Anda di halaman 1dari 4

1.

FAHAMI TEKANAN YANG DIHADAPI OLEH ANAK


Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada di
antara mereka tidak menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat daripada segi
perubahan sikap dan tingkah laku mereka.

Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada juga yang menjadi terlalu
kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin banyak tidurnya.

Ada yang murung, marah-marah, sensitive dan sebagainya. Sememangnya perasaan


bimbang menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini.

Sebagai ibu bapa , kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya
mengurangkan tekanan itu dengan lebih memahami mereka.

Nyatakan kepada mereka dengan jelas, apa yang kita harapkan daripada mereka hanyalah
melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.

Nyatakan juga kepada mereka bahawa kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya
syarat bagi mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

Ramai mereka yang gagal dalam pelajaran tetapi dapat hidup senang dan berjaya dalam
bidang sukan, nyanyian, muzik, seni, lakonan, perniagaan dan lain-lain.

Apabila tinggal beberapa hari lagi menjelang peperiksaan, elakkan daripada menyuruh
mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang tidak diketahui penyelesaiannya kerana
ini dapat membuatkan mereka rasa tidak bersedia.

Keyakinan diri tergugat dan ini menjejaskan prestasi ketika menjawab soalan-soalan yang
mereka sedia ketahui.

Adalah lebih baik ibu bapa diam tanpa memberi sebarang komen apabila didapati perasaan
anak terlalu tertekan sehingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaannya
dengan mengatakan dia pasti gagal.

Perhatikan sahaja gelagat anak kerana biasanya luahan perasaan itu bukanlah perasaan
yang sebenar. Dia tidak bermaksudkan apa-apa dengan kata-katanya. Ia sekadar
melepaskan perasaan. Itu sahaja. Oleh itu biarkan anak itu seketika.

Selepas itu ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah.
Misalnya adakan masa menonton cerita jenaka seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah
sekeluarga.

Ini dapat mengendurkan perasaan tegang dalam diri anak dan dia kini bersedia belajar semula.

Waktu ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama jadual ulang
kaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.
2. TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI ANAK
Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak.
Ada diantara mereka memang sudah membuat ulang kaji sejak awal lagi tetapi tetap tiada
keyakinan diri.

Sebagai ibu bapa, kita perlu tahu keyakinan itu datangnya daripada persediaan. Semakin
bersedia anak kita maka semakin yakinlah dia.

Persediaan ini pula bukanlah sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-
mata. Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output)
maklumat.

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal,


bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan.

Proses mengeluarkan maklumat pula adalah menjawab soalan-soalan seperti membuat


latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang diperolehi
dalam proses mendapat maklumat itu tadi.

Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat mengalaman. Lebihkan
latih tubi bagi mana-mana topik yang agak lemah ataupun bentuk soalan yang kurang dikuasai.

Seterusnya perhebatkan simulasi dengan menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-
soalan ramalan mengikut mengikut masa yang ditetapkan.

Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan
yang sebenar.

3. DORONG ANAK SECARA POSITIF


Ibu bapa perlu selalu memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang
positif. Apakah kata-kata positif?

Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan menghasilkan gambaran minda
yang juga positif.

Contohnya:

 Bukan “Jangan buang masa” tetapi ucapkan “Manfaatkan masa”


 Bukan “Jangan berputus asa” tetapi ucapkan “Berusahalah dengan lebih gigih lagi”
ataupun “Mak percaya adik pasti BOLEH!”
 Bukan “Jangan kelam kabut” tetapi ucapkan “Bawa bertenang.”
Malah banyak lagi contoh-contoh yang dapat diberikan.

4. KERJASAMA SEPENUHNYA
Apabila anak akan menduduki peperiksaan penting, maka keseluruhan ahli keluarga yang
ada dalam rumah perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.
Antaranya menghormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan
waktu itu sebagai waktu belajar.
Misalnya ibu bapa dapat memanfaatkan waktu itu bagi membaca bahan-bahan bacaan yang
berfaedah. Adik kecil pula diberi kertas dan pensel untuk bagi menconteng. Begitulah juga
dengan ahli keluarga yang lain-lain.

Pastikan tiada seorang pun ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-
sembang kosong, bermain-main dan sebagainya, sedangkan ada anak yang sedang
bertungkus lumus menghadapi pelajarannya.

Dengan cara ini anak akan dapat merasakan perjuangannya dihargai.

5. KURANGKAN AKTIVITI LUAR


Elakkan daripada terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar
membeli-belah, makan di luar, balik kampong, menziarahi keluarga dan sebagainya. Ingatlah
bahawa setiap minit amat berharga kepada anak.
Oleh itu pastikan setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya
menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal ataupun rohani anak-
anak.

Tambahan pula, kekerapan berada diluar rumah hanya hanya mendedahkan mereka pada
perkara yang tidak diingini sama ada daripada segi kesihatan ataupun keselamatan.

6. ELAKKAN ANAK DARIPADA TIDUR LEWAT


Ada anak yang suka belajar sehingga lewat malam bagi menghabiskan ulang kaji mereka.
Jangan biarkan keadaan seperti ini berlarutan.

Pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulang
kaji pada waktu awal pagi walaupun hanya 20 ataupun 30 minit. Pada waktu ini, fikiran mereka
tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman.

Banyak maklumat yang dibaca ketika ini mudah diingati bagi tempoh masa yang lebih lama.

7. NYATAKAN GANJARAN DENGAN JELAS


Jangan biarkan anak kita berteka teki mengenai ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk
ganjaran yang mahu diberikan kepadanya.

Jika ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas apakah bendanya itu. Tunjukkan
gambar mengenai apa yang mahu diberikan kepadanya.

Jika ia berbentuk suatu percutian, beritahu destinasi yang ingin dilawati nanti. Dapatkan
risalah, cerita, serta gambar-gambar mengenai destinasi itu dan tunjukkan padanya. Jika ia
dalam bentuk duit, nyatakan dengan jelas mengenai jumlahnya.

Namun dalam soal bab duit ini ibu bapa perlu bertindak bijak. Sebabnya, jika kita beritahu
kepada anak, “Kakak, setiap A yang kakak dapat dalam PMR, nanti ayah akan berikan RM50”,
maka ia mungkin memerangkap kita kembali.

Apabila anak tahu dia lemah dalam subjek bahasa Inggeris maka dia tidak meletakkan
kesungguhan bagi mendapat A kerana dia berfikir, jika dia mendapat 7A pun jumlahnya
adalah RM350. Masih banyak lagi.
Oleh itu kita perlu meletakkan syarat dengan jelas dengan berkata, “Kakak, jika kakak
mendapat 8A dalam PMR maka setiap A itu nilainya ayah berikan RM50. Tetapi jika bukan
8A maka setiap A nilai itu ayah berikan RM30 sahaja.”

Dengan cara ini, anak-anak dapat menghitung sendiri, jika dapat 7A nilainya hanya RM210
sahaja berbanding RM400 bagi 8A. Perbezaan yang ketara ini secara tidak langsung
mendorong anak berusaha mendapat 8A.

Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak dapat merangsang jiwa.

8. BANYAKKAN BERDOA DAN SOLAT HAJAT.


Tidak ada suatu yang lebih bermakna bagi seseorang anak ketika menduduki peperiksaan
selain daripada doa dan restu daripada ibu bapanya.

Inilah masanya kita meluangkan lebih banyak masa berdoa baginya supaya dipermudahkan
urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati.

Berdoalah dengan suara yang jelas supaya didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa
kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa baginya.
Dengan cara ini, mereka lebih menghargainya.

Biasanya apabila menjelang peperiksaan, anak-anak tidur lewat daripada biasa kerana
mengulangkaji pelajaran. Jika ibu bapa menjenguk bilik anak seketika dan maklumkan
padanya yang kita mahu solat hajat sekarang, perasaannya anak pasti terharu dan ini
memperkuatkan lagi azamnya untuk berjaya.

Yakinlah Tuhan akan memdengar doa ibu bapa yang ikhlas. Berdoalah walaupuan
pencapaian anak kita pada ketika itu masih kurang memberangsangkan.

Sesuatu yang dirasakan mustahil bagi kita sebenarnya tidak mustahil bagi
Tuhan. InsyaaAllah, bila kita letakkan kepercayaan kepada Allah, Allah akan memudahkan
segala usaha kita.

DORONG MEREKA BELAJAR DENGAN TENANG


Ibu bapa perlu mendorong dan memotivasikan anak untuk belajar tetapi bukan memaksa anak
untuk berjaya.

Sekiranya ibu bapa memaksa anak untuk WAJIB mendapat hasil yang cemerlang, maka si
anak berasa dibebani. Anak belajar bukan kerana kewajipan tetapi kerana ketakutan.

Oleh itu berikanlah anak keyakinan. Berikan nasihat dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan
keprihatinan dan sentiasalah memberi komitmen untuk membantunya. Yang paling penting,
jangan lupa memohon kepada Allah agar anak dikurniakan kecemerlangan dan terang hati.

Anda mungkin juga menyukai