Anda di halaman 1dari 5

Hijrah Nabi SAW Dari Makkah ke Madinah

Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan
rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa
sallam berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.

Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk
menunggu tibanya waktu malam.

Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan untuk
melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu
perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. 11 orang
penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat tersebut.

Bertolak dari Makkah

Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah
tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan
pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka
menunggu dan mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau belum.

Namun, kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA mengatasi


kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut sebagaimana disebut
di dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30.

Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah
menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan selimut yang
biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil
pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari
surah Yasin.

Dengan izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan
mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka terus menunggu
waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar
meninggalkan rumahnya.

Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari
tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan
Makkah sebelum waktu fajar.
Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa
tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar
meninggalkan rumahnya. Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak
langsung Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam seperti didakwa lelaki tersebut.

Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke


dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka pun yakin
bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus
menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam
selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Di Gua Thur Selama 3 Hari

Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi sallAllahu
`alaihi wa sallam tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana. Ini kerana
Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang
pastinya sedang menunggu Nabi.

Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah. Setelah 5
batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia
melecet kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa
memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.

Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya. Abu
Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dengan katanya:

“Demi ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau
ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu.”

Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun mengoyakkan
kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula ada 2 lubang lagi di dalamnya,
lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut.

Setelah keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk
ke dalam gua. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas
pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah
satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah
mulia Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah
terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke
tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3
hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan
yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin
Fuhayrah (hamba Abu Bakar).

`Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan
ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan
orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya
apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi. `Amir bin Fuhayrah pula mengembala
kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam, beliau akan
menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan
membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan
dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya
terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu.

Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Ali bin Abi Talib telah dipukul dan diseret ke ke
Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha
mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

Bengang dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan
keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada
sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran
itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para
penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.

Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib (Madinah)

Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir
yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan
membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum
itu. Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut
sama dalam perjalanan tersebut. Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui
mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.

Mereka berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat
iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah
utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dengan menggunakan jalan yang jarang
digunakan orang.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA dan
rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa menarik berlaku di
mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam apabila bertemu dengan Nabi sallAllahu
`alaihi wa sallam dalam perjalanan.

Singgah di Quba’ selama 4 Hari

Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa
sallam dan rombongannya itu sampai di Quba’.

Di Quba’, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum bin al-
Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’. Di situ
Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama yang diasaskan
atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.

Sampai di Yathrib (Madinah)

Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah
dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat
Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani Salim bin Auf. Seramai 100 orang
lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut.

Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat
meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah,
tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka
lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad
sallAllahu `alaihi wa sallam.

Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah menunggu Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam setiap hari dan pulang semula apabila mendapati Baginda tidak
sampai. Walaupun penduduk Yathrib tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun
perasaan cinta dan rindu mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi sallAllahu `alaihi wa
sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani al-Najjar iaitu kampung
keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan
rumah yang paling hampir tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak
Masjid Nabawi.

Beberapa hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri Baginda sampai bersama 2 puteri Baginda iaitu
Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama mereka juga Usamah bin Zaid dan Ummu Aiman.
Mereka ini keluar dengan ditemani oleh `Abdullah bin Abu Bakar dan `A’ishah. Puteri Baginda
yang bernama Zainab masih tinggal di Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat
peluang keluar dari Makkah sehinggalah setelah peperangan Badar. Allahu A`lam.

Begitulah serba ringkas kisah hijrah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke
Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi
wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini
telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dengan peluang yang lebih
besar dan cabaran yang lebih hebat.

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.

Sekadar menyampaikan,

– muzir.wordpress.com

* Diringkaskan dengan merujuk kitab terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum yang diterbit oleh
YADIM.

Anda mungkin juga menyukai