Anda di halaman 1dari 2

PEMBENTUKAN GENERASI PATRIOTIK

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad pernah
mengingatkan bahawa tanpa semangat patriotik, kita tidak boleh yakin bahawa kita
dapat bertahan dan mengekalkan hak kita, kemungkinannya ialah Malaysia akan
tinggal nama dalam sejarah cuma.

Selamat Sejahtera dan Salam 1 Malaysia


Yang saya hormati saudari pengerusi,
Kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti,
Rakan-rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti
Seterusnya warga dewan yang dekat di hati.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin berkongsi wacana
para sarjana menerusi syarahan saya, Pembentukan Generasi yang Patriotik
Tanggungjawab Bersama

Frasa patriotik berasal daripada perkataan Greek, patris yang bermaksud perasaan dan
semangat cinta akan negara dan bersedia berkorban untuk mempertahankan tanah air.
Tanggungjawab bersama pula saya takrifkan sebagai peranan yang perlu dilaksanakan
oleh semua pihak di Malaysia secara bersinergi. Saya ingin membawa anda semua
untuk sama-sama kita fahami akan langkah-langkah yang dapat kita laksanakan bagi
membentuk generasi yang cinta akan tanah air.

Warga dewan sekalian,

Marilah bersama-sama saya kita rungkai satu persatu persoalan ke arah melahirkan
golongan patriot muda yang berwibawa menerusi 3 prima kata, inspirasi mahakarya.

Pertama - peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mencintai negara. Mungkin kini
sudah begitu lama untuk kita bangkitkan, untuk kita ungkitkan betapa untuk kita
bangun meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Parameswara gugur rebah
dimamah penjajah durjana. Namun, hakikatnya manusia yang tidak mengetahui, tidak
mungkin akan memahami dan menghayati seterusnya mengaplikasi. Lantas, perlu bagi
ibu bapa tonggak keluarga untuk mendedahkan anak-anak dengan pelbagai bahan
bacaan sejarah negara. Alangkah manisnya apabila anak-anak kita menjadikan Dato
Onn Jaafar sebagai idola dan bukannya Abraham Lincoln, alangkah indahnya apabila
kanak-kanak kecil yang baru berdikit mengatur kata namun sudah petah bercerita
tentang Rombongan Merdeka dan alangkah seronoknya andai anak-anak muda kita
lebih senang membincangkan tentang strategi perjuangan Tunku Abdul Rahman
berbanding Alexander the Great.
Kedua - ayuh hadirin, kita maju selangkah untuk menilai juga merungkai peranan para
seniman dan karyawan dalam industri seni negara. Masihkah hadirin semua ingat bait-
bait lagu Warisan nyanyian Sudirman Haji Arshad? Masihkah terbayang di mata anda,
saat Leftenan Adnan Saidi lakonan Hairie Othman ditikam berkali-kali dengan bayonet
oleh tentera Jepun. Semuanya cukup untuk membakar api di dada, menyemarakkan
semangat yang membara, cuma satu suara yang bergema di dalam diri kita, Aku
Bangga Menjadi Anak Malaysia. Kalaulah dengan kemudahan yang serba kurang pada
tahun 90-an pun kita mampu menghasilkan filem Leftenan Adnan, Bukit Kepong, Anak
Satria dan sebagainya. Kenapa tidak pada hari ini, kita giatkan lagi penerbitan pelbagai
filem nasionalisme serta lagu - lagu patriotik? Hakikatnya, inilah langkah paling proaktif
untuk mendekati serta menyelami hati budi Generasi pada masa kini.

Sidang hadirin,

Ketiga - Penggubalan undang-undang yang lebih ketat untuk memelihara maruah


negara. Ayuh kita renung bersama saudara dan saudari, andainya Allahyarham Tunku
Abdul Rahman masih berada bersama kita, apa kata beliau? Mungkinkah akan menitis
air mata Bapa Kemerdekaan Negara? Di sinilah perlunya untuk kita merangka pelan
tindakan terhadap segelintir golongan muda yang cuba mencemarkan keamanan serta
kedamaian yang kita kecapi selama ini. Mereka ini sewajarnya dihantar ke pusat-pusat
pemulihan akhlak dan menjalani sesi kaunseling bagi menyedarkan mereka bahawa ini
negara kita, buruk,baik,cantik atau jelik, ini tanah tumpah darah kita. Tempat kita
dilahirkan dan besar kemungkinan tempat kita akan disemadikan.

Sidang Hadirin,

Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala kita jadikan patriotisme sebagai budaya
dan pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak
bermaruah. 502 tahun lalu kita dijajah selama 446 tahun. Seandainya saat ini,
kemerdekaan yang ada tidak kita hargai dengan patriotisme, ingatlah, bahawa taktala
ayam direban disambar helang, padi di tangan menjadi lalang, sejarah mungkin akan
berulang. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai