
dasar yang sebelum ini didapati menjadi punca kebencian rakyat dan kerugian
kepada negara serta menyebabkan UMNO menjadi lemah.

''Untuk bersihkan UMNO kita perlu kepada pemimpin yang berani dan bukan lebih
mirip kepada hendak menjaga air muka orang lain.

''Oleh itu peralihan kuasa tidak hanya dalam bentuk tubuh badan sahaja tetapi mesti
melibatkan segala dasar yang dibenci oleh rakyat, jika tidak peralihan itu akan
menjadi sia-sia sahaja, kalau teruskan rakyat akan tolak kepimpinan UMNO,"
tegasnya.

Sementara itu pada sesi soal jawab, Dr. Mahathir menegaskan beliau akan cuba
membantu ahli-ahli UMNO memerangi rasuah politik dalam parti termasuk
menghubungi Lembaga Disiplin parti dan menghantar laporan mengenai gejala itu
kepada badan tersebut.

''Saya juga boleh masukkan nama-nama mereka yang dilaporkan terlibat dengan
politik wang dalam laman blog saya," katanya.

Utusan Malaysia, 20 November 2008

Anda mungkin juga menyukai