Anda di halaman 1dari 3

Sampah Dan Pencemaran Bahasa (Sempena

Bulan Bahasa Kebangsaan)


Written by Siti Shamsiah Binti Md Supi. Posted in Artikel

Melihat pada persekitaran kita, ternyata banyak "sampah" dan pencemaran dalam pertuturan dan
bahasa yang digunakan. Masyarakat kita sudah tidak ada segan-silu mewujudkan istilah atau
menggunakan bahasa yang begitu asing dari bahasa ibunda. Daya kreativiti yang ada disalah
guna sehingga menghasilkan budaya berbahasa yang cacamerba sehingga kemudiannya
merendahkan jati diri bangsa. Amat malang dan begitu ironi kerana ia diterima oleh banyak
orang, terutama dalam kalangan anak muda.

Rupa-rupanya pencemaran bahasa yang berlaku bukanlah fenomena baharu dalam masyarakat
kita, bukannya hanya mula berlaku pada era pascamodenisme mahupun modenisme. Tetapi,
sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Barangkali disebabkan latar belakang Melaka
sebagai tempat persinggahan pedagang-pedagang dari Timur dan Barat, maka begitu banyak
bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan pada ketika itu. Dikatakan sekitar 84 buah
bahasa digunakan. Apabila pelbagai bahasa "berkampung" di satu tempat, maka berlakulah
percampuran bahasa semasa penduduk tempatan berkomunikasi sesama mereka atau dengan
orang luar. Percampuran inilah yang kita lebih kenali sebagai bahasa rojak.
Isu bahasa rojak tidak pernah selesai malah fenomena yang berlaku ini menjadi semakin buruk.
Penggunaan bahasa rojak berlaku secara berleluasa dan tanpa rasa bersalah, terutama oleh
kalangan remaja. Bukan hanya menggunakan bahasa rojak, malahan juga rata-ratanya pada hari
ini lebih gemar membuat singkatan pada perkataan dalam berhubung sesama mereka semasa
menggunakan khidmat pesanan ringkas di telefon genggam.

Alasan mereka ia ringkas, mudah dan pada masa yang sama mesej masih dapat disampaikan dan
difahami. Mereka tidak mempedulikan kesan buruk yang berlaku; yang boleh mengakibatkan
mereka menjadi golongan "kurang upaya" dan tidak berkemampuan untuk menguasai dan
menggunakan bahasa secara betul dalam urusan-urusan rasmi dan keadaan-keadaan yang
memerlukan. Dan kerosakan bahasa ini bukan sahaja berlaku dalam kerja-kerja sekolah di
peringkat rendah ataupun menengah, bahkan juga di peringkat universiti! Penggunaan bahasa
Melayu di sektor awam juga dikatakan masih belum berada di tahap yang memberangsangkan.

Punca utama mengapa bahasa sendiri tidak dihormati adalah disebabkan lemahnya jati diri anak
bangsa. Faktor-faktor seperti pengaruh media atau kesan globalisasi yang menawarkan pelbagai
sampah dan pencemaran terhadap bahasa bukanlah faktor utama tetapi lebih sebagai pemangkin
yang membesarkan lagi pencemaran yang berlaku.

Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat memang tidak dapat dihalang menjadi sebahagian
daripada sumber yang memangkinkan lagi pencemaran yang berlaku, tetapi sebaliknya, jika kita
mempunyai jati diri yang kukuh, apa-apa pun yang terjadi tidak akan menggugat kecintaan
terhadap bahasa sendiri. Jika kita tidak menyambut bahasa-bahasa yang tercemar yang
ditawarkan dan yang ada di sekeliling kita, maka pencemaran bahasa yang berlaku, tidak akan
berkembang. Dan ia akan terhenti setakat di situ. Malahan, globalisasi atau ledakan teknologi
maklumat sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai
bahasa perantara yang indah dan manis. Malah bahasa Melayu yang dikenali dengan intonasinya
yang menarik, mampu untuk menyampaikan ilmu dan kefahaman.

Rata-rata anak bangsa kita tidak berbangga dengan bahasa sendiri, apatah lagi untuk
mendaulatkan bahasa ini kerana mereka beranggapan bahawa bahasa ini tidak punya nilai
dagang, tidak ada nilai antarabangsa dan tidak mempunyai kekuatan untuk menakluki
keampuhan sains dan teknologi. Begitu juga dalam bidang undang-undang, ia dilihat tidak
mampu menguasai istilah-istilah yang diperlukan dalam bidang undang-undang.

Sedangkan pada kurun ke-7 menurut Prof. Dr Awang Sariyan, bahasa Melayu telah pun dijadikan
sebagai bahasa perantara dalam pentadbiran, perdagangan dan pengajian agama untuk kerajaan
Sriwijaya yang luas dan sangat besar pada ketika itu.

Sehubungan itu juga, Van Linschotten, seorang pegawai dari Belanda yang bertugas di Indonesia
di antara tahun 1586 hingga 1592 menilai bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamadun tinggi
pada ketika itu. Ironinya, generasi muda pada hari ini sebaliknya tidak pandai untuk
menghormati bahasa sendiri, apatah lagi mengangkatnya ke martabat yang lebih tinggi. Dan
lebih malang kerana bahasa ini dipandang lekeh dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.

Begitu juga dengan rakaman yang dibuat oleh ahli sejarah Belanda, Francois Valentijn. Beliau
menyatakan bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh
Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah. Menurut beliau, sesiapa yang
datang ke alam Melayu, mahu tidak mahu perlu belajar bahasa Melayu dan sesiapa yang tidak
pandai berbahasa Melayu, dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.

Pendek kata, jika kita memahami dari mana sebenarnya bahasa Melayu lahir dan datang, dan
melalui bahasa inilah penduduk Nusantara membina tamadun bangsa, maka tidak timbul
sebenarnya tentang di mana kedudukan bahasa Melayu berbanding bahasa-bahasa lain yang ada
di dunia. Bahasa lain dilihat lebih gagah, mempunyai nilai dagang dan dipertuturkan di peringkat
antarabangsa, adalah kerana penuturnya mempunyai semangat perjuangan yang tidak punya
noktah untuk menjadikan diri mereka sebagai peneraju pelbagai bidang di peringkat dunia.

Bahasa Melayu sebenarnya gambaran kepada jati diri bangsa Malaysia. Itulah sebabnya disebut
bahawa "Bahasa Jiwa Bangsa". Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat istimewa dan
punya ciri-ciri yang tersendiri. Dan setiap bahasa datangnya dari Allah SWT melalui ilham yang
disampaikan kepada hamba-Nya mengikut bahagian-bahagian tertentu di bumi. Jika tidak,
masakan Nuruddin al-Raniri menggunakan bahasa Melayu sebagai medium dakwah dalam
kalangan orang Melayu sekalipun beliau sendiri bukan orang Melayu, dengan menulis kitab-
kitab agama dalam bahasa Melayu.

Pada hari ini terdapat lebih 100 institusi di seluruh dunia yang mengajarkan bahasa Melayu,
ataupun setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu.
Kerana keistimewaan yang dimiliki bahasa Melayu, ia menjadi antara bahasa yang popular untuk
dipelajari. Malangnya, negara kita bukanlah tempat yang dapat membantu pelajar-pelajar asing
yang hendak membuat latihan amali untuk mendalami bahasa serta budaya Melayu dan
berhubungan dengan masyarakat tempatan. Sapaan, teguran ataupun soalan yang ditanyakan
dengan menggunakan bahasa Melayu, rata-ratanya akan dibalas oleh orang tempatan dengan
menggunakan bahasa Inggeris.

Keadaan yang berlaku tentunya menyebabkan kekecewaan dan kehampaan kepada pelajar-
pelajar asing terbabit. Ini mengakibatkan mereka beralih pilihan untuk membuat latihan amali
dan biasanya alternatif yang paling dekat ialah negara jiran, Indonesia. Situasi ini bukan hanya
merugikan pelajar terbabit, tetapi juga menjejaskan nama baik bangsa dan negara kita.
Disebabkan kesilapan kita sendiri kerana culas untuk memartabatkan bahasa sendiri, kita
kehilangan kredit serta pengiktirafan dari orang luar. Sekiranya kita terus enggan untuk
mengakui kesilapan, membetulkan kesilapan dan membudayakan semula bahasa Melayu secara
murni dan mengekalkan keasliannya, tidak hairan jika satu hari nanti, bahasa Melayu akan hanya
menjadi sejarah dalam peradaban manusia di dunia.

Anda mungkin juga menyukai