Anda di halaman 1dari 4

Menurut Kamus Dewan (2005), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni

seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Kamaruddin Hj. Husin dan Siti
Hajar Hj. Abdul Aziz (1997) mendefinisikan teknik sebagai pengendalian suatu
organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk
mencapai sesuatu objektif manakala Mangantar Simanjuntak (1987) berpendapat
bahawa teknik adalah strategi atau taktik yang digunakan oleh seseorang guru bagi
mencapai hasil yang maksimum dengan segera pada waktu mengajar sesuatu
bahagian bahasa tertentu. Secara umum, teknik merupakan cara yang lebih spesifik
yang dicipta dan digunakan di peringkat perlaksanaan dengan tujuan mencapai
sesuatu objektif pengajaran atau membantu dan menjayakan sesuatu kaedah
pengajaran. Pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran telah diperkenalkan
dan digunakan di bilik darjah dengan tujuan menarik dan mengekalkan perhatian
murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran serta membangkitkan
rasa ingin tahu murid tentang sesuatu tajuk yang akan dan sedang dilaksanakan.
Antara teknik-teknik tersebut adalah latih tubi, bercerita, tunjuk cara, drama dan
sebagainya.

Menurut Abd. Aziz Abd. Talib (2000), teknik bercerita bermaksud menggunakan cerita
untuk mengajar sesuatu kepada murid. Guru bercerita untuk melatih kemahiran
mendengar murid ataupun murid disuruh bercerita secara spontan atau bersedia
terlebih dahulu untuk mengeluarkan idea tentang hal-hal berkaitan dengan mereka
dan pengalaman. Teknik latih tubi pula menglibatkan pengulangan fakta-fakta atau
kecekapan yang dipelajari yang bertujuan untuk mencapai taraf penguasaan
kemahiran dan di samping menjamin kekekalannya (Kamarudi Hj. Husin, 2001).
Teknik tunjuk cara juga dikenali sebagai teknik demonstrasi yang merupakan satu cara
pengajaran yang membawa dan memusatkan perhatian murid kepada langkah-
langkah, prosedur atau peraturan-peraturan untuk menghasilkan sesuatu. Teknik
tunjuk cara dan bercerita lebih cenderung kepada strategi berpusatkan guru yang di
mana guru memainkan peranan yang lebih penting, sedangkan murid hanya
berperanan sebagai penonton sahaja. Interaksi berlaku antara murid dan guru adalah
sehala di mana guru banyak bercakap manakala pelajar bertindak sebagai pendengar
dan penerima sahaja.

Menurut Sir John Pollock (1958), drama merupakan satu pertunjukan yang
merangkumi penyatuan antara lakonan dan pengucapan. Antara teknik drama ialah
mimos, arca, improvisasi, main peranan, simulasi, teater bercerita, pentomin,
mestamu dan dikon. Mimos merupakan satu lakonan yang mengutamakan gerak laku
seluruh anggota badan dan ekspresi muka untuk menyampaikan idea, cerita,
perasaan dan emosi pelakon tanpa sebarang dialog dan penonton dikehendaki
membuat laporan tentang apa yang dilihatnya dengan menggunakan perkataan yang
tepat, ayat yang betul dan idea yang tersusun. Teater bercerita merupakan teknik
drama bercorak cerita yang dilakonkan secara spontan hasil gabungan antara
pencerita dengan pelakon di mana apabila pencerita menyebut nama watak dalam
cerita, pelakon yang berminat boleh keluar ke ruang lakon secara spontan untuk
melakonkan aksi yang disebut oleh pencerita dan boleh membina dialog sendiri
supaya menjadikan cerita itu lebih menarik. Simulasi merupakan satu keadaan di
mana pelajar memainkan peranan seolah-olah berada dalam keadaan sebenar yang
memerlukan mereka menggunakan pengetahuan dan kemahiran dalam keadaan
tersebut sementara main peranan pula merupakan satu situasi yang melibatkan murid
memegang sesuatu peranan, sama ada sebagai diri sendiri atau individu lain dan
kemudian bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh situasi yang ditentukan.
Seterusnya, improvisasi ialah lakonan secara spontan dalam kumpulan kecil untuk
mengisahkan kejadian, keadaan dalam kehidupan seharian yang tidak mempunyai
skrip lengkap yang ditulis dan dihafal. Pelakon hanya perlu memahami jalan cerita,
menghayati watak yang dipegang dan akan melafazkan dialog yang dibina sendiri
secara spontan dan bersesuaian dengan situasi yang dilakonkan. Pentomin ialah
lakonan situasi tanpa dialog di mana skrip akan dibaca oleh murid lain yang mengiringi
lakonan tersebut. Untuk teknik dikon, seorang murid akan medeklamasi sajak
manakala beberapa orang murid melakonkan aksi yang bersesuaian dengan maksud
sajak tersebut. Mestamu merupakan teknik pengajaran yang dapat menarik minat
murid untuk mempelajari komsas, khususnya sajak. Mestamu adalah melagukan sajak
tanpa muzik dan hal ini boleh dilakukan secara berpasangan ataupun bersendirian.
Sekiranya secara berpasangan, seorang akan mendeklamasikan sajak manakala
seorang lagi akan melagukan sajak tersebut. Jika bersendirian, hal ini boleh dilakukan
secara irama sajak diadaptasikan daripada lagu-lagu puisi yang sedia ada ataupun
lagu kegemarannya.

