Modul Kemahiran
Modul Kemahiran
Sebagaimana yang kita sedia maklum, fokus Modul Mendengar dan Bertutur ialah
kemahiran mendengar dan bertutur. Kemahiran mendengar merujuk kepada
keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan
perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberi
respons manakala kemahiran bertutur pula merupakan keupayaan murid
berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat,
perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul
secara sopan dan bertatasusila. Dalam kemahiran bertutur, penggunaan tatabahasa
dititikberatkan. Beberapa objektif telah ditetapkan bagi modul ini adalah seperti berikut:
murid berkeupayaan mendengar, memahami dan memberikan respons berdasarkan
arahan, pesanan dan pertanyaan dengan betul, bertutur dan berbual serta
menyatakan permintaan dengan betul secara bertatasusila, bercerita atau
menceritakan semula perkara yang diketahui menggunakan sebutan yang jelas dan
intonasi yang betul, berbicara untuk menyampaikan maklumat, berbincang dan
mengemukakan pendapat secara bertatasusila dan sebagainya.
Modul Seni Bahasa merujuk kepada aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan
dalam bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai murid. Kecekapan memahami,
mengungkap dan menghayati bahasa yang indah dirangkumi dalam penguasaan
aspek seni bahasa. Hasil pembelajaran modul ini adalah murid dapat menghasilkan
serta mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan dan bertulis
melalui variasi teknik yang menarik. Pembelajaran yang membawa keseronokan
secara didik hibur dapat diwujudkan melalui aspek seni bahasa. Modul ini berobjektif
untuk membolehkan murid menghayati dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif,
semangat patriotic dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.
Modul Tatabahasa pula merujuk kepada aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu
yang mesti seseorang murid memahami dan menguasai. Pengajaran mestilah
dirancang dengan teknik yang sesuai dan berkesan semasa mengajar aspek ini agar
dapat meningkatkan pemahaman murid serta dapat menggunakan tatabahasa
dengan betul dan tepat dalam pelbagai konteks. Objektif modul ini adalah murid
berkeupayaan menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan
dan penulisan.