Anda di halaman 1dari 8

Cerita Badang

Tersebutlah kisah di Sayung yang terkenal itu dengan nama seorang tokoh
terbilang yang bernama Badang.
Badang seorang hamba yang bekerja dengan seorang tuan tanah yang kaya-
raya. Badang seorang pekerja yang rajin. Sejak matahari terbit hingga matahari
terbenam, Badang menjalankan tugasnya dengan rajin.

Pada suatu hari, Badang telah diperintahkan oleh tuannya menerangkan sebuah
kawasan hutan yang agak luas. Oleh itu, setiap hari, Badang sudah bertolak dan
melakukan tugasnya dengan segera. Dia sehari suntuk menebang, membelah
dan menebas pokok-pokok atau semak-samun. Petang hari, dia akan pulang ke
rumah tuannya untuk berehat.

Pada suatu petang, Badang memasang lukahnya di sebatang anak sungai yang
berdekatan dengan tempat tinggalnya. Dia berharap dapat menangkap seekor
dua ikan untuk dia buat lauk pada hari esoknya.

Keesokan harinya, Badang singgah di sungai untuk melihat hasil tangkapannya.


Alangkah kecewa hatinya kerana tidak ada seekor ikan pun yang dapat
ditangkap. Namun demikian, Badang mendapati ada tulang-tulang dan sisik
ikan bertumpukan di tebing sungai dekat tempat dia menahan lukanya itu.

“Aku percaya, tentu ini semua tulang dan sisik ikan yang terkena dalam lukah
aku ini!” bisik Badang sendirian. “Tapi, siapakah yang memakannya pula?”
tanya Badang penuh kehairanan. Sesudah memeriksa lukahnya itu, Badang
memasang lukahnya semula.

Pada hari esoknya, Badang singgah sekali lagi di sungai itu. Tetapi, sekali lagi,
dia mendapati hal yang sama berlaku. Lukahnya kosong tetapi tulang-tulang
dan sisik ikan berselerakan di tebing sungai tempat dia menahan luhahnya.

“Ada binatang yang mencuri lalu memakan ikan-ikan di dalam lukah aku ini!
Akan aku intip gerak-gerinya. Aku akan ajar dia cukup-cukup!” tukasnya dalam
hati.

Keesokan harinya ketika langit mulai terang, Badang telah sampai ke kawasan
sungai itu sekali lagi. Setibanya di sebalik sebatang pokok yang tidak jauh dari
lukanya, Badang berhenti. Di sebalik pokok sebatang itulah badang mengintai
untuk melihat siapakah yang memakan ikan-ikan yang masuk ke dalam
lukahnya.

Tidak lama kemudian itu, Badang menyedari suatu lembaga aneh bergerak-

1
gerak dan timbul dari sebalik semak-samun di sebarang sungai itu. Lembaga itu
menuju ke arah tempat Badang memasang lukahnya.
Pergerakan lembaga itu Badang perhatikan dari sebalik pokok tempat dia
bersembunyi. Badang yakin lembaga itu seekor hantu air. Rupanya memang
menggerunkan mata sesiapa yang memandangnya. Lembaga itu berwajah
hodoh, berambut dan berjanggut panjang. Lembaga itu bermata merah yang
menyala-nyala seperti bola-bola api.

Hantu air itu mengangkat lukah yang Badang pasang. Setelah menggoncang
lukah itu, hantu itu mengambil seekor ikan yang ada di dalam lukah itu lalu
memasukkan ke dalam mulutnya. Setelah mengunyah beberapa ketika, tulang-
tulang ikan yang dimakannya dibuang ke atas tanah tebing sungai.

Kelakuan hantu air itu membuat Badang naik radang. Dia mengumpul segala
kekuatannya lalu meluru keluar dari tempat persembunyiannnya itu. Dengan
parang terhunus di tangannya dia melompat ke hadapan hantu air yang sedang
sibuk makan itu.

“Aku bunuh engkau! Aku bunuh engkau!” tempik Badang dengan marahnya.

Melihatkan Badang yang bersungguh-sungguh hendak membunuhnya, hantu air


itu menggeletar ketakutan.

“Tolonglah, jangan hamba dibunuh! Jangan hamba dibunuh!” rayu hantu air itu.
“Engkau mesti aku bunuh! Engkau curi ikan-ikan dalam lukah aku, memang
patut engkau aku bunuh!” bentak Badang.

