Anda di halaman 1dari 7

Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

TAZKIRAH AL-ASFIYA
FI
HAYAT AL-AWLIYA

k
Oleh:
'ABDU DHAIF FAQIR HAQIR
MAULAWI JALALUDDIN AHMAD AR-ROWI
'UFIYALLAHU 'ANHU WALI WALIDAIHI
WALI MASYAIKHIHI WALI JAMI'IL MUSLIMIN

KHANQAH NAQSHBANDIYAH
1430 HIJRAH

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


1
Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

SYAIKHUL KARAMAH KHWAJAH KHWAJAHGAN


HADHRAT KHWAJAH ‘ABDUL KHALIQ GHUJDUWANI

H ADHRAT Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih


dilahirkan di Ghujdawan, sebuah bandar yang berdekatan dengan Bukhara
yang kini dikenali sebagai Uzbekistan. Bapanya bernama Hadhrat Imam
‘Abdul Jalil Rahmatullah ‘alaih, seorang dari kalangan Wali Besar serta ‘Alim yang
masyhur dalam berbagai bidang ‘Ilmu Zahir dan Batin di zaman kegemilangan
Byzantin. Silsilah keturunan bapanya sampai kepada Hadhrat Imam Malik
Rahmatullah ‘alaih. Ibunya adalah seorang puteri Raja Seljuk Anatolia dari kerajaan
Rom.

Semenjak zaman kanak-kanak lagi beliau telah mempelajari Al-Quran dan


Tafsirnya, ‘Ilmu Hadits, Nahwu dan Saraf bahasa ‘Arab dan ‘Ilmu Fiqah dari
Hadhrat Syeikh Sadruddin Rahmatullah ‘alaih di Ghujdawan. Setelah beliau
menguasai bidang ‘Ilmu Syari’at, beliau telah mengalihkan tumpuannya kepada
Mujahadatun Nafs sehinggalah dia telah mencapai pada suatu kedudukan yang
tinggi lagi suci. Kemudian beliau telah berpindah ke Syria di mana dia telah
mendirikan sebuah Madrasah yang telah melahirkan begitu ramai penuntut. Mereka
kesemuanya menguasai bidang Fiqah dan Hadits serta ilmu-ilmu keruhanian di
Tanah Khurasan dan di Tanah ‘Arab.

Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih telah


memperolehi nisbat ‘Ilmu Batin menerusi Hadhrat Khwajah Yusuf Hamadani
Rahmatullah ‘alaih. Beliau merupakan salah seorang khalifah besar Hadhrat
Khwajah Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih dan mencapai kedudukan kewalian
yang tertinggi dalam Silsilah ‘Aliyah Naqshbandiyah dan menjadi penghulu bagi
Tariqat ini. Perkataan beliau adalah hujjah dan pada hakikatnya menjadi dalil bagi
perjalanan Tariqat. Beliau merupakan Syeikh bagi sekelian Syeikh, Mujtahid serta
Qutub pada zamannya. Beliau juga dikenali sebagai Syaikhul Karamah kerana
memiliki banyak Keramat. Cahaya Ruhaniahnya bersinar seumpama mentari dan
beliau merupakan seorang Mahaguru dalam tingkatan Ruhani yang tertinggi pada
zamannya. Beliau merupakan seorang ‘Arif yang Kamil dalam bidang Tariqat
Tasawwuf dan dianggap sebagai pancuran limpahan ‘Ilmu Ma’rifat di kalangan Para
Asfiya serta diibaratkan seumpama sebuah mata air bagi Para Masyaikh dan
Khwajahgan.

Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam telah memberitahu suatu khabar berita yang


gembira kepada bapanya Hadhrat Imam ‘Abdul Jalil Rahmatullah ‘alaih sebelum
kelahirannya,
“Bahawa kamu akan menerima kelahiran seorang putera lelaki dan hendaklah
diberikan nama ‘Abdul Khaliq kepadanya. Daku telah menerimanya sebagai anakku
dan daku akan memberikan kepadanya sebahagian dari Nisbatku.”

Di dalam kitab Al-Hadaiqul Wardiyah ada menceritakan tentang bagaimana


beliau telah mencapai tahap keruhanian yang tinggi dalam Silsilah Emas. Beliau

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


2
Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

telah memperolehi limpahan Faidhz dari Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam setelah


bertemu dengannya dan bersuhbah dengannya. Beliau mengambil darinya ‘Ilmu
Ketuhanan dan menambahkannya pada ‘Ilmu Keruhanian yang telah diperolehinya
dari Syeikhnya, Hadhrat Khwajah Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih.

Pada suatu hari, Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah


‘alaih sedang mempelajari ‘Ilmu Tafsir dari gurunya Hadhrat Maulana Sadruddin
Rahmatullah ‘alaih. Apabila tiba pada suatu ayat dari Surah Al-A’raf ayat 55 yang
bermaksud,
“Serulah Tuhan Pemeliharamu dengan merendahkan diri dan secara
tersembunyi, sesungguhnya Dia tidak mengasihi orang yang melampaui batas.”

Beliau telah bertanya kepada Gurunya Hadhrat Maulana Sadruddin


Rahmatullah ‘alaih bagi mendapatkan kepastian tentang hakikat mengingati Allah
secara tersembunyi dan bagaimanakah kaedah perlaksanaannya? Lalu mengajukan
soalan,
“Tariqat apakah yang Allah Ta’ala terangkan ini? Jika orang yang berzikir
melakukan Zikir dengan suara yang keras atau menggerakkan tubuh badan pada
Maqam Zikirnya, maka zikirnya itu dapat diketahui oleh orang lain dan keadaan ini
tidak lagi dinamakan sebagai Zikir yang tersembunyi dan jika dia berzikir menerusi
hatinya, maka menurut sebuah Hadits bahawa, “Syaitan mengalir di dalam urat
saraf anak Adam pada tempat mengalirnya darah,” yang mana Syaitan pula dapat
mengetahuinya. Maka wahai Guruku, apakah yang dimaksudkan dengan
menyeruNya secara tersembunyi di dalam hati?”

Gurunya pun menjawab,


“Ini adalah ‘Ilmu Laduni, ianya tersembunyi dan daku berharap mudah-
mudahan Allah Ta’ala menemukan kamu dengan seorang Wali Allah yang dapat
memberikanmu penjelasan di lidah dan di hatimu tentang hakikat Zikir yang
tersembunyi ini.”

Semenjak dari waktu itu, Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani


Rahmatullah ‘alaih sentiasa sibuk mencari-cari Auliya Allah dan menanti-nanti
bilakah doanya akan dikabulkan. Pada suatu ketika pada hari Jumaat, beliau sedang
duduk di pintu gerbang sebuah taman, Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq
Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih terlihat seorang yang Salih datang kepadanya.
Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun memberikan
penghormatan serta memuliakan Buzurg tersebut.

Kemudian orang Salih itu berkata kepada Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq
Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih,
“Wahai orang muda, daku mendapati kesan kesalihan ada di dalam dirimu,
apakah kamu ada berbai’ah pada tangan mana-mana Syeikh?”

Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun


berkata,
“Tidak, semenjak sekian lama daku berusaha mencarinya.”

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


3
Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

Lalu orang Salih itu pun berkata,


“Daku adalah Khidhzr dan daku telah menerimamu sebagai seorang dari
anakku. Daku akan memberi kamu suatu pelajaran dan hendaklah dikau tetap
mengamalkannya dan padamu akan terbuka segala rahsia. Daku telah mendapat
keizinan dari Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam
untuk mentalqinkan pada lidah dan pada hatimu akan suatu Zikir yang tersembunyi
beserta jumlah bilangannya.”

Kemudian Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam menyuruh Hadhrat Khwajah


‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih turun ke tasik dan menyelam dalam
air serta mengucapkan dalam hati kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD
RASUL ALLAH. Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih
pun terus mengerjakannya dan tetap dengan Zikir yang telah ditalqinkan oleh
Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam tersebut setiap hari sehingga terbuka berbagai rahsia
tentang Nur, Hikmah, Cinta dan Jazbah terhadap Zat Yang Maha Suci pada hatinya.
Dengan mengamalkan Zikir tersebut, orang ramai mula tertarik kepada Hadhrat
Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih dan telah menuntut untuk
menuruti jejak langkah perjalanan Tariqatnya, maka beliau telah membawa mereka
menuruti jejak langkah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallhu
‘Alaihi Wasallam.

Setelah berlaku peristiwa itu, suatu ketika Hadhrat Khwajah Yusuf Hamadani
Rahmatullah ‘Alaih telah tiba di Bukhara, maka Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq
Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun mengambil kesempatan itu untuk pergi
berkhidmat padanya dan telah mengambil Bai’ah darinya. Ketika berada di samping
Hadhrat Khwajah Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih, Hadhrat Khwajah ‘Abdul
Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih sentiasa hadir untuk bersuhbah dengannya
dan telah menghasilkan banyak faedah limpahan Faidhz dan Barakah darinya.
Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih merupakan orang
yang mula-mula dalam Silsilah Tariqat yang menggunakan Zikir Khafi dan telah
dianggap sebagai seorang Mahaguru dalam perlaksanaan Zikir tersebut.

Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam merupakan Syeikhnya dalam pelajaran Zikir


dan Hadhrat Khwajah Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih pula merupakan
Syeikhnya dalam Khirqah dan Khilafat atas perjalanan Tariqat. Hadhrat Khwajah
‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih telah berkata,
“Ketika daku berusia 22 tahun, Hadhrat Syeikh Yusuf Hamadani telah
mengarahkan Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam agar tetap mendidikku dan tetap
memerhatikan diriku sehingga saat kematianku.”

Hadhrat Khwajah Muhammad Parsa Rahmatullah ‘alaih, seorang sahabat dan


penulis riwayat Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih
menyatakan dalam kitabnya Faslul Kitab bahawa kaedah Zikir yang diamalkan oleh
Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani dan pengajarannya tentang lapan
prinsip Tariqat telah dianuti dan diamalkan oleh kesemua 40 jalan Tariqat sebagai
jalan menuju kebenaran dan kemuliaan serta jalan kesedaran dalam menuruti

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


4
Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallhu ‘Alaihi Wasallam


dengan meninggalkan segala bentuk Bida’ah dan Mujahadah untuk menundukkan
segala nafsu yang bersifat rendah. Beliau merupakan seorang Mahaguru pada
zamannya dan menduduki tingkatan yang tertinggi dalam bidang keruhanian.

Beliau telah menampilkan 8 prinsip asas Tariqat ‘Aliyah Taifuriyah


Khwajahganiyah yang seterusnya menjadi asas bagi Tariqat ‘Aliyah Naqshbandiyah
Mujaddidiyah seperti berikut:

1. Hosh Dar Dam - kesedaran dalam nafas.


2. Nazar Bar Qadam - memerhatikan pada langkah.
3. Safar Dar Watan - melakukan perjalanan dalam kampung diri.
4. Khalwat Dar Anjuman - menyendiri dalam khalayak manusia.
5. Yard Kard - melakukan ingatan Zikir.
6. Baz Gasht - kembali ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
7. Nigah Dasyat - memelihara pandangan Musyahadah bersungguh-sungguh.
8. Yad Dasyat – melakukan ingatan Zikir dengan bersungguh-sungguh.

Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih mempunyai


empat orang Khalifah:

1. Hadhrat Syeikh Ahmad As-Siddiq Rahmatullah ‘alaih


2. Hadhrat Kabirul Awliya Syeikh ‘Arif Awliya Al-Kabir Rahmatullah ‘alaih
3. Hadhrat Syeikh Sulaiman Al-Kirmani Rahmatullah ‘alaih
4. Hadhrat Khwajah ‘Arif Riwagari Rahmatullah ‘alaih

PERKATAAN PETUNJUKNYA DAN PETUNJUK


PERKATAANNYA

B ELIAU sentiasa berada dalam hal keadaan Khauf dan ketakutan terhadap Allah
Subhanahu Wa Ta’ala sehingga walau di mana sahaja beliau duduk, beliau
akan duduk seolah-olah dirinya akan dibunuh. Pada suatu hari ketika berada
di tempat ibadatnya, beliau sibuk dengan menangis. Para sahabatnya bertanya
kepada beliau,
“Dengan segala kelebihan yang Allah Ta’ala telah kurniakan kepadamu,
mengapakah kamu begitu Khauf ketakutan dan menangis?

Beliau menjawab,
“Apabila daku memikirkan tentang Sifat Allah Ta’ala yang tidak bergantung
kepada sesuatu, maka Ruhku hampir-hampir terkeluar dari jisimku dan tangisanku
ini adalah disebabkan mungkin pada diriku ada sesuatu tindakanku yang tidak daku
ketahui dan ianya tidak disenangi di hadapan Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


5
Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

Beliau pernah berkata,


“Ketika daku berusia dua puluh tahun, Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam telah
meminta Hadhrat Khwajah Yusuf Hamadani Rahmatullah ‘alaih memberikan
sokongan kepadaku dan mewasiatkannya agar memberikan Tarbiyah kepadaku.”

Pada suatu ketika, seorang Darwish datang kepadanya lalu bertanya apakah
erti Taslim? Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun
berkata,
“Taslim ialah apabila seseorang Mukmin itu dengan diri Nafsnya dan
hartanya menerusi perjanjian Alastu Birabbikum, menjualkannya pada Tangan
Allah Ta’ala lalu membeli Syurga, dan sehingga kini inilah yang maksudkan dengan
Taslim bahawa maksud Firman Allah Ta’ala, “Seseungguhnya Allah telah membeli
dari orang-orang Mukmin itu akan diri mereka dan harta mereka dengan
menggantikan bagi mereka Syurga. Diri dan harta hendaklah Taslim dengan
menganggap bahawa diri dan hartanya adalah milik Allah dan memahami bahawa
dirimu adalah amanah Haq Allah Ta’ala, sehinggakan setakat mana yang kamu
mampu, dengan diri dan hartamu itu buatlah kerja kebaikan terhadap hamba-hamba
Allah Ta’ala dan jangan mengharapkan sebarang Ihsan dari sesiapa pun. Harta dan
kebendaan Duniawi hendaklah dikeluarkan dari hati dan dirimu hendaklah tetap
memelihara Hukum Allah.”

