Anda di halaman 1dari 32

TERANG BULAN DALAM

ALAM BACHA
Dua Pandangan Dalam Menelusuri Taman Perbukuan
Sempena Tiga Tahun FB Bacaan Liar

Mohamad Ridhwan Alias

Tiada Kesesatan Selepas Datangnya Kebenaran

MENEMUI ADAB DALAM TAMAN PERBUKUAN


Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias1
Aku membaca bukan hanya untuk tahu. Aku juga ingin bahwa apa
yang kubaca itu ikut membentuk sebagian dari pandanganku.
Ahmad Wahib
Sempena ulang tahun ketiga Bacaan Liar, saya selaku insan kerdil yang
sedang belajar cuba menulis apa yang ditemui sepanjang 25 tahun
kembara baca ini.
Tulisan Ahmad Wahib di atas mengamit akal-budi kita bahawa betapa
pentingnya sebuah pembacaan. Tujuan asasi membaca bukan sekadar
untuk tahu tetapi medium untuk merenung-fikir agar lebih dekat
[taqarrub] dan menambah keyakinan kepada Allah SWT melalui
transformasi (perubahan) atau pengislahan (pembaikian) diri supaya
pandangan sarwajagat dan amalan kita menurut Islam.
Kita menolak konsep reformasi (pembaharuan) dalam perjuangan
agama. Islam adalah satu cara hidup yang diberkati oleh Allah tidak
memerlukan pembaharuan. Umat Islam perlu islah dan pemurnian agar
umat Islam kembali kepada asali bertunjang kalimah syahadah.2
Pada hemat saya, berguru biarlah ramai dan membaca biarlah pelbagai
tema pemikiran. Sebahagian orang bimbang jika terlalu banyak
membaca, seseorang akan berorientasikan akal yang akhirnya

Penulis adalah seorang peminat FB Bacaan Liar, mencintai ilmu dan buku. Berasal dari sebuah kampung di
kawasan luar bandar Terengganu. Slogan diri, tiada kesesatan selepas datangnya kebenaran dan Islam Adalah
Kemanusiaan. Kini, melayani-didik anak-anak remaja dalam alam pendidikan. Penulis juga pernah mengemudi
blog mahasiswamenggugat.blogspot.com Penafian: penulis bukan ustaz.
2
Surah Ali Imran: 110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang
maaruf, dan menegah sari yang mungkar dan beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada
yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

menjerumus ke lembah kesesatan.3 Jawapan saya ialah betul. Tanpa


niat yang lurus mahu mencari kebenaran dan mengakuri kebenaran,4
dan berdoa kepada Allah SWT supaya mengurniakan hidayah, kita
boleh tersesat ke jalan keiblisan[kesesatan].
Bahaya jalan keiblisan ini tidak harus menjadi alasan untuk menolak
membaca pelbagai tema pemikiran. Tema pemikiran datang daripada
sumber ilmu.5 Sumber ilmu mempunyai dua bahagian iaitu [1] sumber
mutlak [al Quran dan hadith]6 dan [2] sumber tidak mutlak. Ia juga
dinamakan [1] syariat dan [2] feqah dan [1] prinsip dan [2] ranting.
Sumber mutlak ini menjadi sempadan atau batasan akal.7 Jika akal
melampaui batasan ini, ia bermakna seseorang itu memilih jalan
keiblisan.8
Akal adalah makhluk Allah yang istimewa kerana ia adalah alat
meletakkan amalan9 atau tindakan dan berkemampuan menjadi
sumber ilmu pada saat tertentu dengan syarat dibatasi oleh wahyu.
Akal perlu ditambat oleh wahyu kerana ia makhluk yang cukup liar10
dan mampu menyesatkan orang melalui jalan keiblisan.
Jalan keiblisan hendaklah diselesaikan dalam kerangka ilmu11 bukannya
emosi, politik, sentimen dan lain-lain. Ia diselesaikan melalui hujahhujah dengan menggunakan pendekatan seperti muzakarah, ziarah dan
3

Surah al Sad: 26. Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah[penguasa] di muka bumi, maka
berilah keputusan [perkara] di muka bumi di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa
nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah
akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.
4
As Syuraa: 10. Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka putusannya [terserah] kepada Allah. [Yang
mempunyai sifat-sifat demikian] itulah Allah Tuhanku. Kepada-Nyalah aku kembali.
5
Dalam Islam, Allah SWT adalah sumber sebenar ilmu dan diri manusia sebagai makhluk aktif dalam usaha
mendapatkan ilmu.
6
Surah al Hadiid: 25
7
Surah Yusuf: 21
8
Surah al Baqarah: 208
9
Alat berfikir untuk membuat pilihan dan keputusan.
10
Seperti Teori Evolusi
11
Surah al Rum: 21-24

lain-lain. Kita tidak perlu mengharamkan atau membakar buku atau


menolak kehadiran tokoh tersebut. Kita perlu menghormati pendirian
lawan dan diri lawan walaupun memusuhi tema pemikiran lawan tadi.
Pengakhiran seseorang pembaca adalah terhasilnya pandangan
sarwajagat yang dibentuk daripada pembacaan dan pengalaman hidup
mereka untuk memandu kehidupan yang seterusnya. Usia berbaki
memerlukan pandangan sarwajagat yang benar diselimuti oleh hidayah
agar kematian kita dan masa depan akhirat kita mencapai kebahagiaan
dan kesejahteraan.12 Pandangan sarwajagat Islam melorongkan akal
agar mengikuti jalan hidayah13 yang dijamin keselamatannya untuk
sampai ke destinasi dengan selamat.
Bermulanya Anak Muda Gelisah Jiwanya.
XXII
Kepada langit berlipat-ganda kuberseru,
Menanya : 'Ngan pelita apa Kodrat memandu
Anak-anaknya yang sesat dalam kegelapan?'
Maka Langit menjawab : 'Ngan fahaman yang buntu!'
XXIII
Kenapa tiada taufan mengamuk dilautanmu?
Jiwamu terbelenggukemanakah imanmu?
Sia-sia kau melaung menuduh tindasan Takdir
Kenapa tidak kau menjadi Kodrat Tuhanmu?
[Syed Muhammad Naquib al Attas, Rangkaian Ruba'iyat]
Gelisah jiwa14 berlaku apabila akal mula memberontak mencabar
agama dan nilai rohaniah agama. Kegelisahan ini adalah fitrah anak
12

Surah Yunus: 45-46


Surah Nahl: 89
14
Surah al Maarij: 19-21
13

muda yang masih mencari identiti mereka sendiri. Kadangkala mereka


celaru dan keliru mencampuri dosa15 dan pahala umpama melayani gig
dan pada masa yang sama masih berqasidah di dataran merdeka.
Kita mahu membina bangunan yang gah, tetapi tidak mempunyai tiang
yang kukuh. Maka, bangunan tersebut akan mudah runtuh. Itulah
umpamanya kita menitik berat ilmu fardu kifayah tetapi melupakan
ilmu fardu ain. Dikala ini, ilmu mengenal Tuhan iaitu mengenal sifat 20
puluh dan Asmaul Husna -Nama Allah semakin ditinggalkan. Ilmu
mengenal Tuhan dapat menenangkan jiwa kacau dan akal terkeliru.
Gelisah jiwa manusia merupakan satu pemberontakan jiwa terhadap
sifat Iradat Allah. Iradat bermaksud BERKEHENDAK. Kita tidak boleh
menisbahkan keburukan, kejahatan dan kekejian kepada Allah SWT.
Melayani kegelisahan jiwa memerlukan pendekatan yang benar agar
tidak termasuk dalam golongan yang menyeleweng. Kefahaman
terhadap konsep Sifat 20 dan Asmaul Husna perlu dipertingkatkan
dengan keyakinan yang tinggi. Keyakinan dapat dihasilkan dengan
kepatuhan kepada kehendak al Quran16 dan al Sunnah.
Gelisah jiwa manusia adalah jalan kebuntuan dan kesesatan boleh
menjadi pembuka hidayah kepada seseorang. 17 Punbegitu, kita sebagai
manusia yang sedar dan seorang pembaca-penuntut ilmu tidak
seharusnya terperangkap dengan jalan kebuntuan dan kesesatan ini.
Justeru, kita perlu mencari hidayah bukannya menambahkan
kebuntuan lagi. Cari guru yang benar dan buku yang benar [sudah tentu
al Quran dan kitab hadth] sebagai pemula mengubati jalan kebuntuan
dan kesesatan.

15

Surah al Baqarah: 42
Surah Yunus: 57
17
Surah As Syams: 7-10
16

Selain guru yang benar dan panduan yang benar, kita boleh mengubati
kegelisahan jiwa dengan perkara di bawah;
1. Menjaga solat berjemaah
2. Bergaul dengan orang-orang baik dan saleh. Peringkat awal boleh
mulakan di masjid dan mengikuti jemaah tabligh dan usrah serta
halaqah. Dalam jemaah tabligh kita dapat menghidupkan agama
dalam hati, fikir dan amalan kita.
3. Baca al Quran dengan terjemahan satu halaman setiap hari.
4. Baca Kitab Hadith Bukhari dan Muslim, satu halaman setiap hari.
5. Jangan terikut perasaan- sabar dan berdoa mohon petunjuk Ilahi.
Moga kita menemui kembali jalan hidayah daripadaNya.
Manusia Yang Baik
Kita hidup sebagai individu bukannya sebuah organisasi. Individu adalah
asas kehidupan. Penilaian Allah terhadap kita secara individu bukannya
organisasi yang kita sertai. Islam mendahului kualiti individu
mendahului kebaikan sistem. Justeru, kita perlu menjadi individu18
yang dikenali Manusia Yang Baik.
Menurut Dr Syed Muhammad Naquib al Attas, Manusia Baik ialah
manusia yang beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya
bertanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan
menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri
lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap
aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi.
Manusia Yang Baik ialah manusia yang beradab dan berakhlak. Manusia
yang berakhlak dan beradab mengambarkan kemuliaan seseorang19.
Baginda Rasulullah SAW sendiri menjadi model paling utama tauladan
18
19

Surah al Nahl: 97
Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia [Surah al Qalam: 4]

insan yang menganuti agama Islam kerana antara tujuan pengutusan


baginda adalah menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia20.
Orang yang insaf sepenuhnya bertanggungjawab21 dirinya kepada
Tuhan Yang Hak menyentuh tentang tanggungjawab akhlakiah
seseorang individu atau insan Islam bagi dirinya seterusnya kepada
masyarakat. Syarat utama kebertanggungjawaban ini ialah keadaan
baligh seseorang. Tanggungjawab terhadap diri dan Tuhan menjadi
tugas baru bagi seseorang yang sudah baligh.
Penunaian keadilan terhadap diri dan masyarakat memerikan
kehidupan adabi yang bertatasusila yang luhur iaitu kehidupan
bermasyarakat yang teratur dalam kawalan hukum dan undang-undang
serta kuatkuasa keadilan dan hikmat kewibawaan pemimpin dan
ilmuwan.
Meningkat setiap aspek dalam diri ialah meningkatkan kualiti ibadah
kita yakni Islam memandu cara hidup kita termasuk budaya hidup, cara
berfikir, tindakan dan suasana hidup kita ada setiap saat. Islam
mendepani pemerintahan negara, dalam keluarga, pengurusan
organisasi, kerjaya, memberi pendapat dan segala aspek kehidupan.
Islam dijadikan hakim dalam menentukan tindakan dan cara berfikir
kita.
Sememangnya benar, masuk syurga itu dengan rahmat Allah bukannya
pada banyaknya amalan seseorang Manusia Yang Baik. Cuma Allah
SWT telah mengambarkan syarat ahli syurga dalam al Quran dan
Rasulullah SAW telah memberi tauladan amalan ahli syurga kepada
kita. Kita mesti mengikut syarat-syarat22 dan mengikut tauladan
Rasulullah SAW jika mahu masuk ke dalam syurga.
20

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan-kemuliaan akhlak [Riwayat al Baihaqi]


Surah an Anbiya, 21: 23
22
Surah Muhammad: 33-34
21

Beradab Dalam Kehidupan.


Adab dan akhlak adalah buah daripada batang pepohon taqwa. Iman
pula adalah akar pepohon tersebut dibajai oleh ilmu. Pemahaman
terhadap epistemologi Islam yang benar akan menumbuhkan adab dan
akhlak yang baik. Ini sekaligus menolak tanggapan bahawa akhlak lebih
utama daripada ilmu. Ilmu yang benar menghasilkan iman yang
menumbuhkan akhlak dan adab. Bak kata Imam Ibnu Taimiyyah, Ilmu
adalah ketua bagi amal, amal menjadi pengikutnya.
Menurut Syed Muhammad Naquib al Attas, adab merujuk kepada
pengenalan dan pengakuan yang hak akan tempat yang wajar,
kedudukan dan keadaan hidup, dan kepada mendisiplinkan diri dalam
penyertaannya secara rela dan positif dalam memainkan peranannya
selaras dengan pengenalan dan pengakuan itu, maka berlakunya ia
didalam diri dan masyarakat secara keseluruhannya memperlihatkan
keadaan keadilan.
Menurut Kamus Dewan, adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang
halus, budi bahasa, budi pekerti yang halus dan kesopanan. Jika
beradab, mempunyai atau menunjukkan ciri-ciri dalam masyarakat.
Peradaban pula bermaksud keadaan serta tingkat kemajuan pada
kehidupan jasmani dan rohani masyarakat. Ia berbeza dengan maksud
tamadun iaitu keadaan masyarakat yang dicirikan oleh atau didasarkan
pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran yang
tinggi.
Kehilangan adab menunjukkan kehilangan keadilan seterusnya pula
mengakibatkan kekeliruan dalam ilmu. Keadilan intisari kepada hikmah.
Hikmah ialah kepandaian dan kebijaksanaan. Kata Imam Malik, erti
hikmah ialah mengetahui agama, memahami dan menuruti ajaranajarannya.

Kehilangan adab berlaku apabila adanya kekeliruan dalam ilmu


disebabkan kehilangan keadilan. Umpamanya sebatang pokok, keadilan
[adalah tindakan dan sifat] manusia dengan meletakkan baja [ilmu]
pada waktu yang betul dan tempat yang betul [keadilan]. Jika bajanya
salah atau diberi secara salah, pepohon tersebut akan mati [kehilangan
adab].
Dilema yang dihadapi sekarang boleh disebabkan oleh
1. Kekeliruan dan kesilapan dalam ilmu, mewujudkan keadaan bagi;
2. Kehilangan adab dalam lingkungan komuniti. Keadaan yang timbul
daripada [1] dan [2] ialah;
3. Munculnya pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai
kelayakan untuk mengisi kepimpinan yang sah bagi komuniti
Muslim, yang tidak mempunyai akhlak yang mulia, tidak
mempunyai tahap intelektual dan rohaniah yang diperlukan untuk
mengisi kepimpinan Islam, yang mengekalkan keadaan dalam [1]
di atas itu dan menjamin kekuasaan yang berterusan ke atas hal
ehwal komuniti oleh pemimpin-pemimpin seperti mereka yang
menguasai dalam semua bidang.
Ilmu bukan sekadar sebagai pengetahuan atau untuk tahu sahaja.
Menurut Syed Muhammad Naquib al Attas, ilmu adalah merujuk
kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia [ilmu] adalah ketibaan makna
sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai
pentafsir, ilmu adalah ketibaan makna diri seseorang kepada makna
tentang sesuatu.
Ilmu itu untuk perubahan iman dan akhlak seseorang agar lebih
beriman dan lebih bertaqwa. Ilmu yang melahirkan kefahaman yang
kemudian meningkatkan keyakinan bertuhan dalam diri.23 Peringkat
23

Surah al Jumuah: 5

tertinggi keilmuan seseorang ialah tahap kesempurnaan iman iaitu


TAQWA24 dimana keyakinan kepada Allah SWT berada dalam keadaan
tertinggi [hidup mati kerana Allah dan senafas dengan zikir-fikir kepada
Allah SWT]. Daripada keyakinan tersebut, amalan dan pandangan
sarwajagat Islam dibina dengan ilmu yang benar.
Meraikan Pendapat Bukan Tanda Bersetuju
Membaca buku pelbagai aliran pemikiran boleh menajamkan
perenungan kita terhadap Allah dan ia juga boleh menjerumuskan kita
ke lembah kebuntuan dan kesesatan. Justeru, pembacaan kita
hendaklah dimulakan dengan kalimah, bacalah dengan nama Tuhanmu
Yang Menciptakan25. Membaca perlu dengan memohon doa agar
petunjuk dan hidayah Allah sentiasa diperolehi. Membaca bukan
sekadar untuk tahu tetapi mendekatkan diri kepadaNya.
Membaca buku beraneka pemikiran seperti sosialisme, liberalisme dan
komunisme, bukan bermakna kita bersetuju dengan buku yang dibaca
dan penulis buku tersebut. Kita perlu bersedia dengan sikap Bersetuju
menghormati dengan perkara yang tidak dipersetujui bahkan kita perlu
mengkritik segala kemungkaran dalam proses pengilmuan yang anti
Tuhan dan dusta.
Penulis sangat bersetuju, membaca buku untuk mendapat manfaat
kepada diri seseorang, mengkaji dan mendapat pengetahuan baru.
Hasil pembacaan kita terletak pada sejauhmana perubahan yang
berlaku dalam amalan dan pandangan sarwajagat kita?.
Membaca pelbagai aliran pemikiran memberi peluang untuk kita
merenung kekuasaan Allah melalui perbezaan yang diciptanya. Wahyu
24

Surah Luqman: 21, Surah At Taubah: 30. Kedua-duanya ayat ini mengambarkan satu cipta ciri perbandingan dan
kritikan dalam kajian ilmu perbandingan.
25
Surah al Alaq[96]: 1.

Allah disediakan oleh Allah untuk menilai kebenaran atau kepalsuan


setiap bahan yang dibaca.26
Manusia adalah Pentafsir Agama
Dan biarkanlah tiap orang memahamkan Quran dan Sunnah itu
menurut dirinya sendiri. Ahmad Wahib.
Setiap manusia berhak mentafsir agamanya sendiri tanpa bergantung
harap dengan para pentafsir agama dengan syarat mereka berusaha
memiliki ilmu-ilmu yang membolehkan mereka tafsir agama mereka
sendiri dan iman yang tulen serta utuh.27 Islam tidak mempunyai
perantara dalam menjalinkan hubungan manusia dengan Allah.
Pentafsir agama juga memerlukan niat yang lurus bukannya mengikut
akal dan nafsu28 mereka sahaja.
Mentafsir agama tidak boleh menggunakan nafsu29 dan akal sahaja, ia
perlu dibuka dengan ilmu yang benar, kelurusan niat dan wahyu. Ilmu
yang benar adalah kunci pintu pentafsiran agama manakala wahyu
adalah sumber yang bertindak sebagai hakim atau batasannya. Antara
ilmu yang diperlukan ialah ilmu alat yang membantu seseorang
memahami agama Islam seperti Bahasa Arab, Usul Fiqh dan sebagainya.
Saya bersetuju dengan menggunakan pendekatan tafsir saranan Syed
Muhammad Naquib al Attas dimana al Quran ditafsir dengan al Quran
dan al Sunnah bukannya ikut suka hati. Pendekatan ini perlu digunakan
dalam bidang keilmuan yang lain.

26

Surah al Israa, 17: 81


Faham kebenaran Islam bertunjangkan al Quran dan al Sunnah. Syarat utama pentafsiran sumber Islam ialah
ilmu dan niat yang ikhlas.
28
Surah an Nisa: 135
29
Surah Sad: 26
27

Akal pula adalah alat untuk meletakkan sesuatu keputusan [Ijtihad].30


Akal kadangkala ia menjadi kunci [ilmu] untuk membuka pintu
pentafsiran agama, kadangkala ia menurut kehendak nafsu. Untuk
menilai dan menghakimi tindakan akal, wahyu perlu bertindak sebagai
hakim untuk mevetokan keputusan akal.
Dalam kes pencarian tuhan, akal akan berusaha dengan keras
menanyakan, siapakah mencipta Tuhan? atau Siapakah sebelum
Tuhan?. Islam agama yang hebat memberi jawapan yang muktamad
dan tidak boleh dipersoalkan lagi31 kecuali penyoal itu sememangnya
tidak beragama [ateis] atau orang gila. Al Quran memuktamadkan
persoalan berkenaan dalam surah al Ikhlas, Katakanlah! Dia Allah,
Yang Maha Esa, Allah tempat memohon perlindungan. Tiada Dia
beranak. Tiada Dia diPERANAKkan. Dan tidak Ada bagiNya imbangan
sesuatu jua pun [Surah al Ikhlas: 1-4].
Akal seringkali dipengaruhi oleh latar belakang kehidupan dan
pengalaman pentafsirnya. Kita boleh melihat, para pentafsir agama
mentafsirkan perkara yang sama dengan pentafsiran berbeza. Islam
menerima perbezaan ini selagi tidak melanggar syariat Islam dan
sumber rujukan Islam [al Quran dan al Sunnah], menghormati
perbezaan berhujah dan konteks setempat. Sahabat IIIT umpamanya,
cuba mempromosikan model mereka untuk melaksanakan Islam
mengikut cara IIIT tanpa memahami konteks tempat tersebut dimana
idea IIIT mahu dilaksanakan. Penghayatan dan pembudayaan Islam di
negara Barat tidak boleh disamakan dengan negara Islam.
Islam tidak boleh dipengaruhi oleh pengalaman peribadi, pengetahuan
dan ilham kita, dan kehendak-kehendak pihak tertentu melalui arahan
secara langsung, pembacaan dan diasuh secara langsung. Islam perlu
30
31

Sesuatu keputusan yang bersumberkan ilmu yang benar dibenarkan.


Surah al Anbiyaa: 92

dilaksanakan sebagaimana arahan wahyu dan tauladan Rasulullah SAW.


Kesilapan besar Barat ialah mahu Islam mengikut kehendak Barat.32
Jika seseorang muslim memiliki ilmu yang benar, mereka tidak perlu
lagi berharap dengan merujuk kepada para ulama tetapi terus kepada
sumber Islam iaitu al Quran dan al Sunnah. Seperti mana hujah Imam
Hassan al Banna dalam Prinsip ketujuh Rukun Faham, setiap orang
Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat
mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu hendaklah mengikut
salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik
selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil
tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan
dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah
orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah
ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu
supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.
Pada akhir zaman, kita berada dalam dunia yang dipenuhi krisis akhlak,
krisis taqwa dan krisis iman. Iman berbolak-balik berpendirian
berlainan sebelah pagi dan petang. Sifat manusia pada hari ini sangat
pragmatis. Manusia yang mentafsir agama dikenali ulama (ustaz atau
agamawan) atau sarjana Islam, ada juga yang terbabas dari segi akhlak
dan amal. Mereka hanyalah manusia biasa yang tidak dapat lari
daripada dosa. Sesetengah ucapan mereka untuk kepentingan diri
[perniagaan] dan bersifat peribadi serta tiada hikmah [kasar, ego
dengan ilmu].
Imam al Ghazali membahagikan ulama kepada dua iaitu ulama akhirat
dan ulama dunia.
32

Menurut Darek Hopwood, kemodenan adalah sesuatu yang menuju ke arah kemajuan dan bersifat Eropah
[Pembaratan]. Berdasarkan kepercayaan ini, lebih baik Orang Timur tradisional mengikut jejak mereka dengan
mengikut budaya Barat. Pada hemat saya, perkara ini akan mewujudkan pertembungan antara Islam sebagai Cara
Hidup dengan Budaya Barat.

Mengutip Bunga Di Taman Larangan


Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya Jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.
[Syed Muhammad Naquib al Attas, Risalah]
Keterujaan terhadap Barat dan termakan budi dengan Barat
menyebabkan umat Islam terutamanya pemimpin dan sarjana Islam
terperangkap dalam agenda Barat. Mereka mahu kebaikan untuk Islam
dan umatnya tetapi mengunakan cara yang salah iaitu cara orang yang
tidak mahu mentauhidkan Allah SWT dan menyalahi syariat Islam. Ia
sebagaimana dilakukan oleh pencipta hadith palsu. Sesetengah mereka
mahu orang Islam melakukan kebaikan seperti banyak solat sunat
dengan mencipta hadith palsu tentang kebaikan banyak solat tetapi
caranya tetap haram dan salah.
Islam bukannya hanya pada kulit tetapi merangkumi isi. Tanpa isi, buah
tidak akan berguna walaupun mempunyai kulit yang cantik. Di Barat,
kita belajar metodelogi Islam dan pengetahuan bertaraf kulit sahaja
kerana guru, silibus dan tempat belajar itu bukan bertujuan
menerapkan keimanan dan ketaqwaan kepada pelajarnya. Ia hanya
pengkajian Islam tanpa iman dan tidak mahu melahirkan taqwa.
Belajar Islam di Barat tanpa iman yang kuat dan tiada niat yang lurus
dan benar, kita akan terperangkap dengan agenda Barat. Pembaharuan
Islam yang dicanang menjadi bahan komestik yang cantik tetapi
mempunyai merkuri dan silikon yang tinggi bakal merosakkan Islam
dan umat Islam dalam jangka masa yang panjang. Hero-hero Islam yang
dihasilkan oleh Kebudayaan Barat banyak merosakkan Umat Islam
dengan gagasan pembaharuan Islam yang khayali.

Nurcholish Majid atau Cak Nur seorang yang berjasa kepada


perkembangan Islam. Cuma dalam usaha pembaharuan Islam yang
dilakukan olehnya, banyak teras Islam yang cuba diherotkannya. Cak
Nur adalah pimpinan gerakan mahasiswa Islam iaitu Himpunan
Mahasiswa Islam (HMI), mempunyai jaringan persahabatan dengan
para ulama dan NGO Islam antarabangsa, berwatak genius-intelektual
dan pengasas Universiti Paramadina.
Di Malaysia, terdapat beberapa tokoh atau hero Islam yang pemikiran
mereka diherotkan oleh gagasan yang menuruti kehendak Barat.
Islam bersifat menyeluruh dan saling berkaitan antara satu sama lain.
Mengikut sifir Islam, perkara aqidah melibatkan sifir 2-1 = 0 bukannya
logik kebiasaan manusia 2-1=1. Justeru, kita masuk Islam secara
keseluruhan.
Nah, diam-diam kita menganut sekularisme, walaupun dengan
lantang kita menentang sekularisme!, tulis Ahmad Wahib.
Humanisme, sekularisme, liberalisme, sosialisme hatta komunisme hasil
pemikiran manusia. Suka atau tidak, manusia akan terkait dengan
pemikiran sedemikian. Tugas kita sekarang ialah berusaha
membersihkan pemikiran tersebut daripada kotak pandangan
sarwajagat Islam kita atau menjuruskan elemen baik pemikiran
tersebut kepada Islam melalui Islamisasi.
Model Ulama Alternatif Nusantara
Kita menghierarkikan kehidupan kita sebagai Islam-Melayu-NusantaraRakyat-Manusia. Lima elemen ini banyak mempengaruhi pandangan
sarwajagat kita. Tentang ulama, saya mencari ulama Melayu bukannya

Ulama Arab.33 Bukannya rasis tetapi ulama perlu berusaha memahami


hati nurani dan pemikiran setempat.
Kedatangan Islam ke rantau ini melalui pendekatan dakwah bukannya
peperangan. Para pedagang Islam menyebar Islam melalui lisan dan
tindakan mereka.
Kebanyakan mereka menetap di Alam Melayu [Nusantara] dan
menyebarkan Islam berdasarkan Islamisasi kebudayaan tempatan. Para
pendakwah Islam meluruskan pandangan sarwajagat Manusia Melayu,
Islamisasi Kebudayaan dan menolak-menapis perkara yang syirik dan
melanggar syariat Islam.
Akhir Kalam
Kemuliaan disisi manusia terletak pada akhlak-adab. Kemuliaan disisi
Allah, sudah tentu akhlak-adab yang ditunjangi iman.34 Semua orang
makan, makan dengan membaca bismillah lain nilainya dengan makan
tanpa bismillah.
Kehebatan manusia pada akalnya yang memberi pengetahuan
memandu manusia untuk memilih keputusan dalam kehidupan.
Akal perlu diikat dengan wahyu,35 barulah manusia boleh diselimuti
oleh kebenaran.36
Aku Mahu mentauladani Muhammad bukannya Ahmad Wahib!

33

Ulama yang tidak menetap di kawasan ini tidak memahami pemikiran, kebudayaan dan hati nurani rakyat
setempat.
34
Surah al Baqarah, 2: 34
35
Surah az Zumar, 39: 41
36
Surah al Kahfi, 18: 29

ASHIK MENARI DALAM ALAM BACA


Oleh Mohamad Ridhwan Bin Alias
Alhamdulillah, saya yang kerdil dan daif ilmu ini cuba menyahut
cabaran abang Rosli Ibrahim yang saya anggap pujangga [intelektual]
rakyat dengan menulis sebuah artikel tentang alam baca. Kekaguman
saya terhadap usaha keilmuan abang Rosli mengheret saya menulis
sebagai tanda dedikasi untuk Bacaan Liar dan para pengasasnya.
Penulisan ini cuba memberi gambaran alam baca saya yang bahan
bacanya terhad. Ia juga mengambarkan tujuan saya melakukan
pembacaan dan apa yang saya cari. Lima unsur adipenting pada saya
ialah kita sebagai Islam, Melayu, berada Alam Nusantara, Manusia dan
Rakyat.
Intelektual Rakyat
Dalam tradisi Melayu, cerdik pandai lebih dikenali sebagai Pujangga
manakala dunia hari ini sebagai sarjana atau intelek. Pujangga ialah
pengarang yang agung dan tinggi mutunya dan ia juga dikenali sebagai
ahli fikir atau ahli bahasa. Pengarang pula bermaksud pengubah,
pencipta dan penyusun.
Pujangga dalam tradisi Melayu adalah tradisi keilmuan dari Istana.
Dalam Alam Melayu ketika itu, pujangga dan ulama merupakan
penasihat utama Sultan selain para menteri diketuai Bendahara.
Pada hari ini, masyarakat kita dikhayalkan bahawa intelektual ialah
manusia berPhD mendapat kelulusan tertinggi di universiti, banyak
baca buku dan memiliki kemahiran, pakar dan profesional dalam
bidangnya. Oleh itu, intelek menjadi kelompok eksklusif yang bertapa di

universiti dan bercakap dalam forum-forum dan sesetengah mereka


menjadi popular sebagai selebriti TV.
Anak muda yang mahu berjinak-jinak dengan pembacaan dan diskusi
pula dikatakan pseudo-intelektual. Pada hemat saya, tiada konsep
pseudo intelektual bagi seorang pencari ilmu atau pembaca kerana
setiap individu mempunyai tahap kemampuan intelektual yang
tersendiri berdasarkan latarbelakang pendidikan, pembacaan,
pengalaman dan interaksi mereka. Pseudo-intelektual yang sebenarnya
dalam kalangan terpelajar terutamanya yang berPhD, elitis berbudayabangsawan dan pensyarah universiti. Adakah patut kita menghina
seorang pembaca muda setelah kita mempunyai kelulusan PhD?
Mereka berPhD bermula daripada mana?.
Ali Shariati menyatakan pemikir reformasi celik merupakan individu
yang mempunyai tanggugjawab dan misi sosial dalam masyarakat.
Pemikir celik bertanggungjawab memberi kesedaran kepada
masyarakat umum serta memberi kepimpinan intelektual dan sosial
kepada mereka.
F. A. Hayek menyatakan Intelektual bukan semestinya orang pintar.
Perkara yang dia miliki ialah:
1. keupayaan untuk bercakap/menulis tentang pelbagai subjek; dan
2. cara untuk mengenal gagasan-gagasan baru lebih awal daripada
khalayaknya.
Menurut Syed Husein Alatas pula, intelektual ialah orang yang
memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah, bukan
kebendaan, dengan menggunakan kemampuan akliahnya.
Dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun, karangan Dr Syed
Husein Alatas, beliau telah menyatakan 4 ciri sifat intelektual iaitu

1. dapat mengenal pasti dan mengajukan permasalahan yang timbul


dalam masyarakat;
2. mampu mentakrifkan permasalahan dihadapi masyarakat;
3. mampu untuk menganalisis permasalahan tersebut;
4. mereka juga mampu untuk menyelesaikan permasalahan
masyarakat tersebut dengan menganjurkan solusi yang relevan dan
berkesan.
Pramoedya Ananta Toer menyatakan kaum intelektual adalah kaum
yang menempatkan nalar (pertimbangan akal) sebagai kemampuan
pertama yang diutamakan yang melihat tujuan akhir upaya manusia
memahami kebenarannya melalui penalarannya.
Menurut Edward Said, orang intelektual adalah pencipta sebuah
bahasa yang benar kepada yang berkuasa. Menurutnya lagi, orang
intelektual pada hakikatnya adalah mengenai pengetahuan dan
kebebasan. Kebebasan tanpa terikat dengan kehendak dan
kepentingan pihak tertentu.
Sasterawan Negara Dato Usman Awang pula menyatakan Orang
intelektual boleh dicirikan kepada 4 seperti di bawah;
1. Orang yang punya ilmu pengetahuan dan otak yang sentiasa
memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan
perkembangan ilmu zaman; Ilmunya tidak basi.
2. Sentiasa berfikir dan menyumbangkan dan mengembangkan
ideanya.
3. Orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk
mengkaji, menganalisa, merumuskan segala perkara kehidupan
manusia- untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran.
4. Orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuangkan
kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani

memperjuangkan kebebasan meskipun mendapat tekanan dan


ancaman.
Jelas, peranan Orang intelektual ialah pengupayaan daya fikir untuk
menyediakan alternatif menyelesaikan permasalahan rakyat.
Orang Intelektual sebenar adalah orang intelektual berada bersama
masyarakat dengan melakukan pengislahan dan kesedaran kepada
mereka.
Orang Intelektual tanpa PhD dan tanpa jawatan sebagai pensyarah
perlu diramaikan dalam masyarakat untuk menyedarkan dan mengislah
masyarakat.
Orang Intelektual tanpa PhD memerlukan organisasi yang boleh
memobilasikan gagasan pemikiran mereka secara praktis dalam
menyedarkan dan mentransformasikan pemikiran dan sikap rakyat
jelata. Ia bukan setakat berdiskusi dalam kumpulan diskusi kecil tetapi
bergerak dalam masyarakat secara khidmat masyarakat, kebudayaan
dan berkebajikan di kawasan yang bersifat mikro.
Siapakah orang intelektual pada hari ini yang berada dalam masyarakat
dan berjuang isu-isu masyarakat?
Ulama Adalah Intelektual Rakyat
Tradisi Islam, sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke saat ini, para
ulama Islam sering berada bersama dalam lingkungan masyarakat. Misi
Kenabian untuk peningkatan diri dan orang terdekat manakala Misi
Rasul untuk kaum lingkungannya. Misi Nabi-Rasul ini adalah sebuah
gerakan rakyat yang bergerak dalam masyarakat. Menariknya, sebelum
Zaman Nabi Muhammad SAW, misi-rasul hanya lingkungan masyarakat

atau kaum sahaja berbanding Zaman Rasulullah SAW untuk umat


seantero alam sehingga Hari Kiamat.37
Pengaruh ulama dalam masyarakat Islam sangat besar setaraf dengan
pemimpin politik.
Dalam tradisi Melayu-Islam, kita akan ketemui istilah seperti Makhdum
dan Maulana pada pangkal nama seseorang ilmuwan Melayu-Islam.
Ilmuwan sangat dihormati dalam kepimpinan Kerajaan Melayu .
Keilmuan dipandang tinggi dalam Kepimpinan Melayu, ....hendaklah
raja itu berilmu. Jika tiada ilmu hendaklah bersahabat dengan orang
yang berilmu. Maksudnya, Raja memerlukan penasihat dalam kalangan
ilmuwan jika mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan.
Realitinya, para ulama adalah intelektual rakyat. Mereka bukan sahaja
menyedarkan rakyat tetapi memimpin perjuangan menentang penjajah
seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut. Ada
kalangan mereka menjadi pemerintah seperti Sultan Zainal Abidin III,
Sultan Terengganu.
Agamawan [baca: lulusan agama] boleh menjadi intelektual rakyat.
Permasalahan utama agamawan ialah cara berfikir dan sikap mereka. 38
Paling terkesan apabila sikap mereka terhadap konsep ilmu, sikap
mereka terhadap perkara khilaf dan menjadikan agama sebagai modal
atau hujah demi kepentingan nafsu diri mereka.
Agamawan muda perlu berusaha mencontohi para ulama terdahulu.
Tambahi ilmu dengan banyak membaca pelbagai genre pemikiran
kerana zaman ini memerlukan kalian memahiri dan melengkapi dirinya
37

Surah Ali Imran: 49.


Model Intelektual ISTAC [2015- CASIS, INSIST] zaman Syed Muhammad Naquib al Attas perlu digerakkan semula
dalam usaha melahirkan ulama-sarjana Islam yang berkualiti iman dan ilmiah serta berwibawa untuk menangkis
serangan pemikiran musuh dan pembaratan.
38

ilmu dan hikmah dalam dakwah Islami. Keterlibatan agamawan muda


dalam Alam Khilaf yang tidak berkesudahan menontonkan kepada kita
betapa celaru dan kelirunya perjuangan dakwah Islam pada masa akan
datang.
Oleh sebab itu, masyarakat memerlukan para ulama Ulul Albab bersifat
Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.39 Tiga sifat Ulul Albab memerlukan
kuncinya iaitu konsep IQRA yang berpaksikan kepada tiga tunjang iaitu
1. Baca dengan nama Tuhan
2. Menulis
3. Mengajar
Konsep IQRA mendidik kita membaca dengan nama tuhan iaitu
membaca penuh kesedaran tentang keagungan dan kehebatan Tuhan
Yang Hak. Membaca bukan untuk menidakkan Tuhan tetapi membaca
untuk mendekati Tuhan. Selepas kita tahu, barulah kita tulis dan
mengajar.40
Tahu belum tentu amal
Amal belum tentu istiqamah.
Dalam krisis iman dan taqwa
iman menjadi tidak menentu dan kacau
iman berbolak balik pada saat pagi dan petang
tanpa pendirian dan istiqamah.
Ulama
Pewaris Nabi
mencontohi Rasulullah
dalam semua aspek.
39
40

Sebagaimana konsep Sekolah Menengah IMTIAZ di Terengganu.


Surah al Alaq: 1-5.

Pencinta Ilmu Bukannya Pencipta Ilmu


Affandi Hassan dalam Novel Pujangga Melayu mengatakan, beza
pencipta ilmu dengan pencinta ilmu ialah pencinta ilmu suka menikmati
taman-taman indah bukan pembina taman indah.
Penulis bukan sekadar memiliki nama yang harum, dikenali dan
popular. Penulis memerlukan wibawa. Penulis popular namanya
bersifat fenomena tetapi mudah lodoh. Penulis wibawa mencaturi
zaman dengan pengaruhnya berpanjangan sepanjang zaman. Penulis
popular boleh buat duit dan mencipta nama tetapi penulis wibawa
memandaikan pembaca dan mengislah rakyat.
Wibawa hasil daripada keilmuan, pengalaman dan perjuangan
seseorang penulis dalam masyarakatnya. Penulis Wibawa sebagaimana
Sasterawan Negara, Usman Awang yang menukilkan, seorang penulis
adalah pemikir yang tidak henti-hentinya, seorang pencari yang tidak
pernah puas, seorang peneliti yang selalu ingin tahu dan seorang
peneroka dan pentafsir zaman. Penulis Wibawa juga seumpama yang
dinyatakan oleh T. Alias Taib, Aku pembeli masalah orang,
menyusunnya menjadi kata-kata dan menjualnya kepada pemikir. Dua
gambaran sifat penulis wibawa yang dinukilkan oleh dua tokoh penulis
tersohor negara Malaysia.
Menulis adalah anugerah kerana ilham bagaikan unta liar yang sukar
ditambat. Buya Hamka berkata, mengarang dulu dengan ilham. Tulis
apa yang kau lihat, alami dan rasakan, baru kemudian kau lengkapi
dengan bacaan.
Buku yang baik ditulis sempurna oleh penulis yang mempunyai ilmu
mendalam dan berwibawa. Oleh sebab itu, penulis lebih selesa menjadi

pencinta ilmu atau pembaca setia kerana tulisan berautoriti sudah ada
tuannya.
Mencari HIKMAH: Pendakwah Bukannya Penghukum
Seorang pemuda bertanya kepada Syeikh Muhammad al Ghazali,
Apakah HUKUM orang yang meninggalkan solat? Syeikh Muhammad
al Ghazali menjawab, hukumnya, kamu ajak dan pimpin dia ke masjid!
[Sumber: Ustazah Maznah Daud, Ketua Wanita IKRAM Malaysia]
Pada hemat penulis, hikmah itu pada meletak sesuatu perkara pada
tempat yang betul dan pada saat yang betul. Hikmah itu intinya adalah
keadilan. Perkara yang betul dan benar tanpa hikmah, ia akan kelihatan
tidak benar dan menjerumuskan kebenaran tersebut ke dalam lubang
fitnah. Menurut Syed Muhammad Naquib al Attas, hikmah ialah
mengetahui dan mengenali bagaimana cara meletakkan ilmu apa di
tempat mana. Hikmat adalah petunjuk hidayah daripada Allah.41
Hikmah barang yang hilang dalam kalangan pendakwah Islam. Mereka
suka menghukum bukannya menghulurkan kasih sayang kepada pihak
musuh.42 Selagi tiada pencerobohan fizikal atau bersenjata, layanilah
musuh dengan pendekatan berhikmah.
Pendakwah Islam, agamawan dan umat Islam perlu menjauhi
ketaksuban, fitnah, kebencian, kekasaran dan segala sifat buruk dalam
menyelesaikan permasalahan umat Islam dengan masyarakat bukan
Islam. Kebencian masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan umat
Islam jangan dibalas dengan kebencian, namun hulurkan kasih sayang
sebagaimana Rasulullah SAW melayani wanita tua Yahudi yang
seringkali cuba menyakiti baginda. Kita perlu menjadi sebagaimana
41
42

Surah al Kahfi: 57
Surah Ali Imran: 159

buah mempelam yang dilempari batu tetapi mengugurkan buah yang


ranum.
Sempadan Akal
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaikbaiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendahrendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putusputusnya [surah At Tin: 4-6]
Manusia adalah sifatnya yang paling baik apabila dia percayakan
Allah[dengan keyakinan sungguh-sungguh]43 dan dengan taat
mematuhi suruhanNya dan paling rendah apabila manusia hilang
keyakinan kepada Allah SWT.
Manusia merupakan mahkluk Allah yang terbaik kerana diberikan
maruah, ilmu dan akal. Tugasnya menjadi hamba Allah dan menjadi
khalifah di bumi.44 Maknanya manusia boleh mengatur kehidupan
mereka sendiri selagi mengikuti ajaran dan peraturan yang ditentukan
oleh Allah iaitu pencipta manusia dan alam. Ajaran dan peraturan
tersebut dikenali syariat.45
Affandi Hassan dalam novelnya Pujangga Melayu menukilkan,
menggunakan akalmu memikir perkara-perkara yang memberi
manfaat, perkara-perkara yang boleh menjadikan kamu LEBIH YAKIN
dan lebih bertaqwa. Untuk itu kamu harus mendidik dirimu mengenal
sempadan akalmu.

43

Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika tidak, yakinlah bahawa Allah pasti melihatmu
[Riwayat Muslim]
44
Surah al Baqarah: 30.
45
Surah al Jathiyah: 18

Jelas Affandi lagi, untuk mengenal sempadan akal 46 kita perlu jelas
tentang tiga perkara iaitu teori ilmu [epistemologi] iaitu sumber ilmu,
tujuan ilmu dan sempadan ilmu. Dasar epistemologi, bahawa Islam
adalah kebenaran mutlak. Sumber ilmu Islam terbahagi empat iaitu al
Quran, al Sunnah, pengalaman dan akal. Epistemologi Barat berasaskan
keraguan,47 hipotesis, ramalan, jangkaan, tidak mutlak dan lain-lain.
Kemudian keduanya, mengetahui hakikat insan, hakikat diri kita, asal
usul kita, tujuan dan mana hidup.48 Ketiga, hakikat amal49 iaitu dengan
menilai segala tindakan kita sama ada benar atau tidak di sisi Allah
SWT. Teliti betul-betul amalan agar tidak menjadikan amalan tersebut
sia-sia dan merosakkan diri sendiri.
Penilaian ke atas tindakan supaya tidak menjadi sia-sia dan merosakkan
iman dan diri sendiri ialah [1] perbuatan tersebut betul atau salah di sisi
agama, [2] niat kerana Allah dan [3] betul mengikut syariat. Sumber
penilaian adalah al Quran dan al sunnah dijadikan sebagai hakim dalam
menilai betul atau salah tindakan kita.50
46

Surah al Araf: 179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang
mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi)
tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar
dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai.
47
Surah Hujurat, 49: 12. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah
mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah laranganlarangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha
mengasihani.
48
Surah Fussilat: 53. Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat
(dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka
bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi
mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?
49
Surah al Isra: 21. Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam
rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya
dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.
50
Surah al Anam: 114. (Katakanlah wahai Muhammad): "Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta
Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan
kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?"
Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu

Kemudian kita akan melihat sejauh mana kita mengakuri keputusan dan
penilaian agama Islam terhadap tindakan dan amalan kita. Jika kita
salah, adakah kita mengakuri kehendak agama Islam?.
Sempadan akal itu adalah batasan bagi akal agar tidak melepasinya. Ia
adalah satu peraturan berfikir atau had berfikir. Kata Imam Shafie,
Akal mempunyai batas tempatnya berhenti sama seperti penglihatan
mempunyai batas tempatnya berhenti.
Tulis Buya Hamka, orang yang berakal merindui tiga perkara iaitu
1. menyediakan bekal untuk hari kemudian
2. mencari kelazatan buat jiwa
3. menyelidik erti kehidupan

Mengendap Kepelbagaian Genre Bacaan


Kamu boleh membaca pelbagai buku selagi kamu mempunyai
pandangan sarwajagat Islam yang menapis segala kemungkaran dan
anti Tuhan dalam bahan bacaan. Punbegitu, bacaan terbaik ialah bahan
bacaan yang paling bermanfaat [sudah tentu al Quran dan hadith serta
pengkajian tentangnya]51 dan boleh mengislah diri menjadi insan yang
lebih baik.
Pada hemat saya, seorang pembaca yang mahu mencari kebenaran dan
berdoa agar dirinya menemui kebenaran52 boleh membaca pelbagai
bahan bacaan walaupun bertentangan dengan Islam. Penulis yakin,
dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang raguragu.
51
Mengambil iktibar daripada Surah al Ahqaf: 29-32, Surah al Jin: 1.
52
Surah al Maidah: 16. Bacaan utama merangkap wajib adalah al Quran dan kitab hadith. Hanyalah al Quran dapat
menyuluh kebenaran. Tanpa al Quran, segala bacaan dan tindakan kita bersifat khayali kerana diikat oleh
kehendak akal dan emosi yang palsu.

mereka seperti ini akan kembali kepada Islam jika mereka meluruskan
niat mereka untuk mencari kebenaran dan akur kepada kebenaran
tersebut.
[1]Membaca untuk tahu, [2] membaca untuk perubahan dan [3]
terperangkap dalam pemikiran bahan bacaan. Tiga perkara yang perlu
dibezakan. Membaca bahan bacaan sosialisme umpamanya belum
tentu menjadi sosialis tetapi peluang untuk terpengaruh dengan
sosialisme masih terbuka.
Manusia dididik melalui [1] secara langsung dan [2] melalui acuan yang
tersedia. Perkara [2], seseorang boleh terperangkap dalam acuan
Kebudayaan Barat melalui pembacaan, filem, muzik dan sebagainya.
Kebudayaan Barat bertunjangkan Kebudayaan Kristian-Yahudi,
Kebudayaan Yunani Kuno dan Kebudayaan Romawi.
Membaca sebanyak mana hasil karya sarjana Barat sekalipun, akhirnya
kita akan ketemui sifat asasi kerangka pemikiran Kebudayaan Barat
iaitu;
1. Penolakkan kehadiran Tuhan dan campurtangan agama dalam
urusan kehidupan manusia seharian [Ekonomi, Politik dan Sosial].
2. Pemujaan terlampau tinggi terhadap diri manusia akal, badan,
kebolehan dan psikologi.
3. Materialistik atau kebendaan.
4. Dualisme dan Dikotomi
5. Individualistik
6. Kekeliruan dalam konsep ilmu dan kehilangan keadilan
7. Kesatuan, Persamaan dan Samarata
8. Tiada kemutlakkan ragu meragu, duga-menduga, berubah-ubah,
hipotesis, sentiasa berwacana tanpa kesudahan dan hilang
ketetapan.
9. Kebebasan dan pragmatisme

10.

Trajedi dan mencari kebahagiaan palsu

Kita perlu merenung bahan bacaan atau buku yang bertentangan


dengan Islam. Renung-fikir ini membolehkan kita mengkaji dan insaf
bahawa manusia mempunyai kelemahan. Tulis Buya Hamka, yang
mutlak hanyalah wahyu Allah SWT .
Membaca pelbagai genre pemikiran tidak salah, tetapi yang salahnya
ialah terjerumus ke lubang pemikiran tersebut.

Membina Pandangan Sarwajagat Bertunjangkan Tauhidik


Bergantung kepada Yang Satu,
Berpegang kepada Yang Esa
Tuah Hidup sempurna hidup
Hidup Berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal-haram.
Aliran pemikiran ciptaan manusia semakin membiak dan segar dalam
masyarakat Malaysia terutamanya kalangan yang terpelajar. Pluralisme
Agama, Islam Liberal dan Sosialis membiak pesat dalam kalangan
masyarakat terpelajar jika tidak dibanteras akan menjadi anutan yang
mengherotkan pemikiran.53
Sekelompok orang Islam terperangkap dan terpengaruh dengan aliranaliran ciptaan manusia. Mereka kalangan kelompok modenis yang
bercitrakan Islam. Mereka mencipta alasan untuk menghalalkan
53

Pembanterasan melalui dialog, muzakarah dan ziarah. Kita boleh mengkaji, membaca atau mengambil unsurunsur yang tidak menyalahi al Quran dan al Sunnah daripada pemikiran ciptaan manusia tetapi tidak boleh
mengambilnya sebagai ideology panutan mengantikan agama Islam atau memcampur adukkan dengan Islam.

pemahaman mereka terhadap aliran pemikiran tersebut. Pluralisme


Agama dikatakan Pluraliti, Liberalisme dikatakan hanya Liberalisasi
Ekonomi dan Politik bukannya Liberalisme Kepercayaan.54
Ciri-ciri kelompok modenis ialah mereka menentang dan memberontak
terhadap agama dan nilai rohani bawaan agama. Dalam konteks
modenis Islam, mereka tidak berpuas hati dengan Islam yang diterima
umum oleh masyarakat setempat. Mereka mahu Islam mengikut
kehendak nafsu55 dan kepentingan diri serta kelompok mereka sahaja.
Permulaan mereka untuk mengislah umat Islam
menjerumuskan mereka dalam perangkap pemikiran Barat.

akhirnya

Menurut Wan Mohd Ali, modenis cuba menundukkan tradisi kepada


kemodenan supaya menjadi harmoni dengan kemodenan. Nabih Amin
Faris menyatakan mereka cuba mengkaji dan mentafsirkan al Quran
berdasarkan kebudayaan Barat yang mereka anuti. Justeru, mereka
mahu Islam mengikut kehendak Barat.
Pandangan sarwajagat Islam lahir daripada pancaran konsep-konsep
dasar yang terdapat dalam wahyu. Konsep-konsep dasar perlu dikaji
dan digali untuk mendapat rahsianya.
Asas utama pandangan sarwajagat Islam ialah kalimah syahadat. Tiada
tuhan melainkan Allah Menurut Ismail al Faruqi, Allah yang
bermaksud Tuhan yang mengisi tempat utama dalam kehidupan,
tindakan serta pemikiran setiap muslim.
54

Sesungguhnya kita akan melakukan apa yang kita fahami dan yakini. Kefahaman dan keyakinan inilah yang perlu
dirujuk kepada al Quran dan al Sunnah kerana ia terhasil daripada ilmu yang membentuk pandangan sarwajagat
seseorang manusia seterusnya dipraktiskan dalam tindakan mereka. Jangan sampai kefahaman dan keyakinan ini
HANYA bersumberkan akal sahaja dan mengikuti kehendak nafsu semata-mata. Islam tiada masalah dalam
pengunaan akal, cuma cara bagaimana akal itu digunakan sehingga ada yang mengunakan akal untuk menidakkan
Tuhan dan syariatNya.
55
Surah an Nisa: 135

Dalam ungkapan Melayu, pandangan sarwajagat Islam juga dititikberatkan, Bergantung kepada Yang Satu, Berpegang kepada Yang Esa.
Dua baris ungkapan Melayu ini mengambarkan tauhid seorang MelayuIslam.
Hidup Berakal mati beriman. Ungkapan Melayu ini mengambarkan
tujuan dan mana kehidupan seseorang manusia. Kehidupan di dunia
memerlukan manusia itu berakal56 dan kehidupan akhirat dan sesudah
mati mesti disudahi dalam keadaan beriman agar kebahagiaan akhirat
dikecapi.
Dengan adanya, pandangan sarwajagat Islam membuka ruang untuk
kita kepada kepada hakikat penciptaan manusia. Hakikat penciptaan
manusia adalah pengabdian diri kepada Allah SWT.57 Pengabdian diri ini
berpandukan al Quran dan al Sunnah [Agama Islam].58
Akhir Tulis
Coretan ini diakhiri agar FB Bacaan Liar menjadi wahana pencerahan
fikiran melalui pembacaan pelbagai genre pemikiran. Kepelbagaian
membolehkan kita merenung tajam akan kebesaran Allah SWT dan
kelemahan diri kita sebagai manusia yang kerdil. Penulis dengan rendah
diri mendoakan kita ketemui kebahagiaan hakiki dalam alam baca.
Bacalah dengan Nama Tuhanmu.

56

Dengan akal, manusia boleh memilih jalan ke syurga atau jalan ke neraka. Sesetengah pihak mempertikai kenapa
Tuhan menjadikan manusia jahat yang akan masuk neraka. Disinilah peranan akal yang boleh memilih dan
membuat keputusan berdasarkan sumber ilmu yang paling benar iaitu wahyu Allah SWT. Tiada alas an lagi manusia
mengatakan bahawa Tuhan tidak adil bagi mereka. Lihat Surah al Mulk: 10.
57
Surah al Dhariyat: 56, Surah al Muminun: 115-116
58
Surah Ali Imran: 83

Rujukan dan Bacaan Lanjut


al Quran.

Anda mungkin juga menyukai