Anda di halaman 1dari 3

Kekuatan

Tayangan video semasa set induksi merupakan antara kelebihan dalam sesi
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang telah dijalankan. Penggunaan video
sebagai permulaan berjaya mewujukan kesediaan belajar murid untuk mengikuti
pengajaran saya. Video tersebut bertajuk ‘Ungkapan Tolong dan Terima Kasih’. Ia
amat bertepatan dengan tema dan tajuk PdP pada hari tersebut, iaitu tema warga
penyayang dan tajuk ‘Terima Kasih’. Video tersebut mudah difahami, iaitu bahasa
yang mudah digunakan dan murid berjaya dapat mesej yang disampaikan dari video
tersebut. Video tersebut mendidik murid-murid cara yang betul dan bersopan untuk
meminta bantuan orang lain dan juga memberi penghargaan selepas orang membantu.
Hal ini bermaksud penerapan nilai murni berlaku dalam sesi PdP ini. Selepas tayangan
video, terdapat sesi soal jawab berkenaan dengan video tersebut dengan murid.

Seterusnya, aktiviti-aktiviti yang berbagai-bagai dijalankan dalam langkah-langkah


seterusnya. Kesemua bertepatan dengan kemahiran yang difokus dan juga objektif
yang dirancangkan dalam sesi PdP. Sebagai contoh, aktivit bacaan mentalis telah
diadakan supaya murid mendapatkan isi-isi penting dari bahan grafik. Seterusnya,
dalam langkah kedua, secara berkumpulan, murid diminta melengkapkan isi tempat
kosong dalam teks, mengkategorikan ayat tunggal dan ayat majmuk dalam teks dan
juga diminta membaca dialog tersebut. Semua aktiviti tersebut juga dijalankan
berdasarkan pendekatan berpusatkan murid.

Pembelajaran koperatif telah diwujudkan dalam sesi PdP ini. Terdapat aktiviti yang
dijalankan secara berkumpulan, iaitu murid diminta menyiapkan latihan dan
menjalankan simulasi secara berkumpulan kecil. Dalam hal ini, murid berpeluang
saling belajar dan membantu antara satu sama lain untuk menyelesaikan tugasan di
samping mewujudkan interaksi dalam kalangan murid. Sesi PdP ini juga melibatkan
kemahiran penyelesaian murid dan kecerdasan pelbagai dalam aktiviti simulasi. Murid
diberi satu situasi, iaitu sesat jalan semasa melancong dan perlu berfikir untuk
menyelesaikan masalah tersebut.

Dari aspek guru, kekuatannya ialah suara yang kuat dan jelas apabila mengajar.
Selain itu, arahan yang diberi jelas dan mudah difahami murid. Murid tidak keliru
dengan arahan diberi. Suasana pembelajaran yang kondusif berjaya diwujudkan, iaitu
murid dapat belajar secara bersahaja tetapi disiplin murid masih terkawal. Seterusnya,
pendekatan berpusatkan pelajar telah diaplikasikan dalam sesi PdP. Dalam kesemua
aktiviti yang dijalankan sepanjang proses, murid adalah terlibat secara aktif. Guru
hanya memainkan peranan sebagai fasilitator dan pembimbing. Sebagai contoh,
berdasarkan pengetahuan yang diperoleh, murid diminta menyiapkan latihan secara
berkumpulan dan juga merancangkan simulasi berdasarkan situasi diberi.

Kelemahan dan Langkah Mengatasinya

Kelemahan yang terdapat dalam set induksi ialah sesi soal jawab dengan murid
selepas tayangan video. Sesi soal jawab tersebut terlalu pendek. Soalan yang
ditanyakan kepada murid bersifat tertutup. Sepatutnya, lebih banyak soalan terbuka
yang berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ditanya kepada murid agar
menggalakkan pemikiran kritis mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk
mengeluarkan pendapat.

Seterusnya, tidak dapat dinafikan kepelbagaian aktiviti dalam proses PdP merupakan
satu kekuatan. Namun begitu, ia menjadi satu kelemahan apabila masa tidak
mencukupi untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Sebagai contoh, terdapat tiga aktiviti dalam
langkah kedua. Murid perlu mengisi tempat kosong dalam teks, mengkategorikan ayat
dalam teks tersebut dan juga membaca dialog secara mekanis dalam masa 8 minit.
Murid tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan aktiviti tersebut
sebelum perbincangan hasil kerja. Terlalu kemahiran yang terlibat dan objektif yang
ingin dicapai dalam langkah tersebut. Guru seharusnya fokus kepada kemahiran dan
objektif yang dominan sahaja. Sebagai contoh, murid hanya perlu mengisi tempat
kosong dalam teks dan diminta membaca teks tersebut secara mekanis. Selain itu,
sewaktu perbincangan hasil kerja murid, murid lebih bersifat pasif manakala guru pula
yang bersifat aktif. Hal ini perlu diperbetulkan. Murid sepatutnya lebih banyak terlibat
secara aktif semasa membincangkan hasil kerja. Guru harus memberi peluang kepada
mereka untuk memberi jawapan mereka terlebih dahulu sebelum guru menyatakan
jawapan yang betul.

Dalam langkah ketiga, aktiviti simulasi dijalankan. Walaupun bertepatan dengan


standard pembelajaran yang ditentukan, aktiviti ini tidak sesuai dijalankan dalam sesi
PdP yang hanya sepanjang 30 minit dan lebih-lebih lagi terdapat 25 orang murid dalam
kelas tersebut. Selain daripada murid-murid tidak mempunyai masa yang mencukupi
untuk membuat persediaan bagi aktiviti simulasi, tidak semua kumpulan berpeluang
untuk menjalankan simulasi disebabkan faktor masa. Aktiviti simulasi ini lebih sesuai
untuk sesi PdP yang berlangsung satu jam supaya murid dapat merancang dan
membuat persiapan dengan baik. Di samping itu, kelemahan bagi aktiviti ini adalah
kekurangan bahan-bahan yang dapat membantu simulasi tersebut . Bahan-bahan
seperti beg tangan, cermin mata, peta dan sebagainya sepatut disediakan supaya
menjadikan simulasi tersebut lebih menarik.
Dari segi lembaran kerja, bahan grafik yang digunakan, iaitu poster adalah kurang
sesuai. Sebaliknya, teks dialog adalah lebih tepat untuk digunakan dalam lembaran
kerja tersebut.

Anda mungkin juga menyukai