Anda di halaman 1dari 4

Antara sebab anak autisme berkelakuan negatif:

Badan tidak selesa atau mengalami kesakitan tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak
menyatakannya

Mengelak membuat kerja (dengan cara menangguh, lari atau ‘buat perangai’)

Keliru dengan keadaan persekitaran (mengamuk sebab tidak faham dan cemas)

Ingin mendapat perhatian guru (kerana tidak pandai berkomunikasi. Kanak-kanak ini akan
menggunakan kemahiran yang ada untuk tarik perhatian)

Cuba mendekati atau mengenali sesuatu objek

Cuba ‘mengambil balik’ kuasa (terutama bagi kanak-kanak lebih dewasa)

‘Stimming’ — perlakuan merangsang diri sendiri kepada tingkah laku berulang-ulang tanpa tujuan
tertentu. Contohnya, berjalan mundar mandir, bermain dengan jari, ketawa di luar konteks,
menepuk dan lain-lain

Apa yang boleh dilakukan guru?

Keadaan ini yang selalunya membingungkan ibu bapa, penjaga dan guru. Namun, kata Intan,
beberapa strategi boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini iaitu:

Mengambil guru tambahan atau sokongan di dalam bilik darjah yang mengajar kemahiran melalui
perbuatan sebelum masalah bermula. Guru akan duduk bersama pelajar autisme dan membantu
mengangkat tangan pelajar untuk memanggil cikgu. Ini adalah latihan untuk memberitahu pelajar
bahawa itu adalah cara untuk mendapat perhatian guru ketika di dalam bilik darjah.

Guru pula perlu memuji tindakan yang baik itu sebelum bertanyakan masalah pelajar.
Bagaimanapun, proses ini mengambil masa untuk dilihat kesannya. Untuk lebih cepat, kaedah ini
perlu diteruskan di rumah.
Gunakan cara yang mudah difahami, contohnya gambar untuk berinteraksi atau susunan jadual.
Ajar anak cara sesuai untuk meminta sesuatu dan beri pinjam barang yang dikehendaki jika mereka
gunakan cara hubungan atau komunikasi yang baik. Jika tidak, dia akan kembali ke cara negatif
dengan mengamuk apabila permintaannya tidak dipenuhi.

Kenal pasti apa yang anak suka atau tidak. Pada peringkat awal, guna bantuan visual selama satu
hingga dua minggu, mengikut keupayaan kanak-kanak.

Gunakan konsep pembayang awal. Kalau mahu menghentikan sesuatu aktiviti, beri amaran bahawa
ia akan ditamatkan dalam masa beberapa minit supaya kanak-kanak itu bersedia. Jangan berhenti
mendadak kerana walaupun mereka tahu bercakap, kanak-kanak autisme ada masalah kenali
konsep masa.

Contohnya ‘lagi lima minit kita akan tutup televisyen’ atau ‘dalam kiraan lima kita akan berhenti
bermain’. Guru perlu mengira penurunan masa dengan terang supaya kanak-kanak autisme
mendengarnya.

Konsep pembayang awal ini juga memberi peluang kanak-kanak autisme bersedia untuk peralihan
aktiviti. Bagi kanak-kanak normal, kepelbagaian rutin akan menambah keseronokan, tapi bagi kanak-
kanak autisme, perubahan rutin membuatkan mereka berasa cemas dan gelisah, terutama yang
kurang faham bahasa.

Mereka lebih mudah terima perubahan jika ia sudah dijangka. Jika selepas tempoh tamat dan kanak-
kanak tidak mahu melepaskan barang dipegang, guru perlu mengambilnya juga kerana jika tidak,
kanak-kanak ini tidak akan faham konsep masa. Pendekatan ini perlu dilakukan secara konsisten
sama ada di sekolah atau rumah. Namun jika mereka terlalu asyik main, jangan gunakan pendekatan
ini kerana ia dianggap sebagai teknik ‘negatif’.

Ajar anak buat kerja yang boleh dilakukan di rumah. Pastikan kerja dilakukan ada tujuan atau
manfaat, contohnya meminta mereka membantu mengambil klip baju yang dijemur, kemas bantal
atau buku. Jangan biarkan anak mempunyai terlalu banyak masa lapang.

Konsep sakit. Ajar anak kenal anggota badan dan sayangkan badan. Ini untuk mengelak mereka
mencederakan diri dan proses ini mungkin ambil masa lama untuk difahami. Bina hubungan positif
dengan pelajar. Kanak-kanak autisme lebih banyak membuat hubungan mata dan bercakap ketika
bermain. Jadi ini masanya anda memberitahu bahawa mereka perlu sayangkan badan sendiri.
Beri peluang anak membuat pilihan, terutama dalam aspek kehidupan mereka. Ini termasuk urutan
kerja yang diwajibkan, sama ada pilihan baju, kedai yang hendak dikunjungi atau aktiviti masa
lapang.

“Ibu bapa perlu bertanya dan berbincang dengan guru mengenai pendekatan digunakan di sekolah
supaya ia boleh diteruskan di rumah kerana cara ini mempercepatkan proses pembelajaran anak
autisme,” katanya.

Ciri-ciri autisme

> Tidak menghiraukan orang lain

> Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain

> Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap

> Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang)

> Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran

> Lebih suka bermain sendiri

> Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi

> Lambat bercakap

> Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang

> Tidak boleh berkomunikasi dengan baik


> Bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi atau bercakap macam robot

> Sukar memulakan percakapan. Kalau berbual hanya satu pihak (hanya mereka yang bercakap)

> Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya

> Kanak-kanak autisme dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan bercakap seperti
orang dewasa

> Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan

> Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan
berpusing dan memutar objek

> Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan
di luar kawalan

> Mempunyai pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang

> Tidak boleh duduk diam

> Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang lain (dewasa)

> Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti
mengamuk, marah-marah, agresif

> Bersikap pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan
buruk

Anda mungkin juga menyukai