Anda di halaman 1dari 45

BAB DUA

PENGENALAN KEPADA UNDANG-UNDANG KONTRAK DI MALAYSIA

Setelah mengikuti pelajaran ini, para pelajar diharap dapat:

• Memahami tentang undang-undang kontrak di Malaysia.

• Menyatakan definisi kontrak.

• Mengetahui elemen-elemen penting kontrak.

• Membezakan jenis-jenis kontrak.

• Menyatakan bentuk-bentuk kontrak.

- 31 -
2.0 PENGENALAN

Undang-undang kontrak di Malaysia adalah ditadbirkan mengikut Akta Kontrak 1950


(semakan 1974). Akta ini dipadankan daripada Akta Kontrak India 1872 yang
mencontohi undang-undang Inggeris dengan diubahsuai dalam perkara-perkara tertentu
mengikut keperluan setempat di Malaysia. Sebelum ini ianya dikenali sebagai Ordinan
Kontrak 1950 yang juga merangkumi peruntukan berkaitan dengan undang-undang
perkongsian tetapi selepas semakan yang berkuatkuasa pada 1 Julai 1974 peruntukan
berkaitan undang-undang perkongsian telah dimansuhkan dan undang-undang
perkongsian telah ditadbir oleh statut yang berasingan iaitu Akta Perkongsian 1961.

Definisi Kontrak

Secara amnya kontrak ialah suatu perjanjian yang mengikat di antara dua pihak atau
lebih. Seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 memberikan takrifan kontrak sebagai ‘suatu
perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang’. Ini bermaksud semua
kontrak adalah perjanjian manakala tidak semua perjanjian adalah merupakan kontrak
jika ianya tidak memenuhi elemen-elemen penting kontrak seperti yang dinyatakan oleh
Seksyen 10(1) ‘Semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas
pihak-pihak yang layak membuat kontrak untuk sesuatu balasan yang sah dan
dengan sesuatu tujuan yang sah, dan tidak ditetapkan dengan nyata di bawah
peruntukan Akta ini bahawa ianya batal’. Oleh itu adalah jelas bahawa sesuatu
perjanjian hanya boleh dirujuk sebagai kontrak apabila ianya boleh dikuatkuasakan oleh
undang-undang. Sesuatu perjanjian itu pula hanya boleh dikuatkuasakan di sisi
undang-undang sekiranya ia memenuhi elemen-elemen penting kontrak. Sesuatu
perjanjian yang tidak memenuhi elemen-elemen penting kontrak bukanlah merupakan
suatu yang mengikat pihak-pihak tersebut di sisi undang-undang.

Elemen-elemen Penting Kontrak

(i) Cadangan
(ii) Penerimaan
(iii) Balasan
(iv) Niat

- 32 -
(v) Keupayaan
(vi) Ketentuan
(vii)Kerelaan bebas
(viii) Tujuan yang sah

Perbincangan yang lebih lanjut berkaitan dengan elemen-elemen kontrak akan kita ikuti
dalam pelajaran-pelajaran yang akan datang.

Jenis-jenis Kontrak

(i) Kontrak Bilateral - Kontrak yang dibuat di antara dua atau lebih pihak yang
mana pihak-pihak kepada kontrak tersebut boleh
dikenalpasti dan ditentukan identitinya. Contohnya kontrak
jual beli kereta di antara Syarikat ABC Bhd. dengan En.
Abu, no. kad pengenalan: 123456-11-2221.

(ii) Kontrak Unilateral - Kontrak yang dibuat oleh satu pihak yang boleh dikenal
pasti dan ditentukan identitinya dengan pihak umum yang
belum lagi boleh dikenal pasti dan ditentukan identitinya.
Contohnya seperti dalam kes Carlill v Carbolic Smoke Ball
Co. (1893) 1. Q.B.256.

Bentuk-bentuk Kontrak

(i) Lisan - Kontrak boleh terdapat dalam bentuk lisan iaitu perkataan-
perkataan di antara pembuat cadangan dan penerima cadangan
tersebut. Walau bagiamanapun jika berlaku kemungkiran atau
pecah kontrak, adalah sukar untuk membuktikan secara terperinci
butiran-butiran kontrak yang dibuat kerana tiada rekod bertulis
mengenainya.

(ii) Kelakuan - Kontrak boleh wujud melalui kelakuan pihak-pihak yang terlibat
iaitu melalui pentafsiran dari kelakuan seperti mengangguk sebagai
menandakan persetujuan dan sebagainya.

- 33 -
(iii) Bertulis - Kontrak bentuk ini memang banyak diamalkan pada masa kini. Ia
memudahkan pihak-pihak yang terlibat untuk merujuk kepada
syarat dan terma kontrak. Juga mudah untuk pihak-pihak terbabit
jika berlakunya pecah kontrak atau kemungkiran kerana segala
butiran perjanjian terdapat dalam bentuk bertulis.

Walau bagaimanapun, kontrak-kontrak berikut adalah wajib dibuat dalam bentuk bertulis
iaitu:
(a) pindah milik saham dalam syarikat berhad.
(b) jualan atau penyerahan kepentingan dalam syarikat
(c) bil-bil pertukaran dan cek.
(d) kontrak-kontrak kredit pengguna.

2.1 CADANGAN

Setelah menamatkan pelajaran ini, para pelajar akan berupaya:


• Menerangkan apakah itu cadangan?

• Mengetahui kepada siapa cadangan boleh dibuat.

• Menerangkan perbezaan di antara cadangan dan pelawaan untuk membuat


cadangan.
• Mengetahui mengapa perlunya cadangan dikomunikasikan?

• Mengetahui apakah yang dikatakan sebagai cadangan balas?

• Menghuraikan bagaimana pembatalan dan penamatan cadangan boleh


dilaksanakan?

APAKAH ITU CADANGAN?

Cadangan atau juga dipanggil tawaran merupakan satu janji yang dibuat oleh orang
yang membuat cadangan kepada satu pihak yang lain dengan niat untuk mewujudkan
perhubungan di sisi undang-undang serta kesediaannya untuk terikat dengan cadangan
tersebut apabila ianya diterima oleh pihak yang mana cadangan itu dibuat.

- 34 -
Seksyen 2(a) Akta Kontrak 1950 telah mentakrifkan cadangan sebagai ‘apabila
seseorang menyatakan kesediaannya kepada seorang yang lain untuk melakukan
atau menahan diri dari melakukan sesuatu dengan maksud untuk memperolehi
persetujuan orang itu untuk berbuat sesuatu atau menahan diri dari berbuat
sesuatu, maka bolehlah dikatakan bahawa orang itu membuat cadangan’.

Seksyen 2(a) ini membawa maksud bahawa cadangan wujud apabila satu pihak
menyatakan kepada pihak yang lain bahawa beliau berjanji akan membuat atau tidak
membuat sesuatu perkara jika pihak yang lain itu bersetuju dengan beliau untuk
mematuhi segala syarat yang ditetapkan dalam perjanjian.

Seksyen 2(c) Akta Kontrak 1950 menyatakan ‘Orang yang membuat cadangan
adalah dipanggil ‘pembuat janji’ manakala orang yang menerima cadangan
dipanggil ‘penerima janji’.’

Pembuat janji mestilah menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab


mengikut terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan dan memberikan pilihan
kepada pihak yang mana cadangan atau tawaran tersebut dibuat sama ada untuk
menerima atau menolak cadangan atau tawaran tersebut.

Sesuatu cadangan atau tawaran itu mestilah jelas, lengkap dan muktamad. Cadangan
atau tawaran yang tidak jelas, kabur atau tergantung maksudnya tidak akan mengikat si
penerima tawaran di sisi undang-undang. Perkara ini dibuktikan oleh kes berikut:

(i) Guthing v Lynn (1831) 2B. & AD. 232

Dalam kes ini defendan (Lynn) telah membeli seekor kuda daripada plaintif (Guthing).
Defendan menyatakan kepada plaintif bahawa beliau akan membuat bayaran tambahan
sebanyak GBP5 sekiranya kuda tersebut mendatangkan nasib yang baik kepada beliau.
Plaintif menyaman defendan di Mahkamah untuk mendapatkan bayaran tambahan
sebanyak GBP5 seperti yang dijanjikan. Mahkamah telah membuat keputusan bahawa
cadangan tersebut (jika kuda mendatangkan nasib yang baik kepada defendan) adalah
kabur dan tidak wujud suatu kontrak yang sah di sisi undang-undang.

- 35 -
Kepada Siapa Cadangan Boleh Dibuat?

Sesuatu cadangan boleh dibuat kepada:

(a) Mana-mana orang yang tertentu atau khusus dan orang yang tersebut
sahaja yang boleh menerima cadangan tersebut.

(b) Sekumpulan orang yang tertentu dan mana-mana orang dari kumpulan
tersebut berhak untuk menerima cadangan.

(c) Pihak masyarakat umum iaitu sesiapa sahaja dari kalangan masyarakat
umum boleh menerima cadangan asalkan memenuhi kriteria yang disyaratkan
oleh pembuat cadangan.

Cadangan Kepada Orang Yang Tertentu (Khusus)

Suatu cadangan yang dibuat oleh pembuat cadangan kepada individu yang khusus
dan jelas identitinya. Penerimaan terhadap cadangan ini hanya boleh dibuat oleh
individu tersebut sahaja. Penerimaan oleh pihak lain selain daripada individu di
mana cadangan itu ditujukan adalah tidak sah. Contohnya: En. Ali membuat
cadangan untuk menjualkan kereta Proton Wira kepunyaannya kepada jirannya En.
Lim dengan harga RM30,000. Maka cadangan telah dibuat oleh En. Ali kepada
individu yang tertentu atau khusus iaitu jirannya En. Lim. Hanya En. Lim sahaja
yang berhak untuk membuat penerimaan terhadap cadangan tersebut. Sekiranya
ada pihak lain, katakan En. Samy iaitu rakan En. Lim yang mendapat tahu tentang
perkara tersebut dan menyatakan penerimaan ke atas cadangan yang dibuat oleh
En. Ali, maka penerimaan oleh En. Samy adalah tidak sah dan tidak akan
mewujudkan kontrak kerana cadangan yang dibuat oleh En. Ali hanya ditujukan
kepada En. Lim sahaja dan bukan kepada orang lain.

Cadangan Kepada Sekumpulan Orang Yang Tertentu

Suatu cadangan yang dibuat oleh pembuat cadangan terhadap sekumpulan orang yang
tertentu di mana penerimaan hanya boleh dibuat oleh mana-mana individu atau
beberapa individu dari kumpulan tersebut sahaja. Penerimaan oleh individu yang bukan

- 36 -
dari kumpulan tersebut adalah tidak sah. Contohnya: Seorang Pensyarah membuat
cadangan (tawaran) kepada pelajar-pelajar di dalam kelas JTW 103 bahawa beliau akan
memberikan wang sebanyak RM100 kepada pelajar yang mendapat markah tertinggi
dalam peperiksaan akhir bagi kursus JTW 103. Maka, cadangan yang dibuat oleh
pensyarah tersebut hanyalah sah dan terbuka kepada semua pelajar dalam kelas JTW
103 sahaja. Jadi, mana-mana pelajar yang mengambil kursus JTW 103 adalah berhak
untuk berusaha belajar dengan tekun demi menerima cadangan yang dibuat oleh
pensyarah mereka. Pelajar-pelajar selain dari kumpulan pelajar dalam kursus JTW 103
adalah tidak berhak untuk membuat penerimaan ke atas cadangan tersebut.

Cadangan Kepada Masyarakat Umum

Cadangan dibuat kepada sesiapa sahaja dari kalangan masyarakat umum. Sesiapa
sahaja boleh menerima cadangan tersebut asalkan memenuhi syarat-syarat yang
ditetapkan oleh pembuat cadangan. Contohnya dalam kes Carlill v Carbolic Smoke
Ball Co. (1893) 1 QB 256. Defendan (Carbolic Smoke Ball Co.) telah membuat
cadangan melalui iklan dalam surat khabar bahawa mereka menawarkan hadiah
sebanyak GBP100 kepada sesiapa sahaja yang masih mendapat selsema setelah
menggunakan ubat yang dijual oleh mereka dengan mengikut arahan-arahan yang
ditentukan. Plaintif (Carlill) yang membaca iklan tersebut telah membeli dan
menggunakan ubat mengikut arahan-arahan yang telah ditetapkan. Walau
bagaimanapun plaintif masih mendapat selsema. Plaintif telah membuat tuntutan
daripada defendan untuk wang berjumlah GBP100 sebagaimana yang telah
dicadangkan (ditawarkan) oleh defendan dalam iklan. Pihak defendan tidak ingin
menjelaskan tuntutan plaintif atas alasan cadangan atau tawaran yang dibuat oleh
mereka ditujukan kepada sesiapa sahaja (tidak tertentu atau khusus) di kalangan
masyarakat umum adalah tidak sah. Walau bagaimanapun Mahkamah Rayuan telah
memutuskan bahawa sesuatu cadangan atau tawaran itu tidak semestinya ditujukan
kepada individu tertentu sahaja malahan ia boleh ditujukan kepada masyarakat umum
atau dunia luas. Iklan yang dibuat oleh defendan itu merupakan cadangan atau tawaran
kepada dunia luar dan sesiapa sahaja yang membacanya dan sanggup mematuhi
arahan-arahan serta syarat-syarat yang ditetapkan adalah dianggap sebagai telah
membuat penerimaan yang lengkap terhadap cadangan atau tawaran tersebut.

- 37 -
CADANGAN DAN PELAWAAN UNTUK MEMBUAT CADANGAN

Cadangan mestilah dibezakan daripada pelawaan untuk membuat cadangan. Ini adalah
kerana apabila seseorang itu menawarkan sesuatu perkara kepada pihak lain, ia tidak
semestinya merupakan satu cadangan dalam erti kata sebenar. Ia boleh jadi satu
pelawaan terhadap pihak yang lain itu untuk membuat cadangan. Contoh-contoh
pelawaan untuk membuat cadangan ini ialah seperti:-

(i) pameran barang-barang di kedai layan diri


(ii) lelongan
(iii) pengiklanan

(i) Pameran Barang-barang Di Kedai Layan Diri

Pameran barang-barang di kedai-kedai layan diri seperti pasaraya, kedai farmasi dan
sebagainya merupakan suatu pelawaan daripada tuan punya pasaraya atau kedai-kedai
tersebut kepada pelanggan-pelanggan mereka untuk membuat cadangan. Pihak
pelanggan sebenarnya yang membuat cadangan untuk membeli barang-barang yang
dipamerkan tersebut apabila mereka mengambilnya dari rak-rak pameran dan
membawanya ke kaunter juruwang untuk pembayaran di mana pasaraya atau kedai-
kedai tersebut masih boleh menerima atau menolak cadangan pembelian oleh
pelanggan-pelanggan mereka. Situasi ini boleh diperjelaskan melalui kes
Pharmaceutical Society of Great Britain V Boots Cash Chemist Ltd. (1953) 1 Q.B.
410. Dalam kes ini pihak defenden (Boots Cash Chemist Ltd.) telah didakwa di bawah
Akta Farmasi dan Racun UK. 1933 yang melarang penjualan ubatan dan racun tertentu
tanpa penyeliaan ahli farmasi bertauliah. Persoalan dalam kes ini ialah sama ada jualan
telah berlaku apabila pelanggan memilih dan meletakkan ke dalam bakul barang-barang
yang hendak dibelinya. Mahkamah memutuskan bahawa perbuatan mempamerkan
ubat di rak pameran dalam kedai merupakan pelawaan untuk membuat cadangan
sahaja. Cadangan hanya wujud apabila pelanggan meletakkan ubat di kaunter
pembayaran. Cadangan ini kemudiannya boleh diterima atau ditolak oleh ahli farmasi
yang membuat penyeliaan di kaunter pembayaran. Kontrak hanya berlaku di kaunter
pembayaran apabila ahli farmasi menerima cadangan pelanggan untuk membeli ubat
tersebut. Oleh itu defendan dalam kes ini tidak melakukan jualan yang dilarang oleh

- 38 -
Akta Farmasi dan Racun UK 1933. Begitu juga dalam kes Fisher v Bell (1960) 3. All
E.R. 731, mahkamah memutuskan bahawa perbuatan mempamerkan pisau lipat untuk
jualan tidak bertentangan dengan Akta Sekatan Senjata Merbahaya 1959 kerana ia
hanya merupakan pelawaan kepada pembeli untuk membuat cadangan bagi membeli.

(ii) Lelongan

Apabila jurulelong mengemukakan tender untuk lelongan barang-barang, beliau


hanyalah membuat pelawaan kepada orang ramai untuk membuat cadangan bagi
membeli barang-barang atau harta benda yang dilelong tersebut. Apabila mana-mana
individu mengemukakan satu harga untuk membeli barang yang dilelong, terpulanglah
kepada jurulelong sama ada hendak menerima atau menolak cadangan tersebut. Hal
ini diperjelaskan oleh Seksyen 10 Enakmen Jualan Lelong Bab 81, Negeri-negeri
Melayu Bersekutu yang menyatakan ‘Jualan Lelong awam akan sempurna apabila
pelelong mengumumkan penyempurnaannya (penerimaannya) dengan
menjatuhkan tukul kayu …’ Contohnya dalam kes Harris v Nickerson (1873) LR &
QB 286. Dalam kes ini defendan (Nickerson) iaitu seorang pelelong telah mengiklankan
bahawa ia akan menjual barang-barang tertentu termasuk peralatan pejabat pada satu
tarikh dan tempat yang telah ditetapkan. Plaintif (Harris) telah hadir pada hari tersebut
dengan tujuan untuk membeli beberapa peralatan pejabat tetapi pelelong telah menarik
balik barang-barang tersebut dari senarai barang-barang lelongan. Plaintif mendakwa
telah wujud suatu kontrak yang mana menurutnya iklan yang disiarkan oleh pelelong
merupakan satu cadangan dan beliau telah membuat penerimaan dengan menghadiri
lelongan tersebut. Mahkamah telah memutuskan bahawa tidak wujud kontrak kerana
iklan yang disiarkan oleh pelelong hanyalah satu pelawaan kepada orang ramai untuk
hadir satu jualan lelong dan bukan satu cadangan yang boleh dijadikan satu kontrak
yang mengikat apabila ianya diterima.

(iii) Pengiklanan

Iklan juga boleh merupakan pelawaan untuk membuat cadangan. Contohnya iklan
jawatan kosong yang menawarkan kepada pihak yang layak dan memenuhi syarat-
syarat yang ditetapkan untuk memohon jawatan di syarikat-syarikat swasta atau
jabatan-jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun untuk menentukan sama ada sesuatu

- 39 -
iklan itu merupakan cadangan atau hanya pelawaan untuk membuat cadangan adalah
bergantung kepada niat pihak-pihak yang terlibat dalam setiap kes. Mahkamah telah
menetapkan bahawa iklan-iklan yang berbentuk kontrak bilateral adalah bukan satu
cadangan. Hanya iklan-iklan yang berbentuk kontrak unilateral sahaja yang boleh
ditakrifkan sebagai satu cadangan. Contohnya dalam kes Majumder v Attorney
General of Sarawak (1967) 1 MLJ 101 (Kontrak Bilateral), Mahkamah Persekutuan
memutuskan bahawa suatu iklan di surat khabar untuk jawatan sebagai doktor
hanyalah merupakan pelawaan untuk membuat cadangan. Begitu juga dalam kes
Coelho v The Public Service Commission (1984) MLJ 12. Namun begitu dalam kes
Carlill v Carbolic Smoke Ball Co. (1893) 1. Q.B. 256 (Kontrak Unilateral), mahkamah
telah memutuskan bahawa iklan yang disiarkan oleh defendan merupakan suatu
cadangan kepada masyarakat umum.

KOMUNIKASI CADANGAN

Untuk menjadikan sesuatu cadangan itu sah dan boleh mengikat pihak-pihak yang
terlibat dalam satu kontrak, ianya hendaklah disampaikan atau dikomunikasikan oleh
pembuat cadangan kepada penerima cadangan. Pihak yang mana cadangan itu dibuat
mestilah mengetahui tentang kewujudan cadangan tersebut barulah penerimaan
terhadap cadangan boleh dibuat dan suatu kontrak yang mengikat di antara mereka
akan terbentuk. Seksyen 4(1) Akta Kontrak 1950 memperuntukkan bahawa
‘Komunikasi cadangan adalah lengkap apabila cadangan itu sampai kepada
pengetahuan pihak kepada siapa cadangan itu dibuat.’

Untuk memperjelaskan situasi ini, kita lihat misalan berikut: En. Lim telah kehilangan
beg yang mengandungi dokumen-dokumen penting. Beliau telah mengiklankan di
dalam surat khabar untuk memberikan wang sebanyak RM100 kepada sesiapa yang
menjumpai dan memulangkan beg tersebut kepadanya. En. Hamid telah menjumpai
beg tersebut dan melalui nama dan alamat yang terdapat pada dokumen-dokumen di
dalam beg, beliau telah memulangkan beg tersebut kepada En. Lim tanpa mengetahui
tentang cadangan En. Lim yang disiarkan melalui iklan di surat khabar. Maka En.
Hamid tidak berhak menuntut wang RM100 seeperti yang ditawarkan oleh En. Lim
kerana beliau tidak mengetahui tentang kewujudan cadangan tersebut sebelum

- 40 -
memulangkan beg yang dijumpainya kepada En. Lim. Komunikasi dan pengetahuan
berkenaan dengan kewujudan cadangan adalah penting untuk membolehkan pihak
yang mana cadangan itu dibuat membuat penerimaan terhadap cadangan dan
seterusnya mewujudkan kontrak yang mengikat.

Dalam kes R v Clarke (1927) 40 C.L.R 227, Kerajaan Australia Barat menawarkan
ganjaran bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan dan penghukuman
ke atas orang yang bertanggungjawab membunuh dua orang pegawai polis. Clarke
telah ditangkap bersama seorang lain (Mr. X) dan didakwa melakukan pembunuhan
tersebut. Clarke kemudiannya memberi maklumat yang membawa kepada
penangkapan seorang yang lain lagi (Mr. Y). Mr X dan Mr. Y kemudiannya didapati
bersalah melakukan pembunuhan tersebut. Clarke yang tidak bersalah telah menuntut
ganjaran yang ditawarkan. Hakim telah memutuskan bahawa Clarke tidak berhak ke
atas ganjaran yang ditawarkan kerana Clarke semasa memberikan maklumat yang
dikehendaki, telah tidak memberikan pertimbangan kepada cadangan atau tawaran
tersebut tetapi lebih kepada untuk membersihkan nama dan melepaskan diri dari
pertuduhan. Seterusnya Hakim menyatakan “Tiada penerimaan boleh dibuat tanpa
mengetahui tentang cadangan; dan pengabaian terhadap cadangan atau tawaran
adalah merupakan perkara yang sama.”

CADANGAN BALAS

Cadangan balas adalah terbentuk apabila pihak yang mana cadangan asal itu dibuat
telah tidak menerima cadangan asal tersebut secara mutlak dan tidak bersyarat
sebaliknya ingin menerima cadangan asal itu dengan syarat-syarat lain yang mereka
tetapkan sendiri. Bila ini berlaku maka cadangan asal adalah terbatal dengan sendiri
dan cadangan balas yang dibuat oleh pihak yang mana cadangan asal itu ditujukan
adalah terbentuk dan terpulanglah kepada pihak yang satu lagi (Pembuat cadangan
asal) sama ada ingin menerima atau menolak cadangan balas tersebut.

Seksyen 7(a) Akta Kontrak 1950 menyatakan ‘Untuk menukarkan cadangan


menjadi janji, penerimaan mestilah dibuat secara mutlak dan tidak bersyarat’.
Apa-apa pengubahsuaian atau perletakkan syarat untuk penerimaan ke atas cadangan

- 41 -
asal tidak menjadikannya penerimaan tetapi merupakan cadangan balas. Cadangan
balas dianggap sebagai penolakkan kepada cadangan asal.

Prinsip cadangan balas ini telah diputuskan dalam kes Hyde v Wrench (1840) 3 Beav.
334. Dalam kes ini defendan (Wrench) telah menawarkan untuk menjualkan hartanya
kepada plaintif (Hyde) pada 6 Jun dengan harga GBP1000. Pada 8 Jun, plaintif telah
menyatakan kesediaannya untuk membeli harta tersebut pada harga GBP950.
Defendan enggan menjualkan hartanya pada harga GBP950 seperti yang diminta oleh
plaintif. Pada 27 Jun, plaintif telah menulis semula kepada defendan menyatakan
persetujuannya untuk membeli harta tersebut seperti cadangan asal iaitu GBP1000.
Mahkamah telah memutuskan bahawa tidak wujud penerimaan kerana surat plaintif
pada 8 Jun merupakan cadangan balas dan telah menyebabkan cadangan asal terbatal
dan tidak lagi wujud untuk dibuat penerimaan semula.

PENAMATAN CADANGAN

Seksyen 6 Akta Kontrak 1950 menggariskan kaedah-kaedah berkaitan dengan


penamatan cadangan. Seksyen ini memperuntukkan bahawa:-

Seksyen 6; suatu cadangan adalah ditamatkan:-

(a) melalui komunikasi notis pembatalan oleh pembuat cadangan kepada pihak yang
lain itu;

(b) apabila luputnya masa yang ditetapkan dalam cadangan berkaitan penerimaannya
atau jika tiada tempoh masa dinyatakan, dengan luputnya tempoh masa yang
munasabah, tanpa ada komunikasi penerimaan dibuat;

(c) atas kegagalan penerima memenuhi syarat-syarat untuk penerimaan; atau

(d) dengan kematian atau sakit otak pembuat cadangan, jika fakta kematian atau sakit
otak itu diketahui oleh penerima sebelum penerimaan dibuat.