Pada pendapat saya, kemahiran mendengar dan bertutur sesuai diajarkan


menggunakan teknik-teknik drama disebabkan berlandaskan konsep pendidikan
berpusatkan murid. Hal ini bertepatan dengan syarat murid perlu menggunakan
strategi pembelajaran yang aktif untuk mempelajari kemahiran lisan. Antara
pemangkin dominan yang menyebabkan kegagalan menguasai kemahiran lisan
bahasa Melayu dalam kalangan murid adalah akibat daripada amalan kaedah
pengajaran secara tradisional. Kaedah tersebut hanya mampu melahirkan murid yang
dapat membaca, menulis dan mendengar bahasa Melayu dengan baik tetapi agak
lemah dalam kemahiran berkomunikasi. Mereka sering menghadapi masalah dari segi
penguasaan perbendaharaan kata, kesalahan tatabahasa serta tahap motivasi yang
rendah. Kebanyakan murid tidak dapat bertutur dengan baik dan gagal menyampaikan
mesej dengan jelas menggunakan bahasa Melayu disebabkan kekurangan kosa kata.
Rentetan itu, mereka kurang berkeyakinan bertutur dalam bahasa Melayu dan berasa
takut dan malu ditertawakan rakan sekiranya berlaku kesilapan.

Justeru, sekiranya seseorang murid ingin berjaya menguasai kemahiran mendengar


dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik, mereka perlu menggunakan strategi
pembelajaran bahasa aktif yang memberi peluang kepada mereka untuk
menggunakan bahasa Melayu di dalam dan di luar kelas, tidak malu berkomunikasi
menggunakan bahasa Melayu walaupun struktur bahasa yang digunakan tidak betul.
Pendek kata, murid-murid perlu sentiasa dilatih supaya banyak bertutur menggunakan
bahasa Melayu. Melalui bercakap dan mendengar dalam bahasa Melayu selalu,
mereka akan banyak mengetahui dan menambah perbendaharaan kata dan
seterusnya akan meningkatkan kebolehan mereka menggunakan bahasa tersebut.
Walhal, strategi berpusatkan murid perlu diaplikasikan oleh guru supaya murid terlibat
secara langsung dan aktif semasa menyampaikan kemahiran lisan. Guru hanya perlu
bertindak sebagai pemudah cara yang berperanan untuk memastikan murid
menggunakan bahasa yang betul.

