Anda di halaman 1dari 31

Osman Bakar, 2009 : 52

Dalam buku: Tamadun Islam dan Tamadun Asia

Tamadun Islam dibina berdasarkan kepada prinsip-prinsipnya yang jelas. Ia menekankan kepada pembangunan hidup manusia di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat.

Pada umumnya prinsip tamadun Islam merangkumi (Osman Bakar, 2009; 52) :
Pengabdiaan diri kepada Allah S.W.T di dalam seluruh kegiatan hidup Asas Akidah yang mantap Keluhuran nilai kemanusiaan berbanding dengan nilai kebendaan Nilai kesucian dan keharmonian hidup Tugas khalifah di bumi Allah mengikut panduan Allah S.W.T dan sentiasa berpegang pada janji dan amanah Allah.

Islam menjamin suasana selesa bagi memupuk keharmonian hidup beragama dalam sesebuah masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk tidak asing bagi Islam. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuakpuak semoga kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain: (Al-Hujurat, ayat 13)

Islam juga mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam seperti yang ternyata di dalam Al-Quran yang bermaksud: Dan jika dikehendaki Tuhanmu, tentu beriman semua manusia yang ada di bumi; lantaran itu patutkah engkau (Muhammad) hendak paksa manusia sampai mereka menjadi muminin (beriman) (Surah Yunus, ayat 99)

Tidak ada paksaan pada agama. Telah nyata kebenaran daripada kesesatan. (Surah al-Baqarah ayat 256)

Islam mengiktiraf kemampuan manusia berbanding dengan makhluk lain untuk menggunakan akalnya dengan memberikan kebebasan untuk membeza dan memilih mana satu yang benar dan mana satu yang salah. Islam juga memberi seluas-luasnya ruang kepada kekuatan intelek untuk melakukan penelitian dengan hujah-hujah ilmiah untuk mencapai kebenaran. Ini membuktikan Islam memberi peluang kepada masyarakat pelbagai bangsa dan agama bukan sekadar berinteraksi dalam urusan harian, malah dalam perbincangan tentang keilmuan serta soal kepercayaan dan akidah.

Islam menyediakan cara hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama. Prinsip toleransi beragama, kebebasan beragama, sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain yang berlainan anutan agama adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib dilaksanakan.

Dalam waktu yang sama Islam menggalakkan dan sentiasa memberi ruang dan kesempatan untuk semua pihak yang berbeza agama ini berinteraksi bagi berbincang tentang fahaman masing-masing yang tidak bertentangan dengan prinsip agama masing-masing supaya lahir suasana yang harmoni dan saling hormat-menghormati.

Islam mewajibkan umatnya menjaga keselamatan dan mengharamkan perkara atau perbuatan yang boleh membahayakan nyawa. Merokok dan menyalahguna dadah adalah dilarang kerana ia merosakkan kesihatan dan membahayakan nyawa.

Membunuh tanpa sebab merupakan dosa besar. Membunuh diri juga merupakan dosa besar dan akan ditimpa azab di akhirat nanti.

Perselisihan, perbalahan atau pergaduhan sangat dilarang kerana ia akan merosakkan keharmonian dan mungkin menyebabkan pembunuhan dan kehilangan nyawa.
Justeru itu Islam amat menekankan cara hidup yang harmoni.

Budaya yang berlandaskan Islam telah membentuk ciri-ciri kelembutan, mudah bersahabat, empati dan bertimbangrasa serta bertolak ansur.

Ini menjamin keamanan dan mengelakkan perbalahan dan peperangan. Keharmonian dan keamanan menjamin nyawa terpelihara.

Islam juga bersifat anjal. Islam mewajibkan umatnya berusaha untuk mempertahankan nyawa. Sekiranya sesuatu perkara atau perbuatan itu boleh menyelamatkan nyawa, walau pada awalnya hukumnya haram ia boleh dilakukan. Contohnya dalam bidang perubatan, ubat berbentuk cecair yang digunakan untuk merawat penyakit jantung adalah diambil dari babi yang kita sedia maklum akan hukum haramnya, namun jika ia dapat menyelamatkan nyawa pesakit ia adalah dibenarkan.

Perkara-perkara yang menyentuh tentang cara serta makanan dan minuman yang baik untuk kesihatan tubuh badan dan akal fikiran juga diajarkan dalam Islam.

Di dalam Al Quran ada dinyatakan tentang kebaikan pengambilan madu lebah sebagai ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan tubuh badan.
Menjaga kesihatan menjadi kewajipan umat Islam. Adab makan juga diajarkan di dalam Islam.

