Anda di halaman 1dari 2

KEMELUT TEKS KOMSAS JANGAN BERULANG

ISU-ISU DALAM KESUSASTERAAN MELAYU


MOHAMMAD HAFIZULHELMI BIN MOHD HANAFI

PEMILIHAN teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu terus
dibelenggu polemik khususnya dalam kalangan penggiat sastera dan pengguna media sosial
sehingga memerlukannya penilaian lebih teliti dan penambahbaikan pemilihan.
Pengarang yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Muda Nasional Malaysia (PENA),
Muhammad Lutfi Ishak, berkata pihak penilai perlu lebih bertanggungjawab dalam
pemilihan karya dengan meletakkan faktor tertentu sebagai kayu ukur bagi mengelakkan
kontroversi sama berulang.
"Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan teks KOMSAS antaranya meneliti
sejarah kepengarangan penulis itu sendiri dan melihat kepada sumbangannya kepada
sastera kebangsaan.
"Saya juga mencadangkan agar hanya penulis yang bergiat aktif tidak kurang daripada 10
tahun diberikan ruang untuk dipilih karyanya dalam KOMSAS.
"Selain itu, karya yang dipilih mestilah mewakili sastera kebangsaan dan jika ia dirasakan
berat, mengapa tidak teks berkenaan dipermudahkan dengan cara merombak semula
khusus untuk edisi pelajar," katanya.

Sediakan laporan pemilihan teks


Tambahnya, penilai juga digesa belajar daripada kesilapan lalu dengan menyediakan laporan
bagi pemilihan sesebuah karya yang boleh dibaca oleh masyarakat umum bagi mengelak
pelbagai kontroversi timbul mengenai pemilihan teks KOMSAS.
Pandangan itu selari dengan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Naffi Mat, yang turut menyuarakan pandangan
selari dengan mengharapkan Kementerian Pendidikan memberi penelitian kepada
pemilihan panel.
"Sebagai orang sastera yang pernah terbabit sebagai panel penilai teks KOMSAS, saya
melihat wujudnya ketidakseimbangan dalam proses pemilihan kerana ada dalam kalangan
yang dilantik bukan ahli dalam bidang berkenaan.
"Ia sekali gus menyebabkan kecenderungan untuk pemilihan karya yang kurang bermutu
dan tidak melambangkan kehebatan sastera tanah air diangkat sebagai teks KOSMAS,"
katanya.

Lobi 'pengeluar novel segera'


Naffi turut melihat perkembangan tidak sihat berlaku apabila sesetengah pengarang atau
penerbit yang digelarnya 'pengeluar novel segera' yang melobi dengan menghasilkan karya
khusus untuk diangkat sebagai teks KOMSAS.
"Ada sesetengah penulis yang mengambil kesempatan dengan mensasarkan tujuan
penulisan semata-mata untuk dipilih sebagai teks KOMSAS kerana ingin mendapat habuan
royalti yang besar.
"Ia sememangnya agak mengecewakan kerana melenyapkan peluang karya sastera yang
baik untuk terpilih.
"Saya berharap edisi pemilihan seterusnya bagi tahun 2020 akan lebih telus dengan Pusat
Pembangunan Kurikulum (PPK), Kementerian Pendidikan perlu menghebahkannya dengan
lebih agresif bagi memastikan penerbit karya sastera yang baik tidak terlepas menghantar
novel bersesuaian untuk dicalonkan," katanya.

Pastikan keseimbangan pemilihan


Sementara itu, Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan (ASWARA), Datuk Rahman Shaari, yang juga pernah terbabit dalam panel
pemilihan teks KOMSAS berkata, pihak kementerian perlu memastikan keseimbangan dalam
pemilihan karya.
"Pemilihan sesebuah teks perlu sama rata dari segala aspek, iaitu bukan saja daripada
konteks kandungan, nilai baik dalam karya, bahkan kredibiliti pengarang perlu diambil kira.
"Contohnya jika novel bagi sesebuah zon itu dihasilkan oleh pengarang muda yang baharu
berjinak-jinak dalam dunia pengkaryaan, teks itu tentu akan dibandingkan dengan zon lain
yang ditulis oleh pengarang prolifik," katanya.

Anda mungkin juga menyukai