Anda di halaman 1dari 1

Assalamualaikum

Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian alam, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad saw, ahli
keluarga, para sahabat beliau dan juga mereka yg mengikuti sunnah baginda hingga ke hari akhirat.

Sempena Konvokesyen Tahfiz Stifin Darul Ulum kali pertama pada tahun 2016 ini, saya ingin mengucapkan
sekalung tahniah dan penghargaan kepada Tahfiz Darul Ulum atas kejayaan melahirkan seramai 25 orang anak²
hafiz dan hafizah serta beberapa orang guru pada tahun ini.

Sesungguhnya usaha melahirkan anak² penghafaz al-Quran atau generasi al-Quran merupakan usaha murni
yang digalakkan bahkan ianya telah berkembang mutakhir ini khususnya di Negeri Sembilan. Banyak sekolah dan
maahad tahfiz yang wujud yang saya yakin tujuan dan matlamat yang sama untuk melahirkan generasi al-Quran
yang beramal dengannya satu ketika nanti.

Sesungguhnya generasi yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang adalah generasi yang
'ditempa' pada hari ini. Bermakna, baik generasi muda hari ini, akan baiklah bakal kepimpinan akan datang.
Alangkah indahnya sekiranya generasi akan datang adalah mereka yang kita corakkan dengan penghayatan al-
Quran pada hari ini. Pastinya kebaikkan akan berkekalan.

Adapun cabaran dan kepayahan dalam membangunkan sekolah dan maahad tahfiz akan terus berlaku namun
perkara tesebut bukan halangan untuk terus berkembang. Kepayahan inilah sebenarnya akan mematangkan
sesebuah institusi dalam membangunkan jiwa insani dan prasarananya. Saya menjangkakan perkara tersebut
dihadapi juga oleh Tahfiz Darul Ulum bahkan institusi tahfiz yang lain.

Saya mengharapkan dengan lahirnya penghafaz al-Quran pada hari ini, akan menjadi pencetus kepada peringkat
pelajar seterusnya untuk terus berusaha manjadi bakal hafiz yang dapat membawa diri mengikut acuan al-
Quran dan beramal dengan sunnah Nabi saw. Semoga usaha baik ini akan dapat diteruskan oleh kepimpinan
Tahfiz Darul Ulum serta tahfiz² yang lain.

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan Tahfiz Darul Ulum,
guru² dan mereka yang menyumbang kepada pembangunan tahfiz ini sehingga melahirkan para huffaz cilik yang
bakal menjadi generasi kepimpinan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Yang berbahagia,

Tuan Hj Kamal Amran,

Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Anda mungkin juga menyukai