Dicadangkan bahawa pembinaan kemahiran lisan bahasa Melayu dalam kalangan


murid boleh dipraktikkan melalui teknik drama. Antara teknik-teknik drama, main
peranan amat sesuai untuk menyampaikan kemahiran lisan kepada murid. Menurut
Kamarudin Hj. Husin (2001), main peranan dikelolakan oleh sekumpulan murid dan
melibatkan gambaran mereka terhadap sesuatu situasi atau keadaan lalu
melakonkannya tanpa sebarang skrip. Main peranan ialah satu keadaan di mana
murid-murid menghidupkan sesuatu situasi yang diandaikan oleh guru atau dengan
kata lain, murid memainkan peranan dalam situasi tersebut dengan menggunakan
imaginasi dan kreativiti mereka secara spontan tanpa penghafalan skrip.

Aktiviti main peranan merupakan cara pembelajaran yang berbentuk komunikatif yang
murid dikehendaki berkomunikasi dan menggunakan bahasa. Teknik ini mewujudkan
persekitaran dan peluang yang mencukupi bagi murid berlatih menggunakan bahasa
Melayu untuk berkomunikasi. Selain mengasah minda untuk memikirkan idea-idea
untuk menggerakkan aktiviti main peranan tersebut, murid perlu menuturkan idea-idea
tersebut. Hal ini akan meningkatkan tahap komunikasi murid dengan meningkatkan
interaksi murid dalam kelas dan memotivasikan mereka untuk belajar. Di samping itu,
perasaan malu yang menjadi penghalang berkomunikasi diketepikan oleh murid-murid
semasa menjalankan aktiviti main peranan di hadapan kelas. Mereka juga diberi ruang
dan peluang untuk menonjolkan kemahiran, bakat dan keberanian ketika bertutur
dalam bahasa Melayu. Selain itu, teknik ini dapat memberi ruang kepada para murid
untuk belajar secara kendiri iaitu mereka mempunyai peluang dan kebebasan bagi
mencari, memilih dan menggunakan informasi dan inisiatif serta idea dan daya
kreativiti diri sendiri untuk memperolehi sesuatu pengetahuan atau kemahiran. Murid-
murid mempunyai kebebasan berfikir dan daya kreativiti mereka disebabkan tiada
keperluan untuk menghafal dan bertutur berdasarkan skrip dialog. Aspek kecekapan
komunikasi pelajar dan kemahiran-kemahiran sosial yang menjadi keperluan untuk
perbualan dan perhubungan yang berkesan turut diberi penekanan. Aktiviti main
peranan mendedahkan peluang kepada murid untuk berkata-kata atau melahirkan
pendapat dan pandangan secara bebas, bergaya dan beraksi sesama diri, berhibur,
melibatkan diri dan bekolaborasi sesama rakan-rakan dalam suasana yang ceria dan
terkawal.

Berdasarkan kelebihan-kelebihan yang terdapat daripada teknik main peranan, dapat


disimpulkan bahawa main peranan merupakan salah satu aktiviti yang baik dan
sewajarnya dilaksanakan untuk pembelajaran kemahiran lisan dalam kalangan murid.
Akhir kata, pemilihan strategi, teknik dan aktiviti pengajaran yang baik dapat membina
kefahaman murid terhadap pengajaran guru seterusnya memudahkan mereka
memahami isi pengajarannya serta dapat menjamin aktiviti pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan lancar, sistematik menarik dan menyeronokkan murid.
Guru haruslah bijak merancang dan mengelola strategi pengajaran. Sehubungan
dengan itu, guru perlu memilih teknik pengajaran yang sesuai dengan pendekatan dan
kaedah yang hendak diambil dengan tepat dan dari situlah merancang aktiviti-aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan murid serta selaras
dengan objektif yang ingin dicapai. Memang tidak dapat dinafikan setiap teknik
pengajaran memang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Namun
begitu, guru perlu peka memilih teknik yang dapat memberi ruang kepada para murid
untuk belajar secara kendiri supaya mereka mempunyai peluang dan kebebasan bagi
mencari, memilih dan menggunakan informasi dan inisiatif serta idea dan daya
kreativiti diri sendiri untuk memperolehi sesuatu pengetahuan atau kemahiran.

Anda mungkin juga menyukai