“Tolonglah, kasihanilah hamba! Jangan hamba dibunuh. Kalau engkau tidak


bunuh aku, aku akan memberikan apa-apa yang engkau minta.”

“Jangan cuba hendak menipu aku,” balas Badang. “Apakah yang boleh aku
harapkan daripada pencuri macam engkau?”

“Hamba dapat menolong tuan hamba, percayalah! Hamba boleh memberikan


apa-apa sahaja yang tuan hamba minta. Tapi, tolonglah jangan bunuh hamba!”

Badang berfikir sejenak. Namun begitu, tangan kirinya masih tetap memegang
erat janggut hantu air itu.

“Bolehkah engkau jadikan aku gagah lagi perkasa?”


“Akan hamba penuhi permintaan tuan hamba itu. Tapi, ada syaratnya.”

“Apakah syarat itu?”

2
“Tuan hamba mestilah memakan muntah hamba. Selepas memakan muntah
hamba itu kelak, tuan hamba akan menjadi gagah lagi perkasa seperi permintaan
tuan hamba itu.”
Kata-kata ucapan itu membuat Badang terpinga-pinga. Dia tidak tergambarkan
dirinya memakan muntah hantu air itu. Akan begitu, kemahuannya untuk
mejadi kuat membuat dia menetapkan fikirannya dengan segera.

Setelah bulat fikirannya, Badang pun berkata, “ Baiklah, kalau begitu engkau
muntah sekarang. Biar aku makan muntah engkau itu!”

Sebaik-baik sahaja hantu air itu berhenti muntah, Badang mulalah


memakannya. Pada ketika itu, tangannya semakin erat memegang janggut hantu
itu.

Setelah melihat Badang selesai memakan muntahnya, hantu itu pun berkata,
“Harap lepaskanlah hamba! Hamba telah memenuhi permintaan tuan hamba
itu!”

“Tidak! Walaupun aku sudah habis memakan muntah engkau, itu belum lagi
bereti aku sudah menjadi kuat dan gagah!”

“Kalau tuan hamba tidak percaya, tuan hamba boleh menguji kekuatan baru
tuan hamba itu sekarang juga,” jawab hantu air itu.

Mendengarkan kata-kata itu, Badang lalu menancapkan parangnya di tanah di


sisinya lalu dengan tangan kirinya, dia memegang sebatang pokok besar
berdekatan di tebing sungai itu. Dengan mudahnya pokok itu tercabut dari
tanah. Apa yang menghairankan, pokok itu terbungkas berserta dengan akar-
akarnya sekali.

“Lepaskanlah hamba!”

Badang lalu memandang hantu air itu lalu melepaskan pegangannya pada
janggut hantu itu.

“Engkau boleh pergi sekarang! Tapi lain kali, engkau jangan mengganggu
lukahku lagi!”
Hantu itu mengundur lalu berlalu dari situ dengan segera. Dengan sekelip mata,
kelibat hantu itu sudah lesap.

Badang memasang semula lukahnya di sungai itu. Dia lalu naik ke tebing dan
bergerak ke arah beberapa batang pokok besar yang berdekatan. Badang cuba
menumbangkan pokok-pokok itu. Sekali dia berjaya dan pokok-pokok besar itu

3
tumbang dengan sekali tolak. Pokok-pokok besar itu tumbang dengan akarnya
terbungkas.

Badang berasa gembira dengan keupayaannya itu. Dirempuhnya hutan belantara


di sekitar sungai. Ada kalanya dia menunjal pokok-pokok besar. Ada kalanya,
dia menendang pokok-pokok besar. Dicabutnya pokok-pokok kecil dengan
mudah. Mana-mana pokok yang dia capai akan habis terpelanting atau
terbungkas.

“Aku sudah gagah! Aku sudah menjadi lebih kuat!”

Badang pulang segera ke kawasan hutan yang hendak dibersihkan. Dia


langsung memulakan kerja-kerjanya menerangkan kawasan hutan itu. Dia
mencabut semua pokok yang ada. Dalam masa yang singkat, kawasan hutan
yang gelap itu menjadi terang-benderang dikerjakan Badang. Setelah selesai
menerangkan kawasan hutan itu, Badang berhenti sejenak lalu menghela nafas
lega kerana tugasnya yang sepatutnya selesai dalam berminggu-minggu itu
dapat dia lakukan dalam masa sehari. Badang berasa puas hati melihat kawasan
tanah yang sudah terang dan siap untuk dimulakan tanaman baru. Dengan
langkah tangkas, dia pulang ke rumahnya. Di sepanjang jalan, badang tak henti-
henti mengenangkan peristiwa yang berlaku siang tadi.