- 42 -
(a) Melalui Notis Pembatalan Oleh Pembuat Cadangan

Seksyen 5(1) Akta Kontrak 1950 memperruntukkan bahawa ‘suatu cadangan boleh
dibatalkan pada bila-bila masa sebelum komunikasi penerimaan adalah lengkap
terhadap pembuat cadangan tetapi tidak selepasnya’.

Untuk memahami implikasi Seksyen 5(1) di atas berkaitan dengan hak untuk
membatalkan cadangan, kita perlu terlebih dahulu mengetahui bilakah komunikasi
penerimaan ini adalah lengkap dan mengikat pembuat cadangan. Ianya diperjelaskan
oleh Seksyen 4(2)(a) yang menyatakan ‘Komunikasi penerimaan adalah lengkap
terhadap pembuat cadangan apabila ianya dimasukkan ke dalam perjalanan
pengiriman kepada beliau dan berada di luar kuasa pihak penerima’.

Walau bagaimanapun untuk menentukan bilakah pembatalan cadangan adalah lengkap


dan sah terhadap orang yang membuat pembatalan cadangan dan orang yang mana
pembatalan cadangan itu dibuat, kita perlu merujuk kepada Seksyen 4(3) yang
menyatakan bahawa:-

Seksyen 4(3) komunikasi pembatalan adalah lengkap:-

(a) terhadap orang yang membuat pembatalan apabila notis pembatalan


dimasukkan ke dalam perjalanan pengiriman kepada siapa pembatalan itu
dibuat, di mana ianya berada di luar kuasa orang yang membuatnya;

(b) terhadap orang yang mana ianya dibuat, apabila pembatalan itu sampai ke
pengetahuannya.

Untuk pengetahuan anda, peruntukan Seksyen 4(3) hanyalah terpakai kepada


komunikasi melalui pos, telegram dan seumpamanya. Ia tidak terpakai untuk
komunikasi pembatalan cadangan atau penerimaan yang dibuat melalui kaedah
komunikasi serta merta seperti lisan bersemuka, atau teleks.

Untuk memahami dengan lebih jelas berkaitan dengan isu pembatalan cadangan ini, sila
beri perhatian kepada ilustrasi berikut:-

- 43 -
A membuat cadangan melalui surat kepada B untuk menjualkan rumahnya pada satu
harga tertentu. B menerima cadangan A dan menghantarkan surat penerimaan juga
melalui pos. Komunikasi penerimaan adalah lengkap terhadap A (pembuat cadangan)
apabila B (penerima cadangan) memasukkan surat penerimaan tersebut ke dalam peti
surat di mana ianya telah berada di luar kuasa B. Jadi untuk membuat pembatalan
cadangan, A hendaklah melakukannya sebelum B memasukkan surat penerimaan ke
dalam peti surat dan tidak selepas itu. Walau bagaimanapun untuk memastikan sama
ada pembatalan cadangan itu lengkap dan sah di sisi undang-undang terhadap A dan B,
ketetapan Seksyen 4(3)(a) dan (b) mestilah dipenuhi.

Dalam kes Byrne v Van Tienhoven (1880) 5 CPD 344, defendan (Van Tienhoven) telah
mengirim surat tawaran untuk menjual 1000 kotak bersadur timah kepada plaintif
(Byrne) pada 1 Oktober. Pada 8 Oktober defendan mengirimkan surat pembatalan
tawaran kepada plaintif. Pada 11 Oktober plaintif menerima surat tawaran (yang
diposkan oleh defendan pada 1 Oktober) dan pada hari yang sama plaintif menyatakan
penerimaan melalui telegram yang diikuti dengan surat penerimaan pada 15 Oktober.
Plaintif menerima surat pembatalan tawaran (yang diposkan oleh defendan pada 8
Oktober) pada 20 Oktober.

Isu utama dalam kes ini ialah bilakah notis pembatalan cadangan yang dibuat oleh
defendan menjadi lengkap terhadap plaintif?

Mahkamah memutuskan bahawa komunikasi pembatalan adalah lengkap terhadap


plaintif pada 20 Oktober iaitu apabila notis pembatalan sampai ke pengetahuannya.
Oleh itu pembatalan cadangan oleh defendan tidak terlaksana kerana ia hanya lengkap
terhadap plaintif pada 20 Oktober [Seksyen 4(3)(b)] sedangkan kontrak telah wujud dan
mengikat defendan apabila plaintif menghantarkan penerimaan melalui telegram pada
11 Oktober di mana komunikasi penerimaan adalah lengkap terhadap defendan
[Seksyen 4(2)(a)].

(b) Apabila Luputnya Masa Yang Ditetapkan

- 44 -
Suatu cadangan akan tamat dengan sendirinya apabila luputnya waktu penerimaan
seperti yang ditetapkan dalam cadangan. Jika tiada tempoh masa ditetapkan oleh
pembuat cadangan untuk penerima cadangan membuat penerimaan, maka satu tempoh
masa yang munasabah akan diambil kira.

Dalam kes Ramsgate Victoria Hotel Co’ Ltd. V Montefiore (1866) LR1ExCh 109,
defendan (Moutefiore) telah menghantar surat cadangan untuk membeli saham dalam
syarikat plaintif (Ramsgate Victoria Hotel Co’ Ltd.) pada 8 Jun. Plaintif telah membuat
penerimaan pada 23 November dan sejumlah saham telah diperuntukkan kepada
defendan. Defendan enggan menerima saham-saham tersebut atas alasan bahawa
beliau tidak lagi memerlukan saham-saham tersebut.

Mahkamah telah memutuskan bahawa defendan tidak terikat dengan penerimaan


plaintif kerana cadangan itu telah luput waktu kerana penerimaan telah tidak dibuat
dalam tempoh waktu yang munasabah.

(c) Kegagalan Memenuhi Syarat-syarat Penerimaan

Apabila pembuat cadangan menetapkan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh
penerima cadangan dalam membuat penerimaan, penerima mestilah mengikut syarat-
syarat yang telah ditetapkan itu secara mutlak dan tidak boleh membuat penerimaan
bersyarat. Sekiranya penerima cadangan hanya bersetuju untuk menerima sebahagian
sahaja daripada syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam cadangan atau meletakkan
syarat-syaratnya sendiri sebagai penerimaan ke atas cadangan, maka akan wujud pula
cadangan balas dan dengan itu cadangan asal akan terbatal dengan sendiri akibat
kegagalan penerima untuk memenuhi syarat-syarat cadangan secara mutlak.

Sila lihat kes Hyde v Wrench (1940) 49 ER 132 seperti yang diterangkan sebelum ini
untuk memahami dengan lebih jelas berkaitan dengan isu ini.

(d) Dengan Kematian Atau Sakit Otak Pembuat Cadangan

- 45 -
Suatu cadangan akan terbatal atau tamat dengan sendirinya apabila pembuat cadangan
meninggal dunia atau mengalami sakit otak dan keadaan ini mestilah diketahui oleh
penerima cadangan sebelum beliau membuat penerimaan cadangan.

Dalam kes Bradbury v Morgan (1862) 1 H&C 249 mahkamah memutuskan bahawa
sekiranya fakta mengenai kematian pembuat cadangan tidak diketahui oleh penerima,
maka penerimaan adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.

RUMUSAN

Cadangan atau tawaran merupakan salah satu elemen penting kontrak. Tanpa adanya
cadangan atau kegagalan cadangan dikomunikasikan kepada pihak penerima akan
menyebabkan tiada penerimaan boleh dilakukan, maka tidak wujudlah perjanjian yang
akan mengikat pihak-pihak yang terlibat. Para pelajar semestinya sudah jelas tentang
objektif utama pelajaran ini yang telah saya gariskan di permulaan perbincangan
pelajaran ini.

2.2 PENERIMAAN

Setelah menamatkan pelajaran ini, para pelajar akan berupaya untuk:-


• Memahami apakah itu penerimaan?
• Menjelaskan bagaimanakah caranya untuk menjadikan suatu penerimaan itu sah
di sisi undang-undang?
• Memahami kaedah penerimaan melalui pos.
• Mengetahui bila dan bagaimanakah pembatalan penerimaan boleh berlaku?

APAKAH ITU PENERIMAAN?

Penerimaan merupakan antara elemen penting kontrak. Ini adalah kerana cadangan
yang dibuat tanpa disertai dengan penerimaan tidak akan mewujudkan satu kontrak
yang mengikat di sisi undang-undang. Takrifan berkaitan dengan apa yang dikatakan
sebagai penerimaan dinyatakan oleh Seksyen 2(b) Akta Kontrak 1950, iaitu: ‘Apabila
orang kepada siapa cadangan itu dibuat menyatakan persetujuan terhadap

- 46 -
cadangan tersebut, maka bolehlah dikatakan bahawa cadangan telah diterima:
suatu cadangan apabila diterima, adalah menjadi janji’.

Oleh itu jelas di sini bahawa penerimaan itu berlaku apabila penerima cadangan
menyatakan persetujuannya terhadap cadangan yang dibuat oleh pembuat cadangan
kepadanya.

Walau bagaimanapun untuk mewujudkan suatu penerimaan yang sempurna di sisi


undang-undang, banyak lagi syarat-syarat yang perlu dipenuhi yang mana akan kita
huraikan dalam perbincangan seterusnya dalam pelajaran ini.

SYARAT-SYARAT SAH PENERIMAAN

Untuk mewujudkan penerimaan yang sah yang berupaya menukarkan cadangan


menjadi janji yang mengikat pembuat cadangan dalam suatu kontrak yang boleh
dikuatkuasakan oleh undang-undang, penerimaan mestilah:

(i) mutlak dan tidak bersyarat.


(ii) dinyatakan secara biasa dan munasabah atau mengikut seperti yang telah
ditetapkan oleh pembuat cadangan.
(iii) dikomunikasi kepada pembuat cadangan.
(iv) dibuat dalam jangka waktu yang ditetapkan atau munasabah.

Penerimaan Mesti Mutlak dan Tidak Bersyarat

Seksyen 7(a) Akta Kontrak 1950 menyatakan bahawa ‘Untuk menukarkan sesuatu
cadangan itu menjadi suatu janji, penerimaan mestilah mutlak dan tidak
bersyarat’.

Penerimaan secara mutlak bermaksud bahawa penerima cadangan mestilah menerima


sepenuhnya syarat-syarat yang ditetapkan oleh pembuat cadangan. Penerima
cadangan tidak boleh hanya bersetuju dengan sebahagian sahaja dari syarat-syarat
yang ditetapkan.

- 47 -
Penerimaan secara tidak bersyarat pula bererti penerima cadangan tidak boleh
mengenakan syarat-syarat lain kepada pembuat cadangan dalam persetujuannya untuk
menerima cadangan tersebut. Jika penerima cadangan meletak syarat-syarat lain
dalam persetujuan penerimaannya maka beliau dikatakan membuat cadangan balas.
Masih ingatkah anda apa yang dimaksudkan sebagai cadangan balas? Sila rujuk
semula kepada perbincangan kita yang terdahulu berkaitan dengan cadangan balas.
Juga sila rujuk kes yang berkaitan iaitu Hyde v Wrench (1840) ER 132 untuk lebih
memahami isu ini.

Penerimaan Mestilah Dinyatakan Secara Biasa Dan Munasabah Atau Mengikut


Seperti Yang Ditetapkan Oleh Pembuat Cadangan.

Seksyen 7(b) Akta Kontrak 1950 memperuntukkan bahawa ‘Untuk menukarkan


sesuatu cadangan itu menjadi suatu janji, penerimaan mestilah dinyatakan secara
biasa dan munasabah melainkan cadangan menetapkan cara bagaimana
penerimaan perlu dilakukan. Jika cadangan menetapkan cara penerimaan dan
penerimaan telah tidak dibuat secara yang demikian, pembuat cadangan boleh,
dalam jangka waktu yang munasabah selepas penerimaan dikomunikasikan
kepadanya, menegaskan bahawa cadangannya hendaklah diterima mengikut cara
yang telah ditetapkan, dan bukan secara lain; tetapi, jika beliau gagal berbuat
demikian, maka beliau menerima penerimaan tersebut’.

Seksyen ini membawa maksud bahawa penerima cadangan hendaklah menyatakan


penerimaanya terhadap cadangan secara biasa dan munasabah sesuai dengan amalan
biasa dan boleh diterima sebagai munasabah oleh masyarakat ramai. Namun
demikian, jika cadangan telah menetapkan cara tertentu untuk membuat penerimaan,
maka penerima cadangan adalah berkewajipan untuk membuat penerimaan mengikut
cara tersebut. Jika penerima cadangan membuat penerimaan dengan cara selain
daripada yang telah ditetapkan oleh pembuat cadangan, maka dalam tempoh waktu
yang munasabah pembuat cadangan boleh menegaskan kepada penerima cadangan
agar melakukan penerimaan mengikut seperti cara yang telah ditetapkan. Jika pembuat
cadangan gagal bertindak memaklumkan kepada penerima cadangan supaya

- 48 -
melakukan penerimaan mengikut cara yang beliau tetapkan, maka beliau dianggap
bersetuju dengan penerimaan yang telah dibuat dengan secara lain itu.