Pada suatu ketika, seorang Khadim datang kepadanya lalu bertanya apakah
erti Faraghat? Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih pun
berkata,
“Erti Faraghat pada hati ialah seseorang itu tidak menemui sebarang jalan
untuk mencintai Dunia bukan bermakna dia bebas dari sebarang urusan Dunia.

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam


telah menyatakan menerusi Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala,
“Fa Iza Faraghta Fansab” pada Surah Alam Nasyrah ayat 7 yang
mafhumnya, “Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, kerjakanlah
dengan sungguh-sungguh urusan yang lain,” ianya bermaksud bahawa
kosongkanlah hatimu kemudian sibukkanlah diri dengan mengingati Kami.
Sesungguhnya bagi Para Ahlullah, dalam urusan jual beli mereka dan perbualan
mereka sesama makhluk tidak menjadikan ingatan Zikir terhadap Allah Ta’ala itu
sebagai suatu kesukaran. Kerana itulah Allah Ta’ala memuji jemaah golongan
tersebut dan inilah yang dimaksudkan sebagai para lelaki yang sebenar menerusi
FirmanNya,
“Para lelaki yang tidak dilalaikan pada mereka perniagaan dan tidak pula
jual beli dari mengingati Allah Ta’ala.”

Seterusnya beliau berkata,


“Jika kamu berada dalam golongan tersebut, maka semoga kamu
memperolehi Keberkatan. Jika kamu tidak tidak berupaya menjadi seperti golongan
tersebut, maka hendaklah kamu berkhidmat kepada golongan tersebut dengan diri
dan harta kamu, dan menenteramkan hati mereka dan menyediakan asbab Faraghat
untuk mereka supaya mereka dapat menyibukkan diri mereka mengingati Allah

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


6
Tazkirah Al-Asfiya Fi Hayat Al-Awliya

dengan hati yang tenang dan bagi kamu juga akan dapat memperolehi bahagian dari
amalan kebaikan mereka kerana kekuatan yang diperolehi menerusi suapan
makanan yang mana mereka dapat melaksanakan amal ketaatan dan ‘Ibadah,
pahalanya akan diberikan juga kepada orang yang memberinya makanan dan
minuman, dan darjat, maqamat serta kesempurnaan mereka juga akan dituliskan
kepada orang yang memberikan makanan dan minuman kepadanya, dan
barangsiapa yang mengasihi mereka dan sentiasa membantu keperluan mereka,
menurut firman Nabawi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu
‘Alaihi Wasallam,

“Al-Mar-u Ma’a Man Ahabba,” yang bermaksud bahawa pada Hari Qiyamat,
Insan akan ditempatkan bersama mereka yang dicintainya sewaktu di Dunia. Dari
kalangan mereka itu terdapat sebahagian yang meletakkan pengkhususan dalam
Ma’iyat mencintai Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka pada waktu itu mereka akan
dikurniakan dengan Tasarruf Ketuhanan.

“Jazbatun Min Jazbatillah Tawari ‘Amalats Tsaqilain,” yang bermaksud


bahawa satu Jazbah dari Jazbah yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala adalah melebihi
amalan sekelian Jin dan Manusia. Maka inilah merupakan hal keadaan mereka,
bahawa barangsiapa yang berkhidmat kepada mereka dengan sebahagian diri dan
hartanya, juga akan bernasib baik menerima kebaikan-kebaikan mereka dan ini akan
menjadi suatu nikmat yang besar kepadanya yang mana jika berkumpul seluruh
manusia dari Timur dan Barat masih tidak akan dapat memikirkan keadaan orang
yang memberikan khidmat tersebut, seumpama berada di atas titian yang tidak
diketahui dari mana puncanya dan ke mana penghujungnya. Allah Subhanahu Wa
Ta’ala mengisyarahkan perkara ini menerusi FirmanNya yang bermaksud,

“Dan apa-apa yang telah Allah Ta’ala kurniakan kepadamu hendaklah kamu
menggunakannya untuk membina Negeri Akhirat dan janganlah melupakan
bahagian kamu di dunia, dan berbuatlah kebaikan dengan makhluk Allah
sepertimana Allah telah berbuat kebaikan kepada kamu.” Melakukan sesuatu
khidmat kepada Ahli Allah adalah bererti melakukan sesuatu untuk mencapai
keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”

© Hadhrat Maulawi Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Ufiyallahu 'Anhu Wali Walidaihi


7