Sebaik-baik sampai di rumah, dia dipanggil tuannya. Tuannya berasa hairan


melihatkan badang pulang awal daripada biasa dan kelihatan gembira sekali.

“Awal benar pulangmu, Badang? Bagaimana kerja-kerja menerangkan kawasan


hutan yang aku suruh kau buat itu?” tanya orang kaya itu.
“Orang kaya, sudah hamba selesaikan. Dan lagi, sekarang ini semuanya sudah
siap untuk dimulakan penanaman baru.”

“Benarkah kata-katamu itu, Badang?

“Betul, Orang Kaya! Marilah ikut hamba ke sana. Orang Kaya boleh lihat
sendiri keadaan kawasan tanah yang sudah saya terangkan.”

Badang membawa Orang Kaya itu pergi ke kawasan hutan yang telah
dibersihkannya. Setibanya di sana, tuannya terpinga-pinga melihat keadaan
sekeliling. Dia bagaikan tidak mempercayai apa-apa yang di lihat di situ. Hutan
tebal yang besar itu sudah menjadi sebuah kawasan tanah lapang.

“Bagaimana hutan yang begini luas boleh kamu terangkan dengan cepat,
Badang?” tanya Orang Kaya kehairanan.

4
“Hamba hanya mencabutnya, Orang Kaya,” jelas Badang.

“Engkau yang mencabut semua pokok ini? Aku macam tidak percaya,” kata
Orang Kaya kepada Badang.

“Betul, Orang kaya. Dengan kedua-dua belah tangan saya ini, saya
membersihkan kawasan hutan yang luas ini menjadi terang.”

Badang menceritakan semula semua peristiwa yang telah berlaku. Badang


menerangkan kisah dia menangkap hantu air yang memakan ikan-ikan dalam
lukahnya dan dia memakan muntah hantu air itu untuk menjadi kuat dan gagah.

Badang lalu pergi ke sebatang pokok yang besar. Badang hanya menunjal
pokok itu dengan jari telunjuk tangan kanannya. Dengan sedikit tolakan, pokok
yang besar itu tumbang dan akarnya terbungkas.

Orang Kaya tercengang-cengang melihatkan keletah Badang itu. Dia malah


bertambah kagum apabila melihat Badang dapat mengangkat pokok yang baru
tumbang itu dengan kedua-dua belah tangannya.Orang Kaya tidak meragui akan
kebolehkan Badang itu dan terus memuji-mujinya.

Sebelum mereka berjalan pulang, Orang kaya telah berkata, “Sebagai balasan
kerana engkau berjaya menerangkan kawasan hutan ini dengan masa yang
singkat, aku merdekakan engkau mulai saat ini. Dengan itu, engkau bukan lagi
hambaku.”

Badang terharu mendengar ucapan Orang Kaya. Dia segera mengucapkan


terima kasih dan melahirkan perasaan hatinya yang gembira itu dengan
keputusan Orang Kaya itu. Dia melutut di hadapan Orang Kaya sambil berkata
berkali-kali, “Terima kasih, Orang Kaya!”

Kisah kegagahannya menjadi buah mulut para penduduk di situ. Badang yang
mula masyhur namanya itu tidak pula berubah sikap. Sikapnya yang merendah
diri itu telah menambat hati ramai orang. Mentelah lagi, dia suka menghulurkan
bantuan dengan melakukan kerja-kerja yang berat untuk orang-orang yang
datang berjumpa meminta pertolongannya. Kerajinan Badang itu mendapat
ganjaran yang setimpal. Rezekinya bertambah hasil daripada pertolongan yang
dia hulurkan kepada orang ramai. Badang dapat menampung keperluan
hidupnya dengan upah pemberian orang setelah dia melakukan kerja-kerja yang
berat untuk mereka.

Nama Badang menjadi terbilang dan berita kegagahannya itu sampai pada
pengetahuan Raja Temasik, Seri Rana Wira Kerma. Baginda amat tertarik hati

5
mendengar akan khabar mengenai kegagahan Badang. Baginda lalu menitahkan
supaya Badang datang ke istana menghadap baginda. Baginda amat tertarik
dengan perilaku dan kegagahan badang. Baginda lalu melantik Badang menjadi
salah seorang hulubalang di istana baginda.

Tersebutlah kisah, raja bertitah kepada bendahara pada suatu hari.


“Beta amat teringin makan ulam pucuk kuras. Tahukan datuk di mana ada
pokok itu supaya dapat kita ambil pucuknya?”

“Ampun, tuanku beribu-ribu ampun,” sembah bendahara. “Setahu patik, di


Kuala Sayung ada sebatang pokok kuras. Akan tetapi, pokok itu amatlah tinggi
dan tidak ada sesiapa yang berani memanjatnya.”

Sembah bendahara membuat raja diam buat beberapa ketika. Setelah itu,
baginda pun bertitah, “Apa pendapat datuk kalau kita titahkan Badang pergi
mengambil pucuk kuras itu? Beta percaya Badang yang gagah perkasa itu
berani memanjat pokok kuras yang tinggi itu!”

“Harap diampun, tuanku. Patik berstuju dengan titah tuanku itu. Kalau begitu,
izinkanlah patik menyampaikan titah tuanku kepada Badang itu supaya segera
dia melaksanakannya.” Bendahara mengangkat sembah lalu bermohon diri.

Badang pun diperintahkan menjalankan titah raja. Keesokan harinya, Badang


sudah berangkat menuju ke Kuala Sayung. Badang mendayung perahu menuju
ke sana. Sebaik-baik dia tiba di Kuala Sayung itu, Badang memandang di
kawasan sekelilingnya. Tidak lama kemudian, dia ternampak sebatang pokok
kuras. Pokok itu amat tinggi dan puncaknya menyapu awan.

Dengan segera, Badang lalu memanjat pokok kuras itu. Sewaktu dia sampai di
sebatang dahan yang agak tinggi, dahan itu patah apabila kakinya memijaknya.
Dengan tidak dia sangka-sangka, tubuh Badang jatuh ke bawah. Sesampai di
bumi, kepalanya terhempas di atas bongkah batu yang besar di bawah pokok
tersebut. Anehnya, kepala Badang tidak cedera tetapi bongkah batu besar itu
terbelah dua. Dia kehairanan apabila mendapati batu itu terbelah dua namun
kepalanya yang terhentak di atas batu itu tidak cedera sedikit pun. Badang
segera memanjat pokok itu sekali lagi dan kali ini dia berjaya mengambil pucuk
beserta buahnya sekali.

Setelah mengambil buah dan pucuk pokok kuras itu, Badang segera bergerak
pulang. Raja sangat gembira apabila Badang mempersembahkan pucuk kuras
itu. Baginda memuji-muji Badang dan mengurniakan sepasang persalinan
kepadanya.

6
Kisah mengenai kegagahan Badang tersebar dari mulut ke mulut. Akhirnya,
berita itu sampai ke pengetahuan Raja Benua Keling. Kebetulan Raja Benua
Keling mempunyai seorang pahlawan yang gagah lagi perkasa iaitu Nadi Bijaya
Pikrama. Kehandalan Nadi Bijaya Pikrama itu termasyhur di negerinya dan
tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun di seluruh Benua Keling.

Mendengar akan perkhabaran tentang kegagahan Badang membuat Raja Benua


Keling hendak menghantar Nadi Bijaya Pikrama ke Singapura. Baginda hendak
nadi Bijaya Pikrama beradu kekuatan dengan Badang. Oleh yang demikian,
baginda menitahkan Nadi Bijaya Pikrama menghadap baginda.

“Pergilah ke Singapura dan di sana nanti, kamu hendaklah beradu kekuatan


menentang seorang hulubalang yang gagah di negeri itu. Bawa bersama-
samamu tujuh buah kapal. Jika kamu menang, mintalah daripada Raja
Singapura tujuh buah kapal,” titah raja itu.

“Menjunjung titah, tuanku,” sembah Nadi Bijaya Pikrama.


Setelah semua persiapan dibuat, Nadi Bijaya Pikrama pun belayar dengan
diiringi oleh tujuh buah kapal. Rombongan itu disertai beberapa orang pembesar
diraja dan beratus-ratus orang anak kapal.

Setibanya di Singapura, Nadi Bijaya Pikrama pun menghadap Raja Seri Rana
Wira Kerma lalu menyatakan hajat dan tujuan kedatangannya ke Singapura.
Setelah mendengar penjelasan Nadi Bijaya Pikrama itu, Raja Seri Rana Wira
Kerma segera menitahkan Badang supaya masuk menghadap baginda. Badang
segera masuk menghadap baginda. Baginda menitahkan perlawanan gusti antara
Badang dan Nadi Bijaya Pikrama segera diadakan. Perlawanan beradu kekuatan
itu diadakan di balairung seri di hadapan raja, para pembesar dan juga
rombongan yang mengiringi Nadi Bijaya Pikrama.

Sewaktu perlawanan itu berlangsung, suasana di balairung seri menjadi hingar-


bingar dengan sorak-sorai orang yang menyaksikannya. Badang berjaya
mengalahkan Nadi Bijaya Pikrama. Kejayaan Badang itu disambut dengan
gembira oleh orang-orang Singapura. Baginda Raja Seri Rana Wira Kerma dan
pembesar-pembesarnya turut berasa gembira dengan kejayaan Badang itu. Akan
tetapi, Nadi Bijaya Pikrama pula berasa tidak puas hati dengan kekalahannya
itu. Dia langsung mengangkat sembah dan memohon agar diadakan sebuah lagi
pertandingan lain bagi menentukan jaguh yang lebih gagah antara dia dan
Badang.

Raja Seri Rana Wira Kerma memperkenankan permintaan pahlawan dari Benua
Keling itu. Nadi Bijaya Pikrama lalu berkata kepada Badang, “Di hadapan

7
istana ini kita lihat ada sebongkah batu yang sangat besar. Marilah kita beradu
kekuatan dengan mengangkat batu itu. Sesiapa yang tidak berjaya
mengangkatnya dianggap kalah.”

“Hamba bersetuju,” balas Badang.

Kedua-dua orang pahlawan itu lalu keluar ke halaman istana dengan disertai
raja dan semua yang ada di balairung seri itu. Badang meminta Nadi Bijaya
Pikrama mengangkat bongkah batu itu telebih dahulu sebaik-baik mereka tiba di
luar istana.

Nadi Bijaya Pikrama lalu melangkah ke arah bongkah batu besar itu. Dengan
penuh kesungguhannya, Nadi Bijaya Pikrama cuba mengangkat batu tersebut.
Selepas dicubanya beberapa kali, akhirnya dia berjaya mengangkat batu itu.
Batu itu hanya dapat dia angkat ke paras lututnya sahaja. Dia lalu menurunkan
batu itu setelah dia mendapati dia tidak dapat mengangkat batu itu lebih lama
lagi.

“Saya sudah berjaya mengangkat batu ini. Sekarang, giliran kamu pula
mengangkatnya.”

Badang hanya tersenyum lalu menghampiri batu itu. Badang dapat mengangkat
batu itu dengan kedua-dua belah tangannya tanpa mengalami sebarang masalah.
Nadi Bijaya Pikrama tidak mempercayai apa-apa yang dia lihat. Pada
sangkaannya, Badang tidak akan terdaya mengangkat batu itu dengan mudah
seperti dirinya.

Setelah itu, Nadi Bijaya Pikrama terpegun apabila melihat Badang melontarkan
batu itu ke arah kuala Sungai Singapura. Batu itu jatuh di kuala suungai itu lalu
membentuk sebuah tanjung. Tempat itu kini dikenali sebagai Tanjung
Singapura.

Nadi Bijaya Pikrama yang terpegun itu melopong melihat semua yang sedang
berlaku. Pembesar-pembesar negerinya juga tepegun menyaksikan kejadian itu.
Raja dan orang-orang Singapura bersorak-sorai tanda kegembiraan atas
kejayaan Badang yang menakjubkan itu.
Menyedari betapa gagahnya Badang daripadanya, Nadi Bijaya Pikrama berasa
amat malu. Dia mengakui kekalahannya. Dia lalu menyerahkan ketujuh-tujuh
buah kapal yang dibawanya kepada Raja Singapura. Setelah itu, dia dan
rombongan dari negeri di benua Keling berangkat pulang dengan kecewa.

Anda mungkin juga menyukai