Anda di halaman 1dari 3

PANDUAN IBADAH KORBAN

Maksud ibadah korban

1. Ibadah korban bermaksud; menyembelih binatang ternakan pada hari raya korban
(10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13 dzulhijjah) dengan niat mendekatkan
diri kepada Allah.

2. Masa ibadah korban bermula apabila terbit matahari pada hari raya korban (10
zulhijjah) dan meninggi sedikit. Namun paling baik dilewatkan sedikit hingga matahari
naik segalah dan selepas selesai solat hari raya.

Hukum ibadah korban

1. Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad. Makruh meninggalkannya bagi yang
mampu. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika dinazarkan.

2. Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat kifayah, iaitu digalakkan seorang
ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi pihak ahli keluarga yang lain. Abu Ayyub
RA menceritakan; Pada zaman Nabi SAW seorang lelaki menyembelih korban bagi
pihak dirinya dan juga ahli keluarganya (Muwatta Imam Malik; 1770).

3. Harus melakukan korban untuk orang telah mati atau meniatkan pahala korban
untuknya.

Fadhilah ibadah korban

1. Sabda Nabi SAW; Tidak ada amalan yang paling disukai Allah pada hari raya
korban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban akan datang pada hari
kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya (Sunan at-Tirmizi; 1496,
hasan).
2. Sabda Nabi SAW; Bagi setiap helai bulu binatang korban satu kebajikan (Sunan
Ibnu Majah; 3127, dhaif).

Syarat-syarat binatang korban

1. Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah; biri-biri (berumur genap 1 tahun),
kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2 tahun), kerbau (genap 2 tahun) dan unta
(genap 5 tahun).

2. Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang. Adapun lembu, kerbau dan unta
harus dikongsi tujuh orang.

2. Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut hadis; tidak sah korban
dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang tempang, yang nyata sakitnya dan
yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510, isnadnya soheh).

3. Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi elok, lagi sempurnalah
pahalanya.

Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan korban

1. Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari badannya sehinggalah selesai
korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).

2. Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak mampu, sunat melihat
binatang korbannya disembelih.

3. Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan seperti berikut;

Ya Allah, terimalah korban ini dariku dan dari ahli keluargaku.

Cara pengagihan daging korban

1. Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan kepada fakir miskin dalam
keadaan mentah, iaitu sekurang-kurangnya satu kadar yang dapat dinamakan sedekah
(iaitu 1/2 kilo atau 1 kilo).

2. Daging korban harus jika hendak disedekah kesemuanya kepada fakir miskin.
Namun sunat orang yang melakukan korban menikmati sedikit darinya mengikut
sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.

3. Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak; (1) Untuk dimakan diri dan ahli
keluarga, (2) Disedekahkan kepada fakir miskin, (3) Dihadiahkan kepada rakan-rakan,
jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka kaya/berada.

4. Dilarang menjual apa-apa bahagian dari binatang korban. Ia menghilangkan pahala


korban. Termasuk dilarang ialah memberi upah kepada tukang sembelih atau orang-
orang kerja dengan daging korban. Jika diberikan atas nama hadiah atau sedekah
diharuskan.

5. Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban kepada orang kafir yang
berbaik dengan orang Islam. Sebahagian ulamak melarangnya.

6. Korban nazar dan korban untuk orang telah mati; wajib disedekahkan kesemua
dagingnya kepada fakir miskin.

Anda mungkin juga menyukai