Contohnya sebelum makan mestilah mencuci tangan supaya kekotoran pada tangan dapat dibersihkan. Islam juga mengesyorkan memegang makanan menggunakan tangan kanan kerana tangan kanan mengandungi kimia yang membantu penghadaman makanan. Makanan yang mudah hadam menjamin kesihatan tubuh badan seterusnya menyihatkan fikiran dan akal. Tubuh badan yang sihat akan menjamin akal yang sihat ke arah membina negara dan menegakkan agama.

Makanan yang dimakan atau minuman yang diminum hendaklah yang halal yang terhasil dari usaha yang halal kerana makanan dan minuman ini akan menjadi darah dan daging serta menjana minda. Makanan atau minuman yang haram akan mengotorkan jiwa dan merosakkan akal. Hendaklah perut itu dipaksa jangan sampai senang kepada kerakusan, sedikit sahaja makan dan itupun yang halal sahaja, menjauhi perkara-perkara syubhat dan dilarang untuk mengikut syahwat sehingga tidak mengenal batas. (Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Dimasqi; Intipati Ihya Ulumuddin Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin, halaman 1364 )

Umat Islam digalakkan menimba ilmu sebanyak-banyaknya walau di manapun supaya dengan ilmu yang dimiliki akal akan terpelihara seterusnya menghindar diri dari melakukan perkara-perkara yang menyalahi norma masyarakat serta ditegah oleh agama.
Malah mencari ilmu itu merupakan satu ibadat dan jihad di dalam Islam.

Islam mendidik umatnya untuk sentiasa memelihara maruah dan keturunan. Islam mengharamkan zina demi mengelakkan keturunan yang tidak menentu nasabnya. Islam juga mengharamkan zina bagi mengelakkan tersebarnya penyakit berjangkit yang berkaitan hubungan kelamin secara rambang.

Contohnya di Malaysia kini pasangan Islam yang akan berkahwin diwajibkan untuk mengikuti kursus perkahwinan dan mulai tahun hadapan iaitu tahun 2009 mereka perlu menjalani ujian HIV (Warta 12, RTM 1, 23 Desember 2008). Ini adalah untuk memastikan bakal-bakal suami isteri mempunyai ilmu yang secukupnya untuk mengendali sebuah keluarga seterusnya melahirkan zuriat yang berakhlak mulia, sihat tubuh badan dan akal serta mampu menegakkan syariat Islam.

Islam telah mengiktiraf perkahwinan poligami namun ia tidak diwajibkan dan bukan sesuatu yang digalakkan.

Poligami dibenarkan adalah demi memelihara maruah dan keturunan zuriat yang bakal dilahirkan. Ini berbeza dengan fahaman lain selain Islam.

Setiap individu berhak mencari rezeki masing-masing serta berusaha untuk mendapat, mengumpul dan menggunakan harta benda mereka secara bebas mengikut kemampuan masing-masing selagi tidak melanggar norma masyarakat dan agama.

Harta atau kekayaan yang diperoleh dari usaha sendiri dengan cara yang halal berhak dipelihara dan dipertahankan. Tiada sesiapa berhak mengambil tanpa izin pemiliknya. Mereka yang memelihara hartanya akan diberi pahala oleh Allah S.W.T.

Di Malaysia yang agama rasminya ialah agama Islam, sistem ekonomi alternatif yang serasi dengan nilai Islam diperkenalkan. Prinsip dan amalan nilai Islam juga diterapkan dalam pentadbiran. Usaha membanteras rasuah juga dijalankan.

Program membasmi kemiskinan, mewujudkan keadilan sosial, meningkatkan produktiviti, mewujudkan masyarakat berintegriti, pengukuhan institusi keluarga, penekanan kepada pendidikan dan pencapaian ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi.

Semua ini adalah usaha ke arah menjamin pemeliharaan harta benda.

Hadis Rasulullah yang bermaksud: Abdullah bin Omar berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Siapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka ia mati syahid. (Diriwayatkan oleh Bukhari )

Justeru itu Tamadun Islam yang berdasarkan lima prinsip utama iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara maruah dan keturunan serta memelihara harta yang kesemuanya berasaskan Al-Quran dan AlSunnah di mana dasar utamanya ialah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak asasi manusia, adalah sangat sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk. Kesimpulannya Islam mengandungi gabungan nilai-nilai yang merupakan cara hidup dan bersifat universal sesuai diamalkan oleh semua orang.

RUJUKAN
http://www.niknasri.com/wpcontent/uploads/2009/08/Pengajian-Tamadun-Islam.pdf http://pismpmathc5ipgkba.blogspot.com/2010/02/prinsipprinsip-tamadun-islam-sesuai.html Ros Aiza Mohd Mokhtar, Abd Hakim Mohad, Dg Hafizah, Ag Basir Siti Halimah Putung. (2011). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai