Anda di halaman 1dari 11

http://duniakubahasamelayu.blogspot.

my/2014/08/tugasan-edu-
3083.html
Thursday, 28 August 2014

TUGASAN EDU 3083


1.0 PENGENALAN

Perkembangan arus globalisasi telah menjadikan profession keguruan turut mengalami


perubahan. Semakin hari bidang keguruan menjadi semakin mencabar. Pada era ini tugasan
sebagai seorang guru bukan sahaja terhad kepada mengajar dan mendidik sahaja namun
bidang tugas sebagai seorang guru semakin meluas selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Profesion keguruan merupakan salah satu bentuk perkhidmatan sosial yang mencabar
dan sering kali menjadi tumpuan media massa dan juga masyarakat yang memberi tanggapan
dan dakwaan yang kurang menyenangkan mengenai profesion ini. Daripada kaca mata
sesetengah pihak, sekolah diibaratkan sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan
pelbagai bebanan tugas yang ada kalanya bentuk tugasan ini sebagai bukan satu tugasan yang
terancang tetapi sesuatu yang tidak terduga. Hal ini akan menyebabkan reputasi profesion
perguruan yang selama ini sentiasa dipandang tinggi dan mulia akan terjejas.
Selain itu, bidang keguruan tidak pernah sunyi daripada isu-isu yang melibatkan warga
guru itu sendiri. Malahan bidang ini juga dilihat sebagai pilihan terakhir bagi sesetengah orang.
Sehingga terdapat graduan yang ditanya tentang pemilihan kerjaya mereka, ramai yang
memberikan jawapan yang hampir sama iaitu bidang keguruan adalah pilihan terakhir yang akan
dipilih oleh mereka bagi mengelakkan diri daripada menganggur. Bidang keguruan sering dilihat
oleh masyarakat sebagai profesion kelas pertengahan yang telah jauh ditinggalkan oleh
profesion-profesion yang lain seperti kedoktoran, perundangan, kejuruteraan mahupun bidang
perakaunan.
Masyarakat menganggap tugasan sebagai seorang guru bukanlah suatu tugasan yang
sukar, dan mereka percaya bahawa sesiapa sahaja boleh menggantikan tugasan seorang guru.
Mereka berpendapat tugas sebagai guru hanyalah masuk ke kelas, dan menyampaikan ilmu
kepada murid. Namun realitinya tugasan bukanlah seperti yang mereka anggapkan. Guru perlu
mengawal tingkah laku murid yang mempunyai ragam yang berbeza, selain mereka perlu
menyampaikan isi pengajaran yang bersesuaian dengan tahap pencapaian dan pemahaman
murid.

Di samping itu terdapat juga pendapat yang beranggapan bahawa bidang tugas guru
tertumpu kepada bidang perkeranian seperti menaip dan mengisi borang yang berkaitan dengan
maklumat murid. Bebanan kerja ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik oleh guru akan
mengakibatkan guru-guru menghadapi tekanan kerja yang akhirnya memberi kesan yang buruk
kepada guru, murid-murid dan juga pihak sekolah. Oleh itu, semua pihak harus membuka mata
bagi melihat profesion perguruan bukanlah satu pilihan terakhir yang terpaksa dipilih bagi
mengelakkan diri daripada menganggur.
Guru merupakan individu yang menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid di
sekolah. Bagi memastikan murid-murid mendapatkan ilmu yang perlu mereka kuasai, guru-guru
perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran, kaedah serta teknik-teknik
pengajaran yang bersesuaian dengan tahap murid-murid mereka agar murid-murid mampu
mengembangkan kebolehan yang terpendam di dalam diri mereka. Oleh itu, dari semasa ke
semasa guru perlu meningkatkan profesionalisme diri masing-masing.
Guru perlu mengamalkan sikap profesional dalam profesion mereka. Sebagai seorang
yang profesional, mereka harus mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta
dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, baik
hati dan sentiasa bersifat tenang walau dalam apa keadaan sekalipun. Oleh itu, guru perlulah
mengaplikasikan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru yang telah dipelajari semasa berada di
Institut pendidikan guru agar mereka mampu menguruskan pengajarannya dengan berkesan.
Hal ini turut mengandungi kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-
kanak serta teori penyampaian pelajaran.
Sebagai ibu bapa kedua kepada murid di sekolah, segala nilai dan tingkah laku guru
menjadi contoh teladan kepada anak didiknya kerana segala tingkah laku guru sentiasa
diperhatikan oleh murid-murid dan secara tidak langsung tingkah laku positif ini akan diterapkan
ke dalam diri murid-murid. Sekiranya guru gagal mempamerkan nilai-nilai serta sahsiah yang
positif sudah pasti murid-murid akan mengikut perlakuan yang dipamerkan oleh guru.

2.0 ISU KEGURUAN YANG DIPILIH : BEBAN TUGAS GURU

Saya telah memilih satu artikel yang saya petik daripada laman web Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) (rujuk lampiran) yang bertajuk Tubuh
Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru Muhyiddin . Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban
tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara. Beliau yang juga Menteri
Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa
guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan
tumpuan kepada tugas mengajar.
Daripada isu artikel yang saya pilih ini, saya ingin mengupas dengan lebih lanjut lagi
mengenai isu beban tugas guru yang semakin meruncing dan seolah-olah isi ini tiada
kesudahannya. Profesionalisme guru menurut Hoyle (1980) dalam bukunya Asas Kepimpinan
dan Perkembangan Profesional Guru, adalah sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek
yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal gaji dan upah,
jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Salah satu isu yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan guru adalah berkaitan
dengan isu beban tugas guru. Isu ini bukanlah isu baru namun sehingga kini isu ini masih
menjadi topik yang kerap dibincangkan. Buktinya, banyak kali tajuk ataupun isu ini diperkatakan
di dada- dada akhbar, juga di alam maya dan banyak diperdebatkan ketika pembentangan
kertas kerja berkaitan isu keguruan. Berikut adalah contoh tajuk-tajuk berita yang
memperbincangkan tentang tajuk beban tugas guru.
a. Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak Arahan Berita Harian 2 April 2010
b. Seksa Jadi Cikgu Berita Harian 1 April 2010
c. Tokoh Syor Empat Langkah Kurang Beban Tugas Guru Berita Harian 24 Mei 2010
d. Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru Utusan Malaysia 1April 2010
e. Guru Tidak Perlu Kerja 9 Jam Utusan Malaysia 21 November 2011
f. Jawatankuasa Kerja Tangani Isu Beban Guru Sedang Laksana 28 Perakuan-
g. Muhyiddin Utusan Malaysia 16 Mei 2012

Rajah 1 :Contoh-contoh keratan akhbar tentang isu beban tugas guru

Guru dapat didefinisikan sebagai pendidik, pengasuh dan orang yang mengajar. Tugas
pula mempunyai definisi iaitu kewajipan sesuatu atau dalam kata lain kerja, tanggungjawab yang
mesti dilaksanakan. Beban pula bermaksud jumlah tugas yang perlu dikerjakan oleh proses atau
sistem yang mesti dilaksanakan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan ini, dapat disimpulkan bahawa tugas utama
seorang guru ialah mengajar dan mendidik dalam suasana pengajaran dan pembelajaran
bersandarkan kepada kewajipan mereka sebagai guru. Walau bagaimanapun, tugas guru saban
hari semakin bertambah
Menurut kajian oleh Mohamad Shukri bin Salleh (1998), beban tugas bermaksud
tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab di
dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Beban
tugas ini boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk
menyelesaikannya.
Tugas dan tanggungjawab guru di sekolah bukan sahaja merangkumi tugas akademik
malahan juga tugas bukan akademik. Tugas-tugas akademik merupakan tugas-tugas yang
berkait dengan tugas pengajaran dan pembelajaran secara formal sama ada di dalam atau luar
bilik darjah. Tugas akademik hanya dijalankan oleh guru-guru yang berkelayakan dalam bidang-
bidang tertentu sahaja. Tugas akademik ini terbahagi kepada tugas akademik rutin harian dan
tugas akademik bermusim.
Tugas bukan akademik merupakan tugas-tugas yang dilakukan oleh guru di sekolah dan
tugas ini boleh juga dilakukan oleh mereka yang bukan guru. Tugas bukan akademik adalah
tugas yang tidak melibatkan proses pengajaran secara formal. Tugas ini termasuklah tugas-
tugas pengekeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Tugas bukan akademik yang
dilakukan seharian dinamakan tugas bukan akademik rutin harian dan tugas bukan akademik
yang dilakukan mengikut musim dinamakan tugas bukan akademik bermusim.
Berdasarkan keratan akhbar Berita Harian - Tugas Guru Bertambah Akibat Banyak
Arahan Berita Harian 2 April 2010, jelas menyatakan seksa menjadi guru kerana guru
dikatakan menanggung tugas yang berganda kerana terjadinya arahan dalam arahan. Dalam
artikel ini, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah
menyatakan bahawa guru terpaksa akur arahan yang dikeluarkan pihak atasan pada peringkat
berbeza itu sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka
mengajar.

Rajah 2 : Keratan akhbar Berita Harian 2 April 2010


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel tersebut juga telah
mengulas bahawa berdasarkan aduan yang dibuat oleh NUTP, antara tugas guru bukan sahaja
meliputi hal pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, malahan juga ada guru yang
terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, hal ehwal murid, pentadbiran, pengkeranian serta
beberapa kerja tambahan lain. Selain itu, NUTP turut membuat aduan bahawa guru terpaksa
bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti sedangkan pekeliling yang
dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.
Tugas-tugas sedemikian sememangnya mendatangkan beban kepada guru kerana telah
mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
memandang berat isu ini dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban
tugas guru dan mengkaji tahap keseriusan isu beban tugas guru ini.
Berdasarkan artikel ini, dapat disimpulkan bahawa isu beban tugas guru perlu dipandang
serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk masyarakat. Setiap
individu perlu mengembleng tenaga dan idea untuk menyelesaikan masalah dan isu ini. Ini
kerana, beban tugas yang semakin bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi
seorang guru terjejas dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di
sekolah.

3.0 HURAIAN ISU


Isu beban tugas guru bukanlah perkara baru di dalam negara kita kerana sejak beberapa
tahun ini, perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali bermulanya musim
persekolahan.
Laporan kaji selidik yang telah dijalankan pada 1 Jun 2005 menunjukkan bahawa tugas
guru meliputi pelbagai bidang, namun tugas yang dijalankan lebih tertumpu kepada tugas
pentadbiran. Menurut Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila
mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja pentadbiran.
Masalah beban tugas guru tidak pernah ada pasang surutnya. Pada 30 Mac 2010, NUTP
telah membuat aduan mengenai beban tugas guru. Perjumpaan bersama pihak NUTP dengan
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan dalam Berita Harian, 1 April 2010.
Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu
Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru. Jawatakuasa itu dipengerusikan oleh Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran
dan wakil NUTP bertujuan untuk mengenal pasti tahap keseriusan isu dan mengenal pasti punca
masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi
menyelesaikannya.

Gambarajah 1: Bebanan tugas seorang guru


Sehingga hari ini, tugas guru semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan
perubahan arus zaman globalisasi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang
begitu meluas, tugas guru menjadi semakin mencabar. Guru merasakan tugas mereka semakin
berat kerana mereka perlu menjalankan tugas yang tiada kaitan dengan tugas hakiki guru iaitu
mendidik seperti tugas pengkeranian yang lebih menjurus kepada tugas pengurusan dan
pentadbiran.
NUTP dalam Berita Harian bertarikh 2 April 2010 mendedahkan guru menanggung beban
kerja berganda apabila terpaksa melakukan tugasan dalam skop yang sama berulang kali atas
arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata
senario berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan
guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa yang sama mereka dikehendaki
menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), walaupun semua mengandungi
pengisian hampir sama. Hal ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan menjejaskan
tanggungjawab guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Selain agihan guru tidak seimbang antara jenis sekolah berbeza, kakitangan kumpulan
sokongan dan pentadbiran mengikut bilangan pelajar dan bukan mengikut beban kerja dalam
organisasi sekolah merupakan penyebab beban guru bertambah. Mengikut amalan sekarang,
nisbah antara Pembantu Tadbir sekolah dengan pelajar ialah 1:300 iaitu seorang Pembantu
Tadbir bersamaan 300 pelajar. Akibat pembahagian guru dan Pembantu Tadbir yang tidak
realistik, beban kerja guru menjadi semakin bertambah dan ini merupakan salah satu sebab
tugas-tugas pengkeranian terpaksa dilakukan oleh guru.
Bebanan yang melampau dengan pelbagai isu pelajar dan isu berkaitan profession
yang perlu dihadapi oleh guru seperti masalah disiplin pelajar, kekurangan guru, kekurangan bilik
darjah, konflik peranan, kekaburan peranan boleh menambahkan tekanan guru dan boleh
menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berhenti atau bersara awal dari dunia
pendidikan.Jika, situasi ini berlarutan dunia pendidikan akan kekurangan tenaga-tenaga kerja
yang berpengalaman dalam dunia pendidikan. Bukankah ini suatu fenomena yang merugikan
dan memberi impak yang negatif kepada pendidikan negara?
Selain itu, bebanan tugas yang melampau juga boleh kualiti kerja guru berkurang kerana tidak
dapat memberi fokus pada tugasan yang diberikan dengan baik. Tidak dinafikan ada guru yang
mampu memberikan kualiti yang baik walaupun dibebani dengan pelbagai tugasan. Namun,
hanya segelintir sahaja guru yang mampu melakukan pelbagai tugas dengan baik dalam satu
tempoh masa.
4.0 IMPLIKASI ISU BEBAN TUGAS GURU
Apabila beban tugas guru yang sudah tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya
tekanan emosi atau stres. Menurut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman
guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan
dan kemurungan akibat tugasnya sebagai seorang guru. Bagi pendapat saya, stres merupakan
tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh
menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.
Selain itu, apabila seorang guru itu, mengalami tekanan kerja, kualiti pengajarannya juga
turut terjejas dan yang menjadi mangsa adalah murid. Adakah guru menjadi seperti kerana
seekor nyamuk, habis kelambu dibakar?. Murid-murid berhak mendapat ilmu yang secukupnya
daripada guru mereka, namun andai terdapat tugas-tugas yang membebankan tugas utama
guru, sudah pasti tumpuan guru terhadap murid akan terjejas. Selain itu, amat dikhuatiri jika guru
tidak dapat mengawal emosinya terhadap tingkahlaku anak-anak didiknya, sehingga ada yang
memukul atau mengambil tindakankan yang diluar batasan.
Arumugam (1975) menyatakan punca-punca penting bagi ketegangan dan
ketidakpuasan yang dialami oleh guru-guru di Malaysia adalah tugas-tugas pengkeranian yang
banyak. Walaupun guru-guru sebenarnya menolak tugas pengkeranian yang diberikan kepada
mereka, mereka terpaksa menerima dan melaksanakannya.
Beban tugas guru yang terpaksa dipikul ini akan menyebabkan para guru mengalami
ketegangan seperti pendapat yang dikemukakan oleh Payne & Furnham (1987) iaitu di antara
punca yang kerap berlakunya stress di kalangan guru ialah beban tugas bukan mengajar.
Ketegangan yang tinggi di kalangan guru boleh menyebabkan rasa kecewa, agresif, bimbang
dan mengurangkan prestasi kerja. Coldicot (1985) menjelaskan ketegangan yang tidak terkawal
boleh menyebabkan penyakit dan kemerosotan dalam prestasi kerja. Justeru, nilai kepimpinan
yang ada dalam diri seseorang guru itu kadangkala menjadi bercelaru dan tidak konsisten dan
menjadikan reputasi seseorang guru dipandang rendah.
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),
Prof. Nor Zuraida Zainal dalam akhbar KOSMO, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit
mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus
daripada mereka terdiri daripada golongan guru. Tekanan jiwa ini boleh menyebabkan seseorang
guru itu hilang kawalan diri. Saya merasakan bahawa tindak tanduk seseorang guru yang
kadang kala tidak masuk akal seperti menyuruh murid makan rumput di padang adalah implikasi
daripada tekanan jiwa. Jelaslah bebanan kerja yang melampau boleh menyebabkan nilai
kepimpinan dan keprofesionalan guru itu akan terjejas. Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang
tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit
jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang dan penyakit kronik ini sudah pasti akan
menyebabkan prestasi pengajaran guru akan terjejas.

5.0 CADANGAN MENANGANI ISU BEBAN TUGAS GURU


Setiap perakuan yang telah dijalankan oleh pihak KPM dapat mengurangkan beban
tugas guru. Umpamanya, rungutan para guru berkaitan tidak cukup rehat kerana terpaksa
bertugas setiap sabtu atau hari minggu. Oleh itu, dengan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu
secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan melegakan para guru kerana guru bukan
sahaja mempunyai tugas di sekolah malahan juga perlu menguruskan keluarga memerlukan
masa bersama keluarga masing-masing.
Pada tahun ini iaitu tahun 2014, Jabatan Perkhidmatan Awam telah melaksanakan
program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk Kementerian Pendidikan Malaysia.
Negeri Kedah dan Melaka telah dipilih sebagai negeri rintis untuk melaksanakan program
Pemantapan Profession Guru (PPG). Di negeri Kedah, tiga buah daerah telah dipilih untuk
menjalankan projek rintis ini iaitu Kulim, Pulau Langkawi dan Kubang Pasu. Setiap sekolah akan
dibekalkan seoran Pembantu Tadbir (N17) dan seorang Juruteknik Komputer ( FT17) untuk
membantu guru-guru bagi meringankan tugas pekeranian guru-guru. Jika program ini berjaya,
program ini akan dilancarkan ke seluruh negara.
Tugas perkeranian merupakan salah satu beban tugas yang paling besar yang perlu
ditangani oleh guru. Oleh itu, dengan pertambahan kakitangan Pembantu Tadbir merupakan
cadangan yang amat baik dan disambut lega oleh pelbagai pihak. Tan Sri Muhyiddin Yassin
menyatakan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 Mei 2012, satu cadangan akan dikemukakan
kepada pihak Jabatan Perkhidmatamn Awam bagi memperluas penempatan kakitangan
Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah bawah kementerian.
Pihak KPM juga telah mengeluarkan surat siaran berkaitan pelaksanaan perakuan
Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2012. Pihak KPM telah melaksanakan
peraturan dan perakuan berhubung mengurangkan bilangan ujian dan pelaksanaan peperiksaan
setara di sekolah. Ini bermaksud pihak KPM telah memutuskan bahawa mulai tahun 2012,
Bahagian-Bahagian KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah hanya
dibenarkan untuk menyelaras dan melaksanakan satu peperiksaan setara sahaja sama ada bagi
Peperiksaan Percubaan atau Peperiksaan Akhir Tahun. Pelaksanaan peperiksaan setara ini
akan dimansuhkan bermula pada 1 Januari 2013. Pihak sekolah tidak dibenarkan untuk
menyelaras jadual (setara) bagi ujian formatif. Untuk itu, guru-guru boleh melaksanakan ujian
formatif mengikut jadual waktu pengajaran dan pembelajaran masing-masing.
Selain itu, pihak KPM turut menyediakan garis panduan penglibatan guru dalam aktiviti
anjuran KPM. Garis panduan tersebut menetapkan bahawa pentadbir sekolah hendaklah
mengagihkan tugas dan tanggungjawab kepada semua guru secara seimbang bagi
mengelakkan penglibatan guru yang sama dalam aktiviti yang dianjurkan.
Bagi mengatasi bilik darjah yang mengandungi terlalu ramai murid, kalangan guru
menyokong syor menempatkan dua guru dalam kelas bagi meringankan beban tugas guru. Ini
bersesuaian dengan saranan pihak lain yang mahukan pembantu guru di dalam bilik darjah.
Perkara ini telah dinyatakan dalam rencana Berita Harian, 15 Disember 2010.
Bukan itu sahaja, salah satu usaha atau cadangan bagi meringankan beban tugas guru
yang semakin bertambah adalah ganjaran atau imbuhan guru ditingkatkan setanding dengan
tugas dan amanah yang dipikul. Malahan, pihak KPM telah menyediakan tiga insentif sebagai
ganjaran dan penghargaan kepada guru yang komited dalam memikul amanah mendidik anak
bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Berita Harian, 20
Mei 2010 menjelaskan mengenai insentif yang digunakan untuk meringankan beban tugas yang
dipikul guru serta meningkatkan motivasi kerja guru di sekolah. Antara bentuk insentif adalah
kenaikan gred perkhidmatan berdasarkan time-based. Ini bermaksud peningkatan gred
dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan.
Pihak KPM turut menawarkan insentif sebanyak RM 900 hingga RM7500 kepada
Pengetua, Guru Besar dan guru sekolah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Ia boleh dianggap sebagai
alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih masa kepada guru yang dituntut oleh
NUTP namun telah ditolak oleh kerajaan.

6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya guru merupakan insan yang amat berjasa sehinggakan Usman Awang
mengungkapkan kata-kata penghargaan beliau kepada guru dalam sajak karangan beliau yang
bertajuk Guru Oh Guru. Tidak ada permulaan seseorang manusia yang berjaya tanpa
kehadiran seorang guru. Perkataan pengorbanan amat sinonim dengan guru. Namun,
disebalik pengorbanan dan jasa seorang guru, dunia perguruan juga tidak sunyi dengan
kehadiran pelbagai isu yang menarik perhatian masyarakat untuk diperkatakan dan wajar
diambil perhatian agar kebajikan dan profesionalisme keguruan dapat dipertingkatkan.
Di era globalisasi yang amat pesat, antara isu yang melingkari bidang perguruan adalah
isu beban tugas guru. Hal ini berlaku kerana kepesatan perkembangan teknologi menuntut guru
untuk bergerak seiringan dengan perkembangan semasa bagi memastikan apa yang
disampaikan sentiasa releven dan murid yang dididik mampu mendepani perkembangan yang
berlaku dipersekitaran .Seorang guru tidak boleh menjadi seperti katak di bawah tempurung,
yang tidak tahu perkembangan semasa, mengajar dan mendidik pelajar dengan kaedah dan
cara yang lama.
Banyak pihak mengkaji dan memberi pandangan agar isu beban tugas guru mempunyai
jalan keluar agar kebajikan guru lebih terjamin seterusnya membolehkan mutu pendidikan dapat
dilonjakkan ke tahap yang maksimum.Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah
dengan memperkenalkan sistem kerja sembilan jam dalam kalangan guru.Sistem kerja sembilan
jam agak asing dalam bidang perguruan.Terdapat pelbagai pandangan dari masyarakat baik dari
mereka yang terlibat dalam bidang perguruan mahupun yang tidak terlibat secara langsung
dalam bidang ini. Ada yang menyokong perlaksanaan sistem ini dan tidak kurang juga yang tidak
menyokong dengan sistem yang diperkenalkan ini.Masing-masing mempunyai pendapat dan
pandangan yang tersendiri.
Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin
tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu
bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya
tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.
Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini
menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi,
keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku
teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan
daerah serta jabatan pelajaran negeri.
Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku
dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam,
kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap
masa dan waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan
kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia
belajar dari kesilapan dan kelemahan dan mempunyai nilai kepimpinan yang baik.

Guru-guru yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan
menyalahkan orang lain semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang
serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu
pun aspek organisasi. Seperti kata mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul
Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut;

" Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara


berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan
diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh
itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan
watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai
pendidik yang unggul."
7.0 REFLEKSI

Melalui tugasan subjek Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru (EDU3083) ini
membolehkan saya mengetahui tentang prinsip-prinsip untuk menjadi seorang guru yang
kompeten. Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis
pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara.
Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu
pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru
menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat
perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan
dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B.
Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9.
Disamping itu juga, saya juga dapat menyelami tentang beban tugas guru yang tidak
pernah surut umpama laut yang tidak bertepi. Saya juga seorang guru yang telah lama berada di
arena pendidikan ini selama lebih 20 tahun. Jika bercakap tentang beban tugas guru ini seolah-
olah persoalan ini tidak pernah selesai. Cadangan yang dilontar dipandang sepi oleh pihak yang
bertanggungjawab. Saya masih ingat ketika saya masih baharu dalam bidang pendidikan,
masalah beban tugas guru sering diperdebatkan. Hari demi hari berlalu,musim demi musim
berganti namun isu ini masih riuh diperkatakan.
Suara rintihan atau isu para guru sering kedengaran sejak berpuluh tahun tetapi
sehingga kini tidak pernah selesai. Memang tidak dinafikan ada tindakan penyelesaian diambil
tetapi ianya banyak yang bersifat ad hoc dan politikal. Berbagai-bagai kajian telah dijalankan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri misalnya tentang beban kerja guru tetapi
penyelesiannya bukan mereka meringankan beban malah ditambahkan lagi beban kerja hingga
lebih berganda. Lebih ironi lagi ialah tidak ada satu badan atau kesatuan pun yang bertindak
atau mewakili semua guru. Semoga suatu hari nanti mendung yang menyeliputi awan berarak
pergi.

Terdapat beberapa faktor yang dapat membantu saya menyiapkan tugasan ini.
Antaranya ialah pengalaman mengajar saya yang telah melangkaui 17 tahun dapat saya
gunakan untuk menyiapkan tugasan ini.Bak kata orang bijak pandai ,guru yang paling hebat
ialah berguru dengan pengalaman. Selain itu, bahan-bahan tutorial yang dibekalkan oleh
pensyarah pembimbing amat banyak membantu.Tidak dilupakan juga tunjuk ajar dan
penerangan daripada pensyarah pembimbing yang telah banyak memudahkan saya untuk
menyiapkan tugasan ini. Saya juga saling berhubung antara rakan-rakan melalui e-mail dan
telefon untuk bertukar-tukar maklumat.
Namun begitu, terdapat juga halangan yang mengganggu dalam menyiapkan proses
menyiapkan tugasan ini. Masa merupakan faktor sering menjadi halangan utama. Tugas sebagai
pendidik di sekolah yang memerlukan saya memperuntuk banyak masa terhadap anak didik
saya. Tambahan pula peperiksaan UPSR yang akan menjelang tidak lama lagi. Kadangkala saya
terpaksa pulang lewat dari sekolah kerana terlibat dengan kelas tambahan. Tidak cukup setakat
itu, sebagai seorang guru tidak dapat menidakkan akan kesibukan tugas rutin seorang guru.
Selain mengajar saya juga perlu sentiasa mengemaskini data Sistem Maklumat Murid(SMM) dan
juga Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). Namun begitu, ini bukanlah batu penghalang untuk
saya menyiapkan tugasan saya ini.
Di pengakhiran refleksi ini ingin saya titipkan ucapkan terima kasih yang tidak terhingga
kepada pensyarah pembimbing EDU 3083 Encik Ridzuan b Ahmad atas bimbingan serta tunjuk
ajar beliau yang banyak memberi bimbingan dan suntikan motivasi sehingga dapat saya
menyudahkan tugasan ini. Tidak dilupakan juga rakan-rakan seperjuangan yang tidak lokek
untuk berkolaborasi dan sudi meluangkan masa untuk berbincang dan berkongsi maklumat.
Juga buat keluarga tersayang yang sentiasa memahami diri saya yang ada kalanya sibuk
dengan tugasan. Semoga kalian diberkati oleh Yang Maha Esa.

BIBLIOGRAFI

Kamaruddin, K. (2007). Tekanan Kerja di Kalangan Guru Sekolah Menengah.Tanjung Malim :


Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohamad, J. (2003). Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur: Leeds Publications.
Mustafa, S. I. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional.Puchong,Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Razali, M. F. (2010). Beban Tugas Guru Cahaya Menanti di Hujung Terowong.Kuala Lumpur:
Pendidik Sdn Bhd.
Razali, M. F. (2010). Tugas Rencam Bebankan Guru. Kuala Lumpur: Pendidik Sdn Bhd.

Internet
http://mindamurabbi.blogspot.com/2012/09/beban-tugas-guru.html
http://www.nutp.org/new/ms/node/43
http://www.scribd.com/doc/163397547/Isu-Tekanan-Emosi-Guru-Akibat-Bebanan-Kerja

Laman Blog
http://ppgipgktbbm3.blogspot.com/

Anda mungkin juga menyukai