Penerimaan Mesti Dikomunikasikan

Penerimaan akan hanya berkesan selepas ianya dikomunikasikan kepada pembuat


cadangan. Pembuat cadangan mestilah diberitahu mengenai penerimaan terhadap
cadangan beliau. Penerimaan boleh dikomunikasikan secara perbuatan, lisan atau
bertulis tetapi tidak secara berdiam diri. Begitu juga seorang pembuat cadangan tidak
boleh menetapkan ‘berdiam diri’ oleh pihak penerima sebagai syarat penerimaan
cadangannya. Perkara ini diperjelaskan oleh kes Felthouse v Bindley (1862) 142 ER
1037. Dalam kes ini defendan (Bindley) merupakan seorang pelelong yang ditugaskan
oleh anak saudara plaintif (Felthouse) untuk menjualkan sebahagian harta dan ternakan
ladangnya termasuk seekor kuda yang mana plaintif berminat untuk membelinya.
Plaintif mengirimkan surat cadangan kepada anak saudaranya yang bernama John
menyatakan bahawa beliau bersedia membeli kuda itu dengan harga £30. Di dalam
surat kepada anak saudaranya plaintif menyatakan “Jika saya tidak mendengar apa-apa
berita daripada anda mengenai kuda itu, saya menganggap ia adalah milik saya pada
harga £30.15.” Anak saudara plaintif tidak membalas surat tersebut walaupun pada
dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan bapa saudaranya apabila beliau
mengarahkan defendan menarik balik pelelongan ke atas kudanya. Namun demikian,
kesilapan telah berlaku dan kuda tersebut telah dijual oleh defendan. Plaintif telah
menyaman defendan untuk menuntut haknya ke atas kuda tersebut. Mahkamah telah
memutuskan bahawa tidak wujud kontrak di antara plaintif dan anak saudaranya kerana
pembuat cadangan tidak boleh meletakkan syarat berdiam diri sebagai cara
penerimaan. Sikap berdiam diri anak saudaranya dengan tidak membalas surat tidak
boleh dianggap sebagai persetujuan penerimaan kepada cadangan beliau.

Daripada perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa sikap berdiam diri bukan
menandakan penerimaan.

Walau bagaimanapun terdapat pengecualian kepada prinsip umum ini bergantung


kepada fakta-fakta dalam setiap kes. Sebagai contoh, penerima cadangan sendiri boleh

- 49 -
menyatakan bahawa sikap berdiam dirinya adalah menandakan penerimaan. Atau
dalam situasi cadangan balas, berdiam diri akan dianggap sebagai penerimaan kepada
cadangan balas tersebut. Berdiam diri juga boleh dianggapkan sebagai penerimaan jika
perbuatan dan tingkah laku penerima menunjukkan beliau menerima cadangan. Juga
dalam keadaan di mana penerima telah tidak menerima cadangan mengikut cara yang
telah ditetapkan, pembuat cadangan yang berdiam diri tanpa membantah adalah
dianggap menerima penerimaan yang dibuat dengan cara yang berlainan itu seperti
yang dinyatakan oleh Seksyen 7(b) Akta Kontrak 1950. Demikian juga bagi kontrak
yang berbentuk Unilateral iaitu cadangan yang ditujukan kepada masyarakat umum,
penerimaan tidak perlu dikomunikasikan kepada pembuat cadangan. Perkara ini jelas
dinyatakan oleh Seksyen 8 Akta Kontrak 1950 iaitu ‘Perlaksanaan syarat-syarat
sesuatu cadangan, atau penerimaan apa-apa balasan untuk suatu saling janji
yang ditawarkan dengan suatu cadangan, adalah merupakan satu penerimaan
terhadap cadangan’. Seksyen ini membawa maksud bahawa jika pembuat cadangan
menawarkan sesuatu kepada sesiapa di kalangan masyarakat umum yang melakukan
suatu perkara mengikut syarat dalam cadangan mereka, maka sesiapa sahaja dari
kalangan masyarakat umum yang melaksanakan syarat-syarat tersebut dikira membuat
penerimaan tanpa perlu mengkomunikasikannya kepada pembuat cadangan. Anda
boleh merujuk kepada kes Carlill v Carbolic Smoke Ball Co’ Ltd. (1892) 2. Q.B. 484
untuk lebih memahami berkaitan perkara ini.

Penerimaan Mesti Dibuat Dalam Jangka Waktu Yang Ditetapkan Atau Munasabah

Penerimaan mestilah dibuat dalam tempoh waktu yang ditetapkan dalam cadangan atau
jika tempoh waktu penerimaan tidak ditetapkan, maka penerimaan mestilah dibuat
dalam jangka waktu yang munasabah setelah cadangan dibuat.

Isu di sini adalah sama dengan perbincangan kita yang terdahulu berkaitan dengan
penamatan cadangan seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 6(b) Akta Kontrak
1950. Seksyen ini memberi dua implikasi kepada penerimaan iaitu:-

1. Penerimaan mestilah dibuat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh
cadangan.

- 50 -
2. jika tiada tempoh masa ditetapkan oleh cadangan untuk suatu penerimaan, maka
penerimaan mestilah dibuat dalam suatu tempoh masa yang dikira munasabah
mengikut kesesuaian fakta kes.

Anda boleh rujuk kepada kes Ramsgate Victoria Hotel Co. v Montefiore (1866) L.R. 1
Ex.Ch.109 yang telah kita bincangkan sebelum ini dalam topik berkaitan Penamatan
Cadangan untuk lebih memahami isu ini.

KAEDAH PENERIMAAN MELALUI POS

Mengikut prinsip umum, penerimaan adalah lengkap apabila dikomunikasikan dan


sampai ke pengetahuan pembuat cadangan. Walau bagaimanapun terdapat
pengecualian kepada prinsip umum tersebut bagi kaedah penerimaan melalui pos.
Perkara ini dinyatakan oleh Seksyen 4(2) Akta Kontrak 1950 yang memperuntukkan:
Seksyen 4 (2) Komunikasi penerimaan adalah lengkap:-

(a) Terhadap pembuat cadangan apabila ianya dimasukkan ke dalam perjalanan


pengiriman kepada beliau dan berada di luar kuasa pihak penerima; dan

(b) Terhadap penerima cadangan, apabila ianya sampai ke pengetahuan


pembuat cadangan.

Sebagai contoh, B menerima cadangan A melalui surat yang dihantar melalui pos.
Komunikasi penerimaan adalah lengkap terhadap:-

A, apabila surat penerimaan itu diposkan oleh B.


B, apabila surat penerimaan itu diterima oleh A.

Pembuat cadangan adalah terikat dengan penerimaan apabila penerima cadangan


mengirimkan surat penerimaan walaupun surat tersebut masih belum sampai ke tangan
beliau dan masih belum mengetahui tentang penerimaan itu. Apabila surat dimasukkan
dalam perjalanan penghantaran, penerima tidak lagi mempunyai kuasa ke atas surat
tersebut, dan pada saat itu penerimaan telah mengikat pembuat cadangan tanpa
mengira apa-apa kelewatan atau kehilangan surat dalam perjalanan penghantaran itu.

- 51 -
Manakala penerimaan akan hanya lengkap dan mengikat penerima cadangan apabila
surat penerimaan diterima oleh pembuat cadangan.

Dalam kes Ignatius v Bell (1913) 2 FMSLR 115, defendan (Bell) telah membuat
cadangan untuk menjual sebidang tanah kepada plaintif (Ignatius). Dalam cadangannya
defendan menyatakan penerimaan mestilah dibuat secara bertulis dan hendaklah
diserahkan ke alamatnya di Ladang Lapan Utan, Kuala Selangor pada atau sebelum 20
Ogos 1912. Plaintif telah menghantar notis penerimaan melalui surat berdaftar pada 16
Ogos 1912. Surat tersebut tidak diserahkan ke alamat defendan sebaliknya terus
berada di pejabat pos Kuala Selangor. Apabila defendan pergi ke pejabat pos pada 25
Ogos 1912 beliau mendapati surat tersebut adalah untuk beliau. Sementara itu pada 23
Ogos 1912 defendan telah berunding dengan Mohamad Kassim untuk menjual tanah
tersebut pada harga RM5000. Plaintif menuntut perlaksanaan khas oleh Mahkamah
berkaitan urusniaga ini.

Mahkamah dengan merujuk kepada Seksyen 4(2)(a) telah memutuskan bahawa


penerimaan telah dilaksanakan sepenuhnya oleh plaintif apabila notis penerimaan di
poskan pada 16 Ogos 1912. Walaupun defendan tidak mengetahui bahawa
penerimaan telah dibuat oleh plaintif.

Hakim Lindley dalam kes Byrne v Van Tienhoven (1880) 5 CPD 344 menyatakan
bahawa “… apabila suatu cadangan dibuat dan diterima secara surat menyurat
yang dihantar melalui pos, kontrak adalah sempurna terbentuk sebaik sahaja
surat penerimaan cadangan itu diposkan walaupun surat itu tidak sampai ke
destinasinya”.

PEMBATALAN PENERIMAAN

Penerimaan masih boleh dibatalkan sebelum ianya lengkap dan mengikat penerima
cadangan. Pembatalan penerimaan hanya boleh dilakukan dalam urusniaga yang
melibatkan kaedah komunikasi melalui pos sahaja kerana terdapat perbezaan masa di
mana penerimaan lengkap terhadap pembuat cadangan dan penerima cadangan
[Rujuk Seksyen 4(2)(a) dan (b)]. Manakala dalam urusniaga yang melibatkan

- 52 -
komunikasi serta merta seperti lisan, telex, fax, telefon dan seumpamanya pembatalan
penerimaan tidak boleh dilakukan.

Perkara pembatalan penerimaan ini ditetapkan oleh Seksyen 5(2) Akta Kontrak 1950
yang menyatakan:

‘Suatu penerimaan boleh dibatalkan pada bila-bila masa sebelum


komunikasi penerimaan itu adalah lengkap terhadap penerima,
tetapi tidak selepasnya’.

Selepas anda memahami maksud Seksyen 5(2) dan Seksyen 4(2)(b), anda
seharusnya jelas mengenai bilakah pembatalan penerimaan itu boleh dibuat. Untuk
membantu anda memahami isu ini, rujuk kepada contoh berikut:-

• A membuat cadangan melalui surat yang dikirim secara pos, untuk menjual
rumahnya kepada B. B menerima cadangan itu melalui surat yang dihantar
secara pos kepada A.
• B boleh membatalkan penerimaannya pada bila-bila masa sebelum surat
penerimaan diterima oleh A.

Maknanya jika B ingin membatalkan penerimaan yang diposkan kepada A, beliau


hendaklah mengkomunikasikan pembatalannya secepat mungkin dengan menggunakan
komunikasi serta merta seperti lisan, serahan tangan, telefon, fax dan seumpamanya
sebelum surat penerimaan yang dihantar melalui pos sampai ke tangan A.

Komunikasi Pembatalan Penerimaan

Komunikasi pembatalan penerimaan ini ialah sama caranya dengan komunikasi


pembatalan cadangan yang telah kita bincangkan sebelum ini dan Seksyen yang sama
iaitu Seksyen 4(3)(a) dan (b) berkaitan dengan bilakah lengkapnya komunikasi
pembatalan terhadap orang yang membuat pembatalan dan terhadap orang yang mana
pembatalan dibuat adalah terpakai. Kita perhatikan sekali lagi peruntukkan Seksyen-
Seksyen tersebut:-

- 53 -
Seksyen 4(3) komunikasi pembatalan adalah lengkap:-

(a) terhadap orang yang membuat pembatalan apabila notis pembatalan


dimasukkan ke dalam perjalanan pengiriman kepada siapa pembatalan itu
dibuat, di mana ianya berada di luar kuasa orang yang membuatnya;

(b) terhadap orang yang mana ianya dibuat, apabila pembatalan itu sampai ke
pengetahuannya.

Anda semua harus ingat, terdapat perbezaan jelas di antara bilakah lengkapnya
komunikasi penerimaan cadangan terhadap pembuat cadangan dengan komunikasi
pembatalan penerimaan terhadap pembuat cadangan. Bagi komunikasi penerimaan, ia
adalah lengkap terhadap pembuat cadangan apabila surat diposkan oleh penerima,
manakala bagi pembatalan penerimaan ia hanya lengkap terhadap pembuat cadangan
apabila notis pembatalan tersebut diterima oleh beliau.

Anda boleh rujuk kepada kes Bryne v Van Tienhoven (1850) 5. CPD 344 yang telah
kita bincangkan terdahulu untuk lebih memahami tentang perkara ini.

2.3 BALASAN

Untuk mewujudkan suatu kontrak yang sah, selain tawaran (cadangan) dan penerimaan
ianya juga mesti disertai dengan balasan. Balasan ialah suatu perbuatan atau nilai yang
berharga yang diberikan oleh satu pihak sebagai balasan ke atas janji atau perbuatan
(atau juga penahanan diri dari berbuat sesuatu) pihak yang satu lagi. Seksyen 26 Akta
Kontrak 1950 memperuntukkan bahawa ‘Perjanjian tanpa balasan adalah tidak sah’
melainkan jika ianya termasuk dalam pengecualian mengikut sub-Seksyen a, b, dan c.

Balasan ditakrifkan oleh Seksyen 2(d) Akta Kontrak 1950 iaitu: ‘apabila, mengikut
kehendak pembuat janji, penerima janji atau mana-mana orang telah membuat atau
telah menahan diri dari membuat sesuatu, atau membuat atau menahan diri dari
membuat atau berjanji untuk membuat atau menahan diri dari membuat, sesuatu
perbuatan atau penahanan diri atau janji tersebut adalah dipanggil sebagai suatu
balasan kepada janji.’

- 54 -
Balasan ialah umpama harga yang dibayar oleh satu pihak untuk janji, perbuatan atau
penahanan diri dari melakukan perbuatan oleh pihak yang satu lagi. Hakim Lush dalam
kes Currie v Misa (1875) L.R.10 Ex. 153 menyatakan bahawa balasan itu ialah sebagai
harga yang dibayar oleh satu pihak kepada pihak yang lain. Mengikut pengertian
undang-undang, balasan boleh berbentuk hak kepentingan, keuntungan atau faedah
kepada satu pihak atau juga mungkin suatu pengorbanan, mudarat, kerugian,
kehilangan yang dibebani, dialami atau ditanggung oleh satu pihak.

Contohnya: A menyatakan kepada B jika anda dapat mencari dan menangkap ular
tedung yang ada dalam rumah saya, saya akan berikan anda RM1000.00. Maka jika B
menerima cadangan A, balasan yang perlu diberikan oleh B ialah dengan
membahayakan dirinya mencari dan menangkap ular tedung tersebut. Jika beliau
berjaya mencari dan menangkap ular tersebut, maka A terikat untuk membayar
sebanyak RM1000.00 kepada B sebagai balasan seperti yang telah dijanjikannya.

Jenis-jenis Balasan

Balasan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu balasan eksekutori, tersempurna dan
lampau.

Balasan eksekutori ialah apabila satu janji dibuat sebagai balasan untuk janji yang lain.
Ia juga dikenali sebagai janji timbal balas (reciprocity). Contohnya A bersetuju untuk
menjual keretanya kepada B dengan harga RM40,000. Maka janji B untuk membayar
RM40,00 kepada A merupakan balasan beliau kepada A yang berjanji untuk menjualkan
keretanya. Manakala janji A untuk jualkan keretanya merupakan balasan terhadap
kesediaan B untuk membayar RM40,000. Kedua-dua balasan dari kedua-dua belah
pihak dipanggil balasan eksekutori untuk janji saling balasan di antara mereka.

Balasan tersempurna ialah apabila suatu pihak menyempurnakan perbuatan seperti


yang disyaratkan dalam janji oleh pihak yang membuat janji. Contohnya A menawarkan
RM50 kepada sesiapa yaang menjumpai dan memulangkan dokumen pentingnya yang
tercicir. B menjumpai dan memulangkan dokumen tersebut kepada A. Dalam keadaan
ini balasan B terhadap A dikatakan tersempurna dan yang tinggal kini cuma balasan A
terhadap B untuk memberikan RM50 seperti yang dijanjikan.

- 55 -
Balasan lampau ialah balasan yang dilakukan sebelum janji dibuat. Contohnya A
meletakkan keretanya di suatu tempat. Tanpa disuruh oleh A, B telah mencuci kereta
tersebut. A kemudian berjanji membayar RM10 kepada B. Tindakan B yang mencuci
kereta A adalah merupakan balasan lampau. Balasan lampau selalunya tidak dikira
sebagai balasan yang boleh mewujudkan suatu kontrak seperti dalam kes Roscorla v
Thomas (1842) 3 Q.B. 234 dan Re Mc Ardle (1951) CH. 669. Namun demikian terdapat
pengecualian kepada keadaan ini seperti yang dinyatakan oleh S. 26(a), (b) dan (c).

Dalam kes Roscorla v Thomas (1842) 3. Q.B. 324, defendan (Thomas) membuat
pernyataan sebagai pertimbangan kepada pembeli (Roscorla iaitu yang juga plaintif)
yang telah membeli kuda daripadanya pada harga tertentu, maka beliau (Thomas)
menyatakan kepada plaintif bahawa ‘Kuda yang dibelinya adalah sihat dan bebas dari
sifat buruk’. Selepas itu plaintif mendapati kuda tersebut tidak seperti yang dijanjikan.
Plaintif menyaman defendan atas alasan memungkiri janji. Mahkamah memutuskan
bahawa:-

1. Penjualan bukanlah jaminan bahawa kuda tersebut sihat dan tidak bebas dari sifat
buruk.
2. Pernyataan janji yang dibuat oleh defendan ialah selepas urusan jual beli selesai.

Mahkamah seterusnya menyatakan bahawa plaintif tidak dapat membuktikan apa-apa.


Mahkamah menganggap pembelian (pembayaran harga kuda) yang merupakan balasan
yang dibuat oleh plaintif dilakukan sebelum defendan mengeluarkan janji beliau
tersebut. Ianya adalah balasan lampau, oleh itu tuntutan plaintif adalah gagal.

Manakala dalam kes Re Mc Ardle (1951) Ch. 669 pula, beberapa orang anak, menurut
wasiat yang telah ditinggalkan oleh bapa mereka telah diberikan hak ke atas sebuah
rumah apabila ibu mereka meninggal dunia. Semasa ibu mereka masih hidup, salah
seorang daripada mereka dengan isterinya telah tinggal di rumah tersebut bersama ibu
mereka. Si isteri telah membuat beberapa pembaikan dan pengubahsuaian ke atas
rumah tersebut. Beberapa lama kemudian, kesemua adik beradik telah membuat surat
yang ditujukan kepada beliau (si isteri yang membuat pengubahsuaian) menyatakan
‘sebagai pertimbangan kepada beberapa pembaikan dan pengubahsuaian ke atas
rumah yang telah dibuat oleh anda, kami dengan ini bersetuju bahawa pemegang

- 56 -
amanah akan membayar kepada anda daripada harta, apabila dibahagikan, sejumlah
£488 sebagai menjelaskan jumlah yang telah dibelanjakan ke atas pengubahsuaian dan
pembaikan’.

Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan


dan pengubahsuaian telah disempurnakan sebelum daripada dokumen janji
ditandatangani, maka ianya merupakan suatu kes balasan lampau dan dengan itu
dokumen tersebut tidak boleh digunakan sebagai kontrak yang mengikat pembuat-
pembuat janji untuk melaksanakan janji-janji mereka.

Untuk memahami dengan lebih jelas tantang prinsip balasan lampau ini, anda boleh
juga merujuk kepada kes Kepong Prospecting Ltd. V Schmidt (1968) 1 MLJ 170.

Pengecualian Kepada Prinsip Am

Suatu perjanjian atau kontrak tanpa balasan adalah tidak sah dan tidak dapat
dikuatkuasakan. Walau bagaimanapun terdapat pengecualian untuk keadaan ini di
mana perjanjian atau kontrak tanpa balasan atau dengan balasan lampau masih tetap
sah di sisi undang-undang. Pengecualian ini diberikan oleh Seksyen 26 Akta Kontrak
1950, yang menyatakan ‘Perjanjian tanpa balasan adalah batal kecuali:

(a) ianya dalam bentuk bertulis dan didaftarkan;


ianya dinyatakan secara bertulis dan didaftarkan di bawah undang-undang (jika
ada) yang pada masa tersebut berkuatkuasa untuk pendaftaran dokumen-
dokumen tersebut, dan dibuat atas dasar perasaan kasih sayang semula jadi di
antara pihak-pihak yang mempunyai pertalian rapat antara mereka; atau

(b) ianya suatu janji untuk memberi pampasan ke atas sesuatu yang telah
dilakukan terlebih dahulu; ianya adalah suatu janji untuk membayar pampasan,
secara keseluruhan atau sebahagian kepada seseorang yang telah secara
sukarela berbuat sesuatu untuk pembuat janji, atau sesuatu yang pembuat janji
bertanggungjawab untuk melakukannya di sisi undang-undang; atau

- 57 -
(c) suatu janji untuk membayar hutang yang telah disekat oleh undang-
undang limitasi; ianya adalah janji, dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh
orang yang menanggungnya atau oleh ejennya yang diberikan kuasa secara am
atau khusus untuk maksud itu, untuk membayar keseluruhan atau sebahagian
hutang yang mana pemiutang berkemungkinan menguatkuasakan tuntutannya jika
sekiranya tidak dihalang oleh limitasi saman.

Pengecualian balasan untuk perjanjian atas dasar kasih sayang semulajadi mengikut
Seksyen 26(a) mestilah:-

dinyatakan secara bertulis


(ii) didaftarkan menurut undang-undang (jika ada) pada masa
itu
(iii) dibuat berdasarkan kasih sayang semulajadi di antara pihak-pihak yang
mempunyai perhubungan yang rapat di antara mereka

Walau bagaimanapun takrif perhubungan yang rapat itu boleh berubah-ubah dalam
setiap kumpulan masyarakat bergantung kepada adat kebudayaan masing-masing.
Dalam kes Tan Soh Sim, Deceased, Re, Chan Lam Keong v Tan Saw Keong (1951)
MLJ 21, suatu perjanjian telah dibuat oleh waris mendiang Puan Tan Soh Sim bahawa
harta peninggalan beliau hendaklah dibahagikan di antara dua anak angkat perempuan
dan dua anak angkat lelakinya sebagai memenuhi hasrat mendiang Puan Tan Soh Sim.
Isu utama dalam kes ini ialah adakah anak lelaki angkat mempunyai hubungan yang
rapat dengan ayah angkat atau ibu angkatnya?

Mahkamah memutuskan isu tersebut berdasarkan adat resam masyarakat Cina iaitu
anak angkat lelaki mempunyai hubungan rapat dengan ayah angkatnya sahaja dan
bukan dengan keluarga ibu angkatnya. Oleh yang demikian dalam kes ini didapati tidak
wujudnya hubungan yang rapat di antara pihak-pihak yang berjanji, maka dengan
ketiadaan balasan serta tiadanya hubungan yang rapat, mahkamah memutuskan
perjanjian di antara mereka adalah tidak sah.

- 58 -
Pengecualian kedua dinyatakan oleh Seksyen 26(b) iaitu janji untuk memberi
pampasan keseluruhan atau sebahagian kepada seseorang yang telah berbuat sesuatu
secara sukarela untuk pembuat janji. Perbuatan itu mestilah dilakukan secara sukarela
dan bukan atas kehendak atau permintaan pembuat janji. Perkara ini dijelaskan oleh kes
J.M Wotherspoon & Co. Ltd v Henry Agency House (1962) MLJ 86. Kedua-dua plaintif
dan defendan telah bertindak sebagai ejen bagi pelbagai barangan. Plaintif merupakan
firma dari England telah menyaman defendan iaitu firma dari Malaysia menuntut
bayaran ganti rugi akibat pembeli di Malaysia yang tidak membuat bayaran. Mahkamah
Tinggi mendapati bahawa terdapat janji oleh firma Malaysia (defendan) kepada firma
England (plaintif) untuk membayar ganti rugi tetapi telah tidak disokong oleh balasan
yang membolehkan mereka menguatkuasakannya di sisi undang-undang. Jadi, isu
yang timbul dalam kes ini ialah sama ada tindakan yang dibuat lebih awal oleh firma
plaintif iaitu membekalkan barangan dari England kepada firma defendan di Malaysia
adalah merupakan suatu yang dilakukan secara sukarela?

Mahkamah telah memutuskan bahawa plaintif bertindak mengikut cadangan defendan.


Oleh itu tindakannya bukanlah sesuatu yang dilakukan secara sukarela. Maka, janji
yang dibuat oleh firma defendan untuk membayar ganti rugi kepada firma plaintif tidak
dapat dikuatkuasakan mengikut pengecualian Seksyen 26(b) kerana tindakan firma
plaintif yang membekalkan barangan daripada England kepada firma defendan tidak
dibuat secara sukarela tetapi adalah atas permintaan firma defendan.

Pengecualian ketiga juga dinyatakan oleh Seksyen 64(b) iaitu janji untuk membayar
pampasan kepada seseorang yang telah melakukan sesuatu yang pembuat janji
bertanggungjawab dari segi undang-undang untuk melakukannya. Perkara ini dijelaskan
oleh ilustrasi (d) dalam Seksyen 26 Akta Kontrak 1950 iaitu ‘A menanggung anak B. B
berjanji akan membayar balik semua perbelanjaan A dalam memelihara anak B. Ini
merupakan kontrak’. Ilustrasi ini menunjukkan bahawa A telah melakukan sesuatu yang
merupakan tanggungjawab B dari segi undang-undang iaitu memelihara dan menjaga
anak B yang sepatutnya dilakukan oleh B sendiri. Maka janji B untuk membayar A atas
setiap sen yang telah dikeluarkannya merupakan janji yang sah dan mengikat dari segi
undang-undang mengikut Seksyen 64(b) ini.

- 59 -
Pengecualian keempat dinyatakan oleh Seksyen 64(c) iaitu berkaitan dengan janji
orang yang berhutang untuk membayar hutang yang telah pun luput masa untuk
membuat tuntutan oleh orang yang memberi hutang (pemiutang). Jika si berhutang atau
ejennya membuat perakuan secara bertulis untuk membayar keseluruhan atau
sebahagian dari hutang yang telah luput masa untuk dibuat tuntutan oleh pemiutang,
maka janji tersebut adalah sah dan boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang
walaupun tanpa ada balasan daripada pemiutang.

Balasan Yang Setimpal

Balasan dengan nilai yang setimpal adalah tidak penting. Perkara ini dibuktikan oleh
Penjelasan 2 dalam Seksyen 26 yang menyatakan ‘Suatu perjanjian di mana
persetujuan pembuat janji telah diberi secara sukarela tidak akan terbatal hanya kerana
balasan adalah tidak mencukupi, akan tetapi ketidakcukupan balasan akan diambilkira
oleh mahkamah dalam menentukan persoalan sama ada persetujuan pembuat janji
telah diberikan dengan rela’. Perkara ini diperjelaskan oleh ilustrasi (f) dalam seksyen
yang sama yang memberikan contoh berikut: ‘A bersetuju untuk menjual kudanya yang
bernilai RM1000 pada harga cuma RM10. Persetujuan A kepada perjanjian telah
diberikan dengan sukarela. Perjanjian tersebut merupakan kontrak yang sah sekalipun
balasan yang diberikan tidak setimpal’.

Dalam kes Phang Swee Kim v Beh I Hock (1964) MLJ 383, respondan (Beh) bersetuju
untuk melakukan pindah milik sekeping tanah kepada perayu (Phang) dengan bayaran
RM500 apabila tanah itu dipecah bahagi walaupun sebenarnya tanah tersebut
mempunyai nilai yang lebih tinggi. Responden kemudiannya telah memungkiri janji
dengan mengatakan bahawa perjanjian tersebut tidak boleh dikuatkuasakan. Mahkamah
yang lebih rendah telah membuat keputusan yang menyebelahi responden apabila
menyatakan perjanjian itu tidak sah kerana balasan tidak setimpal. Perayu telah
membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan yang kemudiannya telah memansuhkan
keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah dengan menggunakan
Penerangan 2 dan ilustrasi (f) Seksyen 26 Akta Kontrak 1950. Dalam penghakimannya,
hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan persetujuannya dengan kenyataan yang
dibuat oleh Ketua Hakim Westropp dalam kes dari India iaitu Kedari bin Ranu v

- 60 -
Atmarambat (1965-67) 3 BHCR II, 18, 19 yang menyatakan ‘Balasan tidak setimpal
apabila didapati bersama-sama dengan keadaan lain seperti penyembunyian nilai harta,
salah nyata, fraud, kejutan, penindasan, keperluan segera wang, kelemahan
persefahaman, ataupun kejahilan adalah faktor yang diambil kira oleh Mahkamah Ekuiti
dalam memutuskan sama ada ia patut mengenepikan kontrak, atau enggan
memerintahkan perlaksanaan spesifik kepada mereka’. Dengan itu perayu telah
memenangi kes ini apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan
menyebelahinya dengan menyatakan bahawa balasan yang tidak mencukupi bukanlah
alasan untuk menjadikan suatu perjanjian itu batal. Ketidakcukupan nilai balasan
mestilah disertakan dengan keadaan-keadaan lain bagi membuktikan tiadanya kerelaan
bebas dalam persetujuan oleh pembuat janji.

Balasan Tidak Semestinya Datang Daripada Penerima Janji

Berlainan dengan undang-undang Common Law England yang memerlukan balasan


dibuat oleh penerima janji, undang-undang di Malaysia tidak menetapkan balasan perlu
dibuat oleh penerima janji. Mana-mana pihak boleh melaksanakan balasan bagi pihak
penerima janji. Ini dijelaskan oleh Seksyen 2(d) Akta Kontrak 1950 yang antara lain
memperuntukkan bahawa ‘Menurut kehendak pembuat janji, apabila penerima janji
atau sesiapa sahaja yang telah membuat atau telah menahan diri dari membuat
sesuatu maka perbuatan atau penahanan diri atau janji itu adalah disebut balasan
untuk janji itu’.

Perkara ini diperjelaskan oleh sebuah kes dari India iaitu Venkata Chinnaya v
Verikatara’ma’ya (1881) I.L.R. 4 Mad 137 di mana dalam kes ini, seorang kakak telah
bersetuju membayar anuiti sebanyak 653 rupee kepada adik beradik lelakinya yang
tidak memberikan apa-apa balasan pada janji itu. Bagaimanapun, emak mereka telah
memberikan beberapa bidang tanah dengan syarat si kakak mesti membayar anuiti
kepada adik beradik lelakinya. Apabila si kakak gagal bayar anuiti, adik beradik lelakinya
telah mendakwanya. Mahkamah memutuskan bahawa si kakak bertanggungjawab ke
atas perjanjian tersebut dengan alasan terdapat balasan yang sah bagi janji itu
walaupun ia datang dari pihak lain.

- 61 -
Pengetepian Pelaksanaan

Seksyen 64 Akta Kontrak 1950 menyatakan ‘setiap penerima janji boleh mengetepikan
atau mengurangkan keseluruhan atau sebahagian daripada pelaksanaan janji yang
dibuat kepadanya, atau boleh melanjutkan masa bagi pelaksanaan tersebut atau boleh
menerima sebagai ganti sebarang perkara lain yang memuaskannya yang pada
fikirannya adalah berpatutan’. Seksyen ini memberikan tiga implikasi iaitu:-

(i) penerima janji boleh membebaskan atau mengurangkan sebahagian atau


keseluruhan daripada pelaksanaan janji.
(ii) penerima janji boleh melanjutkan masa untuk pelaksanaan janji.
(iii) penerima janji boleh menerima sebagai ‘ganti’ sebarang bentuk pemenuhan janji
yang dia fikir berpatutan.

Kes yang berkaitan ialah Karpa Singh v Bariam Singh (1966) 1 MLJ 38. Defendan
(Bariam) berhutang kepada plaintif sebanyak RM8869.94. Anak lelaki defendan menulis
surat kepada plaintif menawarkan RM4000 sebagai penyelesaian sepenuhnya ke atas
hutang bapanya. Beliau telah mengirimkan cek dalam jumlah tersebut kepada plaintif
dan mensyaratkan jikalau tidak bersetuju, plaintif dikehendaki memulangkan cek
tersebut. Peguam plaintif telah menunaikan cek dan memegang wang tersebut.
Seterusnya peguam plaintif cuba mendapatkan baki hutang tersebut dengan
mengeluarkan notis kebankrapan terhadap defendan. Mahkamah Persekutuan telah
memutuskan bahawa penerimaan cek daripada anak defendan merupakan
penyelesaian sepenuhnya hutang yang menghalang plaintif daripada menuntut baki
hutang tersebut daripada defendan. Keputusan hakim ini dibuat dengan bersandarkan
kepada Seksyen 64 serta ilustrasi (c) dalam seksyen yang sama, para pelajar disyorkan
supaya memahami ilustrasi-ilustrasi yang disertakan dalam akta agar mendapat
pemahaman yang lebih jelas.

2.4 NIAT UNTUK MEWUJUDKAN HUBUNGAN DI SISI UNDANG-UNDANG

Apakah niat?

- 62 -
Niat merupakan suatu yang sukar untuk ditentukan. Kita tidak berupaya untuk kenal
pasti niat sebenar seorang individu sama ada melalui kata-katanya mahupun melalui
perbuatannya. Akta Kontrak 1950 juga tidak mempunyai peruntukan jelas mengenai
keperluan elemen ‘niat’ dalam mewujudkan suatu kontrak yang sah. Walau
bagaimanapun jika kita perhatikan dalam Seksyen 2(a) terdapat keadaan ‘dengan
maksud’ manakala dalam Seksyen 2(d) pula mengandungi perkataan ‘kehendak’,
kedua-dua seksyen tersebut secara amnya menekankan eleman niat perlu ada dalam
mewujudkan kontrak yang mengikat.

Oleh itu untuk menentukan sama ada terdapat niat untuk mewujudkan hubungan di sisi
undang-undang di kalangan pihak-pihak yang berkontrak, mahkamah selalunya akan
melihat kepada bentuk perjanjian sama ada ianya perjanjian domestik (kekeluargaan)
atau perjanjian komersial. Perjanjian domestik atau kekeluargaan di antara suami isteri,
adik beradik, saudara-mara, anak-ibu, anak-bapa dan juga di antara rakan-rakan
selalunya dianggap tidak disertai dengan niat untuk mewujudkan hubungan di sisi
undang-undang. Namun demikian anggapan ini boleh disangkal jika fakta kes atau
bukti-bukti menunjukkan sebaliknya. Perjanjian komersial pula melibatkan urusan-
urusan perniagaan antara dua atau lebih pihak. Anggapan umum ialah perjanjian jenis
ini sememangnya disertai dengan niat untuk mewujudkan hubungan di sisi undang-
undang. Namun demikian jika terdapat bukti yang menunjukkan sebaliknya maka
mahkamah boleh menentukan sama ada ianya perjanjian yang mengikat atau tidak.

Perjanjian Domestik

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, perjanjian domestik adalah dianggap tidak
disertakan dengan niat untuk mewujudkan hubungan di sisi undang-undang. Namun
demikian anggapan ini tidaklah terpakai kepada semua kes. Terdapat kes-kes dalam
perjanjian domestik yang diputuskan oleh mahkamah sebagai mempunyai niat untuk
mewujudkan perhubungan di sisi undang-undang. Semuanya bergantung kepada fakta-
fakta dan bukti-bukti dalam setiap kes.

Dalam kes Balfour v Balfour (1919) 2 KB 571, defendan iaitu si suami merupakan
seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di Ceylon. Semasa kedua-dua mereka balik

- 63 -
bercuti di England, si isteri mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat mengikut si
suami pulang ke Ceylon. Si suami telah berjanji untuk memberikan kepada si isteri
sebanyak £30 sebulan sebagai perbelanjaan selama masa mereka tinggal berjauhan.
Apabila si suami gagal membayar, si isteri telah membuat tuntutan di mahkamah.
Mahkamah memutuskan bahawa tidak ada niat untuk mewujudkan hubungan di sisi
undang-undang. Oleh itu tindakan isteri telah gagal. Dalam kes ini Ketua Hakim Atkin
telah menyatakan ‘Adalah perlu diingat bahawa sesetengah perjanjian tidak boleh
dianggap sebagai kontrak yang sah di sisi undang-undang. Contohnya adalah seperti
bilamana dua pihak bersetuju untuk berjalan bersama ataupun adanya tawaran dan
penerimaan berkaitan layanan baik (hospitality). Salah satu bentuk biasa perjanjian yang
tiada niat untuk mewujudkan hubungan di sisi undang-undang ialah perjanjian yang
dibuat diantara suami dan isteri ...’

Dalam kes Jones v Padavatton (1969) 2 AII ER 616, plaintif (Jones) telah berjanji
dengan defendan (Padavatton) yang juga anak perempuannya, jika defendan berpindah
ke England dan mengikuti pengajian dalam jurusan undang-undang, plaintif akan
memberikan elaun bulanan. Defendan telah berbuat seperti yang plaintif minta dalam
tahun 1962. Pada tahun 1964, plaintif telah membeli sebuah rumah di London.
Sebahagian rumah tersebut didiami defendan manakala sebahagian lagi disewakan dan
duit sewaan diberikan kepada defendan sebagai elaun bulanan. Pada tahun 1967
plaintif dan defendan berbalah dan plaintif telah mengambil tindakan mahkamah untuk
menuntut pemilikan rumah tersebut. Mahkamah telah memutuskan perjanjian di antara
ibu dan anak perempuan ini sebenarnya tidak mempunyai niat untuk mewujudkan
perhubungan di sisi undang-undang.

Kes-kes berikut adalah bertentangan dengan andaian umum bahawa perjanjian


domestik tidak mempunyai niat untuk mewujudkan hubungan di sisi undang-undang.
Dalam kes Merrit v Merrit (1970) 2 AII ER 760, si suami meninggalkan rumah. Rumah
tersebut adalah atas nama bersama suami dan isteri, dan dicagarkan kepada ‘building
society’. Si suami meninggalkan rumah dan isterinya untuk hidup dengan perempuan
lain. Si suami dan si isteri berjumpa dan berbincang dalam kereta si suami yang mana si
suami bersetuju untuk membayar kepada isterinya £40 sebulan dengan persetujuan
bahawa si isteri mesti membayar baki pinjaman rumah mereka. Si isteri enggan

- 64 -
meninggalkan kereta selagi si suami tidak merekodkan persetujuan tersebut secara
bertulis dan si suami menulis dan tandatangan di atas sehelai kertas yang menyatakan
‘sebagai balasan ke atas pembayaran yang anda lakukan berkaitan dengan rumah ...
sehingga masa pembayaran ansuran rumah selesai, saya bersetuju untuk menyerahkan
harta tersebut di bawah milikan penuh anda’. Selepas si isteri menjelaskan kesemua
baki pinjaman, si suami telah enggan memindah hak milik secara keseluruhan kepada si
isteri. Mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa pihak-pihak yang terlibat
mempunyai niat untuk mewujudkan hubungan di sisi undang-undang dan tindakan
saman oleh si isteri terhadap si suami atas perlanggaran kontrak adalah dibenarkan.

Dalam kes Simpskin v Pays (1955) 3 AII ER10, defendan (Pays) memiliki sebuah rumah
yang didiami bersama dengan Miss X, cucu perempuannya dan plaintif (Simpskin)
seorang penyewa. Mereka bertiga secara bersama setiap minggu, mengambil bahagian
dalam peraduan yang dianjurkan oleh akhbar mingguan. Penyertaan telah dibuat atas
nama defendan tetapi tiada peraturan berkaitan dengan bayaran pos dan lain-lain
perbelanjaan. Penyertaan yang mereka hantar telah berjaya dan defendan telah
mengambil hadiah bernilai £750. Plaintif menuntut 1/3 bahagian untuknya tetapi telah
ditolak oleh defendan dengan alasan bahawa tiada niat untuk mewujudkan hubungan
undang-undang, hanya keseronokan persahabatan. Hakim Sellers memberikan
penghakiman yang berpihak kepada plaintif. Hakim bersetuju bahawa ‘terdapat banyak
pergaulan kekeluargaan di mana kenyataan-kenyataan yang dibuat tidak mewujudkan
kontrak’ tetapi dalam kes ini, hakim berpendapat bahawa wujudnya ‘kepentingan
bersama dalam persiapan pihak-pihak yang terlibat. Ia adalah usaha bersama di mana
setiap seorang menyumbang dengan jangkaan untuk berkongsi hadiah yang
dimenangi’.

Perjanjian Komersial

Anggapan umum bahawa dalam setiap perjanjian komersial disertakan dengan niat
untuk mewujudkan hubungan di sisi undang-undang. Adakah anggapan ini terpakai
untuk semua kes dan keadaan? Kita lihat dalam kes berikut:-
Dalam kes Rose & Frank Co. v JR Crompton & Bros Ltd. (1925) AL 445, plaintif
(Rose & Frank Co.) adalah sebuah firma di New York yang terlibat dalam

- 65 -
perusahaan berkaitan dengan ‘carbonizing papers’. Defendan (JR Crompton &
Bros. Ltd.) adalah pengeluar bahan-bahan tersebut di England. Pada Julai 1913,
mereka membuat persetujuan bertulis di mana defendan memberikan plaintif hak-
hak tertentu untuk menjual produk-produk mereka di US dan Kanada untuk
tempoh tiga tahun dengan pilihan boleh menyambung tempoh tersebut. Perjanjian
tersebut mempunyai klausa yang dipanggil sebagai ‘klausa ikrar kehormat’
(Honorable pledge clause) yang menyatakan: “Persetujuan ini adalah tidak
termasuk malahan tidak merupakan memorandum bertulis sebagai suatu yang
rasmi atau perjanjian undang-undang, dan tidak akan tertakluk kepada bidang
kuasa undang-undang dalam mana-mana mahkamah undang-undang sama ada di
US atau England, tetapi hanyalah suatu pernyataan tertentu dan rekod berkaitan
tujuan dan niat pihak-pihak yang berkaitan yang mana setiap daripada mereka
secara terhormat mengikat diri mereka”.

Persetujuan di antara mereka dilanjutkan sehingga 1920. Tetapi pada 1919 defendan
telah menamatkan persetujuan tersebut tanpa memberikan notis yang sepatutnya,
seperti mana yang tersebut dalam persetujuan. Mereka selanjutnya enggan
melaksanakan pesanan-pesanan yang diterima sebelum tarikh penamatan persetujuan
plaintif menyaman defendan di atas:-

1. kerugian pelanggaran persetujuan, dan


2. ketiadaan barangan seperti mana yang dipesan

Mahkamah memutuskan bahawa tidak wujud niat di sisi undang-undang dengan sebab
adanya klausa tersebut. Jadi plaintif tiada asas untuk menyaman defendan atas sebab
pelanggaran kontrak. Untuk yang kedua, mahkamah melihat pesanan-pesanan yang
dibuat adalah berasingan daripada perjanjian 1913 dan memutuskan bahawa pesanan-
pesanan tersebut telah diterima oleh defendan dan wajiblah dipatuhi.

Daripada fakta dan bukti kes ini, dapatlah kita simpulkan bahawa meskipun perjanjian
komersial di andaikan termuat di dalamnya niat untuk mewujudkan hubungan di sisi
undang-undang, andaian ini boleh disangkal jika dalam perjanjian tersebut terdapat

- 66 -
kenyataan yang jelas dan pasti bahawa kedua-dua pihak tidak berniat mengadakan
suatu hubungan yang mengikat.

Kebiasaannya mahkamah akan melihat fakta-fakta kes untuk menentukan sama ada
wujud niat untuk menjalinkan hubungan di sisi undang-undang di antara pihak-pihak
yang berkontrak tidak kira sama ada ianya perjanjian yang bersifat domestik ataupun
komersial.

2.5 KEUPAYAAN UNTUK BERKONTRAK

Di samping elemen-elemen penting kontrak seperti cadangan, penerimaan, balasan


serta niat untuk mewujudkan perhubungan di sisi undang-undang, pihak-pihak yang
berkontrak mestilah mempunyai keupayaan untuk berkontrak.

Seksyen 11 Akta Kontrak 1950 menyatakan ‘setiap orang adalah layak membuat
kontrak sekiranya ia dewasa menurut undang-undang yang ia tertakluk, dan sekiranya ia
berakal sempurna, dan tidak hilang kelayakan untuk membuat kontrak menurut mana-
mana undang-undang yang mana ia tertakluk’.

Daripada Seksyen 11 tadi dapat kita simpulkan bahawa untuk mempastikan seseorang
itu layak atau berkeupayaan untuk berkontrak, beliau mestilah:

(i) Dewasa – mengikut Akta Umur Dewasa 1971 takrifan dewasa di Malaysia ialah
apabila mencapai umur 18 tahun.
(ii) Berakal sempurna – tidak gila, tidak terencat akal dan lain-lain.
(iii) Tidak hilang kelayakan – atas sebab muflis dan sebagainya.

Keupayaan Umur Dewasa

Berdasarkan Seksyen 11 kontrak yang dibuat oleh kanak-kanak adalah batal kerana
tidak mempunyai keupayaan untuk berkontrak. Dalam kes Tan Hee Juan v Teh Boon
Keat (1934) MLJ 96, plaintif adalah seorang kanak-kanak. Beliau telah memindah milik
tanah kepunyaannya kepada pihak lain. Setelah pindah milik tersebut di sempurnakan,
plaintif memohon melalui wakilnya agar pindah milik tersebut dibatalkan. Mahkamah

- 67 -
telah memutuskan bahawa pindah milik tersebut adalah batal dan tanah tersebut
dikembalikan kepada plaintif. Hakim menyatakan bahawa “Majlis Privy telah
memutuskan bahawa kesan Seksyen 10 dan 11 Akta Kontrak India (melalui kes Mohori
Bibee v Dhurmodas Ghose [1903] I.L.R 30 Cal. 539) ialah kanak-kanak tidak boleh
membuat kontrak dan kontrak yang dibuat oleh kanak-kanak bukan sahaja boleh batal
tetapi batal..... keputusan Majlis Privy adalah mengikat mahkamah ini dan dengan
demikian adalah tidak diragui bahawa pindah milik tersebut adalah batal”.

Walaupun terdapat sekatan ke atas kanak-kanak dari berkontrak, namun dalam


beberapa keadaan tertentu, kanak-kanak dibenarkan membuat kontrak contohnya
kontrak perkahwinan, kontrak keperluan hidup, kontrak biasiswa dan kontrak insuran.

Kontrak Perkahwinan

Kanak-kanak yang di bawah umur dewasa boleh memasuki kontrak perkahwinan dan
kontrak tersebut adalah sah serta dapat dikuatkuasakan di mahkamah. Dalam kes
Rajeswary & Anor v Balakrishnan & ors (1958) 3 MC 178, kedua-dua plaintif dan
defendan adalah berketurunan Ceylon yang beragama Hindu. Plaintif telah ditunangkan
dengan defendan dan perjanjian untuk berkahwin telah dibuat. Tidak lama kemudian,
defendan telah memungkiri janji. Plaintif telah menuntut ganti rugi dan meminta semua
hadiah dikembalikan. Pihak defendan enggan berbuat demikian atas alasan bahawa
kontrak perkahwinan tersebut adalah tidak sah kerana semasa kontrak dibuat plaintif
tidak berkeupayaan untuk berkontrak kerana masih di bawah umur. Mahkamah telah
memutuskan bahawa kontrak perkahwinan adalah sah dan dapat dikuatkuasakan
walaupun pihak-pihak yang terlibat adalah kanak-kanak. Ini adalah kerana kontrak
perkahwinan termasuk dalam pengecualian kepada prinsip am bahawa kanak-kanak
tidak boleh membuat kontrak.

Kontrak Keperluan Hidup

Seksyen 69 Akta Kontrak 1950 menyatakan ‘jika seseorang yang tidak berdaya
membuat kontrak, atau sesiapa yang terikat di sisi undang-undang untuk menanggung,
dibekalkan oleh seorang lain dengan keperluan yang sesuai dengan keadaan hidupnya,
maka orang yang membekalkan sedemikian berhak dibayar ganti dari harta orang yang

- 68 -
tidak berdaya itu. Menurut Seksyen 69 keperluan yang dibekalkan kepada kanak-kanak
mestilah yang sesuai dengan keperluan hidupnya. Dalam kes Nash v Inman (1908) 2
KB 1, defendan (Inman) merupakan seorang pelajar Universiti Cambridge, beliau telah
menempah 11 helai ‘waistcoat’ daripada plaintif (Nash) iaitu seorang tukang jahit.
Defendan telah gagal mengambil pakaian tersebut dan menyebabkan plaintif menyaman
beliau untuk mendapatkan pembayaran. Mahkamah memutuskan bahawa defendan
telah dibekalkan dengan keperluan pakaian yang secukupnya mengikut keadaan
hidupnya, pada pandangan Mahkamah, 11 helai ‘waistcoat’ yang telah ditempah oleh
defendan bukan merupakan barangan yang diperlukan oleh beliau. Maka tuntutan
plaintif telah tidak berjaya.

Kontrak Biasiswa

Disebabkan kes Gurcharan Singh, kerajaan telah membuat pindaan secara khusus
pada tahun 1976 untuk menangani persoalan perjanjian pemberian biasiswa kepada
para pelajar yang masih di bawah umur. Seksyen 4(a) Akta Kontrak (pindaan) 1976
menyatakan ‘Tanpa mengambil kira apa-apa yang bertentangan yang terkandung di
dalam Akta asal, tiada perjanjian biasiswa akan menjadi tidak sah atas alasan bahawa
pelajar yang membuat perjanjian belum mencapai umur dewasa’. Implikasi Seksyen ini
ialah suatu perjanjian biasiswa adalah sah dan mengikat walaupun pihak-pihak kepada
kontrak tersebut masih lagi belum mencapai umur dewasa.

Dalam kes kerajaan Malaysia v Gurcharan Singh & Ors (1971) 1 MLJ 211, defendan
telah diberikan biasiswa oleh kerajaan Malaysia untuk melanjutkan pelajaran. Mengikut
perjanjian biasiswa, defendan dikehendaki berkhidmat dengan kerajaan Malaysia untuk
tempoh lima tahun selepas menamatkan pengajiannya. Defendan melanggar perjanjian
tersebut apabila beliau hanya berkhidmat untuk tempoh tiga tahun sepuluh bulan
sahaja. Kerajaan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan dan
penjamin-penjaminnya bagi menuntut sejumlah RM 11500. Hakim Chang Min Tat
semasa membuat keputusan telah merujuk kepada kes Inggeris Chapple v Cooper
(1884) 13 M & W 252 yang memutuskan bahawa di antara keperluan bagi kanak-kanak
adalah makanan dan pakaian. Selain daripada itu, pelajaran juga merupakan keperluan
kepada kanak-kanak supaya mereka menjadi rakyat yang berguna. Defendan telah

- 69 -
diarahkan membayar balik biasiswa yang dituntut kerana pendidikan merupakan satu
keperluan hidup untuk kanak-kanak.

Kontrak Insuran

Akta Insuran 1963 (semakan 1972) menyenaraikan keadaan-keadaan di mana kanak-


kanak boleh membuat kontrak insuran untuk menginsurankan diri dan harta dari apa-
apa keadaan luar jangka. Seorang kanak-kanak dibenarkan membuat kontrak sekiranya
dia berusia 10 tahun ke atas. Namun demikian, keizinan bertulis dari penjaganya adalah
diperlukan sekiranya kanak-kanak tersebut berusia dibawah 16 tahun.

Salah Nyata Umur

Bagaimana pula keadaannya jika seoarang kanak-kanak memperdayakan pihak lain


untuk percaya bahawa beliau telah mencapai umur dewasa dan memasuki kontrak
dengannya? Dalam Comman Low adalah jelas bahawa kanak-kanak tidak
bertanggungjawab dalam apa-apa bentuk helah sekiranya dia melalui salah nyata palsu
telah mendorong seorang untuk membuat kontrak dengannya. Perkara ini dijelaskan
oleh kes Natesan v Thanaletchumi & Anor ( 1952) MLJ 1, mahkamah telah memutuskan
bahawa kanak-kanak yang telah mempengaruhi atau memperdayakan orang lain untuk
berkontrak dengannya melakukan penipuan mengenai umurnya, tidak dihalang dari
membatalkan kontrak tersebut.

Begitu juga dalam kes Mohamad Syedol Ariffin v Yeoh Ooi Gark (1916) 2 AC 575,
seorang pemberi pinjaman telah membuat tuntutan ke atas seorang kanak-kanak yang
diberi pinjaman. Mahkamah memutuskan bahawa tindakan undang-undang tidak boleh
diambil terhadap kanak-kanak yang menipu umurnya.

Keupayaan Berakal Sempurna

Seksyen 12(1) menyatakan ‘seseorang adalah dikatakan berakal sempurna untuk


berkontrak jika pada masa ia membuat kontrak itu, ia berupaya memahami kontrak yang
diperbuatnya dan berkeupayaan membuat pertimbangan yang rasional terhadap kesan
atas kepentingannya’. Implikasi daripada Seksyen 12(1) di atas ke atas keupayaan
berakal sempurna untuk berkontrak ialah:-

- 70 -
(i) Pada masa membuat kontrak, beliau memahami kontrak yang dibuat.
(ii) Boleh membuat pertimbangan yang rasional terhadap kesan kontrak atas
kepentingannya.

Seksyen 12(2) pula ialah berkaitan dengan kebenaran ke atas seseorang yang tidak
berakal sempurna boleh membuat kontrak pada masa beliau berakal sempurna
manakala Seksyen 12(3) pula ialah berkaitan larangan ke atas orang yang lazimnya
berakal sempurna untuk membuat kontrak pada masa ia tidak berakal sempurna.

Mengikut prinsip am, semua kontrak yang dibuat oleh orang yang tidak sempurna akal
boleh dibatalkan atas opsyen orang itu sendiri dengan syarat pihak yang satu lagi
mengetahui tentang keadaan ketidaksempurnaan akalnya. Dalam kes Asia Commercial
Finance (M) Bhd. v Yap Bee Lee & Ors (1991) 1 CLJ 271, mahkamah memutuskan
bahawa sekiranya defendan yang tidak sempurna akal itu ingin membatalkan
kontraknya dengan pihak plaintif, defendan hendaklah membuktikan bahawa beliau
tidak sempurna akal dan plaintif mengetahui keadaan tersebut semasa kontrak dibuat.
Manakala dalam kes Che Som bt Yip & Ors v Maha Pte Ltd. & Ors (1989) 3 MLJ 469,
mahkamah memutuskan bahawa pihak bank tidak mengetahui ia berurusan dengan
orang yang tidak sempurna akal semasa plaintif menandatangani perjanjian gadaian.
Oleh itu, kontrak di antara kedua-dua pihak adalah sah.

Daripada kes-kes yang dibincangkan di atas, kita boleh rumuskan bahawa bebanan
untuk membuktikan ketidakupayaan akal terletak pada pihak yang ingin membatalkan
kontrak atas alasan tidak sempurna akal. Pihak tersebut mestilah membuktikan dua
perkara berikut:-

(i) ia tidak sempurna akal semasa berkontrak.


(ii) pihak yang satu lagi mengetahui fakta bahawa ia tidak sempurna akal semasa
kontrak dibuat.

- 71 -
Keupayaan Dari Segi Tidak Hilang Kelayakan Untuk Berkontrak

Seksyen 11 juga memperuntukkan bahawa seseorang yang ingin membuat kontrak


mestilah seseorang yang tidak hilang kelayakan akibat ditegah oleh mana-mana
undang-undang secara khusus untuk berkontrak. Hilang kelayakan akibat ditegah oleh
undang-undang ini bermaksud pihak yang diiktiraf oleh undang-undang sebagai tidak
lagi layak untuk terlibat dalam sebarang urusniaga dan kontrak seperti mereka yang
diisytiharkan muflis.

2.6 KETENTUAN

Untuk mewujudkan suatu kontrak yang sah, bahasa yang digunakan mestilah jelas,
syarat-syarat kontrak mestilah boleh ditentukan dengan pasti dan dipersetujui oleh
kedua-dua pihak. Seksyen 30 Akta Kontrak 1950 memperuntukkan bahawa ‘Perjanjian-
perjanjian yang mana maknanya tidak nyata atau tidak berupaya untuk ditentukan
adalah batal’. Implikasi Seksyen ini ialah hanya perjanjian yang mempunyai makna yang
jelas, dan boleh ditentukan maksudnya sahaja yang akan menjadi sah dan boleh
dikuatkuasakan sebagai kontrak yang mengikat.

Faktor Yang Menentukan Ketentuan

Terdapat dua faktor dalam menentukan sesuatu perjanjian itu mempunyai ketentuan
atau tidak, iaitu:-

(i) bahasa yang digunakan


(ii) persetujuan berkaitan perkara utama perjanjian

Apabila sesuatu perjanjian itu mengandungi bahasa yang kabur atau makna yang
samar, perjanjian tersebut adalah batal. Suatu perjanjian juga boleh menjadi batal
sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai perkara pokok atau
syarat utama dalam perjanjian tersebut. Dalam kes Karuppan Chetty v Suah Thian
(1916) 1FMSLR 300, suatu perjanjian pajakan telah dibuat di mana kadar pajakan ialah

- 72 -
sebanyak RM35 sebulan, manakala tempoh pajakan pula dinyatakan sebagai ‘seberapa
lama yang disukai‘. Mahkamah memutuskan bahawa perjanjian tersebut adalah batal
kerana tempoh masa pajakannya tidak boleh ditentukan. Untuk lebih memahami
berkaitan dengan isu ketentuan ini elok sekiranya para pelajar dapat mengikuti ilustrasi-
ilustrasi yang diberikan di bawah Seksyen 30 Akta Kontrak 1950. Kita perhatikan
sebahagian dari ilustrasi yang diberikan:-

Ilustrasi A

A bersetuju untuk menjual kepada B ‘100 tan minyak’. Tiada apa-apa yang boleh
menunjukkan jenis minyak yang dimaksudkan. Perjanjian adalah batal akibat tiada
ketentuan.

Ilustrasi C

A, seorang pembekal minyak kelapa bersetuju untuk menjual kepada B ‘100 tan
minyak’. Jenis perniagaan A boleh memberikan petunjuk mengenai makna perkataan,
dan A memasuki kontrak untuk menjual 100 tan minyak kelapa. Perjanjian ini adalah
tertentu dan sah di sisi undang-undang.

Ilustrasi F

A bersetuju untuk menjual kepada B ‘kuda putih saya untuk RM500 atau RM1000’.
Tiada apa-apa yang boleh menunjukkan yang mana satu di antara dua harga tersebut
yang diberikan oleh A sebagai harga jualan. Perjanjian ini batal.

Ketentuan merupakan syarat untuk sesuatu perjanjian menjadi sah. Sekiranya bahasa
yang digunakan dalam perjanjian itu kabur, tidak jelas atau mengelirukan maka
perjanjian tersebut disifatkan sebagai tidak mempunyai ketentuan dan batal. Begitu juga
sekiranya kedua-dua pihak kepada perjanjian tidak atau gagal bersetuju mengenai
perkara utama perjanjian, maka perjanjian tersebut juga batal. Oleh itu adalah penting
apabila kita membuat draf kontrak, bahasa yang digunakan mestilah jelas dan tepat
serta interpretasi berkaitan dengan perkara utama perjanjian mestilah dipersetujui oleh
kedua-dua belah pihak.

- 73 -
2.7 KERELAAN BEBAS

Prinsip am menetapkan bahawa sesuatu kontrak hanya akan menjadi sah sekiranya ia
dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang berkontrak, tanpa ada apa-apa tekanan
daripada mana-mana pihak. Seksyen 10(1) Akta Kontrak 1950 menegaskan bahawa
‘semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak
membuat kontrak, untuk sesuatu balasan yang sah dan dengan tujuan yang sah dan
tidak ditetapkan dengan nyata dibawah peruntukan akta ini bahawa ianya batal. Apakah
yang membentuk kerelaan? Kerelaan itu ditakrifkan oleh Seksyen 13 sebagai ‘dua atau
lebih pihak dikatakan sebagai berkerelaan apabila mereka bersetuju mengenai perkara
yang sama dalam pengertian yang sama’. Kerelaan bebas dikatakan wujud apabila tidak
terdapatnya unsur-unsur seperti yang digariskan dalam Seksyen 14 yang menyatakan‘
kerelaan dikatakan bebas apabila ianya tidak disebabkan oleh:-

(a) paksaan, sebagaimana yang ditakrifkan oleh Seksyen 15;


(b) pengaruh yang tidak wajar sebagaimana yang ditakrifkan oleh Seksyen 16;
(c) fraud, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 17;
(d) salah nyata, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 18; atau
(e) khilaf (kesilapan), tertakluk kepada Seksyen 21, 22 dan 23.

2.8 TUJUAN YANG SAH

Semua perjanjian untuk menjadi kontrak yang sah dan mengikat di sisi undang-undang
mestilah terlebih dahulu mempunyai tujuan yang sah di sisi undang-undang. Perjanjian
yang mempunyai tujuan yang tidak sah disisi undang-undang adalah dianggap sebagai
perjanjian haram (illegal contract). Peruntukan mengenai perjanjian yang menyalahi
undang-undang ini terkandung dalam Seksyen 24 yang menyatakan ‘balasan atau
tujuan suatu perjanjian itu adalah sah di sisi undang-undang, kecuali:-

(a) ianya diharamkan di sisi undang-undang;


(b) ianya bersifat sedemikian rupa, jika dibenarkan, akan mengecewakan peruntukan
mana-mana undang-undang;

- 74 -
(c) ianya merupakan fraud;
(d) ianya memudaratkan orang atau harta orang lain; atau
(e) mahkamah menganggap ianya sebagai tidak bermoral atau bertentangan dengan
dasar awam.

Dalam setiap kes di atas, balasan atau tujuan suatu perjanjian dikatakan sebagai
menyalahi undang-undang. Setiap perjanjian yang mempunyai tujuan atau balasan yang
menyalahi undang-undang adalah batal. Dalam kes Hee Cheng v Krishnan (1955) MLJ
103, plaintif telah menuntut pelaksanaan spesifik, ataupun sebagai alternatif ganti rugi
kerana defendan telah memungkiri kontrak. Mengikut kontrak, defendan bersetuju
menjualkan sebuah rumah yang telah dibina olehnya di atas tanah yang bertaraf lesen
menduduki sementara (TOL:Temporary Occupancy License). Mahkamah memutuskan
bahawa kontrak jualan rumah itu adalah bertentangan dengan peraturan 41, Kanun
Tanah 1930. Oleh yang demikian, Hakim Thomas telah memutuskan bahawa kontrak
tersebut tidak sah di bawah Seksyen 24 Akta Kontrak 1950. Hakim menyatakan lagi,
jika kontrak itu dibenarkan ia akan melanggar peruntukan undang-undang yang
berkaitan. Asas pembatalan kontrak ini ialah kerana ia bertentangan dengan undang-
undang tanah yang melarang sebarang urusan pindah milik tanah yang berstatus lesen
menduduki sementara.

- 75 -

Anda mungkin juga menyukai